Memaparkan catatan dengan label Langat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Langat. Papar semua catatan

Isnin, 18 November 2013

Sungai, Atap Nipah dan Telok


Salam buat semua. Entri aku kali ini menghimbau kenangan masa kanak-kanak aku ketika di Telok dulu. Sememangnya aku anak jati Telok. Lahir dan dibesarkan memang di Telok. 100% anak jati Telok, Cuma jangan panggil aku orang asli Telok dah ler. Itu Sakai namanya…HAHAHA.

Semalam aku balik ke Telok sekejap kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di Shah Alam. Aku ambil kesempatan balik menjengok kakak di kampong sebelum ke Shah Alam untuk majlis tersebut. Jadi pagi-pagi tu aku round kampung, tengok-tengok kemajuan pesat di Telok. Aku kagum bercampur sedih dengan perkembangan  di Telok. kagum kerana Telok kini setaraf bandar satelit untuk Klang sebagaimana Petaling Jaya kepada KL tahun 1950-an dulu. Kemajuan Telok, semenjak kilang pertama dibina di Batu 10 itu pada awal 1970-an,  begitu mendadak. Semakin hari semakin ramai orang luar menetap di sini. Bukan aku tak suka Telok bertambah manusia, Cuma aku takut Telok akan kehilangan identitinya selepas ini. Kalau dulu (sebelum 80-an) selepas batu 7 Sijangkang, Telok terputus dengan Klang oleh hutan simpan sehinggalah ke batu 5 Kg. Johan Setia dan seterusnya estet kelapa sawit (Bukit Tinggi Estate) sehinggalah ke Simpang lima Klang. Tapi kini sudah tiada lagi sempadan fizikal. Pembangunan di Klang seolah-olah bersambung tanpa henti ke Telok hingga ke Banting.

Sememangnya Telok wujud sejak zaman sultan Selangor bersemayam di Jugra suatu masa dahulu. Kalau tak silap aku, TelokPanglima Garang ini sudah wujud  sebelum 1850-an lagi . Hal ini disahkan oleh catatan Inggeris pada masa itu. Tapi keduduukan Telok masa itu bukanlah sebagaimana Telok masa sekarang. Telok masa itu memang  dekat anak sungai yang masuk ke Sungai Langat. Untuk lebih tepat lagi sekitar Telok Mengkuang, iaitu tapak asal Taman Datok Hormat. Sebelum ini, di sepanjang sungai itu merupakan hutan nipah Orang dulu-dulu buat rumah atas tebing sungai yang berlumpur, ataupun mungkin di atas tanah darat yang kering tetapi masih hampir dengan sungai. Maklumlah sungai memang nadi utama kehidupan dan pengangkutan masa itu. Makan minum , berak kencing semuanya dalam rumah atas air itu. Lagipun hutan kat Telok dulu hutan tebal…harimau memang banyak berkeliaran. Tak selamat untuk duduk dan tinggal di tepi hutan.
Bayangkanlah sebelum 1875, Cuma 20 orang sahaja yang menetap di Telok. Tapi selepas itu, selepas  tamat Perang Saudara  di Selangor, kerana rakyat sudah merasa aman, mereka balik  semula menetap di Telok. Masa itu penduduk Telok meningkat seramai 200 orang. Tapi aku masih yakin mereka masih tinggal di rumah di tebing sungai kerana masa itu tiada sebarang perhubungan darat ke Klang atau ke tempat lain kecuali melalui jalan sungai. Buktinya di kebun pusaka aku, di Batu 11 Telok, kira-kira 50 meter dari tebing sungai terdapat perkuburan lama. Aku pasti kubur-kubur di situ telah wujud sebelum tanah perkuburan yang ada sekarang, iaitu di Jalan Kubur atau jalan masuk ke Kampung Bom diwartakan, iaitu kira-kira awal 1920-an. Aku sure pasal aku pernah terbaca tulisan pada  salah satu batu nesan di situ tertulis tahun 1905. Jalan darat dari Jugra ke Klang hanya wujud zaman Inggeris memerintah, sekitar tahun 1890-an. Jadi sungai ler segala-galanya.


mungkin beginilah rupa petempatan di TPG awal tahun 1920-an dahulu

mungkin juga kehidupan mereka sedikit sebanyak begini
Walaupun kecil, sungai ini merupakan punca rezeki sebagai nelayan sungai untuk saudara mara aku dan  sebahagian penduduk dari Batu 11 hinggalah ke Kg. Simpang Bandar. Memang masa dahulu  dalam sungai ini banyak ikan dan udang. Pernah aku mengail sembilang dari atas sampan ketika air mula pasang. Banyak juga yang aku dapat. Ketika air surut pulak aku dengan kawan-kawan terutamanya Ajis dan Seman Malik turun menangguk udang kat tepi tebing. Banyak jugak dan kasar-kasar jugak saiznya. Kalau buat sekali makan, cukup ler sekeluarga.





