Khamis, 24 Disember 2015

Damainya Kehidupan di TPG Suatu Masa Dahulu


Assalamualaikum semua. Apa khabar semua sahabat dan kenalan ku di TPG? Wah, dah lama juga aku tak balik kampung. Balik hujung minggu, ziarah kakak aku  kat rumah murah teres PKNS di Taman Dato' Hormat. Sekejap jer pun. Aku balik berempat anak beranak jer, maklumlah anak-anak lain dah besar panjang , masing-masing ada hal masing-masing. Rumah kakak aku ini sebenarnya  rumah kedua arwah bapa aku. Yang pertamanya dekat Batu 11 Telok, tanah pusaka atuk aku,  Yang itu memang rumah papan beratap zing. Bapa aku buat time aku baru 6 tahun, 1970. Masa itu dia dah berhenti kerja kat lombong bijih timah di Sungai Way (sekarang ini dipanggil Sunway jer.) Lepas berhenti kerja tu, dia  jadi konduktor bas Kee Hup Omnibus di laluan KL-Klang.

Dengan duit tak seberapa di tangan (dan dengan perjanjian yang dibuat dengan towkay kedai papan dengan konsep HD, Hutang Dulu), akhirnya terbinalah mahligai impian kami. Tak payah nak berpelan-pelan bagai, macam sekarang. Pelan rumah lukis atas pasir sahaja, lepas berunding dengan Pak Kassim (arwah), tukang kayu terkenal di Telok. Walaupun kecil, berdinding papan, beratap zing, bagi aku itulah yang terbaik untuk kami pada masa itu. Masa itu Telok dah ada elektrik, tapi kami cuma mampu pasang 2,3 biji mentol lampu; satu kat ruang tamu dan satu kat dapur. Pelita masih penting dan digunakan. Walaupun memang tak sehebat rumah orang lain, tapi bersyukurlah masih ada tempat berlindung daripada panas dan hujan buat kami sekeluarga. Dah settle hutang dengan towkay tu, abah aku teruskan fasa kedua, renovation. Dapur lama yang sempit digantikan dengan dapur separuh batu yang lebih luas. Tersenyum lebar arwah emak aku tanda suka dan bersyukur. Dalam tempoh tak sampai 6 tahun kemudian, arwah bapa aku tambah ruang tamu, sekerat batu juga. Jadi rumah aku masa itu, ada tiga peringkat, ikut rezeki kami sekeluarga. Fasa pertama rumah totally kayu berlantai tinggi, kemudian bahagian dapur separa batu bersimen bawah dan seterusnya, fasa terakhir, itulah ruang tamu di bahagian hadapan, juga separuh batu bersimen bawah.  So, overall, kata orang sekarang design split level ler.

Kondisi rumah beratap zing ini faham-faham sahajalah, siang panas mengerlip, malam pula sejuk menggigil ke tulang hitam. Tapi yang paling best time hujan turun dengan lebat sekali. Kalau korang dengar bunyi hujan yang turun atas zing itu dan hujan yang mencurah-curah di cucur atap zing itu, perggh, terbaekk! Hendak-hendak time itu cuti sekolah dan waktu malam. Alamat, tarik selimut sampai ke bahu, bhai!. Sungguh mengasyikkan.Tapi kalau time siang pulak, aku memang cari simen, baring-baring tak berbaju atas simen kat ruang tamu. Itu jer tempat yang sejuk dan nyaman. Yang lain menggelitik panasnya. Time tu mana ada duit nak beli peti ais, air cond  bagai. Reda dan redah jer lah. Ya lah panas tu panaslah juga, tapi dengan adanya pokok kelapa kat belakang rumah aku dan pokok-pokok durian di kiri kanan rumah seakan menjadi penyejuk rumah. Aku rasa itulah sebabnya semua rumah kat situ dan Telok umumnya menanam pokok-pokok di sekeliling rumah. Menyejukkan, menyamankan, menyederhanakan. Apa-apapun aku tetap bersyukur. Cuma sayang, tidak ada gambar untuk aku tunjukkan korang sebagai bukti ceritaku ini kerana sudah dirobohkan selepas kami berpindah ke rumah baru ( rumah kakak aku kini), pada tahun 1988.

