Isnin, 18 November 2013

Sungai, Atap Nipah dan Telok


Salam buat semua. Entri aku kali ini menghimbau kenangan masa kanak-kanak aku ketika di Telok dulu. Sememangnya aku anak jati Telok. Lahir dan dibesarkan memang di Telok. 100% anak jati Telok, Cuma jangan panggil aku orang asli Telok dah ler. Itu Sakai namanya…HAHAHA.

Semalam aku balik ke Telok sekejap kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di Shah Alam. Aku ambil kesempatan balik menjengok kakak di kampong sebelum ke Shah Alam untuk majlis tersebut. Jadi pagi-pagi tu aku round kampung, tengok-tengok kemajuan pesat di Telok. Aku kagum bercampur sedih dengan perkembangan  di Telok. kagum kerana Telok kini setaraf bandar satelit untuk Klang sebagaimana Petaling Jaya kepada KL tahun 1950-an dulu. Kemajuan Telok, semenjak kilang pertama dibina di Batu 10 itu pada awal 1970-an,  begitu mendadak. Semakin hari semakin ramai orang luar menetap di sini. Bukan aku tak suka Telok bertambah manusia, Cuma aku takut Telok akan kehilangan identitinya selepas ini. Kalau dulu (sebelum 80-an) selepas batu 7 Sijangkang, Telok terputus dengan Klang oleh hutan simpan sehinggalah ke batu 5 Kg. Johan Setia dan seterusnya estet kelapa sawit (Bukit Tinggi Estate) sehinggalah ke Simpang lima Klang. Tapi kini sudah tiada lagi sempadan fizikal. Pembangunan di Klang seolah-olah bersambung tanpa henti ke Telok hingga ke Banting.

Sememangnya Telok wujud sejak zaman sultan Selangor bersemayam di Jugra suatu masa dahulu. Kalau tak silap aku, TelokPanglima Garang ini sudah wujud  sebelum 1850-an lagi . Hal ini disahkan oleh catatan Inggeris pada masa itu. Tapi keduduukan Telok masa itu bukanlah sebagaimana Telok masa sekarang. Telok masa itu memang  dekat anak sungai yang masuk ke Sungai Langat. Untuk lebih tepat lagi sekitar Telok Mengkuang, iaitu tapak asal Taman Datok Hormat. Sebelum ini, di sepanjang sungai itu merupakan hutan nipah Orang dulu-dulu buat rumah atas tebing sungai yang berlumpur, ataupun mungkin di atas tanah darat yang kering tetapi masih hampir dengan sungai. Maklumlah sungai memang nadi utama kehidupan dan pengangkutan masa itu. Makan minum , berak kencing semuanya dalam rumah atas air itu. Lagipun hutan kat Telok dulu hutan tebal…harimau memang banyak berkeliaran. Tak selamat untuk duduk dan tinggal di tepi hutan.
Bayangkanlah sebelum 1875, Cuma 20 orang sahaja yang menetap di Telok. Tapi selepas itu, selepas  tamat Perang Saudara  di Selangor, kerana rakyat sudah merasa aman, mereka balik  semula menetap di Telok. Masa itu penduduk Telok meningkat seramai 200 orang. Tapi aku masih yakin mereka masih tinggal di rumah di tebing sungai kerana masa itu tiada sebarang perhubungan darat ke Klang atau ke tempat lain kecuali melalui jalan sungai. Buktinya di kebun pusaka aku, di Batu 11 Telok, kira-kira 50 meter dari tebing sungai terdapat perkuburan lama. Aku pasti kubur-kubur di situ telah wujud sebelum tanah perkuburan yang ada sekarang, iaitu di Jalan Kubur atau jalan masuk ke Kampung Bom diwartakan, iaitu kira-kira awal 1920-an. Aku sure pasal aku pernah terbaca tulisan pada  salah satu batu nesan di situ tertulis tahun 1905. Jalan darat dari Jugra ke Klang hanya wujud zaman Inggeris memerintah, sekitar tahun 1890-an. Jadi sungai ler segala-galanya.


