Selasa, 9 Disember 2014

Panggilan Kaabah di TPG


"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak…..
Mekah 1850
Mendengarkan kalimah tersebut, terngiang kembali dalam ingatan setiap kali ketika aku terpandang potret kaabah di rumah arwah bapaku di TPG.  Potret berbingkai catan emas itu dibeli abahku ketika beliau mengerjakan haji pada tahun 2002, dua tahun sebelum dijemput Allah menemuiNya. Aku teringat saat abahku melangkahkan kaki setelah azan dikumandangkan oleh seorang kenalan arwah di pintu rumah itu. Kesayupan azan menderaikan takungan air mata para hadirin termasuk aku enam beradik. Aku memeluk erat tubuh abahku seolah tidak rela berpisah dengannya, namun aku reda ketentuanNya, apatah lagi abahku kini dijemput ke tanah suci Mekah sebagai tetamuNya. Kami anak beranak berpeluk-pelukan dan aku mencium pipinya tanda kasih. Pemergiannya selama lebih 40 hari itu kami restui dan redai.  Aku sekeluarga mendoakan agar abahku mendapat haji yang mabrur. Sudah lebih 10 tahun masa berlalu, belum lagi ada dalam keluargaku yang berangkat menunaikan haji termasuk diriku. Aku pasrah, walaupun perasaan ingin ke baitullah di Makkatul Mukarramah membuak-buak, tetapi kemampuan kewanganku belum ada. Namun aku tetap yakin dan percaya doaku pasti dimakbulkan Allah pada suatu masa nanti.
Haji merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:
"Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"
(Surah Al- Baqarah ayat 196)
Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-
"Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam"
(Surah Ali Imran ayat 97)

Mekah 1900
Aku pernah membaca bahawa Imam Al-Ghazali menyatakan  tentang Rukun Islam kelima ini,
" Mengerjakan haji  dapat meninggalkan kesan merasai kerinduan yang sangat mendalam kepada Allah.”

Kaabah adalah tempat yang boleh memberi hidayah, dan oleh kerana itulah ramai yang berubah menjadi lebih baik selepas menziarahi Mekah. Sesungguhnya, mereka yang terpilih dari kalangan jutaan umat Islam di seluruh dunia ini teramat istimewa.Terpampang jelas di wajah mereka keriangan yang mencerminkan keikhlasan hati. Sememangnya, panggilan haji adalah anugerah Allah buat hambaNya yang taat, sanggup berkorban harta, jiwa dan raga kepada Allah,dan juga sebagai bukti cinta mereka kepada Rasulullah SAW, Khatammul Anbia. Bagi para Jemaah haji, pelaksanaan rukun Islam kelima ini membuktikan hubungan teristimewa antara hamba dengan TuhanNya, dan juga pelengkap keislamannya.
Baitullah 1900
Aku begitu kagum dan terpesona ketika membaca di akhbar-akhbar lama dan mendengar kisah-kisah  pelayaran umat Islam terdahulu sewaktu mereka menunaikan Ibadah Haji. Segala perintah Allah di patuhi dan dilaksanakan dengan rasa tawaduk, ikhlas dan rendah diri serta setiap amalan sama ada rukun, fardhu atau sunat hendaklah di laksanakan dengan bersungguh-sungguh semoga mendapat rahmah, keampunan dan keredhaan daripadaNya. Justeru itu, mereka dengan rela hati telah meninggalkan segala yang mereka sayangi termasuk kampung halaman, keluarga, sanak-saudara, harta benda dan sahabat handai dengan mengharungi lautan semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Aku rasa bertuah dan amat bersyukur kerana dilahirkan ke dunia ini ketika banyak berlaku perubahan demografi, sosial dan teknologi antara yang lama dengan yang baru. Maksud aku, hidup dalam tahun-tahun 1960an dan 70an seterusnya 80an, membolehkan aku menyaksikan  perubahan gaya hidup dan minda masyarakat Melayu ‘old school dan new school’, dan kecanggihan teknologi . Sebagai contoh, aku pernah menyaksikan  dan turut serta meraikan bakal haji ke Mekah melalui pelayaran kapal laut dan juga penerbangan.Walaupun nampak remeh bagi sesetengah orang  tetapi bagi aku, ianya begitu bermakna dan aku bersyukur.
Maka, aku terpanggil untuk menulis dalam entri kali ini, kisah pahit getir, jerih payah, penat lelah pelayaran para Jemaah haji membelah samudera demi menyahut undangan teristimewa anugerah Allah ke rumahNya di Baitullah, melaui pembacaan aku di dada-dada akhbar dahulu kala ketika British bermaharaja lela di Malaya dan Belanda menginjak-injak umat Islam di Indonesia. Tapi sebelum itu aku bahagi-bahagikan ceritera ini kepada beberapa bahagian, iaitu:

i.   pengenalan dan kajian ilmiah pelayaran Umat Islam Nusantara ke Jeddah merentas samudera dan masa,
ii.  persediaan dan halangan umat Islam ke Mekah,
iii. pengalaman dan gambaran ketika mereka berada dalam pelayaran,
iv. Kesukaran perjalanan mereka dari Jeddah ke Mekah dan Madinah

