Jumaat, 9 Januari 2015

Nostalgia Padang Awam TPG

Salam buat semua. Apa khabar teman-teman blogku, juga kengkawan dan saudara maraku di TPG. Semoga kalian dirahmati Allah Taala. Amin. Minggu lepas aku balik ke Taman Dato' Hormat, ziarah kakak aku. Dah sebulan lebih aku tak balik. rindu aku kat dia, bapa dan emak-emak sedara mara aku di Batu 11. Dari Seremban, aku ikut PLUS dan kemudian exit kat Saujana Putra sebelum sambung perjalanan aku di SKVE dan keluar kat interchange TPG. Bila terpandang jer signboard TELOK PANGLIMA GARANG, aku terharu. Gembira bercampur sedih. Apa tidaknya, aku kini kembali berada di tempat aku dilahirkan, kemudian dibesarkan, sebelum aku menghabiskan 35 tahun daripada usiaku merantau ke Melaka, Amerika Syarikat, Sarawak dan kini di Seremban.

Setiap tempat di Telok, mengingatkan aku kenangan lama suka dan duka bersama kawan-kawan sebaya aku membesar bersama. Ketika aku melintas pekan Telok, sebelum membelok ke Taman Dato' Hormat, pandanganku tertumpu ke arah padang awam Telok yang bersebelahan sekolah Cina itu. Di situlah, di padang itulah satu-satunya pusat rekreasi dan sukan orang kampungku. Di situ jugalah aku, Seman, Faizal, Badrul, Ajis, Hanapiah anak Pakcik Leman dan budak-budak Telok serta Simpang Batu 11 bermain bola sepak, boleh dikatakan hampir setiap petang dan cuti sekolah. 

Padang Awam Telok

Tapi yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Telok ialah perlawanan persahabatan antara kelab bola sepak di mukim TPG, biasanya pada hari Sabtu atau Ahad. Tidak ada pengumuman atau banner tentang  game hari itu, tapi semua orang Telok macam dah tahu ada friendly match bila jaring gol dan bendera tepi line dipasang. Tahu-tahu lepas Asar dah penuh dah orang menunggu kat tepi padang itu. Ada yang menenggek atas motor tepi jalan, ada yang duduk tepi parit, siap dengan air minuman, bungkus ikat tepi lagi. Makin lama makin ramai orang berkumpul. Berapa ramai penonton bergantung kepada populariti team-team yang main. Tak payah tunggu lama, datang dah apek jual aiskrim naik motor menebeng tepi padang sambil bunyikan loceng.

Warung Pak Atip di tepi pasar ikan lama dan Gerai Poklong Lias serta Mak Yah (Sebelum itu arwah Brother Mus berniaga) di bawah pokok tepi jalan depan rumah Ontu (Orang Tua) Rahim dan Ontu Mansor itu penuh dengan pelanggan yang order makan mee goreng dan pekena teh sebelum dan selepas perlawanan bola itu. Apabila masuk jer team feveret diorang, ramai yang bertepuk sorak, terutama team Kg. Simpang Batu 11, yang dikenali dengan nama Simpang United dan juga team Telok, Telok FC. Ramai anak-anak Telok yang hebat dalam kedua-dua team. Faizal Timah Lawa, abang Atan Cikgu Zainuddin, abang Atan anak Mat Burung, Abang Tapa anak Makcik Seri merupakan pemain-pemain pilihan orang kat Telok. Ada yang terpilih sehingga mewakili Kuala Langat dan PKNS dalam Liga Selangor.


Kat padang itu jugalah orang Telok berkumpul untuk menonton wayang pacak. Wayang pacak ini merupakan program Jabatan Penerangan untuk hiburkan orang kampung disamping menyebarkan mesej-mesej kerajaan masa itu. Sejak awal petang sebelum malam tayangan itu, land rover dan van Jabatan Penerangan heboh mengajak orang-orang kampung supaya keluar dan turun ke pekan Telok. Aku tak ingat berapa kerap diorang adakan tayangan kat padang itu. Mungkin sebulan sekali atau dua tiga bulan sekali kot. Memang aku tak ingat. Yang aku ingat, petang-petang sebelum Maghrib dah ramai orang datang , siap bawa tikar mengkuang untuk duduk anak beranak. Solat Maghrib hilang entah ke mana dan di mana aku pun tak tahu. Tapi tayangannya lepas Isyak karang. 

