Selasa, 9 Jun 2026

Sejarah Pembangunan Sungai Langat di Kuala Langat

Salam buat semua. Semoga semuanya sihat walafiat."Mari duduk dekat sini, cu. Atok nak bercerita."

Kau tengok sungai tu? Sungai Langat namanya. Dari Atok kecik lagi, sungai ni dah jadi saksi hidup. Tapi korang tahu tak? Sungai ni boleh bercerita lebih banyak daripada Atok. Memang Atok ni dah tua, tapi sungai ni lagi tua. Dia ada sebelum Atok lahir, dan mungkin dia akan ada lama lepas Atok tiada. Dulu masa Atok sebaya korang, Atok pernah bermain di tebing sungai ni. Airnya jernih, ikannya banyak. Tapi yang atok paling ingat... bukan airnya, bukan ikannya.

Atok ingat cerita arwah Tok Wan Atok. Tok wan Atok dulu bercerita, zaman kolonial British, orang kita kat Kuala Langat ni susah. Bukan susah makan, tapi susah nak merentas. Sebab sungai ni lebar. Tak macam sekarang ada jambatan besar. Dulu... haa, korang bayangkan, nak ke seberang kena guna feri ponton. Macam rakit besar, kena tarik pakai kabel dari seberang. Lepas tu, rakit tu goyang-goyang. Kalau hujan, bertambah bahaya.

Tok wan Atok cerita, pada tahun 1922, ada satu kemalangan besar. Feri ponton kat Sungai Buaya tu terbalik. Bukan main-main, cu. "Dua biji kereta terjun  sungai. Kereta zaman dulu bukan macam kereta sekarang. Mahal, susah nak dapat. Lagi teruk, yang naik feri tu sekali ialah Raja Muda Selangor. Bayangkan, raja pun kena redah feri buruk macam tu.

Atok pernah tanya tok wan Atok, "Kenapa British tak buat jambatan?"

Tok wan senyap. Lepas tu dia jawab, "Sebab kita tanam getah, bukan lombong bijih timah."

Atok masa muda dulu tak faham. Tapi bila Atok besar, Atok mula faham. British bina jambatan kat Hulu Langat banyak-banyak sebab kat sana ada bijih timah. Bijih timah tu duit. Banyak duit. Tapi kat Kuala Langat, kita tanam getah. Getah pun duit juga, tapi tak secepat bijih timah. Jadi British cakap dalam hati, "Ah, biarlah diorang guna perahu dan feri ponton. Tak payah buang duit bina jambatan besar."

Tapi tok wan kata, pernah juga tahun 1909 dahulu ada wakil dari Singapura datang. Dia orang nak tengok-tengok tempat untuk bina jambatan gantung. Cantik konon. Tapi macam biasa, habis dia orang balik, projek tu mati. Tak kedengaran cerita lagi. Sebab British kira... kos tak berbaloi.

Tahun 1911, baru ada jambatan. Bukan sebab British baik. Tapi sebab masa tu harga getah tengah naik gila-gila. Tiba-tiba, getah kita jadi berharga. Barulah British terhegeh-hegeh nak bina jambatan besi. Panjang 560 kaki. Besar bukan main. Jambatan tulah yang ubah segalanya. Sebab lepas jambatan tu siap, orang mula pindah. Pusat pentadbiran daerah yang duduk kat Jugra, bertukar ke Banting. Pekan Banting mula membesar. Kedai bertambah. Sekolah dibina. Jalan raya disambung. Semuanya, sebab sepotong besi yang merentasi sungai.

Tapi cerita Tok Wan tak habis kat sampai situ. Jambatan besi 1911 tu kena bom masa Perang Dunia Kedua. Hancur. Lepas tu, guna jambatan kayu. Kayu! Kita dah merdeka pun, masih guna jambatan kayu. Macam cerita yang tak pernah nak habis. Tahun 1961, baru ada jambatan konkrit. RM800,000 kos buatnya. Sultan Selangor datang merasmikan. Tapi apa kan daya, jambatan tu tak muat lagi bila trafik makin padat. Kena ganti dengan jambatan baru. Tahun 2005. Lepas tu... haa, ni yang pelik, korang dengar ya.

Jambatan 2005 baru siap, setahun dua lepas tu, tiba-tiba ada aduan dari kilang besi kat Olak Lempit. Kilang tu guna tongkang besar untuk bawa besi. Tapi bila air pasang, tongkang dia terlanggar jambatan. Teruk. Kilang tu tekan kerajaan. Akhirnya, mereka kata,"Kami sanggup bayar harga jambatan baru."