Rumah kawan sekampung aku Seman dan Ajis (dua-duanya adik beradik) lagi daif. Rumah Pak Usu Malik dan Mak Usu Enson, kecil, bertiangkan nibung, berlantaikan papan dan beratapkan nipah. Memang sangat-sangat kecil untuk sebuah keluarga sebesar 16 orang. Rumah diorang masih pakai lampu gasolin. Walaupun masa itu aku masih di bangku sekolah rendah lagi, tapi aku mula mengerti erti kesempitan hidup dengan melihatkan kepayahan mereka. Di teratak buruk itulah mereka menjalani kehidupan penuh kedaifan dengan menetak daun nipah untuk dijual dan dijadikan atap dan disebelah petangnya berkebun atau memancing anak-anak ikan sembilang dan menangguk udang di alur-alur sungai di belakang kampung kami. 

Walaupun kecil, sungai ini merupakan punca rezeki sebagai nelayan sungai untuk saudara mara aku dan sebahagian penduduk dari Batu 11 hinggalah ke Kg. Simpang Bandar. Memang masa dahulu  dalam sungai ini banyak ikan dan udang. Pernah aku mengail sembilang dari atas sampan ketika air mula pasang. Banyak juga yang aku dapat. Ketika air surut pulak aku dengan kawan-kawan terutamanya Ajis dan Seman Malik turun menangguk udang kat tepi tebing. Banyak jugak dan kasar-kasar jugak saiznya. Kalau buat sekali makan, cukup ler sekeluarga. 

Sesungguhnya rezeki, ajal, maut dan jodoh di tangan Allah. Dari sungai inilah ramai penduduk Telok termasuk arwah atuk aku, Ontu (Orang Tua) Malik, Ontu Lias dan yang lain menyambung kehidupan seharian. Pagi-pagi lagi, selepas solat Subuh mungkin  diorang dah keluar menetak daun nipah, lebih kurang pukul 11 pagi, bawa balik daun nipah, mengkawan (sebagai batang tulang, dan atap),  batang bemban (sebagai penyemat atap) atas basikal tua ke rumah. Sampai  dekat rumah, isteri dan anak-anak perempuan pula yang ambil alih menyemat daun sehingga menjadi atap Atap-atap disusun untuk dijual kepada peraih. Selepas jual atap-atap yang telah siap itu, barulah dapat mereka ke kedai untuk membeli ikan dan bahan dapur untuk dimasak sebagai makanan petang.Dah biasa dah makan dua kali sahaja dalam sehari, pagi dan petang. Lepas itu, barulah   berehat sebentar sebelum solat Zohor. Kadang-kadang, lepas zohor, diorang turun semula ke sungai untuk menangguk udang atau memancing ikan sebagai lauk tambahan. 

Berbalik kepada kedaifan hidup keluarga kawan-kawanku tadi. Sehinggalah  salah seorang anak lelaki mereka bekerja dengan LLN (Lembaga Letrik Negara) sebelum diswastakan menjadi TNB kini. Barulah mereka mendirikan rumah papan yang lebih sempurna tetapi masih beratap nipah. Selalu juga aku berkunjung ke rumah kawanku itu. Memang terasa nyaman walaupun pada tengah hari. Itu cerita time aku tengah bersekolah, at least time itu Telok dah masuk api, dah ada karen,dah ada bekalan elektrik daa.... Aku throwback korang ke zaman 1960-an semasa aku dilahirkan di rumah pusaka moyang aku, kat sebelah rumah bapa aku yang aku ceritakan tadi. Korang bayangkanlah rumah itu masih tertegak sehingga kini. Daripada tahun 1920-an sehingga kini.( Faham-faham jer lah... takkanlah papan dan atapnya ori kot). Sebiji fesyen designnya macam kat bawah ini. Di rumah itulah, majlis kenduri kahwin atuk, nenek, bapa dan semua bapa dan emak saudara aku diadakan. Dekat situ jugalah aku dilahirkan dan berkhatan bersama-sama sepupu-sepupuku yang ramai. Di situ jugalah  moyang perempuan, datuk, nenekku menghembuskan nafas terakhir mereka. Nostalgia sungguh bhai!

