Jumaat, 2 Mei 2014

Asal Usul TPG 2: Siapa sebenarnya Panglima Garang?

Salam buat semua. Hari ini Jumaat 2 Mei 2014. Jam dekat tangan aku menunjukkan  pukul 11:35 pagi. Ya, memang hari ini hari persekolahan . Sure korang tertanya-tanya kenapa aku tengah dok menaip cerita pasal Telok sedangkan sepatutnya aku di dalam kelas mengajar, bukan? Hahaha...memang ler tapi aku sekolah sesi petang. Pukul 2:20 petang nanti baru mula start mengajar. Jadi pagi ini, sementara ada masa menanti solat Jumaat nanti, aku layari internet. Cari cerita-cerita menarik tentang asal usul Telok. Ya, memang betul, aku dah tulis pasal hal itu dalam entri aku terdahulu, Yang belum baca sila rujuk kat sini. Tapi yang itu aku ambil daripada blog lain yang mengatakan sejarah lisan tentang Telok. Aku ulang balik, Sejarah Lisan. Maknanya, cerita dari mulut ke mulut. Boleh diterima pakai tetapi tak boleh dijadikan sandaran hujah dalam tesis. Hmmm...korang dah mula tertarik nampak! Aku dah agak dah...

Memang ada tertulis dalam sejarah Selangor tentang kehadiran orang-orang Aceh di Selangor. Kemungkinan mereka ini yang membuka Telok atau nama lamanya Nibong Dengkil  (setelah menghalau Sakai-sakai yang ada di situ) itu benar seperti yang diceritakan. Cuma hendak 'highlight'kan kat sini, sebenarnya nama Panglima Garang itu memang wujud. Mungkin nama ini nama gelaran seseorang, tetapi kewujudannya memang ada kena mengena dengan pemerintahan Sultan Abdul Samad. Justeru, kemungkinan nama Telok Panglima Garang dimasyhurkan sempena nama panglima ini atas sebab membantu baginda Sultan menaiki takhta, ada kebenarannya. Begini ceritanya,,,,

Ketika itu, Sultan Mohamad memerintah Selangor bersemayam di Kuala Selangor. Baginda amat risau dan mengesyaki kerabat sepupu baginda yang bernama Abdul Samad (kemudian bergelar sultan) ini merampas takhta kelak. Baginda memerintahkan hulubalang menangkapnya. Mendengar berita tentang arahan tersebut, apa lagi ditunggu, Raja Abdul Samad pun melarikan diri ke Kajang. Ketika itu berlaku serangan Raja Berayun ke atas Sungai Ujong ( kini Seremban) kerana menuntut bela atas kematian salah seorang sahabat beliau setelah Dato' Kelana Sendeng enggan membayar 'wang darah', mengikut adat Melayu masa itu. Namun serangan itu dapat dipatahkan. Raja Berayun berundur ke Reko di hulu sungai. Beliau mempelawa Raja Abdul Samad ini tinggal bersamanya dalam kubu mereka di Reko. Raja Berayun ini mempunyai dua orang panglima yang gagah berani serta kebal bergelar Panglima Garang, dan Panglima Si Gara, berserta 500 orang pendekar. Maka Raja Abdul Samad ketika itu berada dalam jaminan keselamatan Raja Berayun dan penglima-panglima serta tentera baginda. Tinggal lah baginda di situ  buat beberapa ketika. Raja Berayun dan orang-orangnya hidup dengan 'merompak' dan menangkap sakai-sakai untuk dijual sebagai hamba. Maka nama Panglima Garang cukup digeruni oleh Sakai-sakai di kawasan pedalaman dan yang tinggal di sepanjang sungai Langat.

Apabila Sultan Muhammad mendapat berita tentang Raja Abdul Samad berada di Reko bersama Raja Berayun, baginda menghantar amaran kepada Raja Berayun  agar tidak lagi melindungi anak raja itu. Raja Berayun memandang ringan sahaja amaran sultan itu. Namun orang-orangnya menasihati beliau agar berwaspada. Jadi, beliau memerintahkan pendekar-pendekarnya menumbangkan pokok-pokok di tebing kiri dan kanan sungai menuju Reko bagi menghalang kemaraan orang suruhan sultan dan jika perlu, bunuh kesemua mereka tanpa belas kasihan. Alhamdulillah. Tiada apa yang berlaku kerana mereka (tentera Sultan) pulang ke Kajang.