mungkin beginilah rupa petempatan di TPG awal tahun 1920-an dahulu

mungkin juga kehidupan mereka sedikit sebanyak begini
Walaupun kecil, sungai ini merupakan punca rezeki sebagai nelayan sungai untuk saudara mara aku dan  sebahagian penduduk dari Batu 11 hinggalah ke Kg. Simpang Bandar. Memang masa dahulu  dalam sungai ini banyak ikan dan udang. Pernah aku mengail sembilang dari atas sampan ketika air mula pasang. Banyak juga yang aku dapat. Ketika air surut pulak aku dengan kawan-kawan terutamanya Ajis dan Seman Malik turun menangguk udang kat tepi tebing. Banyak jugak dan kasar-kasar jugak saiznya. Kalau buat sekali makan, cukup ler sekeluarga.





Sesungguhnya rezeki, ajal, maut dan jodoh di tangan Allah. Dari sungai inilah ramai penduduk Telok termasuk arwah atuk aku, Ontu (Orang Tua) Malik, Ontu Lias dan yang lain menyambung kehidupan seharian. Pagi-pagi lagi, selepas solat Subuh mungkin  diorang dah keluar menetak daun nipah, lebih kurang pukul 11 pagi,bawa balik daun nipah, mengkawan (sebagai batang tulang, dan atap),  batang bemban (sebagai penyemat atap) atas basikal tua ke rumah. Sampai  dekat rumah, isteri dan anak-anak perempuan pulak yang ambil alih menyemat daun sehingga menjadi atap Atap-atap disusun untuk dijual kepada peraih. Selepas jual atap-atap yang telah siap itu, barulah dapat atuk aku ke kedai untuk membeli ikan dan bahan dapur untuk dimasak sebagai makanan petang.Dah biasa dah makan dua kali sahaja dalam sehari, pagi dan petang. Lepas itu, barulah atuk aku  berehat sebentar sebelum solat Zohor. Kadang-kadang, lepas zohor, diorang turun semula ke sungai untuk menangguk udang atau memancing ikan sebagai lauk tambahan. Begitulah rutin hidup seharian orang kampong di Telok masa itu, cukup sederhana.



                       
Untunglah dan bersyukur kami sekeluarga kerana moyang perempuan aku ada tanah seluas enam ekar. 2 ekar ditanam getah, 4 ekar lagi  pokok kopi bercampur pokok buah-buahan. Dapatlah hasil getah dan kopi menampung kekurangan kewangan yang ada. Pokok-pokok getah itu ditoreh secara upah oleh pekerja India sekeluarga bernama Antoni, Sussai, Chinappo dan Maraye. Taat setia  betul mereka bekerja dengan keluarga moyang aku sejak muda lagi. Mereka bina rumah kecil dalam kebun moyang aku itu. Syukurlah, Antoni ini masuk Islam dengan bantuan bapa saudara aku, hampir setahun sebelum kematiannya

 Di sungai kecil inilah tempat aku dan kawan-kawan bermandi-manda lepas balik dari sekolah atau masa cuti sekolah. Alor sungai ini taklah besar sangat, kira-kira 10 meter (30 kaki) dari tebing ke tebing. Tempat paling dalam sekitar 7 meter atau 20 kaki ketika air pasang. Pernah satu ketika, masa itu aku di darjah 6, aku hampir lemas. Tengah sedap-sedap mandi dan menyelam, aku terperangkap bawah salah satu sampat yang ditambat di situ. Aku panik kerana kepala aku berada di bawah sampan. Mujurlah abang Kudin anak Pok Long Lias menarik aku daripada bawah sampan itu. Kalau tidak, dah lama arwah dah. Kekadang, aku, Seman, Ajis dan abang Kudin akan mendayung sampan milik Ontu Lias, bapa Bang Kudin sampai ke Kg. Simpang. Bukan untuk memancing, tapi saja-saja ronda-ronda kawasan

