Ahad, 2 November 2014

Sejarah Hospital Klang

Salam buat semua. Harap semua dalam keadaan sihat walafiat. Aku nak berpesan sikit, jaga kesihatan diri. Maklumlah sekarang musim hujan. Kalau kat Seremban ini, hari-hari hujan, lebat siap dengan kilat petir. Syukur ke hadrat Allah swt atas nikmat hujan yang diberi. Jangan sesekali mengeluh. Hujan ini bukan untuk kita manusia sahaja. Hujan ini untuk semua makhluk kerana Allah itu Rabbul ‘Alamin, Tuhan Sekelian Alam. Namun, tidak dapat ditolak Allah juga mendatangkan ujian buat kita ketika musim-musim hujan sebegini. Demam, selsema, lelah, baju tak kering, orang kampong tak boleh pergi menoreh getah, nak pergi kerja pun susah. Itu semua kecil jer, bhai berbanding nikmat yang Allah beri. Ingat-ingatlah cubaan Allah kepada kita masa musim kemarau dahulu. Kat KL dan Selangor paling teruk. Air dicatu, nak air kena beratur dan tunggu lori air sampai. Lepas itu nak angkut naik ikut tangga atau naik lif ke kediaman kita. Seksa, seksa...

Cuma aku nak ingatkan korang dan diri aku sendiri….pastikan kawasan rumah tak ada air bertakung. Kalau dalam kolah itu biasa, bhai. Maksud aku, air bertakung dalam bekas-bekas makanan,  alas pasu bunga,  alas bawah peti ais. Check sekali kalau ada sampah daun-daun kering yang tersumbat kat salur air atas bumbung. 10 minit jer, seminggu sekali. Itu pesanan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban masa aku hadir program COMBI kat taman aku ini dua minggu lepas. Kata diorang dah 6 orang mati akibat demam denggi kat Seremban ini. Menakutkan. Walaupun ajal maut di tangan Allah,kita diminta beriktiar dan berdoa serta bertawakal. Demam denggi ini jangan dibuat main. Tak kena bolehlah sembang. Cuba korang tanya mereka yang pernah jadi mangsa, terutama demam denggi berdarah. Tobat tak mahu kena lagi. Nyawa antara hidup dan mati jer. Jadi, kalau demam, pergi cepat ke hospital, buat check darah.

Kali ini entri aku juga berkaitan dengan kesihatan dan hospital. Tapi cerita tok nenek kita di Klang, Telok dan Banting masa dulu-dulu. Orang Melayu ini kalau cerita pasal hospital dan makan ubat memang tak gemar. Kalau pergi sepital (hospital) maknanya nak pergi mati, hantar nyawa. Dari dulu sampai sekarang, dari atuk-atuk kita sampailah kat kita pun sama jer perangai, takut. Tengok doktor takut, tengok jarum apa lagi? Cuma bila masuk wad, tak mahu pulak keluar cepat walaupun dah sembuh... pasal jururawatnya comel-comel belaka. Hahahaha…

Masa British mula-mula masuk ke Selangor dahulu, memang Mat Saleh ini tak buat klinik atau hospital untuk rakyat jelata. Yang penting bagi mereka macam mana nak punggah hasil bumi Selangor dan Malaya seperti bijih timah,emas dan lain-lain keluar untuk dibawa balik ke England, tempat tinggal Opah Penyamun (Queen) itu. Tahap kesihatan rakyat yang dijajah tak masuk dalam buku diorang.Orang Melayu tetap ke bomoh dan dukun. Immigran Cina hanya berubat dengan ubat-ubatan tradisional Cina yang disediakan oleh Singseh di lombong-lombong mereka. Mereka( British) hanya bina hospital atau wad rawatan untuk pegawai-pegawai atasan Inggeris dan kaki tangan kulit putih berpangkat rendah. Biasanya dahulu hospital ini dibina bersebelahan rumah Residen atau Pegawai Daerah. Segala ubat-ubatan dibekalkan daripada ibupejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Kalau di Klang atau Kuala Langat, pegawai British yang sakit dan memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke Hospital Eropah (khas untuk orang puteh) di Bangsar atau di Kuala Lumpur.

