Ahad, 2 November 2014

Sejarah Hospital Klang

Salam buat semua. Harap semua dalam keadaan sihat walafiat. Aku nak berpesan sikit, jaga kesihatan diri. Maklumlah sekarang musim hujan. Kalau kat Seremban ini, hari-hari hujan, lebat siap dengan kilat petir. Syukur ke hadrat Allah swt atas nikmat hujan yang diberi. Jangan sesekali mengeluh. Hujan ini bukan untuk kita manusia sahaja. Hujan ini untuk semua makhluk kerana Allah itu Rabbul ‘Alamin, Tuhan Sekelian Alam. Namun, tidak dapat ditolak Allah juga mendatangkan ujian buat kita ketika musim-musim hujan sebegini. Demam, selsema, lelah, baju tak kering, orang kampong tak boleh pergi menoreh getah, nak pergi kerja pun susah. Itu semua kecil jer, bhai berbanding nikmat yang Allah beri. Ingat-ingatlah cubaan Allah kepada kita masa musim kemarau dahulu. Kat KL dan Selangor paling teruk. Air dicatu, nak air kena beratur dan tunggu lori air sampai. Lepas itu nak angkut naik ikut tangga atau naik lif ke kediaman kita. Seksa, seksa...

Cuma aku nak ingatkan korang dan diri aku sendiri….pastikan kawasan rumah tak ada air bertakung. Kalau dalam kolah itu biasa, bhai. Maksud aku, air bertakung dalam bekas-bekas makanan,  alas pasu bunga,  alas bawah peti ais. Check sekali kalau ada sampah daun-daun kering yang tersumbat kat salur air atas bumbung. 10 minit jer, seminggu sekali. Itu pesanan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban masa aku hadir program COMBI kat taman aku ini dua minggu lepas. Kata diorang dah 6 orang mati akibat demam denggi kat Seremban ini. Menakutkan. Walaupun ajal maut di tangan Allah,kita diminta beriktiar dan berdoa serta bertawakal. Demam denggi ini jangan dibuat main. Tak kena bolehlah sembang. Cuba korang tanya mereka yang pernah jadi mangsa, terutama demam denggi berdarah. Tobat tak mahu kena lagi. Nyawa antara hidup dan mati jer. Jadi, kalau demam, pergi cepat ke hospital, buat check darah.

Kali ini entri aku juga berkaitan dengan kesihatan dan hospital. Tapi cerita tok nenek kita di Klang, Telok dan Banting masa dulu-dulu. Orang Melayu ini kalau cerita pasal hospital dan makan ubat memang tak gemar. Kalau pergi sepital (hospital) maknanya nak pergi mati, hantar nyawa. Dari dulu sampai sekarang, dari atuk-atuk kita sampailah kat kita pun sama jer perangai, takut. Tengok doktor takut, tengok jarum apa lagi? Cuma bila masuk wad, tak mahu pulak keluar cepat walaupun dah sembuh... pasal jururawatnya comel-comel belaka. Hahahaha…

Masa British mula-mula masuk ke Selangor dahulu, memang Mat Saleh ini tak buat klinik atau hospital untuk rakyat jelata. Yang penting bagi mereka macam mana nak punggah hasil bumi Selangor dan Malaya seperti bijih timah,emas dan lain-lain keluar untuk dibawa balik ke England, tempat tinggal Opah Penyamun (Queen) itu. Tahap kesihatan rakyat yang dijajah tak masuk dalam buku diorang.Orang Melayu tetap ke bomoh dan dukun. Immigran Cina hanya berubat dengan ubat-ubatan tradisional Cina yang disediakan oleh Singseh di lombong-lombong mereka. Mereka( British) hanya bina hospital atau wad rawatan untuk pegawai-pegawai atasan Inggeris dan kaki tangan kulit putih berpangkat rendah. Biasanya dahulu hospital ini dibina bersebelahan rumah Residen atau Pegawai Daerah. Segala ubat-ubatan dibekalkan daripada ibupejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Kalau di Klang atau Kuala Langat, pegawai British yang sakit dan memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke Hospital Eropah (khas untuk orang puteh) di Bangsar atau di Kuala Lumpur.

Kemudian, apabila pendapatan negeri semakin kukuh, ditambah pula kemasukan immigran dari China dan India secara beramai-ramai, maka idea rawatan kesihatan untuk rakyat  mula diberi perhatian. Perhatian diberi kerana immigran ini asset mereka, untuk digunakan di estet dan lombong. Jadi, kalau anjing sekalipun mereka akan jaga kerana berguna untuk mereka, apatah lagi manusia miskin papa kedana yang dijanjikan kehidupan syurgawi di bumi asing ini. Mestilah mereka jaga! Takkan nak harapkan tenaga buruh orang Melayu untuk estet dan lombong? Bagi mereka orang Melayu ini pemalas. Ya..PEMALAS. kerana Tak mahu bekerja untuk cari duit lebih dan ubah cara hidup mereka. Mereka selesa dengan apa yang ada, bak kata Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu ketika dahulu apabila ditanya tentang sikap orang Melayu. Dalam gelak ketawa beliau berkata,” Orang Melayu cukup pandai menguruskan kemiskinannya”.  

Memang betul, ada kebenaran kata-katanya. Orang Melayu yang miskin ingat asal usulnya, ingat Tuhan yang menciptanya, Tahu bersyukur atas nikmat yang dikecapinya. Aku nak tambah sikit. Orang Melayu kalau dah kaya, nanti tak ingat lagi keluarga dan bangsanya. Sombong dan bongkak pakaiannya. Tapi kini, situasi dah terbalik. Yang miskin bangga dan sombong dengan kebodohannya manakala yang kaya pemurah dan membantu agamanya.

Oklah, balik kepada cerita sejarah hospital tadi, di sekitar Klang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Kuala Langat (termasuk Sepang) serta Kuala Selangor (termasuk Sabak Bernam) terdapat sebuah hospital penjara di Klang, sebuah hospital daerah, sebuah hospital di Quarantine Camp , Port Swettenham, sebuah hospital bersalin, sebuah hospital TB (Batuk Kering), sebuah klinik di Telok Datoh, Kuala Langat dan  lebih daripada 22 buah hospital estet pernah dibina dalam tempoh pemerintahan Inggeris dari tahun 1875 sehingga 1940.

Pada peringkat awalnya, persepsi orang-orang Melayu, terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman yang jauh dari pusat rawatan ini terhadap rawatan dan perubatan barat dan moden ini agak skeptikal. Namun selepas serangan demam malaria, disenteri,dan beri-beri, dan dengan penerangan oeh penghulu dan ketua kampung, mereka mula berubah. Ini semua penyakit-penyakit lama yang dah tak ada lagi di Malaysia. Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang penyakit-penyakit ini, google jer.
beri-beri

Kebanyakan yang pergi mendapatkan rawatan terdiri adalah anak-anak kecil yang menghidap masalah cacing, minta minyak ikan dan ubat kuning. Pil kuinin juga diedarkan kepada semua penduduk melalui Penghulu, hospital, balai polis, dan apa sahaja agensi kerajaan untuk mengelakkan demam malaria.

