Sabtu, 13 Februari 2021

Merungkai Misteri Banglo Usang di Morib

Salam buat semua. Wah, semua nampak sihat-sihat jer.Alhamdulillah. Pertama-tama marilah kita panjatkan rasa kesyukuran kita kita ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat kesihatan, kemurahan rezeki, serta hidayah keislaman yang dikurniakan ke atas diri kita. Semoga kita semua terus berpegang teguh dengan tali-taliNya sehingga  ke akhir hayat. Amin.

Wah dah hampir kita dengan bulan Ramadhan ya? Sekarang kita dah masuk bulan Rejab. Lepas Rejab menyusul pula Syaaban dan seterusnya  Ramadhan yang kita nanti-nantikan. Marilah kita membuat persiapan mental dan fizikal  untuk beribadah bermula dengan amalan puasa sunat dalam bulan Rejab sehinggalah ke bulan Syaaban. Perbanyakkan bersedekah, kurangkan aktiviti keduniaan. Pesanan ini khas untuk diri Atok, Wan dan korang juga.

OKlah. Hari itu kenalan Atok ada suggestkan Atok suruh tulis kisah banglo usang di Morib. Konon katanya, banglo itu berpuaka kerana sudah lama ditinggalkan. Atok tak ambil port sangat cadangan dia tu, pasal Atok minat cerita berdasarkan sejarah bertulis atau kisah lisan masyarakat. Lagipun Atok bukan jenis seekers, yang kerjanya mencari entiti halus. Maaflah ya, bagi Atok ini semua kerja sia-sia. Dalam quran kita diminta berlindung daripada syaitan yang direjam dengan menyebut nama Allah, bukannya mencari dan mengejar golongan iblis dan syaitan yang menderhakai Allah dan RasulNya. 

Daripada Atok masuk ke rumah kosong dan duduk bertapa di situ menunggu ketibaan entiti halus ghaib bertanduk itu, lebih baik Atok masuk ke masjid yang kian kosong kini, duduk beriktikaf, mengaji dan berzikir menunggu ketibaan waktu solat seterusnya. Serius Atok cakap. Bukan nak menunjuk-nunjuk tetapi itulah jalan yang ditunjukkan oleh Rasul kita. Senja-senja ini seharusnya kita di rumah Allah, bukannya di rumah kosong lagi usang. 

Tapi setelah Atok tengok respons daripada para pembaca di internet tentang entri Banglo kosong berpuaka itu, maka Atok terdorong nak join berdiskusi, at least membetulkan fakta. So, kepada pemilik blog, FB, instagram yang berkenaan, maafkan Atok. Atok bukan nak kritik dapatan korang, cuma Atok nak tambah nilai kepada findings korang agar para netizen dapat info yang tepat tentang sejarah banglo tersebut. Kisah seram yang korang kaitkan dengannya itu Atok tak joinlah pasal dah memanglah rumah lama yang ditinggalkan sudah pasti dihuni makhluk halus, apatah lagi kalau rumah tersebut dikaitkan dengan aktiviti yang tidak diredai Allah sebelum ini. Wallahualam. Bukan Atok menuduh, Atok cakap secara umum jer. 

1. Pengalaman bermalam di banglo misteri di pantai Morib

OKlah. Mengikut kata, pemilik blog MINDA MISTIK  tentang Rumah Rehat Pantai Morib. Mungkin masa itu rumah rehat ini masih elok dijaga.

"Kisah benar yang terjadi kat aku pada lewat 80an ketika menuntut di ITM. Kami sampai di Morib waktu petang. Kami terus menuju ke rumah rehat di tepi pantai. Oleh kerana kami membuat tugasan untuk kerajaan negeri, kami dapat penginapan percuma di rumah rehat tersebut. Rumah rehat tersebut agak jauh dari rumah-rumah kampung yang berdekatan. Jarak 50 meter dari tempat kami menginap ada sebuah rumah rehat kepunyaan sebuah syarikat. Lebih kurang 250 meter dari rumah rehat kami di sebelah selatan pantai Morib ada istana rehat Sultan Selangor. Kedua-dua bangunan ini jarang berpenghuni. Kebetulan hari itu Jumaat. Tidak ramai pengunjung petang itu.