Aku cukup selesa bermain-main di bawah rumah itu. Dengan adanya pangkin di bawah rumah, di situlah kami berbual-bual pada waktu malam sebelum naik tidur ketika cuti sekolah panjang atau ketika ada kenduri kendara. Masih segar dalam ingatan aku ketika nenek dan datukku sering menajak rumput di sekeliling rumah. Cantik dan sebaris. Cuma satu sahaja kelemahan rumah ini...satu sahaja. Jambannya dan bilik mandinya di luar dan di bawah. Bayangkan aku terpaksa ke jamban kira-kira 20 meter di belakang rumah dalam dusun  durian kami sambil memegang pelita minyak tanah ketika malam gelap hitam pekat. Kalau tak ada yang menemankan aku, alamat terpaksa kupendamkan derita ini sehingga pagi esok. Atau jika terpaksa sekalipun, akan aku kirimkan secara pos berbungkuskan surat khabar keesokan paginya. Kih,kih,kih. Time mandipun satu masalah juga bila bilik air di luar. Sebelum subuh aku dah turun mandi dengan berkain basahan sahaja. Apa taknya, bilik air jenis open air...hanya berkepungkan zing. Sebelum Maghrib mesti dah mandi. Kalau tidak, terpaksalah  aku mengajak sesiapa tolong tunggu dengan bertemankan....sekali lagi pelita minyak tanah. Tahu tak apa!  Siapa skodeng siapa aku tak tahu...masa itu aku tak reti ler pasal-pasal seks ini. Memang innocent sungguh!

Masak memasak ini memang kat dapur. Tapi korang tahu tak, dapur itu pun kat bawah! Korang bayangkan aku kena  cari dan ambil kayu-kayu atau dahan mati pokok getah kat kebun orang kat baruh, sebagai bahan bakar. Mana ada dapur-dapur gas masa itu? Cari, kerat dan susun kayu-kayu itu memang kerja aku dan sepupuku. Ada aku ceritakan kisah ini dalam entry aku terdahulu. Korang check it out kat sini ya. http://akubudaktelok64.blogspot.my/2011/10/kisah-di-dapur.html Pukul 9.00 malam atau paling lewat pukul 10.00 kitaorang dah membuta. Yalah nak buat apa, bukannnya ada televisyen bagai...belum mampu lagi. Tidur pun pakai pelita  minyak tanah juga. Tempat feveret aku ialah dekat serambi...best...walaupun open tapi ruangnya yang agak sempit dan terperok menjadi tempat landing aku dan nenek aku (atuk lelaki aku dah meninggal dunia tahun 1972). Tidur hanya dengan beralaskan tikar mengkuang,sebiji bantal dan sehelai selimut. Kemudian apabila emak saudara aku membeli televisyen hitam putih, barulah tidur aku agak lewat, itupun selepas menemankan nenekku menonton wrestling, rancangan feveretnya masa itu. Sambil menyedut rokok tembak Rough Rider 555, atukku mengulas penuh kritis aksi di TV. Hahaha...aku biarkan dia melayan perasaannya. Tapi sebelum itu, siap satu teko air  kopi dan biskut lemak dihidangkannya di depan tv.