Jadi, seperti yang aku khabarkan tadi, aku akan ceritakan sejarah dan perkembangan setiap hospital dan klinik kerajaan ini satu persatu. So, apa lagi korang duduk, rileks dan biarkan jari jemari anda bermain di keyboard,ok?

Hospital Daerah Klang
Sebelum campurtangan British dan tahun-tahun awal pentadbiran penjajah ini di Selangor, telah wujud hospital atau rumah sakit seperti yang digambarkan oleh Muhammad Ibrahim Munshyi dalam buku memoirsnya, "Pelayaran Ibrahim Munshyi ke Klang" pada tahun 1872 dan gambaran oleh penulis British, Isabella Lucy Bird  dalam bukunya,
"The_Golden_Chersonese_and_the_Way_Thither" pada tahun 1879. Namun, mengikut catatan rasmi kerajaan, pada tahun 1892, Hospital Daerah Klang dibina di atas sebuah anak bukit berhampiran dengan bangunan-bangunan kerajaan dan perdagangan.Sebuah hospital asal bangunan kayu didirikan di Klang. Lokasinya di kaki bukit antara Jalan Kota (Fort Road) dan Jalan Istana (Sultan Street). Berhampiran dengan hospital ini, terdapat sebuah gereja Roman Katolik, serta sekolahnya (masih wujud sehingga kini).  Pegawai Perubatan (District Surgeon to the Coast District) pertama yang bertanggungjawab ke atas hospital ini ialah Dr.Watson diikuti oleh Dr. Reid (16/1/1908 hingga 25/3/1908) dan seterusnya Dr. Gerrard dan Dr. Millard. 
  

Sebenarnya, sistem perubatan dan kesihatan telah dijalankan sejak 1875 lagi. Ketika itu Klang mempunyai sebuah penjara. Di dalam penjara ini, terdapat sebuah hospital untuk banduan-banduan sahaja.Bekalan ubat-ubatan diperoleh daripada ibu pejabat Residen di Kuala Lumpur.Setelah itu, penjara Klang ditutup dan banduan-banduan dipindahkan ke Penjara Pudu yang telah siap dibina pada tahun 1896.


Pada tahun-tahun awal penubuhannya, penyakit yang paling banyak bilangan kesnya ialah Beri-beri, diikuti dengan lumpuh,penyakit mata, radang sendi .Beri-beri merupakan penyakit yang paling ketara dan menyebabkan banyak kematian. Kes-kes Cirit Birit, Penyakit Pernafasan dan Penyakit Kanak-kanak adalah kes-kes utama dirawat di hospital ini. Pada tahun-tahun seterusnya, kebanyakan pesakit dihospital ini masih dirawat kerana kes-kes Beri-beri,Malaria ,Batuk Kering (TB), Disentri dan Taun. Keadaan pesakit dalam keadaan kritikal ketika diterima masuk ke wad untuk rawatan. Ramai yang menemui ajal mereka ketika dirawat di sini.

Mengikut perangkaan pada tahun 1901, sebanyak 2789 pesakit luar dan 1822 pesakit dalam telah dirawat di hospital ini.  Daripada jumlah ini, seramai 1772 pesakit menghidap demam Malaria.(Rujuk jadual di atas). Pada masa itu ,mengikut perangkaan, penduduk Klang  adalah seramai 3576 orang, dengan bilangan rumah kediaman sebanyak 293 buah rumah. Keluasan Klang ketika itu sekitar  290 ekar. Terdapat 22 ekar kawasan paya,25 ekar hutan dara serta 60 ekar kawasan hutan belukar merupakan tempat terbaik untuk pembiakan nyamuk dan penularan demam malaria.

Pembukaan kawasan baru untuk estet dan pembangunan menjadikan Klang dan Port Swettenham menjadi tempat pembiakan nyamuk pertama di Malaya.  Baru dua bulan selepas pembukaannya, Pelabuhan Swettenham (nama lama Pelabuhan Klang)yang mempunyai 700 orang penduduk, daripada 49 kuarters kerajaan, 41 buah dikenalpasti dijangkiti Malaria. Kawasan yang diteroka tanpa sistem peparitan yang sempurna menyebabkan air bertakung dan nyamuk membiak. Namun, dengan usaha-usaha pencegahan dan rawatan yang berkesan daripada Doktor Watson, District Surgeon bagi daerah-daerah pantai Selangor (Klang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor) dan juga Pegawai Perubatan Hospital Klang, kadar kemasukan dan kematian ke hospital Klang akibat malaria berkurangan. Walaupun begitu, ancaman malaria ini tetap ada sehingga Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1907,  bangunan sementara wad rawatan khusus untuk pekerja-pekerja estet dijadikan wad tambahan tetap kepada wad-wad sedia ada. Pada tahun 1913, sebuah lagi wad baru dibina di hospital ini.. Kuarters doktor terletak setentang dengan Convent Roman Katolik di seberang jalan raya. 

Reka bentuk wad hospital ketika itu
Klang District Hospital 1951

Sekitar tahun 1930an, tahap kesihatan di daerah Klang adalah memuaskan. Namun, mutu perkhidmatan yang diberi amat mengecewakan.  Pada tahun 1958, orang ramai tidak berpuas hati dengan keadaan dan layanan kasar kakitangan terhadap pesakit di hospital Klang; siap dengan lembab dan langsung tak ada budi bahasa, ada yang kena maki hamundengan amah, dan jururawat gemok gedempol dalam wad...kih,kih,kih. Hal ini berkemungkinan keadaan sesak yang berlaku di wad-wad kerana ketika itu Hospital Daerah Klang ini merupakan satu-satunya hospital yang ada untuk 4 buah daerah (Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam )dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 250,000 orang. Bayangkan di hospital ini, cuma ada 280 katil,4 orang doktor bertugas, 2 doktor gigi. Ini bererti purata seorang doktor bagi setiap 75 ribu orang penduduk, sebuah katil untuk 1070 orang. Lebih teruk lagi, di wad pesakit luar, sebanyak 400 kes rawatan setiap hari. Tambahan pula pakaian pesakit wad didapati tidak menceriakan langsung; kasar, tidak 'dikloroks', dan panas. Terdapat hanya satu saiz dan tidak ‘feminin’ untuk pesakit perempuan.

Rungutan demi rungutan diterima. Untuk meredakan kemarahan orang ramai dan mungkin juga sebagai bahan politik ketika pilihanraya, pada tahun 1960,kerajaan berjanji akan membina sebuah hospital baru terbaik di Asia Tenggara dengan 600 buah katil. Rakyat termakan dengan janji manis kerajaan Perikatan masa itu. Namun, masalah semakin parah. Pada tahun 1962, bilangan doktor hanyalah 4 orang untuk kesemua wad dan terpaksa merawat 350 kes pesakit luar setiap hari sepanjang tahun. Untuk keseluruhan kawasan daerah pantai; Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam. Ramai doktor swasta dirayu berkhidmat di hospital ini secara separuh masa.


