Isnin, 28 April 2014

Antara Telok, Telok Mengkuang dan Telok Gong

Salam. Bertemu lagi kita di sini. Maaf, dah lama tak besembang di alam maya ini. Bukan kerana apa...cuma agak sibuk dengan hal-hal dunia yang perlu diselesaikan. hahahaha...Sorry ler. Hari tu, sedang belek-belek sok kobar lama (surat khabar lama) online  kek Singapore nun, sey terbaco kisah Hamid Tuah. Oops.. tersasul slang nogori pulak...Saya terbaca New Straits Times dulu- dulu, banyak kisah lama yang mungkin tak pernah kita dengar atau mungkin pernah kita dengar tapi tidak disensasikan. Antara yang menarik perhatian saya  kisah Hamid Tuah tahun 60-an dulu. Korang pernah dengar tak nama itu? Sorry bro...bukan Arwah Hamid Ikan yang berniaga kat pasar Telok tu. Bukan juga abang Syed Hamid menantu Arwah Ustaz Abbas yang berniaga goreng cempedak dan yang ada kedai ukiran akar kayu kat korner Simpang tu. Memang tak pernah dengar ler ni? Memang ler...Hamid Tuah ni bukan orang Telok! Bukan warigh suku kito, kato orang den kek Soromban ni hah. Tapi satu Malaya tahu kisah dia....cuma mungkin kita yang kurang tahu pasal kisahnya bukan di Telok, tapi di Telok Gong. Tahu tak kat mana Telok Gong tu?

Kalu tak tahu, poei tanyo Wan,
 Kok takdo kesompatan, poei tanyo kawan-kawan
Tak tahu poei tanyo......Jangan gomar momandai-mandai

Hahaha...kono sebijik kek ekau sumo...Oops sori...Den terkobar bahaso nogori sekali laei. Bacolah apo yang den dapek kek internet...

Teluk Gong merupakan sebuah perkampungan yang kini menjadi sebuah pekan, berhampiran dengan bandar Klang dan Pelabuhan Klang di Selangor, Malaysia. Antara tempat berdekatan ialah Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Pulau Indah dan Kampung Baru Batu Lima. Di seberang Teluk Gong ialah Pulau Indah yang dahulunya dikenali dengan nama Pulau Lumut. Pelabuhan Barat (Westport) telah dimajukan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Teluk Gong merupakan kawasan perkampungan nelayan pantai. Teluk Gong berhampiran dengan muara Sungai Klang dan Selat Melaka. Oleh itu, sebuah jeti nelayan telah dibina di Teluk Gong bagi memudahkan bot-bot nelayan pantai singgah, berlabuh dan menurunkan tangkapan ikan yang turun. Kebanyakan mereka menggunakan jaring biasa yang direntang di tengah laut.

Selain bekerja sebagai nelayan, penduduk Teluk Gong bekerja di sektor perindustrian. Banyak kilang dan gudang telah dibina di Teluk Gong. Lebuhraya Shah Alam - Pelabuhan Klang hingga ke Westport telah dibina dan Teluk Gong menerima limpah rahmatnya. Sebuah jambatan telah dibina oleh pihak lebuh raya berhampiran dengan Teluk Gong.

Teluk Gong pernah terkenal pada tahun 1967, apabila penduduk kampung mengadakan demonstrasi menuntut tanah yang mereka teroka menjadi hak milik mereka. Antara yang menjadi pejuang rakyat ketika itu Hamid Tuah. Pada 1960-an, tindakan Hamid Tuah dan 500 penduduk-penduduk Melayu miskin yang meneroka tanah hutan di Teluk Gong dikatakan tidak menepati Undang-Undang Tanah kerajaan negeri Selangor.

Hah...itu baru intro..Kisah Hamid Tuah and the Gang di Telok Gong. Memang menarik. Kisah perjuangan rakyat yang miskin tidak punya apa-apa bangun menuntut hak sebagai warganegara dan bumiputera tetapi dihambat pemerintah bagai anjing kurap tidak bertuan. Ketika itu negara masih muda. Baru merdeka. Baru bertukar tangan. Kalau dahulu orang putih hidung tinggi,sekarang orang Melayu hidung kembang yang berkuasa. Pembangunan  negara rancak dan hebat, tapi semuanya di bandar-bandar. Klang, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya (baru bina tahun 1952). Kilang-kilang banyak tapi bukan untuk orang Melayu. Maksud aku jawatan-jawatan dalam kilang semuanya dikuasai bangsa asing. Mungkin ada seorang dua anak Melayu bandar yang bersekolah Inggeris masa itu. Majoriti Melayu masih di kampung. Tak ramai yang sanggup ke bandar mencari rezeki tanpa ilmu di dada. Bukan ilmu persilatan tapi ilmu pengetahuan tentang kemahiran yang diperlukan di kilang dan pejabat. Kalau setakat kerja kuli batak dan jaga, itu tak payah guna sijil. Nak kerja kilang mesti tahu dan ada kemahiran mesin-mesin. Itulah yang orang Melayu tak ada masa itu. Jadi walaupun negara rancak pembangunannya, Melayu hanya sekadar di pinggiran. Tengok sahaja tanpa terlibat sama.

“Kalau Malaya merdeka orang Melayu akan senang”

Kata Memanda Menteri Perdana masa itu. Hanya retorik yang menenangkan hati tetapi tidak mengenyangkan perut. Walaupun yang berkuasa Melayu, tapi tak nampak anugerah kemerdekaan negara kepada kita, orang Melayu masa itu. Sama macam zaman penjajah juga. Kuasa ekonomi di tangan kaum asing. Estet masih orang putih punya. Keling masih di estet, Melayu di kampung, Cina di bandar.  Menteri Besar dan Perdana Menteri memang orang Melayu tetapi tebal berfikiran British.Terlalu mengikut stail pentadbiran British yang demokrasi konon sehingga kaum bumiputera dan pribumi ketinggalan dan dipinggirkan. Bangsa lain kaya raya. Bangsa sendiri  merempat papa kedana.