Sesungguhnya rezeki, ajal, maut dan jodoh di tangan Allah. Dari sungai inilah ramai penduduk Telok termasuk arwah atuk aku, Ontu (Orang Tua) Malik, Ontu Lias dan yang lain menyambung kehidupan seharian. Pagi-pagi lagi, selepas solat Subuh mungkin  diorang dah keluar menetak daun nipah, lebih kurang pukul 11 pagi,bawa balik daun nipah, mengkawan (sebagai batang tulang, dan atap),  batang bemban (sebagai penyemat atap) atas basikal tua ke rumah. Sampai  dekat rumah, isteri dan anak-anak perempuan pulak yang ambil alih menyemat daun sehingga menjadi atap Atap-atap disusun untuk dijual kepada peraih. Selepas jual atap-atap yang telah siap itu, barulah dapat atuk aku ke kedai untuk membeli ikan dan bahan dapur untuk dimasak sebagai makanan petang.Dah biasa dah makan dua kali sahaja dalam sehari, pagi dan petang. Lepas itu, barulah atuk aku  berehat sebentar sebelum solat Zohor. Kadang-kadang, lepas zohor, diorang turun semula ke sungai untuk menangguk udang atau memancing ikan sebagai lauk tambahan. Begitulah rutin hidup seharian orang kampong di Telok masa itu, cukup sederhana.



                       
Untunglah dan bersyukur kami sekeluarga kerana moyang perempuan aku ada tanah seluas enam ekar. 2 ekar ditanam getah, 4 ekar lagi  pokok kopi bercampur pokok buah-buahan. Dapatlah hasil getah dan kopi menampung kekurangan kewangan yang ada. Pokok-pokok getah itu ditoreh secara upah oleh pekerja India sekeluarga bernama Antoni, Sussai, Chinappo dan Maraye. Taat setia  betul mereka bekerja dengan keluarga moyang aku sejak muda lagi. Mereka bina rumah kecil dalam kebun moyang aku itu. Syukurlah, Antoni ini masuk Islam dengan bantuan bapa saudara aku, hampir setahun sebelum kematiannya

 Di sungai kecil inilah tempat aku dan kawan-kawan bermandi-manda lepas balik dari sekolah atau masa cuti sekolah. Alor sungai ini taklah besar sangat, kira-kira 10 meter (30 kaki) dari tebing ke tebing. Tempat paling dalam sekitar 7 meter atau 20 kaki ketika air pasang. Pernah satu ketika, masa itu aku di darjah 6, aku hampir lemas. Tengah sedap-sedap mandi dan menyelam, aku terperangkap bawah salah satu sampat yang ditambat di situ. Aku panik kerana kepala aku berada di bawah sampan. Mujurlah abang Kudin anak Pok Long Lias menarik aku daripada bawah sampan itu. Kalau tidak, dah lama arwah dah. Kekadang, aku, Seman, Ajis dan abang Kudin akan mendayung sampan milik Ontu Lias, bapa Bang Kudin sampai ke Kg. Simpang. Bukan untuk memancing, tapi saja-saja ronda-ronda kawasan

Di tebing sungai itu dulu ada sebatang pokok rambutan. Tapi buahnya masam dan tidak longkah ( isi tidak lengkang daripada biji). Jadi kitorang pun tak heran untuk memakannya. Buah rambutan itu  kini menjadi habuan lotong-lotong yang banyak di hutan nipah kat situ. Tapi aku ini memang suka menyakat lotong-lotong itu ketika ‘diorang ramai-ramai kekahkan rambutan itu. Masa itulah aku dan kengkawan menjerit-jerit menghalau lotong-lotong itu.  Maka bertempiaranlah ‘mereka’ menyeberang balik ke tebing sungai dengan memanjat pokok-pokok nipah sebelum bertenggek memandang kami dari atas pokok api-api. Ketika itu ada seekor ibu lotong mendukung anaknya yang berpaut di perutnya turut lari ke seberang sehingga anaknya terjatuh dari pelukannya terus ke dalam sungai yang sedang pasang. ‘Dia’ merenung tajam ke arah aku sebelum turun mengambil  dan menyelamatkan anaknya yang sedang lemas. Aku terharu dan sebak melihat kejadian itu. Betapa Allah mempertontonkana aku kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. Aku menjadi insaf dan bertaubat kepada Allah dan berjanji tidak akan berlaku zalim terhadap makhlukNya yang lain.

 Kadang-kadang apabila tiba musim manggis, aku akan memanjat pokok manggis yang paling tinggi dalam kebun atuk aku, petik dan makan buah manggis sambil memperhatikan kawasan sekeliling dari atas pokok tersebut. Luas juga hutan nipah yang kini menjadi kawasan Taman Datok Hormat. Tapi itu semua hanya tinggal kenangan manis buat aku dan bebudak Telok tahun 70-an dulu yang kini dah  bergelar otai (Old Timer). Di situlah tempat kami bermain dan mandi manda  sehinggalah awal  tahun 1980-an bila mana kerajaan ambil keputusan membina parit dan benteng (bund) bagi mengeringkan kawasan berpaya nipah itu untuk dijadikan tapak perumahan dan kawasan kebun pertanian.