Dari segi infrastruktur , memang ada penambahbaikan. Bangunan asrama tambahan untuk 13 staff nurse dan dewan pembedahan tambahan dibina dengan belanja $5,000. Kerja-kerja pemulihan bangunan dilakukan setelah salah satu wad runtuh ketika 40 pesakit sedang dirawat yang kemungkinannya berpunca daripada masalah anai-anai . Kos pemulihan dianggarkan berjumlah RM30 ribu. Ketika itu Hospital Klang mempunyai 10 buah wad untuk keseluruhan 350 ribu orang penduduk. Pada tahun 1965, 8 unit kuarters baru dibina dihospital ini.

Pada tahun 1963, kerajaan mengumumkan sebuah hospital baru  4 tingkat dengan 600 katil serta 300 kaki tangan termasuk 120 orang jururawat,bernilai RM8 juta, hospital terbesar dia Asia Tenggara, akan dibina di tapak baru seluas 63 ekar di Jalan Langat. Sebagai bukti kesungguhan kerajaan terhadap janji tersebut, sebuah asrama untuk jururawat telah dibina disitu. Hospital baru kononnya akan siap sepenuhnya pada tahun 1966. Namun sekali lagi kerajaan Perikatan memungkiri janji pilihanrayanya sendiri. Tiada hospital baru.

Pada 1 Januari 1976, hospital ini telah dinaiktarafkan daripada Hospital Daerah Klang kepada Hospital Besar Klang dan diketuai oleh seorang Penguasa Perubatan. Walaupun dengan taraf barunya sebagai hospital besar, namun hospital ini masih mewarisi masalah yang berlarutan malahan reputasinya semakin membimbangkan:

The "old" Klang District Hospital near Istana Alam Shah was a place one would send his enemies to in case of an emergency. It was under-staffed, over-crowded and the facilities were wanting. Over the years, it made headlines for all the wrong reasons including the delivery of a baby in a garage meant for ambulances. Things were so bad that the late Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah made periodic visits to the hospital, unannounced to check on the conditions there. On each visit, I would find myself there and hear the dressing down he gave the hospital director. Even after becoming a "general hospital", it continued making news for wrong amputations and for plaster casts on the wrong leg. It was the Sultan’s concerted effort that brought about the brand new hospital in Jalan Banting in the eighties. Its status was upgraded and it is now called the Hospital Tengku Ampuan Rahimah, named after the Sultan’s wife.

Oleh kerana keuzuran bangunan hospital asal dan keperluan menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah serta untuk memperkenalkan perkhidmatan yang baru, (juga atas usaha dan desakan demi desakan daripada DYMM Sultan), maka sebuah hospital yang baru telah dibina di atas kawasan seluas 25.5 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM68.5 juta. Pembinaan peringkat pertama bermula pada 1 Jun 1979 dengan kerja-kerja menanam cerucuk.

Kerja-kerja peringkat kedua bermula pada 27 Oktober 1981 dan siap pada bulan Februari 1985. Bangunan hospital setinggi 9 tingkat ini terletak 3km dari pusat bandar Klang. 
Sementara itu, pada tahun 1981, masalah kekurangan doktor memaksa pembantu hospital menjalankan tugas merawat pesakit..hanya ada 9 orang doktor yang bertugas di hospital, klinik Shah Alam dan lain-lain tempat. Keadaan ini berlaku kerana ada doktor yang meletakkan jawatan dan tiada pengganti dihantar.Walaupun diarahkan, pembantu hospital ini agak keberatan untuk menjalankan tugas gentian ini dan tidak ingin dipersalahkan jika sesuatu yang buruk berlaku.

Pemindahan pesakit-pesakit ke hospital ini bermula pada April 1985. Semenjak 1 Mei 1985, semua perkhidmatan perubatan diuruskan di hospital ini kecuali perkhidmatan untuk pesakit Tibi dan Psikiatri yang terletak di tapak hospital lama. Pada permulaannya ia mempunyai 27 Wad dan 750 katil dan kini telah bertambah menjadi 29 Wad dan 831 katil. Hospital ini kini diketuai oleh Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah (Perubatan) dan Timbalan Pengarah (Pengurusan). Hospital ini memberi kemudahan kepada penduduk seramai lebih kurang 409,994 orang (perangkaan Jabatan Perangkaan Negara tahun 1991) khususnya kepada penduduk di bandar Klang, kawasan pedalaman (estet-estet dan kampung-kampung), perusahaan, lapangan terbang dan pulau-pulau berhampiran. Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran kepada kes-kes yang dirujuk daripada Hospital Banting, Tanjung Karang dan Sabak Bernam dan juga Klinik-klinik Swasta & Pusat-pusat Perubatan Swasta.

Hospital ini dinamakan Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan pembukaannya dirasmikan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj pada 2 September 1985. Nama ini kemudiannya telah diubah kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 1993. Menteri Kesihatan pada masa itu ialah Dato' Chin Hon Ngian. Untuk perkembangan terkini hospital ini, korang rujuklah laman web diorang, ya?

Tapak asal hospital Klang ini kini telah diubahsuai menjadi taman Bandar diraja Klang. Aku harap ada sejarahwan yang akan tampil mengimbau kembali zaman di mana tapak asal ini pernah menjadi saksi sejarah perkembangan perubatan di Klang khususnya, dan di Selangor amnya.





Aku rasa cukuplah ini untuk entri kali ini, penat wey! Jumpa lagilah di lain ketika. Jangan risau, nanti aku sambung lagi ceritanya, insyaAllah. Adios dan Wasalam, bro.

Rujukan:

http://htar.moh.gov.my/index.php/ms/mengenai-kami/profil/2013-09-18-17-43-13

Sickness and the state: health and illness in colonial Malaya, 1870-1940
Lenore Manderson. Cambridge: Cambridge University Press, 1996, 315 pp.,

Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries, and Resources 

https://www.mocavo.co.uk/

Rabu, 22 Oktober 2014

Pengangkutan Bas Awam di Klang dan Banting (1970-1990an)

Salam buat semua. Kepada yang baru datang melawat Ahlan Wa Sahlan. Arigato mas. Selamat Datang.  Sihat semuanya? Alhamdulillah. Semoga Allah melindungi kita dunia sampai akhirat. Aku tengah nak menyambung kisah pengangkutan awam di Telok, Banting dan Klang serta sekitarnya. Kisah aku dan generasi Baby Boomer (lahir selepas Perang Dunia Kedua) hidup merentas tahun-tahun 1960an, dan 70an. Kemudian lahir pula generasi X (lahir tahun 80an dan 90an) sehinggalah kini generasi Y (agaknya yang lahir lepas tahun 2000 kot?). Entah ya entah tidak sebutan aku tu, maklumlah orang kampung. Kalau korang belum baca entri aku yang lepas tentang  macam mana orang Telok, Klang dan Banting bergerak menjalani kehidupan mereka, baca kat sini, dan sinun.
Izinkan aku memulakannnya, ya?

