Memaparkan catatan dengan label drug. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label drug. Papar semua catatan

Sabtu, 26 November 2022

Kajian Sejarah Kg. Jenderam, Dengkil ketika Darurat di Malaya (1948-1960)

Salam buat semua. Apa khabar? Semoga semuanya sihat-sihat belaka walaupun ramai yang demam pilihanraya sampai mengigau-ngigau sambil memaki hamun seseorang dalam tidur. Wow, itu dah level wali-wali tuu.! Apa-apa pun Atok dan Wan maintain cool jer, pasal kami dah tunaikan tanggung jawab kami memilih wakil rakyat yang kami percaya dapat membawa suara kami ke arah kesejahteraan ummah dan negara.  Bahkan, kertas undi itu menjadi bukti dan saksi pemilihan kami untuk memartabatkan agama Islam ke peringkat tertinggi. Selebihnya, bukan level kami untuk bercakap. Kita punya SPBYDPA untuk membuat keputusan. Apa-apapun, Atok dan Wan mendoakan agar negara kita aman dan sejahtera serta dilimpahi Allah SWT segala kebaikan, dunia dan akhirat, buat kita semua. Selamat Maju Jaya Malaysia.

Entri Atok kali ini juga menyimpang daripada cerita bersiri kita tentang Penjara Pudu. Entahlah tetiba jer Atok dapat ilham untuk menulis tentang kekejaman komunis. Sebelum ini Atok memperihalkan komunis di Titi dan Jelebu serta kisah-kisah tragis akibat kekejaman komunis dahulu. Sengaja Atok dedahkan siapa mereka dan konco-konco mereka, walaupun ada di antara mereka itu sebangsa dan seagama dengan kita. Atok tidak menilai keimanan mereka tetapi tindakan mereka, terhadap saudara seislam serta sebangsa mereka. Sudah pastilah komunis ini musuh umat Islam kerana tidak mempercayai adanya Allah. Namun apabila mereka menyerang umat Islam walau atas sebab dan alasan apa sekalipun mereka itu menjadi Kafir Harbi, yakni darah mereka halal kita bunuh, Bersekongkol dengan mereka adalah suatu kesalahan berat dan pengkhianatan apatah lagi yang bersama-sama menyerang dan membunuh muslimin dan muslimat dengan cara yang penuh tragis, melampaui batas kemanusiaan.

Atok tidak mahu perkara ini berulang kembali. Memang. MELAYU MUDAH LUPA.  Mungkin kita tidak lagi berperang dengan puak neo-komunis/sosialis ini di medan perang, tetapi kita pasti memerangi mereka yang mendapat sokongan golongan liberal dan LGBTQ antarabangsa ini di medan pilihanraya. Semoga agenda mereka tidak kesampaian di bumi ulama warisatul ambia ini. Kita tidak boleh  membenarkan tentera pro-Dajjal ini bertapak di sini. Kalau ini dikira jihad, maka Atoklah antara mereka yang menyahutnya. Jangan kita tersalah memilih, kelak kita dan anak cucu kita yang merana akibat tangan-tangan kita tempoh hari.

Kali ini Atok nak bawa korang kembali lagi ke era Darurat. Bukan lagi ke Titi, Negeri Sembilan, tetapi ke Jenderam, Selangor. Sebelum kita ke sana, korang bacalah serba sedikit maklumat dan sejarah Jenderam, tempat suburnya Melayu Radikal dan pro-komunis di Malaya suatu masa dahulu. 
AND THE STORY GOES LIKE THIS......

 Peta Mukim Dengkil yang menunjukkan kawasan Jenderam Hulu dan Jenderam Hilir serta petempatan-petempatan sekitarnya dalam tahun 2022

KEDUDUKAN
Jenderam terletak pada kedudukan 2.8' Utara, 101.7' Timur, dalam mukim Dengkil dalam daerah Sepang, di negeri Selangor Darul Ehsan. Bersempadan  dengan Sungai Langat, kira-kira 30 km dari Kuala Sungai Langat yang menjadi laluan utama pedagang-pedagang dan penghijrah terutama Sumatera, Jawa dan China ke Kajang, Semenyih, Reko dan sebagainya. 

Jenderam sebenarnya terbahagi kepada dua buah kampung yang ditadbir secara berasingan. Jenderam Hulu terdiri daripada beberapa buah kampung dan taman-taman perumahan  yang terletak di laluan jalan raya Salak Tinggi-Bangi manakala Jenderam Hilir di laluan jalan raya Dengkil-Bangi.

Petempatan-petempatan di Jenderam, Dengkil dalam tahun 2022


TOPOGRAFI/BENTUK MUKA BUMI

Kawasan di Jenderam bolehlah dikatakan rata. Muka bumi yang agak beralun dengan purata ketinggian berjulat daripada RL20m hingga RL40m dari min paras air laut. Permukaan semakin meninggi apabila menghala ke hulu Sungai Jenderam  Sementara di kawasan hilir Sungai Jenderam, tanahnya lebih rendah. Sebahagian mukabuminya antara 10-50 meter dari aras laut dan begitu sesuai ditanam dengan padi sawah satu ketika dahulu. Berdasarkan peta, kawasan tanah tinggi terletak di Bukit Berot, Bukit Tunggul, Bukit Janda, Bukit Bujang, Bukit Palembang, dan Bukit Piatu. manakala kawasan paling rendah (kira-kira RL 10.33m) terletak di dataran banjir Sg. Langat yang berada di Jenderam Hilir di bahagian barat laut peta. 

Topografi sedia ada menunjukkan kawasan ini disaliri oleh aliran sungai semula jadi. Terdapat beberapa sungai yang utama di Jenderam. Sungai-sungai tersebut adalah seperti berikut:-
1. Sungai Langat
2  Sungai Semenyih
3  Sungai Jenderam
4. Sungai Palembang

Sungai Semenyih mengalir dari Bukit Arang yang berhampiran dengan sempadan Selangor – Negeri Sembilan. Lebar sungai ini kira-kira 40 kaki. Dalamnya hanya 1-2 meter sahaja. Sungai Semenyih bercantum dengan Sungai Langat di Jenderam.

