Ahad, 17 April 2016

Masjid -masjid di sekitar TPG


Assalamualaikum semua. Moga kita tetap di bawah lindunganNya. Terus kita menjadi hamba Allah yang bersyukur atas segala  limpahan nikmatNya. Moga kita sentiasa dipandu ke arah keredhaan Allah. Dah lama aku tak bersama kalian di alam maya ini. Dah hampir empat bulan aku menyepikan diri daripada blog ini. Alhamdulillah, dah banyak juga komen-komen korang yang berminat tentang cerita-cerita lampau Telok bercampur fakta sejarah. Ada yang positif dan ada juga yang otai masih berbisa.HAHAHA.. Aku tak kisah , aku ini jenis open minded. Komen-komen korang yang lembut dan keras itu menjadi inspirasi untuk aku korek-korek kisah silam Telok. So, kali ini aku nak singkap kenangan silam aku, zaman aku kanak-kanak, zaman aku dan kawan-kawan sebaya aku kerap ke masjid. Kih,kih,kih...bukanlah maknanya aku dah tak ke masjid lagi...Takkanlah dah tua-tua ini aku semakin jauh dari masjid..nau'uzubillahiminzalik. Moga ditetapkan Allah langkah kaki-kaki ku ini terus berulang alik ke masjid dan ke surau sehingga nafas terakhirku nanti, Amiin.

Entry kali ini memang ada kaitannya dengan masjid Telok secara khusus tetapi aku juga akan masukkan sejarah dan maklumat-maklumat masjid sekitar TPG. Rupa-rupanya banyak yang kita tak ketahui tentang kampung kita terutamanya masjid.

Memang masjid dan surau penting dalam hidup kita. sejak kita dilahirkan sehinggalah kita akan dimandikan sebelum dikafankan tidak akan terlepas daripada pengaruh dah ikatan masjid . Fikirkanlah, lahir sahaja kita di dunia, kita diazankan, kemudian diberi nama yang baik-baik, kemudian kita membesar, berkhatan, berkahwin, berkeluarga dan akhirnya kembali menyahut Panggilan Ilahi. Setiap detik dalam hidup seorang yang beriman pasti tidak terlekang daripada ajaran suci Islam yang kita anuti ini. Justeru, Pak Imam, Tok Guru, Bilal, Siak  memang orang-orang penting di kampung selain Tok Penghulu, Ketua Kampung ,dan guru-guru di sekolah. Mereka  sentiasa dihormati dan sering kali dijemput ke rumah atau ke majlis-majlis rasmi untuk memimpin bacaan doa memohon kerbakatan Ilahi. Saban waktu mereka di masjid atau di surau mengimami solat-solat fardhu atau membimbing jemaah dan anak-anak kariah mendalami ilmu-ilmu agama, mendidik, menunjuk arah ke jalan yang benar, jalan yang diredhai Allah.

Masih segar di ingatanku wajah tenang dan jernih Tuan Imam Masjid Telok semasa aku masih kecil dan membesar di sana, pada tahun-tahun 70-an dan 80-an.. Masih terngiang-ngiang suara lunak Pak Alang Katan imam kami mengalunkan ayat-ayat suci Allah ketika kami solat, Maghrib dan Isyak berjemaah. Betapa sabar dan tekunnya arwah memimpin solat sehingga tamat. Tak pernah beliau jemu berdoa setiap kali selesai solat. Beliau begitu setia duduk bersama-sama Ontu (Orang Tua) Mat Jaman dan yang lain di tepi pusara anak kariahnya yang kembali menghadap Ilahi, bertalkin, mengingatkan yang masih hidup hakikat kehidupan di dunia ini dan akhirat nanti, bahawa mati itu pasti, hidup insya Allah. Kehidupan di dunia ini hanyalah mainan semata-mata, akhirat jua yang kekal abadi. Tidak pernah beliau menghampakan jemputan ke majlis kenduri doa selamat walaupun yang menjemputnya miskin atau yang jarang-jarang menjengah ke masjid. Tak pernah dengan marah beliau memalukan orang yang tidak ke masjid, sebaliknya dengan penuh hikmah arwah mengajak mereka ke masjid. Itu yang buat aku begitu menghormati beliau. Semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Mungkin suatu hari nanti perlu bagiku menulis biografi beliau yang pernah dinobatkan  Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor.



