Jumaat, 31 Julai 2020

SEJARAH HOSPITAL DI BANTING DAN KUALA LANGAT

Salam buat semua. Kali ini entri Atok berkaitan dengan kesihatan dan hospital. Tapi cerita tok nenek kita di Klang, Telok dan Banting masa dulu-dulu. Orang Melayu ini kalau cerita pasal hospital dan makan ubat memang tak gemar. Kalau pergi sepital (hospital) maknanya nak pergi mati, hantar nyawa. Dari dulu sampai sekarang, dari atuk-atuk kita sampailah kat kita pun sama jer perangai, takut. Tengok doktor takut, tengok jarum apalah lagi! Cuma bila masuk wad, tak mahu pulak nak keluar cepat walaupun dah sembuh... pasal jururawatnya comel-comel belaka. Hahahaha…Jadi, seperti yang Atok khabarkan tadi, Atok akan ceritakan sejarah dan perkembangan hospital di Banting dan klinik-klinik kerajaan ini satu persatu. So, apa lagi korang?...... duduk, rileks dan biarkan jari jemari anda bermain di keyboard,ok? Hospital yang korang nampak kat sebelah Balai Polis  Banting itu bukan ada macam tu jer...panjang cerita sejarahnya...penuh dengan tangis, air mata dan keringat, wang ringgit serta darah ramai penduduk di Kuala Langat....So, bersyukurlah kita ada sebuah hospital dalam daerah kita..takde hospital swasta pun tak mengapa. Ceritanya begini.....

Masa British mula-mula masuk ke Selangor dahulu, memang Mat Saleh ini tak buat klinik atau hospital untuk rakyat jelata. Yang penting bagi mereka macam mana nak punggah hasil bumi Selangor dan Malaya seperti bijih timah,emas dan lain-lain keluar untuk dibawa balik ke England, tempat tinggal Opah Penyamun (Queen) itu. Tahap kesihatan rakyat yang dijajah langsung tak masuk dalam buku diorang. Orang Melayu tetap ke bomoh dan dukun. Imigran Cina hanya berubat dengan ubat-ubatan tradisional Cina yang disediakan oleh Singseh di lombong-lombong mereka. Mereka (British) hanya bina hospital atau wad rawatan untuk pegawai-pegawai atasan Inggeris termasuk para pengurus ladang dan kaki tangan kulit putih berpangkat rendah. Segala ubat-ubatan dibekalkan daripada ibupejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Kalau di Klang atau Kuala Langat, pegawai British yang sakit dan memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke Hospital Eropah (khas untuk orang puteh) di Bangsar atau di Kuala Lumpur.

Bangsar Hospital
Kemudian, apabila pendapatan negeri semakin kukuh, ditambah pula kemasukan imigran dari China dan India secara beramai-ramai, maka idea rawatan kesihatan untuk rakyat  mula diberi perhatian. Perhatian diberi kerana imigran ini aset mereka, untuk digunakan di estet dan lombong. Jadi, kalau anjing sekalipun mereka akan jaga kerana berguna untuk mereka, apatah lagi manusia miskin papa kedana yang dijanjikan kehidupan syurgawi di bumi asing ini. Mestilah mereka jaga! Takkan nak harapkan tenaga buruh orang Melayu untuk estet dan lombong? Bagi mereka orang Melayu ini pemalas. Ya..PEMALAS. kerana Tak mahu bekerja untuk cari duit lebih dan ubah cara hidup mereka. Melayu selesa dengan apa yang ada, bak kata Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu ketika dahulu apabila ditanya tentang sikap orang Melayu. Dalam gelak ketawa beliau berkata, ”Orang Melayu cukup pandai menguruskan kemiskinannya”.Atok rasa ada baik dipecahkan cerita ini berdasarkan kaum kerana Atok rasa korang akan lebih mengerti keperluan setiap bangsa seperti mana dasar 'Pecah dan Perintah' British ketika itu.

A. Kaum Melayu
Pada peringkat awalnya, persepsi orang-orang Melayu, terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman yang jauh dari pusat rawatan ini, terhadap rawatan dan perubatan barat dan moden ini agak skeptikal.Orang Melayu telah pun  mempunyai dua kaedah rawatan perubatan sama ada rawatan secara Islam oleh tabib atau ustaz dan juga rawatan perubatan tradisional biasa oleh dukun dan pawang.Sama ada untuk rawatan penyakit fizikal yang biasa seperti sakit perut, pening kepala, darah tinggi dsb.atau pun penyakit mistik akibat campurtangan syaitan atau jin seperti sihir, histeria, dsb., pengamal atau tabib akan membaca beberapa petikan ayat-ayat suci Alquran. Kaedah rawatan menggunakan pelbagai sumber alamiah termasuk ruqyah dan herba. Biasanya perubatan ini bersifat holistik dan memakan masa. Rawatan perubatan tradisional juga menggunakan herba untuk penyakit-penyakit fizikal. Bagi penyakit mistik pula jampi serapah tetap digunakan untuk menghalau hantu dan jin penyebab penyaki seperti santau dan busung, dsb. Pesakit perlu mengamalkan pantang dan pemakanan tertentu serta pembuangan ancak bagi menghalang penyakit berulang. Hal ini telah menebal dalam diri masyarakat Melayu silam.

