Jumaat, 14 Februari 2020

Aku, Posmen dan TPG: Suatu Memoir Terindah

Salam buat semua. Bertemu lagi Atok dengan kalian. Syukur alhamdulillah kerana tahun ini Atok dah nak pencen. Iyo, bersaro. Bersara daripada perkhidmatan kepada masyarakat. Atok sebagai seorang pendidik,cikgu,guru. Atok dah takkan rotan anak murid lagi. Atok tak akan marah-marah lagi budak-budak yang tak buat kerja sekolah  Atok dah tak kejar budak-budak lompat pagar sekolah lagi dah. Atok nak BERSARA WAJIB dah. Lepas bulan November nanti, tak payah pergi sekolah lagi. Tak payah lagi nak gosok baju, seluar, tali leher bagai. Atok tak perlu berlumba-lumba masuk pagar sekolah tekan punch card lagi. Tak payah menghadap tuan pengetua kalau nak keluar kejap. Semuanya tak payah. Atok akan jadi orang pencen...menganggur takde kerja tapi ada hasil. Atok cuma perlu ke sekolah untuk hantar dan ambil cucu jer. Itu jer. Itupun tunggu kat luar pagar.

Seronoknya Atok menanti tarikh pencen itu nanti. Tapi kalau difikirkan kembali, sekolahlah tempat Atok menghabiskan seluruh hidup (tolak 6 tahun) Atok di bangku sekolah, in a way of speaking. Bermula dari tahun satu di MES Primary School di Telok Datok pada tahun 1971-1976, kemudian bersambung ke sekolah menengah di MES Secondary School di Telok Datok juga 1977-1979, ke Technical Institute, Malacca dua tahun 1980-1981..sambung belajar kejap kat SMK Ampuan Rahimah ,Klang buat Form Six sebelum masuk UNCC. Apokobondo UNCC tu Atok, woi?

HAHAHAHA...Atok sambung belajar kat Amarikalah! U.N.C.C tu singkatan untuk University of North Carolina at Charlotte, USA. Amekkau! Pecah dah rahsia Atok bersekolah dengan Donald Trump, Donald Duck dan Mickey Mouse. Atok main snow kat sana selama 4 1/2 tahun,  dari 1982-1987.
Kemudian lima tahun (1987-1992) Atok balik duduk Telok petik buah anggur sambil petik kelapa bali kat kebun. Kadang-kadang Atok kutip durian, Ada masa Atok bawa orang ke hulu ke hilir, kekadang ke Klang, kekadang ke Banting, naik teksi. Ada kala jadi saudagar jual minyak urat, tapi kebanyakannya jual temberang, sebelum Atok balik ke sekolah semula. HAHAHA. Ada mamat tanya, ada ke anggur kat kebun Atok di Telok dulu? HAHAHA....HAHAHA... Dua kali Atok tergelak besar. Petik anggur pun tak faham? MENGANGGUR ler.Takde job.

Itulah sejarah hidup Atok di sekolah, dan tempat sewaktu dengannya. Kemudian setahun Atok menghilangkan diri dari Telok. Atok merantau mencari tempat perguruan. Bukan kat Bukit Jugra atau Gua Tempurung...tapi jauh lagi. Atok bertapa di Kelantan. Atok tinggalkan anak bini untuk ke sana. Siapa yang tak sayang bini dan anak woi..tapi Atok lakukan demi masa depan kami sekeluarga. Atok berguru di MPKB. Bukan Majlis Perbandaran tapi Maktab Perguruan Kota Bharu (Newcastle) di Pengkalan Chepa.

Tapi Atok sikit pun tak risau. Walaupun Atok ke Melaka, ke Amerika ataupun ke Kelantan ...maknanya jauh dari Telok, Atok tahu apa yang berlaku kat Telok. Ada orang tolong Atok. Dia bukan bini baru Atok atau sesiapapun dengan Atok tapi kehadirannya memang Atok tunggu. Dia setia dengan Atok. Atok tak kesah kalau dia beritahu Atok berita gembira ke sedih ke atau apa jua barang yang dia beri, ada sahaja untuk Atok. Kadang-kadang tak sempat Atok nak ucap terima kasih kat dia, dia dah pergi kat rumah orang lain. Adakalanya Atok kalau ada hal, Atok pergi rumah dia. Bukan Atok sorang yang suka dia,sekampung sukakan dia. Susah hati Tok Kadi kalau dia tak datang. Marah Pegawai Daerah kalau dia tak ada. Resah hati kumbang tak dapat nak sunting bunga kalau dia takde. Hari Raya tak berseri kalau dia tak ada. Pendek kata dia orang penting walaupun dia orang biasa. Kadang-kadang dia beri duit, kadang kadang pulak dia hantar saman. Ada orang lari daripada dia, tapi ramai yang menyerbu bila dia ke rumah. Ada orang panggil dia abang,encik, pakcik tapi tak pernah kakak atau makcik. Korang pun mesti kenal dia, tapi sekarang dia tak datang saja-saja kalau takde hal penting. Pernah ke korang tengok dia? Siapa? Brader kat bawah ini...dialah yang aku maksudkan. Entri Atok kali ini mengenai mereka. Mereka yang menghantar surat, bungkusan, kad raya dan macam-macam lagi. Mereka bukan hanya menghantar benda-benda yang kita nanti-nantikan, tetapi lebih daripada itu. Mereka sebenarnya menghantar amanah. This entry is my tribute to them for their efforts, sacrifices and nation-building visions. We salute you, Mr. Postmen.
So, Atok nak korang rileks, bersandar sambil baca entri ini. Jangan ke mana-mana, ya.