Setelah bersekolah menengah aku jarang ke rumah nenekku lagi, cuma pada masa cuti hujung minggu atau ketika sepupu sepapatku ramai yang balik kampung. Tambahan pula ketika aku bersekolah di Melaka dan tinggal di asrama. Ketika moyang perempuanku sakit-sakit dan kemudian nazak di serambi itulah tempat tidur baringnya, masa itu umurnya dah lanjut, hampir 77 tahun. Dibukakan sekeping lantai untuk memudahkan urusan mandi dan buang airnya. Tidak perlu untuknya dibawa ke bilik air atau jamban sehinggalah saat kematiannya. Di situ jugalah beliau dimandikan, dikafankan, disolatkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Pusara di pekan Telok pada tahun 1980. Rumah pusaka itu kini didiami emak saudaraku selepas suaminya sorang pesara bomba berpindah ke Telok pada awal 1980-an. Aku pun hairan dengan orang sekarang yang suka sangat rumah batu setingkat berbumbung atap zing atau asbestos  macam rumah murah teres kakak aku ini. PANAS dan RIMAS tau! Mungkin jugalah kerana terpaksa. Nak buat rumah kayu kini lebih mahal berbanding konkrit. Kadang-kadang aku pelik dengan pemikiran orang sekarang. Rumah pusaka kat kampung yang luas ada, tapi memilih untuk hidup bersempit-sempit di pekan dan bandar. Kalau akulah, balik kampung tanam jagung lagi baik daripada duduk kat bandar tinggal kat kawasan setinggan. Lainlah halnya kalau  di banglo atau kondo! Hehehe...

Oklah, kat bawah ini aku kumpulkan sedikit maklumat tentang uniknya kesenian rekabentuk rumah tradisional Melayu: tentang susunatur, pengudaraannya, lanskapnya. Korang bacalah santai-santai. Bukan budak-budak tak lulus SRP yang tulis tapi orang yang ada diploma, degree bagai dalam bidang seni bina. Oh ya, tak lupa juga potret-potret rumah orang Melayu sejak dahulu sehinggalah kini. Wasalam.

Model mirip rumah pusaka nenek moyang aku kat TPG

Rumah sebenar Atuk aku di TPG. Gambar sekitar tahun 1975

Arwah moyangkku, Rahmah binti Hashim. Gambar sekitar akhir1960-an. Latar belakang reban kambing kami.

di majlis perkahwinan ibu saudaraku di TPG, awal 1980an

wajah arwah datukku di TPG

Rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri. Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/ nipah atau kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah. Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang tersangat minima. Secara terperinci, ruang-ruang yang terdapat pada rumah Melayu tradisional ialah anjung atau sorong serambi, selasar, rumah ibu, bilik, serambi dalam, dapur, pelantar atau lambur dan jemuran serta ruang bawah rumah.
Ruang rumah Melayu pada zaman dahulu biasanya tidak berbilik kerana masyarakat Melayu pada masa itu mementingkan perjumpaan atau berkumpul secara beramai-ramai untuk majlis keramaian dan juga upacara keagamaan. 
Dari sudut rekabentuk, rumah Melayu boleh dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri- ciri bestari, lagi kena dengan gaya hidup selesa mengikut adat dan alam.Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau pengudaraan semulajadi (natural ventilation), peneduhan (shading), keselamatan dan keamanan (safety and security) serta ‘kepersendirian’ (privacy).Contohnya sifat paling ketara pada rumah tradisi Melayu ialah ianya didirikan atas tiang. Pelbagai kelebihan muncul dari ‘keterapungan’ ini termasuklah mengelakkan dari mudah masuknya binatang liar, serta terangkat dari aras banjir.

Rumah juga lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi-tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong di bawah rumah ada juga menyebut ‘polong’ iaitu menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan segala macam barang perkakas.Rumah tradisi yang memang terangkat atas tiang bagi menambah pengudaraan itu juga ada pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, guna untuk masuk angin dan cahaya. Dengan adanya berbagai keping ukiran berlubang di dinding bukan saja sebagai perhiasan, tapi juga bagi menggalakkan udara dan cahaya masuk menceriakan rumah. Ukiran-ukiran pada rumah Melayu berunsur corak geometrik atau tumbuhan (tiada corak fauna hidupan kerana larangan agama), dan banyak yang amat halus pengukirannya. Terdapat pelbagai variasi tingkap rumah Melayu mengikut citarasa dan kepandaian tukang- tukang rumah dahulu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah. Zaman telah berubah apabila nilai seni bina berciri moden kini lebih kontras dan mendominasi kehidupan masyarakat Melayu hari ini sehingga menenggelamkan bentuk kediaman tradisional yang sepatutnya dihargai oleh semua pihak.

