Selasa, 9 Jun 2026

Sejarah Pembangunan Sungai Langat di Kuala Langat

Salam buat semua. Semoga semuanya sihat walafiat."Mari duduk dekat sini, cu. Atok nak bercerita."

Kau tengok sungai tu? Sungai Langat namanya. Dari Atok kecik lagi, sungai ni dah jadi saksi hidup. Tapi korang tahu tak? Sungai ni boleh bercerita lebih banyak daripada Atok. Memang Atok ni dah tua, tapi sungai ni lagi tua. Dia ada sebelum Atok lahir, dan mungkin dia akan ada lama lepas Atok tiada. Dulu masa Atok sebaya korang, Atok pernah bermain di tebing sungai ni. Airnya jernih, ikannya banyak. Tapi yang atok paling ingat... bukan airnya, bukan ikannya.

Atok ingat cerita arwah Tok Wan Atok. Tok wan Atok dulu bercerita, zaman kolonial British, orang kita kat Kuala Langat ni susah. Bukan susah makan, tapi susah nak merentas. Sebab sungai ni lebar. Tak macam sekarang ada jambatan besar. Dulu... haa, korang bayangkan, nak ke seberang kena guna feri ponton. Macam rakit besar, kena tarik pakai kabel dari seberang. Lepas tu, rakit tu goyang-goyang. Kalau hujan, bertambah bahaya.

Tok wan Atok cerita, pada tahun 1922, ada satu kemalangan besar. Feri ponton kat Sungai Buaya tu terbalik. Bukan main-main, cu. "Dua biji kereta terjun  sungai. Kereta zaman dulu bukan macam kereta sekarang. Mahal, susah nak dapat. Lagi teruk, yang naik feri tu sekali ialah Raja Muda Selangor. Bayangkan, raja pun kena redah feri buruk macam tu.

Atok pernah tanya tok wan Atok, "Kenapa British tak buat jambatan?"

Tok wan senyap. Lepas tu dia jawab, "Sebab kita tanam getah, bukan lombong bijih timah."

Atok masa muda dulu tak faham. Tapi bila Atok besar, Atok mula faham. British bina jambatan kat Hulu Langat banyak-banyak sebab kat sana ada bijih timah. Bijih timah tu duit. Banyak duit. Tapi kat Kuala Langat, kita tanam getah. Getah pun duit juga, tapi tak secepat bijih timah. Jadi British cakap dalam hati, "Ah, biarlah diorang guna perahu dan feri ponton. Tak payah buang duit bina jambatan besar."

Tapi tok wan kata, pernah juga tahun 1909 dahulu ada wakil dari Singapura datang. Dia orang nak tengok-tengok tempat untuk bina jambatan gantung. Cantik konon. Tapi macam biasa, habis dia orang balik, projek tu mati. Tak kedengaran cerita lagi. Sebab British kira... kos tak berbaloi.

Tahun 1911, baru ada jambatan. Bukan sebab British baik. Tapi sebab masa tu harga getah tengah naik gila-gila. Tiba-tiba, getah kita jadi berharga. Barulah British terhegeh-hegeh nak bina jambatan besi. Panjang 560 kaki. Besar bukan main. Jambatan tulah yang ubah segalanya. Sebab lepas jambatan tu siap, orang mula pindah. Pusat pentadbiran daerah yang duduk kat Jugra, bertukar ke Banting. Pekan Banting mula membesar. Kedai bertambah. Sekolah dibina. Jalan raya disambung. Semuanya, sebab sepotong besi yang merentasi sungai.

Tapi cerita Tok Wan tak habis kat sampai situ. Jambatan besi 1911 tu kena bom masa Perang Dunia Kedua. Hancur. Lepas tu, guna jambatan kayu. Kayu! Kita dah merdeka pun, masih guna jambatan kayu. Macam cerita yang tak pernah nak habis. Tahun 1961, baru ada jambatan konkrit. RM800,000 kos buatnya. Sultan Selangor datang merasmikan. Tapi apa kan daya, jambatan tu tak muat lagi bila trafik makin padat. Kena ganti dengan jambatan baru. Tahun 2005. Lepas tu... haa, ni yang pelik, korang dengar ya.

Jambatan 2005 baru siap, setahun dua lepas tu, tiba-tiba ada aduan dari kilang besi kat Olak Lempit. Kilang tu guna tongkang besar untuk bawa besi. Tapi bila air pasang, tongkang dia terlanggar jambatan. Teruk. Kilang tu tekan kerajaan. Akhirnya, mereka kata,"Kami sanggup bayar harga jambatan baru."

Lepas tu, nak tahu apa jadi? Jambatan 2005 kena roboh. Ganti dengan Jambatan Banting 2007—yang korang gunakan sekarang. Reka bentuk melengkung, tak ada tiang di tengah. Tinggi. Tongkang boleh lalu dengan senang. Tapi... Atok nak tanya korang. Berapa kos jambatan 2005 yang kena roboh tu? Siapa tanggung? Dan kenapa jambatan yang baru setahun jagung kena roboh sebab sebuah syarikat tak suka?

Haa... itu yang atok nak korang fikir-fikirkan. Sungai Langat ni, cu... dia bukan sekadar air. Dia adalah cerita. Cerita tentang zaman kolonial yang lepas tangan. Cerita tentang kemerdekaan yang masih bergelut dengan jambatan kayu. Cerita tentang korporat yang boleh ubah bentuk sungai dan jambatan hanya dengan tekanan dan duit.

Tapi yang Atok paling sedih... bila hujan lebat turun. Macam bulan Disember 2021 dulu. Air sungai naik. Bukan naik sikit, tapi sampai ke bumbung rumah. Orang kita kehilangan segala-galanya. Kerajaan kata banjir luar biasa. Tapi atok tertanya-tanya, kenapa setiap tahun makin teruk? Apa yang kita nak buat kat sungai ni? Apa yang kita dah buat?

Sekarang, kau tengok jambatan yang korang gunakan tu. Cantik. Megah. Tapi ingat... jambatan bukan sekadar besi dan konkrit. Jambatan adalah janji bahawa orang di seberang sana tak akan dipinggirkan lagi. Dan Atok harap... janji tu ditepati. Bukan untuk Atok yang dah tua ni. Tapi untuk korang. Untuk anak cucu korang nanti. Untuk mereka yang masih percaya bahawa sungai yang sama yang pernah menenggelamkan harapan... juga boleh menjadi saksi kepada kebangkitan.

Haa, habis cerita Atok. Korang nak pergi main, pergilah. Tapi ingat pesan Atok: jangan buang sampah dalam sungai. Sebab sungai ni... dia ada memori panjang. Dan dia tak pernah lupa. Macam atok. Atok juga tak pernah lupakan Wan korang. Kih,kih,kih

Untuk meneruskan pembacaan entri ini, tekan link di bawah:

https://syedalsagaff64.blogspot.com/2026/06/sejarah-transformasi-sungai-langat-di.html?m=1


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Pembangunan Sungai Langat di Kuala Langat

Salam buat semua. Semoga semuanya sihat walafiat. "Mari duduk dekat sini, cu. Atok nak bercerita." Kau tengok sungai tu? Sungai La...