Malah anak dan ibu baru bersalin juga terikat dengan pantang larang dan rejim pemakanan yang tidak seimbang dan merugikan. Akibatnya ramai ibu dan bayi meninggal dunia kerana kekurangan nutrisi. Bayangkan siibu yang sedang berpantang hanya dibenarkan makan beberapa jenis makanan sahaja kononnya demi kesihatan ibu dan anak dalam tempoh pemulihan selama 44 hari itu.  Semua ikan kecuali ikan kering tidak boleh dimakan. Sayur juga tidak dibolehkan, kononnya 'sejuk'. Hanya nasi, ikan bilis serta ikan kering, cili,halia dan cuka sahaja sepanjang 44 hari berpantang, sudah semestinya siibu tadi kurus dan ramping tetapi tidak sihat. Apabila siibu tidak sihat maka air susu badannya juga kurang, maka bayinya juga kurang membesar dengan sempurna. Bubur nasi, puding beras dan gula,serta pisang lenyek sahaja untuk bayi. Akibat tidak mengamalkan perancangan keluarga, maka siibu yang kurang nutrisi tadi, berkemungkinan mengandung lagi pada tahun berikutnya. Kanak-kanak pula tidak memakai selipar atau kasut ketika  di luar rumah. Masalah kecacingan lumrah bagi kanak-kanak Melayu di kampung.

Namun selepas serangan demam malaria, kolera, disenteri, dan beri-beri, dan dengan penerangan oeh penghulu dan ketua kampung, sikap mereka mula berubah. Ini semua penyakit-penyakit lama yang dah tak ada lagi di Malaysia.  Kaedah rawatan perubatan Barat bersifat simptomik atau mengikut simptom. Cepat dan berkesan. Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang penyakit-penyakit ini, google jer. Kebanyakan yang pergi mendapatkan rawatan terdiri adalah anak-anak kecil yang menghidap masalah cacing, minta minyak ikan dan ubat kuning. Pil kuinin juga diedarkan kepada semua penduduk melalui Penghulu, hospital, balai polis, dan apa sahaja agensi kerajaan untuk mengelakkan demam malaria, kolera, beri-beri.

B. Kaum India
Keluarga imigran miskin dari selatan India ini mempunyai tubuh badan kecil, kurang stamina, kurang vitamin A dan lemak, kurang protein dalam diet makanan mereka yang berasaskan vegetarian itu. Akibatnya mereka mudah terkena penyakit. Walaupun mereka dirawat di hospital estet, namun diet pemakanan mereka sukar diubah kerana kemiskinan dan kadar upah di estet yang rendah. Anak-anak mereka kekurangan nutrisi sehingga menghidap pelbagai penyakit seperti riket dan polio. Malaria sahaja telah meragut bukan sedikit  nyawa kaum ini di estet. Mereka ini kurang mengambil peduli pencegahan penyakit sehinggalah mereka menghidapinya.  Masalah penagihan alcohol berupa todi,samsu, dan arak bir menjadi penyakit sosial bagi kaum India di estet sejak dahulu lagi. Majoriti (60 peratus) daripada yang dirawat di hospital kerajaan dan estet terdiri daripada kaum ini .

C. Kaum Cina.
Biasanya kaum imigran bermata sepet dari negara China ini merupakan imigran miskin dan kurang berpelajaran. Mereka kuat bekerja tetapi memilih pemakanan yang kurang nutrisi serta cara hidup yang kurang bersih.  Keadaan di rumah kongsi yang kurang sempurna, penagihan candu yang berlebihan, persundalan menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit, fizikal dan sosial. Kebergantungan mereka kepada perubatan tradisional Cina ini tidak dapat membantu mengatasi penyakit-penyakit seperti T.B, pneumonia,  sifilis, kusta termasuk beri-beri akibat kekurangan vitamin kerana pemakanan beras putih. Namun mereka mengikut dan akur arahan pencegahan kerajaan tentang  demam Malaria dengan memakai kelambu ketika tidur. Kesannya, mereka terhindar daripada penyakit tersebut.

Oklah, berbalik kepada cerita sejarah hospital tadi, Dalam tempoh pemerintahan Inggeris dari tahun 1875 sehingga 1940.  di sekitar Klang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Kuala Langat (termasuk Sepang) serta Kuala Selangor (termasuk Sabak Bernam) terdapat sebuah hospital penjara di Klang, sebuah hospital daerah, sebuah hospital di Quarantine Camp , Port Swettenham, sebuah hospital bersalin, sebuah hospital TB (Batuk Kering), sebuah pusat pengedaran dan pengagihan barangan dan peralatan perubatan untuk kegunaan kerajaan dan pihak estet, mungkin juga berfungsi sebagai klinik kerajaan  di Telok Datok, Kuala Langat. Lebih daripada 22 buah hospital estet pernah dibina.

Selain penubuhan hospital, tren penyakit berjangkit seperti malaria dan beri-beri, juga kerap berlaku. Bukan itu sahaja, kebimbangan kemungkinan merebak penyakit ekoran daripada kekurangan zat makanan, penyakit cacar dan penyakit anjing gila. Penyakit serta keadaan kesihatan umum yang tidak higenik ini mendorong kepada penubuhan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 1900. 

Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh IMR, masalah kesihatan umum yang berlaku adalah disebabkan:
i. Kekurangan anggota dan pengamal perubatan  termasuk bidan terlatih. Dinyatakan hanya terdapat 11 orang doktor bagi 54 buah hospital estet di sebuah negeri.

ii. Keadaan tempat tinggal yang kotor dan berpenyakit. Di estet, keadaan air bertakung dalam parit merupakan punca wabak demam malaria.

iii. Tiada kemudahan air bersih. Di kampung-kampung sumber air diperoleh dari sumber perigi yang cetek yang tidak dirawat merupakan punca penyakit taun atau kolera.

iv. Nutrisi pemakanan yang tidak mencukupi dan seimbang. Mengikut kajian, pekerja lelaki Tamil di estet memerlukan sekurang-kurangnya 1900 kalori sehari manakala lelaki Melayu di kampung hanya memerlukan 1600 kalori sehari. Namun disebabkan kos bagi setiap 1000 kalori  di estet kira-kira 30 sen berbanding 20 sen di kampung untuk jumlah yang sama, maka pekerja India itu mengalami malnutrisi kerana tidak mampu berbelanja lebih akibat kadar upah yang murah.

v. Sistem pembuangan najis dan air kumbahan yang tidak sistematik. Penggunaan Tandas curah bersubsidi lambat diperkenalkan di kampung.

vi. Kepercayaan yang masih tebal terhadap adat dan pantang larang. Tambahan pula, Perubatan Barat yang tidak islamik dan dilakukan oleh pengamal kesihatan yang majoritinya bukan  beragama Islam.

vii. Kedudukan pusat kesihatan milik kerajaan dan hanya terdapat di bandar menyukarkan penduduk kampung dan estet untuk mendapatkan rawatan.

Mengikut statistik kerajaan, dalam tempoh tahun 1911 sehingga 1929, tren penyakit yang dihidapi penduduk kian baik. Penyakit malaria,beri-beri, disentri, kusta walaupun masih ada tetapi menunjukkan penurunan yang ketara. Sebaliknya, penyakit-penyakit kelamin, venereal disease, pneumonia dan T.B meningkat. Kadar kelahiran juga menunjukkan tren meningkat. Kerajaan mula melatih lebih ramai doktor, Dresser,Hospital Assistant, Bidan, jururawat termasuk jururawat lelaki di beberapa buah institusi perubatan di Taiping, Melaka dan di seluruh Malaya. Sebagai contoh, untuk menjadi seorang Dresser, seseorang itu perlu menduduki peperiksaan bertulis selama beberapa hari di Hospital Taiping. Kaum wanita sebagai Bidan juga akan dilatih di Melaka, dan sebagainya.

Penubuhan hospital estet adalah wajib dan tertakluk di bawah kawalan Pejabat Buruh dan Kawalan Pihak Imigresen. Namun, kos pembinaan sesebuah hospital yang tinggi, di samping kos operasi estet yang tinggi menghalang pembinaan hospital di setiap estet. Akibatnya, hospital sesebuah estet itu hanyalah sebuah bangsal papan berbumbung atap dengan hanya beberapa buah katil papan tanpa tilam dan bantal, dan kemudahan perubatan yang minimal diselenggara oleh seorang dua Dresser dan beberapa orang jururawat serta bidan. Sebaliknya, sebuah hospital estet yang besar bagi beberapa buah estet berhampiran dilihat lebih praktikal . Kos rawatan pekerja terbabit akan ditanggung oleh estet asal pesakit tersebut.

Di kampung-kampung, melalui hebahan oleh Ketua Kampung di masjid pada pagi hari Jumaat, beberapa orang bidan terlatih mula memberi penerangan kesihatan ibu mengandung dan anak. Merinyu kesihatan melawat kawasan dan memberi penerangan kepada penduduk tentang tandas curah serta perparitan untuk air kumbahan. Justeru, tahap kesihatan penduduk di estet dan di kampung-kampung mula bertambah baik.

Tetapi langit tak selalunya cerah.  Mulai tahun 1929, berikutan harga getah di pasaran  jatuh merudum di seluruh dunia Banyak estet terpaksa mengurangkan kadar upah pekerja mereka daripada 40 sen sehari kepada sepuluh sen sahaja. . Namun, hidup harus diteruskan juga. Orang kampong pada masa itu terpaksa  juga mengubah cara hidup mereka. Jika dahulu kaum wanita hanya bekerja dalam rumah, kini mereka terpaksa keluar membantu suami di kebun atau menjual hasil kampung seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tempe  di pekan sehari atau pasar-pasar sekitar Telok, Banting dan Klang untuk menambah pendapatan keluarga. Mereka mula keluar dari rumah untuk bekerja dan berniaga sejak selepas Subuh sehinggalah selepas Asar baru mereka pulang. Ketika itu tanggung jawab menjaga rumah dan menguruskan adik-adik terletak di atas bahu anak perempuan sulung mereka, tak kiralah berapa umurnya (biasanya 9 tahun ke atas). Kemiskinan dan kurang berpengetahuan tentang kesihatan serta kurang pengawasan terhadap kanak-kanak menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi dan kecacingan.

Bermula tahun 1937, rawatan untuk kes kecacingan dalam kalangan kanak-kanak mula diperkenalkan di hospital dan pusat kesihatan kerajaan (Federal Dispensaries) di seluruh negara.
Selepas Perang Dunia Kedua, malnutrisi kembali menyerang terutama kanak-kanak. Maka dalam tahun 1947, kerajaan memperkenalkan pemakanan berkhasiat di sekolah berupa segelas minuman susu tepung penuh krim setiap hari persekolahan. Vaksinasi atau imunisasi untuk kanak-kanak dijalankan di kebanyakan pusat kesihatan kerajaan. Pada tahun 1951, gaji dan elaun kakitangan hospital dan pusat kesihatan milik kerajaan dinaikkan.
notis Peperiksaan untuk
 Jawatan Hospital Assistant

Selepas negara mencapai kemerdekaan, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan. Klinik bidan dibina hampir  di setiap kampung. Pada tahun 1961, banyak klinik kerajaan dibina di kampung induk/besar untuk kegunaan bersama beberapa kampung kecil berhampiran.