Tanah pertanian di Jalan Perepat, Taman Dato' Hormat

Perhatikan pokok nibong itu, tanda pernah wujud kawasan paya di sini

kawasan pertanian yang masih bertakung air menunjukkan sememangnya bekas hutan paya



Kawasan sisa alur sungai yang masih wujud di Jalan Perepat berhampiran Kg. Simpang Bandar




Anak sungai yang masuk ke sungai Telok(berhampiran Batu 11) sebelum ke Sungai Langat




Anak sungai yang masuk ke sungai Telok(berhampiran Jalan Kubur) sebelum ke Sungai Langat



 Alhamdulillah ramai anak penetak nipah dan yang tanah mereka bersempadan dengan sungai ini menerima geran tanah daripada kerajaan di kawasan yang ditebus guna itu. Keluarga atuk aku sahaja yang tidak minta kerana tiada seorangpun daripada bapa-bapa saudara aku yang mewarisi pekerjaannya sebagai penetak daun nipah. Lagipun atuk aku dah lama meninggal pada tahun 1974. Banyak juga tanah-tanah di situ sudah dibangunkan secara usaha sama dengan pemaju perumahan untuk membina rumah teres.
Kepada anak-anak Telok yang membaca jurnal aku ini, begitulah keadaan kampong Telok kita sebelum korang lahir, suatu ketika dulu. Assalamualaikum. Jumpa lagi.










Selasa, 29 Oktober 2013

Sekolah Melayu di Jugra, Klang dan TPG

Salam buat semua. Alhamdulillah kita dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk tunduk  beribadah kepada Nya. Syukur, dengan  berkat ilmu didikan guru-guru dan ustaz serta ustazah, anak-anak kita dapat diharap untuk mempertahankan keimanan dan jati diri dalam era dunia yang semakin menggila kini. Anak-anak merupakan amanah yang diberi kepada ibu bapa. Beruntunglah kita jika anak-anak menjadi manusia yang beriman dan berbakti kepada masyarakat. Namun, kecundang dan hampa kita jika anak-anak menjadi sebaliknya. Bukan tujuan aku bersyarah di sini kerana aku tidak memiliki ilmu untuk berbuat begitu. Namun sebagai pendidik kerdil, aku perlu menyampaikan walaupun satu ayat, demi kebaikan bersama.

Tugas seorang guru amat berat kerana di bahunya terletak amanah agama dan negara bagi membentuk insan  cemerlang, gemilang, terbilang yang juga tunduk kepada kekuasaan Allah. Pelbagai  usaha dibuat untuk melahirkan generasi berilmu. Sepatutnya kita bersyukur apabila anak-anak ‘menjadi’ kerana telah menjejakkan kaki di menara gading berbanding kita, apatah lagi, datuk nenek moyang yang mungkin hanya mengimpikan alam persekolahan.

 Justeru, penulisan aku kali ini berkisar sejarah pendidikan  awal negara terutama  di Klang, Telok dan Kuala Langat ketika ‘sekolah atap’ menjadi satu penemuan baru kanak-kanak masa itu, di era awal Malaya. Tapi sebelum itu, biarlah aku petik beberapa kajian yang telah dilakukan oleh cerdik pandai negara. Memanglah bunyinya agak ‘skema’ kerana mungkin berguna untuk rujukan anak-anak kita  yang sedang membuat kajian di sekolah . Aku mohon berjuta-juta kemaafan kerana terpaksa menggunakan dwibahasa kerana aku berharap dengan mengekalkan petikan kajian atau laporan dalam  bahasa asalnya iaitu bahasa Inggeris, maka entri jurnal aku ini akan menepati maksudnya, di samping nampak  macam  kertas kerja budak U……Hehehe. Jangan marah…

Latar Belakang
Peringkat awal campur tangan British bukanlah menyatakan kesediaan membentuk masyarakat di negeri -negeri Melayu kepada yang lebih baik mengikut kaca mata Barat tetapi British lebih banyak terlibat dengan aktiviti ekonomi. Oleh itu,  faktor penjajahan British sebenarnya lebih kepada keperluan bahan mentah dan bukan sangat mahu mengubah masyarakat di tempat yang dijajahnya. Pendidikan di negeri-negeri Melayu dimulakan apabila adanya Elementary Education Bill of 1870. Pada peringkat awal tugas Residen British ialah mengembalikan keamanan di negeri-negeri Melayu. Selepas kejayaan itu barulah pendidikan diberikan keutamaan setelah kemudahan asas dibangunkan.
“…Thus the initiation of a system of education had to wait till the more urgent administrative and social service, such as road, railways and bridges, government offices and residencies, hospitals and health centers, had been provided for…
Usaha British menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang dinaungi ataupun dilindungi telah menyebabkan usaha melaksanakan “Education Act” dijalankan. Dokumen pelajaran seperti Laporan Wooley menyebabkan pelajaran perlu diberikan di mana-mana koloni British.

Di Selangor, terdapat sebuah sekolah Melayu di Klang iaitu Sekolah Melayu Pangkalan Batu yang didirikan pada tahun 1875. Kedudukan sekolah tersebut berdekatan Jeti Atap iaitu pelabuhan bagi orang Melayu tidak jauh dari Sungai Klang dan Gedung Raja Abdullah yang digunakan untuk menyimpan bijih timah. Sekolah ini tidak lagi wujud pada masa kini dan tapaknya telah didirikan kuartes Polis Diraja Malaysia. Sekolah ini telah menjadi sejarah kepada negeri Selangor sebagai sebuah sekolah Melayu pertama di negeri Selangor.. dan diikuti di Kuala Langat di Mukim Bandar (1876), lebih kurang setahun dari pembukaan sekolah Melayu di Klang. Pembukaan sekolah Melayu di Langat dilakukan oleh James Innes yang menjadi Collector dan Magistrate di Langat pada masa itu.

