Memaparkan catatan dengan label Titi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Titi. Papar semua catatan

Rabu, 16 November 2022

Kajian Sejarah Kampung Titi, Jelebu ketika Darurat di Malaya (1948-1960)

Salam buat semua anak cucu Atok dan peminat blog Atok ini. Semoga bertambah kemuliaan dan ketakwaan. Atok mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT dan selawat serta salam buat Nabi Junjungan kita dan kekasih Allah, Muhammad SAW kerana berasa seronok sangat sekarang kerana dua perkara; pertama kerana hari ini hari ulang tahun kelahiran Atok yang ke...ehem, ehem ke dunia yang fana ini. Atok teruja sangat dan terharu atas ucapan serta doa isteri, anak, menantu, cucu, besan dan rakan-rakan serta kenalan Atok dan korang yang wishkan Atok segala yang terbaik di dunia dan di akhirat. Walaupun kek yang korang kirimkan itu Atok dah download semuanya, Atok terkesima kerana korang masih menyayangi Atok seadanya. Atok juga seronok kerana anak perempuan sulung Atok di HTJ sekarang kerana menunggu saat untuk melahirkan cucu Atok dan Wan yang ketiga. Semoga anak dan cucu Atok itu nanti dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang terbaik, sempurna sifat zahir dan akhlak dan keimanan yang terpuji. Semoga wajahnya juga sehensem Atoknya. (Lelaki kata anak Atok waktu scan perut hari itu).

Entri Atok kali ini, terkeluar dari kisah penjara Pudu (buat seketika) tetapi masih menceritakan penderitan hidup generasi tua dahulu, menentang kekejaman komunis. Memang sengaja Atok memilih tajuk Komunis ini lagi kerana generasi kini susah untuk mengambil pengajaran kerana  tidak merasakan bahawa pegangan komunisme atau anaknya sosialisme merupakan sesuatu yang bertentangan dengan jalan hidup seorang Muslim sejati. Kalau dahulu, komunisme ini bersifat anarki, memberontak, mencabar status-quo, merangsang orang ramai memilih jalan revolusi, bukannya diplomasi kini pendekatan mereka berbeza. Mereka mengalu-alukan liberalisme sosial dan pluralisme  agama termasuk LGBT yang juga bertentangan dengan kehendak agama Islam. Mereka menyertai politik melalui parti berbilang kaum dan agama, tetapi mereka juga tidak mengutuk aktiviti anarki politik jalanan, seolah-olah restu mereka buat pengganas jalanan ini.

Atok hendak korang banding-bandingkan perjuangan komunisme mereka dengan gerakan zionisme, memang banyak sekali persamaan. Pertama, mereka merupakan kaum pendatang, Cina (Jews of the East) dan Yahudi Zionis. Kedua, mereka datang beramai-ramai sehingga menjadikan mereka  hampir atau majoriti suatu ketika di tempat atau negara mereka menumpang. Ketiga, mereka melakukan gerakan subversif, menentang pemerintahan sedia ada sehingga memporakperandakan kestabilan sosial, ekonomi dan geo-politik tempatan. Mereka mengangkat senjata menentang kerajaan. Keempat, mereka melakukan kezaliman ke atas penduduk tempatan sehingga terkeluar daripada batas-batas kemanusiaan. Mereka memaksa dan akan terus memaksa anak-anak negeri menerima ideologi mereka. 

Jangan dengar tipu daya, pujuk rayu mereka TETAPI perhatikanlah tindak tanduk mereka. Mereka akan tunjukkan belang sebenar mereka apabila mereka beroleh kuasa, walaupun secara bergabung dengan parti Melayu yang ternyata tamak, rakus serta tidak sabar memegang tampuk pemerintahan negara. 

Atok hendak bawa korang balik ke era Darurat, ketika Komunis bermaharaja lela di bumi Jelebu suatu masa dahulu.Begini kisah storynya.....

KEDUDUKAN/LOKASI DAN BENTUK MUKA BUMI

Jelebu adalah salah satu daripada 7 buah daerah yang terdapat di Negeri Sembilan, dan juga merupakan salah sebuah daripada empat buah daerah di Negeri Sembilan timur (tiga daerah lain termasuk daerah Kuala Pilah, daerah Jempol dan daerah Tampin) kerana lokasinya yang terletak di sebelah timur Banjaran Titiwangsa. Daerah Jelebu bersempadan dengan daerah Bentong, Pahang di timur, daerah Jempol dan daerah Kuala Pilah di selatan, daerah Seremban di barat, dan daerah Hulu Langat, Selangor di utara. Jelebu adalah merupakan salah sebuah daerah yang ada di dalam Negeri Sembilan dan ia terdiri daripada lapan mukim iaitu Kuala Klawang, Hulu Triang, Kenaboi, Pertang, Peradong, Hilir Triang dan Gelami Lemi. 

Kedudukan daerah Jelebu dan kawasan sekitarnya

Daerah Jelebu mempunyai keluasan 136,751.49 hektar iaitu 20.4% daripada keluasan keseluruhan Negeri Sembilan. Jelebu juga merupakan daerah kedua terbesar di Negeri Sembilan selepas daerah Jempol. Keadaan muka bumi di Jelebu kebanyakannya berbukit bukau terutama dikawasan sebelah utara yang merupakan unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa. Kebanyakan kawasan-kawasan di Jelebu masih dilitupi oleh kawasan hutan dengan keluasan 84,556.25 hektar iaitu 61.83% daripada keluasan keseluruhan Jelebu. Jumlah penduduknya ialah 40,000 orang. Sumber ekonomi utama ialah pertanian dengan keluasan 30,743.103 iaitu 22.481 hektar. Bentuk muka bumi di Jelebu banyak berbukit bukau dan bergunung ganang terutama di kawasan sebelah utara dan barat yang merupakan unjuran penghujung Banjaran Titiwangsa. Bentuk muka bumi di mukim Glami Lemi ialah tanah tinggi iaitu kebanyakannya di bahagian utara dan timur mukim ini. Antara gunung yang terletak di mukim Glami Lemi ialah Bukit Batu Hangus dan Bukit Rekah Dagang. Kedudukan Kuala Klawang dan Jelebu secara keseluruhannya adalah kawasan tanah tinggi dan lembah yang terkepung menjadikan kawasan ini kawasan lindungan hujan, paling kering berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan dan di Malaysia; kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan dan penanaman tumbuhan di Jelebu adalah sangat subur. Pernah suatu masa dahulu, Titi, Seperi dan Jelebu merupakan kawasan perlombongan bijih timah. 