OKlah itu cerita aku. Korang baca pulak cerita kawan sebaya aku ini yang secara terperinci menceritakan pengalamannya di masjid lama Telok dahulu. Inilah cerita kawan sekampungku, anak arwah Ontu Leman, Ramlan Sulaiman

Menara 4 Tingkat Masjid Telok

"Masjid lama di kampung ku, Telok Panglima Garang. Kini telah dibina masjid baru yang lagi besau dan menaranya pun tinggi. Semasa pembinaan untuk menggantikannya di awal tahun 80an dulu, semua kariah bersembahyang di sekolah agama berhampiran. Banyak kenangan di Masjid ini terutamanya semasa di bulan puasa. More dan juadah selalunya disimpan di bahagian bawah menara. Aku suka naik ke menara ini untuk melihat pemandangan di bawah walaupun cuma 4 tingkat sahaja. Ialah masa umur 10 tahun – 4 tingkat pun kira tinggi jugak masa tu. Ketika semua kariah sedang khusuk berterawih aku pulak memain kat atas dan buat bising dan sambil turun ngap kuih2 yang ada di bawah. Tok bilal jadi stress nengok kelaku bebudak masa tu dan pernah sekali kena kunci olehnya ketika aku masih ada kat dalam. Bila kena kunci takut kena marah tak kan nak terjun pulak dari atas macam stunt man makanya kita orang pun sembunyila ditingkat dua dalam golongan tikar2 yang ada di situ. Selepas semua bersurai dengan tetiba kita orang kuar membuatkan tok bilal terkejut dan cemas. Nasib tak kena heart attack.  Pastu capai beskal terus cau. Kenangan mengusik jiwa lagi."

Senibina masjid Telok yang unik



Tentang sejarah pembinaan masjid lama ini aku kurang pasti bila dibina. Surat rasmi dibawah ini membuktikan telah ada masjid di Telok sebelum tahun 1911. Masjid yang terdahulu dalam keadaan daif dan telah dirobohkan.



 Kalau mengikut sejarah awalnya,masjid bertiang seri bulat empat ini at least pada tahun 1962,  inilah satu-satunya masjid dalam kariah dan mukim Telok Panglima Garang masa itu selain masjid di Sijangkang. Cuba korang baca keratan akhbar di bawah:
Kisah Peletakan  tapak baru Masjid Telok. Perancangan yang tidak menjadi realiti
Masalah lembu masuk kawasan Masjid Telok

Mungkin juga Masjid Telok ini dibina di tempat yang sama tapak asal masjid yang terdahulu kerana aku pernah tengok ada beberapa batang batu nesan lama di sebelah kanan serambi masjid ini. Biasalah, orang dahulu-dahulu perkuburan dan masjid atas tanah wakaf yang sama. Oh ya, sambung balik cerita tadi, memang masa aku kecil-kecil dahulu, para jemaah solat Jumaatnya sejauh Batu 13 Kg. Sungai Rambai, Aku tengok seawal jam pukul 11 pagi mereka dah menujah basikal ke arah Telok untuk bersolat Jumaat. Yang dari Batu 10, dan Batu 9 aku tak pasti . Mungkin Jawa-jawa kat sana dah ada masjid sendiri kot. Nantilah aku tanyakan Setiausaha masjid sekarang, kalau aku balik ke Telok nanti. Memang ada niat hati aku nak tanya habis-habisan tentang masjid lama Telok ini, tapi masa tak mengizinkan aku. lagipun aku balik ke Telok kejap-kejap jer. Paling lama dua hari. Itu ler pasal. Tapi kalau korang tengok senibinanya tak serupa masjid baru kini. Kubah bentuk tiga segi piramid, tak ada bentuk 'bawang' yang biasa kita lihat. Cuma di menaranya sahaja ada kubah bawang. tapi itu sebagai simbol jer, tidak berfungsi sebagaimana kubah di masjid-masjid di seluruh negara. Ruang solatnya agak besar. Kalau solat Jumaat tu, 200 orang senang-senang jer muat. Tak cukup di dalam dekat serambi pun boleh. Serambinya memang tempat kami dan jemaah masjid makan setiap kali ada jamuan, tak kira jamuan malam jumaat ataupun masa more lepas Tarawih masa bulan puasa.