Di belakang rumah rehat kami ada sebuah zoo mini yang di huni seekor harimau belang, seekor helang dan beberapa jenis burung dan binatang. Helang tersebut di letak di dalam pondok yang di tutup dengan jaring. Rumah rehat tersebut dipagari oleh pagar dawai yang tinggi, lebih dari 8 kaki. Setiap bilik seperti sebuah rumah kecil yang disambungkan dengan ruang berbumbung yang berdinding papan. Stail rumah lewat tahun 50an. Setiap bilik mempunyai bilik air. Ada 10 buah bilik yang tidak berkongsi dinding dengan bahagian utama. Tiga bahagian yang menghadap utara, selatan dan barat. Bahagian timur bangunan menghadap zoo mini. Ada satu pintu di bahagian barat yang menghadap pantai. Pantai lebih kurang 20 meter dari bilik aku menginap.

Lebih kurang jam 6 petang penjaga rumah rehat tersebut, seorang lelaki Melayu pertengahan umur, muncul. Dia tinggal di kampung berdekatan kira-kira 1 batu dari Pantai Morib. Rumah kampung yang paling hampir terletak lebih kurang 300 meter dari rumah rehat di sisi jalan besar menuju ke rumah rehat.Aku menyedari yang aku akan tinggal keseorangan di rumah rehat malam itu. Hah. Rumah yang berdekatan dalam jarak 300 meter. Kalau aku menjerit sekuat hati pun takde orang dengar. Tiba-tiba seperti ada sesuatu yang menggaru dinding bilik menghadap selatan, dinding sebelah katil. Aku terasa semacam. Aku cuba berfikir. Setahu aku pintu pagar sudah di tutup dan tak mungkin ada binatang atau manusia boleh masuk ke kawasan rumah rehat. Bunyi di dinding seperti ada binatang yang mencakar dinding dengan kuku. Aku amati betul-betul bunyi tersebut. Aku masih terfikir mungkin dahan-dahan pokok rhu di depan bilik yang menyentuh dinding. Tapi, tak ada pokok rhu di dalam kawasan rumah rehat dan dahan rhu pendek. Aku masih lagi tidak rasa panik.

Tiba-tiba lampu bilik air menjadi malap. Seperti ada yang menggoyangkan mentol lampu. Aku terpaku memandang lampu. Kejap ada kejap takde. Aku harapkan itu hanya sebab angin kuat yang bertiup. Mata ku tak lepas dari merenung ke arah lampu. Sambil itu, cakaran didinding makin rancak. Seperti ada orang di luar yang menggaru dinding. Aku perhatikan tingkap bertutup rapat. Lega. Tiba-tiba lampu bilik air terus malap. Seluruh bilik gelap.. Cahaya lampu dari luar pun malap. Cakaran di dinding makin kuat. Angin di luar pula seperti menggila. Bunyi ”huuuuu” semakin kuat. Aku cuba mengawal perasaan ku.

Kemudian aku teringat pesanan ayah ku apabila menghadapi keadaan cemas. Laungkan azan. Tanpa berlengah lagi aku melaungkan azan antara dengar dan tidak. Masa itu perasaan ku bercelaru. Aku dapat rasa bulu tengkuk ku meremang dan darah ku menyirap. Aku teruskan laungan azan sambil memerhati mentol lampu. Setelah selesai azan, lampu bilik air kembali terang dan menerangi bilik. Bunyi cakaran pun berhenti. Angin pun tidak bertiup kencang lagi. Suara nyaring tidak kedengaran lagi. Segalanya senyap. Hening seketika. 10 minit aku terbaring sambil mata ku masih merenung lampu. Aku mahu pastikan lampu tidak padam lagi."

2. Teori Misteri Banglo Usang Seri Pantai, Pantai Morib 

 Dipetik daripada laman web https://www.belangtarung.com/

Pantai Morib pada awalnya diperkenalkan oleh kerajaan British yang menjajah Tanah Melayu ketika itu. Pada asalnya Morib sudah wujud di zaman pemerintahan Raja Mon lagi iaitu tahun 1893, akan tetapi mula popular apabila pihak British menjadikan Pantai Morib sebagai salah satu destinasi orang ada-ada ketika itu sebagai tempat beriadah.

Jika diperhatikan banyak monumen dan bangunan sekitar Banting yang mempunyai nilai sejarah penjajahan kuasa asing. Salah satunya 'Banglo misteri di Pantai Morib'.Banglo Seri Pantai , Pantai Morib dibina pada tahun 1940-an.Bekas pejabat pegawai tentera British Terdetik di hati, apakah kisah dan sejarah di sebalik rumah usang ini ? Rumah usang yang menghadap laut yang mungkin menjadi tarikan kepada pelapis uncle seekers untuk mengesan aktiviti paranormal. Masih tersergam meskipun sudah usang dan tiada sebarang usaha merobohkannya, atau rumah ini memiliki kisahnya tersendiri. Apabila ditanya di bahagian 'search' di google tiada sebarang jawapan bertulis atau video yang mampu merungkai rasa ingin tahu penulis dengan rumah usang ini.