Topografi daerah Jelebu yang berbukit bukau

Jelebu adalah nama daerah manakala pusat bandar bagi dearah Jelebu adalah Kuala Klawang. Pekan Kuala Klawang merupakan pusat pentadbiran bagi Daerah Jelebu yang menempatkan pejabat-pejabat penting seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu, Majlis Daerah Jelebu, Muzium Budaya Jelebu dan Perpustakaan daerah. Pekan-pekan utama yang turut menjadi nadi penting Daerah Jelebu adalah Titi, Simpang Durian, Simpang Pertang, Pertang dan Sungai Lui. Jelebu turut dikenali sebagai Luak Jelebu yang dikepalai oleh Datuk Undang Jelebu.

Pemandangan bandar Kuala Klawang dari puncak Bukit Undang


8 buah mukim dalam daerah Jelebu


Petempatan -petempatan di Jelebu

Peta Jelebu dalam tahun 1894

Peta Utara Jelebu dalam tahun 1932

Peta Selatan Jelebu dalam tahun 1948

KAMPUNG TITI, NEGERI SEMBILAN

Pekan Titi terletak di Kuala Kelawang , Negeri Sembilan, Malaysia. Tempat yang berhampiran dengan pekan Titi ialah Kuala Kelawang, Kampung Pejadi, Kampung Tambun, Kampung Titi Teras, Kampung Mentaus dan Kampung Padang Serai. 

Untuk ke sana, jika dari Seremban menuju ke Kuala Kelawang dan Temerloh di Pahang. Melalui Kampung Baru Bukit Temiang, Gunung Telapa Buruk, Kampung Pejadi, Kuala Kelawang dan terus ke Titi. Boleh juga jika datang dari Kajang, Selangor ke Semenyih menghala ke air terjun Sungai Tekala dan Empangan Semenyih. Belok ke kanan menuju ke Kuala Kelawang dan melalui Bukit Tangga yang berliku-liku terus ke pekan Titi. 


Pada tahun 1890an, Titi merupakan petempatan lombong bijih timah yang diusahakan oleh kaum Cina, Kebanyakan perumahan di situ pada masa itu dalam keadaan daif dan tidak bersih. Selain daripada pengusaha-pengusaha Cina, terdapat dua buah lombong yang diusahakan oleh orang Eropah di sini, iaitu Jelebu Mining and Trading Co.Ltd, dan Rin Lode Mine. Juga terdapat sebuah lombong bijih timah yang diusahakan di atas tanah milik Yam Tuan di Ulu Kongkoi dalam tahun 1904. Dalam tahun 1920-an pihak Titi Tin Co. mengusahakan lomboh bijih timah di sana menggunakan pam hidrolik. Rezab bijih timah yang sedikit menyebabkan syarikat-syarikat perlombongan Inggeris ini ditutup di penghujung 1920-an. Namun kegiatan perlombongan timah terus diusahakan secara kecil-kecilan.

Dalam tahun 1900, pekan Titi terbakar, bermula dari arah timur, api mula merebak pantas. Ketika itu penduduknya mencapai 1000 orang. Tiupan angin memarakkan api sehingga tidak banyak yang dapat diselamatkan oleh para penduduk.  Kira-kira 90 hingga 100 daripada 140 buah rumah atap yang dibina hangus terbakar dan kerugian ditaksirkan kira-kira $100,000.

Keadaan Pekan Titi dalam tahun 1890-an

1/3 Berita kebakaran pekan Titi dalam bulan Februari 1900


2/3 Berita Kebakaran di pekan Titi

3/3 Berita Kebakaran di pekan Titi

Lombong bijih timah dibuka di Semadak berhampiran Titi

Kes Jenayah melibatkan pengutipan wang secara haram oleh seorang kakitangan bernama Yaamboo dalam tahun 1903

1/2 Penjualan jongkong bijih timah  dari Ulu Kongkoi ke Kajang pada tahun 1904

2/2 Penjualan jongkong bijih timah  dari Ulu Kongkoi ke Kajang pada tahun 1904

Kutipan Hasil di Jelebu dalam tahun 1905

Penjualan bijih timah ke Kajang dimasukkan sebagai hasil Jelebu dalam tahun 1905

Butiran hasil kutipan Perbandaran oleh Pejabat Daerah Jelebu dalam tahun 1905

Lombong Bijih timah di Jelebu menggunakan pam hidrolik

Kerosakan pam dilaporkan dalam tahun 1920


Penutupan lombong bijih timah milik Eropah berserta alat-alat perlombongan dilelong dalam tahun 1929





Mogok  pekerja yang dihasut oleh komunis di sebuah estet di Titi, Jelebu dalam tahun 1937


Setinggan Cina di kawasan Titi, Jelebu dalam tahun 1951

Pekan Titi dalam tahun 1950-an

KRONOLOGI SEJARAH PERJUANGAN KOMUNIS DI TITI, JELEBU

Gerakan ketenteraan Jepun ke dalam wilayah taklukan China di Korea dan Manchuria menyebabkan suku Hakka di Tanah Melayu ( Malaya) merasa amat marah dengan kerajaan Jepun. Kekalahan Dinasti Ching dianggap juga kekalahan bagi bangsa China, negara China terpaksa menandatangani Perjanjian Shimonoseki pada tahun 1895 yang secara jelas menjatuhkan maruah harga diri masyarakat China.

Tentera Jepun telah membunuh dan memusnahkan harta benda para penentang di kalangan suku Hakka di Taiwan.  Secara jelas, kegagalan para pemimpin suku Hakka dalam pemberontakan nasionalisme  menentang Dinasti Ching menyebabkan mereka melarikan diri ke Tanah Melayu (Malaya), dalam  tahun 1864 sehinggalah tahun 1875. Inilah punca utama kepada semangat perjuangan suku Hakka di Asia Tenggara, termasuklah di pekan Titi, daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

Para pemimpin suku Hakka yang berpindah ke pekan Titi di daerah Jelebu, menanamkan semangat anti penjajah dan semangat anti imperialisme dalam kalangan anak cucu serta keturunan mereka. Inilah faktor utama menyebabkan mereka membenci kerajaan British di Tanah Melayu dan pemerintahan tentera Imperial Jepun pada sekitar tahun 1942 sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. 

” When the Chinese July 7 War against Japanese aggression erupted, the Chinese in Seremban opposed the Japanese imperialist aggression against China and the contributions for funds flowed in. Titi ( pekan Titi, daerah Jelebu) was at forefront with not a few young people joining Support Resistance to Japan Associations. Many took part in Overseas Chinese Support for War Refugees committees”. ( dipetik dari buku: Shan Ru-hong. ‘The War in South-the story of Negri Sembilan’ guerillas’. Tathata Publications. Bangkok. 2003, hlm. 9)

Perang China-Jepun Kedua berlaku dari 7 Julai 1937 sehinggalah 9 September 1945. Kebanyakan penduduk suku Hakka di Negeri Sembilan ( Seremban), serta  pusat utama gerakan anti-Jepun di pekan Titi, daerah Jelebu, menyokong secara aktif gerakan penentangan habis-habisan terhadap tentera Jepun yang melakukan penaklukan ke atas negara China. 

