Nostalgia Padang Awam TPG

Salam buat semua. Apa khabar teman-teman blogku, juga kengkawan dan saudara maraku di TPG. Semoga kalian dirahmati Allah Taala. Amin. Minggu lepas aku balik ke Taman Dato' Hormat, ziarah kakak aku. Dah sebulan lebih aku tak balik. rindu aku kat dia, bapa dan emak-emak sedara mara aku di Batu 11. Dari Seremban, aku ikut PLUS dan kemudian exit kat Saujana Putra sebelum sambung perjalanan aku di SKVE dan keluar kat interchange TPG. Bila terpandang jer signboard TELOK PANGLIMA GARANG, aku terharu. Gembira bercampur sedih. Apa tidaknya, aku kini kembali berada di tempat aku dilahirkan, kemudian dibesarkan, sebelum aku menghabiskan 35 tahun daripada usiaku merantau ke Melaka, Amerika Syarikat, Sarawak dan kini di Seremban.

Setiap tempat di Telok, mengingatkan aku kenangan lama suka dan duka bersama kawan-kawan sebaya aku membesar bersama. Ketika aku melintas pekan Telok, sebelum membelok ke Taman Dato' Hormat, pandanganku tertumpu ke arah padang awam Telok yang bersebelahan sekolah Cina itu. Di situlah, di padang itulah satu-satunya pusat rekreasi dan sukan orang kampungku. Di situ jugalah aku, Seman, Faizal, Badrul, Ajis, Hanapiah anak Pakcik Leman dan budak-budak Telok serta Simpang Batu 11 bermain bola sepak, boleh dikatakan hampir setiap petang dan cuti sekolah. 
Padang Awam Telok

Tapi yang paling ditunggu-tunggu oleh penduduk Telok ialah perlawanan persahabatan antara kelab bola sepak di mukim TPG, biasanya pada hari Sabtu atau Ahad. Tidak ada pengumuman atau banner tentang  game hari itu, tapi semua orang Telok macam dah tahu ada friendly match bila jaring gol dan bendera tepi line dipasang. Tahu-tahu lepas Asar dah penuh dah orang menunggu kat tepi padang itu. Ada yang menenggek atas motor tepi jalan, ada yang duduk tepi parit, siap dengan air minuman, bungkus ikat tepi lagi. Makin lama makin ramai orang berkumpul. Berapa ramai penonton bergantung kepada populariti team-team yang main.Tak payah tunggu lama, datang dah apek jual aiskrim naik motor menebeng tepi padang sambil bunyikan loceng.

Warung Pak Atip di tepi pasar ikan lama dan Gerai Poklong Lias serta Mak Yah (Sebelum itu arwah Brother Mus berniaga) di bawah pokok tepi jalan depan rumah Ontu (Orang Tua) Rahim dan Ontu Mansor itu penuh dengan pelanggan yang order makan mee goreng dan pekena teh sebelum dan selepas perlawanan bola itu. Apabila masuk jer team feveret diorang, ramai yang bertepuk sorak, terutama team Kg.Simpang Batu 11, yang dikenali dengan nama Simpang United dan juga team Telok, Telok FC. Ramai anak-anak Telok yang hebat dalam kedua-dua team. Faizal Timah Lawa, abang Atan Cikgu Zainuddin, abang Atan anak Mat Burung, Abang Tapa anak Makcik Seri merupakan pemain-pemain pilihan orang kat Telok. Ada yang terpilih sehingga mewakili Kuala Langat dan PKNS dalam Liga Selangor.

Kat padang itu jugalah orang Telok berkumpul untuk menonton wayang pacak. Wayang pacak ini merupakan program Jabatan Penerangan untuk hiburkan orang kampung disamping menyebarkan mesej-mesej kerajaan masa itu. Sejak awal petang sebelum malam tayangan itu, land rover dan van Jabatan Penerangan heboh mengajak orang-orang kampung supaya keluar dan turun ke pekan Telok. Aku tak ingat berapa kerap diorang adakan tayangan kat padang itu. Mungkin sebulan sekali atau dua tiga bulan sekali kot. Memang aku tak ingat. Yang aku ingat, petang-petang sebelum Maghrib dah ramai orang datang , siap bawa tikar mengkuang untuk duduk anak beranak. Solat Maghrib hilang entah ke mana dan di mana aku pun tak tahu. Tapi tayangannya lepas Isyak karang. 

Ada filem Melayu dan ada filem Inggeris. Aku dengar diorang kata sekali-sekala ada filem hindustan. Entahlah, tapi yang pasti masa tengah syok-syok tengok diorang potong stim, berhenti untuk kempen dan mesej kerajaan. Aku tak ambil port (endah) pasal mesej itu. Yang aku ingat aku dan ramai orang kat padang itu ambil kesempatan time itu beli kacang rebus, kacang goreng dan apa jua makanan dan minuman yang dijual penjaja malam itu.Itu jer lah hiburan orang Telok selain tengok wayang Cina kat Tokong Simpang tu. Yang muda mungkin panjang langkah diorang ke Klang untuk berhibur tengok wayang dan ke Kelab Malam El Dino atas Great Wall itu. Keesokan harinya, penat pekerja townboard kutip kertas surat khabar pelapik punggung dan plastik bekas minuman. Aku rasa kalau penuh sebakul sampah sarap, sebakul juga sumpah seranah orang yang buat sampah itu dapat. Lantak korang ler.