Benarlah bak kata pepatah,
 Ayam di kepuk mati kelaparan,  itik di air mati kehausan, 
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.
 Bisa.. tapi itulah hakikatnya.

Di kampung, anak semakin ramai, tanah pusaka semakin mengecil. Mana mungkin dapat dikerjakan untuk menampung makan minum, tidur pakai anak-anak dan isteri. Tanah pusaka mungkin cukup untuk didirikan rumah kecil tanpa bilik untuk berteduh daripada hujan dan panas. Untuk bertani memang tak cukup. Terpaksalah bekerja rencam membuat macam-macam kerja kampung dan estet seperti menebas, menggali parit, menetak nipah, membuat atap dan lain-lain kerja yang setaraf dengan pendidikan sekolah Melayu Darjah Tiga jer. Kita di Telok pun situasi dan senarionya hampir sama. Merempat.

Puas sudah ke sana ke mari memohon sebidang dua tanah hutan untuk diteroka buat penyambung penghidupan tapi ditolak juga ke sana ke mari, ibarat bola di kaki. Bertahun lamanya fail bertimbun di atas meja, mengumpul habuk, tanpa tindakan sewajar Settlement Officer. Mungkin tiada wang kopi atau pengeras dikirimkan atau diselitkan. Cina Telok dan Jenjarom dalam diam-diam meneroka haram hutan di Telok Mengkuang. Bukan baru tapi sejak sebelum merdeka lagi. Minta tanah secara sah dengan British tanah di sekitar Telok tapi tanah di Telok Mengkuang 'milik' mereka juga...tak bayar satu sen cukai pun! Tapi takde seorangpun didakwa di mahkamah. Bertahun-tahun makan hasil free. Tapi orang kita....mana mungkin mereka menanggung makan minum pegawai sedangkan anak dan isteri di rumah kebelai (kelaparan)?

 Tapi apabila orang Melayu yang buat, orang Melayu juga yang merampas dan mendakwa mereka di mahkamah, siap dengan ugutan rumah dan kebun akan dibakar jika tak akur perintah keluar oleh mahkamah.  Lebih parah lagi apabila hutan dara yang diteroka dirampas pemerintah. Anak isteri dihambat keluar sehelai sepinggang, umpama tiada tempat baginya di dunia.

 Cukup,cukup sudah.Cukup sampai di sini saja.Sudah puas bersabar, kemuncak kemarahan rakyat bawahan lagi marhain ini meledak juga akhirnya. Bukan melalui pemberontakan atau kekerasan bersenjata, tapi secara protes senyap. Apa nak jadi, jadilah. Biar Sang Pemerintah sebangsa sedarah, kalau terpaksa sanggup aku bermandi darah!

 Apa yang tersurat ketentuan Tuhan, pasti terjadi tuan dan puan. Bermula sejak 1950-an, Hamid Tuah terlibat memimpin rakyat dalam isu tanah di Bukit Ceraka, Subang, Batu 5,Kampung Johan Setia, Jalan Banting (1958), di Kampung Sireh, Tanjung Karang(31 Ogos 1958), Telok Gong (1967), dan Merbau Berdarah(1969). Beliau bukanlah anak orang ternama ,anak pendeta mahupun anak raja. Hanyalah beliau konstabel polis pencen biasa. Sejak itu, Hamid kerap mengalami keperitan hidup akibat memperjuangan hak rakyat marhain untuk memiliki tanah yang diusahakan mereka. Dia kerap di tahan di bawah akta ISA dan diawasi rumahnya sepanjang masa bahkan diancam ditarik kerakyatannya dan dibuang negara. Memang mereka tak mampu memasang loyar peguam di mahkamah. Hanya tangisan dan air mata yang mampu mereka keluarkan.

Namun Allah SWT tetap bersama-sama hambaNya yang dizalimi. Penderitaan kaum tani ini mendapat liputan akhbar secara besar-besaran. Golongan mahasiswa membela mereka di jalanan. Parti pembangkang membicarakan kezaliman kerajaan di parlimen. Kini kerajaan yang berkuasa pula tertekan. Gelombang rakyat bersama Hamid Tuah dan kaum tani. Perjuangannya mula memutikkan hasil. Akhirnya dasar kerajaan diubah. Skim FELDA adalah antaranya yang mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan membuka penempatan untuk rakyat.

 Namun, setiap yang hidup pasti mati. Tapi matimu tetap dikenang sebagai pejuang. Hamid Tuah dipanggil menemui Ilahi pada tanggal 7 Januari 1997. Kini namanya tersemat bersemadi dalam jiwa sanubari masyarakat Telok Gong, Selangor dan negara amnya.

AL FATIHAH UNTUK MU PEJUANG !

terima kasih tidak terhingga atas segalanya:

http://www.academia.edu/3623353/MENINJAU_KEMBALI_PERJUANGAN_HAMID_TUAH_MEMBELA_KEPENTINGAN_KAUM_TANI_TIDAK_BERTANAH_PADA_1950-AN_HINGGA_1970-AN
http://ms.wikipedia.org/wiki/Teluk_Gong
http://www.daulahrakyat.com/blog/?p=481
http://tintajundi.wordpress.com/2008/12/17/siri-3-tajuk-terpilih-dekad-1960an/
http://dema1998.tripod.com/student_movement/sm_malaysia/002.htm

The Straits Times, 16 September 1969, Page 8 


Anda mungkin berminat membaca:
Indeks Halaman Utama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...