Kemudian, apabila pendapatan negeri semakin kukuh, ditambah pula kemasukan immigran dari China dan India secara beramai-ramai, maka idea rawatan kesihatan untuk rakyat  mula diberi perhatian. Perhatian diberi kerana immigran ini asset mereka, untuk digunakan di estet dan lombong. Jadi, kalau anjing sekalipun mereka akan jaga kerana berguna untuk mereka, apatah lagi manusia miskin papa kedana yang dijanjikan kehidupan syurgawi di bumi asing ini. Mestilah mereka jaga! Takkan nak harapkan tenaga buruh orang Melayu untuk estet dan lombong? Bagi mereka orang Melayu ini pemalas. Ya..PEMALAS. kerana Tak mahu bekerja untuk cari duit lebih dan ubah cara hidup mereka. Mereka selesa dengan apa yang ada, bak kata Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu ketika dahulu apabila ditanya tentang sikap orang Melayu. Dalam gelak ketawa beliau berkata,” Orang Melayu cukup pandai menguruskan kemiskinannya”.  

Memang betul, ada kebenaran kata-katanya. Orang Melayu yang miskin ingat asal usulnya, ingat Tuhan yang menciptanya, Tahu bersyukur atas nikmat yang dikecapinya. Aku nak tambah sikit. Orang Melayu kalau dah kaya, nanti tak ingat lagi keluarga dan bangsanya. Sombong dan bongkak pakaiannya. Tapi kini, situasi dah terbalik. Yang miskin bangga dan sombong dengan kebodohannya manakala yang kaya pemurah dan membantu agamanya.

Oklah, balik kepada cerita sejarah hospital tadi, di sekitar Klang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Kuala Langat (termasuk Sepang) serta Kuala Selangor (termasuk Sabak Bernam) terdapat sebuah hospital penjara di Klang, sebuah hospital daerah, sebuah hospital di Quarantine Camp , Port Swettenham, sebuah hospital bersalin, sebuah hospital TB (Batuk Kering), sebuah klinik di Telok Datoh, Kuala Langat dan  lebih daripada 22 buah hospital estet pernah dibina dalam tempoh pemerintahan Inggeris dari tahun 1875 sehingga 1940.

Pada peringkat awalnya, persepsi orang-orang Melayu, terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman yang jauh dari pusat rawatan ini terhadap rawatan dan perubatan barat dan moden ini agak skeptikal. Namun selepas serangan demam malaria, disenteri,dan beri-beri, dan dengan penerangan oeh penghulu dan ketua kampung, mereka mula berubah. Ini semua penyakit-penyakit lama yang dah tak ada lagi di Malaysia. Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang penyakit-penyakit ini, google jer.
beri-beri

Kebanyakan yang pergi mendapatkan rawatan terdiri adalah anak-anak kecil yang menghidap masalah cacing, minta minyak ikan dan ubat kuning. Pil kuinin juga diedarkan kepada semua penduduk melalui Penghulu, hospital, balai polis, dan apa sahaja agensi kerajaan untuk mengelakkan demam malaria.

Jadi, seperti yang aku khabarkan tadi, aku akan ceritakan sejarah dan perkembangan setiap hospital dan klinik kerajaan ini satu persatu. So, apa lagi korang duduk, rileks dan biarkan jari jemari anda bermain di keyboard,ok?