Dari hipotesis sendiri penulis cuba untuk memberikan 'taakulan' atau tekaan apakah motif, kisah dan sejarah pembinaan rumah ini. Jika berhujah dengan perkataan 'taakulan' semestinya ini hanya teori, teori berdasarkan kiasan dari sumber tertentu meskipun begitu sedikit peratusan untuk sahih. Penulis cuba untuk memberikan satu persoalan bagi mereka yang betul-betul tahu akan kisah ini boleh berkongsinya.

Dari teori dan pandangan penulis, berdasarkan kepada sejarah Pantai Morib itu sendiri. Setelah kemasukan tentera Jepun yang zalim ke Tanah Melayu ketika itu, British begitu tertekan dan memerlukan bantuan dari luar. Solusinya, tentera British telah membawa askar Gurkha dari India dan Sri Langka untuk memperkuatkan ketumbukkan askar British yang sedia ada. Jelas bahawa Pantai Morib menjadi hab pemerintahan British ketika itu. Selain dari tempat turunnya askar simpanan, semestinya pantai Morib adalah tempat pengumpulan logistik peperangan British.

Tidak hairanlah jika melalui kawasan sekitar Morib terdapat banyak peninggalan rumah lama yang bersenikan rumah rekabentuk British dan salah satunya adalah Banglo Seri Pantai Morib.

Banglo Seri Pantai Morib mungkin adalah sebuah bangunan singgahan tentera British dalam usaha memperkuatkan askar British melawan Jepun, lebih tepatnya menakluk semula Selangor yang telah dijajah Jepun.

Jika dilihat dari aspek rekabentuk dan seni 'architecture' banglo ini menyamai konsep senibina penjajah British di Tanah Melayu. Ketinggian dan segmen dalam banglo.Peratusan untuk banglo ini dahulunya adalah sebuah bangunan pentadbiran adalah lebih tinggi memandangkan Pantai Morib merupakan kawasan pengumpulan bukan sahaja askar gurkha dari india malah turut menjadi pusat logistik barangan ketenteraan. Maka boleh disimpulkan bahawa banglo seri pantai ini adalah sebuah banglo singgahan British untuk beriadah dan juga menjadi sebuah bangunan pentadbiran urusan ketenteraan di 'pangkalan' pantai Morib ini. Penyataan ini juga turut diteguhkan melalui transkrip temubual dengan penduduk tempatan yang menyatakan banglo-banglo tinggal sekitar Pantai Morib adalah sebahagian bangunan pemerintahan tentera British di zaman Jepun.

3. Respons Atok  tentang Fakta dan Sejarah Morib

Mengikut kajian Atok, Morib ini telah wujud ketika kesultanan Sultan Abdul Samad.  Pada tahun 1893,Penghulu Morib ketika itu Raja Mon , dikatakan telah membuka kawasan-kawasan pertanian untuk tanaman kelapa. Namun begitu tanaman mereka seringkali dirosakkan oleh babi hutan. Rotan dan perikanan juga kegiatan ekonomi utama di sini, biasanya untuk untuk pasaran Klang dan Kuala Lumpur. Pada tahun 1898, British telah mendirikan ‘ halting bungalow’ di Simpang Morib dan Rumah Rehat Kerajaan di Morib yang dijaga dengan baik oleh seorang Melayu. Pada tahun 1913, Sanatorium di Morib mempunyai sebuah banglo lama sedia ada, dengan 6 buah bilik manakala banglo baru mempunyai 2 bilik.dan setiap bilik menempatkan 2 buah katil  Di setiap banglo ada seorang penjaga, seorang tukang masak dan seorang tukang angkat air yang digajikan. Kesemua mereka kemungkinannya berbangsa Cina Hailam. Rest house dan sanatorium ini menjadi  ‘favourite resort’ pegawai-pegawai kerajaan berbangsa  Inggeris dan pengurus-pengurus dari estet-estet berhampiran.

Di Morib dah banyak dah dibina rumah-rumah rehat. Pada tahun 1931, Morib sudah mempunyai rest house kecil  dan banglo sanatorium, istana hinggap Sultan, banglo rehat swasta dan  banglo kepunyaan persatuan-persatuan kebajikan.
Tapi yang peliknya, tidak pula dibina pusat perniagaan atau tempat menjamu selera, makanan laut untuk pengunjung-pengunjung di situ. Masing-masing makan makanan yang dibawa ketika berkelah atau makanan yang dihidangkan oleh tukang masak rest house atau banglo-banglo itu sendiri. Semakin hari semakin popular Morib sebagai tempat berehat bersama keluarga di hujung minggu. Namun ramai juga terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa lemas walaupun pantai Morib landai dan airnya tidak dalam.