Selangor Sessional Papers 1888-1905, ada melaporkan bahawa untuk tempoh tahun 1888 hingga 1905, di Selangor hanya dapat didirikan lima buah bangunan sekolah sahaja. Walaupun ada menyebut sembilan buah sekolah namun terdapat kemungkinan sekolah tersebut tidak disediakan bangunan oleh Kolonial British. Kemudian pada tahun 1913, dilaporkan kerajaan telah membina banyak lagi sekolah Melayu  dan kuarters guru di Rantau Panjang, Klang; Banting and Sungei Buaya, Kuala Langat  dan bangunan-bangunan tambahan sekolah di Klang.





Namun begitu, sambutan masyarakat terhadap system pendidikan British ini amat dingin. Selangor Government Gazette;1892, ada mencatatkan bilangan murid yang hadir ke sekolah yang ditaja oleh Kolonial British di beberapa daerah di Selangor. Boleh dikatakan peratus kehadiran murid-murid ke sekolah pada tahun 1890an adalah rendah. Pembukaan awal dua buah sekolah di Selangor menunjukkan kadar kedatangan yang begitu rendah.
Dalam Majlis Mesyuarat Negeri Selangor ke-27 pada 26 lanuari 1882, ahli MajlisMesyuarat Negeri Selangor yang hadir adalah Raja Muda Musa, Douglas, Raja Kahar,Raja Hassan, Raja Laut, dan Tunku Panglima Raja Berkat. Dalam Majlis Mesyuarat NegeriSelangor ke-27, Raja Muda Musa, dan disokong oleh Tunku Panglima Raja Berkat menyatakan bahawa tidak terdapat seorang pun yang mendaftar bersekolah di Jugra. Guru Besar sekolah tersebut diberi notis bahawa perkhidmatan beliau akan ditamatkanpada I Mac 1882.

Namun ada faktor-faktor yang dikaitkan dengan sikap orang Melayu terhadap pendidikan sekular British, keadaan perhubungan yang daif ,di samping  kesalahan ‘guru’menyebabkan kegagalan orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah:

“They saw the establishment of the first government Malay vernacular school, and in most cases their closure through lack of attendance”
1. The Malays were reluctant to lose their children‟s services, and distrustful of secular teaching.
2. Many of them walk several miles to reach the school, and various are the reasons which prevent them coming regularly. Sometimes a river is in flood and the bridge swept away, or perhaps there never was a bridge. At other times there is, not a lion, but a tiger in the path and children are kept at home. At some schools the way lies through jungle and children will not face its mysteries except in small parties, so it frequently happens that when the good boys start the runagates are left behind.
3. “The first record inspection of the Klang school took place on 15 Dec. 1879. It revealed that although there were thirty boys on the Register, the daily average attendance was between eight and ten and those present on the day of inspection, only three could read or write. It was found that the master , Mohamed Zin, often employed the pupils „cutting firewood, running errands etc‟ while sending out his own children, who also attended the school, at early and late hours of the day to sell fruits etc.
4. “It took much longer to induce a similar acceptance that girl should be sent to school, because of fears that, take away from home, their chastity was at risk.

 Di Selangor kerana banyaknya laporan yang mengatakan keengganan ibu bapa menghantar anak-anak lelaki ke sekolah telah menyebabkan satu undang-undang diluluskan pada Jun 1891 yang mewajibkan kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan empat belas tahun untuk pergi ke sekolah yang berada dalam lingkungan dua batu dari rumah.Kegagalan ibu bapa menghantar kanak-kanak ke sekolah jika disabitkan kesalahan tersebut akan dikenakan denda sebanyak lima ringgit. Sebenarnya pada masa itu nilai lima ringgit adalah cukup besar nilainya kepada orang Melayu.

Sehingga tahun 1914 terdapat enam buah sekolah bagi kanak-kanak perempuan di Selangor. Keadaan ini telah membawa penubuhan sebuah jabatan khusus untuk menyelia sekolah-sekolah bagi kanak-kanak perempuan.. Usaha menggalakkan kanak-kanak perempuan bersekolah banyak dilakukan oleh pihak istana. Keengganan ibu bapa menghantar anak-anak perempuan ke sekolah dikaitkan dengan kebimbangan keselamatan kanak-kanak perempuan.:
“A new girls‟ school was opened at Klang and a girls‟ department was opened at Setapak. There are now six Malay girls‟ in the state.” The School at Bandar has deteriorated since His Highness the Sultan has removed to the new Istana at Klang. His Highness takes great interest in the education of Malay girls and his influence was not beneficial in keeping the older girls at school.

Kurikulum
Matlamat pada peringkat awal hanyalah bagi membolehkan orang Melayu mengetahui asas-asas pelajaran yang mudah seperti menulis, membaca, dan mengira supaya orang Melayu terus kekal dalam sistem ekonomi tradisional mereka khususnya aktiviti bertani, menangkap ikan, dan juga kerja-kerja kampung seperti anyaman dan juga ternakan. Sistem pelajaran ini sering digambarkan agar kanak-kanak Melayu akan menjadi lebih baik daripada nasib kedua ibu bapa mereka yang rata-rata tidak menguasai kebolehan membaca, menulis, dan juga mengira.