Lepas tu, nak tahu apa jadi? Jambatan 2005 kena roboh. Ganti dengan Jambatan Banting 2007—yang korang gunakan sekarang. Reka bentuk melengkung, tak ada tiang di tengah. Tinggi. Tongkang boleh lalu dengan senang. Tapi... Atok nak tanya korang. Berapa kos jambatan 2005 yang kena roboh tu? Siapa tanggung? Dan kenapa jambatan yang baru setahun jagung kena roboh sebab sebuah syarikat tak suka?

Haa... itu yang atok nak korang fikir-fikirkan. Sungai Langat ni, cu... dia bukan sekadar air. Dia adalah cerita. Cerita tentang zaman kolonial yang lepas tangan. Cerita tentang kemerdekaan yang masih bergelut dengan jambatan kayu. Cerita tentang korporat yang boleh ubah bentuk sungai dan jambatan hanya dengan tekanan dan duit.

Tapi yang Atok paling sedih... bila hujan lebat turun. Macam bulan Disember 2021 dulu. Air sungai naik. Bukan naik sikit, tapi sampai ke bumbung rumah. Orang kita kehilangan segala-galanya. Kerajaan kata banjir luar biasa. Tapi atok tertanya-tanya, kenapa setiap tahun makin teruk? Apa yang kita nak buat kat sungai ni? Apa yang kita dah buat?

Sekarang, kau tengok jambatan yang korang gunakan tu. Cantik. Megah. Tapi ingat... jambatan bukan sekadar besi dan konkrit. Jambatan adalah janji bahawa orang di seberang sana tak akan dipinggirkan lagi. Dan Atok harap... janji tu ditepati. Bukan untuk Atok yang dah tua ni. Tapi untuk korang. Untuk anak cucu korang nanti. Untuk mereka yang masih percaya bahawa sungai yang sama yang pernah menenggelamkan harapan... juga boleh menjadi saksi kepada kebangkitan.

Haa, habis cerita Atok. Korang nak pergi main, pergilah. Tapi ingat pesan Atok: jangan buang sampah dalam sungai. Sebab sungai ni... dia ada memori panjang. Dan dia tak pernah lupa. Macam atok. Atok juga tak pernah lupakan Wan korang. Kih,kih,kih

Untuk meneruskan pembacaan entri ini, tekan link di bawah:

https://syedalsagaff64.blogspot.com/2026/06/sejarah-transformasi-sungai-langat-di.html?m=1


Transformasi Sungai Langat di Hulu Langat

Salam buat semua. Apa khabar sahabat-sahabat, anak cucu Atok di mana jua berada.. Alhamdulillah, Atok baru sahaja pulang daripada percutian ringkas 4 hari 3 malam ke Kuantan dan Terengganu. Walaupun tidak lama, perjalanan itu cukup menarik dan bermanfaat. Dari dalam kereta, sambil menyusuri Lebuhraya Pantai Timur, Atok sempat memerhati pembangunan yang terbentang di hadapan mata. Dari Pahang hinggalah ke Terengganu, satu demi satu jambatan besar merentangi sungai-sungai yang dahulunya menjadi halangan kepada pergerakan manusia. Sampai di Kuala Terengganu pula, Atok berpeluang melihat sendiri kehebatan Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menjadi mercu tanda baharu negeri itu. Kagum juga Atok dibuatnya.

Sepanjang perjalanan, Atok terfikir betapa pesatnya pembangunan negara kita hari ini. Jalan raya yang baik, jambatan yang kukuh, pelabuhan, lapangan terbang, universiti, hospital dan pelbagai kemudahan lain yang kini kita nikmati. Kadang-kadang kita terlalu biasa melihat semua ini sehingga terlupa bahawa suatu ketika dahulu keadaan negara ini amat berbeza.

Sebelum merdeka, kita sebenarnya tidak mempunyai kuasa menentukan hala tuju tanah air sendiri. Orang Melayu di bumi sendiri lebih banyak menjadi pemerhati daripada pembuat keputusan. Pentadbiran negeri-negeri berada di bawah telunjuk penjajah. Sultan dan Raja Melayu masih mempunyai kedudukan, tetapi kuasa sebenar banyak terletak di tangan pegawai-pegawai British. Ada ketikanya mereka sekadar hadir merasmikan majlis, menandatangani perjanjian atau watikah yang telah disediakan terlebih dahulu. Hendak menolak tidak mampu, hendak membantah tidak berkuasa. Orang tua-tua dahulu menyebut keadaan itu seperti lembu dicucuk hidung.