Pembinaan rumah di sepanjang sungai adalah karakter yang menunjukkan hubungan manusia dan alam semulajadi. Sungai merupakan sumber alam dan sumber untuk manusia bagi meneruskan kelangsungan hidup (survival). Sungai merupakan jalan perhubungan, sumber bekalan air dan perairan untuk aktiviti pertanian. Secara umumnya rumah tradisional Melayu menggunakan konsep pembinaan yang sama. Walau bagaimanapun ia kelihatan berbeza antara satu sama lain berpandukan kepada faktor geografi dan keadaan muka bumi. Jika diperhatikan rumah-rumah di pinggiran sungai dan laut mempunyai lantai yang lebih tinggi berbanding rumah yang terletak di tanah lapang. Ini berikutan dengan faktor cuaca di mana pada musim tengkujuh rumah yang berhampiran dengan laut atau sungai akan ditenggelami air sekiranya lantainya tidak dibina lebih tinggi. Sesuai dengan penempatan orang Melayu di persisiran sungai, Pembahagian ruang rumah tersebut terdiri daripada rumah ibu dan dapur yang dipisahkan dengan ruang yang dipanggil selang. Seni bina itu juga mengandungi ruang tertentu di bahagian hadapan iaitu ruang serambi diikuti oleh ruang ibu yang terdiri daripada ruang pentas dan 'perbalai.' Di belakang pula ialah ruang kelek anak atau serambi belakang. Bagi ruang dapur, ia terdiri daripada ruang pelantar yang digunakan untuk memasak dan membasuh.

Seni bina Melayu tradisional menggunakan proses seni bina yang rumit, yang disesuaikan untuk keadaan tropika seperti struktur rumah dibina dengan tiang di atas tanah, membolehkan tiupan pengudaraan silang di bawah ruang tamu untuk menyejukkan rumah sementara mengelak kesan banjir yang kerap berlaku. Bumbung berbucu tinggi dan tingkap besar bukan saja membolehkan pengudaraan silang tetapi diukir dengan rekaan organik yang halus. Aspek estetika rumah Melayu terpancar pada reka bentuknya yang indah, bermula dari halaman yang redup oleh pepohon bunga dan ulaman, lewat tangga yang tersusun, anjung yang nyaman, serambi yang luas serta bilik dan dapur yang selesa. Konsep rumah Melayu ini kemudian dikembangkan kepada istana, masjid dan surau. Aspek kekuatan pada seni bina orang Melayu pula terlihat pada binaan kota-kotanya yang besar dan tegap yang kekal hingga ke hari ini. Orang Melayu juga amat kuat berpegang kepada adat dan suruhan serta tegahan agama Islam. Dengan demikian kita dapat melihat seni bina masjid yang indah di seluruh Alam Melayu.  

Seni bina dan persekitaran amat berkaitan dan mempunyai hubungan dengan masyarakat Melayu tradisi khususnya pembinaan sebuah kediaman. Masyarakat Melayu tradisi membina kediaman melalui pemilihan penempatan yang dapat menyalurkan sumber-sumber untuk menyiap dan melengkapkan rumah yang dibina. Rumah-rumah Melayu tradisi mempunyai keunikan ragam hias seperti ukiran dan struktur pemasangan yang teratur dan mempunyai fungsi tertentu melalui komponen dan elemen rumah. Sama ada ruang dalaman, fasad luar mahu pun persekitaran rumah, kediaman masyarakat Melayu tradisi terbangun sebagai satu kompleks yang lengkap dan harmoni dengan persekitaran dan keseluruhan ciri-ciri penempatan yang dipilih. umah Melayu tradisional adalah sebahagian warisan seni bina Malaysia yang sangat bernilai. Ianya telah direkabentuk dan dibina oleh orang kebanyakan yang menampakkan betapa mahir dan kreatifnya mereka dalam bidang seni bina. Ia memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan perluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan.       