Cuaca di Jenderam panas dan lembab. Suhu panas disederhanakan oleh pokok-pokok tanaman dan pokok semulajadi yang banyak terdapat di Jenderam. Suhunya di antara 27 hingga 29 darjah Celcius. Hujan sering turun pada waktu petang. Hujan perolakan turun pada waktu petang. Tidak ada hujan bukit.

Topografi kawasan Jenderam kini dalam tahun 2022

Bentuk Muka Bumi Jenderam Hulu dan Jenderam Hilir dalam tahun 2022

Kedudukan dan topografi Bukit Piatu di Jenderam

LATAR BELAKANG SEJARAH DAN KEGIATAN EKONOMI  KG. JENDERAM

Peta menunjukkan kawasan  Kampung Jenderam dalam tahun 1933

Kawasan Jenderam Hulu dalam tahun 1933

Kampung Jenderam sudah mula diteroka oleh 21 peneroka tanah sawah di Sungai Jenderam dalam tahun 1897. Kemudian dalam tahun 1911, Kampung Jenderam dihuni seramai 100 buah keluarga antara tahun 1909-1911 oleh orang-orang keturunan Minangkabau yang berasal dari kampung Beranang, Hulu Langat. Selepas itu  orang-orang  keturunan Minangkabau dari kampung lain  di daerah Hulu Langat dan dari Minangkabau, Sumatera Barat turut berhijrah ke kampung itu, sehingga akhirnya lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang  berketurunan Minangkabau. Penduduk-penduduknya mengerjakan kebun mereka dengan menanam getah, menanam padi, dan hasil pertanian dan penternakan yang lain. Mereka taat mengamalkan ajaran Islam. Dahulu, di situ ada kampung namanya Kg. Jenderata.

1/2 Permohonan daripada 21 orang peneroka kepada Pejabat Daerah Kuala Langat untuk tanah sawah
 di Sungai Jenderam dalam tahun 1897

2/2 Permohonan 21 orang peneroka kepada Pejabat Daerah Kuala Langat untuk tanah sawah di Sungai Jenderam dalam tahun 1897

Surat Permohonan tanah baharu oleh 16 pemilik tanah di Batu 28 Jalan Salak- Bangi dalam tahun 1911

Jenderam menjadi pusat pengajian agama Islam yang penting di selatan Selangor. Sekolah agama rakyat berkonsepkan pusat pengajian pondok dibangunkan di situ dalam tahun 1915. Ketika itu, mereka sering menjemput tokoh-tokoh pejuang kebangsaan Indonesia termasuklah Nata Zainuddin, Sutan Djenain, Djamaludin Tamin dan beberapa orang lagi untuk memberikan ceramah.

Pernah dalam tahun 1923, Kadi Besar Kuala Lumpur bernama Tuan Guru Haji Abdul Hamid  berkunjung ke Jenderam atas jemputan orang ramai di situ bagi menyampaikan ceramah di masjid mereka. Ini membuktikan mereka tiada masalah dan tidak mencampuri polemik agama antara Kaum Tua dan Kaum Muda, istilah yang dipelopori oleh golongan orientalis yang ingin melihat perpecahan dalam hubungan antara golongan tua dan generasi muda yang berbeda pandangan.  Namun, perbezaan antara mereka semakin membesar dan tidak terkawal lagi.

Pada tahun 1927 kes dan isu Kaum Muda di Jenderam ini telah dibawa ke Mahkamah Syariah Klang dan juga ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Tuan Guru Hj. Jalaluddin Ismail, Hj. Abdullah Hussin dan beberapa pengajar dan pengikutnya yang mendirikan Madrasatul Ubudiah pada tahun 1922 sebagai pusat pengajian agama secara sistematik yang menggabungkan sukatan pengajian daripada Sumatera dan Mesir di Jenderam, telah didakwa di mahkamah oleh Pejabat Agama Selangor sebagai membawa fahaman dan pendekatan yang menyimpang dan bertentangan dengan Mazhab Shafie yang diamalkan di negeri ini.

Berita kematian Tuan Kadi Haji Abdul Hamid selepas solat Subuh di Jenderam pada 14 Februari 1923

Kawasan Jenderam Hilir dalam tahun 1933

Di kawasan ini, Kampung Jenderam Hilir,  manusia zaman mesolitik dan neolitik pernah tinggal di sini. Percaya atau tidak, Kampung Jenderam Hilir menjadi bukti penempatan terawal manusia di negara ini dan Asia Tenggara pada Zaman Neolitik (Zaman Batu Baru). Kawasan berkenaan menjadi lokasi penemuan artifak purba yang dianggarkan berusia 4,500 tahun lalu (wujud sejak 2,500 Sebelum Masihi). Berdasarkan penyelidikan arkeologi di Kampung Jenderam Hilir mendapati masyarakat neolitik menetap di kawasan subur berhampiran tebing Sungai Langat dan berkemungkinan menjalankan aktiviti pertanian.

Terdapat beberapa artifak yang diyakini dibuat sendiri oleh masyarakat tempatan dan terdapat juga artifak yang diyakini di bawa daripada luar seperti seramik China. Artifak yang dibuat atau di bawa dari luar menunjukkan kearifan tempatan masyarakat tempatan waktu itu. Pembuatan barang untuk kegunaan harian menunjukkan secara terus teknologi yang digunakan dan dapat difikirkan oleh masyarakat Jenderam Hilir pada masa lampau. Kemasukan barangan daripada luar menunjukkan kemahiran penduduk tempatan, ada aktiviti perdagangan dengan masyarakat asing kerana dipercayai Jenderam Hilir merupakan sebuah pelabuhan pembekal kepada  pelabuhan entrepot yang berada di Klang ataupun  di Kedah.