Sedangkan hasil bumi negara ketika itu bukan sedikit. Bijih timah melimpah ruah. Tanah pula subur untuk tanaman getah yang sedang melonjak nilainya di pasaran dunia. Namun siapa yang mengaut keuntungan terbesar? Bukan anak watan. Sebahagian besar lombong dikuasai kapitalis asing dan tauke besar. Ladang-ladang getah pula berkembang ribuan ekar di bawah syarikat-syarikat Eropah dan pelabur luar. Kita hanya mampu melihat kekayaan tanah air mengalir keluar dari tangan sendiri.

Namun jika hendak berlaku adil kepada sejarah, Atok tidak mahu meletakkan semua kesalahan di bahu penjajah semata-mata. Sedikit sebanyak, kelemahan itu datang daripada kita juga. Ketika peluang ekonomi baharu muncul, ramai yang masih selesa dengan cara hidup lama. Bertani sekadar cukup makan, menangkap ikan sekadar keperluan keluarga, tanpa memikirkan pengeluaran secara komersial. Kita masih terbuai dengan kemasyhuran sejarah lampau, seolah-olah kegemilangan Kesultanan Melaka akan kekal menjadi bekalan selama-lamanya. Sedangkan dunia sudah berubah.

Jangan pula kita menyalahkan kaum imigran yang datang pada masa itu. Mereka juga manusia yang mencari rezeki dan masa depan yang lebih baik. Mereka melihat peluang lalu merebutnya. Mereka sanggup bekerja keras, mengambil risiko dan membina kekayaan. Sedangkan ramai dalam kalangan kita masih menganggap tanah ini akan sentiasa menjadi milik kita walaupun tanpa usaha. Akhirnya sedikit demi sedikit, ribuan ekar tanah bertukar tangan, sama ada melalui jual beli, pajakan ataupun pengambilan yang tidak disedari kesannya pada masa hadapan.

Sebab itulah apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, maknanya jauh lebih besar daripada sekadar menurunkan bendera penjajah dan menaikkan bendera baharu. Merdeka memberi peluang kepada kita menentukan nasib sendiri. Merdeka membolehkan hasil negara digunakan untuk membangunkan rakyat dan tanah air. Dalam tempoh tidak sampai tujuh dekad, kita menyaksikan perubahan yang luar biasa. Anak kampung menjadi doktor, jurutera dan profesor. Jalan raya merentasi banjaran. Jambatan menghubungkan tebing yang dahulu terpisah. Universiti dan hospital tumbuh di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya hari ini kita tidak lagi menjadi seperti ayam mati kelaparan di kepuk padi, itik mati kehausan di dalam air. Kita mungkin masih mempunyai banyak kelemahan dan cabaran, tetapi kita mempunyai hak untuk menentukan arah perjalanan negara sendiri.

Sebab itu Atok mengajak sahabat-sahabat semua merenungi bait-bait puisi yang ditulis oleh Haji Abdul Majid pada tahun 1913, lebih satu abad yang lalu. Puisi itu sebenarnya bukan sekadar sajak. Ia adalah jeritan zaman. Jeritan seorang anak bangsa yang melihat kekayaan negeri mengalir keluar dari tangan bangsanya sendiri. Jeritan yang mengajak orang Melayu bangun daripada lena dan mengambil bahagian dalam arus perubahan ekonomi.

Hari ini, pesanan itu masih relevan. Jangan kita ulangi kesilapan datuk nenek kita. Jangan leka apabila peluang berada di depan mata. Jangan terlalu selesa sehingga orang lain mendahului kita. Sejarah bukan untuk ditangisi, tetapi untuk dijadikan pedoman.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA.