 Ketika Sultan Muhammad dalam keadaan gering, Raja Berayun dan Raja Berkat Riau bersama Raja Abdul Samad berada di sisi baginda. Mereka melafazkan taat setia kepada Sultan,dan melantik Raja Abdul Samad sebagai Raja Muda. Pada 6 Januari 1857, Sultan Muhammad mangkat, dan dimakamkan di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Namun sebaik sahaja Sultan Mohamad mangkat, Selepas kemangkatan tersebut, Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad dilantik, dan ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-4 pada tarikh tersebut. Raja Muda kini menjadi Sultan Selangor yang baru.Tiada sesiapa dalam kalangan istana yang berani membantah, mungkin kerana kehadiran Panglima Garang bersama-sama Raja Berayun yang terkenal dan berkuasa kini. Sebagai membalas jasanya, Panglima Garang diberi 100 ekar tanah kurniaan Sultan di Batu Road (Kuala Lumpur) dan ditanami kelapa. Wallahualam. Semoga roh-roh mereka ditempatkan Allah bersama orang-orang yang diredhaiNya.

 Oklah. Itu kisahnya. Tapi bagaimana rupa paras Panglima Garang ini? Digambarkan beliau bertubuh sasa, tinggi, bermisai tebal yang 'menggerunkan', walaupun sudah berumur. Mungkinkah beliau orang yang bertanda dalam gambar di bawah ini? Mohon pengesahan pakar sejarah tempatan dan waris Panglima Garang.



makam Raja Berayun di Bukit Jugra

Sumber Rujukan:
Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria*,PENGLIBATAN TUNKU PANGLIMA RAJA BERKAT DALAM POLITIK DAN PENTADBlRAN NEGERI SELANGOR PADA ABAD KE-19, http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22947/147_175.PDF

Newspaper Article - WHEN COCKFIGHTING WAS THE RAGE
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19341111-1.2.121.aspx

http://www.keriswarisan.com/live/photo/713/sultan-selangor-sultan-abdul-samad-bersama-panglima-panglimanya-1890/

Anda mungkin berminat membaca:
Indeks Halaman Utama

Selasa, 29 April 2014

Klang Bandar Paling Kotor?



Salam buat semua. Dah lama benar aku tak balik ke Telok, jengok-jengok kakak aku yang setia menjaga rumah pusaka di sana. Dah dekat 5 bulan aku tak balik. banyak benar halnya. Rindu rasanya. Selain balik ke rumah kakak aku, aku seronok ronda-ronda Kg. Simpang Bandar hingga ke Segenting. Dah banyak berubah dah. Dah tak ada otai-otai  minum kat kedai lagi. Paling tua mungkin abang Mat Lael dan Abang Man Lambak. Peringkat umur aku mungkin dah ramai pindah merantau macam aku juga. Pasal itu susah nak jumpa diorang time aku balik. Masing-masing dengan kehidupan berkeluarga. Berpindah dan merantau macam burung gagak yang pernah menguasai  ruang angkasa Klang satu ketika dahulu. Gagak dan Klang ibarat irama dengan lagu, tak dapat dipisahkan. Kata orang, di mana ada Keling, di situ ada gagak. Hahaha..,walaupun jenakanya berbau perkauman, tapi memang ada kebenaran fakta. Memang burung gagak dibawa dari benua India (Sri Lanka tepatnya) ke Klang masa estet mula-mula dibuka. Sejak dahulu, bandar Klang terkenal dengan burung gagaknya.

Burung Gagak yang sinonim dengan bandar Klang itu sebenarnya dibawa masuk oleh seorang peladang inggeris, Edward Valentine John Carey. Beliau membawa spesis gagak ini pada tahun 1902 dari Ceylon bagi tujuan mengawal serangan ulat keatas tanaman kopi yang beliau usahakan di Pulau Carey . Namun usaha ini tidak berkesan dan gagak terus membiak..Makin lama makin membiak sehinggalah gagak mula dianggap sebagai burung yang pengotor, mengotorkan dan menyusahkan. 