Bangunan dan Iklim Persekolahan
Suasana persekolahan ketika itu digambarkan secara terperinci seperti di bawah:
Every little village has its school, a long tiled building on brick piers, built, to sealed pattern, with its little
master's house close by. Here, unwillingly to school, with shining morning face, acquired by disporting
themselves in half-a-dozen pools and streams on the way, assemble some thirty or forty brown boys, the majority of tender years and still wearing the long streamer of hair.




The needlework of the Malay girls' schools is often very good. They are especially clever, as are the Chinese women, at embroidery, particularly embroidery in silk for slippers. At the Agri-Horticultural Show, held annually in August at one or other of the principal towns of the Peninsula, there is usually a good deal of needlework exhibited and sold to visitors.

The Federated Malay States are in the happy position of having plenty  of schools in which Malay boys learn reading and writing in Malay, arithmetic, and reading the Arabic Koran by rote, forget it all and return to agricultural pursuits.  About two per cent, stick to book-learning and become clerks either in a Government office or in the employ of some private firm. Girls leave school and get married at once, and what with looking after a husband and children they have no time for weaving. Moreover the whole country is and has been for years flooded with cheap cloths of all kinds, from England, India, and Japan.

Besides the Malay schools there are higher standard schools in several towns, where English is taught.
These schools feed the Government's clerical service and the needs of private firms for clerks. The higher standard education of girls is chiefly in the hands of the various missionary religious establishments, which maintain several schools in each large town. The majority of the scholars in all these are non-Malay, and may be either Chinese, Indian or Eurasian. Of technical education there is at present little or none. Boys will not devote to it the necessary time sincethey can so readily obtain employment at early ages.

Sejarah perkembangan sekolah-sekolah di sekitar Telok boleh korang baca secara terperinci di sini.
PPL. SMK. TELUK PANGLIMA GARANG KUALA LANGAT. (No. rujukan: 1990/0006587; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT) 
Sanction to sell the old School House at Teluk Panglima Garang
(No. rujukan: 1957/0164890; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT) 
Asks sanction to erect the school provided for in the current year's estimates at Teluk Panglima Garang instead of Bandar as stated in the estimates.
(No. rujukan: 1957/0032245; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
"Submits plan for proposed Vernacular School at Teluk Panglima Garang Kuala Langat
(No. rujukan: 1957/0032620; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
Forwards one tender for the construction a vernacular school at Teluk Panglima Garang Kwala Langat
(No. rujukan: 1957/0032808; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
Forwards three tenders for the execution of a vernaculars school at Teluk Panglima Garang K.Langat
(No. rujukan: 1957/0032882; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
Forwards 2 tenders for the execution of school & masters quarters at Teluk Panglima Garang at K.Langat
(No. rujukan: 1957/0033068; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
Mohamed Salleh - Appointment of as teacher in the new school at Teluk Panglima Garang - Asks to sanction.
(No. rujukan: 1957/0036767; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT) 
Extension of Telok Panglima Garang Malay School
(No. rujukan: 1957/0248266; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
Extended sick leave of Che Baharun bin Othman, Malay Teacher Class III A, Telok Panglima Garang
(No. rujukan: 1957/0269217; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
SK.TELOK PANGLIMA GARANG.
(No. rujukan: 1990/0006586; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT)
PING MIN CHINESE SCHOOL BUILDING. TELOK PANGLIMA GARANG.
(No. rujukan: 2005/0015481; Jenis bahan: Fail; Negeri: IBU PEJABAT) 


 Rujukan:
Rex Stevenson, Cultivators And Administrators British Educational Policy Towards the Malays 1875-1906, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1975
Report on education, Federated Malay States for 1902.
Chai Hon-Chan, The Development of British Malaya 1896-1909,Oxford University Press, Kuala Lumpur,1964



Indeks Halaman Utama

Isnin, 28 Oktober 2013

Suatu masa: Jugra Bandar Diraja

 Mukim Bandar/Jugra pada suatu ketika dahulu (1814-1903) terkenal sebagai pusat pentadbIran negeri Selangor yang kini mula dilupakan.Jika kita imbas kembali sejarah, nama Jugra tercatat dalam sejarah lama sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka iaitu ketika Bendahara Tun Perak dihantar ke Klang sebagai wakil sultan di sana. Daerah Langat diambil sempena nama sungai yang bermaksud 'air hangat'. Sebenarnya perkembangan Jugra mula dijadikan petempatan diraja sejak 1826, iaitu ketika Raja Mohamed menyerahkannya kepada adindanya Raja Abdullah  sebagai hadiah membantu baginda menjadi sultan. Ketika itu Langat merupakan antara pengeluar timah (Rekoh di Hulu Langat) dan rotan yang utama selain Lukut. Menurut catatan Inggeris, terdapat kira-kira 500 orang penduduk tinggal di situ. Setelah kemangkatan raja Abdullah pada 1857, Sultan Abdul Samad  pula diltabalkan menjadi sultan yang baru.
Mengapakah kerajaan Selangor memindahkan  seluruh pentadbiran negeri dari Kuala Selangor ke Jugra sedangkan Jugra merupakan kawasan dataran yang dikelilingi paya bakau?
 Baginda memilih untuk  terus bersemayam di Jugra atas beberapa sebab:
1. Lokasi Jugra yang strategik dari aspek logistik, ekonomi dan keselamatan. Jika dilihat peta negeri Selangor dan jajahan takluknya meliputi lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Lukut. Kesemua daerah ini kecuali daerah Bernam merupakan hab atau pengkalan-pengkalan utama ekonomi Selangor. Pada masa itu, bijih timah yang menjadi eksport terpenting Selangor telah diusahakan sejak abad ke-16 lagi. Kedudukan Langat (Jugra) ditengah-tengah kawasan lubuk 'emas' ini amat penting, memandangkan sebahagian besar bijih timah dieksport ke Melaka.