Cerita pasal naik bas awam teringat aku zaman persekolahan  dan zaman bujang aku dahulu. Masa itu nak ke mana -mana pun naik bas. Pergi sekolah, pergi tengok wayang, pergi beli baju raya, mengurat pun naik bas. Naik teksi sekali sekala, pasal mahal. Itupun time musim durian, time tengah loaded. Kalau masa nak raya, terpaksalah naik teksi pasal tak sanggup nak bertolak-tolak ketika nak naik bas dan berhimpit-himpit berdiri dan bergayut dalam bas pasal terlalu penuh. Dah macam sardin dalam tin jer. Bau badan faham-faham jer lah. Hari dah petang, macam-macam bau keluar. Nasib baiklah masa itu tak ada Bangla dan Nepal. Kalau tidak….

Bas pula satu hal. Jalan ikut suka emak bapak drebar jer. Kita yang menunggu kat tepi jalan dah berpeluh-peluh, tak sampai-sampai. Makcik-makcik dan anak-anak dara pula dah mengeluh, mekap dah cair, dah kurang comel. (Macam ler sebelum bermekap rupa macam Neelofa atau Kris Dayanti, hehehe). Matahari dah meninggi, peluh dah mengalir, ketiak dah berpeluh, bau ketiak dah mewangi, batang hidung bas tak tiba-tiba. Bila muncul jer, penuh sepadat-padatnya. Tahan pun drebar buat tak tahu jer. Jalan terus siap bunyikan hon lagi. Dah lebih sejam menunggu, datang bas tak berhenti pula, kena tunggu sejam lagi. Memang hati time itu terbakar. Macam-macam benda kurang baik keluar. khas ditujukan buat drebar, syarikat bas. Penumpang-penumpang yang tak berdosa dan tak ada kena- mengena pun dapat sekali. Maklumlah hati tengah panas di bawah terik mentari pulak itu! Tapi yang menghairan aku, bila aku tak nak naik bas, kadang-kadang tak sampai lima minit bas baru lepas depan rumah aku, lalu pula seekor lagi, kosong pulak tu, hanya drebar, kondakter dan dua,tiga orang sahaja. Yang lain orang bunian yang tak kelihatan (kerusi jer). Entah apa hantu dah masuk dalam badan drebar dan kondakter bas itu aku pun tak tahu. Agaknya diorang ada share dalam syarikat bas emak abah diorang tu,kot? Lagipun nak cakap lebih-lebih tak boleh, pasal aku ini pun anak seorang kondaktor dan kemudiannya drebar bas. Kutuk punya kutuk kena batang hidung sendiri.

Teringat aku ketika arwah bapa aku jadi kondaktor bas di syarikat bas Kee Hup Omnibus Co. Bas Klang –KL warna merah putih dulu tu. Tiap-tiap hari aku tengok bapa aku bawa balik kutipan basnya untuk dikira sebelum dihantar ke pejabat syarikat keesokan harinya. Hari-hari juga aku tengok bapa aku buka ikatan tiket-tiket bas untuk dikira jumlah tiket yang terjual. Lepas kira ikat semula mengikut nilai tiket untuk shift kerja hari esok pulak. Berapa laku dan berapa kutipan direkodkan kedalam borang khas sebelum dihantar ke pejabat syarikat. Beratus-ratus ringgit juga ler jumlahnya. Yang aku hairan selamba jer bapa aku bawa duit cash tu. Tak risau langsung kalau dirompak orang. Mungkin Allah permudahkan kerana niatnya ikhlas untuk mencari sesuap nasi yang halal untuk diri dan keluarganya. Amin.


Pernah juga aku ke tempat kerjanya, menghantar nasi dan lauk kalau abah aku kerja overtime. Waktu itu aku baru jer berumur 10 tahun, dah pandai ke Klang sorang-sorang. Ramai juga kawan-kawan sekerja bapa aku yang aku kenal. drebar bas, kondakter, inspektor tiket dan station master. Lagipun arwah bapa aku memang pemurah orangnya. Time musim durian kat Telok, dia jemput semua kengkawan dia ke rumah untuk dijamunya dengan durian, manggis dan rambutan. Tak berkira sungguh. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmatNya ke atas roh kedua-dua ibu bapa aku dan roh kengkawan abah aku yang dah pergi.

Pernah juga bapa aku bawa aku dan kakak aku ikut rombongan sekolah Cina melawat dan melancong ke Kuala Lumpur pasal mereka sewa khas atau chartered bas syarikat bapa aku bekerja itu. Kalau tak salah aku, tahun itu tahun 1973. Itulah first time aku ke Kuala Lumpur seingat aku. Seronok sungguh. Kitaorang pergi melawat kilang buat minuman Kickapoo, Tugu Negara, Muzium Negara, dan Batu Caves. Ya…Batu Caves tempat Hindu pergi time Thaipusam itu. Aku panjat anak tangga yang beratus-ratus sampai ke dalam gua itu. Wah, bukan main besar dalam gua itu! Memang ada kuil hindu di situ, tapi fokus aku kat batu-batuan dalam gua. Sejuk dan agak kelam. Malam baru kami balik. Mungkin dari situlah aku memang berminat buat rombongan bawa anak-anak murid sekolah aku time cuti panjang… dari dulu sampai sekarang.

Kemudian bapa aku jadi drebar bas syarikat yang sama, masa itu aku dah tamat sekolah menengah sehingga 1989, masa dia berumur 51 tahun. Lepas itu bapa aku bawa teksi (permitnya sendiri) berulang alik dari Banting ke Klang sehinggalah  tahun 1998. Barulah dia betul-betul bersara dan kereta sewa itu adik aku pulak yang bawa selepas itu. Itulah kisah kerjaya bapa aku, aku (sekejap jer part time drebar teksi (1989-90) dan adik aku sebagai seorang pemandu kenderaan awam di Telok, Klang dan Banting suatu masa dahulu. Nostalgik sungguh.

OKlah seperti biasa aku nak beri info untuk korang, budak-budak universiti dan bebudak sekolah sejarah pengangkutan awam kawasan kita pada tahun-tahun 1970an sehinggalah akhir 1989. So, ambil mouse, copy pastekan maklumat-maklumat ini ke dalam research dan folio sejarah korang.