Perisikan tentera Jepun yang berpusat di Bangkok, Thailand memantau gerakan penentangan suku Hakka di Negeri Sembilan. Para perisik tentera Jepun yang kebanyakannya telah menyamar sebagai peniaga kain dan tukang gunting rambut, mengumpulkan maklumat bagi memperoleh sumber-sumber berkaitan para penyokong anti-Jepun di Negeri Sembilan.

Inilah yang menjadi punca utama pembunuhan beramai-ramai suku Hakka di Jelundong atau ‘Eelonglong’, berhampiran pekan Titi pada tarikh 18 Mac 1942. Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di daerah Jelebu pada 18 Mac 1942 oleh tentera Jepun, bukan sahaja berlaku di pekan Titi, bahkan di kawasan Ladang Jelebu, Tanah Merah, Sungai Rotan dan Limong. Kesemua petempatan ini diduduki oleh masyarakat Cina dan majoritinya dari kalangan suku Hakka. Sebuah tugu peringatan telah dibina di kawasan perkuburan Cina di Titi. Untuk maklumat terperinci tentang kekejaman Jepun terhadap orang awam Cina di Negeri Sembilan, bacalah entri terdahulu di sini.

Tragedi Pembunuhan beramai-ramai di Titi masih menghantui masyarakat Cina di Jelebu sehingga kini.

Pada masa yang sama, kekejaman tentera Jepun juga melibatkan keseluruhan masyarakat Cina di Negeri Sembilan. Mereka dibunuh secara beramai-ramai oleh tentera Jepun, melibatkan beberapa tempat di Jelebu, iaitu di Simpang Pertang, Durian Tipus, Bahau, Tanah Merah dan Sungai Lui. Daerah-daerah lain adalah di Kuala Pilah dan pekan Batu Kikir, daerah Johol, pekan Kota, Air Kuning, bandar Port Dickson dan bandar Seremban terutamanya di Temiang dan  Sikamat.

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan di Batu Kikir, Kuala Pilah pada 30 April 1930. Ideologi PKM ialah Marxisme. Maknanya dasar dan perjuangan PKM ialah untuk mendirikan Tanah Melayu yang bebas merdeka daripada cengkaman penjajah Inggeris; mengamalkan sistem ekonomi sosialis; mendirikan Republik Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya bergiat cergas di hutan Semenanjung Tanah Melayu bagi mendirikan Republik Komunis Malaya dengan menentang kehadiran tentera British selepas Jepun menyerah diri pada 1945. Sejak Perang Dunia Kedua lagi Titi menjadi pusat ketenteraan komunis menentang Jepun bagi zon Tengah yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mereka mendapat sokongan kuat penduduk tempatan yang majoritinya Cina. Penduduk-penduduk Melayu di sekitar Jelebu diperas ugut untuk menyediakan  sekurang-kurangnya 6 orang pemuda  yang sihat bagi setiap kampung untuk masuk hutan, menjadi tentera bawahan mereka dengan propaganda Kerajaan telah membunuh ramai rakyat 'kita'.

Pada zaman darurat, Jelebu terus menjadi “kawasan hitam”, kawasan yang aktif dengan aktiviti perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) melawan penjajah Inggeris, masih lagi wilayah kawasan hitam. Seluruh kawasan Titi, Kuala Klawang dan Pertang diletakkan di bawah perintah berkurung mulai 2 September 1948, dari pukul 7.30 malam sehingga 6.00 pagi. Ramai penduduk dan setinggan Cina yang disyaki komunis ditahan. Seluruh pekan Kuala Klawang dipagari dan dikawal oleh soldadu Ghurkha. Di luar  kawasan kawat berduri ini ditakrifkan sebagai kawasan yang  bukan kawasan pekan.  Ada tiga pintu masuk ke  Kuala Klawang - dari Seremban, dari Titi dan dari Simpang Pertang. Di tiga pintu ini ada khemah soldadu Ghurkha mengawal. Keluar masuk ke dalam pekan semua dikawal. Badan diraba. Beg dan kerpai dibuka. Isi diselongkar. Kalau hamil perut juga diraba. Semua untuk memastikan tidak ada bahan makanan di seludup. 

Makanan juga dicatu. Untuk membeli gula, tepung, beras, minyak  wajib menggunakan permit khas. Jumlah ahli keluarga tertera dalam kad permit  ini. Dalam permit ini dinyatakan  sebanyak mana bahan makanan yang dibenarkan boleh dibeli untuk satu keluarga. Susu dan sardin atau apa saja makanan  dalam tin yang telah dibeli akan di tebuk oleh tuan empunya kedai dahulu sebelum dibenarkan dibawa pulang. Semua ini bertujuan untuk menafikan bahan makanan jatuh ke tangan gerila Parti Komunis Malaya (PKM). 


Pagar kawat berduri dipasang di sekeliling pekan Kuala Klawang dan dikawal pihak polis






Jelebu adalah antara wilayah-wilayah dan daerah akhir di semenanjung yang diisytiharkan menjadi “kawasan putih”. Kawasan Putih bermakna semua gerakan gerila PKM sudah tumpas. Maknanya masih dalam suasana darurat hingga ke tahun 1965. Belum pun sempat darurat ditamatkan, konfrontasi bermula. Rentetan itulah,beberapa daerah di Negeri Sembilan kemudiannya diisytiharkan sebagai kawasan paling hitam dalam klasifikasi darurat. Malah daerah Jelebu dan Bahau telah diproklamir sebagai kawasan hitam yang dianggap paling merbahaya dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Pekan Titi mempunyai ramai penduduk Cina. Semasa zaman darurat, ramai pengganas komunis berkubu di sini dan dipercayai masih ada kubu bawah tanah bagi pengganas komunis untuk bersembunyi dan menyimpan makanan. Di sinilah pemimpin kanan komunis mengadakan perbincangan dan memberikan arahan seperti Cheung Kuo. Cheung Kuo merupakan pemimpin komunis kedua penting selepas Chin Peng dan  merupakan pemimpin utama komunis di Selangor- Negeri Sembilan.

Bukit Tangga dan Gunung Telapa Buruk menjadi lokasi penting bagi menghilangkan diri daripada dijejak oleh tentera Komanwel. Tentera Komanwel pernah membantu Malaysia memerangi keganasan komunis pimpinan Chin Peng antara tahun 1948- 1960. 