Pernah Klang dianggap bandar paling kotor di Malaya selepas Melaka masa tahun-tahun 50an dan 60an dulu Tetapi kalau nak menyalahkan  sahaja gagak punca Klang kotor, itu kurang tepat. Memang burung nakal ini menggeledah tong-tong sampah dan longgokan sisa-sisa buangan untuk mencari makanan tapi punca segala pengotoran ini memang manusia yang tinggal di bandar ini. Memang tak ada civic minded langsung! Segala sampah sarap main buang kat parit dan sungai sahaja.Sungai Klang yang sememangnya membawa segala sampah dari hulu sungainya di Ampang dan Gombak terus ke hilir dan kualanya tempat gagak berpesta makan minum. Sampah, bangkai, sisa kilang, semuanya ditelan oleh sungai ini terus menerus tanpa henti. Itu dalam sungai, yang di darat dan di tepi-tepi jalan itu angkara siapa? Manusia-manusia bangang dan bengong yang mementingkan diri. Pernah Sultan Selangor sendiri mengeluh dan agak murka dengan keadaan Klang yang kotor dan menjijikkan dan sikap rakyat Klang yang bersikap "bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut" ini sehingga pada tahun 60an dan 70an, baginda mengeluarkan perintah agar Klang dibersihkan dan burung-burung gagak ditembak!

Kempen menembak gagak menawarkan wang tunai RM2.00 - 3.00 untuk setiap bangkai gagak! Burung-burung hitam ini masih lagi dapat dilihat terutamanya di kawasan berdekatan sungai Klang yang tercemar akibat perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab di kawasan hulunya. Walau bagaimanapun, bilangannya tidak sebanyak pada tahun-tahun 80an dan 90an. Dengan keadaan sungai Klang yang lebih terjaga pada masa kini, kebanyakan burung gagak mula berhijrah ke bandar-bandar lain di Selangor.

 Kini, Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan kerja dan kempen pembersihan sungai sepanjang 47 kilometer yang terletak dalam sempadan daerah Klang. Penubuhan Unit Litter-Picking Sungai Klang membuktikan kesungguhan MPK dalam menangani masalah pencemaran sungai yang dianggap antara paling kotor di Selangor mahupun Malaysia.

Rujukan:
Shaiful Bahri Md. Radzi, et al,.,"Pengaruh Melayu dalam Pantun Mah Meri". Jurnal Melayu: 1(2004).
http://www.my-rummy.com/klang_pages.html
The Straits Times, 24 June 1966, Page 18,A Royal rebuke for Klang Town Council

Keadaan kotor di Rumah Rehat Klang tahun 1901


Masih tidak berubah...Rumah Rehat Klang 1905


Loji Pembakar Sampah

Klang Utara memang kotor!


Jalan, Pasar, dan lorong belakang kedai kotor


Kempen Kebersihan Klang Mula Nampakkan Hasil

Sultan Selangor Murka Klang Kotor


MPK dipersalahkan

Usaha Membersihkan Klang Bermula


Antara Cara-cara Membersihkan Klang


Laporan Kempen Kebersihan  kepada Sultan

Antara Punca-punca Pencemaran Sungai Klang
                                                     
Klang Memang Kotor!








Kempen Anti-Gagak Bermula


Isytihar Cuti kerana Pertandingan Menembak Gagak





Nasib Malang Gagak Klang





Sungai Klang Paling Tercemar





Anda mungkin berminat membaca:

Isnin, 28 April 2014

Antara Telok, Telok Mengkuang dan Telok Gong

Salam. Bertemu lagi kita di sini. Maaf, dah lama tak besembang di alam maya ini. Bukan kerana apa...cuma agak sibuk dengan hal-hal dunia yang perlu diselesaikan. hahahaha...Sorry ler. Hari tu, sedang belek-belek sok kobar lama (surat khabar lama) online  kek Singapore nun, sey terbaco kisah Hamid Tuah. Oops.. tersasul slang nogori pulak...Saya terbaca New Straits Times dulu- dulu, banyak kisah lama yang mungkin tak pernah kita dengar atau mungkin pernah kita dengar tapi tidak disensasikan. Antara yang menarik perhatian saya  kisah Hamid Tuah tahun 60-an dulu. Korang pernah dengar tak nama itu? Sorry bro...bukan Arwah Hamid Ikan yang berniaga kat pasar Telok tu. Bukan juga abang Syed Hamid menantu Arwah Ustaz Abbas yang berniaga goreng cempedak dan yang ada kedai ukiran akar kayu kat korner Simpang tu. Memang tak pernah dengar ler ni? Memang ler...Hamid Tuah ni bukan orang Telok! Bukan warigh suku kito, kato orang den kek Soromban ni hah. Tapi satu Malaya tahu kisah dia....cuma mungkin kita yang kurang tahu pasal kisahnya bukan di Telok, tapi di Telok Gong. Tahu tak kat mana Telok Gong tu?

