Khamis, 21 November 2013

Kenali Orang Asli Sekitar TPG

Kali ini cerita aku berkisar Orang Asli. Sejak dahulu lagi, hubungan  penduduk TPG dan Orang Asli telah wujud. Pertama, ketika kaum pendatang Aceh yang memilih untuk menetap di Nibong Dengkil (nama asal Telok Panglima Garang). Mereka dapati sekumpulan orang Asli telah menetap di situ terlebih dahulu. Memandangkan kaum Aceh ini bertegas untuk mendirikan perkampungan mereka disitu, maka pertengkaran dengan kaum asli berlaku. Memang sifat orang asli yang merupakan kaum non violence, maka mereka beralah dan berundur menyusuri Sungai Langat  hinggalah ke Bukit Tampoi, berdekatan pekan Dengkil sekarang.

Kedua, ketika pihak Inggeris menghantar jurupandu Orang Asli bagi merintis jalan darat membelah hutan dari Jugra ke Klang melalui Telok Panglima Garang. Seterusnya ada juga anak-anak Orang Asli Pulau Carey yang bekerja dengan towkay-towkay Cina menjual ikan yang baru didaratkan di pekan Telok setiap petang, atau menjaga kebun- kebun mereka. Aku pernah melihat ramai orang Asli Pulau Carey yang berjalan kaki semata-mata untuk ke pasar malam setiap hari Selasa di pekan Telok. Memang boleh dikenal mereka berdasarkan dressing mereka yang ketara berbeza. Mereka ini lebih banyak berdiam diri. Jadi,sosialisasi dengan pendududuk Telok agak minimum dan terbatas pada urusniaga. Konotasi negatif seperti Sakai, Jakun dan Gonjeng menyisihkan lagi hubungan mereka dan kita.

Secara peribadi, hubungan aku dengan mereka ketika aku masuk ke Bukit Kemandol untuk meraih durian. Itulah kali pertama aku dan adik aku ke perkampungan orang Asli. Aku berasa kurang selesa seolah-olah mereka ini kaum kanibal yang menanti masa yang sesuai untuk menangkap aku sabagai lauk makan malam mereka. Itu tanggapan aku ketika itu. Aku lihat rumah-rumah mereka kecil dan ringkas sahaja, secara berkelompok di bawah rimbunan pokok-pokok hutan yang tinggi menjulang. Namun aku sembunyikan ketakutan aku dan bertanya kalau-kalau mereka ingin menjual durian kepada kami. Mereka kata mereka sudah ada pembeli atau peraih tetap iaitu towkey Cina yang kerap ke sana untuk berniaga. Jadi, aku dan adik aku pun segera beredar dari situ.







Kemudian, ketika aku bertugas di SMK Jugra. Ketika itu terdapat beberapa orang anak Orang Asli Kelanang yang bersekolah di situ. Sebagai guru disiplin, aku dapati mereka kerap dibuli oleh budak-budak Melayu. Sifat mereka yang pendiam menyukarkan aku menyelesaikan masalah buli. Jadi aku gunakan teknik psikologi untuk membuatkan mereka mahu bekerjasama dengan aku. Setelah disiasat, mereka ini diugut supaya menyerahkan wang saku yang mereka peroleh dari JAKOA. Aku beri amaran keras dan terakhir kepada pembuli-pembuli itu termasuk seorang budak perempuan. Sejak hari itu, pelajar-pelajar Orang Asli itu sudah boleh tersenyum dan mula berkomunikasi dengan aku.

Sebenarnya, banyak petempatan Orang Asli di sekitar Telok ini iaitu di Tanjung Dua Belas dan yang paling hampir ialah di Pulau Carey.Dahulu, untuk ke Pulau Carey, pihak estet di situ menyediakan feri untuk menyeberang. Kemudian  pada awal 80-an jambatan dibina. Tiada lagi perkhidmatan feri ke sana. Kesemua lima buah perkampungan di Pulau Carey yang diduduki oleh masyarakat peribumi telah diwartakan sebagai rizab Orang Asli. Kampung Sungai Bumbun berkeluasan 140 hektar (ha) dengan jumlah keseluruhan penduduk 317 orang (169 orang lelaki dan 148 orang perempuan) dan terdiri daripada 65 buah keluarga. Aktiviti utama penduduk di sini ialah pertanian terutamanya tanaman kelapa sawit (127 ha), kelapa (4.5 ha) dan dusun buah-buahan (2.0 ha).

Kampung Sungai Rambai pula berkeluasan 40.4 ha. Jumlah keseluruhan penduduk ialah 44 orang (22 lelaki dan 22 perempuan) dengan 10 buah keluarga. Kemudahan sosial yang terdapat di sini adalah tabika, jalan tanah merah dan jalan tar. Aktiviti ekonomi utama penduduk ialah pertanian (82.0% daripada guna tanah
keseluruhan) dengan tanaman utamanya ialah kelapa sawit (31.1 ha) dan kelapa (2.0 ha).