Kampung Jenderam Hilir dikatakan dibuka sekitar 1940-an. Namun, jika di lihat di peta sudah ada dua kampung di sana, Kg. Jalan Baharu dan Kg.Tanjong. Mereka bekerja sebagai petani, pesawah, penoreh dan aktiviti pertanian. Selepas kampung ini dibuka, ramai imigran dari China berhijrah ke sini. Ini kerana pada asalnya kampung ini adalah kawasan lombong bijih timah,

Sekolah Kebangsaan Jenderam Hilir telah diusahakan penubuhannya oleh penduduk-penduduk Kampung Jenderam Hilir pada  1945. Sekolah ini dibina secara bergotong-royong dengan membangunkan bangunan kayu , beratap rumbia dan berdindingkan buluh dengan keluasan  60 x 60 kaki di atas tanah seluas 1.844 ekar. Sekolah ini pada awalnya di kenali dengan nama Sekolah Melayu Batu 26, Jenderam. Apabila nama Kampung Batu 26 ditukar kepada Kampung Jenderam Hilir, sempena itu juga  nama sekolah ini juga digantikan dengan nama Sekolah Kebangsaan Jenderam Hilir.

Jenderam sekali lagi terkenal sebagai pusat pengajian agama dan dakwah dengan kewujudan Kompleks Yayasan Al Jenderami. Perjuangan dan sikap keberanian penduduk Jenderam tetap terpahat menjadi sebahagian riwayat sejarah negeri Selangor dan negara baik dalam perjuangan kiri kemerdekaan negara dan juga sebagai pusat reformis agama Kaum Muda.

PERGERAKAN POLITIK  MELAYU HALUAN KIRI/ RADICAL MALAYS

Daerah Hulu Langat adalah satu kawasan dalam negeri Selangor di mana gerakan kiri Melayu pernah wujud antara tahun 1946 hingga 1948 dahulu. Dengan sokongan orang-orang keturunan Indonesia di daerah itu, cawangan  PKMM, API, AWAS, BATAS dan kemudiannya  PETA telah wujud sebagai cawangan yang aktif. Hal ini ada kaitannya dengan kemunculan  beberapa orang pemimpin yang berkebolehan, bukan saja pada peringkat daerah  Hulu Langat, tetapi juga sebagai  pemimpin pada peringkat nasional dan negeri Selangor.

Beberapa faktor yang umum bagi seluruh daerah Hulu Langat, diperkirakan ada faktor khsusus yang mempengaruhi kemunculan dan perkembangan gerakan politik kiri di kampung  Jenderam,  iaitu  pengaruh dari Indonesia kerana lebih 90% penduduk kampung itu terdiri daripada orang-orang berketurunan Minangkabau:
  • Pada tahun 1922, Haji Jalaluddin Ismail, seorang guru agama dari Minangkabau telah datang ke kampung Jenderam, lalu mendirikan sebuah sekolah agama yang diberi nama Madrasatul-Ubudiah.  Kedatangan beliau diikuti oleh beberapa orang  guru agama lain dari Minangkabau.  Haji Jalaluddin adalah seorang ulama  “kaum Muda” yang dipengaruhi oleh gerakan pembaharuan agama di Timur Tengah. Jadi kedatangannya  turut membawa fahaman kaum muda ke kampung itu. Dengan itu, fahaman kaum muda yang berasal dari Minangkabau itu akhirnya menjadi pegangan umum penduduk kampung  Jenderam.
  • Gerakan politik kiri boleh dianggap bermula  di kampung  Jenderam  tidak lama setelah KMM ditubuhkan pada tahun 1938 dengan penyertaan penduduk kampung  Jenderam dalam organisasi itu. 
  • Abu Bakar Jali yang kemudiannya menjadi Ketua PKMM Jenderam pernah mengikuti kursus politik yang dianjurkan oleh PERMI (Persatuan Mahasiswa Islam) yang mengadakan sekolah politik di Bukit Tinggi. Mereka telah terdedah kepada idea antikolonial, mempunyai pandangan dan pemikiran yang dinamis dan progresif, dan mudah menyokong gerakan politik yang berjuang untuk  kemerdekaan di  samping membawa  fahaman kaum muda, apabila  mereka kembali ke tanah air.
  • Penduduk kampung Jenderam tidak mahu ketinggalan daripada memberi sumbangan kepada saudara mara mereka di Indonesia. Oleh itu, sebuah cawangan PIM telah ditubuhkan di kampung Jenderam dengan dipimpin oleh  Abu Bakar Jali. Antara aktiviti yang mereka jalankan adalah memungut wang dan pakaian lama untuk dihantar ke Indonesia melalui ibu pejabat PIM di Kuala Lumpur. 
  • Pemergian 10 orang penduduk kampung Jenderam ke Sumatera untuk menyertai Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang ditubuhkan pada tahun 1946,  direstui dan dibiayai bersama oleh seluruh penduduk kampung  Jenderam dan dianggap sebagai wakil seluruh  penduduk kampung tersebut. 
Apabila badan gabungan PKMM, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan tidak lama selepas itu, penduduk kampung Jenderam juga tidak ketinggalan daripada melibatkan diri  dengan semua gerakan itu. kampung Jenderam sebagai salah sebuah kubu gerakan kiri di Selangor.