Di tebing sungai itu dulu ada sebatang pokok rambutan. Tapi buahnya masam dan tidak longkah ( isi tidak lengkang daripada biji). Jadi kitorang pun tak heran untuk memakannya. Buah rambutan itu  kini menjadi habuan lotong-lotong yang banyak di hutan nipah kat situ. Tapi aku ini memang suka menyakat lotong-lotong itu ketika ‘diorang ramai-ramai kekahkan rambutan itu. Masa itulah aku dan kengkawan menjerit-jerit menghalau lotong-lotong itu.  Maka bertempiaranlah ‘mereka’ menyeberang balik ke tebing sungai dengan memanjat pokok-pokok nipah sebelum bertenggek memandang kami dari atas pokok api-api. Ketika itu ada seekor ibu lotong mendukung anaknya yang berpaut di perutnya turut lari ke seberang sehingga anaknya terjatuh dari pelukannya terus ke dalam sungai yang sedang pasang. ‘Dia’ merenung tajam ke arah aku sebelum turun mengambil  dan menyelamatkan anaknya yang sedang lemas. Aku terharu dan sebak melihat kejadian itu. Betapa Allah mempertontonkana aku kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Aku menjadi insaf dan bertaubat kepada Allah dan berjanji tidak akan berlaku zalim terhadap makhlukNya yang lain.

 Kadang-kadang apabila tiba musim manggis, aku akan memanjat pokok manggis yang paling tinggi dalam kebun atuk aku, petik dan makan buah manggis sambil memperhatikan kawasan sekeliling dari atas pokok tersebut. Luas juga hutan nipah yang kini menjadi kawasan Taman Datok Hormat. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan manis buat aku dan bebudak Telok tahun 70-an dulu yang kini dah  bergelar otai (Old Timer). Di situlah tempat kami bermain dan mandi manda  sehinggalah awal  tahun 1980-an bila mana kerajaan ambil keputusan membina parit dan benteng (bund) bagi mengeringkan kawasan berpaya nipah itu untuk dijadikan tapak perumahan dan kawasan kebun pertanian.

Tanah pertanian di Jalan Perepat, Taman Dato' Hormat

Perhatikan pokok nibong itu, tanda pernah wujud kawasan paya di sini

kawasan pertanian yang masih bertakung air menunjukkan sememangnya bekas hutan paya



Kawasan sisa alur sungai yang masih wujud di Jalan Perepat berhampiran Kg. Simpang Bandar




Anak sungai yang masuk ke sungai Telok(berhampiran Batu 11) sebelum ke Sungai Langat




Anak sungai yang masuk ke sungai Telok(berhampiran Jalan Kubur) sebelum ke Sungai Langat



 Alhamdulillah ramai anak penetak nipah dan yang tanah mereka bersempadan dengan sungai ini menerima geran tanah daripada kerajaan di kawasan yang ditebus guna itu. Keluarga atuk aku sahaja yang tidak minta kerana tiada seorangpun daripada bapa-bapa saudara aku yang mewarisi pekerjaannya sebagai penetak daun nipah. Lagipun atuk aku dah lama meninggal pada tahun 1974. Banyak juga tanah-tanah di situ sudah dibangunkan secara usaha sama dengan pemaju perumahan untuk membina rumah teres.
Kepada anak-anak Telok yang membaca jurnal aku ini, begitulah keadaan kampong Telok kita sebelum korang lahir, suatu ketika dulu. Assalamualaikum. Jumpa lagi.










2 ulasan:

Sejarah Rumah Rehat dan Halting Bungalow di daerah Kuala Pilah

Assalamualaikum buat semua pembaca dan peminat Blog Atok ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita Saidina Muhammad ibni Abdullah, na...