Kampung Kepau Laut pula berkeluasan 146.0 ha dengan status tanah seperti berikut: 82.0 ha adalah tanah kerajaan dan 64.0 ha lagi merupakan hutan simpan. Kampung ini mempunyai penduduk seramai 103 orang (53 lelaki dan 50 perempuan) dengan 20 buah keluarga. Antara kemudahan asas yang terdapat di sini ialah dewan serbaguna, surau dan jalan tanah merah. Pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama penduduk (46.6% daripada guna tanah keseluruhan) dengan tanaman seperti kelapa sawit (40.5 ha) dan kelapa (6.1 ha).






Mukim Tanjung 12. iaitu mukim bersebelahan dengan mukim TPG, membabitkan tujuh buah kampung yang diwartakan dalam Hutan Simpan Kuala Langat Utara iaitu Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol. Akses ke kawasan perkampungan mereka melalui Jalan Klang-Banting dan seterusnya melalui kampung-kampung dalam mukim Telok Panglima Garang. Sememangnya di Telok terdapat pejabat renjer hutan simpan tersebut sejak dahulu lagi.


Tanah-tanah tersebut merupakan tanah warisan, tanah adat dan tanah rayau kepada kira-kira 4,000 penduduk Orang Asli Temuan sejak ratusan tahun lalu dan telah diwartakan sebagai tanah simpanan Sakai sejak 1927 selain merupakan kawasan penempatan utama suku Temuan di negara ini. Difahamkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada 25 Januari tahun lalu telah mengeluarkan pengesahan bahawa Mukim Tanjung 12 adalah kawasan Orang Asli berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 November 1965...

Satu kajian mengenai Pergantungan Masyarakat Setempat (Orang Asli) Ke Atas Hasil Hutan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Selangor menunjukkan maklumat mengenai kepelbagaian spesies tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang dikutip disekitar kawasan hutan yang berhampiran dengan penempatan responden. Hasil-hasil kutipan adalah dari spesies tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pokok-pokok buah, hasil kayu dan tumbuhan herba untuk kegunaan sendiri atau untuk jualan. Terdapat juga kumpulan kecil haiwan tangkapan yang terdiri daripada mamalia dan pelbagai spesies hidupan laut. Hasil kajian
mendapati kesemua hasil kutipan dijual kepada orang tengah atau peraih. Hal ini menunjukkan kebanyakan responden hanya memperoleh hasil seperti ayam hutan, babi hutan dan monyet untuk hasil hutan di Negeri Selangor manakala udang merupakan jenis hasil sungai yang paling tinggi

Walaupun kini kerajaan banyak membantu kaum asli ini untuk bersama-sama rakyat, namun untuk menukar budaya dan persepsi world view  mereka terhadap kemajuan dalam arus pembangunan agak sukar. Sebagai contoh, ramai di antara pelajar kaum ini tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran mereka.
Mereka akan ponteng sekolah sekiranya ada keperluan untuk mengopek udang ketika musim. Ini melibatkan anak-anak yang berada di sekolah rendah. Bagi anak-anak yang belajar di peringkat sekolah menengah pula ada yang berkahwin seawal tingkatan 1 iaitu berumur 13 tahun.menjadikan mereka golongan muda yang beranak kecil. Apa yang lebih menyedihkan ialah ada juga di antara mereka bercerai ketika umur baru 20 tahun.

Rata-rata mereka di kampung yang dikunjungi mempunyai rumah batu yang mempunyai kelengkapan asas yang agak lengkap namun yang pelik ialah mereka tetap membina rumah atap dan mereka lebih gemar tinggal di situ daripada rumah batu yang di bina. Kehidupan separuh daripada mereka masih lagi daif . Rumah bantuan kerajaan yang sempit untuk keluarga yangg besar . Ada juga rumah yang kalau tiada rumah bantuan kerajaan , maka mereka akan duduk dalam wakaf yang berbumbungkan nipah atau  tanpa dinding tanpa dapur , tanpa tandas. Tapi ada sebahagian daripada mereka sudah mula bekerja untuk syarikat kerajaan , swasta , kelapa sawit dan nelayan . Boleh kata hidup agak senang. Bagi mereka, kehidupan daif itu biasa , masih boleh makan dan hidup meereka amat berdikari , tidak bergantung kepada orang lain. Orang asli wanita biasanya menjadi suri rumah dan mereka gemar sekali berkebun dan menanam bunga . 

rujukan:

Seronoknya Berhari Raya di Klang.....Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Atok muncul lagi. Hehehe...Sengaja Atok sambung balik cerita Atok hari itu pasal Puasa dan Raya. Orang Melayu ini berbeza ...