Barisan Pemimpin Melayu Haluan Kiri 1

Barisan Pemimpin Melayu Haluan Kiri 2

           


Aisyah Ghani menganggotai AWAS sebelum menjadi pemimpin UMNO





Parti PERAM juga mengadakan perarakan membantah dasar-dasar Inggeris di Malaya

Pengharaman Parti-parti politik Melayu haluan kiri oleh Inggeris pada tahun 1948

PEMBERONTAKAN BERSENJATA  BERSAMA PARTI KOMUNIS MALAYA

Sepanjang tahun 1948 hingga 1960, penduduk kampung Melayu di sini dikatakan menyokong dan menjadi pengikut Parti Komunis Malaya. Hal ini kerana pemimpin-pemimpin komunis Indonesia seperti Tan Malaka dari Indonesia dipercayai pernah datang ke sini kerana di sini ramai keturunan Minangkabau. Seorang pemimpin komunis Melayu bernama Abdul Manan telah menjemput beberapa penduduk dari Kampung Sungai Kembung, Semenyih ke Jenderam. Abdul Manan selaku ketua komunis dan tali barut komunis berpakat dengan Ketua Kampung Sungai Kembung dan ketua-ketua kampung yang lain di Jenderam, memujuk penduduk kampung menentang kerajaan British di Tanah Melayu. Turut hadir ialah Tuan Imam Haji Abas, Abdul Malek Haji Salim dan Haji Osman bin Ali. untuk membincangkan perjuangan komunis menentang penjajahan British dan memerdekakan tanah air serta aktiviti lanjutan. Fahaman komunis diwarwarkan dan diterangkan dan mereka meminta sokongan daripada penduduk Melayu kerana kononnya ingin membentuk pentadbiran negara yang adil dan saksama. Ramai orang Melayu simpati, menyokong dan terlibat dengan pergerakan komunis.

Orang yang mula-mula melibatkan diri dengan  perang gerila  anjuran PKM itu ialah Bakar bin Jali. Dia melibatkan  diri dengan  peperangan itu  pada bulan  September 1948, diikuti oleh kawan-kawannya yang lain pada bulan Oktober 1948.  Pada mulanya mereka bergerak sebagai satu  seksyen “komunis Melayu”  di kawasan Salak, daerah Sepang. Kemudian mereka dipindahkan ke Sungai Long,  daerah Hulu Langat untuk bergabung dengan  seksyen Melayu yang lain, dan membentuk  satu  platun Melayu (seramai 36 orang)  bersama dengan orang-orang dari Sungai Long, Sungai Serai dan Hulu Langat. Pada tahun 1949 mereka berundur ke kawasan Titi, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan ketenteraan dan taktik perang gerila selama kira-kira enam bulan. Selepas tamat latihan itu, mereka dipecah-pecahkan kepada unit,  dua atau tiga orang seunit serta diserapkan ke dalam platun-platun lain.

Petikan sebahagian temuramah bersama Musa Ahmad, bekas pemimpin KMM dan API

Petikan  akhbar dalam tahun 1950 tentang keganasan yang dilakukan
 oleh pengganas-pengganas komunis Melayu di Jenderam dan Hulu Langat

Di antara pengganas-pengganas Melayu di Jenderam, Haidir@Hithir@Khidzir bin Haji Ibrahim@Hithir Lubis merupakan orang Melayu yang paling dikehendaki oleh pihak Inggeris. Dia merupakan seorang pegawai Tentera Revolusioner Indonesia yang berkompromi dengan Partai Komunis Indonesia dan menjadi Ketua Pengrekrut, Penasihat dan Bendahari API untuk bersama PKM. Dia mendapat sokongan ramai di Jenderam memandangkan kawasan tersebut merupakan kubu kuat Melayu Radikal dengan komuniti Indonesia yang agak besar di situ. Bersama dengan pembantunya, Ali bin Boyok@ Ali Burok, mereka melancarkan beberapa siri keganasan terhadap pemimpin-pemimpin Melayu tempatan yang tidak mahu bersekongkol dengan agenda mreka termasuk pembunuhan-pembunuhan Guru Besar Abdul Karim bin Omar di Jenderam, penembakan seorang pemimpin UMNO, Ali Danir bin Shuib  di Kajang pada 25 Julai 1948, pembunuhan dua orang Ketua Kampung Melayu di Kongkoi dan Telekong di Jelebu. Kerajaan menawarkan $15,000 untuk kematian atau tangkapan terhadapnya.

Kematian Hithir dan Ali Boyok dalam tahun 1951



Bersama dengan Manap serta pengikut-pengikut setia mereka di Jenderam, mereka 'memeras ugut' penduduk setempat dengan mengutip kira-kira $4,000 sebulan untuk perbekalan makanan dan keperluan  perubatan PKM. Hal ini didedahkan oleh Kapten Hussien bin Onn (mantan Perdana Menteri Malaysia ke-3) ketika beliau menjalankan soal siasat ke atas ribuan penduduk Jenderam yang dipaksa pindah ke kem tahanan di Kluang, Johor. Hithir ditembak mati pada 24 Januari 1951 dalam serangan hendap pihak polis ke atas tempat persembunyiannya di Rasa, Hulu Selangor ketika sedang bersembang sambil menghisap rokok tembakau Cina. Sebutir peluru menembusi topi dan kepalanya. Ketika itu dia berumur 35 tahun.  Abdul Manan bin Pakeh,27 tahun, Ketua Min Yuen Melayu juga dibunuh oleh pihak berkuasa pada keesokan harinya iaitu pada 25 Januari 1951 di dalam kawasan Bukit Raya, Jenderam.




PERPINDAHAN SECARA PAKSA PENDUDUK JENDERAM 

Mulai tahun 1951, kerajaan bertindak melaksanakan Peraturan Darurat 17D untuk memutuskan hubungan penduduk Semenyih dengan pihak komunis. Kebanyakan pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datangnya dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia. Pembersihan Jenderam oleh pihak tentera perlu dilakukan bagi memastikan tiada lagi kawasan mesra pengganas wujud sebelum darurat ditamatkan. Jenderam merupakan petempatan ke-17 yang ditutup sehingga awal tahun 1951

Serangan waktu Subuh 15 Februari 1951 terhadap penduduk Jenderam dilakukan oleh lebih 1000 orang tentera serta dibantu oleh 3 kompeni Polis. Namun, kira-kira 30 hingga 40 orang penduduk Jenderam terlepas daripada serbuan Subuh tersebut kerana mereka berada di Kajang dan Kuala Lumpur ketika itu. Rata-rata penduduk Jenderam merupakan penoreh getah dan penanam padi. Mereka dipaksa berkumpul di suatu tempat yang ditentukan. Rata-rata mereka menunjukkan wajah keresahan  kerana kemungkinan mereka akan dibunuh ketika dikerah keluar dengan segera daripada kampung tersebut. 