Usul pembinaan hospital di Banting mula disuarakan. Hal ini kerana tiada langsung hospital kerajaan di daerah Kuala Langat ini. Ada penduduk yang terpaksa menyewa kereta sewa atau kenderaan sehingga RM120 untuk membawa pesakit ke dan dari hospital di Klang yang jaraknya melebihi 20 batu (32km) dari pekan Banting. Bayangkan kalau pesakit itu dari Tanjung Sepat atau Sepang! Akhirnya pda tahun 1975, Hospital Daerah di Banting mula menjadi kenyataan.
Bermula dari tarikh itu, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan secara berperingkat diberikan kepada penduduk di daerah Kuala Langat termasuklah di daerah kecil Sepang. Kini, Hospital Banting merupakan sebuah hospital kluster bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Shah Alam yang dilengkapi 153 katil dengan enam kategori kepakaran.
Tinjauan masyarakat sekitar Banting dan Kuala Langat menginginkan suatu hospital baharu serba canggih setaraf dengan keunikan dan kemodenan rekabentuk Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat yang terletak bersebelahan hospital ini yang menggambarkan kepesatan pembangunan ekonomi Kuala Langat sebagai koridor kedua Lembah Klang.

So, kalau ikutkan maklumat daripada sumber akhbar dan sejarah Kuala Langat, terdapat sekurang-kurangnya 4 buah hospital pernah dibina di Kuala Langat dan masih ada dan beroperasi sehingga kini.

a) HOSPITAL LADANG DUSUN DURIAN
 Hospital milik Ladang Kelanang Baru  ini merupakan salah sebuah hospital estet yang ternama di Kuala Langat ketika penubuhannya dahulu. Lokasi hospital ini terletak berhampiran kampung Sungai Arak. Hospital ini dahulunya merupakan hospital bagi ibu bersalin di samping rawatan pesakit luar dan wad bagi kakitangan ladang yang berdaftar dengan Kuala Langat Estate Hospital Association. Walaupun hanya sebuah hospital ladang biasa, namun kemudahan wad bersalin dan perkhidmatan bidan terlatihnya, mengilhamkan beberapa orang isteri pengurus peladang berhampiran memilih untuk melahirkan anak mereka di sini.
Diuruskan oleh doktor bertauliah dan dibantu staf sokongan seperti dresser, hospital assistant, jururawat lelaki dan perempuan dan bidan terlatih, kebanyakan mereka berbangsa Tamil, inilah satu antara dua hospital pusat yang dibina di Kuala Langat sebelum 1974. Sebuah lagi terletak di Pulau Carey. Malangnya, hospital ini hanya untuk pekerja estet dan tidak terbuka untuk masyarakat awam di sekitar Kuala Langat dan Sepang pada masa itu. Hospital ini masih beroperasi untuk rawatan pesakit luar sahaja.




Peta lakar Ladang Dusun Durian
dalam tahun 1973
Bukti kewujudan Hospital Dusun Durian
melalui iklan
Kelahiran di Hospital Dusun Durian

b) HOSPITAL KUMPULAN  LADANG PULAU CAREY
Carey Island Group Hospital merupakan sebuah hospital ladang eksklusif hanya untuk ladang-ladang di bawah Sime Darby Group yang memiliki kesemua ladang di Pulau Carey ini. Sejarah penubuhan hospital ini dapat dibuktikan melalui beberapa keratan akhbar suatu masa dahulu. Kedudukan hospital ini di ladang Timur. Lokasi Pulau Carey yang terpisah dari tanah besar memaksa hospital ini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan termasuk wad bersalin. Beberapa kelahiran anak  pengurus ladang  dan pegawai berbangsa Eropah direkodkan. Hal ini kerana mereka yakin dengan mutu perkhidmatan yang disediakan. Bahkan hospital ini mempunyai wad khas untuk bersalin di hospital itu termasuk untuk isteri dan keluarga pegawai inggeris di sini
Pada tahun 1916, perkhidmatan seorang bidan terlatih berbangsa Tamil dari Malacca Medical Mission diambil. Tiga lagi bidan Tamil  kemudian dibawa masuk untuk berkhidmat ke estet-estet di bawah kumpulan ladang ini.
Kini hospital ini masih berfungsi tetapi hanya untuk rawatan pesakit luar.