Landskap penempatan Melayu tradisi atau lebih dikenali sebagai kampung Melayu boleh dilihat di seluruh Malaysia khususnya di kawasan perkampungan atau kawasan luar bandar. Ciri-ciri seni bina rumah Melayu tradisi berkait dengan bumbung dan tebar layar, tiang tinggi beralas, serambi dan tingkap terbuka serta keunikan ukiran pada dinding rumah. Setiap komposisi rumah Melayu adalah amat harmoni dengan suasana persekitaran dan lokasi penempatan.

Alam sekitar adalah salah satu unsur utama mempengaruhi gaya senibina rumah Melayu. Alam sekitar terdiri daripada sumber-sumber seperti hutan, sungai, gunung, bukit termasuk flora dan fauna yang terdapat di persekitaran manusia. Melalui alam sekitar orang Melayu melihat tumbuh-tumbuhan dengan ciri-ciri dan sifatnya yang tersendiri; ini menimbulkan kepekaan yang tertib terhadap penggunaan sumber alam dalam pembinaan rumah. Sumber atau bahan yang utama untuk membina rumah masyarakat Melayu tradisi adalah dari kayu begitu juga penutup bumbung atau atap dari daun nipah, ijuk dan rumbia. Bahan-bahan ini diambil dengan perkadaran yang sesuai dengan skala rumah yang dibina.

Iklim merupakan satu lagi elemen yang mempengaruhi bentuk rumah orang melayu. Iklim Malaysia yang panas dan hujan sepanjang tahun menjadi salah satu masalah yang perlu diatasi iaitu dengan membina rumah berlandaskan kepada pemilihan bentuk yang sesuai. Bumbung rumah Melayu tradisi adalah curam dan unjurannya lebar bagi melindungi rumah dari tempias hujan dan sinaran lansung matahari. Badan rumah pula dipenuhi dengan bukaan jendela dan kekisi atau ukiran tebuk yang menggalakkan peredaran udara (Ezrin Arbi, 2002). Pembinaan rumah melayu yang agak tinggi memberikan satu ruang di bawah rumah. Kedudukan lantai yang tinggi dapat mengatasi kelembapan tanah disamping mencegah ruang ditenggelami air jika berlaku banjir. Ruang bawah atau kolong yang yang terbuka ini juga membolehkan peredaran udara di bawah lantai (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh, 1997).

Faktor cuaca banyak mempengaruhi seni bina rumah tradisional dan ia terbukti apabila reka bentuk atap yang lebih cerun dan bertiang untuk mengelak banjir. Reka bentuk yang lebih terbuka iaitu kehadiran tingkap yang banyak, beranda dan tiang itu sendiri memberi laluan angin di bahagian bawah rumah, tingkap dan bumbung. Sebab itulah sebahagian besar rumah Melayu tradisional bertiang @ berpanggung dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah yang dapat mengatasi kelembapan tanah.

Sensitiviti dan kemahiran masyarakat mengadaptasi atau menjanakan idea rumah yang dibina berasaskan iklim atau musim menunjukkan tukang-tukang dahulu bukan sahaja perlu mahir dalam pertukangan rumah tetapi menguasai bidang berkaitan ilmu alam. Ruman bertiang tinggi secara ilmiahnya dapat memberi pengudaraan yang baik dan mencegah rumah tenggelam air ketika musim hujan atau banjir. Lebih menarik, ketika musim kering; ruang dibawah rumah ini boleh dijadikan tempat menyimpan barang. Tinggi ruang bawah ini sekurang-kurangnya paras bahu orang dewasa. Ruang ini juga dijadikan aktiviti tradisi masyarakat seperti melesung dan mengangin padi juga aktiviti permainan seperti bermain congkak.