Hospital Daerah Klang
Sebelum campurtangan British dan tahun-tahun awal pentadbiran penjajah ini di Selangor, telah wujud hospital atau rumah sakit seperti yang digambarkan oleh Muhammad Ibrahim Munshyi dalam buku memoirsnya, "Pelayaran Ibrahim Munshyi ke Klang" pada tahun 1872 dan gambaran oleh penulis British, Isabella Lucy Bird  dalam bukunya,
"The_Golden_Chersonese_and_the_Way_Thither" pada tahun 1879. Namun, mengikut catatan rasmi kerajaan, pada tahun 1892, Hospital Daerah Klang dibina di atas sebuah anak bukit berhampiran dengan bangunan-bangunan kerajaan dan perdagangan.Sebuah hospital asal bangunan kayu didirikan di Klang. Lokasinya di kaki bukit antara Jalan Kota (Fort Road) dan Jalan Istana (Sultan Street). Berhampiran dengan hospital ini, terdapat sebuah gereja Roman Katolik, serta sekolahnya (masih wujud sehingga kini).  Pegawai Perubatan (District Surgeon to the Coast District) pertama yang bertanggungjawab ke atas hospital ini ialah Dr.Watson diikuti oleh Dr. Reid (16/1/1908 hingga 25/3/1908) dan seterusnya Dr. Gerrard dan Dr. Millard. 
  

Sebenarnya, sistem perubatan dan kesihatan telah dijalankan sejak 1875 lagi. Ketika itu Klang mempunyai sebuah penjara. Di dalam penjara ini, terdapat sebuah hospital untuk banduan-banduan sahaja.Bekalan ubat-ubatan diperoleh daripada ibu pejabat Residen di Kuala Lumpur.Setelah itu, penjara Klang ditutup dan banduan-banduan dipindahkan ke Penjara Pudu yang telah siap dibina pada tahun 1896.


Pada tahun-tahun awal penubuhannya, penyakit yang paling banyak bilangan kesnya ialah Beri-beri, diikuti dengan lumpuh,penyakit mata, radang sendi .Beri-beri merupakan penyakit yang paling ketara dan menyebabkan banyak kematian. Kes-kes Cirit Birit, Penyakit Pernafasan dan Penyakit Kanak-kanak adalah kes-kes utama dirawat di hospital ini. Pada tahun-tahun seterusnya, kebanyakan pesakit dihospital ini masih dirawat kerana kes-kes Beri-beri,Malaria ,Batuk Kering (TB), Disentri dan Taun. Keadaan pesakit dalam keadaan kritikal ketika diterima masuk ke wad untuk rawatan. Ramai yang menemui ajal mereka ketika dirawat di sini.

Mengikut perangkaan pada tahun 1901, sebanyak 2789 pesakit luar dan 1822 pesakit dalam telah dirawat di hospital ini.  Daripada jumlah ini, seramai 1772 pesakit menghidap demam Malaria.(Rujuk jadual di atas). Pada masa itu ,mengikut perangkaan, penduduk Klang  adalah seramai 3576 orang, dengan bilangan rumah kediaman sebanyak 293 buah rumah. Keluasan Klang ketika itu sekitar  290 ekar. Terdapat 22 ekar kawasan paya,25 ekar hutan dara serta 60 ekar kawasan hutan belukar merupakan tempat terbaik untuk pembiakan nyamuk dan penularan demam malaria.

Pembukaan kawasan baru untuk estet dan pembangunan menjadikan Klang dan Port Swettenham menjadi tempat pembiakan nyamuk pertama di Malaya.  Baru dua bulan selepas pembukaannya, Pelabuhan Swettenham (nama lama Pelabuhan Klang)yang mempunyai 700 orang penduduk, daripada 49 kuarters kerajaan, 41 buah dikenalpasti dijangkiti Malaria. Kawasan yang diteroka tanpa sistem peparitan yang sempurna menyebabkan air bertakung dan nyamuk membiak. Namun, dengan usaha-usaha pencegahan dan rawatan yang berkesan daripada Doktor Watson, District Surgeon bagi daerah-daerah pantai Selangor (Klang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor) dan juga Pegawai Perubatan Hospital Klang, kadar kemasukan dan kematian ke hospital Klang akibat malaria berkurangan. Walaupun begitu, ancaman malaria ini tetap ada sehingga Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1907,  bangunan sementara wad rawatan khusus untuk pekerja-pekerja estet dijadikan wad tambahan tetap kepada wad-wad sedia ada. Pada tahun 1913, sebuah lagi wad baru dibina di hospital ini.. Kuarters doktor terletak setentang dengan Convent Roman Katolik di seberang jalan raya. 