Ada filem Melayu dan ada filem Inggeris. Aku dengar diorang kata sekali-sekala ada filem hindustan. Entahlah, tapi yang pasti masa tengah syok-syok tengok diorang potong stim, berhenti untuk kempen dan mesej kerajaan. Aku tak ambil port (endah) pasal mesej itu. Yang aku ingat aku dan ramai orang kat padang itu ambil kesempatan time itu beli kacang rebus, kacang goreng dan apa jua makanan dan minuman yang dijual penjaja malam itu. Itu jer lah hiburan orang Telok selain tengok wayang Cina kat Tokong Simpang tu. Yang muda mungkin panjang langkah diorang ke Klang untuk berhibur tengok wayang dan ke Kelab Malam El Dino atas Great Wall itu. Keesokan harinya, penat pekerja town board kutip kertas surat khabar pelapik punggung dan plastik bekas minuman. Aku rasa kalau penuh sebakul sampah sarap, sebakul juga sumpah seranah orang yang buat sampah itu dapat. Lantak korang ler.

Di sini jugalah temasya sukan belia dan pelajar sekolah diadakan. Dahulu, temasya sukan sekolah merupakan temasya sosial untuk masyarakat setempat. Habis keluar semua orang Telok, keluar untuk meramaikan majlis sukan tersebut. Majlis itu juga dihadiri oleh orang-orang kenamaan, wakil rakyat, menteri, pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung. Yang pasti,  Allahyarham Tuan Haji Talib b. Bulat , ketua kampung aku yang dah berkhidmat selama 25 tahun (1968-1994) gerenti ada. Aku seronok dengan sikapnya yang peramah, mesra dengan budak-budak sebaya aku. Pasal itu Tok Talib a.k.a Tok Onn (panggilan hormat orang kampung aku kepada beliau kerana kepetahannya berucap tanpa teks, macam Dato' Onn Jaafar) merupakan orang paling popular dan berpengaruh di Telok. 

Biasanya kejohanan sukan ini diadakan pada hari Sabtu sebelah petang, mulai 2 petang. Selain daripada bebudak sekolah bersaing dalam acara sukan, ada juga diselitkan acara sukan untuk ibu bapa, guru, dan orang kampung. Memang meriah sungguh. Makin petang makin ramai penonton. Tak ada yang balik sehingga tiba acara kemuncak temasya sukan itu, iaitu majlis penyampaian hadiah untuk pemenang. Biasanya pemenang dapat piala perak, medal dan juga hadiah sampingan. Isyy...tidak ler sampai beri TV atau motosikal! Biasanya dapat ler hamper makanan dan bekas-bekas plastik. Itupun budak-budak dan orang kampung seronok sangat. Kalau korang tengok masa itu, macam kat pesta Jom Heboh, gerai segera makanan dan minuman sibuk melayan pelanggan. Tapi tak ada ler gerai tudung bagai! Adik aku pun ambil kesempatan jual aiskrim kat situ, habis...maklumlah cuaca panas mengerlip. Pendek kata, semua orang happy.

Di padang inilah juga pernah berlangsung acara lumba jalan kaki dari Telok ke Klang. Ramai juga peserta yang mengambil bahagian. Rata-rata peserta dari kaum India. Dekat satu sudut padang ini juga didirikan taman rekreasi untuk anak-anak kecil bermain. Di situ ada papan gelongsor dan jongkang jongkit. Tapi sayang, tak ada  pokok rendang untuk ibu bapa berteduh. Lama kelamaan, padang mainan bebudak ini terbiar reput dan berkarat begitu sahaja.