Serangan hendap Pengganas Komunis ke atas Balai Polis Pertang dalam tahun 1948

Penahanan dua orang perempuan Cina di Titi kerana disyaki agen komunis pada 13 September 1949


Lagi Askar Gurkha diseranghendap di Jelebu dalam tahun 1949

Penahanan 5 orang suspek di sebuah kem Komunis di Jelebu pada 18 September 1949
     
Pengganas komunis membakar rumah salai, rumah-rumah kongsi dan stok getah di sebuah ladang getah di jalan Titi-Jelebu pada 3 Disember 1949. Kerugian dianggarkan sebanyak $8,000.00





SERANGAN HENDAP GERILA KOMUNIS DI BUKIT TANGGA, JELEBU

Mengimbau kisah serangan gerila komunis di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan sebenarnya bukan sekali serang hendap dilakukan malah pada tahun 1948 kawasan tersebut adalah merupakan antara laluan yang paling kerap  menjadi sasaran gerila komunis dalam melakukan serangan. terhadap pasukan keselamatan. Dahulu jalan Bukit Tangga tu sempit dan gelap. Kereta yang lalu lalang pun tak ada. Masa itu lepas pukul 9 malam orang dah tak nak lalu dah jalan Bukit Tangga. Bas Lim yang lalu lalang di Jelebu hanya sampai pukul 6 petang sahaja. Dikhabarkan orang-orang masa tu kalau lalu malam-malam dekat Bukit Tangga akan nampak macam-macam. Ada orang cakap masa dulu-dulu malam-malam macam ni komunis tidur kat jalan raya di Bukit Tangga. Jadi siapa lalu malam-malam mereka akan kena tembak dengan komunis. 

Mulai Januari 1949, kawalan ke atas kawasan sekitar Jelebu, Bahau dan Karak, Bentong, Jerantut dan Temerloh di sempadan Negeri Sembilan-Pahang diperketatkan. Batalion Polis British, Gurkha dan Melayu ditempatkan di kawasan-kawasan berisiko tinggi ini. Dianggarkan sehingga 600 orang pengganas komunis aktif di kawasan-kawasan ini. Titi merupakan markas utama pengganas komunis bagi Selangor dan Negeri Sembilan. Semestinya mereka di situ terdiri daripada pegawai dan anggota hardcore atau tegar yang sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir mereka  Dari sinilah arahan-arahan dikeluarkan oleh pegawai tertinggi kepada unit-unit bersenjata  termasuklah unit propaganda mereka. Mereka memilih perang gerila berbanding perang konvensional kerana lebih efektif. Antara ciri-ciri perang gerila ini termasuklah melakukan serang hendap sebelum menghilangkan diri.


TRAGEDI SERANGAN HENDAP KOMUNIS TERHADAP POLIS DI DAERAH JELEBU

Ringkasan Tragedi Serang Hendap di Bukit Tangga pada 12 Disember 1949
dan di Kongkoi, Jelebu pada 7 Januari 1950  Sumber: Polis Diraja Malaysia

Tragedi 12 Disember 1949

Tercatat dalam Sejarah Negeri Sembilan beberapa peristiwa lain yang berlaku antaranya serangan yang mengorbankan 13 anggota Polis di Bukit Tangga, Jelebu N.Sembilan pada 12 Disember 1949. 

Serangan hendap komunis ke atas kenderaan black maria polis di Bukit Tangga telah menjadi bukti kekejaman komunis. Catatan sejarah itu ada terpahat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu pada hari ini sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang telah sanggup mengadai nyawa dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara tercinta.

Peristiwa serangan komunis di Bukit Tangga, Jelebu pada 1949 antara kejadian meruntun hatinya ketika itu. 16 anggota polis maut dalam serang hendap komunis ketika dalam perjalanan pulang membawa duit gaji polis dari Seremban ke Jelebu.  13 anggota polis tercedera mangsa kekejaman tersebut sebelumnya ditawan serta diikat secara tergantung dengan kaki di atas dan kepala ke bawah dengan tujuan menyeksa mangsa manakala tiga mayat anggota yang terkorban disusun di atas lantai trak sebelum dibakar hidup-hidup. Jeritan mangsa-mangsa kedengaran sebelum kesemua mereka  mati hangus dijilat api. Kira-kira 100  orang pengganas Melayu dan Cina terlibat dalam penyerangan tersebut. 

Mengikut cerita seorang saksi kejadian, Polis Sgt Jock Lovie bercerita:

"Di Balai Polis Jelebu, Negeri Sembilan, dia menyertai konvoi tiga trak Polis, mengandungi Platun hutan terdiri daripada E/Sgt D.J. Aylott, ASP (C) D.Hope, termasuk 14 anggota polis Melayu. Jock naik ke tempat duduk depan trak kedua. Trak-trak itu tidak berperisai dan oleh itu, tidak boleh dipertahankan jika terlibat dalam serangan hendap. Mereka meninggalkan Balai Polis kira-kira tengah hari dan menuju ke arah Seremban.

Apabila menghampiri sebahagian jalan berliku di atas banjaran gunung utara-selatan. Kira-kira separuh jalan di atas bukit, trak kedua, mengalami beberapa masalah enjin kecil dan dipintas oleh trak ketiga. Ketiga-tiga trak itu hampir berada di puncak bukit, di mana tebing setinggi sekurang-kurangnya 10 kaki di atas jalan. Ketika itulah satu kekecohan tembakan dilepaskan ke atas ketiga-tiga lori berkenaan. Membunuh dan mencederakan ramai anggota polis. Jock segera melompat dari traknya dan mula menembak ke arah lelaki bersenjata komunis dalam kedudukan serangan hendap mereka. Peluru musuh mengenai karbinenya Pada peringkat ini dia cedera di tangan, tidak dapat bertarung dengan karbinenya, sebaliknya melontarkan bom tangan ke arah pengganas komunis. Namun,dia terkena tembakan lima peluru yang melambatkan pergerakannya. Pihak komunis kini menguasai kedudukan serangan hendap tersebut.

Apabila tembakan berhenti, komunis mula mengangkat mayat dan yang tercedera ke  atas trak sebelum membakar mereka. Jock dapat mendengar anggota komunis memanggil satu sama lain untuk mencari baki mangsa yang terselamat. Jock berpindah kedudukannya, memulakan menyembunyikan dan mencari taktik. Selepas kira-kira sejam pergerakannya, beliau terserempak dengan seorang lagi Sarjan Eropah dan seorang Melayu. Ketiga-tiga mereka tidak sedar pada masa itu, mereka adalah satu-satunya mangsa yang terselamat. Pilihan terbaik mereka adalah untuk terus berdiam diri dan Jika dikepung melawan. Bagaimanapun komunis meninggalkan tempat tidak lama selepas itu. Keadaan hampir senja apabila ketiga-tiga mereka memutuskan untuk kembali ke jalan raya untuk mencari anggota Tentera dan Polis selepas serangan hendap. Ketiga-tiga mangsa segera dibawa ke hospital berkenaan di Seremban. Lima belas pegawai polis terbunuh dalam serangan tersebut.