Pemindahan penduduk dilakukan dengan mengangkut mereka menggunakan lori. Walau bagaimanapun, mereka  berasa lega apabila trak yang membawa mereka tiba di stesen kereta api Kajang dan mereka dimasukkan ke gerabak-gerabak. Namun, mereka langsung tidak mengetahui bahawa mereka akan dibawa  terus ke Kluang, Johor. Di bawah peraturan tersebut, seramai lebih daripada 1500 penduduk Melayu, Cina dan Indonesia di Jenderam, Sepang, Selangor dipindahkan ke kem tahanan Kluang, Johor. Sebuah kem tentera ditugaskan bagi mengawasi mereka di sana. Atas rasa tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, Allahyarham Abdullah bin Hussin, Ketua Kampung Jenderam Hulu, bersama isteri beliau turut berpindah ke Kem Kluang walaupun dikatakan beliau sekeluarga bebas daripada tindakan tersebut.

Stok getah serta hasil tuaian tidak dapat dijual kerana perintah berpindah telah dikeluarkan secara mengejut. Semua barangan berharga perlu dibawa keluar dari kampung tersebut menjelang keesokan harinya. Justeru, pihak PWD (JKR kini) telah menyediakan kira-kira 200 orang kakitangan dan pekerja untuk membawa barang-barang para penduduk keluar dari kampung tersebut. Mereka berjaya membawa keluar barangan berupa besi dan logam, serta papan dan perabot bernilai $8,000. Pihak Veterinar pula membawa keluar semua ternakan dan bahan makanan. Pihak United Planting Association pula akan memungut keluar stok getah. 

Semua harta atau barangan milik orang kampung dikumpulkan. Kerja-kerja memunggah dilakukan oleh pekerja JKR dibantu oleh pekerja-pekerja estet berdekatan. Apa sahaja yang boleh laku dijual secara lelongan di Queen's Cinema, sebuah panggung wayang lama di Kajang yang sudah dua tahun tidak digunakan lagi. Pelelong Awam dilantik untuk melelong semua barangan milik penduduk. Antara barangan penduduk tersebut berupa sos Cina, kekacang, bihun, termasuklah tin biskut dan minyak kelapa. Penjualan dilakukan dan wang dapatan dikumpulkan dan akan dibahagikan secara sama rata dalam kalangan penduduk yang berpindah tersebut. Pemulangan hasil lelongan barangan akan diberikan kepada penduduk kampung Jenderam yang berkenaan pada suatu masa kemudian.

Ketika kerja-kerja pemunggahan barangan milik penduduk kampung tersebut, beberapa kejadian kecurian seperti kehilangan basikal dilaporkan. Berlaku kes-kes kecurian dari rumah-rumah yang ditinggalkan seperti guni-guni  berisi padi, tikar, mangkuk dan kuali. Namun kebanyakan kes itu diabaikan oleh pihak berkuasa.

Mulai 16 Februari 1951, Jenderam dengan keluasan 8 batu persegi (20 km persegi)  berubah menjadi kawasan seperti dilanggar garuda, sunyi sepi tidak berpenghuni. Pada awal rancangannya, Jenderam akan dimusnahkan oleh Tentera Udara untuk  mengelakkan kawasan ini menjadi tempat persembunyian dan markas komunis lagi. Namun pihak tentera menafikannya. Lima minggu kemudian, apabila Rancangan Brigg dilaksanakan, semua rumah penduduk kampung di Jenderam kecuali masjidnya telah dibakar, dan semua tanaman penduduk kampung dimusnahkan. Pemusnahan rumah oleh pihak tentera di Jenderam tidak akan diberi pampasan oleh pihak kerajaan seperti yang tertera dalam minit mesyuarat Pegawai Daerah Hulu Langat bertarikh 27 Jun 1952

Sementara itu, sebahagian besar penduduk-penduduk Kg. Bukit Raya, petempatan bersebelahan Kg. Jenderam telah meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan di pekan dan bandar berhampiran. Kira-kira 90 daripada 100 buah rumah ditinggalkan walaupun kampung mereka tidak diarahkan berpindah oleh pihak tentera. Rasa bersalah yang tebal kerana bersimpati dengan komunis menyebabkan mereka sendiri yang keluar dari petempatan mereka. Penyewaan sebuah rumah di Kg. Batu 9 sebagai sekolah Melayu, berikutan penutupan sekolah Melayu di Bukit Raya dalam tahun 1951 dibuat. Peruntukan sebanyak $175 dikeluarkan untuk penyewaan sekolah Melayu tersebut pada kadar sewaan $35 sebulan.

Penutupan Jenderam serta pemindahan penduduknya ke Johor mendapat liputan akhbar dan parlimen di England. Serangan dan Penutupan Jenderam disamakan dengan serangan ke atas bandar Lidice, Jerman ketika Perang Dunia Kedua  Penutupan dan pemindahan penduduk ke atas Jenderam mengikut ER17D juga dikatakan tidak sepatutnya dilaksanakan kerana mendatangkan pelbagai masalah terhadap ahli keluarga yang lain. Proses yang dilalui di mana mereka dipindahkan, dikurung, disoal siasat sebelum dilepaskan banyak menyusahkan tahanan kerana soal siasat hanya bermula mulai Ogos 1951, kira-kira 6 bulan selepas mereka dipindahkan pada 15 dan 16 Februari 1951. Malah, sebahagian besar penduduk tidak bersalah tetapi menjadi mangsa keadaan dan tindakan oleh pihak komunis dan tentera. Namun, bagi pihak kerajaan, Jenderam bukanlah satu-satunya petempatan yang ditutup, tambahan pula tanpa sebarangan kematian dalam kalangan penduduk. Kerajaan terpaksa memusnahkan tanaman para penduduk di Jenderam bagi memutuskan rangkaian bekalan makanan kepada pengganas komunis.