Barisan Jawatankuasa Masjid Telok.
Kelihatan Tuan Imam Ashaari Katan (duduk di tengah barisan hadapan , berserban dan berjubah)

Kemungkinan Jamuan  Selepas Solat Hari Raya

Tapi yang paling unik tentang masjid lama Telok ini ialah pada 4 batang tiang  serinya. Emak datuk, gedabak besarnya! Aku rasa kalau gempa bumi  9.0 skala Ritcher pun, masjid ini takkan runtuh. Entah siapa arkiteknya aku tak tahu tapi memang tak ada masjid yang pernah aku masuk tiangnya sebesar ini kecuali masjid-masjid 2, 3 tingkat  atau masjid negeri di Shah Alam. Tapi yang pasti tiang-tiang ini menjadi tempat landing otai-otai bersandar semasa dengar ceramah agama atau khutbah Jumaat. Mesti terlentok punya!

Tiang seri Masjid Telok yang  unik

Tapi sayang, pada awal tahun1980-an, masjid lama ini terpaksa dirobohkan untuk memberi ruang pembinaan masjid baru (kini) kerana penduduk Telok semakin ramai pasal ramai orang luar bekerja dan mahu menetap di TPG. Masa itu aku tidak berada di Telok. Aku masa itu di seberang laut, melanjutkan pelajaran. Semasa pembinaan untuk menggantikannya di awal tahun 80an dulu, semua kariah bersembahyang di sekolah agama berhampiran.

Itu dahulu. Kini, Masjid Telok dah diberi nama Masjid Alhidayah, macam masjid-masjid lain. Masjid baru ini lebih luas dan dapat memuatkan kira seribu jemaah pada satu-satu masa. Alhamdulillah, usaha-usaha mengimarahkan masjid sebagai pusat masyarakat sudah dilakukan secara terancang oleh pihak JAIS dan Jawatankuasa masjid sendiri. Setiap minggu pelbagai program keagamaan diatur, untuk semua peringkat umur. Aku rasa sungguh bersyukur dengan perkembangan ini. Maklumlah dunia akhir zaman ini, pelbagai kerosakan berlaku. Masjidlah benteng terakhir kita. Tahniah kepada semua terutamanya para jemaah masjid ini.



OKlah, itu kisah Masjid Telok. Masjid -masjid lain sekitar TPG ini pun ada kisah dan sejarahnya yang tersendiri. Korang teruskan membaca, ya.

Masjid  Batu 8 Kg.Sijangkang
Masjid asal adalah di kawasan tanah perkuburan yang agak jauh dari kampong ini dimana penduduk kampong terpaksa menggunakan laluan laut untuk ke masjid. Di atas keperluan penduduk, maka masjid ini telah dibina pada tahun 1930an dan dirasmikan oleh YTM Tengku Azman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, Pemangku Raja Selangor pada tanggal 12 Julai 1996.