Bagi  Yahya bin Omar, 79 tahun yang menetap di Felda Bukit Jalor Air Kuning Selatan, Tampin, Negeri Sembilan menceritakan beliau memasuki Pasukan Special Constable (SC) kemudiannya menjadi Extra Police Constable (EPC) pada masa itu. Masih beliau tidak lupa hari itu merupakan Hari Raya Aidil Adha Tahun, beliau dan 6 anggota yang lain telah diarahkan menghantar “ration” melalui laluan Bukit Tangga. Di laluan tersebutlah kenderaan yang dipandu beliau telah diserang hendap menyebabkan kenderaan tersebut terbalik. Beliau yang turut terhumban bersama kenderaan  bernasib baik kerana kenderaan itu jatuh di kawasan berpaya bersebelahan jalan. Dalam keadaan genting tersebut beliau hanya mampu berdiam diri memandangkan gerila komunis yang menyerang adalah ramai. Enam orang rakan beliau ada yang tercedera telah ditangkap, mereka kemudiannya telah dibakar hidup-hidup. Raungan kesakitan rakan-rakan beliau tersebut hingga ke hari ini masih terngiang-ngiang di telinga beliau. 

"Bila Gerila Komunis tersebut pergi, saya memberanikan diri melihat nasib rakan-rakan saya. Perasaan pilu bercampur geram pada ketika itu melihat  rakan-rakan saya rentung dengan uniform yang dipakainya. Mereka semua masih muda tetapi telah terkorban dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Saya tidak lupa akan peristiwa yang dilakukan oleh pihak komunis itu hingga akhir hayat saya,” ujar beliau lagi.   

Kedudukan Bukit Tangga di Jelebu


Jalan raya di Bukit Tangga masa kini


1/3 Laporan akhbar berhubung serang hendap komunis terhadap konvoi trak polis di Bukit Tangga pada 12 Disember 1949

2/3 Laporan akhbar berhubung serang hendap komunis terhadap konvoi trak polis di Bukit Tangga pada 12 Disember 1949

3/3 Laporan akhbar berhubung serang hendap komunis terhadap konvoi trak polis di Bukit Tangga pada 12 Disember 1949

Selepas kejadian tersebut, sebuah kem Gurkha ditempatkan kira-kira 300 kaki di atas bukit Tangga  dari jalan raya tersebut. Operasi ketenteraan yang dijalankan oleh pihak Gurkha di kawasan berbukit sekitar Titi pada 28 Januari 1950 telah dapat mengesan kem dan menyerang 30 orang pengganas komunis yang kemudiannya menyerang balas. Mereka berhasil membunuh dua orang penjaga mesingan pihak komunis di situ.

Laporan akhbar tentang kejayaan 2 orang polis Gurkha dalam tahun 1950



KAMPUNG KONGKOI, JELEBU, NEGERI SEMBILAN
Kampung Kongkoi terletak kira-kira 41 km dari Seremban. Kampung di Hulu Kenaboi ini  merupakan kawasan hutan. Kampung ini merupakan kampung paling hulu di daerah Jelebu. Ramai  kaum Asli /Sakai tinggal di Kenaboi.



SERANGAN HENDAP GERILA KOMUNIS DI KONGKOI, JELEBU  

Tragedi  7 Januari 1950

Pada 7 Januari 1950, seramai 15 orang pengganas komunis yang diketuai Khidzir telah menangkap, menyiksa, menyalib dan mengelar dan kemudiannya membunuh Abdul Aziz, Ketua Kampung Kongkoi di Kenaboi, Jelebu berserta dua orang anak buahnya. Di dalam kejadian tersebut pengganas yang kebanyakannya Indonesia serta beberapa orang Cina telah membunuh 3 orang Melayu termasuk penghulu tersebut, keraninya dan bapa mertua kerani tersebut sebelum rumahnya dibakar dan beberapa laras senjata api dibawa lari. Berikutan kejadian tersebut, pihak polis melancarkan gerakan mengesan, memburu dan menggempur kem pengganas-pengganas komunis di sekitar Jelebu. Beberapa operasi yang dijalankan oleh 2/2 Gurkha Rifles pada 26 Januari 1950 telah dapat  membunuh 3 orang pengganas termasuk seorang berbangsa Jepun di sekitar Kongkoi di Jelebu. Kem pengganas telah dapat dikesan dan pelbagai amunisi dijumpai di sana. 

Pada 3 Februari 1950, kira-kira 30 hingga 50 orang pengganas komunis menyerang Kg. Telekong di dalam daerah Jelebu membunuh Ketua Kampung tersebut. Walau bagaimanapun kawalan keselamatan kampung telah dapat mencederakan dua orang musuh, namun mereka dapat melarikan diri. Berikutan itu laluan jalan raya dari Kongkoi ke Kg. Chennah ditutup sepanjang hari.


Berita Pembunuhan Penghulu dan dua orang lainnya di Kampung Kongkoi mendapat liputan akhbar tentang kekejaman pengganas komunis menyiksa sebelum membunuh mangsa-mangsa mereka.


Gerakan mengesan dan menggempur pengganas komunis dilakukan dalam bulan Januari 1950

 Penahanan 19 orang lelaki  dan 9 orang Wanita Cina pada 19 Januari 1950 kerana disyaki membantu komunis di sekitar Kongkoi


 Lagi operasi mengesan pengganas komunis bersabit pembunuhan di Kongkoi dalam bulan Januari 1950

Berita tentang kejayaan membunuh komunis di Kongkoi pada30 Januari 1950

Pengeboman dari udara dilakukan, namun kerana ketebalan hutan, kejayaan tidak dapat dipastikan sehinggalah pada penghujung bulan Januari apabila 3 orang pengganas disahkan terbunuh.


Berita Kematian Ketua Kampung Telekong di Jelebu disiarkan pada 4 Februari 1950




Pada tahun awal 1950-an, kerajaan membina Balai Polis Titi setinggi tiga tingkat bagi menghalang cubaan pengganas Komunis menyerang balai tersebut. Penempatan semula penduduk setinggan Cina dari bukit-bukit sekitar Titi ke enam kampung baru, iaitu di Titi, Batu 31, Petaling, Pertang, Simpang Pertang dan Durian Tipus telah dilakukan bagi menyekat bekalan makanan kepada pihak komunis yang bersembunyi di kawasan pergunungan dan perbukitan sekitar Jelebu. Bukan itu sahaja pihak British telah meletakkan tawaran 'harga' bagi kepala dua orang pemimpin tertinggi komunis di situ, iaitu Ah San dah Ah Hoi, sama ada hidup atau mati.