Pada tahun-tahun 1970an  sekali lagi berlaku rombakan dan pengagihan semula laluan bas untuk kawasan Klang termasuk Pelabuhan Klang , Kuala Selangor dan Banting. Hal ini kerana terdapat kawasan-kawasan petempatan baru yang diwujudkan akibat penghijrahan masuk secara beramai-ramai dari kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Semenanjung ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang termasuk di TPG. Pembukaan zon-zon perindustrian di Pelabuhan Klang, TPG, Shah Alam meujudkan permintaan yang tinggi terhadap pengangkutan awam terutamanya bas. Sepanjang tahun 1970an, perkembangan pengangkutan bas dan teksi serta kereta sewa begitu menguntungkan semua pihak, pengusaha dan pengguna. Inilah Zaman Kegemilangan Pengangkutan Awam di Klang. Bas-bas baru dan berhawa dingin diperkenalkan di beberapa laluan utama. Syarikat-syarikat baru seperti Kee Hup Omnibus Co. dan Kuala Selangor Omnibus Co. (KSOC) diberi permit untuk laluan-laluan baru dan lama. Sebagai contoh, KSOC diberi laluan asal KCOC (korang rujuklah entri aku yang lepas akronim ini) tetapi terhad hanya dari Klang ke Kuala Selangor dan kampung-kampung sekitarnya seperti tercatat di bawah:

Kenderaan Bas Mara pula diberi laluan-laluan sekitar Banting, Pelabuhan Klang, serta seluruh Klang Selatan.
Banting:
Banting-Klang-Banting
Banting-Chodoi-Banting
Banting-Tanjung Sepat-Banting
Banting-Dengkil-Banting

Klang (Beroperasi dari Stesen Bas Mara Klang Selatan)
Klang-Pelabuhan Klang-Klang
Klang-Kg.Delek-Klang
Klang-Jalan Yadi-Klang
Klang-Pandamaran-Klang
Klang-Taman Goodwood-Klang
Klang -Telok Gong
Klang-Telok Gadong
Klang-Telok Pulai

Syarikat bas Kee Hup Omnibus Co. pula diberi keizinan menjalankan operasi di sekitar Klang Utara menghala ke arah Kuala Lumpur termasuk Shah Alam, Jalan Klang Lama, dan Puchong:
Klang:(Beroperasi dari Stesen Bas Klang Utara)
Klang-Kl-Klang
Klang-Puchong-Klang
Klang-Kg.Jawa-Klang
Klang-Jln.Kebun-Klang
Klang- Bukit Kemuning-Klang
Klang-Air Kuning-Klang
Klang-Eng Ann Estate-Klang
Klang- Taman Berkeley-Klang
Klang-Padang Jawa-Klang



                             





 Wujud juga beberapa laluan yang bertindan terutama dalam bandar Klang. Laluan KL-Klang-Pelabuhan Klang kini dikongsi bersama KL-Klang-Port Swettenham Omnibus Co., Kee Hup Omnibus Co., Kenderaan Bas Mara, Sri Jaya. Syarikat-syarikat ini mesti menyediakan bas-bas ekspres untuk laluan baru ini. Bas-bas ekspres baru yang berhawa dingin dan selesa ini mesti beroperasi dari Stesen Bas Klang (yang telah dirasmikan pembukaannya pada tahun 1968)  di Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway) ke Klang dan kemudian terus ke Pelabuhan Klang. Beberapa hentian dibenarkan sepanjang laluan tersebut:
  • Pondok Bas berhampiran bangunan EPF di Petaling Jaya
  • Pondok Bas di Batu 10 Sungai Way
  • Stesen Bas Klang Utara (Bangunan Great Wall) di Jalan Pos Baharu
  • Stesen Bas Klang Selatan (Terminal Bas Mara)
  • Stesen Bas Pelabuhan Klang
Kemudian pada tahun 1975, Kenderaan Klang Banting Bhd (nama rasmi baru Kenderaan Bas Mara mulai 29 Disember 1973) memulakan  perkhidmatan bas ekspres (berhawa dingin) dari Kuala Lumpur-Klang-Banting dengan hentian-hentian yang sama seperti di atas dan hentian tambahan di TPG dengan nombor laluan 710. Perjalanan selesa sejauh 71 km dan memakan masa 2 jam 30 minit ini merupakan salah satu laluan yang paling menguntungkan kerana memenuhi kehendak pengguna. Sebanyak 14 buah bas baru digunakan untuk laluan ekspres ini pada awal penubuhannya.







Dari semasa ke semasa, beberapa laluan baru terhad dibuka. Antaranya:
  • laluan Klang-Rantau Panjang
  • laluan Klang Bandar Sulaiman
  • laluan Klang-Pendamar
  • laluan Klang-Sijangkang
  • laluan Banting-Seri Cheeding
  • laluan Banting-Jenjarom
Beberapa masalah mula timbul di peringkat akhir 80an. Beberapa kaji selidik pelajar-pelajar ITM dan universiti terhadap beberapa syarikat mendapati kelemahan dalam urustadbir syarikat, sumber manusia,strategi perkhidmatan dan logistik yang membawa kepada kerugian besar pengusaha-pengusaha bas ini, dan seterusnya pengambilalihan oleh konsortium baru yang diwujudkan oleh kerajaan. Antaranya:
  1. Persaingan dengan jenis-jenis kenderaan yang lain seperti teksi, kereta sewa, dan prebet sapu, bas kilang
  2. Kekurangan bilangan penumpang
  3. Kawasan dalam operasi kurang mendapat sambutan
  4. Kos operasi yang tinggi
  5. Bas yang kerap rosak
  6. Kelemahan dalam pentadbiran dan pengurusan
  7. Kurang kerjasama menyeluruh daripada pekerja: kurang mesra terhadap pengguna, lewat, tidak berdisiplin
  8. Perkhidmatan keseluruhan yang kurang memuaskan: rungutan orang ramai, keadaan bas yang kotor, bas penuh sesak, ketepatan masa perjalanan
  9. Bilangan bas yang tidak mencukupi
 Mereka  juga dicadangkan agar membuat perubahan terhadap permasalahan tersebut. Antaranya:
  • membaiki sistem penyimpanan rekod
  • memohon laluan baru  ke taman-taman perumahan yang baru dan hospital
  • menyediakan kemudahan untuk orang kurang upaya
  • meningkatkan  dan memperbanyakkan  perkhidmatan bas sekolah
  • memohon pondok bas daripada pihak berkuasa tempatan : MPK, Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Petaling
  • Latihan bagi pekerja-pekerja
  • memperbaiki keadaan di dalam dan luar bas
  • memperlengkap dan mempertingkat kawalan keselamatan bas, pejabat,pekerja
  • Penjagaan bas
  • Perekodan alat ganti dan minyak
  • memperteguh struktuk organisasi syarikat dengan bidang tugas dan skop kerja yang jelas
Tetapi aku rasa mereka tak ambil berat sangat cadangan budak-budak hingusan universiti itu. Kalau tidak, masakan kerajaan terpaksa merombak semula syarikat-syarikat yang hampir bangkrap ini kerana menanggung kerugian yang tinggi pada penghujung 1990an sehingga wujudnya Park May, Cityliner dan pemain-pemain baru seperti Ardentlink, Seranas, RapidKL, dan sebagainya. Stesen-stesen bas dan teksi/kereta sewa masih berselerak dan berterabur di Klang.Tapi itu semua cerita lain dalam entri yang lain pulak

Rujukan:

http://mohzoom.blogspot.com/

Berita Harian, 25 April 1970, Halaman 8
BAS MARA: SIKAP KASAR K-TANGAN DI-KESAL

http://www.mpklang.gov.my/pengangkutan-awam

May 1993, KENDERAAN KLANG BANTING BERHAD : A STUDY ON THE
SERVICE PERFORMANCE OF THE EXPRESS BANTING - KUALA
LUMPUR ROUTE AND HOW TO IMPROVE THE SERVICE,pdf.