Kematian di Hospital Pulau Carey

c) HOSPITAL KECIL LADANG-LADANG
Kemungkinan wujud hospital-hospital kecil lain di ladang-ladang sekitar Kuala Langat dan Sepang. Hal ini kerana memang menjadi tanggung jawab majikan ladang menyediakan rawatan untuk para pekerja mereka,
Senarai Estet di Kuala Langat 1924
Mungkin juga hospital yang disediakan hanya bersaiz klinik yang serba daif, dengan seorang Dresser dan seorang bidan, cukup sekadar memenuhi tuntutan Jabatan Buruh pada masa itu. Mungkin juga untuk kes-kes serius atau bersalin, mereka menghantar pekerja atau keluarga pekerja tersebut ke hospital ladang yang lebih besar dan mempunyai kemudahan lengkap.
Antara kelebihan hospital kecil ini adalah seorang pesakit mendapat rawatan segera dan awal sebelum penyakitnya menjadi serius. Kaum keluarga pekerja tidak perlu membuang wan dan masa ke hospital lain untuk rawatan mudah. Kaum wanita yang hendak bersalin tidak ragu-ragu kerana kesemua suami dan anak masih di ladang yang sama dan boleh melawatnya kelak.


d) HOSPITAL DAERAH BANTING
Hospital Banting dibuka dengan rasminya pada 6 Februari 1975 oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj dengan kos pembinaan sebanyak RM 3.2 Juta dan keluasan 10.48 Hektar. Lokasi hospital ini terletak di Jalan Morib bersebelahan Balai Polis Banting.

Mengikut perangkaan, pada tahun 1974 jumlah kemasukkan pesakit adalah sebanyak 672 orang pesakit dengan kadar penggunaan katil sebanyak 51.13% dan meningkat kepada 3652 kemasukkan dengan kadar penggunaan katil sebanyak 70.04% bagi tahun 1975

Hospital Banting terus berkembang dengan penambahan beberapa buah wad iaitu pada tahun 1991, Wad 5 ( Perubatan Lelaki ), Wad 6 ( Pembedahan dan Orthopedik ) telah diwujudkan manakala pada tahun 2000, Unit Hemodialisis, Blok Pentadbiran, Unit Rekod Perubatan dan Fisioterapi telah diwujudkan. Pada tahun 2005, Unit Geriaterik pula telah diwujudkan

Dibawah projek Rancangan Malaysia ke 8 ( RMK8 ), Bangunan Unit Rawatan Rapi ( ICU ) telah siap dibina dan Perumahan kakitangan ( Kuarters ) terdiri dari 8 unit kelas D dan 16 unit kelas C telah siap untuk diduduki oleh anggota. Secara keseluruhan pada pada Disember 2008, Hospital Banting telah mempunyai 6 buah wad dengan 151 buah katil berbanding dengan 96 buah katil pada tahun 1975. Pada Oktober 2009, unit CCU telah dibuka secara rasmi dengan 2 buah katil beroperasi.

Pada tahun 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang menaik taraf dan menambah infrastruktur di Hospital Banting di sini berikutan keadaan bangunan yang usang dan kekurangan fasiliti sedia ada. Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan memandangkan jumlah katil terutamanya di wad kanak-kanak sangat terhad sehingga menyebabkan kesesakan pesakit. Namun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan dan pihak hospital diminta menyenarai pendek jenis penambahbaikan yang mesti diberi keutamaan.
"Kawasan hospital ini masih luas dan dilihat boleh ditambah beberapa bangunan baharu bagi menampung perkhidmatan pada bangunan sedia ada yang sudah lebih 40 tahun."
KKM akan bantu untuk selesaikan kekurangan yang dihadapi hospital ini pada masa depan, namun bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah 2015 anjuran hospital itu di sini. Dr Hilmi berkata setakat ini, KKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada hospital itu bagi pembinaan kompleks dewan bedah baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Pandangan dari udara
Kawasan Hospital Banting
Tawaran tender pembinaan
 Hospital Banting

Rujukan;
Newspaper Article - Malaria Fever., The Straits Times, 23 June 1910, Page 7
Newspaper Article - Selangor Coconuts, Ltd., The Straits Times, 23 October 1914, Page 9
Newspaper Article - Toddy., Malaya Tribune., 12 July 1917, Page 2
Newspaper Article - ESTATE HOSPITALS., Malaya Tribune., 7 February 1918, Page 4
Newspaper Article - SOCIAL AND PERSONAL, The Straits Times, 15 October 1918, Page 8
Newspaper Article - CENTRAL HEALTH BOARD AFFAIRS., The Straits Times, 24 October 1930, Page 15
Newspaper Article - LOCAL HEALTH BOARDS INQUIRY., The Straits Times, 4 May 1931, Page 12
Newspaper Article - P. A. M. AND PLANTERS' SALARIES., The Straits Times, 1 May 1934, Page 6
Newspaper Article - OFFICE-BEARERS., The Straits Times, 2 April 1935, Page 13
Newspaper Article - More midwives needed, The Straits Times, 23 April 1958, Page 5
Newspaper Article - 250,000 want improved medical facilities, The Straits Times, 31 July 1959, Page 7
Newspaper Article - The 'samsu devil' and the man of 70 who killed twice..., The Straits Times, 16 January 1964, Page 5

Ahad, 19 Julai 2020

Sejarah Balai Polis lama Telok Datok dan Kuala Langat (1960-1990)

Salam buat semua. Moga semuanya sihat walafiat. Atok doakan agar kita semua diberikan Allah SWT kesihatan yang baik agar dapat kita terus beribadat kepadaNya dalam keadaan yang lebih baik dan terurus. Oklah, Atok nak sambung lagi kisah abam-abam polis yang perkasa berkhidmat di Kuala Langat khususnya dan di negara kita amnya. Hari tu kita dah tengok dan baca betapa pengorbanan mereka mempertahankan agama bangsa dan negara daripada ancaman luar dan dalaman. Bukan hanya Jepun dan komunis, malah daripada manusia-manusia durjana sewaktu aman. Yang penting keselamatan rakyat diutamakan.  Hampir 20 tahun kita hidup dalam ketakutan.