Itu masa dulu, tahun-tahun 1960-an sehingga pertengahan 1980-an. Masa itu penduduk Telok tak seramai sekarang. Taman perumahan yang ada masa itu hanyalah Taman Telok yang dibina PKNS. Memanglah keperluan rakyat dan orang kampung itu yang rata-rata golongan pekerja bawahan dan pekebun tak banyak. Mereka terima jer apa sahaja pembangunan kat Telok. Tapi kini ,dalam tahun 2015,  Penduduk Kampung Telok Panglima Garang sahaja sudah seramai 14,408 orang iaitu 7,924 lelaki dan 6,484 perempuan, di kampung dan di 9 buah taman perumahan yang terdiri daripada:

1.Taman Panglima
2.Taman Dato’ Hormat
3.Taman Telok
4.Taman Jaya Utama
5.Taman Halijahton
6.Taman Indah Jaya
7.Taman Perkasa
8.Taman Pertiwi
9.Taman Aman

Lokasi kemudahan sukan dan rekreasi di TPG

Belum campur lagi jumlah keseluruhan penduduk mukim TPG yang sudah lebih daripada 63,726 orang (statistik tahun 2010). Daripada bilangan itu, hampir 50,000 orang merupakan penduduk di bawah usia 40 tahun. Sudah pasti golongan ini aktif dan masih aktif bersukan dan berekreasi. Banyak rungutan dan sungutan golongan ini yang mendesak dibina kawasan riadah di TPG untuk orang awam seperti taman permainan, kawasan jogging dan sebagainya. Kemudahan sukan rekreasi yang sedia ada seperti Gelanggang Futsal Taman Dato’ Hormat dan Gelanggang Bola Sepak Pekan Telok Panglima Garang, masih tidak memenuhi tuntutan mereka. Sudah tiba masanya kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuala Langat mendengar dan merealisasikan impian dan hajat majoriti penduduk TPG ini, sekurang-kurangnya satu taman rekreasi seperti yang ada di pekan Banting itu dalam perancangan pembangunan induk mereka. Aku cuma menyampaikan jer. Semoga TPG terus membangun dan sentiasa dalam rahmat Allah Subhana wa taala. Amin.

Rujukan:
 http://paritmahang.pi1m.com.my/index.php/maklumat-setempat/maklumat-am












 

Rabu, 7 Januari 2015

Nikmat Air Bersih di TPG



Salam buat semua. Salam ukhuwah. Kali ini entri aku berkaitan air. Ya, tepat jangkaan korang. Memang aku nak bercerita tentang banjir. Simpati aku kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Kedah. Tadi aku dengar berita kat tv, gelombang ketiga pulak akan melanda. Belum pun reda trauma mereka, datang pula ancaman lain, ketiadaan air bersih untuk diminum. Air memang satu keperluan hidup. Air yang bersih penting bagi memastikan kesihatan diri dan persekitaran dalam tahap optimum demi kesejahteraan hidup. Syukur kita orang Telok kerana air bukan suatu masalah kepada kita kerana taburan hujan di Malaysia dan Telok tinggi, melebihi 2000mm setahun. Tak pernah berlaku kemarau yang berpanjangan di Telok. Mungkin ada sesetengah tempat tidak turun hujan lebih sebulan, tapi itu bukan bererti musim kemarau. Bahkan kasih dan rahmat Allah kepada kita tetap ada kerana tidak cukup air dari langit, malahan air di dalam bumi pun sentiasa ada. Mungkin kemarau pendek hanyalah hukuman dan peringatan daripada Allah atas dosa-dosa kita, mungkin juga ujian bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita terhadapNya. Tapi belum pernah bumi Telok mengalami musibah banjir. Ya, belum pernah. Oklah, pernah jugalah air naik kat Batu 9 Kebun Baru sampai beberapa kebun dan rumah ditenggelami air tapi cuma takat buku lali sahaja dan for sure tak lebih daripada paras lutut. Itupun kerana kawasan itu bertanah gambut. Tanah gambut ini macam span, serap air. Pasal itu ler apabila parit dibuat dan paras air bawah tanah menyusut, tiada lagi banjir kecuali parit tersumbat dengan sampah sarap atau  rumput panjang sangat. Hahaha...dalam macam lagu Bangau Oh Bangau pulak dah.