Untuk pembacaan seterusnya, tekan link di bawah:

https://syedalsagaff64.blogspot.com/2026/06/transformasi-pembangunan-sungai-langat.html?m=1

Sejarah Menarik Kg. Sg. Kelambu, Banting

 







 


Salam buat semua pencinta sejarah dan cerita-cerita lama. Hari ini hari Jumaat – penghulu segala hari. Atok dan anak-anak bersiap-siap ke masjid untuk tunaikan solat Jumaat. Selepas sembahyang, sambil minum kopi O panas, Atok terus terkapar di depan laptop. Nak cari bahan penulisan seterusnya untuk ruangan nostalgia kali ni. Tetiba mata Atok terpandang satu gambar lama di X – jambatan besi Banting! Eh, teruja Atok. Jambatan yang diperbuat daripada besi keseluruhannya itu, dua lorong je, tapi solid gila babi. Atok dulu dengar cerita, kereta api lalu pun takkan roboh! Jambatan ni dah digunakan sejak tahun 1911 lagi. Lama tu!  
     
Nantilah Atok ceritakan lain kali. Untuk entri kali ini, Atok nak habiskan pula penceritaan sejarah di mukim Tanjung Dua Belas – orang Kuala Langat suka tulis Tanjung XII. Semua kampung Atok dah sentuh, cerita pasal asal-usul, tokoh-tokoh, isu dan cabaran. Tapi ada satu lagi yang tercicir… Kampung Sungai Kelambu. Pelik betul Atok dengan orang kampung ni. Apa hal pulak cerita "dalam kelambu" nak dibawa keluar, nak beritahu sama semua orang kampung? Kongsi laki bini sudah ler… Malulah kat orang, wak oi! Tapi Atok bukan jenis lelaki penakut. Kali ni Atok buka juga tirai kelambu ni. Jom Atok bawa korang semua menyelongkar sejarah Kampung Sungai Kelambu, Banting. Jom, ikut Atok.


Atok memang jenis yang tak lepas percaya sebelum siasat sendiri. Jadi Atok pun siasat, selongkar dan bongkar… Sampai ke seluar dalam punya cerita, Wak! Bikin gempar satu dunia jer orang tanya "Apa hal kampung dalam kelambu?". Ada yang kata kongsi laki bini, ada yang kata tempat sembunyi orang curang, ada yang kata sarang hantu tetek. Bikin suspender jer Atok dengar! 

Tapi lepas Atok belek buku lama, cari dalam warta kerajaan 1924, tanya tok ketua kampung, dan godek-godek internet sampai jari kaku… Alahai Wak, tak ada apa-apapun! 

Rupa-rupanya, nama asal kampung ni bukan sebab kelambu jaring nyamuk atau kelambu pasangan gelap. Tapi datang daripada sepohon kayu besar bernama Pokok Kelembau (atau ada yang eja Kelembu, Kelembaw, atau Kelambu) yang tumbuh besar tepi sungai. Orang dulu-dulu bila nak nama tempat, diorang tengok je apa yang ada. Ada sungai, ada pokok besar, maka dinamakanlah Sungai Kelembau. Lama-lama, sebut pun sebut "Sungai Kelambu" – ringkas dan sedap di telinga. Itu je, Wak!

Tak ada cerita orang bersembunyi dalam kelambu, tak ada cerita suami isteri orang lain. Pokok Kelambu pun dah lama mungkin tumbang atau ditebang, tapi namanya kekal sampai cucu cicit. Nasib baiklah orang dulu-dulu otak tak kuning macam kita sekarang ni. Kalau ikutkan logik moden, tentu dah heboh satu Malaysia "Kampung Skandal Kelambu" – padahal kosong jer.

Jadi kelambu pun kelambulah, Wak. Asal Wak dengan Mbah malam-malam bahagia, cukup ler. Atok cuma nak luruskan sejarah, biar orang tahu asal-usul benar, bukan cerita dengar-dengar yang bikin panas telinga.

Begini ceritanya, Wak. Lain kali kalau orang tanya "Kampung Sungai Kelambu tu apa cerita?", Atok harap korang jawab dengan bangga:

"Nama kampung kami dari pokok Kelambu, bukan dari kain kelambu! Datanglah singgah, Wak belanja kopi."

Alhamdulillah, selesai sudah cerita sejarah Mukim Tanjung Dua Belas. Semua kampung Atok sudah cover. Yang tinggal cuma nostalgia jambatan besi Banting 1911 tu. Nanti Atok cerita pula. Assalamualaikum

Untuk bacaan seterusnya tentang sejarah kampung ini, sila tekan link di bawah.

Sejarah Pembangunan Sungai Langat di Kuala Langat

Salam buat semua. Semoga semuanya sihat walafiat. "Mari duduk dekat sini, cu. Atok nak bercerita." Kau tengok sungai tu? Sungai La...