Kini, dekad 1960-an. Keadaan mula bertukar aman, walaupun komunis dah lari masuk jauh ke hutan di sempadan Siam. Komunis di bandar mula menukar strategi. Mereka memakai pakaian awam, menyembunyikan identiti, menyorok dalam kelompok komuniti bangsa mereka. Mereka menyembunyikan kuku dan taring. Mereka mula  menyerap masuk ke sekolah-sekolah aliran Cina, kumpulan kongsi gelap di sebalik jawatan sebagai guru, pekedai dan sebagainya. Ideologi anti Tuhan mereka diteruskan ke generasi baharu dan lebih muda, menanti masa dan ketika yang lebih sesuai untuk menyerang kembali kita, rakyat yang cintakan kedamaian ini.
Namun, pasukan keselamatan kita kini lebih bersedia membanteras mereka. Kita ekori mereka dan kemudian menggempur mereka di hutan-hutan sekitar Perak dan juga di kampung-kampung baharu. Food Dump yang cuba mereka wujudkan di laluan Titiwangsa digempur habis-habisan oleh pasukan bersenjata termasuk Polis Hutan, Komando VAT69, Senoi Praaq. Di bandar pula mereka berhadapan dengan Special Branch (SB) yang dapat menghidu setiap jejak mereka.

Rasa aman kini diisi dengan pembangunan negara. Kemajuan anak negeri dalam semua sektor. Kuala Langat memulakan kembali aktiviti ekonominya yang berasaskan pertanian, penternakan dan perikanan tetapi dengan pendekatan yang lebih moderen dan sistematik. Mesin dan jentera mula menggantikan  kerbau dan cangkul. Bot berkuasa enjin yang menggantikan pendayung dan layar, membelah dan meneroka jauh laut dan lautan. Hasil meningkat, melimpah ruah. Nikmat kemerdekaan dikongsi bersama. Populasi Kuala Langat dan Sepang terus meningkat.

Penduduk Kuala Langat ketika itu mencecah 30,000 orang.  Namun, bilangan kes jenayah juga semakin meningkat. Daripada kes kecurian basikal, kemalangan jalan raya sehinggalah jenayah berat seperti pembunuhan, rompakan bersenjata, kongsi gelap, penyeludupan, dan lain-lain. Sememangnya, bilangan anggota pasukan polis perlu ditambah, termasuk pengambilan polis wanita.





Begitulah juga dengan infrastruktur balai-balai polis sedia ada, harus ditambah dan diperbesar. Bangunan sedia ada sudah mula usang dan kecil. Yang dahulunya selesa kini menyesakkan. Aduan dan keluhan daripada pegawai dan kakitangan balai perlu dipertimbangkan. Kebajikan anak buah mesti dipenuhkan.

Mereka mahukan balai-balai baharu dibina di Banting, Telok Panglima Garang, Sungai Manggis. Banyak aduan jenayah di situ perlu ditangani segera.
Pergaduhan kongsi gelap, penyeludupan arak dan rokok haram, kecurian, malah pembunuhan kejam berlaku. Kawasan yang dahulunya tenang, kini kawasan panas. Balai-balai polis sedia ada juga mahukan pembaikan dan pemulihan.

Sementara itu, hidup harus diteruskan. Kerjasama dengan pihak penduduk kampung membantu tugas hakiki polis. Maka, Rancangan Kawalan Kampung dilancarkan. Mengikut perancangan, pihak polis akan membina pos kawalan di setiap pintu masuk kampung. Pihak penduduk diminta mengadakan kawalan dan rondaan mengikut giliran dan tatacara yang digariskan oleh pihak polis. Usaha ini mendapat sokongan padu penduduk. Buktinya, sekitar 12,000 penduduk mendaftarkan diri sebagai sukatelawan dalam program ini. Masalah kecurian kian berkurangan. Kampung mereka aman kembali. Tetapi semangat berkawal mereka kian luntur. Ramai yang culas mematuhi giliran bertugas berkawal mereka. Pihak polis hanya mampu menasihatkan dan mengingatkan orang ramai melalui akhbar dan ucapan dalam majlis keramaian di kampung-kampung.

Setelah itu, dilancarkan pula pasukan polis simpanan sukarela pada tahun 1965. Keahlian dipelawa daripada kakitangan kerajaan yang sedang berkhidmat. kursus dan latihan dijalankan di Balai Polis Telok Datok.

Dengan bantuan polis sukarela ini, polis dapat membanteras kegiatan samseng daripada kalangan kongsi gelap dan orang dibuang daerah. Pihak polis meminta pihak bank dan pengurusan ladang menghantar kakitangan sekuriti mereka untuk mengikuti kursus menembak di lapang sasar Bukit Jugra

 

Alhamdulillah. Rungutan, keluhan mereka didengari kerajaan. Pada tahun 1969, ahli parlimen Kuala Langat membawa permasalahan-permasalahan ini ke Dewan Rakyat. Respons daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu memberikan sinar harapan yang diharapkan.

Antara pegawai-pegawai OCPD Kuala Langat yang pernah berkhidmat dalam era ini ialah:
1.  En. Abdullah bin Haji Haron (1962-1965)
2. En. Abu Bakar bin Ahmad (1965-1968)
3. En.  Mohamad Noor bin Che Mat (1968-1971)
4. En. Abdul Rashid bin Yim (1971-1972)
5. En. Yaacob bin Mohd. Amin (1972-??)