Ketika Perang Dunia Kedua , pihak tentera Jepun telah menjadikan Morib sebagai  markas kem mereka. Hahahaha….pasti korang terkejut beruk kalau aku katakan mereka juga telah membina sebuah landasan terbang untuk operasi kapal terbang Zero mereka di Ladang Kelanang, tidak jauh dari Simpang Morib. Sebenarnya mereka tidak berminat untuk membina pengkalan tentera udara mereka di situ, cukup hanya beberapa buah berek dan hangar untuk satu dua kapal terbang mereka. Lokasinya yang tersorok kira-kira 1km dari jalan raya Kelanang-Simpang Morib dan Kg. Sungai Arak dan dikelilingi pokok kelapa, memang strategik dan ada unsur kejutan kepada pengintip tentera Berikat. Landasan sejauh satu batu setengah ini penting untuk kawalan dan tinjauan udara di pesisir pantai antara Pelabuhan Klang dan Port Dickson, dan sebagai bantuan sokongan kepada markas tentera darat mereka di pantai Morib. 
Selepas perang tamat, pada tahun 1952, kem tentera Jepun di Morib itu ditukar menjadi kem untuk keluarga dan tahanan komunis berbangsa Melayu ketika Era Darurat. Kem ini dijadikan pusat rehabilitasi anak dan keluarga  dan bekas pengganas komunis.  Berkeluasan  32 ekar, kem depan pantai ini mampu menampung 300-500 orang keluarga pengganas pada satu-satu masa .
Peta  dibawah merupakan peta intipan Tentera Berikat terhadap kedudukan -kedudukan tentera Imperial Japanese Army di Morib sebelum pendaratan mereka untuk membebaskan Malaya dan Singapura pada tahun 1945.

Jadi, sebenarnya tidak wujud bangunan pentadbiran tentera British pun di Morib dan sememangnya Morib bukanlah zon ketenteraan sehingga kini. Kesimpulannya, mungkin dan berkemungkinan BESAR, banglo Seri Pantai yang menjadi topik perbincangan kita kali ini merupakan bekas sanatorium yang didirikan oleh British sebelum 1913 lagi dan  terus diperbaiki sehinggalah hari-hari terakhirnya.

Kotak berwarna jingga dalam peta tahun 1945 ini kemungkinan merupakan bekas sanatorium Morib dan banglo SERI PANTAI 




Gambar bahagian depan sayap utara banglo Seri Pantai

Sayap sebelah selatan Banglo berkembar ini

Jambatan Penyambung bahagian tingkat atas kedua-dua banglo




Anak tangga menyelusuri tingkat atas banglo tersebut

Lantai kayu bahagian atas banglo yang sudah lama roboh

Ruang dalaman banglo yang diambil sebelah malam



Rangka bumbung beratap genting yang sudah runtuh dan berlubaang

Mungkinkah ini bilik air awam banglo tersebut?


Tangganya lebih menyeramkan pada waktu malam

Banglo ketika bulan mengambang



Tembok penahan ombak di Morib

Keunikan Morib bukan pada pantainya tetapi pada deretan pokok rhu atau casuarina serta pokok tembusu


Kesimpulannya, Atok rasa terjawab sudah misteri banglo usang berpuaka di Morib ini.Tentang persoalan, mengapa tidak dirobohkan dan seterusnya didirikan bangunan baharu di tapak asalnya itu, besar kemungkinan banglo ini masih milik kerajaan dan tanah ini juga milik kerajaan negeri. Maka terpulanglah kepada pihak kerajaan. Tetapi jikalau ditanya pendapat Atok, eloklah kerajaan negeri merobohkan banglo tersebut dan mendirikan Pusat Tahfiz tajaan kerajaan Selangor di tapak asal tersebut supaya hilanglah khabar angin tentang puakanya. Wallahualam.

 Rujukan/ Bacaan Tambahan:



4 ulasan:

  1. bangunan seri pantai boleh dibuka untuk dibeli?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ada link ke? Rasa2 banyak hal tu..tu pasal takde orang redevelop tanah banglo tu

      Padam
  2. Lama juga saya tercari² jwpn bangunan ni. Tapi semuanya masih samar. Jika diikutkan pd cerita isteri & ipar² bangunan ni pernah dijadikan hotel/rumah peranginan sekitar lewat 90an hingga awal 2000.. masih mencari 🤔

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...