Sabtu, 20 November 2021

Sejarah Pasar Awam, Pasar Ria dan Pekan Sari di Banting

Assalamualaikum. Apa khabar orang Telok, Banting, Jugra dan Kuala Langat semua? Kabare Wak?Entri Atok kali ini ada kaitannya dengan  Orang Jawa dan pasar. Tentu ada dalam kalangan korang yang berkata apa cerita yang menarik pasal pasar ini? Kat semua tempat ada pasar. Pasar itu cerita biasa sahaja. Ikan, daging, sayur, buah-buahan. Tak ada yang specialnya tentang pasar kat Banting, kecualilah kat Banting ada Pasaran Saham, Import-Eksport macam kat Kuala Lumpur itu. Betul, Atok akur, pasar Banting sama sahaja dengan pasar-pasar kat pekan lain, TAPI cerita di sebaliknya yang menarik perhatian Atok. Kisah kehidupan hari-hari petani yang miskin, yang terus membina penghidupan diri dan keluarganya, hari demi hari. Perkembangan dan pembangunan Banting sebahagiannya adalah kerana keringat dan kegigihan suku kaum Jawa. Banting sebagai pusat pengumpulan hasil-hasil pertanian terus berkembang sehingga kini. Atok nak korang teruskan membaca penulisan Atok ini kerana ada cerita-cerita menarik di sebalik pasar awam, pekan sari dan pasar ria yang pernah berlaku di Banting suatu masa dahulu...Hehehe. Atok pecahkan entri kali ini kepada 6 bahagian, mengikut jenis-jenis pasarnya. Hebat sungguh datuk nenek korang, terutamanya mereka yang hidup selepas merdeka sehinggalah akhir tahun 1970-an.

Sejak kehadiran seorang kiyai bernama Haji Kiyai Abdul Kadir dari Muar, Johor yang menulis surat kepada pegawai hasil di Jugra memohon kebenaran untuk membuka hutan untuk petempatan dan perkebunan serta 82 orang  anak-anak buahnya membuka dan meneroka kebun di Kelanang pada tahun 1887, maka bermulalah kebanjiran suku kaum Jawa di daerah Kuala Langat ini. Orang Jawa ketika itu special dan dipuji kerajinan mereka oleh Orang Puteh. Bahkan mereka menggalakkan pembukaan lebih banyak kawasan pertanian dan perkampungan baharu masyarakat Jawa sehinggalah lepas Perang Dunia Kedua.

Kehidupan orang Jawa bagi Atok cukup sederhana tetapi kaya budi bahasa. Pengalaman bercampur kawan-kawan di Telok dan Banting ketika Atok bersekolah di Telok Datok dan ketika mengajar di Jugra dulu menyebabkan Atok berminat berkawan dengan orang Jawa. Atok tengok mereka ini jenis manusia yang sabar bahkan tidak mengeluh dengan keadaan hidup yang miskin. Tidak perlu rumah yang besar sehingga terpaksa berhutang keliling pinggang. Hanya wajib ada rumah Ibu sahaja. Rumah Ibu bermaksud rumah asal di mana semua aktiviti keluarga tertumpu di situ. Di situlah dapur, ruang makan, di situ juga tempat belajar, ruang tamu, ruang tidur (beramai-ramai). Yang lain boleh ditambah kemudian sekiranya perlu. Tak perlu ada kereta.  Ada basikal atau motosikal pun dah cukup.  Rokok daun atau lenteng  dan kretek paling popular. Benson, Dunhill tak ada dalam carta pun. Lauk pauk tak perlu banyak atas meja. Ada nasi, ikan kering atau ikan bilis goreng cili api, dan sayur bening,  sudah cukup melazatkan.Tak ada dalam peribahasa diorang, biar papa asal bergaya. Yang penting, terus hidup dan bersyukur dengan apa yang ada. Ramai juga dari kalangan orang Jawa ini yang hebat dalam bidang agama. Pak Kiyai dan anak-anak merekalah yang mendirikan surau-surau dan sekolah pengajian agama swasta sebagaimana yang terdapat di Kampung Mujahidin di Batu 9, Kebun Bharu dan di Sungai Lang, Kanchong Darat dan Sungai Kelambu.  Ustaz dan ustazah berketurunan Jawa penuh di sekolah-sekolah swasta mahupun kerajaan di Kuala Langat bahkan di seluruh Selangor.