November 1984, SYARIKAT BAS KUALA SELANGOR SENDIRIAN BERHAD
MASALAH, PENYELESAIAN DAN MASA DEPANNYA,pdf.


Sejarah Bas Awam di Klang dan Banting (1957-1969)


Salam buat semua. Kan aku dah katakan!  Korang mesti berminat nak baca lebih lanjut tentang perkembangan bas di Klang dan Banting,kan? Pasal itu korang ada kat sini! OK,OK...Aku sambung balik cerita aku semalam. Begini seterusnya ceritanya.....

Selepas merdeka, kerajaan mula memikirkan penglibatan kaum Melayu dalam pengangkutan bas awam ini. Dasar kerajaan mengkehendaki syarikat-syarikat sedia ada menjual sebahagian saham –saham mereka kepada pelabur Melayu. Antaranya:

Syarikat Sri Jaya ambil alih bas General Transport Company milik usahawan berbangsa Eropah (1935-1959) . Pada tahun 1959, KL-Klang-Port Swettenham Omnibus Co  menjadi milik Melayu.Syarikat bumiputera ini diberi permit untuk laluan sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, dan Port Swettenham. Perkhidmatan bas ekspres yang hanya berhenti di Sungai Way diperkenalkan. Syarikat bas awam ini menjalankan 11 trip sehari seawal 615 pagi sehingga 1045 malam.


Bermula 1960 sehingga 1963, banyak mogok dilakukan oleh pekerja-pekerja bas awam ini atas pelbagai dakwaan. Drebar dan kondaktor bas minta gaji lebih, cuti tahun lebih atau atas sebab penganiayaan majikan terhadap pekerja mereka yang dibuang kerja. Mogok mereka disokong sepenuhnya oleh MTUC, kesatuan pekerja pengangkutan Malaya. Akibatnya, pengguna yang menanggung seksa berhari-hari kerana ketiadaan bas untuk ke tempat kerja,pasar dan sebagainya. Sebagai contoh, mogok pekerja Syarikat bas KCOC di laluan Kuala Selangor-Klang-Banting. Ribuan pengguna terbabit. Akibatnya, penduduk terpaksa menaiki teksi, kereta sewa dengan tambang yang lebih mahal. Akhirnya, syarikat bas terpaksa akur dengan kehendak kesatuan.

Namun begitu, pengguna tetap memilih bas awam kerana tambangnya yang sememangnya murah. Pengguna keretapi KL-Klang dan Port Swettenham juga kini beralih ke perkhidmatan bas awam Ramai memilih bas berbanding keretapi kerana keretapi dari Kl- Port mengambil masa 2 jam,sedangkan jika menaiki bas  hanya sejam sahaja. Tambahan pula, perkhidmatan keretapi hanya sehingga jam 9.20 malam, terutamanya pada malam hujung minggu... susah jika ada function di KL.

Pada  1 Januari 1966,  syarikat bas Klang dan Pantai Selangor (KCOC) menamatkan perkhidmatan kerana mengalami kerugian besar akibat salahurus dan kompaun kerana tidak membayar cukai sebanyak RM72,000. Syarikat bas Klang and Coast Omnibus Company (KCOC) dipindah milik kepada Kenderaan  Bas Mara Selangor. Selepas pengkoporatannya, syarikat bas awam ini diberi nama Kenderaan Madah Bhd. Ltd. Penduduk Banting dan Klang serta Kuala Selangor mula melihat bas berwajah baru di kawasan mereka. Laluan baru di sekitar Banting diwujudkan untuk memberi kemudahan pengangkutan awam ke Morib, Klanang, Kanchong Darat,Permatang Pasir, Sg Buaya dari  pekan Banting. Perkhidmatan bas sekitar Banting bermula dengan hanya 12 buah bas sahaja.


Namun kegembiraan orang ramai sekitar Banting dengan perkhidmatan bas milik orang Melayu hanyalah sementara. Pelbagai rungutan timbul akibat sikap drebar dan kondaktor bas dan ketidakcekapan pihak pengurusan syarikat memenuhi tuntutan pengguna. Antaranya:
  Bas datang tidak mengikut jadual perjalanan, bas tidak kerap masuk, masa perjalanan ikut suka drebar sahaja
  Kakitangan syarikat terutama drebar dan kondaktor bas yang kerap bergaduh dengan penumpang.Layanan kasar terhadap pengguna bas mereka.
  Pemanduan yang membahayakan keselamatan pengguna dan penumpang
  Banyak kerosakan bas ketika perjalanan akibat penyelenggaraan kenderaan yang tidak mengikut jadual.
  Tempoh masa yang lama untuk mendapatkan bas gantian.
  Keadaan dalam bas yang kotor dan tidak dibersihkan.
  Jumlah bas yang tidak mencukupi berbanding bilangan penduduk di sesetengah kawasan.

Namun, pihak pengurusan syarikat meletakkan kesalahan kepada pihak lain dengan alas an jalan raya yang rosak dan berlubang-lubang di laluan Banting- Permatang Pasir- Sungai Buaya dan keselamatan pekerjanya akibat dipukul penduduk di Kg. Batu 8 Sijangkang. Akibatnya, perkhidmatan ke kawasan-kawasan tersebut dihentikan pada lewat tahun 1960an. Justeru, ramai penduduk merungut kerana terpaksa membayar lebih untuk tambang teksi ke Banting. Penduduk juga terpaksa menggunakan perkhidmatan prebet sapu (kenderaan persendirian) yang pasti mengenakan tambang sesuka hati mereka. Pada hakikatnya, perniagaan Bas Mara ini tidak menguntungkan,tetapi lebih kepada perkhidmatan agensi kerajaan itu kepada keselesaan penduduk luar bandar dan bagi memastikan penguasaan bumiputera dalam bidang pengangkutan berjaya.


Pada tahun 1968, Sharikat kenderaan Bas Bersatu Maju, sebuah syarikat milik bumiputera  diberi permit untuk laluan Kapar ke Meru, sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas Mara di situ.
Pada 1969, selepas Tragedi 13 Mei, terdapat gangguan masa perkhidmatan bas. Semua bas mesti menghentikan perkhidmatan bas mereka sebelum 6.30 petang kerana perintah berkurung di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang. Keadaan pulih seperti biasa selepas itu.