Kalu tak tahu, poei tanyo Wan,
 Kok takdo kesompatan, poei tanyo kawan-kawan
Tak tahu poei tanyo......Jangan gomar momandai-mandai

Hahaha...kono sebijik kek ekau sumo...Oops sori...Den terkobar bahaso nogori sekali laei. Bacolah apo yang den dapek kek internet...

Teluk Gong merupakan sebuah perkampungan yang kini menjadi sebuah pekan, berhampiran dengan bandar Klang dan Pelabuhan Klang di Selangor, Malaysia. Antara tempat berdekatan ialah Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Pulau Indah dan Kampung Baru Batu Lima. Di seberang Teluk Gong ialah Pulau Indah yang dahulunya dikenali dengan nama Pulau Lumut. Pelabuhan Barat (Westport) telah dimajukan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Teluk Gong merupakan kawasan perkampungan nelayan pantai. Teluk Gong berhampiran dengan muara Sungai Klang dan Selat Melaka. Oleh itu, sebuah jeti nelayan telah dibina di Teluk Gong bagi memudahkan bot-bot nelayan pantai singgah, berlabuh dan menurunkan tangkapan ikan yang turun. Kebanyakan mereka menggunakan jaring biasa yang direntang di tengah laut.

Selain bekerja sebagai nelayan, penduduk Teluk Gong bekerja di sektor perindustrian. Banyak kilang dan gudang telah dibina di Teluk Gong. Lebuhraya Shah Alam - Pelabuhan Klang hingga ke Westport telah dibina dan Teluk Gong menerima limpah rahmatnya. Sebuah jambatan telah dibina oleh pihak lebuh raya berhampiran dengan Teluk Gong.

Teluk Gong pernah terkenal pada tahun 1967, apabila penduduk kampung mengadakan demonstrasi menuntut tanah yang mereka teroka menjadi hak milik mereka. Antara yang menjadi pejuang rakyat ketika itu Hamid Tuah. Pada 1960-an, tindakan Hamid Tuah dan 500 penduduk-penduduk Melayu miskin yang meneroka tanah hutan di Teluk Gong dikatakan tidak menepati Undang-Undang Tanah kerajaan negeri Selangor.

Hah...itu baru intro..Kisah Hamid Tuah and the Gang di Telok Gong. Memang menarik. Kisah perjuangan rakyat yang miskin tidak punya apa-apa bangun menuntut hak sebagai warganegara dan bumiputera tetapi dihambat pemerintah bagai anjing kurap tidak bertuan. Ketika itu negara masih muda. Baru merdeka. Baru bertukar tangan. Kalau dahulu orang putih hidung tinggi,sekarang orang Melayu hidung kembang yang berkuasa. Pembangunan  negara rancak dan hebat, tapi semuanya di bandar-bandar. Klang, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya (baru bina tahun 1952). Kilang-kilang banyak tapi bukan untuk orang Melayu. Maksud aku jawatan-jawatan dalam kilang semuanya dikuasai bangsa asing. Mungkin ada seorang dua anak Melayu bandar yang bersekolah Inggeris masa itu. Majoriti Melayu masih di kampung. Tak ramai yang sanggup ke bandar mencari rezeki tanpa ilmu di dada. Bukan ilmu persilatan tapi ilmu pengetahuan tentang kemahiran yang diperlukan di kilang dan pejabat. Kalau setakat kerja kuli batak dan jaga, itu tak payah guna sijil. Nak kerja kilang mesti tahu dan ada kemahiran mesin-mesin. Itulah yang orang Melayu tak ada masa itu. Jadi walaupun negara rancak pembangunannya, Melayu hanya sekadar di pinggiran. Tengok sahaja tanpa terlibat sama.

“Kalau Malaya merdeka orang Melayu akan senang”

Kata Memanda Menteri Perdana masa itu. Hanya retorik yang menenangkan hati tetapi tidak mengenyangkan perut. Walaupun yang berkuasa Melayu, tapi tak nampak anugerah kemerdekaan negara kepada kita, orang Melayu masa itu. Sama macam zaman penjajah juga. Kuasa ekonomi di tangan kaum asing. Estet masih orang putih punya. Keling masih di estet, Melayu di kampung, Cina di bandar.  Menteri Besar dan Perdana Menteri memang orang Melayu tetapi tebal berfikiran British.Terlalu mengikut stail pentadbiran British yang demokrasi konon sehingga kaum bumiputera dan pribumi ketinggalan dan dipinggirkan. Bangsa lain kaya raya. Bangsa sendiri  merempat papa kedana.