2 PK dibunuh askar Gurkha di Titi dalam tahun 1950

Henry Gurney melawat Jelebu dalam tahun 1950

Operasi Kawasan Negeri Sembilan, bermula Januari hingga Februari 1951, yang diketuai oleh Lt Col S. Whitting telah berjaya membunuh seramai 28 orang dan menawan 15  pengganas komunis (PGK)  manakala anggota pasukan yang telah terkorban seramai 12 orang. Terdapat 400 PGK di Titi yang dianggap markas utama mereka. Namun, bilangan yang menyerah kepada pihak berkuasa meningkat kepada 15 orang. Antara faktor penyerahan diri ini adalah kerana kebuluran, kegagalan sistem Min Yuen dan pengasingan penduduk melalui Rancangan Briggs. Kumpulan anggota komunis yang semakin mengecil  dan bersepah ini, apatah lagi tanpa kad pengenalan, memudahkan pihak berkuasa menyerang  dan menahan mereka.
                                   
Keadaan di Titi dan Kuala Klawang dalam tahun 1951

Timbalan Komander Komunis Titi mati dibunuh dalam tahun 1951


Kedudukan Titi amat strategik bagi Parti Komunis Malaya Wilayah Tengah yang melibatkan Selangor- Negeri Sembilan- barat Pahang

1/3 Laporan Akhbar dalam tahun 1951 tentang kemerosotan pengaruh dan kejayaan Komunis akibat beberapa faktor


2/3 Laporan Akhbar dalam tahun 1951 tentang kemerosotan pengaruh dan kejayaan Komunis akibat beberapa faktor

3/3 Laporan Akhbar dalam tahun 1951 tentang kemerosotan pengaruh dan kejayaan Komunis akibat beberapa faktor


Lebih ramai PGK terutama di Jelebu menyerah kepada pihak berkuasa dalam tahun 1951

Tragedi  8 April 1951

Ketika Darurat Pertama (1948-1960), telah berlakunya satu serang hendap yang dirancang oleh Pengganas Komunis ke atas konvoi Kompeni C dari Batalion Pertama RAMD yang ketika itu diketuai oleh Mejar Ibrahim Alla Ditta.

Kompeni C telah ditugaskan untuk mengambil alih kawasan operasi di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan yang sebelum ini dipertanggungjawabkan ke atas Pasukan Gurkha. Kompeni C turut diberitahu bahawa telah berlaku dua buah kejadian di mana senjata yang digunakan oleh anggota keselamatan yang mengawal di kawasan Kenaboi, Negeri Sembilan telah dirampas.

Pada 8 April 1951, Mejar Ibrahim telah memilih seramai 12 anggota di bawah Koperal Yunus Salim untuk menyertai satu kumpulan platun No.7 yang diketuai oleh Lt. Muda Philcox di kawasan Titi, Kuala Kelawang. Selepas menyampaikan taklimat kepada anggota yang terlibat di dalam konvoi ini, beliau bersama Sarjan Mohd Yasin Tamin sebagai pembantu telah bergerak dengan menaiki dua buah Land Rover dan sebuah trak konvoi yang membawa 23 anggota serta turut diiringi oleh sebuah kereta perisai mula bergerak dari Titi, Kuala Kelawang pada jam 9:30 pagi. Kenderaan yang mendahului konvoi adalah Land Rover yang dinaiki oleh Lt. Muda Philcox. Kenderaan perisai berada di kedudukan belakang di dalam konvoi yang menuju ke  Pondok Polis Kenaboi. Ketika di dalam perjalanan, anggota di dalam konvoi ini melihat penduduk berbangsa Cina gembira sahaja apabila kad pengenalan diri mereka dirampas ini menyebabkan menimbulkan perasaan curiga dikalangan anggota-anggota konvoi namun tetap meneruskan perjalanan ke Kongkoi.

Pada pukul 11 pagi, ketika konvoi sedang melalui jalan yang berselekoh-lekoh dan disebelah kiri dan kanan jalan terdapat tebing, seorang anggota yang bernama Prebet Jantan mendengar satu tembakan di sebelah kiri hadapan konvoi dan tembakan seterusnya adalah di sebelah kiri bahagiaan belakang konvoi. Hal ini menyebabkan anggota di dalam kenderaan keluar dan terjun dari kenderaan masing-masing. Lt. Muda Philcox pengsan akibat terkena serpihan bom tangan. Turut terkorban ketika itu ialah Prebet Yub Ahmad Shohor iaitu gunner kereta perisai, pada ketika itu beliau cuba mengubah kedudukan senjata kereta perisai untuk dihalakan pada kedudukan pengganas.

Prebet Jantan turun dari atas trak setelah pemandu trak menekan suis smoke. Asap yang dilepaskan telah melindungi Prebet Jantan untuk mencari perlindungan di tepi tebing sebelah kiri. Ketika sedang berlindung, seorang pengganas telah bersedia untuk menembak Prebet Jantan. Pada masa yang serentak juga Prebet Jantan dan pengganas komunis melepaskan tembakan, tembakan pengganas komunis itu tadi telah menggores sedikit tengkuk Prebet Jantan manakala tembakan Prebet Jantan ke arah pengganas komunis telah tepat menghinggap ke dahi pengganas itu dan menyebabkan pengganas itu mati. Selepas itu, 2 lagi pengganas berjaya ditembak mati oleh Prebet Jantan. Ketika Prebet Jantan cuba mengubah kawasan perlindungan beliau, seorang anggota pasukan beliau telah pergi ke kawasan perlindungan beliau dan telah mati ditembak oleh pengganas. 

Prebet Jantan telah mengambil peluru milik rakannya yang terkorban dan telah mendapat keyakinan yang lebih tinggi selepas itu untuk terus bertempur. Pada masa yang sama, seorang pengganas telah mara untuk merampas senjata bren gun milik pasukan keselamatan namun telah berjaya ditembak mati oleh Prebet Abdul Rahman Abdul Rani. Prebet Jantan telah menggambil tugas sebagai ketua kumpulan daripada Leftenan Muda Philcox dan Koperal Yunus setelah mereka berdua tercedera , manakala Sarjan Mohd Yasin tidak lagi berada di kawasan petempuran.