Reka bentuk wad hospital ketika itu
Klang District Hospital 1951

Sekitar tahun 1930an, tahap kesihatan di daerah Klang adalah memuaskan. Namun, mutu perkhidmatan yang diberi amat mengecewakan.  Pada tahun 1958, orang ramai tidak berpuas hati dengan keadaan dan layanan kasar kakitangan terhadap pesakit di hospital Klang; siap dengan lembab dan langsung tak ada budi bahasa, ada yang kena maki hamundengan amah, dan jururawat gemok gedempol dalam wad...kih,kih,kih. Hal ini berkemungkinan keadaan sesak yang berlaku di wad-wad kerana ketika itu Hospital Daerah Klang ini merupakan satu-satunya hospital yang ada untuk 4 buah daerah (Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam )dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 250,000 orang. Bayangkan di hospital ini, cuma ada 280 katil,4 orang doktor bertugas, 2 doktor gigi. Ini bererti purata seorang doktor bagi setiap 75 ribu orang penduduk, sebuah katil untuk 1070 orang. Lebih teruk lagi, di wad pesakit luar, sebanyak 400 kes rawatan setiap hari. Tambahan pula pakaian pesakit wad didapati tidak menceriakan langsung; kasar, tidak 'dikloroks', dan panas. Terdapat hanya satu saiz dan tidak ‘feminin’ untuk pesakit perempuan.

Rungutan demi rungutan diterima. Untuk meredakan kemarahan orang ramai dan mungkin juga sebagai bahan politik ketika pilihanraya, pada tahun 1960,kerajaan berjanji akan membina sebuah hospital baru terbaik di Asia Tenggara dengan 600 buah katil. Rakyat termakan dengan janji manis kerajaan Perikatan masa itu. Namun, masalah semakin parah. Pada tahun 1962, bilangan doktor hanyalah 4 orang untuk kesemua wad dan terpaksa merawat 350 kes pesakit luar setiap hari sepanjang tahun. Untuk keseluruhan kawasan daerah pantai; Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam. Ramai doktor swasta dirayu berkhidmat di hospital ini secara separuh masa.


Dari segi infrastruktur , memang ada penambahbaikan. Bangunan asrama tambahan untuk 13 staff nurse dan dewan pembedahan tambahan dibina dengan belanja $5,000. Kerja-kerja pemulihan bangunan dilakukan setelah salah satu wad runtuh ketika 40 pesakit sedang dirawat yang kemungkinannya berpunca daripada masalah anai-anai . Kos pemulihan dianggarkan berjumlah RM30 ribu. Ketika itu Hospital Klang mempunyai 10 buah wad untuk keseluruhan 350 ribu orang penduduk. Pada tahun 1965, 8 unit kuarters baru dibina dihospital ini.

Pada tahun 1963, kerajaan mengumumkan sebuah hospital baru  4 tingkat dengan 600 katil serta 300 kaki tangan termasuk 120 orang jururawat,bernilai RM8 juta, hospital terbesar dia Asia Tenggara, akan dibina di tapak baru seluas 63 ekar di Jalan Langat. Sebagai bukti kesungguhan kerajaan terhadap janji tersebut, sebuah asrama untuk jururawat telah dibina disitu. Hospital baru kononnya akan siap sepenuhnya pada tahun 1966. Namun sekali lagi kerajaan Perikatan memungkiri janji pilihanrayanya sendiri. Tiada hospital baru.

Pada 1 Januari 1976, hospital ini telah dinaiktarafkan daripada Hospital Daerah Klang kepada Hospital Besar Klang dan diketuai oleh seorang Penguasa Perubatan. Walaupun dengan taraf barunya sebagai hospital besar, namun hospital ini masih mewarisi masalah yang berlarutan malahan reputasinya semakin membimbangkan:

The "old" Klang District Hospital near Istana Alam Shah was a place one would send his enemies to in case of an emergency. It was under-staffed, over-crowded and the facilities were wanting. Over the years, it made headlines for all the wrong reasons including the delivery of a baby in a garage meant for ambulances. Things were so bad that the late Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah made periodic visits to the hospital, unannounced to check on the conditions there. On each visit, I would find myself there and hear the dressing down he gave the hospital director. Even after becoming a "general hospital", it continued making news for wrong amputations and for plaster casts on the wrong leg. It was the Sultan’s concerted effort that brought about the brand new hospital in Jalan Banting in the eighties. Its status was upgraded and it is now called the Hospital Tengku Ampuan Rahimah, named after the Sultan’s wife.