Mengikut rekod, terdapat seramai 2636 orang tahanan termasuk keluarga mereka di kem tahanan Kluang ketika itu. Daripada jumlah tersebut, 1725 tahanan termasuk kanak-kanak dari Jenderam. Daripada kira-kira 1600 penduduk dewasa yang ditahan, 1000 merupakan orang Melayu manakala 600 berbangsa Cina.   

Pihak berkuasa mula mengadakan soal siasat untuk mengenalpasti mereka yang membantu pihak komunis. Dikatakan 50 siri keganasan komunis berlaku di Jenderam serta terdapat  markas besar pengganas komunis di situ.  60 orang ditahan berhubung pembabitan mereka membantu pihak komunis termasuk pembunuhan seorang guru sekolah di Jenderam. Ketika siasatan dijalankan oleh Kapten Hussien Onn, mengikut keterangan  100 orang penduduk  kampung Jenderam, mereka sebenarnya takut untuk bersuara tentang aktiviti prokomunis kerana diancam. Hanya 101 orang sahaja yang didapati bersalah atas tuduhan bersubahat membantu aktiviti komunis di Jenderam.

Bekas-bekas tahanan akan dipindahkan ke kem rehabilitasi sebelum ditempatkan semula di kawasan penanaman padi lain yang ada di Selangor. Mereka sama sekali tidak dibenarkan kembali ke kampung halaman mereka di Jenderam. Anak-anak tahanan yang dilepaskan terpaksa dibela oleh keluarga-keluarga mereka yang lain  di Perak, Negeri Sembilan dan tempat-tempat lain di Selangor. Mereka akan menyambung pelajaran di sana. Hanya 10% daripada bekas tahanan diberi bantuan antara $3-$10 sebulan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Kira-kira 100 orang keluarga Melayu yang terkandas di Kuang, Gombak dan Setapak diberi bantuan makanan oleh JK Kebajikan Muslim Kuala Lumpur dalam bulan Disember 1951. Pihak UMNO Hulu Langat membantu para tahanan dengan menyerahkan kira-kira 15 guni beras dan pakaian kepada 60 orang keluarga tahanan. Mereka yang dilepaskan daripada tahanan di Kluang diminta ke pejabat daerah Hulu Langat untuk menuntut barangan peribadi yang ditinggalkan ketika pemindahan mereka dari Jenderam. Kerajaan masih belum lagi memulangkan wang hasil lelongan barangan milik mereka. Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan polisi kerajaan yang hanya membayar 10% daripada nilai keseluruhan harta mereka sebagai pampasan. 

ERA PASCA KEMERDEKAAN

Selama 7 tahun, bermula 1951 hingga 1958, Jenderam ditinggalkan. Kebun dan bendang kini ditumbuhi semak dan belukar. Rumah dan bangsal habis dibakar. Cuma masjid sahaja ditinggalkan sebagai tanda dahulu kawasan ini pernah dihuni. Kini segalanya sunyi dan sepi. Tidak seorangpun penduduk asalnya dibenarkan kembali. Sehinggalah pada suatu hari, 17 Julai 1957,sebulan sebelum Inggeris meninggalkan negara, penduduk asal Jenderam mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman supaya dibenarkan mendiami semula kampung halaman mereka. Mereka menanti dan terus menanti sehinggalah dalam bulan Disember 1958, mereka memperoleh jawapan yang mereka nanti-nantikan. 

Dalam tempoh 4 bulan terawal, 65 daripada keseluruhan 450 buah keluarga yang bertaburan di seluruh pelosok negeri termasuk dari Sungai Penchala, Kuang, Gombak dan Kuala Lumpur kini kembali. Kampung dan kebun yang sebelum ini menjadi hutan dibersihkan. Tali air yang tersumbat dibaiki, kini airnya mengalir kembali. Mereka sendiri yang mengerjakan semuanya. Semangat bergotong royong mereka sukar ditandingi. Berkat kesabaran dan keimanan mereka selama menjadi orang dagang di tempat orang, akhirnya  Allah SWT menganugerahkan buat mereka limpahan rezeki yang tiba-tiba. 

Setelah Kerajaan negeri memperuntukkan $250 setiap keluarga untuk membina rumah sendiri. $13,000 untuk membaiki masjid lama, $12,500 untuk balai raya, barulah ramai yang berani kembali ke kampung asal mereka. Hal ini kerana mereka memerlukan pekerjaan yang menjana pendapatan untuk kesinambungan hidup. Pokok getah dan sawah mereka terbiar pasti mengambil masa untuk dikutip hasilnya. Kerajaan Persekutuan pula membina sekolah yang baharu dengan biaya $86,000, diikuti sebuah balai polis kecil dan kemudahan-kemudahan lain. Jalan raya  mula dibaiki. Pada tahun 1965, mereka mendapat durian runtuh kerana pemberian tanah perumahan dan pertanian untuk penduduk-penduduk di Kg. Jenderam Hulu dan Jenderam Hilir 


Serangan Waktu Subuh terhadap penduduk Jenderam dilakukan oleh lebih 1000 orang tentera serta dibantu oleh 3 kompeni Polis.

Jenderam dengan keluasan 8 batu persegi (20 km persegi) menjadi kawasan sunyi sepi tidak berpenghuni seperti dilanggar garuda . 


Penutupan Jenderam menyebabkan bekalan getah ke Russia dihentikan

Pemindahan penduduk dilakukan dengan mengangkut mereka menggunakan lori ke stesen keretapi Kajang sebelum tiba di Kluang




Operasi Lelongan Awam Harta benda milik penduduk Jenderam di Kajang

Penduduk dari kampung-kampung yang berhampiran dengan Jenderam berkata mereka takut untuk bersuara tentang aktiviti prokomunis.