Seni bina rumah Melayu tidak dapat dipisahkan dengan gaya hidup mereka. Agama Islam datang ke Tanah Melayu dan berkembang di Kepulauan Melayu selepas pengaruh Hindu mulai merosot pada abad ke 13 dan abad berikutnya. Kedatangan Islam telah memberi pengaruh besar kepada corak budaya hidup masyarakat pada masa itu. Pengaruh Islam banyak membentuk peradapan dan budaya masyarakat Melayu lebih bersederhana dan bersopan santun. Susunan ruang dan bahagian-bahagian komponen bangunan rumah Melayu banyak disesuaikan dengan kehendak Islam. Beberapa perubahan telah dibuat bagi mewujudkan ruang-ruang yang terpisah untuk kegunaan kaum lelaki dan wanita. Falsafah agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan kaum perempuan dipisahkan. 
    

   BUMBUNG
       Pada peringkat awal rumah Melayu tradisional berbentuk rumah asas yang dikenali rumah pisang sesikat.  Bentuk rumah ini berubah mengikut arus perubahan juga mpunyai falsafah jiwa sezaman(Spirit of times) tetapi selepas kedatangan penjajah ia berubah bentuk kepada bentuk limas @ bumbung belanda . Bumbung rumah Melayu sentiasa jenis condong untuk kesesuaian cuaca hujan panas tropika (tiada bumbung rata @ leper) .  Bahan yang digunakan utk mhasilkan bumbung juga sesuai dengan cuaca dan teknologi ada masa itu. Sepanjang tepian hujung bumbung pula selalu dipasang cucur atap @ papan cantik berukir menandakan kehalusan seni masyarakat Melayu
 
ANJUNG
       Ruang ini biasa digunakan kaum lelaki menjalankan kerja rumah membaiki pukat, jaring dll. Anjung juga merupakn tempat untuk berehat & berbincang bagi kaum lelaki.  Falsafah yang hendak diketengahkan dalam masyarakat Melayu adalah untuk membataskan @membezakan  batas ruang antara kaum lelaki & wanita.  Wanita lebih dibahagian dalam dan lelaki di luar sesuai dengan sifat lelaki sebagai pelindung.  Hal ini menunjukkn masyarakat Melayu amat mementingan adat & tatatertib masyarakat sehingga menjadikan orang Melayu dipandang tinggi kerana kaya dengan kehalusan budi pekerti.  Juga untuk mengelakkan fitnah kerana tetamu lelaki selalunya hanya dipelawa naik hingga ke anjung sahaja.  Masyarakat Melayu mempunyai pandangan yang jauh dan meneliti setiap perkara dengan pertimbangan yang sewajarnya.
 
RUMAH IBU
       Merupakan salah sebuah ruang dalam reka bentuk rumah Melayu yang utama.  Ruang utama ini dipanggil “Rumah Ibu” kerana sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga. tetapi selalunya dikenali sebagai ruang lelaki menandakan lelaki dianggap sebagai ketua dan berada di hadapan untuk melindungi.  Ibu juga dianggap mempunyai kedudukan yang mulia dan harus dihormati . Sesuai dengan nama, fungsinya sebagai ahli-ahli keluarga beristirehat dan bersantai bersama.  Ini jelas menunjukkan masyarakat  Melayu amat mementingakn ikatan silaturahim antara ahli kelurga agar bahagia dan harmoni.
 
BILIK TIDUR
       Ruang rahsia tuan rumah dan ahli keluarga.  Anak lelaki dan perempuan dipisahkan bilik melambangkan  masyarakat  melayu yang mgamalkan ajaran Islam dlm kehidupan .  Bilik didirikan berdekatan rumah ibu dan dapur bagi menyenangkan aktiviti harian. Lelaki akan berada di rumah ibu manakala perempuan di dapur.  Bilik tidur tidak menerima tetamu asing menandakan masyarakat  melayu yang peramah dan mesra tetapi ada batasnya.
 