Rujukan:
The Straits Times, 14 Julai 1964, Halaman 14
COOL COMFORT FOR THE TOURIST

Berita Harian, 13 September 1964, Halaman 1
$100,000 lagi untok Nona Lai Yoke Heong

The Straits Times, 21 Julai 1966, Halaman 11
$6,500 award to girl injured by bus

Berita Harian, 11 September 1967, Halaman 5
Bas2 MARA: Lima kampong terlibat



Selasa, 21 Oktober 2014

Pengangkutan Awam di Klang dan Banting (1882-1957)

Salam buat semua.
Minggu ini seminggu aku bercuti. Cuti sempena Raya Hindu a.k.a Hari Deepavali dan Awal Muharam 1436H. Korang bayangkan duduk di rumah tak buat apa-apa selama seminggu…BORING! Korang kata seronok bercuti panjang? Bayangkan…dalam setahun ada 365 hari,kan? Aku cuma bekerja  solid 180 hari sahaja, tak termasuk cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu. Kalau campur cuti Rehat Khas kerajaan selama 7 hari setahun dan MC yang doktor beri (atau aku yang minta), tak sampai 6 bulan aku bekerja, itu pun bekerja Cuma setengah hari sahaja. Tak sampai pun 6 jam. Wah, mesti korang jealous dengar cerita aku yang terlalu banyak cuti dalam hidup ini,kan? Hahaha…itulah nasib seorang cikgu masa kini.. Isk,isk,isk (menangis konon!)

Tapi korang kena ingat…jadi cikgu atau pendidik ini kena kuat mental, maklum ler berdepan dengan kerenah beratus-ratus manusia (banyak kelas), pelbagai ragam. Lepas itu kena pulak semak kerja-kerja sekolah dan kerja rumah budak-budak ini. Lepas itu, terpaksa pula marah-marahkan budak yang tak siapkan kerja rumah, budak ponteng, jaga kesihatan murid-murid, dan berbagai-bagai bagai lagi. Pendek kata, kitaoranglah emak abah bebudak ini selama mana mereka di sekolah…bayangkan kerja enam jam tapi solid dengan masalah! Lepas itu segala kerja yang tak dapat disiapkan di sekolah, kami terpaksa bawa balik ke rumah. Kitaorang kerja tak boleh bertangguh. Kerja hari ini, habiskan hari ini juga…atau paling lewat esok. Tak macam penjawat awam lainnya..fail bertimbun atas meja masih boleh turun minum berjam-jam di kantin.  Oooops..maaf ya. TERmengumpat pulak.

Nak jalan bercuti..isyy..,malaslah. Tak sampai sebulan lagi dah bercuti panjang. Masa itu jalan sakan ler. Jalan, makan, tidur selama sebulan setengah bercuti panjang sehingga awal tahun depan. Tapi dalam keadaan harga petrol dah naik ini, semuanya perlu berkira. Hanya yang perlu-perlu sahaja.  Rasa-rasanya lepas ini terpaksalah aku anak beranak beratur panjang naik bas kalau nak ke mana-mana, macam dulu-dulu. Nostalgik sungguh masa itu.

Jadi, aku pun cari dan rayau (kata omputeh, surfing) dalam internet cari bahan-bahan tentang sejarah pengangkutan bas dan kenderaan awam yang lain di sekitar Banting, Klang, dan  kawasan sekitarnya. Kalau korang baca pasti korang surprise pasal banyak things that we take for granted sebenarnya suatu nikmat atau kesenangan yang tak dikecapi oleh orang lain di mana-mana tempat sama ada di Malaya, Malaysia atau di dunia umumnya. Nak tahu? Teruskan membaca. Seperti biasa, aku skemakan sikit penulisan ini untuk rujukan bebudak sekolah dan universiti yang nak copy dan paste cerita kat sini  untuk projek Sejarah atau Geografi diorang. So,sit back, relax and enjoy the reading. Ceritanya begini……

Kisah bermula hidup orang kampong. Ramai migran dari China dan India datang ke Malaya untuk berkampung. Ramai yang datang itu nak cari rezeki. Dah lama duduk, ada juga teringin nak berbini. Ek Eleh…dah macam lirik lagu Ke Jolobak ke Jelebu pula bunyinya, kih,kih,kih….

Kuala Lumpur, Klang, Kuala Selangor semakin berkembang. Penduduk semakin ramai. Pengangkutan awam untuk bergerak ke sana ke mari bagi tujuan perniagaan, belajar atau apa sahaja perlu disediakan. Tak cukup dengan kereta lembu, kereta kuda atau lanca dan beca. Kenderaan yang boleh membawa ramai orang dan barangan diperlukan. Masa itu, kira-kita pada tahun 1882, kereta api diperkenalkan di Kuala Lumpur, Klang. Tujuan utama British bukanlah sangat nak bawa orang, tapi nak punggah hasil samun khazanah negara kita untuk dibawa ke England, dengan perkenan Sultan..Pelik bukan? Penyamun minta izin tuan rumah untuk angkut keluar harta samun itu. Itulah hakikat penjajahan secara halus yang dijalankan atas nama Penasihat kepada Sultan. Masa itu bijih timah diangkut guna keretapi sampai ke Klang, tempat kapal wap berlabuh sebelum belayar ke England, tempat asal penyamun Inggeris ini. So, nak kaburkan niat jahat diorang, pengangkutan awam menggunakan keretapi dilancarkan. Dua tiga koc atau gerabak untuk penumpang, selebihnya gerabak barangan. Selepas itu, pada tahun 1901, barulah pelabuhan baru yang dikenali sebagai Port Swettenham dibina di Kuala Klang.

Korang tengok jadual sejarah pembinaan laluan keretapi ke Bukit Kuda, Klang, Port Swettenham (nama lama Pelabuhan Klang sempena nama residen Inggeris, Frank Swettenham), Kapar, dan seterusnya ke Kuala Selangor seperti tertulis di bawah ini:

Peringkat
Tarikh
Stesen Asal
Stesen Baru
Jarak (dlm batu dan rantai)
1
15th September 1886        
Kuala Lumpur           
Bukit Kuda    
19-40*

2
15th September 1890      
Bukit Kuda                    
Klang  
 3-00*


Kuala Lumpur                
 Klang                              
21-37
3
1st January 1899              
Klang      
Port Swettenham              
                 5-40

4
1st February 1913            
Connaught Bridge Jn      
Kapar  
11-62
5
1st June 1913                    
Kapar  
Jeram  
 7-63
6
1st September 1913          
 Jeram                              
 Assam Jawa                      
 5-47

7
15th February 1914          
Assam Jawa                  

Kuala Selangor                
 4-36
  




Masa itu, keretapi menyediakan ‘motor coaches’ untuk mengangkut manusia  berulang alik beberapa kali dalam sehari, mengikut jadual yang disediakan. Maka, ramailah orang bergerak ke destinasi masing-masing dengan keretapi. Nak ke Kuala Lumpur kini dah tak ada masalah, nak turun ke Klang atas urusan perniagaan atau ke pejabat kerajaan, tak ada hal. Semuanya beres. Jadi ,kehidupan orang Kuala Lumpur, Klang, Kuala Selangor kini mudah dan pantas. Perkhidmatan ‘railway motor coaches’ dari Kuala Lumpur, Klang ke Kuala Selangor (umpama kommuter sekarang) bermula dari tahun 1915 hingga 1924.