I. Pengenalan
Dahulu, para jamaah haji tidak naik kapal layar khusus untuk ke Mekah. Mereka ikut kapal dagang dan berpindah randah dari satu kapal ke kapal lainnya.  Dari merata-rata pelabuhan di Nusantara, jamaah haji berkumpul di pelabuhan Aceh, kemudian menunggu kapal yang akan mengangkut mereka ke Hadramaut, Yaman, atau langsung ke Jeddah. Kerana  menjadi tempat transit utama, Aceh terkenal sebagai serambi Makkah. Perjalanan menggunakan kapal layar tidaklah mudah.  Sehingga pertengahan abad ke-19, tidak sampai separuh jamaah haji yang mampu berangkat hingga ke Makkah, kerana sudah meninggal dunia di perjalanan. 

Pada tahun 1860-an, perjalanan haji sudah menggunakan kapal wap. Perubahan itu berlaku selepas pembukaan Terusan Suez yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Pembukaan itu menjadikan jumlah kapal wap dari Nusantara ke Eropah yang singgah ke Jeddah semakin banyak.
Jemaah haji 1880
Sejak 1900 hingga 1975,  sebahagian besar jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Ketika itu,  bakal haji Nusantara biasanya menggunakan  kapal –kapal wap milik Belanda, iaitu Nederland, Rotterdamsche Lloyd, dan Blue Funnel Line. Pelayaran melalui Selat Melaka meliputi pelabuhan-pelabuhan utama di Betawi, Singapura, Pulau Pinang. Terdapat juga laluan khusus untuk Jemaah dari Indonesia meliputi pelabuhan utama di Ambon,Sulawesi, Balik Papan, Banjarmasin, Betawi seterusnya ke Padang . Meski pun demikian, masalah kesejahteraan jamaah haji tidak diperhatikan oleh pemilik dan petugas kapal-kapal tersebut. Keadaan di dalam kapal, jamaah haji bersesak-sesakan. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.
Berdasarkan jadual di bawah, jumlah tertinggi jemaah ke Mekkah pada tahun 1928 iaitu seramai 9875 manakala paling sedikit seramai 45 orang pada tahun 1940. Tiada rombongan haji dilakukan pada tahun-tahun 1915-1918 dan pada tahun 1941-1945, iaitu ketika berlakunya Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua kerana tiada jaminan keselamatan pelayaran.

Penerbangan haji bermula  pada tahun 1962. Penumpangnya terdiri daripada menteri,ahli perniagaan, dan orang kenamaan. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.  Ramai yang memilih kapal laut berbanding kapal terbang kerana pelayaran di laut kini lebih selesa berbanding dahulu dan sudah menjadi tradisi mereka menggunakan kapal laut.

Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah.  Bahkan pada tahun-tahun 1980-an, ramai bakal haji berusia di bawah 40-an. Trend ini berterusan sehingga kini kerana kesedaran agama tentang ibadah haji telah meningkat di samping mereka dapat mengerjakan haji tanpa perlu bercuti lama untuk terus membina kerjaya  dan penghidupan mereka selepas menunaikan rukun Islam itu.

Kapal Haji ' Malaysia Raya'
Berbalik kepada kisah pelayaran, mereka, menggunakan kapal wap merupakan zaman penuh mencabar buat bakal-bakal haji ini. Nama-nama kapal haji seperti  Mendam Berahi (abad ke-15), Subulus Salam (1854), Armanestan, Antirorchus, Bellophon , Cyclops dan Potesilaus (1936), Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Autolycus, Eurybates, Glaucus, Idomeneus, Bellerophon, Laomedon, Melampus (1940-an)  Anshun, Anshing, Telemachus, Tyndareus, Prometheus, Myrmidon,Neleus Menelaus (1950-an) Malaysia Raya, Malaysia Kita, dan Kuala Lumpur (1960-70an) yang sering berulang alik di perairan Selat Melaka , Laut Arab serta Laut Merah setiap kali tibanya musim haji saban tahun menjadi saksi luahan cinta mereka  ke Jeddah, menuju keampunan Allah di Makkah. 

Perjalanan pergi balik dari Malaya ke Mekah dan Madinah memakan masa sehingga  6 bulan.  Melihatkan betapa sulitnya menunaikan ibadah haji, mudah untuk kita memahami apabila kaum muslimin yang telah berjaya menjalani rukun Islam kelima ini kemudian mendapatkan kedudukan tersendiri dan begitu dihormati dalam masyarakat sekembali merekake negeri asal masing-masing. Mereka kemudian mendapat gelar “Haji”, suatu gelaran yang pada umumnya disandang para hujjaj yang tinggal di negara-negara yang jauh dari Baitullah seperti Indonesia dan Malaysia.