Yes. Telok pernah dilanda ribut, macam yang berlaku dalam tahun 1954.  Itupun setakat terbang dua tiga keping zink bumbung dan empat lima batang pokok getah patah atau tumbang.Tapi bukan banjir.Walaupun banjir atau bah besar berlaku dan melanda Malaya dan Malaysia pada tahun 1920, 1926, 1963, 1965, 1967, 1969, 1971, 1973, 1979, 1983, 1988, 1993, 1998, 2005, 2006, 2007, 2011, 2013 dan terkini 2014, Telok terselamat. Alhamdulillah. Bagaimana boleh begitu? Itulah kehendak dan kudrat Allah Taala. Mudah-mudahan Telok terus terpelihara daripada segala malapetaka. Tapi dengan syarat, orang-orang Telok terus beriman, mengajak kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran. Kalau maksiat terus bercambah dan subur, nantikanlah kemusnahan atas kemurkaan Allah yang akan menimpa semua orang termasuk geng-geng surau dan masjid. Korang tengok dan bacalah berita dari Pantai Timur. Lepas satu satu bencana yang terpaksa mereka lalui. Lepas habis segala harta benda dihanyutkan dan dimusnahkan air banjir, timbul pulak masalah nak dapatkan air bersih. Semua air dah tercemar. Telaga dan kolam dah bercampur air bah yang mengandungi bakteria E-Coli, penyebab taun. Penyakit taun ini jangan dibuat main. boleh membunuh. Tersiksa orang yang terkena taun dengan cirit-birit yang melampau. Ramai yang maut selepas seminggu. Dahsyat sungguh. Tapi kat Telok kehidupan masyarakatnya sejahtera. Air yang kita minum daripada paip bersih, bebas dari kuman, at least menepati piawaian WHO (World Health Organization). Tapi sejarah air bersih yang kita minum itu panjang. Aku tertarik untuk menghuraikan hasil dapatan aku melalui pembacaan aku di internet. So, korang dah ready nak dengar kuliah aku dalam entri kali ini? Bagus...Duduk tegak-tegak, mata pandang ke depan dan pasang telinga.Kih,kih,kih..Terkono. Amek korang.

Daripada apa yang aku dengar dan baca, dulu atok nenek kita kat Telok macam juga kat tempat-tempat lain. Kita dapat air daripada perigi, kolam, telaga, parit dan air hujan untuk minum, mandi, basuh pakaian dan menanak nasi. Oklah aku terlupa. juga daripada air hujan yang diorang tadah dalam tong-tong dram. Takde apa-apa specialnya kat Telok berbanding tempat lain. Walaupun mungkin airnya sedikit berbau, berkeladak sedikit, tapi setelah dicampur tawas dan dimasak, akhirnya air itu selamat diminum. Bertahun-tahun mereka minum air dari sumber tersebut. Alhamdulillah tak ada sesiapa yang jatuh sakit atau meninggal dunia. Cuma bekalan airnya tak tetap, mengikut cuaca. Kalau musim hujan, penuh perigi, tapi kalau kemarau, susah sikit. So, untuk pastikan rakyat dalam keadaan sihat, maka kerajaan pada masa itu mula memikirkan penyaluran air bersih ke kampung-kampung termasuk ke Telok.

Kalau korang nak tahu, Telok dapat bekalan air bersih mulai tahun 1939. Masa itu seluruh Kuala Langat mendapat bekalan air dari loji rawatan Bukit Tampoi yang baru dibina. Itupun kita di Telok dan Kuala Langat agak terlewat menerima air bersih ini berbanding bandar dan tempat lain. Tempat lain macam kat Penang dan Kuala Lumpur selewat kurun ke-19 dah dapat air,seperti yang aku petik di bawah ini.

Wells have since been relegated to the annals of history and stand pipes where villagers washed, bathed and collected water for cooking and drinking are a rarity.The foundation for piped water supply was laid by the British in 1804, when the first aqueduct of brick was built to transport water from the hills to the town of Penang. By the end of the 19th century piped water was available to urban households through house taps and stand pipes throughout the country. Piped water was still untreated, as it was common at the time throughout the world. In 1906 the first slow sand filter plant in Malaysia was built at the Ampang Intake for Kuala Lumpur. In 1915, disinfection technology used hypochlorite and later, gaseous chlorine. By 1939, households in the major towns of Malaya were well-served with piped water. Many water installations, however, deteriorated from neglect during the war years of the Japanese Occupation from 1941 till 1945

Air yang telah dirawat itu kemudian disalurkan melalui paip yang ditanam ke loji air di Bukit Jugra sebelum diagihkan ke kampung-kampung menerusi paip-paip di tepi jalan raya utama termasuk ke Telok. Jadi, kita di Telok dapat bekalan air dari sungai Langat, bukan dari sungai Klang, walaupun Telok lebih hampir dengan Klang. Untuk pengetahuan korang, Klang dan Pelabuhan Klang mendapat sumber air minum mereka dari Empangan Air Kuning.