Kali pertama aku kenal abang-abang posmen ini tahun 1974. Aku pasti 1974 kerana masa itu aku first time tulis surat kat bapa aku/ Aku baru darjah 4. Masa itu aku dan arwah emak aku dan adik beradik aku kat Muar, rumah datuk emak aku. Masa tu time cuti sekolah akhir tahun. Aku tulis surat minta abah aku datang ambil kitorang pasal cuti dan nak habis. Aku main hentam jer tulis. bapak aku aku panggil kekanda, mana tak gelak dia bila terima surat aku itu. Tahu-tahu seminggu selepas itu, arwah bapa aku datang ke Muar sambil bawa buah durian. Telok masa itu tengah rahat durian gugur.
Ketika kat sekolah rendah dulu, pernah cikgu-cikgu menyuruh kami menabung menggunakan buku setem yang dibeli daripada van pejabat pos bergerak yang datang ke sekolah. Aku pun tak ingat apa jadi pada buku setem yang dah penuh tu. Aku lagi suka simpan duit syiling dalam tabung ayam yang aku simpan bawah katil dulu.

Kemudian bila aku ke Melaka sambung belajar ke Tingkatan 4 dan 5. Tinggal pula di asrama, suratlah pengganti dan penghilang rindu terhadap keluarga. Abah aku kirim duit tunai menggunakan surat beregister (registered) setiap bulan. Duit itulah aku buat bayar yuran makan asrama dan yuran SPM. Bukan dapat biasiswapun dulu. Walaupun lambat, tetap aku tunggu. 

Kemudian ketika aku kat A.S, lagi akrablah persahabatan aku dengan posmen Mat Saleh. Aku hantar surat kat kampung pakai aerogram. senang, murah dan tak payah beli setem. Setiap bulan , dua tiga surat aku hantar buat tatapan emak, abahku semua. 'Meleleh air mata emak bila dapat surat engkau', kata adik aku.
Rindu aku kadang-kadang tak tertahan kepada emak dan keluargaku di Telok. Maklumlah tak pernah sejauh dan semuda ini aku berpisah jauh daripada keluarga. Umur baru setampok pinang, baru setahun jagung.  Aku terperosok di sudut dunia. Hidup, mati semuanya kuserahkan pada Allah SWT.  Kengkawan yang sama-sama masih budak hingusan berdiri mengurus diri di perantauan. Bayangkan jarak Telok ke Charlotte, North Carolina cuma 15,764 km jer, one way. Tak ada telefon, henfon, jauh sekali video call. Naik kapal terbang pun makan masa 3 hari baru sampai.Tak percaya? Ukurlah sendiri...Hahaha.


aerogram dari USA
Kekadang kerinduan mengilhamkan kreativiti. Aku tahu emak dan keluargaku tak puas sekadar membaca surat seringkas aerogram itu. Aku pasti diulangnya berkali-kali membaca surat aku itu sebelum tiba surat berikutnya.kadang-kadang berminggu-minggu. Jadi pernah aku kirimkan (post) kaset rakaman suaraku yang aku buat secara spontan. Bayangkan aku secara monolog bercakap dengan ibuku, bertanya khabar, bercerita tentang kegiatan aku di universiti dan kehidupan seharianku, memberi nasihat kepada adik-adikku agar teruskan perjuangan belajar bersungguh-sungguh.
Tak terhingga sukanya ibu ku mendengar berulang-ulang kali tanpa jemu putaran pita kaset yang hampir sejam rakamannya itu. Itulah pengubat rindunya kepada aku sebelum ketibaan surat aku seterusnya sehinggalah aku pulang bercuti dua tahun kemudian pada Summer 1984. Selepas itu setiap tahun apabila tiba masa Summer (musim panas universiti di sana cuti 3 bulan), aku terus booking tiket untuk pulang ke Telok. Aku tak peduli, ibu dan keluargaku terlebih penting daripada segala makhluk lain di muka bumi pada masa itu.