Tambang Kapal ke Mekah
Pada awal abad ke 20, sekitar 1908, ramai Jemaah haji merupakan kaum pelajar dan golongan kaya. Ketika itu tambang ke Mekah sekitar $100 pergi balik. Kos itu meliputi tambang kapal (atas dek sahaja),penginapan, makan minum ketika di Tanah Suci. Namun makan minum ketika dalam pelayaran, mereka sendiri yang sediakan. Ketika harga getah melambung tinggi, selepas 1910 dan ketika Perang Dunia Pertama, ramai pekebun dan penoreh getah menyimpan sebahagian pendapatan untuk belanja menunaikan haji.  Dalam tahun 1920-an majoriti Jemaah haji merupakan golongan miskin. Harga tambang dan kos-kos lain meningkat saban tahun. Pada tahun 1931, setiap jemaah haji perlu ada $600 dan wang secukupnya untuk keluarga ketika mereka kat mekah. Dikhabarkan untuk haji pada tahun 1939, kos minimum haji telah meningkat kepada $700 seorang.

Ketika Perang Dunia Kedua, kos haji meningkat (kos insurans naik). Hanya laluan pelayaran dari India ke Jeddah sahaja yang selamat. Kalau nak pergi terpaksalah ke India dengan kapal biasa dahulu kemudian baru naik kapal haji  di sana. Kapal- kapal haji bergerak secara konvoi dengan pengawasan tentera laut dari Pelabuhan Bombay, Karachi dan Calcutta.

Pada tahun 1946,  setahun selepas WW2, kira-kira 1000 terpaksa menangguhkan pemergian mereka kerana tambang dan kos pengurusan haji naik mendadak. Hanya 120 orang Jemaah meneruskan haji dengan kapal Menelaus. Ketika itu, kos tambang kapal haji sebanyak $485 perlu disediakan sebagai jaminan manakala 20 pound sterling perlu ada untuk pengangkutan,penginapan,penyewaan khemah dan lain-lain ketika di Mekah dan Saudi. Hal ini menyusahkan bakal haji yg sememangnya sempit kewangan semasa zaman Jepun dulu. Kos haji meningkat daripada $800 sebelum perang kepada $1200 (1946) kerana kenaikan tambang, makanan dan perkhidmatan. Setahun selepas itu, pada tahun 1947, Tambang kapal $360 untuk ruang dek manakala belanja keseluruhan $1200-1500.  Pada tahun 1951, tambang dek sebanyak RM500 untuk dewasa manakala kanak-kanak  berusia1-12 tahun sebanyak $250-$298.50

Kemudian, mulai tahun 1954, barulah kapal penumpang khusus untuk Jemaah haji digunakan. Perjalanan dan pelayaran menjadi lebih selesa. Kapal Anking dan Anshun  merupakan kapal haji penumpang yang disewa khas dari China. Rata-rata kelasinya merupakan kaum Cina bukan Islam. Untuk penumpang First class cabin bayaran tambang sebanyak $900, ‘Berthed Deck’ $550, Deck $500. Namun begitu, semua penumpang boleh menggunakan fasiliti yang terdapat di atas kapal tersebut. Secara purata setiap individu diperuntukkan 18 kaki persegi seorang.  Pada tahun 1960, buat pertama kali kapal haji berlabuh di Port Klang. Mulai Februari  1960(musim haji bermula), jemaah dari wilayah tengah (Selangor, Negeri Sembilan, Pahang) tidak perlu  lagi ke Pulau Pinang. Mereka  hanya perlu naik di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) tanpa  dikenakan bayaran lebih. Kapal haji dari Singapura singgah di Port Klang dan terus ke Pulau Pinang sebelum ke Jeddah..

"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak…..

Cukuplah setakat ini. Nanti aku sambung lagi ceritanya, insya Allah.

Rujukan:
The Straits Times, 19 September 1908, Page 7
Bound for Mecca
.
The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 19 September 1912, Page 185
TO MECCA

The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 11 December 1931, Page 7
WHERE SULTANS AND BEGGARS MEET

The Straits Times, 15 March 1939, Page 9
$700 MINIMUM FOR THE HAJ

The Straits Times, 8 September 1946, Page 7
1,000 POSTPONE THE 'HAJ'

The Singapore Free Press, 1 October 1947, Page 5
Ban does not affect Malayans
Cholera outbreak in Cairo

The Straits Times, 23 August 1949, Page 7
3,500 Leave For Mecca

The Straits Times, 25 January 1954, Page 7
Cut fares, better conditions for Mecca pilgrims

The Straits Times, 27 December 1959, Page 4

The Singapore Free Press, 20 October 1959, Page 5
PILGRIM SHIPS TO CALL AT PORT SWETTENHAM

The Straits Times, 1 April 1960, Page 7
440 sail for Mecca

Berita Harian, 15 September 1985, Page 2
Arkib Negara pamer cara pergi haji sebelum Perang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Seronoknya Berhari Raya di Klang.....Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Atok muncul lagi. Hehehe...Sengaja Atok sambung balik cerita Atok hari itu pasal Puasa dan Raya. Orang Melayu ini berbeza ...