Sebagai prebet terkanan di dalam pasukan, beliau yang memimpin pasukan telah mengarahkan pasukan beliau untuk terus menembak dan menyerbu kedudukan penganas dari kiri dan kanan sehingga pengganas lari dari kawasan petempuran. Kemudian pasukan beliau telah mendapat bantuan daripada satu kumpulan Jungle Squad yang datang dari Kenaboi. Hasil dari serang hendap yang dibuat oleh pengganas komunis ini telah menyebabkan konvoi daripada Kompeni C, 1 Melayu ini telah kehilangan 6 anggota dan 7 lagi anggota tercedara. Manakala seorang mayat pengganas komunis telah ditemui. Pasukan keselamatan percaya mayat dan anggota komunis lain telah dibawa balik oleh rakan-rakan mereka. Leftenan Muda Philcox telah dianugerahkan dengan pingat Military Cross (MC). Manakala Prebet Jantan dan Prebet Rashid telah dikurniakan pingat Military Medal (MM).

1/5 Keratan Akhbar tentang Serang Hendap Komunis di Kangkoi dalam tahun 1951

2/5 Keratan Akhbar tentang Serang Hendap Komunis di Kangkoi dalam tahun 1951


3/5 Keratan Akhbar tentang Serang Hendap Komunis di Kangkoi dalam tahun 1951



4/5 Keratan Akhbar tentang Serang Hendap Komunis di Kangkoi dalam tahun 1951



5/5 Keratan Akhbar tentang Serang Hendap Komunis di Kangkoi dalam tahun 1951



SERANGAN HENDAP GERILA KOMUNIS DI SEPERI, JELEBU  

Kampung Seperi terletak di antara sempadan dua mukim iaitu Mukim Ulu Triang dan Mukim Glami Lemi. di pertemuan dua sungai iaitu Sungai Jelondong dan Sungai Seperi. Kawasan Kampung Seperi Tengah dan sebahagian Kampung Seperi Ulu terletak di Mukim Ulu Triang dan Kampung Seperi. Kini, tanah tersebut telah diambil alih oleh Felda dan mewujudkan penempatan baru dinamakan Felda Titi.

Masjid Kariah Kampung Seperi, Jelebu

Pembangunan di Seperi masa kini

    Empangan Ulu Seperi, Jelebu

Rumah Warga Emas, Ulu Seperi

Tragedi  18 April 1951


Tragedi yang berlaku merupakan serangan hendap paling ngeri berlaku ketika operasi di hutan Jelondong, Jelebu. Kejadian yang berlaku pada 18 April 1951 di hutan tersebut, jelas mempamerkan sikap kejam, keperongosan dan kebiadapan keterlaluan militan komunis cina terhadap mayat 7 orang Askar Melayu, selepas mereka semua dibunuh. Mangsa yang terkorban dicincang lumat, sehingga tidak dapat dikenalpasti identiti mereka, hinggakan kesemuanya terpaksa dikebumikan di tempat kejadian. Hanya sekitar 1980-an, barulah kubur kesemua mangsa dipindahkan ke makam pahlawan Askar Melayu, Port Dickson. Kawasan serangan ini masih wujud lagi. Anda boleh melihat kawasan ini di Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Glami Lemi, Jelebu.

Menerusi buku "Askar Melayu 50 Tahun", Tan Sri Abdul Samad Idris menggambarkan peristiwa yang berlaku di hutan Jelondong ketika itu;

"... apabila sampai di sebatang anak sungai, tersepit antara dua bukit, Perajurit Yunus nampak kesan-kesan beras hanyut di dalam air. Ini menunjukkan ada orang bertanak nasi telah membasuh beras di situ. Beliau segera melaporkan perkara itu kepada Leftenan Nayan.

Bagaimanapun Leftenan Nayan mengarahkan 'leading scout' itu mara ke hadapan sedikit. Sebaik saja Perajurit Yunus maju ke hadapan, kira-kira 100 orang pengganas komunis telah melepaskan tembakan. Mereka menggunakan kabain, telah mengepung kedudukan Askar Melayu. Disebabkan musuh terlalu ramai, keadaan menjadi kelam kabut. Leftenan Nayan mengambil keputusan berundur sahaja, tetapi tidak dapat mengumpulkan orang-orangnya secara serentak.

Kira-kira jam 5 petang, Leftenan Nayan berjaya melepaskan diri ke sebelah hilir Kampung Seperi bersama Perajurit Umar yang cedera terkena tembakan pada bahagian punggungnya. Perajurit 5087 Yusuff yang sedang bercuti, terkejut dengan peristiwa yang menimpa rakan platunnya, telah meminta orang-orang kampung di situ memberikan pertolongan. Tuan Haji Shamsuri (ayah kepada Perajurit Yusuff) telah memberikan kain sarung untuk mengusung Perajurit Umar untuk dibawa ke kampung.

Sehingga jam 8.30 malam, 2 orang lagi perajurit berjaya keluar ke kampung menyeberang sawah sampai ke kawasan sekolah di sebelah hulu kampung. Mereka terpaksa bersembunyi di hutan sebelum lari keluar kerana telah diekori oleh komunis. Apabila sampai di kampung, kedudukan mereka selamat (*ini merupakan bukti bahawa penduduk-penduduk di Jelondong tidak pernah bersubahat dengan komunis sebagaimana yang didakwa oleh komunis cina).

Tiga hari kemudian, 2 orang lagi Askar Melayu dapat keluar ke Pekan Titi dalam keadaan cedera. Mereka yang terselamat daripada serangan hendap telah bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Setelah tiga hari berlalu, barulah diketahui bahawa 10 daripada 17 orang pasukan platun itu telah terselamat, walaupun sebahagian besarnya mengalami kecederaan.

Seminggu kemudian, usaha mencari mereka yang terkorban dimulakan dengan bantuan gerison di Port Dickson. Mayat Askar Melayu seramai 7 orang itu ditemui jauh dari tempat kejadian. Sama ada mereka diheret ke situ oleh komunis, atau ditemui pihak pengganas sewaktu mahu melarikan diri seperti kawan-kawannya yang lain, tidaklah diketahui.

Keadaan mayat yang ditemui itu sangatlah mengerikan. Anggota badannya dipotong pendek atau boleh dikatakan dicincang. Kemaluannya disumbatkan ke dalam mulut; biji mata dicungkil, kulit kepalanya dikoyakkan hingga terdedah tengkorak. Demikianlah kejamnnya komunis dalam kejadian di Hutan Jelondong, Jelebu pada 16 April 1951 itu."

Justeru Negeri Sembilan ketika itu diwartakan sebagai negeri yang terdedah kepada ancaman komunis paling ganas di zaman darurat.

Berikut merupakan senarai mangsa kekejaman serangan hendap komunis di hutan Jelondong:-

Al-Fatihah buat ...