Oleh kerana keuzuran bangunan hospital asal dan keperluan menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah serta untuk memperkenalkan perkhidmatan yang baru, (juga atas usaha dan desakan demi desakan daripada DYMM Sultan), maka sebuah hospital yang baru telah dibina di atas kawasan seluas 25.5 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM68.5 juta. Pembinaan peringkat pertama bermula pada 1 Jun 1979 dengan kerja-kerja menanam cerucuk.

Kerja-kerja peringkat kedua bermula pada 27 Oktober 1981 dan siap pada bulan Februari 1985. Bangunan hospital setinggi 9 tingkat ini terletak 3km dari pusat bandar Klang. 
Sementara itu, pada tahun 1981, masalah kekurangan doktor memaksa pembantu hospital menjalankan tugas merawat pesakit..hanya ada 9 orang doktor yang bertugas di hospital, klinik Shah Alam dan lain-lain tempat. Keadaan ini berlaku kerana ada doktor yang meletakkan jawatan dan tiada pengganti dihantar.Walaupun diarahkan, pembantu hospital ini agak keberatan untuk menjalankan tugas gentian ini dan tidak ingin dipersalahkan jika sesuatu yang buruk berlaku.

Pemindahan pesakit-pesakit ke hospital ini bermula pada April 1985. Semenjak 1 Mei 1985, semua perkhidmatan perubatan diuruskan di hospital ini kecuali perkhidmatan untuk pesakit Tibi dan Psikiatri yang terletak di tapak hospital lama. Pada permulaannya ia mempunyai 27 Wad dan 750 katil dan kini telah bertambah menjadi 29 Wad dan 831 katil. Hospital ini kini diketuai oleh Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah (Perubatan) dan Timbalan Pengarah (Pengurusan). Hospital ini memberi kemudahan kepada penduduk seramai lebih kurang 409,994 orang (perangkaan Jabatan Perangkaan Negara tahun 1991) khususnya kepada penduduk di bandar Klang, kawasan pedalaman (estet-estet dan kampung-kampung), perusahaan, lapangan terbang dan pulau-pulau berhampiran. Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran kepada kes-kes yang dirujuk daripada Hospital Banting, Tanjung Karang dan Sabak Bernam dan juga Klinik-klinik Swasta & Pusat-pusat Perubatan Swasta.

Hospital ini dinamakan Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan pembukaannya dirasmikan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj pada 2 September 1985. Nama ini kemudiannya telah diubah kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 1993. Menteri Kesihatan pada masa itu ialah Dato' Chin Hon Ngian. Untuk perkembangan terkini hospital ini, korang rujuklah laman web diorang, ya?

Tapak asal hospital Klang ini kini telah diubahsuai menjadi taman Bandar diraja Klang. Aku harap ada sejarahwan yang akan tampil mengimbau kembali zaman di mana tapak asal ini pernah menjadi saksi sejarah perkembangan perubatan di Klang khususnya, dan di Selangor amnya.





Aku rasa cukuplah ini untuk entri kali ini, penat wey! Jumpa lagilah di lain ketika. Jangan risau, nanti aku sambung lagi ceritanya, insyaAllah. Adios dan Wasalam, bro.

Rujukan:

http://htar.moh.gov.my/index.php/ms/mengenai-kami/profil/2013-09-18-17-43-13

Sickness and the state: health and illness in colonial Malaya, 1870-1940
Lenore Manderson. Cambridge: Cambridge University Press, 1996, 315 pp.,

Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries, and Resources 

https://www.mocavo.co.uk/

Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...