2. Bentuk muka bumi Jugra amat strategik. Terletak kira-kira 4 batu dari muara sungai, bererti akses segera ke laut untuk sebarang urusan  rasmi negeri memandangkan jalan laut di Selat Melaka merupakan jalan utama perhubungan persisir pantai dan antarabangsa.
3. Bukit Jugra sememangnya merupakan mercu tanda kepada pelayar dan pedagang sejak dahulu lagi. Kedudukan bukit ini menyamai bukit di mana kota Melaka dibina dan istana sultan Melaka terletak. Justeru bukit Jugra menjadi kubu dan istana diraja kerajaan Sultan Selangor ketika itu. Dari atas bukit inilah tentera baginda dapat mengawasi perairan negeri dan kawasan pedalaman sejauh Klang. Sebarang usaha pihak musuh untuk menyerang istana dapat segera diketahui dan memberi masa untuk baginda bertindak balas, memohon bantuan, ataupun melarikan diri sama ada melalui laut atau sungai Langat ke kawasan pedalaman di bawah takluk baginda.

4. Kedudukan Sungai Langat yang berhampiran yang dapat dimudiki sejauh Ulu Langat dan Sungai Ujong    (dengan mudik ke hulu menerusi Sungai Labu di Kuala Labu). Sungai Langat juga  bersambung dengan Sungai Klang memudahkan perjalanan baginda atau wakil baginda ke Klang tanpa perlu belayar di laut sebelum masuk ke Kuala Klang bagi tujuan kutipan cukai hasil bijih timah dan sebagainya.
5. Baginda Sultan Abdul Samad juga dikatakan tidak mahu terlibat dengan persengketaan sesama kerabat baginda yang kemudiannya memuncak sehingga berlaku perang saudara di Selangor (1867-1874).

Era selepas perang menjanjikan masa depan yang lebih gemilang dan kedamaian yang berpanjangan. Pada tahun 1875, penduduk Jugra telah bertambah seramai 700 orang termasuk di beberapa buah kampung di sepanjang sungai Langat. Terdapat sederet kedai kepunyaan orang Cina di Jugra. Di Telok Panglima Garang dikatakan penduduknya telah bertambah daripada 30 orang menjadi  200 orang dalam masa beberapa bulan sahaja. Dalam tempoh 2 tahun sahaja (1880-1882), penduduk pesisir pantainya mencecah 1200 orang daripada 600 sebelumnya.

Sepanjang tempoh 10 tahun sahaja (1875-1884), penduduk Kuala Langat seramai 3000 orang Melayu (termasuk Melayu Dagang) dan 300 penduduk Cina.
Mengikut perangkaan British, pada tahun 1891, penduduk Melayu di Kuala Langat seramai 3,092 orang iaitu seramai 827 di Jugra,818 di Bandar, 324 di Tanjong Dua belas dan 244 di Telok Panglima Garang. Selebihnya di beberapa buah perkampungan yang mempunyai penduduk kurang daripada 100 orang:
Nota: Melayu Dagang merupakan kaum Melayu yang bukan berasal dari Selangor tetapi berhijrah dari tempat lain di nusantara. Mereka termasuklah kaum Acheh, Mendailing, Banjar, Jawa dan lain-lain yang datang atas pelbagai sebab politik (peperangan dengan Belanda) dan ekonomi (buruh kontrak dan buruh bebas).
Pekan Jugra Lama yang hampir ditelan belantara pada tahun 1900
Dua deret rumah kedai dua tingkat di Jugra Lama tahun 1900
 Hanya setahun sahaja Frank Swettenham tinggal di Jugra untuk menasihati sultan dalam hal-hal pentadbiran negeri. Setelah  itu, British mengubah pentadbiran negeri ke Klang pada tahun 1875,kerana mengikut perkiraan mereka, pentadbiran negeri sepatutnya berada di tengah-tengah hab ekonomi negeri, iaitu di Klang. Jugra mula mengalami zaman pudarnya. Daripada sebuah ibu negeri kini Jugra hanyalah menjadi pusat pentadbiran daerah Kuala Langat sehinggalah berpindah ke Telok Datoh pada tahun 1921. Pada tahun 1936, Sultan Alaudin  mula bersemayam di istana baru baginda di Klang.  Klang kini menjadi bandar diraja menggantikan bandar Temasya di Jugra. Sejak itu, Jugra, Bandar dan Langat kian dilupakan dalam kemajuan pesat negeri Selangor. Jugra hanyalah perkampungan desa yang pernah dijadikan 'permaisuri' oleh golongan istana suatu masa dahulu.