1. Balai Polis Telok Datuk
Keadaan balai polis seluas 10 ekar, yang dibina pada tahun 1928 dan digunakan setahun kemudian, kini memerlukan pembelaan terutama kuarters dan tandas komunitinya. Setiap kali air pasang besar pasti balai ini terkena musibahnya. Air Sungai Langat yang melimpahi tebing menenggelamkan kawasan sekitar kuarters sehingga paras betis atau peha sekiranya bertembung musim hujan lebat. Bahkan tandas awamnya juga terkesan oleh kenaikan air ini. Tong-tong najis terapung berserta isinya, mencemari kawasan serta menyebabkan penyakit gatal-gatal dialami  50 penghuni kuarters ini. Setiap kali selepas banjir berlaku, mereka terpaksa membersihkan peralatan dan kawasan rumah mereka. Itupun nasib baik  kerana kuarters mereka berlantai tinggi. Mereka mahukan pihak kerajaan membuat sesuatu.
Suasana di Balai Polis ketika banjir akibat kenaikan paras air Sungai Langat

Ketua Polis Selangor dan  pegawai polis memeriksa keadaan kuarters sekitar Balai Polis Telok Datok
Selain itu, masalah gangguan bekalan elektrik sering berlaku padahal pendawaian elektrik masih baharu kerana Banting dan kawasan sekitarnya mula menerima bekalan elektrik pada tahun 1957.

Walau apapun situasi, pemeriksaan berek oleh OCPD (Ketua Polis Daerah) demi memastikan berek polis ini dalam keadaan bersih. Jadi dari kecil lagi memang telah didedahkan dengan budaya dalam PDRM. Apabila tiba waktunya OCPD membuat pemeriksaan kit dan berek. Kit itu peralatan polis seperti but, tali pinggang dan lencana semua.  bila tiba hari itu, keadaan dalam berek senyap sunyi. Anak-anak yang selalu main di padang akan duduk dalam rumah menunggu dengan teruja. Peralatan polis akan dipamerkan di luar pintu rumah kediaman setiap anggota. Ada satu kotak kayu yang dicatatkan pada kotak kayu tu nama anggota pangkatnya dan di dalamnya disusun kit

2. Balai Polis Jenjarom
Balai yang dibina pada awal era Darurat di Kampung Baharu Jenjarom (Sungai Jarom) ini rupanya tidak dilengkapi kuarters kediaman yang mencukupi dan selesa. Unit-unit rumah yang berkeluasan 10 kaki x 10 kaki tanpa ruang dapur memang sempit dan panas terutamanya pada waktu tengah hari! Sudah pasti menyusahkan kehidupan anggota yang telah berkahwin di balai itu.

3. Balai Polis Tanjong Sepat
Seperti mana Balai polis Jenjarom, masalah petempatan anggota yang terhad juga dialami oleh balai ini.
Tambahan pula, masalah nelayan setempat yang mengadu kehilangan bot-bot mereka dicuri lanun Indonesia.
Akhirnya,  kerajaan membina semula balai polis era Darurat ini pada tahun 1970, lengkap dengan kuarters untuk anggotanya.

4. Balai Polis Banting
Balai polis kecil ini hilang fungsi dan peranannya apabila jambatan baru dibina merentasi Sungai Langat di Telok Datok pada tahun 1959. Tiada keperluan untuk balai polis ini lagi memandangkan pergerakan anggota dan kenderaan dari Balai Telok Datok ke Banting dan sebaliknya cepat dan pantas.
Maka, dalam tahun 1960-an,  balai polis mini ini dijadikan pejabat pendaftaran negara bagi daerah Kuala Langat, yang menguruskan pengeluaran kad pengenalan.

Pada hujung tahun 1969,  pihak kerajaan bersetuju untuk membina sebuah balai polis baharu yang lebih besar dan lebih moderen di Kuala Langat. Maka, Banting menjadi pilihan utama tapak balai baru ini yang mempunyai pelbagai fasiliti pentadbiran dan kawasan kuarters yang selesa serta luas dapat menampung bilangan anggota yang ramai, sekaligus menjadi ibupejabat polis daerah Kuala Langat yang baru.
Kuarters baharu Balai Polis Banting dalam tahun 1970-an
Suasana di Balai Polis Banting dalam tahun 1980-an
Kini, Balai polis Banting yang baru ini mengambil alih fungsi dan peranan Balai Polis Telok Datok untuk generasi akan datang. Tarikh tepat pembinaan balai baru ini tidak diperoleh tetapi dipercayai sekitar 1974, lebih kurang sama masa pembinaan hospital Banting yang baharu.
Pembinaan gelanggang skuasy untuk warga IPD Banting pada 1978
Lokasi Balai Polis Baru Banting yang terletak di Jalan Morib

5. Balai Polis Telok Panglima Garang
Ura-ura pembinaan balai polis di sini mula diperkatakan sejak awal 1963 lagi, ekoran banyak kejadian samseng bergaduh dan mengugut para pekedai bagi wang perlindungan. Pernah Telok Panglima Garang digegarkan dengan pembunuhan kanak-kanak berusia 4 tahun ketika zaman Darurat. Sebagai sebuah mukim yang pesat membangun ekoran perkembangan industri di Lembah Klang, seharusnya sudah ada sebuah balai polis di sini.
Hal ini terus disuarakan oleh para pemimpin masyarakat  terutama UMNO dan MCA di TPG. Mungkin juga kewujudan balai polis di Jenjarom yang berdekatan dengan TPG melambatkan keputusan kerajaan membina balai polis di situ.

