Sabtu, 7 November 2020

Tenggelamnya Jambatan Madras di Klang

Salam buat semua. Atok doakan korang semua dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Atok dan Wan korang tengah duduk ontok-ontok kat rumah pasal Daerah seremban dikenakan PKPB sampai 18 November nanti.  Hari tu Atok nak balik kampung TPG pun tak boleh. Selangor dan Wilayah PKPB.  Diorang lagi teruk, sambung sampai 28 hari. Kes Covid makin parah. Korang berjaga-jagalah. Lepas solat jangan lupa berdoa mohon dibebaskan negara kita daripada wabak ini secepat mungkin. Jaga SOP. Jaga Jarak.

OKlah. Entri Atok kali ini memang special, lain daripada yang lain. Korang mesti pelik baca tajuk kali ini. Tak pernah pun dengar cerita cenggini. Rileks. Memanglah korang tak pernah dengar. Ini cerita zaman dinosaur. Atok dan korang pun belum ada. Kalau sekarang, Klang berbangga ada tiga buah jambatan. Dahulupun Klang dah ada tiga jambatan...tapi rupa jambatan-jambatannya tak sama dengan yang sekarang. Dahulu Klang ada  sebuah jambatan gantung dan dua buah jambatan terapung....ya, terapung atas air! Tak percaya? Tengoklah gambar kat bawah ini. RARE bukan? Tapi semuanya dah arwah dah, mati masa umur masih muda, tak banyak dosanya. HAHAHA. Tapi memang pelik, memang unik! Ada kat Klang jer. Satu Malaya korang pusing tak jumpa punya. MADE IN KLANG.... ORI! Kisahnya begini....

Pentadbiran Tentera British (BMA) telah pun membina Jambatan Madras dan Jambatan Sydney sebagai penghubung sementara selepas berakhir Perang Dunia Kedua bagi menggantikan Jambatan Belfield. Kenapa diberi nama Madras dan Sydney? Hahaha...soalan itu patut korang tanya kepada Mat Salleh yang buat jambatan tu..Yang boleh Atok fikirkan, untuk tenangkan curiosity korang ialah....Mungkin untuk menghargai jasa tentera-tentera India dan Australia yang membantu empayar British semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Ok,ok...bolehlah terima tekaan Atok tu. Tapi,tok....yang mana satu jantan yang mana satu betina? Ya tak ya juga! Oklah, daripada maklumat yang Atok baca...yang terletak kat kedudukan Jambatan Kota Sekarang, di situlah Jambatan Sydney manakala berhampiran dengan Jambatan Musaeddin sekarang itu Jambatan Madras. Kedua-dua jambatan ini ONE WAY THRU...

Jambatan Sydney ini membolehkan kenderaan dari Klang Selatan dan Port Klang ke  Klang Utara dan Kuala Lumpur manakala Jambatan Madras pula membawa kenderaan Klang Utara dan Kuala Lumpur ke  Klang Selatan dan Port Klang.Pendek kata, Jambatan Sydney dekat Klang Utara manakala Jambatan Madras dekat Klang Selatan. Patutlah nama Madras dipilih, pasal Klang Selatan ramai kaum India! kih,kih,kih.....Pembinaan dua jambatan sementara ini dilakukan kerana kekangan kewangan selepas perang yang dialami pihak British.