Indeks Halaman Utama

Rujukan:

THE MALAY COMMUNITY OF KUALA LANGAT IN THE LATE NINETEENTH CENTURY

J. M. GULLICK
Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
Vol. 77, No. 2 (287) (2004), pp. 1-25
Published by: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
Article Stable URL:http://www.jstor.org/stable/41493523


http://digital.library.upenn.edu/women/bird/chersonese/chersonese.html#selangor

file:///C:/Users/user/Downloads/Selangor%20administration%20report,%201913%20%28September%2025%29.htm

Khamis, 24 Oktober 2013

Perang Selangor (1867-1874)…Sememangnya Melayu Mudah Lupa

 Salam pertemuan. Alhamdulillah…..Dengan limpah kurniaNya dipertemukan lagi kita dalam keadaan sihat walafiat, penuh kemesraan dalam suasana masih kita meraikan Hari Raya Korban. Pengorbanan para rasul mengajar kita erti kemerdekaan. Betapa manisnya kebebasan yang sedang kita kecapi berbanding datuk nenek moyang kita yang berada di bawah cengkaman penjajah suatu ketika dahulu.
Penjajah-penjajah Eropah termasuk imperialis British bagaikan anjing lapar yang menerpa  habuan tulang dan daging ketika umat Islam  di nusantara masa  itu bergelumang dalam dosa pengkhianatan terhadap nusa, bangsa dan agama, untuk sedikit kesenangan duniawi buat diri dan kerabat. Tambahan pula, ketika itu  ummah dalam kejumudan ilmu dan kehidupan akibat pengabaian dan kedangkalan fikiran terhadap ilmu agama , baik fardhu ain mahupun fardhu kifayah, malah ‘pensyirikan’ terhadap keesaan Allah melalui adat budaya yang berbaur kehinduan yang menyesatkan.
Justeru,  aku terpanggil untuk menyelidik dan menyelami kehidupan masyarakat leluhur yang begitu hampir dengan kita di sekitar Telok Panglima Garang ini demi mengenal persepsi atau world view kehidupan mereka ketika di bawah ‘nasihat’ British itu.

Nota: Sengaja aku tidak menyebut nama-nama yang terlibat kerana aku teringat pesanan alim ulama agar tidak mengenang seseorang, baik ketika hidupnya mahu pun setelah matinya kecuali hal-hal kebaikan, kerana baginya bahagian daripada apa yang telah dikerjakannya di dunia ini, sama ada dosa mahu pun pahala.

1874, Jugra,Kuala Langat:- DYMM Sultan sedang bersemayam di istananya. Ketika itu negeri ini yang kaya dengan bijih timah baru sahaja tamat berperang setelah lama terbungkam dalam kancah perebutan kuasa dan daerah  sesama anak-anak dan kerabat diraja.
Kisah bermula tujuh tahun yang lalu, 1867. Masing-masing menuntut hak mereka. Baginda yang telah semakin lanjut usia tidak berdaya lagi  menyelesaikan permasalahan anak beranak ini. Masing-masing bertegang leher menunjukkan kekuatan pengaruh. Tiada lagi kompromi. Tiada lagi dihiraukan tali silaturahim sedarah  sedaging, apatah lagi  agama yang sama dianuti. Keegoan sedang memuncak. Apa nak jadi, jadilah, walaupun terpaksa membuat perjanjian dengan syaitan! Tak kiralah asalkan menang dan terus berkuasa. Masing-masing membuat perhubungan dengan anasir-anasir luar dengan menabur pelbagai janji  dan habuan atas apa jua kerjasama dan pertolongan yang dapat diberikan. Mendailing, Pahang, Perak, Kedah, Kapitan Cina dan Inggeris diheret bersama. Sudah pastilah ada pihak menghantar bala tentera upahan yang ganas dan berhati kering, walaupun musuh yang dihadapi itu sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada juga yang menjanjikan pengiktirafan jika anak raja yang disokong itu menang dalam ‘perjuangan’ mereka. Sudah pastilah  ratusan ribu  wang ringgit yang disalurkan bagi memastikan kemenangan pihak yang disokong sebab habuan besar sedang menanti untuk dituntut.
Apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sudah ketentuanNya, rakyat Selangor kini berperang sesama sendiri. Tanah merekah ini menyaksikan rakyat bermandian darah. Kesetiaan melulu yang tidak berbelah bagi rakyat terhadap golongan bangsawan dan istana ini diperalat semaksimum mungkin. “Sama ada bersama beta atau menentang dan menderhakai beta”. Sehingga terbelah dualah masyarakat, daripada lapisan tertinggi hinggalah rakyat marhain serta hamba sahaya. Selangor kini neraka dunia. Tiada lagi tempat yang aman atau bekecuali.  Pembunuhan, perompakan,  kegiatan lanun di perairan negeri semakin menjadi-jadi. Pentadbiran negeri lumpuh tidak berdaya. Sudah tiga kali Kuala Lumpur dibakar.
Kehidupan seharian rakyat biasa semakin sempit dan tertekan. Ribuan rakyat keluar menyelamatkan  diri ke Perak, Pahang dan negeri-negeri berhampiran, meninggalkan tanah air tersayang, keluar walaupun sehelai sepinggang, menjauhkan diri dari fitnah dosa dan noda. Pertahanan negeri sudah goyah dan rapuh. Ketika itulah Inggeris mengambil kesempatan.