Seluruh kawasan selatan Hulu Langat termasuk Jenderam, Bukit Raya dilihat sebagai sarang pengganas komunis

Tentera Udara menafikan berita kononnya mereka diarahkan mengebom dan memusnahkan seluruh kawasan Jenderam dalam beberapa hari lagi.

Kononnya Jenderam bukanlah satu-satunya petempatan yang ditutup

Marahkan nyamuk, kenapa kelambu dibakar? Kata Penyunting akhbar Guardian di England

Serangan dan Penutupan Jenderam disamakan dengan serangan ke atas bandar Lidice walaupun tanpa sebarangan kematian dalam kalangan penduduk.

Hasil soal siasat, lebih $4000 sebulan  hasil kutipan seluruh setiap rumah penduduk Jenderam untuk diberikan kepada komunis

1/5 Tatacara Proses , Penahanan, Pemindahan, Soal siasat  dan Pembebasan Tahanan Jenderam pada Ogos 1951

2/5 Tatacara Proses , Penahanan, Pemindahan, Soal siasat  dan Pembebasan Tahanan Jenderam pada Ogos 1951

3/5 Tatacara  Proses , Penahanan, Pemindahan, Soal siasat  dan Pembebasan Tahanan Jenderam pada Ogos 1951

4/5 Tatacara Proses , Penahanan, Pemindahan, Soal siasat  dan Pembebasan Tahanan Jenderam pada Ogos 1951


5/5 Tatacara Proses , Penahanan, Pemindahan, Soal siasat  dan Pembebasan Tahanan Jenderam pada Ogos 1951


Surat Pemberitahuan Pembebasan 700 tahanan Melayu dan 500 tahanan Cina dari Kem Tahanan Kluang bertarikh 20 Ogos 1951

Penyewaan sebuah rumah Kg. Batu 9 sebagai sekolah Melayu berikutan penutupan sekolah Melayu di Bukit Raya dalam tahun 1951

Peruntukan sebanyak $175 dikeluarkan untuk penyewaan sekolah Melayu tersebut

Pemusnahan rumah oleh pihak tentera di Jenderam tidak akan diberi pampasan oleh pihak kerajaan seperti yang tertera dalam minit mesyuarat Pegawai Daerah Hulu Langat pada 27 Jun 1952

Setahun sudah berlalu namun kerajaan masih belum lagi memulangkan wang hasil lelongan barangan milik mereka. 

Terdapat 2636 orang tahanan termasuk keluarga mereka di kem tahanan Kluang ketika itu

Terbukti sebahagian besar penduduk tidak bersalah malah menjadi mangsa keadaan dan tindakan oleh pihak komunis dan tentera.

Pihak UMNO Hulu Langat membantu para tahanan dengan menyerahkan kira-kira 15 guni beras dan pakaian kepada 60 orang keluarga tahanan 


Para penduduk tidak berpuas hati dengan polisi kerajaan yang hanya membayar 10% daripada nilai keseluruhan harta mereka sebagai pampasan 


Pemulangan hasil lelongan barangan akan diberikan kepada penduduk kampung Jenderam yang berkenaan 

Kira-kira 100 orang keluarga Melayu yang terkandas di Kuang,Gombak dan Setapak diiberi bantuan makanan oleh JK Kebajikan Muslim Kuala Lumpur dalam bulan Disember 1951




Dalam tahun 1954, kerajaan Selangor diberitakan mungkin membenarkan bekas tahanan kem Kluang untuk kembali ke Jenderam.

                               Pembukaan semula Kg. Jenderam pada akhir 1958 direstui semua parti politik.


Ilustrasi berwarna masjid lama Kg. Jenderam yang dibaiki semula oleh penduduknya dalam tahun 1958

Masjid baharu yang dibina di tapak asal bagi menggantikan masjid lama Jenderam


Sebahagian penduduk Kg. Jenderam yang begitu gembira kerana dapat kembali ke kampung asal mereka di Jenderam
Sebahagian daripada kanak-kanak Kg. Jenderam dalam tahun 1958




Throwback....Penceritaan tentang Pembinaan semula Kg. Jenderam

Sekolah Melayu Jenderam memang telah wujud sebelum merdeka lagi


Kejayaan anak-anak Kg. Jenderam yang menjadi johan dalam pertandingan bahas peringkat negeri Selangor

Petikan berita tentang bantuan kerajaan kepada penduduk-penduduk Jenderam dalam tahun 1959

Kemudahan pos untuk penduduk Jenderam

Klinik Bidan untuk Ibu dan Anak dibuka di Kg. Jenderam dalam tahun 1962


Penghormatan buat Kaum Wanita Kg. Jenderam dalam tahun 1964

Kemajuan Pertanian untuk penduduk Kg. Jenderam

Pemberian tanah perumahan dan pertanian untuk penduduk Kg. Jenderam Hulu dan Jenderam Hilir pada tahun 1965




Makam Ketua Kampung Jenderam Hulu ketika Darurat, Allahyarham Abdullah Hussin yang sanggup bersama-sama anak buahnya berhijrah ke Kluang walaupun diberi pengecualian oleh Inggeris.


KEADAAN DI JENDERAM MASA KINI

Kedudukan  Dengkil termasuk Jenderam yang  pada  mulanya  agak  terpisah  daripada  kawasan pembangunan di Lembah Klang,  menyebabkan pekan tersebut tidak  terikut sama dalam arus pembangunan. Bagaimanapun, pembangunan kawasan pertumbuhan baru di Bandar Baru Bangi  dan Bandar Baru Salak (masing-masing terletak kira-kira 20 km ke timur dan tenggara  Dengkil) pada  akhir  1970-an,  mula  memberi  kesan    yang  ketara  terhadap perkembangan pekan tersebut.  Jumlah isi rumah yang tinggal di Dengkil dan berulang-alik ke pusat pertumbuhan baru tersebut untuk bekerja sama ada di dalam sektor pembuatan atau perkhidmatan,  agak besar.  