Klang pada tahun 1951


 Lokasi Jambatan Terapung Madras 

       Lokasi Jambatan  Terapung Sydney

Apa dia jambatan terapung tu? Macam mana boleh timbul atas air? Selamatkah?Hahaha....Atok dah macam boleh baca apa yang ada dalam benak korang. Nak tahu,kan? Hah, hadamkan ini!
Jambatan terapung atau juga dipanggil jambatan pontoon menggunakan dek terapung untuk menyokong laluan berterusan untuk pergerakan kenderaan atau manusia.  Dek terapung ini diperbuat daripada pontoon konkrit besar (seakan tongkang) yang kedap udara yang disambungkan secara hujung ke hujung dengan kabel. Pontoon-pontoon ini kemudiannya diikat  ke blok konkrit di dasar sungai agar tetap kedudukannya di atas air sebelum dibina jambatan besi atau aspalt di atasnya. Bagaimana boleh dek konkrit seberat itu terapung di atas air dan mampu menampung berat kenderaan dan muatannya? Sebenarnya daya apungan membolehkan dek itu terapung. Selagi berat keseluruhan struktur jambatan dan kenderaan yang bergerak di atasnya sama dengan jumlah air yang digantikan, maka ianya tetap terapung. Namun, semuanya ada hadnya. Jika had muatan berlebihan, atau ikatan kabel mula longgar, atau berlaku kebocoran pada dek tersebut, maka akan timbul masalah kepada kestabilan jambatan ini. Sebab itulah jambatan ini hanya bersifat sementara, bukan bagi tujuan penggunaan jangka panjang.

Jambatan pontoon jenis Bailey ini turut dikenali sebagai Jambatan Bailey Madras dan Jambatan Bailey Sydney. Jambatan Madras boleh menampung kenderaan sehingga 12 tan sementara jambatan Sydney boleh menampung kenderaan sehingga 20 tan. Keseluruhannya, sebanyak 26 buah pontoon digunakan bagi membina kedua-dua jambatan ini. Kedua-dua jambatan ini mempunyai lorong kenderaan dan lorong pejalan kaki yang berasingan yang digunakan selama 13 tahun bermula pada 1946 sehingga 1959. Kedua-dua jambatan ini telah banyak berjasa kepada penduduk-penduduk di sekitar Klang. Selama 13 tahun perkhidmatannya, sudah berjuta-juta kenderaan dan manusia yang menyeberanginya.

Pada tahun 1950, 72% daripada penggunanya adalah lori-lori yang membawa muatan pelbagai barangan dari W ke Pelabuhan Klang. Dalam tahun 1958, hasil kajian pemerhatian seorang guru berserta anak-anak muridnya dari Sekolah Tinggi Klang, sebanyak 6500 buah kenderaan menggunakan kedua-dua jambatan ini dalam masa 12 jam. Penyelenggaraan kedua-dua jambatan ini memerlukan peruntukan kewangan sebanyak 80 sehingga 100 ribu ringgit setahun.



       Gambaran terperinci kedua-dua jambatan terapung

Masalah dan Kelemahan Jambatan  Madras dan Sydney

Biasanya kegagalan jambatan jenis ini berpunca daripada desain pontoon dan sistem pengikat kabel dasar sungai yang kurang baik serta juga penyelenggaraan yang tidak mengikut SOP yang ditetapkan termasuk keupayaan menggantikan dek-dek ini dengan pantas sekira berlaku kecemasan. Sememangnya Sungai Klang tidak mempunyai lapisan batuan keras di dasar sungai. Buktinya setelah beberapa tahun dibina pada tahun 1908, tiang konkrit Jambatan Bellfield  di tengah-tengah sungai didapati mula tenggelam sehingga terpaksa dibaikpulih. Perbezaan paras air ketika pasang dan surut juga agak ketara. Tebing yang berlumpur jelas kelihatan ketika air surut. Ketika itu kecerunan jambatan agak curam berbanding ketika air pasang. 

Pada tahun 1946 hingga 1950-an, masih kelihatan buaya-buaya tersidai dan terdampar di kedua-dua tebing  sungai. Ciri-ciri keselamatan jambatan-jambatan ini adalah minimal.Tiada jaring atau jaket keselamatan disediakan. Arus sungai yang deras ketika air pasang membawa sampah-sampah dari hulu sungai pasti tersangkut di jambatan ini. FYI, Jambatan Madras bagaimanapun pernah hampir putus sebanyak dua kali , iaitu dalam bulan Feruari dan Ogos pada tahun 1950 . Ketika itu, pokok besar yang tumbang dan terapung ketika air pasang menghentam Madras sehinggakan beberapa pontoon tenggelam. Mujurlah pontoon-pontoon itu terletak berhampiran tebing, bukan di tengah-tengah sungai. Wow, dah macam cerita Titanic pulak dah! Setelah beberapa hari, jambatan tersebut boleh digunakan semula setelah pontoon yang tenggelam di dalam selut itu dipindahkan dan digantikan dengan pontoon yang baharu.