 




Tambahan pula, keretapi juga menyediakan perkhidmatan kereta, ‘bas mini’ awam serta kereta mel (untuk urusan pos):

  In June 1907 a service was started along the 28 miles of good road between Klang
 station on the Port Swettenham to Kuala Lumpor line to Kuala Selangor, a route
 bordered by many miles of rubber estates. The service started with 18 h.p.Milnes-    Daimlers but soon these proved to be too small and were substituted with larger 28 / 32 h.p. models fitted with 35 seat charabanc style bodies of angle iron construction with garden seats and long canopies etc.built at central railway workshops.
       






           



Untuk penduduk di kawasan laluan Klang ke Jugra (termasuk TPG), perkhidmatan 'bas mini'  dan lori ini menggantikan kereta lembu mulai tahun 1913.

 Selepas tahun 1925, perkhidmatan motor coach ini dihentikan, bukan kerana tiada sambutan, tetapi kerana banyak berlaku kerosakan mekanikal gerabak-gerabak tersebut.  Perkhidmatan keretapi mel dan barangan masih diteruskan. Dalam ketiadaan perkhidmatan tersebut,antara 1925 hingga 1937, pengangkutan ‘bas mini’ dan teksi swasta atau prebet sapu wujud bagi memenuhi permintaan pengguna masa itu.

...before the Second World War there was no such thing as public service vehicles.
Those who owned vehicles would convert it into a carriage and operate like buses and these vehicles, according to Tan, were called Mosquito Buses. The British colonists saw the need to regulate these vehicles and hence laws were passed and the hackney carriages were the first to emerge.
“Slowly, the bus industry evolved and more and more bus operators came into existence, Len Chee, Tong Fong, Leng Seng, Foh Hup, and Sri Jaya” he said.

Pada tahun 1937, pemerintah Inggeris memikirkan keperluan untuk mengadakan sistem pengangkutan awam yang lebih teratur dan sistematik. Maka lahirlah industri pengangkutan bas dan teksi awam. Pelbagai syarikat bas awam ditubuhkan. Sudah semestinya pengusaha bas awam ini rata-rata berbangsa Cina. Sebenarnya, sebelum  itu semua pengusaha bas mini dan teksi sapu ini dipanggil oleh pihak kerajaan untuk menyatakan persetujuan terhadap perancangan kerajaan ini. Mereka ditanya permasalahan berhubung kegiatan mereka. Ramai yang menyatakan mereka kerugian kerana persaingan sengit sesame mereka berebut penumpang. Jadi, persetujuan mereka terhadap rancangan mewujudkan rangkaian bas awam dan teksi  kerana kesemua pengusaha yang berminat diminta membentuk konsortium. Semua pihak berpuas hati.

 Maka, terbentuklah berbagai-bagai syarikat bas awam untuk memberi perkhidmatan mereka di kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur, Klang dan daerah pesisir pantai Selangor termasuk Kuala Selangor dan Kuala Langat. Rata-rata konsortium ini menggunakan nama  Inggeris dan Bahasa Cina untuk pendaftaran syarikat mereka. Nama-nama  Inggeris seperti  Kuala Lumpur, Klang, Port Swettenham Omnibus Company, Klang and Coast Omnibus Company dan  Selangor Omnibus Company.
Syarikat-syarikat lain yang menggunakan nama-nama kecinaan seperti  Len Seng, Tong Fong, Foh Hup, Kee Hup sebagai pendaftaran syarikat mereka. Untuk makluman , ‘Len’ dan ‘Hup’ bermaksud ‘Union’ atau kesatuan dalam bahasa Cina. Kesemua syarikat bas awam ini beribupejabat di Kuala Lumpur.

Laluan Kuala Lumpur- Klang- Port Swettenham, permit diberi kepada Kuala Lumpur, Klang, Port Swettenham Omnibus Company,
Laluan Kuala Selangor-Klang- Banting diberikan kepada Klang and Coast Omnibus Company
 Laluan Kuala Selangor- Kuala Lumpur oleh Selangor OmnibusCompany.

Established in 1937, Selangor Omnibus was the first bus operator in the country and has managed to survive all this while with only the KL-Kuala Selangor route which is exclusive to it.

Pada awal penubuhan, bas-bas pendek (bas mini) bagi membawa 5-6 orang. Kemudian bas dengan 22 tempat duduk diperkenalkan. Tambang bas dari Kuala Lumpur ke Klang sebanyak 60 sen manakala ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang) sebanyak 56 sen dikenakan.





Tetapi ada juga kelemahan pengurusan bas awam ini termasuk yang melibatkan kemalangan maut.
Dalam bulan  Disember 1941  sebuah bas terbalik dekat Kapar mengakibatkan 7  orang penumpang mati. Banyak juga rungutan awam tentang bas membawa muatan penumpang melebihi bilangan yang dibenarkan. Ada juga peningkatan dalam perkhidmatan yang disukai pengguna seperti mulai tahun 1948 bas dengan radio mula beroperasi di laluan KL-Klang- Port Swettenham. Ramai pengguna sukakannya sehingga mereka sanggup menunggu lama untuk menaiki bas berradio ini walaupun bas biasa ada.

Selepas merdeka, kerajaan mula memikirkan penglibatan kaum Melayu dalam pengangkutan bas awam ini. Dasar kerajaan mengkehendaki syarikat-syarikat sedia ada menjual sebahagian saham –saham mereka kepada pelabur Melayu. Antaranya:..... OKlah, yang itu cerita lain. Nak tahu sambungan cerita ini..bacalah entri aku yang akan datang.. Berhati-hati di jalan raya Ingatlah orang yang tersayang dan malaikat maut sebelum Allah menjemput kita kembali... Assalamualaikum.

Rujukan:
The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 30 September 1937, Halaman 8
Rs & was Saying

The Straits Times, 2 Oktober 1937, Halaman 12, 
BIG MODERN BUSES TO REPLACE OLD HIRE-CARS F.MS.

The Straits Times, 14 September 1941, Halaman 8
A.I.F. CORPORAL FINED ON DRIVING CHARGE

The Straits Times, 4 Ogos 1955, Halaman 8
THE BUS THAT LISTED HAD 34 TOO MANY

Federated Malay States Railways. Road Motor Services 1910, pdf.. 


Seronoknya Berhari Raya di Klang.....Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Atok muncul lagi. Hehehe...Sengaja Atok sambung balik cerita Atok hari itu pasal Puasa dan Raya. Orang Melayu ini berbeza ...