Benarlah bak kata pepatah,
 Ayam di kepuk mati kelaparan,  itik di air mati kehausan, 
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.
 Bisa.. tapi itulah hakikatnya.

Di kampung, anak semakin ramai, tanah pusaka semakin mengecil. Mana mungkin dapat dikerjakan untuk menampung makan minum, tidur pakai anak-anak dan isteri. Tanah pusaka mungkin cukup untuk didirikan rumah kecil tanpa bilik untuk berteduh daripada hujan dan panas. Untuk bertani memang tak cukup. Terpaksalah bekerja rencam membuat macam-macam kerja kampung dan estet seperti menebas, menggali parit, menetak nipah, membuat atap dan lain-lain kerja yang setaraf dengan pendidikan sekolah Melayu Darjah Tiga jer. Kita di Telok pun situasi dan senarionya hampir sama. Merempat.

Puas sudah ke sana ke mari memohon sebidang dua tanah hutan untuk diteroka buat penyambung penghidupan tapi ditolak juga ke sana ke mari, ibarat bola di kaki. Bertahun lamanya fail bertimbun di atas meja, mengumpul habuk, tanpa tindakan sewajar Settlement Officer. Mungkin tiada wang kopi atau pengeras dikirimkan atau diselitkan. Cina Telok dan Jenjarom dalam diam-diam meneroka haram hutan di Telok Mengkuang. Bukan baru tapi sejak sebelum merdeka lagi. Minta tanah secara sah dengan British tanah di sekitar Telok tapi tanah di Telok Mengkuang 'milik' mereka juga...tak bayar satu sen cukai pun! Tapi takde seorangpun didakwa di mahkamah. Bertahun-tahun makan hasil free. Tapi orang kita....mana mungkin mereka menanggung makan minum pegawai sedangkan anak dan isteri di rumah kebelai (kelaparan)?

 Tapi apabila orang Melayu yang buat, orang Melayu juga yang merampas dan mendakwa mereka di mahkamah, siap dengan ugutan rumah dan kebun akan dibakar jika tak akur perintah keluar oleh mahkamah.  Lebih parah lagi apabila hutan dara yang diteroka dirampas pemerintah. Anak isteri dihambat keluar sehelai sepinggang, umpama tiada tempat baginya di dunia.

 Cukup,cukup sudah.Cukup sampai di sini saja.Sudah puas bersabar, kemuncak kemarahan rakyat bawahan lagi marhain ini meledak juga akhirnya. Bukan melalui pemberontakan atau kekerasan bersenjata, tapi secara protes senyap. Apa nak jadi, jadilah. Biar Sang Pemerintah sebangsa sedarah, kalau terpaksa sanggup aku bermandi darah!

 Apa yang tersurat ketentuan Tuhan, pasti terjadi tuan dan puan. Bermula sejak 1950-an, Hamid Tuah terlibat memimpin rakyat dalam isu tanah di Bukit Ceraka, Subang, Batu 5,Kampung Johan Setia, Jalan Banting (1958), di Kampung Sireh, Tanjung Karang(31 Ogos 1958), Telok Gong (1967), dan Merbau Berdarah(1969). Beliau bukanlah anak orang ternama ,anak pendeta mahupun anak raja. Hanyalah beliau konstabel polis pencen biasa. Sejak itu, Hamid kerap mengalami keperitan hidup akibat memperjuangan hak rakyat marhain untuk memiliki tanah yang diusahakan mereka. Dia kerap di tahan di bawah akta ISA dan diawasi rumahnya sepanjang masa bahkan diancam ditarik kerakyatannya dan dibuang negara. Memang mereka tak mampu memasang loyar peguam di mahkamah. Hanya tangisan dan air mata yang mampu mereka keluarkan.

Namun Allah SWT tetap bersama-sama hambaNya yang dizalimi. Penderitaan kaum tani ini mendapat liputan akhbar secara besar-besaran. Golongan mahasiswa membela mereka di jalanan. Parti pembangkang membicarakan kezaliman kerajaan di parlimen. Kini kerajaan yang berkuasa pula tertekan. Gelombang rakyat bersama Hamid Tuah dan kaum tani. Perjuangannya mula memutikkan hasil. Akhirnya dasar kerajaan diubah. Skim FELDA adalah antaranya yang mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan membuka penempatan untuk rakyat.