Di sini jugalah temasya sukan belia dan pelajar sekolah diadakan. Dahulu, temasya sukan sekolah merupakan temasya sosial untuk masyarakat setempat. Habis keluar semua orang Telok, keluar untuk meramaikan majlis sukan tersebut. Majlis itu juga dihadiri oleh orang-orang kenamaan, wakil rakyat, menteri, pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung. Yang pasti,  Allahyarham Tuan Haji Talib b. Bulat , ketua kampung aku yang dah berkhidmat selama 25 tahun (1968-1994) gerenti ada. Aku seronok dengan sikapnya yang peramah, mesra dengan budak-budak sebaya aku. Pasal itu Tok Talib a.k.a Tok Onn (panggilan hormat orang kampung aku kepada beliau kerana kepetahannya berucap tanpa teks, macam Dato' Onn Jaafar) merupakan orang paling popular dan berpengaruh di Telok. 

Biasanya kejohanan sukan ini diadakan pada hari Sabtu sebelah petang,mulai 2 petang. Selain daripada bebudak sekolah bersaing dalam acara sukan, ada juga diselitkan acara sukan untuk ibu bapa, guru, dan orang kampung. Memang meriah sungguh. Makin petang makin ramai penonton. Tak ada yang balik sehingga tiba acara kemuncak temasya sukan itu, iaitu majlis penyampaian hadiah untuk pemenang. Biasanya pemenang dapat piala perak, medal dan juga hadiah sampingan. Isyy...tidak ler sampai beri TV atau motosikal! Biasanya dapat ler hamper makanan dan bekas-bekas plastik. Itupun budak-budak dan orang kampung seronok sangat. Kalau korang tengok masa itu, macam kat pesta Jom Heboh, gerai segera makanan dan minuman sibuk melayan pelanggan. Tapi tak ada ler gerai tudung bagai! Adik aku pun ambil kesempatan jual aiskrim kat situ, habis...maklumlah cuaca panas mengerlip. Pendek kata, semua orang happy.

Di padang inilah juga pernah berlangsung acara lumba jalan kaki dari Telok ke Klang. Ramai juga peserta yang mengambil bahagian. Rata-rata peserta dari kaum India. Dekat satu sudut padang ini juga didirikan taman rekreasi untuk anak-anak kecil bermain. Di situ ada papan gelongsor dan jongkang jongkit. Tapi sayang, tak ada  pokok rendang untuk ibu bapa berteduh. Lama kelamaan, padang mainan bebudak ini terbiar reput dan berkarat begitu sahaja.

Itu masa dulu, tahun-tahun 1960-an sehingga pertengahan 1980-an. Masa itu penduduk Telok tak seramai sekarang. Taman perumahan yang ada masa itu hanyalah Taman Telok yang dibina PKNS. Memanglah keperluan rakyat dan orang kampung itu yang rata-rata golongan pekerja bawahan dan pekebun tak banyak. Mereka terima jer apa sahaja pembangunan kat Telok. Tapi kini ,dalam tahun 2015,  Penduduk Kampung Telok Panglima Garang sahaja sudah seramai 14,408 orang iaitu 7,924 lelaki dan 6,484 perempuan, di kampung dan di 9 buah taman perumahan yang terdiri daripada:

1.Taman Panglima
2.Taman Dato’ Hormat
3.Taman Telok
4.Taman Jaya Utama
5.Taman Halijahton
6.Taman Indah Jaya
7.Taman Perkasa
8.Taman Pertiwi
9.Taman Aman
Lokasi kemudahan sukan dan rekreasi di TPG
Belum campur lagi jumlah keseluruhan penduduk mukim TPG yang sudah lebih daripada 63,726 orang (statistik tahun 2010). Daripada bilangan itu, hampir 50,000 orang merupakan penduduk di bawah usia 40 tahun. Sudah pasti golongan ini aktif dan masih aktif bersukan dan berekreasi. Banyak rungutan dan sungutan golongan inin yang mendesak dibina kawasan riadah di TPG untuk orang awam seperti taman permainan, kawasan jogging dan sebagainya. Kemudahan sukan rekreasi yang sedia ada seperti Gelanggang Futsal Taman Dato’ Hormat dan Gelanggang Bola Sepak Pekan Telok Panglima Garang, masih tidak memenuhi tuntutan mereka. Sudah tiba masanya kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kuala Langat mendengar dan merealisasikan impian dan hajat majoriti penduduk TPG ini, sekurang-kurangnya satu taman rekreasi seperti yang ada di pekan Banting itu dalam perancangan pembangunan induk mereka. Aku cuma menyampaikan jer. Semoga TPG terus membangun dan sentiasa dalam rahmat Allah Subhana wa taala. Amin.

Rujukan:
 http://paritmahang.pi1m.com.my/index.php/maklumat-setempat/maklumat-am












 

Ulasan

Catatan Popular