Itulah pasal kalau ada orang kutuk-kutuk posmen, pemalaslah, tak amanah ke,  jenis tak campur oranglah, Atok naik angin. Atok tahulah pasal Atok pernah tengok dan dengar kisah diorang ketika menjalankan tugas. Memang mereka ini tak ada bila kita semua lepak di warung dan kedai-kedai kopi sebab mereka sedang bekerja. Kalau kita sapa mereka, mereka senyum sambil jawab salam kita. Tapi kalau kita pelawa mereka singgah kejap walaupun untuk minum sebentar dan kita yang belanja, dengan manis diorang tolak pelawaan kita itu kerana mereka ada job nak dibuat, ada surat yang nak diserahkan. Ribuan yang menanti mereka. Selepas itu tugas mereka belum selesai lagi. Mereka mesti balik ke pejabat pos kerana ada banyak surat dan bungkusan yang hendak disisihkan dan untuk dihantar ke destinasi luar kerana tak lama lagi lori pos akan datang mengutip. Itu belum dikira lagi penjagaan kaunter melayan seribu satu macam karenah pelanggan yang hendakkan setem, surat berdaftar, bayar bil api,  bil air, lesen TV dan Radio, dan bungkusan untuk diserahkan. Biasalah, pejabat pos kecil di Telok, Batu Laut, Jenjarom sama sahaja. Kakitangan tak ramai, Postmaster mesti tegas dengan anak buahnya. Nak mengopi ke,mengeteh ke, menetek ke,oops, terover pulak Atok, itu semua lepas habis kerja, atau hujung minggu. Patutlah Atok tengok Postmaster Pejabt Pos Telok dahulu susah sangat nak senyum, walaupun dia tak marah-marah. Atok dapat tengok dia hanya kalau hari Jumaat time solat Jumaat ataupun kalau Atok ke post office, itupun tengok nasib, kadang-kadang seharian  dia duduk kat belakang, bukan di kaunter.




GEDEGANG! Atok dengar dia mengecop bungkusan dan surat-surat, macam bunyi orang menukang ketuk paku dengan tukul besi. Nak kata marah pun ada, pasal stres sangat...banyak benar kotak dan surat terutama surat kilang-kilang Jepun kat Batu 9 dan Batu 10. Itu ler pasal.


Oh ya, terlupa Atok nak khabarkan. Pejabat Pos Telok tu kira baru lagi dibuat berbanding Pejabat Pos Banting.  Atok rasa awal 1980-an jer berbanding Banting yang dah ada sejak zaman Omputeh lagi. Kalau tak silap Atok, Post Office Jenjarom lebih dahulu dibina berbanding Telok sebab Atok pernah disuruh untuk bayar bil api atau bil air kat sana. Terpaksalah naik bas Mara atau teksi untuk ke sana. Lagipun seingat Atok yang dah banyak lupa daripada ingat ini, kalau Atok nak beli setem dan envelope, beli kat kedai Mamak Hussien kat pekat Telok itu jer. Dia wakil pos. Tapi tak pernah pulak Atok tengok dia timbang bungkusan pos selain timbang beras dan gula serta terigu makanan ayam. Sekali sekala Atok tengok ramai orang berkerumun dekat van pejabat pos bergerak yang datang dari Banting. Mungkin dah diwar-warkan bila masa diorang nak datang masa kat Masjid sebelum solat Jumaat. Atok masa itu tak ambil port pun pengumuman camtu. Tak ingat Atok kat mana. Kat Balai Penghulu atau depan kedai Mamak Hussien. Memang blurr. Tak ingat langsung. Cuba korang tanya emak, bapak atau atok nenek korang kalau-kalau diorang masih ingat.

Wah, sekarang Pejabat Pos Telok dah naik taraf dah! Kini dipanggil Pusat Serahan Mel Telok Panglima Garang. Wow, hebat korang. Dah ramai staf yang proses, sisih dan hantar bungkusan, oops, maaf bang posmen, parcels. Dah beraircond dah. Canggih! Efisen kata Mat Saleh. Tapi manusia tetap manusia. Asyik nak komplen jer. Servis lambatlah, kaunter tak cukup oranglah, surat lambat sampai,  surat salah alamatlah...macam-macam. Yalah, betul..itu hak awak nak komplen, awak customer, client..tapi sesekali dengarlah pulak rintihan mereka..
Pernah kita terfikir basah kuyup bajunya ketika dalam perjalanan? Kemalangan ketika dalam perjalanan hantar barang sedangkan kesalahan dilakukan oleh orang lain? Meredah banjir mahupun panas terik??  Kakitangan tak cukup, orang ramai, bungkusan barai, yang  lagi sedih tu, basic gaji tak sampai RM 2000 walaupun dah kerja 22 tahun! Bonus ciput, Boss asyik kata tiap-tiap tahun kita rugi jer, tak dapat nak bayar bonus. Dah tahu rugi, tutup jerlah post office tu. Biar kurier lain pulak buat duit. Staf diorang takde pulak komplen gaji kecil. Boleh pun bayar ribu-ribu bonus. Yalah, serba salah. Nak tukar kerja lain dah tua, siapa nak ambil bekerja? Mahu tak mahu hentak jer rubberstamp tu kuat-kuat, lepaskan geram. Kalau boleh, kita semua nakkan perubahan, bak kata Samy Vellu, “Besok kirim, hari ini sampai.”