Namun, keadaan mula berubah pada awal 1970-an.  Kesan dan status Telok sebagai kawasan perindustrian bebas yang baharu di Kuala Langat serta pertambahan penduduk yang mendadak ekoran penghijrahan masuk penduduk ke sini memaksa kerajaan mengadakan infrastruktur lengkap termasuk sebuah balai polis baharu yang kekal dan besar. Tetapi, entah di mana silapnya, mungkin tiada peruntukan oleh kerajaan pada masa itu, sebuah balai polis yang unik diwujudkan di Telok.

Unik kerana inilah mungkin satu-satunya balai polis di Kuala Langat, bahkan mungkin di Selangor yang disewa di sebuah blok rumah kedai dua tingkat di Batu 10 Kebun Baru, berhadapan jalan raya utama Klang-Banting. Sudah pasti fasilitinya terhad tanpa kuarters. Sepatutnya balai polis ini disebut pondok polis sahaja. Tak ada rotan akar pun berguna. Berkat kesabaran penduduk dan warga polis di sini, maka, di tapak berhampiran kini dibina sebuah balai polis serba lengkap dan besar, menggantikan 'pondok' yang telah lebih 30 tahun mencurahkan berbakti 

E. ERA MASA KINI

Jumlah penduduk di Daerah Kuala Langat kini telah melebihi 200,000 orang dengan  majoritinya adalah berbangsa Melayu, diikuti oleh Cina dan India serta sejumlah kecil Orang Asli.
Setiap Tahun jumlah penduduk di Daerah Kuala Langat akan bertambah, pertambahan bilangan penduduk di Daerah Kuala Langat adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya ialah kemajuan yang begitu cepat di Daerah Kuala Langat, penghijrahan penduduk dari daerah dan negeri lain ke daerah Kuala Langat, perkahwinan, kelahiran dan juga faktor-faktor lain yang mempengaruhi kadar ekonomi di Daerah Kuala Langat.

Disamping itu juga, Daerah ini disokong dengan kemudahan infrastruktur jalan raya yang baik yang menyambungkan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam, Bandar Diraja Klang, Pelabuhan Klang, Putrajaya dan KLIA.
Daerah Kuala Langat juga adalah berlatar belakangkan perusahaan, perindustrian serta       
perdagangan dan pada masa kini Daerah Kuala Langat mempunyai sebuah kawasan perindustrian bertaraf Zon Bebas yang terletak di Telok Panglima Garang. Daerah ini mempunyai seramai 44.5 peratus sahaja iaitu penduduk Bandar manakala 55.5 peratus penduduk luar ba
Jumlah penduduk Banting adalah sebanyak 93,497 orang. Bandar Banting pesat membangun kerana limpahan pembangunan dari pembukaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan Lapangan Terbang KLIA.

Menguruskan keamanan pada zaman teknologi ini menyebabkan PDRM lebih terdedah kepada kritikan orang ramai.Kalau dahulu, orang ramai menghormati polis pada zaman dulu sebab ketika itu rakyat berdepan ancaman untuk dibunuh atau dicederakan oleh parti komunis ini, jadi secara automatik orang ramai memandang polis sebagai pelindung.
Balai Polis Banting/IPD K.LGT

Balai Polis Jenjarom
Balai Polis Tanjung Sepat

Balai Polis Telok Panglima Garang

Bacaan Lanjut:


Newspaper Article - Inspector speaks of a 'mystery' woman with Indonesians, The Straits Times, 26 January 1960, Page 9
Newspaper Article - Dua orang asli kena tahan, Berita Harian, 15 March 1960, Page 1
Newspaper Article - BOY IS BELIEVED EATEN BY CROC, The Straits Times, 3 July 1962, Page 7
Newspaper Article - Police take-over, The Straits Times, 17 May 1962, Page 5
Newspaper Article - Minta balai Polis, Berita Harian, 24 December 1963, Page 7
Newspaper Article - Police hold five Indonesian smugglers, The Straits Times, 15 April 1964, Page 8
Newspaper Article - PEMUDA MCA MINTA TAMBAH POLIS, Berita Harian, 15 August 1964, Page 8
Newspaper Article - Tiga pedagang di-tangkap, Berita Harian, 21 August 1964, Page 8
Newspaper Article - 12 ribu na' jadi pengawal kampong, Berita Harian, 24 December 1964, Page 6
Newspaper Article - KESULITAN2 KELUARGA POLIS DI-AMBIL BERAT, Berita Harian, 9 April 1965, Page 2
Newspaper Article - Pengawal2 kampong di-kesali lemah, Berita Harian, 24 May 1965, Page 6
Newspaper Article - PASOKAN POLIS SUKARELA, Berita Harian, 30 July 1965, Page 6
Newspaper Article - A betrayal_ No, says robber who aided police, The Straits Times, 21 July 1970, Page 10
Newspaper Article - 55-ft whale in mangrove swamp, The Straits Times, 3 June 1972, Page 5





Seronoknya Berhari Raya di Klang.....Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Atok muncul lagi. Hehehe...Sengaja Atok sambung balik cerita Atok hari itu pasal Puasa dan Raya. Orang Melayu ini berbeza ...