Ahad, 12 Jun 2011

Anak-anak Teluk yang Berjaya

1.   MUHAMMAD SALEHUDDIN (1914-1982), wartawan dan penulis. Dia lahir pada 10 Januari 1914 di Teluk Panglima Garang, Selangor. Nama penuhnya ialah Muhammad Salehuddin @ Ismail bin Abdul Jalil. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Panglima Garang, Selangor dan lulus Darjah Lima pada tahun 1926. Kemudian dia melanjutkan pelajaran di Anglo Chinese School, Kelang dan selepas beberapa bulan kemudian berpindah ke Sekolah Tinggi Kelang hingga lulus peringkat Junior Cambridge. Dia lulus Senior Cambridge pada tahun 1935 di Victoria Institution, Kuala Lumpur.
(maaf..tiada maklumat lanjut atau foto mengenai individu ini)

2.    Mohd Zain bin Abu (1923-2009)
Haji Mohd. Zain Abu, atau Zain Abu kepada rakan-rakannya, dilahirkan sebagai Talip bin Abu pada 16 September, 1923 di Telok Panglima Garang, Selangor. Beliau merupakan anak ketiga kepada Abu bin Jaamat (1895-1956) dan Tijah bte Jalal (1900-1982). Ibu bapanya merupakan orang kampung yang biasa. Sungguhpun begitu, mereka mempunyai impian dan cita-cita besar untuk anak-anak mereka. Telok Panglima Garang, atau lebih dikenali sebagai Telok oleh penduduk tempatan, merupakan sebuah pekan kecil yang terpencil, didiami oleh kebanyakannya orang Melayu berketurunan Bugis. Datuknya Jaamat, telah merantau ke Tanah Melayu di mana bapanya Abu dilahirkan.
Anak-anak beliau menggelar beliau Babah. Bagi anak-anak saudaranya dari sebelah keluarga beliau, beliau ialah Pak Alang. Manakala di sebelah keluarga isterinya pula, beliau digelar Pak Bibik. Isterinya, yang selesa berbahasa Inggeris pula, dengan penuh segan silunya menggelar beliau ‘Daddy’.
Beliau mempunyai enam orang adik-beradik lelaki dan dua orang adik-beradik perempuan. Mereka adalah Mohd. Diah, Mohd. Wahi, Mohd. Shahar,
Hendon, Maitom, Jamaluddin Jamlus, Ariffin, dan Mohd. Said. Adiknya, sama ada Mohd. Shahar atau Ariffin, sangat mirip dan hampir tidak dapat dibezakan paras rupa dengan beliau.  Untuk membezakan mereka, telinga kanan Zain Abu bertindik kecil yang hanya kelihatan oleh mereka yang benar-benar meneliti. Mohd. Shahar meninggal pada umur lewat 40’an,  manakala Ariffin meninggal dunia pada usia muda.
Pendidikan telah memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan Zain Abu. Beliau pernah menceritakan bagaimana beliau dan dua orang abangnya, Mohd. Diah dan Mohd. Wahi, akan tetap pergi ke sekolah walaupun terpaksa berkaki ayam. Sebagai adik ketiga, dialah yang ditugaskan menjunjung dulang bungkusan makanan tengahari mereka di atas kepalanya.

PENDIDIKAN DAN KERJAYA AWAL
Titik tolak kejayaan Zain Abu adalah ketika beliau dihantar ke Sekolah Rendah Batu Road di Kuala Lumpur. Zain Abu berjaya mendapat tempat terbaik di dalam kelas dan ditawarkan biasiswa secara peribadi oleh pegawai Resident British untuk menyambung persekolahan ke peringkat menengahnya di Victoria Institution (VI). Ketika itu, VI terletak di High Street, Kuala Lumpur, sebelum dipindahkan ke Jalan Shaw. Beliau juga mewakili VI dengan kebolehannya bermain bola sepak, suatu bakat yang malangnya tidak diwarisi oleh anak-anak lelaki beliau. Dua orang daripada anak-anak lelakinya, Abdullah Faiz dan Ahmad Faizal, telah mengikuti jejak langkah beliau apabila turut bersekolah di VI. Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Murid Tua VI (Life member VI Old Boys Association).
Beliau telah lulus Sijil ‘Senior Cambridge’ dengan cemerlang dan ditawarkan berkhidmat di Akhbar Harian Majlis, sebuah akhbar tempatan. Di sinilah tempat bermulanya beliau berkenalan dengan bakal bapa mentuanya, Haji Othman bin Haji Abdullah, yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa hadapan Zain Abu.
 Zain Abu, diberi peluang untuk mendalami jurusan kewartawanan di London, England selama sembilan bulan. Zain Abu telah dibiayai oleh Akhbar Harian Majlis untuk mengikuti kursus   bidang kewartawanan di School of Publishing, Foreign Language Department, London Polytechnic di Fleet Street. Sehingga kini, Fleet Street merupakan nadi media dan percetakan akhbar sedunia. Biasiswanya bernilai Pound Sterling 26, dan beberapa Shilling sahaja, ketika itu.

Zain Abu tiba di United Kingdom pada 15 September, 1949, satu hari sebelum hari jadinya yang ke-26. Beliau mendapat latihan kewartawan sewaktu Britain menghadapi pilihan raya umum pada bulan Februari 1950. Pada bulan March 1950, Wong Peng Soon dari Malaya telah mengalahkan Poul Holm dari Denmark di Earl’s Court, London dalam pertandingan akhir keseorangan All England Badminton Open Championships. Sebuah mesyuarat telah diadakan menyambut Maulud Nabi Islamic Cultural Society  di London pada 30 Disember, 1949. Beliau juga telah merekodkan mesyuarat umum Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Students’ Organisation of Great Britain) apabila Tun Abdul Razak Hussein dilantik presiden pada keesokan hari pada 31 Disember, 1949. 16 June, 1950 merupakan tarikh akhir pengajian beliau di School of Printing, Fleet Street, London. Semua perkara ini dicatat secara terperinci dalam diarinya.