DAPUR
       Dibatasi dengan dinding untuk membezakan antara rumah ibu dengan rumah dapur.  sebagai tempt kaum perempuan memasak @ tempat khas untuktetamu perempuan melambangkan peranan perempuan di belakang lelaki sesuai kedudukan dapur selepas rumah ibu.   Tempat khas untuk keluarga berkumpul.  Orang luar tidak dibenarkan masuk sesuka hati ke ruang dapur.  Tempat ibubapa menyampai pesanan, nasihat dsbnya. Falsafahnya adalah untuk mengukuhan silaturahim sesama ahli keluarga dan masyarakat  melayu yang tetap memelihara hubungan kekeluargaan.
 
UKIRAN
       Seni ukiran terdapat di tangga rumah, di dinding beranda dan sebagainya.  Membuktikn masyarakat Melayu kaya dengan seni yang tersendiri.  Lebih menerapkan falsafah metafora.  Kepingan ukiran berlubang bukan sahaja perhiasan tetapi juga menggalakkan udara & cahaya masuk untuk menceriakan rumah.   Berunsur corak geometrik @ tumbuhan.  Tiada corak fauna atau binatang selaras dengan larangan agama.


Susunatur, rekabentuk dan lanskap rumah Melayu
Faktor cuaca dan iklim dalam pembinaan rumah
Faktor pengudaraan dalam pembikinan rumah
Konsep binaan Value Added Partition mengikut kemampuan



                              Lintasan Sejarah Imej-imej Perkembangan Rumah Tradisional Melayu

rumah Melayu 1890an
         
Kehidupan masyarakat Melayu 1890an
Pembinaan rumah secara gotong royong 1890an
contoh rumah Melayu Pulau Pinang 1910


rumah Melayu 1910
Komuniti Melayu tepi sungai 1910
Senario perkampungan persis TPG pada awal 1920an
Kampung Melayu 1920an
Kampung Melayu tepi laut 1920an
Perkampungan Nelayan Melayu 1920an
Kg. Nelayan pinggir laut 1924
Kg. Melayu 1920an
lagi pemandangan Kg. Melayu 1920an
Suasana Kg. Melayu 1930an
Peta topografi TPG 1933....perhatikan titik-titik hitam tanda rumah pinggir sungai
pemandangan kg. nelayan sekitar 1930an
lagi tentang perkampungan nelayan 1930an
Pemandangan sebuah pekan di Malaya tahun 1940an

pembinaan rumah secara gotong royong 1940an
Kehidupan dalam tahun 1950an
1950an
Kg. Melayu 1960an. Penggunaan zing menggantikan atap nipah
1960an. Transformasi binaan rumah dalam peringkat peralihan
Rumah Melayu Melaka tahun 1960an. Gabungan zing dan atap nipah
suasana rumah tepi sungai

1970an...Rekabentuk dan bahan binaan rumah Melayu lebih bermutu untuk jangka  panjang

Nilai estetika pada ukiran dan seni di ruang-ruang tertentu rumah Melayu
                          

1970an... Atap genting bagi golongan yang berstatus lebih tinggi
1980an....Penggunaan maksimum ruang bawah rumah

                          

Akhir 1980an ......Peralihan rumah separa batu

Penggunaan konkrit dan besi sepenuhnya dalam pembinaan rumah
     
      
1990an hingga kini....Pembinaan rumah setingkat yang lebih moden



5 ulasan:

  1. I really enjoyed reading your historical notes/writing. I am malaysian living in UK
    and would love to meetyou in TPG.
    Please contact me at hpossible1@gmail.com
    terima kaseh.
    Harris

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks for the compliments.. I tried to lighten up the heavy historical facts with real stories experienced or told by the local population

      Padam
  2. rumah yang sesuai dgn cuaca panas malaysia tetap rumah kampung papan rumah melayu

    BalasPadam
  3. Bila tgk gambar ni.INI gambar keluarga nenek saya.hampir semua dalam gambar ni sy kenal.zaman kanak2 tahun 70 an n 80 an.

    BalasPadam
  4. Bagaimana saya boleh hubungi Encik, untuk maklumat gambar...tq

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...