1. Koperal 2018 Abdul Hamid (signaller)

2. Perajurit 4576 Ali bin Talib

3. Perajurit 4676 Don bin Dahan

4. Perajurit 4573 Ismail bin Yusuff

5. Perajurit 3711 Mahmud bin Muhammad

6. Perajurit 5487 Abdul Hamid

7. Perajurit 3247 Ahmad bin Kudus


Tentera kerajaan juga menggunakan taktik serang hendap pada tahun 1951



Saling kaitan antara Broga dan Ulu Semenyih di Selangor, serta Titi di Jelebu, Negeri Sembilan mendapat tumpuan General Templer dalam tahun 1952

General Templer menyelar Ketua-ketua kampung Cina kerana takut bersuara tentang ancaman komunis ke atas penduduk dan kampung masing-masing

Kotak rahsia maklumat daripada penduduk-penduduk setempat tentang kegiatan komunis di kampung dan tempat mereka.

Penangkapan dua pengganas komunis dan wanita Cina penoreh getah yang diserang hendap oleh pihak tentera.

Maklumat daripada kotak rahsia mula diterima dalam tahun 1952

 Lagi berita tentang kejayaan membunuh pengganas komunis dalam tahun 1954

Kem Pengganas Komunis di hutan berhampiran Kg. Pergai Jelebu dihujani bom dan roket pada tahun 1954

Kematian seorang pegawai tentera Gurkha yang digeruni PK dalam serang hendap komunis

Dua orang Bandit (PK) terbunuh di tangan tentera Gurkha dalam tahun 1955


1/2 Siri Pengeboman kem PK oleh tentera kerajaan bergerak
dari  Simpang Pertang ke Titi dalam tahun 1956

2/2 Siri Pengeboman kem PK oleh tentera kerajaan bergerak
dari  Simpang Pertang ke Titi dalam tahun 1956

Era Pasca Kemerdekaan



Operasi kental dan keras untuk tentera Australia dan British
menentang gerila komunis di banjaran Titiwangsa dalam tahun 1963

Latihan Tentera Komanwel berhampiran Titi dalam sehingga 30 Jun 1967


4 Jahanam PKM ditahan dalam tahun 1967

                                               
                                        Komunis masih lagi menjadi ancaman walaupun dalam tahun 1976

Sejak puluhan tahun lalu, kisah terowong berkenaan hanya diceritakan generasi tua di pekan didiami kira-kira 20,000 penduduk itu, namun tiada pihak tampil untuk melakukan kajian.

Tinjauan mendapati empat terowong itu terletak berasingan dengan setiap satu dibina kemas dengan dinding dibuat daripada batu dan boleh dimasuki secara berdiri oleh orang dewasa. Beberapa penduduk yang ditemui mendakwa terowong itu mungkin dibuat pencari emas berdasarkan kewujudan beberapa lombong sekitar kawasan itu dan menolak ia mempunyai kaitan dengan kegiatan pengganas komunis Penoreh getah, Siow Yoke Kim, 54, berkata generasi tua di pekan itu pernah bercerita mengenai terowong untuk mencari emas, namun tidak menyatakan lokasinya sehingga awal tahun ini, ada pihak menarah bukit di belakang pasar.

“Kami terkejut kerana terowong yang diceritakan itu terletak di belakang pasar yang penduduk kunjungi setiap hari.

“Saya percaya terowong itu dibuat pencari emas, malah jalan utama pekan ini dinamakan ‘Kim Loong’ atau naga emas dalam dialek Hakka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Peniaga, Lee Ah Chai, 51, pula mengaku pernah memasuki terowong itu, tetapi mendapati lubang itu terlalu panjang.

“Saya tidak masuk terlalu dalam kerana bimbang terowong runtuh. Pihak berkaitan terutama pengkaji sejarah wajar melakukan kajian terperinci bagi memastikan sejarah sebenar terowong itu sama ada digali oleh pelombong emas atau mempunyai kaitan dengan aktiviti komunis,” katanya yang menolak kemungkinan terowong itu digali pengganas komunis.
Empat terowong yang ditemui di pekan Titi, di Kuala Klawang, Jelebu, dekat sini, berkemungkinan digunakan pelombong emas apabila Jabatan Mineral dan Geosains mengesahkan kawasan sekitar terowong itu pernah menjadi tempat perlombongan logam itu pada era penjajahan British.

Kerajaan negeri mengarahkan supaya lokasi terowong di pekan Titi, Jelebu yang didakwa wujud emas ditutup serta-merta. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penutupan kawasan itu bertujuan mengelak sebarang tragedi selain tidak dapat dipastikan ketahanan struktur tanah di kawasan terowong terbabit.

”Kajian telah dilakukan di situ dan ia tidak mempunyai deposit emas. Terowong yang ditemui ini telah digali dan bukannya bersifat semulajadi. Maka kita tidak tahu sejauh mana ketahanannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mohamad diminta mengulas penemuan terowong di pekan Titi, Jelebu yang didakwa penduduk sebagai laluan pelombong emas suatu ketika dahulu, di mana kini mula menarik minat orang ramai mendekatinya.

Atok bersetuju dengan ulasan Tok Mat yang menafikan kewujudan terowong pencari emas, tetapi Atok berkeyakinan terowong-terowong itu digali ketika zaman Jepun atau mungkin ketika Darurat untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan kerajaan dan menghilangkan jejak mereka keluar masuk ke pekan Kuala Klawang yand dipagari kawat duri untuk mendapatkan bekalan makanan bagi pihak komunis daripada pekedai-pekedai. Terowong merupakan taktik peperangan gerila komunis yang diamalkan di Vietnam dan seluruh Indo China serta PKM yang berpusat di sempadan Thailand- Malaysia ketika itu..

Siri kekejaman komunis di Negeri Sembilan adalah antara rentetan peristiwa yang akhirnya mewujudkan kesedaran nasionalisme dalam kalangan bangsa Melayu ketika itu. 65 tahun pengganas komunis dicari, pada tahun 1955 mereka lari dan tahun 1989 mereka letak senjata. Dalam fikiran rakyat, sudah tiada ideologi komunis, Tetiba  sahaja seluruh Malaysia heboh dengan berita abu mayat Ching Peng. Tetiba hal merdeka, penjajah dan komunis muncul kembali. Sekarang mereka datang balik untuk menghantui pemikiran kita. Berhati-hatilah dengan anak cucu mereka. Jangan pisang berbuah dua kali.




Semoga roh kesemua Askar Melayu yang menjadi mangsa kekejaman komunis, ditempatkan dikalangan orang-orang yang beroleh rahmat Allah swt ..... amin.... Al-Fatihah.

Rujukan:





Dari Sisi Gelap Klang Bandar Diraja ......Bahana Pelacuran

Salam buat semua, peminat  serta pembaca  blog Atok ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam mode Raya, meraikan sauda...