Zain Abu memulakan kehidupan berkeluarganya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Siti Hajar berasal dari keluarga yang besar; sanak saudaranya ramai yang ketika itu menetap di kawasan Pudu dan daerah Petaling di Selangor. Cahaya mata sulung mereka, Muhammad, dilahirkan pada tahun 1952 tetapi telah pulang ke pangkuan penciptanya sejurus kemudian. Alhamdulillah, mereka kemudiannya dikurniakan dengan enam orang anak iaitu Faizah (1953), Abdullah Faiz (1955), Ahmad Faizal (1956), Alam Faizli (1958), Azam Fairuz (1962), dan Azad Faizlin (1963). Kesemuanya telah dilahirkan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor, kecuali Alam Faizli yang telah dilahirkan di Dungun, Terengganu ketika Zain Abu diarahkan bertugas di Bukit Besi oleh majikannya, Eastern Mining and Metal Company.
Walaupun tugas dan tanggungjawab membawanya dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Bukit Ibam, Bukit Besi dan Kota Bharu, Zain Abu telah memastikan ketiga-tiga anaknya yang masih melalui alam persekolahan menetap dan bersekolah di Petaling Jaya. Beliau sekeluarga akhirnya berpindah ke Jalan Sentosa, Petaling Jaya pada tahun 1962/63.  Zain Abu sekeluarga kemudiannya berpindah ke Bukit Petaling, Kuala Lumpur sehingga tahun 1978 dan akhirnya mendiami rumah beliau sendiri di Taman Tun Dr Ismail.

Kerjaya Zain Abu dalam penyiaran radio sebagai penyunting berita dengan Radio Malaya bermula di Kuantan, Pahang. Di Kuantan, isterinya turut sempat bertugas sebagai juruhebah radio buat seketika. Pada sekitar tahun 1963, beliau dipindahkan ke ibu pejabat Radio Malaysia, Kuala Lumpur yang ketika itu ditempatkan di Federal House. Antara kenalan rapat beliau ialah Zainal Alam dan Datuk S.M. Salim. Kebetulan pula, Datuk S. M. Salim adalah jiran semasa di Petaling Jaya.

Zain Abu sentiasa mengikuti dan terbabit dalam acara-acara kebangsaan mahupun antarabangsa. Pada tahun 1955, sebelum berkhidmat dengan Radio Malaya lagi, beliau telah berada di lokasi di Baling, Kedah untuk melaporkan peristiwa Tunku Abdul Rahman menyeru kepada Chin Peng untuk menyerah kalah. Apabila beliau ingin menemubual Chin Peng, mikrofon di tangan beliau dirampas kasar oleh konco Chin Peng. Pada pertengahan tahun 2000, ketika beliau ditanya berkenaan isu kepulangan Chin Peng ke Malaysia, Zain Abu dengan ringkas, jelas dan tanpa ragu-ragu menyatakan, “Chin Peng harus ditembak mati.”
Zain Abu bersara pada tahun 1978 sebagai penyunting berita kanan, tetapi diminta terus bekerja secara kontrak dengan Radio Televisyen Malaysia sehingga usianya mencecah 70 tahun. Hal ini membuka peluang untuk beliau menyambung kembali hobi hortikultur beliau dengan lebih serius. Dua bidang tanah di Telok dan Pulau Indah tinggalan kedua orang tuanya gigih diusahakan; dengan kelapa sawit, nenas, dan pokok gaharu. Jelas sekali perwatakan beliau yang lazimnya disebut oleh orang Melayu sebagai tidak boleh duduk diam.

Beliau meninggalkan kehidupan duniawi yang sementara ini untuk bertemu Yang Maha Esa pada 1 DzulQaedah, 1430 Hijrah (bersamaan 20 Oktober, 2009) dalam usia 86 tahun. Pemergian beliau pada jam 10.00 pagi selepas hampir 4-6 bulan berjuang menempuhi penyakit telah disaksikan oleh isteri beliau, Hajah Siti Hajar, di rumah anak perempuannya, Faizah, di Sentul, Kuala Lumpur. Pemergian tersebut cukup sukar untuk Hajah Siti Hajar yang terpaksa melepaskan pergi, suami tercinta dan pasangan hidupnya. Tiga tahun kemudian pada 1 Rabiul Awal, 1434 Hijrah (bersamaan 13 Januari, 2013) beliau menghembuskan nafas terakhirnya menuruti Allahyarham suaminya, pada usia 83 tahun, di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Allahyarham Haji Mohd. Zain Abu dan Allahyarham Hajah Siti Hajar telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Mereka meninggalkan enam orang cahaya mata, 33 orang cucu, dan 9 orang cicit.  Mereka berdua telah menjalani kehidupan rumah tangga yang bersederhana tetapi cukup bahagia, selama 61 tahun. Semoga Allah memberkati roh mereka dan meletakkan mereka di kalangan orang-orang yang bertaqwa di Syurga-Nya, al-JannatunNaim. Al-Fatihah. Amiin.

http://aafaizli.com/biografi-mohd-zain-bin-abu-1923-2009/

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah dapat mendengar cerita budak telok yg berjaya. Pasti ada yang lain Seperti Tok Tajul, antara engineer melayu terawal di Malaya

    BalasPadam