Sebahagian isi rumah menjadikan Dengkil sebagai pekan kediaman yang  menarik kerana terdapatnya banyak  kemudahan  sosial, selain  sewa dan harga  rumah yang relatif  murah berbanding  dengan keadaan di  tempat mereka bekerja.  Pelebaran  dan pelurusan jalanraya  yang menghubungkan Dengkil-Bandar Baru Bangi, Dengkil- Salak, Dengkil- Banting  dan  Dengkil-Puchong  pada  akhir  1970-an, memudahkan  pergerakan  penduduk  ke  tempat-tempat  berkenaan. 

Kampung Jenderam Hilir dilihat masih mengekalkan ciri kedesaan meskipun kedudukannya berhampiran Putrajaya. Papan tanda mengatakan Kampung Jenderam Hilir adalah tapak penempatan paling tua di Malaysia dan Asia Tenggara perlu dipasang di kawasan berkenaan supaya orang ramai mengetahui kewujudannya.Kawasan Jenderam dan sekitarnya hendaklah dijadikan Tapak Warisan kerana usaha-usaha bagi mendapatkan artifek-artifek di sini dan kawasan sekitaran termasuk kawasan Bangi Lama, Jenderam Hulu hingga ke Dengkel hendaklah dijadikan kawasan kajian bagi mendapat lebih maklumat dan bahan-bahan tinggalan. Namun, kini. Jenderam Hilir menjadi kawasan loji pengambilan air mentah dan rawatan air Langat 2.  
  
Muka sauk dan loji rawatan Air Mentah Sungai Langat di Jenderam Hilir

RUMUSAN

Dari penelitian sejarah amatlah jelas bahawa mereka adalah tokoh-tokoh kebangsaan Melayu yang tulin. Mereka memilih jalan hanya dengan pemberontakan saja untuk mencapai kemerdekaan. Hal ini diperkuatkan dengan cita-cita API pimpinan Ahmad Boestamam  yang melaungkan slogan “ Merdeka Dengan Darah". Mereka sebenarnya dalam keadaan ketiadaan pimpinan dan arahan setelah API  dan PETA diharamkan. Ahmad Boestamam, bekas  pemimpin API telah ditahan, manakala Wahi Anuar bekas pemimpin PETA telah masuk ke hutan di Temerloh, Pahang. Ramai pemimpin utama PKMM, kecuali penasihatnya Dr. Burhanuddin telah ditahan. Dr. Burhanuddin pula tidak membuat apa-apa hubungan lagi dengan mereka. Pada mulanya mereka hanya bersembunyi dan bergerak secara sulit di sekitar kampung  mereka dan  belum ada hubungan secara langsung dengan PKM. Aktiviti mereka juga terbatas kepada mengadakan pertemuan dan perbincangan sesama sendiri. 

Malangnya, pemberontakan yang dilakukan oleh orang Melayu di Jenderam, Selangor dan di Temerloh, Pahang serta  tempat-tempat lain di mana mereka telah menyekutukan diri dengan pengganas komunis amatlah dikesali kerana terbukti mereka bersekongkol dengan perjuangan komunis yang bertentangan sekali dengan Agama Islam, apatah lagi mereka sanggup membunuh saudara seagama mereka sendiri seperti tragedi  Penyerangan Balai Polis Bukit Kepong, pembunuhan ahli poltik dan pemimpin Melayu Islam yang tidak sehaluan dengan perjuangan mereka, memeras ugut orang kampung untuk membekalkan makanan dan kewangan bagi pihak komunis: 

 
Surah AnNisaa'. Ayat 144.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?

 
Surah AlMumtahanah. Ayat 009.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.


 يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاۤءَ لِلّٰهِ وَلَوْ عَلٰٓى اَنْفُسِكُمْ اَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْاَقْرَبِيْنَ ۚ اِنْ يَّكُنْ غَنِيًّا اَوْ فَقِيْرًا فَاللّٰهُ اَوْلٰى بِهِمَاۗ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوٰٓى اَنْ تَعْدِلُوْا ۚ وَاِنْ تَلْوٗٓا اَوْ تُعْرِضُوْا فَاِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. (Sama ada) jika dia (yang didakwa) kaya atau pun miskin, maka Allah lebih utama dengan kedua-duanya (Allah S.W.T Maha Mengetahui kebenaran dan apa yang lebih baik). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbelitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka (ketahuilah) Allah Maha Terperinci dan Teliti Pengetahuan-Nya terhadap segala apa yang kamu lakukan.”
                                                                                                                        
                                                                                                                         (An-Nisa’: 135)

Ayat-ayat ini menjelaskan kepada kita konsep amalan dan tindakan hendaklah selari dengan niat. Niat yang baik hendaklah direalisasikan dengan tindakan yang baik. Tiada kelonggaran untuk melakukan tindakan yang menyalahi peraturan dengan niat yang baik. Niat dan matlamat tidak menghalalkan cara. Islam mengharamkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan umum dan pelbagai lagi.  sesuatu matlamat yang baik hendaklah dijayakan dengan cara yang betul dan menepati kehendak syarak. Dilarang sama sekali sesuatu matlamat yang baik menggunakan cara yang tidak benar. Amalkan budaya politik secara matang dan sejahtera agar keharmonian dan kemakmuran negara terus terjamin demi kesejahteraan negara dan tanah air tercinta. Wallahualam bissawwaab.

RUJUKAN:




























Sejarah Menarik Rumah Rehat, dan Halting Bungalow di Seremban

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Buat semua umat Islam dan peminat blog Atok ini. Syukur alhamdulillah atas segala limpahan rahmat Allah...