 


Kisah posmen: Yazid terharu setiap kali penerima bungkusan ucap terima kasih
SETIAP pekerjaan ada cabaran dan dugaan, namun di sebalik itu ada kemanisan yang sering menjadi pembakar semangat untuk seseorang itu terus berusaha bertugas dengan lebih baik serta bertanggungjawab.
Begitu juga dengan tugas sebagai seorang posmen. Cabaran yang dihadapi setiap hari tidak dapat dijangka.
Itulah yang berlaku kepada Md Yazid Hassan, seorang posmen yang bertugas di Pusat Serahan Mel Telok Panglima Garang, Selangor. Kenangan yang sukar dilupakan oleh En Md Yazid yang berusia 52 tahun dan telah bertugas dengan Pos Malaysia sejak 1995 lagi. Md Yazid ketika awal penugasannya di Pos Malaysia telah berkhidmat di Pusat Serahan Mel Subang Jaya sebelum berpindah ke Pusat Serahan Mel Port Klang setahun selepas itu sehingga tahun 1999. Akhirnya, Md Yazid berpindah ke Pusat Serahan Mel Telok Panglima Garang sejak 1999 sehinggalah sekarang.
Di Pusat Mel Telok Panglima Garang terdapat 14 orang posmen termasuklah dua orang Posmen tingkatan kanan. Mereka akan akan ditugaskan untuk menguruskan mel sejumlah 63,785 unit dalam masa seminggu.Bagi bulan Oktober tahun lepas sahaja, mereka telah uruskan sejumlah 255,142 mel sebulan. Bukan senang tugas ini, secara puratanya seorang Posmen akan uruskan sejumlah 18,224 mel seorang dalam sebulan. Mengagih, menyusun dan mengatur semua 18,000 mel ini mengikut zon alamatnya juga mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya dua jam. Barulah boleh mel itu dihantar kepada penerimanya. Inilah rutin tugas seorang Posmen.
Banyak kenangan manis yang dikongsi oleh Md Yazid sepanjang 25 tahun bertugas sebagai seorang Posmen. Antara yang paling diingatinya adalah layanan yang diterima daripada rakyat yang mengucapkan terima kasih kepadanya setiap kali beliau datang menghantar surat dan bungkusan. Itu yang membuatkan Md Yazid cukup terharu. Lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi tanggungjawabnya itu adalah bukan majoriti orang Melayu. Kebanyakkannya orang berbangsa Cina dan India, namun mereka cukup gembira dan berterima kasih bila mendapat surat dan serahan bungkusan daripada Md Yazid. Paling tidak boleh dilupakan oleh Md Yazid adalah kemalangan yang dialaminya ketika membuat serahan di Pulau Carey.
Md Yazid telah terjatuh ke dalam longkang yang besar ketika membuat serahan tersebut. Nasib baiklah tidak mengalami kecederaan yang teruk pada waktu tersebut. Itu pengalaman yang akan diingatinya sampai bila-bila. Inilah pengalaman pahit dan manis seorang posmen. Di mata rakyat mereka hanya nampak posmen yang naik motosikal dan datang menyerahkan surat. Namun di belakang posmen tersebut ada keluarga yang perlu mereka sara. Bagi Md Yazid sendiri, beliau sendiri mempunyai isteri dan tiga orang cahaya mata, seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.
Pengorbanan besar seorang posmen dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah rakyat. Diucap terima kasih adalah sesuatu yang cukup berharga. Kemalangan hingga putus kaki, dikejar anjing dan jatuh longkang adalah sesuatu dugaan yang mewarnai kerjaya mereka sebagai seorang posmen. Semoga semua petugas posmen semua terus tabah dan kuat menghadapi tahun 2020 ini. Teruskan berkhidmat untuk rakyat dan demi keluarga. Anyway, korang kalau betul-betul baca dan mengikuti sejarah pos di Kuala Langat khususnya dan Selangor serta Malaysia amnya, mesti menitik air mata atas jasa dan pengorbanan mereka. Itu entri Atok seterusnya. Happy International Postal Day. Selamat Hari Pos Sedunia,abang dan kakak postmen. KITA POSMEN, KITA POSMEN. Love you all.


Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...