Tragedi April

Pada suatu hari dalam bulan April 1951, tepat jam 10 pagi, Jambatan Madras sepanjang 200 ela (600 kaki atau hampir 200meter ini mula tenggelam setelah beberapa pontoon di bahagian tengah sungai dimasuki air. Ketika kejadian air sedang pasang dan kedalaman sungai pada ketika itu 47 kaki dari dasar sungai. Ketika siren amaran dibunyikan kira-kira 20 orang sedang cuba menyeberang termasuk sebuah bas di atasnya. Syukurlah kerana mereka semua sempat menyelamatkan diri, cuma bas tersebut terhumban ke sungai. Ketika itu juga kabel jambatan Sydney mengalami gegaran dan pontoon-pontoonnya beralih daripada kedudukan asal. Akhirnya tepat jam 3 petang hari yang sama, Jambatan Sydney pula diarahkan tutup. Huru hara Klang pada masa itu, semua kenderaan diminta menggunakan Jambatan di Bukit Kemuning untuk menyeberang sungai Klang. Beberapa hari selepas itu, Jambatan Sydney dibuka semula setelah diselenggara oleh JKR.

Mengenai Jambatan Madras pula, pada bulan Disember 1951,  kerajaan membaikpulih jambatan itu dengan 10 buah pontoon baharu yang ditunda dari Singapura, 4 pontoon besar dan 6 yang kecil. Setelah itu, giliran Jambatan Sydney pula. Kerja-kerja membaikpulih mengambil masa sehingga Mac 1952. Kedua-dua jambatan telah dibaiki dengan kos sebanyak $500,000 (RM2.1 juta mengikut kadar terkini). 



 
Implikasi Pasca Trauma

Kejadian pada bulan April 1951 itu menimbulkan bantahan orang ramai terutama tentang keselamatan anak-anak mereka. Sebelum kejadian Jambatan Madras putus dan tenggelam, bas sekolah mengangkut dan menghantar para pelajar dari rumah ke sekolah dan sebaliknya. Tiada masalah. Setelah kejadian berlaku di mana hanya pejalan kaki dibenarkan menyeberangi jambatan Sydney, para pelajar terpaksa berjalan kaki ke sekolah pada sebelah pagi dan begitu pula ketika pulang ke rumah selepas sesi persekolahan. Bayangkan mereka berjalan kaki di bawah terik mentari dan ada ketikanya hujan. Walaupun masa menyeberang jambatan ini tak lama tetapi mereka sering lewat tiba di sekolah dan didenda. Ibu bapa sering mengeluh kerana risaukan anak mereka yang masih kecil melintas sungai yang besar itu. Melihatkan keadaan jambatan yang kurang ciri-ciri keselamatannya, kemungkinan pelajar tergelincir dan jatuh ke dalam sungai ketika menyeberang atau bertolak-tolakan ketika melintas adalah tinggi. Mujurlah tiada tragedi yang berlaku. 

Orang ramai mahukan jambatan yang kukuh dan tetap, bukan bersifat sementara, tak kira berapa harganya. Cukuplah setelah bertahun-tahun bertaruh nyawa setiap kali menyeberangi sungai Klang ini. Atas desakan kuat daripada orang ramai, maka terbinalah Jambatan Kota 1 pada tahun 1959, bapak kepada Jambatan Kota sekarang ini. Oklah. Itu dah cerita lain. Semoga korang dapat manfaat daripada cerita Atok kali ini. Titanic Malaya....Umangai! Assalamualaikum.

Rujukan:

https://www.warisansungaiklang.org/history-of-kota-bridge.html



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Rumah Rehat dan Halting Bungalow di daerah Kuala Pilah

Assalamualaikum buat semua pembaca dan peminat Blog Atok ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita Saidina Muhammad ibni Abdullah, na...