Wakaf perkuburan yang ada sekarang asalnya adalah tapak masjid lama dan Sekolah Melayu lama (dibuka pada tahun 1911).Setelah berada di Sijangkang sekitar 1917 atau sebelum dari itu, Kiai Muhammad Ali diberikan sebidang tanah untuk membangunkan pondok pesantren dengan bergotong-royong. Bermula dengan pengajian di masjid, akhirnya murid Kiai Muhammad Ali bertambah ramai di antaranya dari Batu Pahat, Johor yang mengikutinya semasa berhijrah ke Klang, kemudian dari Perak, Melaka, Selangor termasuk Sabak Bernam, Sungai Air Tawar dan seorang dari Kelantan sehingga dianggarkan kira-kira 100 orang dari seluruh Tanah Melayu.
Setelah hampir 40 tahun menabur bakti di negeri Selangor, Kiai Muhammad Ali ditakdirkan kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, bertarikh 28 Januari 1955 bersamaan 5 Jamadilakhir 1374H sebagaimana yang tercatat pada batu nisannya.Sebelum wafatnya, beliau berwasiat agar dimakamkan bersebelahan mimbar Masjid Sijangkang bersama isteri.


Binaan : Masjid ini dibina bercorakkan rekabentuk moden dimana terdapat menara di luar bangunan dan kubah tersergam indah dibumbungnya. Bangunan masjid ini ada dua tingkat. Bangunan masjid ini dibina daripada batu bata konkrit dan beratapkan genting. Masjid ini mempunyai satu aras ruang solat yang dilengkapi dengan permaidani untuk keselesaan para jemaah mengerjakan ibadah.
Kemudahan : Antara kemudahan yang terdapat ialah ruang parkir yang luas, van jenazah dan urusan jenazah dan ruangan solat yang luas, pondok rehat dan dewan serbaguna.
Istimewa : Masjid ini mempunyai banyak program-program kuliah harian dan ceramah untuk para jemaah.

Pihak masjid juga menyediakan perkhidmatan khairat kematian untuk penduduk di sini. Masjid ini telah dianugerahkan sebagai masjid terbaik negeri Selangor tahun 2004 bagi kategori berusia 16 tahun keatas peringkat daerah.

Masjid Batu 9. Kg. Medan

                                                    Masjid Batu 9 Kebun Baru

Masjid Batu 10 Kebun Baru

Masjid  Batu 13, Kg. Sungai Rambai
Sejarah :
Masjid ini pada asalnya dibina pada tahun 1980 dengan keluasan 415' X 416' diLadang Landastan. Oleh kerana kepesatan penduduk, pada tahun 1988 JAIS bersetuju untuk mengadakan solat fardhu Jumaat. Kemudiannya, pada tahun 1996 Kerajaan negeri Selangor membina sebuah masjid ini.


Binaan : Masjid ini dibina bercorakkan rekabentuk moden ala Timur Tengah dimana terdapat menara yang tinggi dan kubah besar ditengah-tengah bangunannya. Bangunan masjid ini dibina daripada batu bata konkrit dan beratapkan genting dan dicat dengan warna putih biru pada keseluruhan bangunan. Masjid ini mempunyai dua aras ruang solat yang dilengkapi dengan permaidani untuk keselesaan para jemaah mengerjakan ibadah.
Kemudahan : Antara kemudahan yang terdapat ialah ruang parkir yang luas, rumah pegawai, parkir berbumbung, dewan, van jenazah dan urusan jenazah dan ruangan solat yang luas.,
Istimewa : Masjid ini mempunyai banyak program-program kuliah harian dan ceramah untuk para jemaah.
Lokasi : Masjid ini terletak di tepi jalan sebelah petronas dikawasan perkampongan Sungai Rambai, pekan Jenjarom.
Rasmi : DYMM SULTAN IDRIS SHAH SULTAN SELANGOR






1 ulasan:

  1. Alhamdulillah! Terharu saya membacanya. Terima kasih kerana dapat menatap kembali wajah Atok saya Tuan Haji Ashari Katan Dan Tok Chah.

    BalasPadam

Sejarah Rumah Rehat dan Halting Bungalow di daerah Kuala Pilah

Assalamualaikum buat semua pembaca dan peminat Blog Atok ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita Saidina Muhammad ibni Abdullah, na...