 Namun, setiap yang hidup pasti mati. Tapi matimu tetap dikenang sebagai pejuang. Hamid Tuah dipanggil menemui Ilahi pada tanggal 7 Januari 1997. Kini namanya tersemat bersemadi dalam jiwa sanubari masyarakat Telok Gong, Selangor dan negara amnya.

AL FATIHAH UNTUK MU PEJUANG !

terima kasih tidak terhingga atas segalanya:

http://www.academia.edu/3623353/MENINJAU_KEMBALI_PERJUANGAN_HAMID_TUAH_MEMBELA_KEPENTINGAN_KAUM_TANI_TIDAK_BERTANAH_PADA_1950-AN_HINGGA_1970-AN
http://ms.wikipedia.org/wiki/Teluk_Gong
http://www.daulahrakyat.com/blog/?p=481
http://tintajundi.wordpress.com/2008/12/17/siri-3-tajuk-terpilih-dekad-1960an/
http://dema1998.tripod.com/student_movement/sm_malaysia/002.htm

The Straits Times, 16 September 1969, Page 8 


Anda mungkin berminat membaca:
Indeks Halaman Utama

Khamis, 24 April 2014

Maklumat Lengkap Sejarah Jambatan Kota, Klang

   

Jambatan Kota Lama Klang (selepas ini disebut) 'Jambatan Kota' merupakan jambatan dua tingkat yang pertama pernah didirikan di Persekutuan Tanah Melayu. Jambatan Kota dibina merentangi Sungai Klang dengan kos  pembinaan RM10 juta. Jambatan Kota Klang mula dibina dalam bulan Jun 1957 dan merupakan antara jambatan bersejarah di Malaysia kerana dibina sebelum tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Bahagian atasnya dibina khas untuk laluan kenderaan berat seperti bas, lori dan kereta manakala di bahagian bawah ialah untuk basikal, beca dan orang berjalan kaki. Sebelum perang dunia kedua Jambatan Belfield yang dibina dalam tahun 1907 merupakan penghubung utama penduduk kedua-dua bahagian sungai.

Jambatan Kota dirasmikan pada pukul 5:15 petang 24 Jun  1959, oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Selangor Ke-9. Jambatan Kota menemukan semula Bandar Klang Utara dengan Klang Selatan yang terpisah seiak tahun 1941.Jambatan dua hala ini menggantikan dua jambatan pontoon, Sydney dan Madras yang dibina Tentera British pada tahun 1945.Jambatan Kota Klang pula dibina pada Mei 1957 oleh sebuah Syarikat British Dorman Long Bridge and Engineering Ltd. Kos pembinaannya menelan hampir RM7 juta.  Struktur atasnya yang berukuran 22 kaki lebar, 1500 kaki panjang dan 40 kaki dari aras sungai, untuk kenderaan berat manakala bahagian bawahnya,searas jalan raya, untuk kenderaan ringan seperti basikal,motosikal dan pejalan kaki.Di peringkat awal pembinaannya,seorang pekerja berbangsa Cina mati. Jambatan dua tingkat sepanjang 500 meter itu dibina menggunakan struktur besi merentasi Sungai Klang yang menjadi penghubung utama antara Bandar Klang Utara dan Klang Selatan dan ditutup untuk kegunaan orang ramai pada 21 Januari 1992. 

Jambatan Kota Lama diserahkan kepada MPK pada 1992. Pada tahun 1995 MPK telah membelanjakan sebanyak RM750,000 untuk menguatkan dan mengukuhkan struktur jambatan Kota Lama ini. Pada 20 November 1996, MPK telah membina 58 buah gerai cenderamata bagi menempatkan lebih ramai bumiputera berniaga di pusat bandar,” katanya sambil menambah pengubahsuaian itu siap sepenuhnya pada 17 Julai 1997 lantas menjadikan kewujudannya sebagai tarikan pelancongan di Klang.



 







Keratan-keratan Akhbar Jambatan Kota




                                


















































Rujukan:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz2zipk3qlL 
KONTAL KANTIL: Karya-karya Terpilih Ismas Saring

Indeks Halaman Utama












Fakta Menarik tentang Stadium Jugra di Telok Datok

Assalamualaikum semua. Semoga semuanya dalam keadaan sihat Walafiat. Malam tadi Atok baru sahaja balik dari Telok Datok menziarahi jenazah a...