the right man ready to seize the opportunity. British expansion, in the East at all events, is a record of the doings of courageous, capable, and masterful men. Opportunities may tear the cloaks from a thousand excellent, hesitating, conscience-burdened theorists and talkers, who never get beyond their good intentions; while one man of courage, determination, and action, inspired by the fire of patriotism, will make opportunities for himself, to the profit of his country.     THE REAL MALAY BY SIR FRANK ^THELSTANE SWETTENHAM,1899

Peristiwa  pembunuhan dan ancaman lanun ke atas pedagang-pedagang Pulau Pinang dan Melaka yang ketika itu dibawah kekuasaan Negeri-negeri Selat digunakan sebaik-baiknya. 22 Jun 1871.Berlaku serangan lanun dan seterusnya pembunuhan pedagang serta  anak-anak kapal mereka di perairan berhampiran Kuala Selangor. Dengan pantas Sir Andrew Clarke selaku Gabenor Negeri-negeri Selat , tanpa berunding dengan sultan menunjukkan kekuatan ketenteraannya. Seterusnya pada 3 dan 4 Julai 1871 dua buah kapal perang HMS Rinaldo  dan HMS Pluto dihantar untuk mengebom dan memusnahkan seluruh petempatan dan pertahanan di Kuala Selangor sehingga menyebabkan ramai penduduk yang tidak berdosa terbunuh atas alasan  melindungi rakyatnya dan menghapuskan ancaman lanun yang tidak terkawal.

                                                                    HMS Rinaldo

HMS Pluto
 Kesan psikologi ke atas sultan ketika itu dikatakan berjaya. Tiada tindakan balas kerajaan Selangor berhubung kejadian tersebut. Tiada lagi kedengaran kegiatan lanun di Kuala Selangor sejak hari itu sehinggalah..
November 1873.  Sekali lagi Selangor diuji. ‘Ancaman’ lanun berlaku. kembali. Bukan di Kuala Selangor tetapi  betul-betul  di depan pintu istana sultan, iaitu di perairan Kuala Jugra atau dikenali sebagai Kuala Langat ketika itu. Semuanya bagai dirancang.

 Empat rakyat naungan Britsh berketurunan Cina dari Melaka dibunuh dalam kejadian tersebut. British mendesak sultan mengadakan perbicaraan dan menghukum  8 orang ‘penjenayah’ terbabit. Pada waktu yang sama juga tiga buah kapal perang British lengkap bersenjata berat dikerah ke Jugra dan menghalakan meriam ke istana. Sultan benar-benar tertekan. Kalau sebuah sahaja sudah cukup menjadikan  Kuala Selangor padang jarak padang terkukur apatah lagi tiga. Perbicaraan berlangsung di sebuah gudang milik salah seorang kerabat diraja di Kuala Jugra. Pihak British mengaturkan pendakwaan dengan barisan peguam hebat dari Singapura. ‘Saksi utama’ kejadian tampil memberi ‘keterangan’. Keputusan perbicaraan yang sudah pastinya menyebelahi pihak Inggeris dan dengan nasihat kerabat baginda yang menjadi sahabat (tali barut) Inggeris, sultan terpaksa menerima campurtangan British. (Ketika itu kerabat tersebut telah berjaya menguasai sebahagian besar negeri Selangor).


 Perjanjian Pangkor menjadi dasar campurtangan mereka. Baginda terpaksa menerima  apa jua nasihat residen selain dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat.(sudah pasti British tidak ingin campurtangan berikutan pembunuhan JWW Birch di Perak sebelum ini). Secara terhormat dan begitu halus, sultan terlucut kedaulatan dan kekuasaan terhadap rakyat dan negeri baginda sendiri. Yang tinggal hanyalah perlambangan yang lebih berbentuk adat istiadat. Lebih buruk lagi, Selangor kehilangan Lukut pada 30 Julai 1880 kepada Dato’ Kelana di Sungai Ujong. Sultan Selangor hanya dibayar sebanyak 2000 pound sterling setahun sebagai 'elaun' baginda.
Kerabat baginda yang bercita-cita besar itu tidak hanya berdepan dengan masalah dengan tentera upahan Pahang (yang membantu ketika perang saudara tersebut kerana mereka bertegas mahu berkuasa di Ampangsebagai pampasan kemenangan), tetapi juga diturunkan kuasa oleh British dengan hanya diberi pencen sebanyak 500 ringgit sebulan seumur hidup dan 200 ringgit sebagai bayaran bagi isterinya serta 30 ribu ringgit lagi sebagai bayaran pampasan. Itulah ‘hadiah’  sebuah pengkhianatan.
Betapa benarlah pengkhianatan, tamak dan hasad dengki akan terus mewarnai kehidupan umat Melayu semenjak Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, andai agama diinjak-injak oleh umat yang mengaku keislaman di lidah namun tidak di hati.
Alfatihah buat mereka. Semoga roh-roh mereka tenang di sana  dan dalam keredhaan Allah swt.
Sememangnya Melayu mudah lupa. Kita bagaimana?


Rujukan:


Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...