Oklah berbalik kepada kisah kita di Telok. Bukan semua orang kampung mampu untuk bayar wang cagaran dan pasang paip air ke rumah. Tapi, life goes on. Mereka yang miskin terus menggunakan air perigi dan air hujan. Tapi kerajaan dah menjangkakan hal sebegini. Jadi, awal-awal lagi kerajaan dah siapkan communal standpipes di setiap kampung di sepanjang laluan paip air tersebut. Yang aku ingat, dekat Telok, ada satu paip awam ini di seberang jalan raya depan  masjid al Hidayah, lebih tepat lagi di depan Klinik Kesihatan TPG sekarang. Dekat situlah Seman dan Ajis anak Poksu Malek ambil air paip, isi dalam tong dram plastik untuk dibawa balik dengan basikal Jaguar bapa diorang. Alahai, basikal yang tempat duduk belakangnya lebar, empat segi tuu.. Hari-hari diorang ambil buat air minum dan wuduk kat rumah. FOC. Free of charge. Tak kena bayar pun, macam korang sekarang nilah dapat air free daripada Syabas,kan? Masa itu rumah aku dan rumah sedara mara aku dan majoriti orang Telok dah ada air paip kat rumah. Kadang-kadang, maaf bukan kadang-kadang, setiap kali aku  balik daripada main bola dengan Seman, Badrul anak Ustaz Yusof dan bebudak Telok di padang SK Telok, aku pasti singgah minum seteguk dua dari air paip ini. Tapi lepas akhir tahun 70-an, aku  dah tak nampak paip awam kat situ lagi, mungkin perkhidmatannya dah tak diperlukan lagi, agaknya.

Paip air awam di kawasan petempatan

paip air komuniti
Pili air awam seperti di TPG

Dekat belakang rumah  pusaka atok aku, ada perigi buta. Maknanya, suatu masa sebelum aku lahir memang mereka guna air perigi. Bila diorang masuk air paip, aku tak tahu. Aku  tak tanyapun! Masa itu abah aku baru buat rumah kat atas tanah emak aku di Telok (1970). Lagi satu, time aku bersekolah rendah, aku selalu bertandang ke rumah Ontu (Orang Tua) Sadu, bidan kampung yang menyambut kelahiran aku dan ramai lagi orang-orang Telok ke dunia ini, kebetulan sedara mara aku juga. Rumahnya seberang jalan raya dengan rumah aku. Untuk pengetahuan korang, Ontu Sadu ini isteri Lebai Omar, bapa Ontu Musa, datuk kepada abang Rahman (Ujang) , Tok Siak Masjid Telok kini, dan abang Adnan, towkay warung makan kat Telok tu. Wow, panjang intro aku tentang orang yang korang tak kenal ini. Anyway, kat rumah dialah aku belajar berenang dengan Seman dalam perigi diorang. Periginya besar dan luas, siap ada teratai yang terapung di dalamnya. Masa itu perigi ini hanya untuk diberi minum pada lembu yang dibela oleh Pak Dawi (hahaha... pening kepala korang).Diorang pun ada air paip. Hari-hari kita orang mandi kat situ sehinggalah satu hari  abang Jali Jepun (cucu Ontu Sadu, kini Allahyarham) pecahkan botol kaca dan taburkan kat dalam perigi itu. Tak beri aku mandi dan berkubang di situ lagi.  Moga roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah Taala. Lepas itu aku berubah tempat mandi dan berkubang di parit Kampung Bom (Jalan Pusara Telok) dan alur sungai belakang kebun atuk aku. Begitulah lasak dan nakalnya aku masa kecil-kecil dahulu

Rujukan:
http://berpetualangkeaceh.blogspot.com/2011/01/stairs-up-bukit-hill-of-jugra.html



                 sambungan artikel..........




Laporan Berita Telok dilanda Ribut Mac 1954



Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...