Orang Jawa ini memang pakar dalam hal-hal pertanian. Orang Jawa dengan bertani macam ikan jumpa air. Kata orang, kalau  orang Jawa diberi biji benih, pasti  ditukarnya hutan menjadi kebun. Mereka menanam apa sahaja yang boleh dijadikan makanan dan jualan. Halia, cekur, bayam dari kebun di Kanchong Darat segar. Kerepek, pecal dan tempe sajian tradisi mereka. Kini, Kerepek dan pecal menjadi sumber pendapatan lumayan penduduk-penduduk kampung di sekitar Banting.

Pasar Awam Banting /  Banting Wet Market
Sememangnya, di setiap petempatan terdapat pasar harian untuk memenuhi keperluan dan permintaan seharian penduduk-penduduknya, sama ada besar atau kecil pasar itu bergantung kepada saiz kampung atau pekan. Semestinya di setiap pasar ada terjual ikan,sayur, daging dan juga barangan kering yang lain seperti rempah ratus dan ikan masin serta makanan ruji seperti pelbagai jenis beras dan peralatan keperluan harian di rumah. Kemudahan-kemudahan infrastruktur pasar juga ada berbagai. Di sesetengah tempat dan bandar, memang ada bangunan pasar yang tetap, dan dibahagi-bahagikan mengikut seksyen atau kategori. Ada bangunan untuk segala jenis ikan, terasing daripada bahagian sayu-sayuran dan buah-buahan. Bangunan terasing dan tertutup untuk jualan daging babi dan binatang lain yang diharamkan dalam Islam. Di Banting juga dibina pasar moden yang lengkap walaupun tidak sebesar pasar harian di Klang dan bandar-bandar lain.

Mengikut sejarahnya, pasar harian di Banting telah wujud sejak sebelum merdeka lagi.  Pasar ini bukanlah seperti mana yang kita lihat seperti kini. Pasar ini wujud dalam bentuk ruang, tanah lapang atau kawasan yang diizinkankan sebagai 'kawasan pasar' oleh pihak Inggeris. Lokasi pasar ini juga tidak dimaklumkan dan tidak dapat ditentukan kedudukan tepatnya, tetapi pasti berhampiran Jalan Besar di pekan Banting Ketika itu tiada sebarang binaan dibina di atasnya untuk kemudahan penjual mahupun pembeli. Besar kemungkinan kawasan itu berpokok sebagai teduhan. Para penjual membuka hamparan di atas tanah untuk meletakkan barang jualan mereka. Atas inisiatif masing-masing, ada juga penjual yang membina gerai kecil berpangkin untuk meletakkan barangan jualan mereka. Pasar harian ini kemungkinan beroperasi setiap hari pada sebelah pagi sahaja. Terdapat juga beberapa buah kedai yang membeli sayur-sayuran secara borong untuk dipasarkan ke bandar-bandar besar seperti Klang dan Kuala Lumpur menggunakan lori. 

Kemudian, sedikit demi sedikit Banting berkembang menjadi pekan besar, dengan pertambahan penduduk dari pelbagai pelusuk negara,ditambah pula keperluan penduduk yang semakin bertambah serta juga disebabkan ruang yang terhad dan kemungkinan pencemaran bau, maka pasar lama ini dirobohkan serta tapak baharunya yang strategik dikenal pasti di kawasan tanah lapang berhampiran Hentian Bas Banting. Memang lebih selesa kerana pengudaraan yang baik memandangkan tiada deretan bangunan di sekitarnya, malah dilengkapi kawasan letak kenderaan yang luas tetapi bangunan  pasarnya lebih bersifat sementara. Binaan pasarnya daripada besi-besi seperti  binaan kilang, walaupun lantai,gerai dan pangkin jualannya daripada konkrit dan jubin.

Setelah beberapa tahun beroperasi di situ, akhirnya Pasar Awam Banting dipindahkan ke tapak kekalnya seperti yang terdapat kini. Lokasi kini memang jauh daripada deretan kedai-kedai di Banting, paling sesuai untuk sebuah pasar yang bersaiz besar. Kemudahan lengkap seperti laluan untuk lori-lori memunggah barangan, terasing daripada laluan orang awam. Kemudahan parkir untuk pengunjung banyak. Tiada masalah kesesakan walupun ketika cuti perayaan. Masa operasi pasar ini bermula seawal 3.00 pagi sehingga lewat petang, walaupun waktu kemuncaknya pada sebelah pagi dari pukul 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi.

Mesyuarat Kaum Tamil di Lapangan Pasar lama pada tahun 1939
                             
Artikel tentang Penghantaran sayuran dari kebun di Sungai Sedu ke Pasar Banting Tahun 1940

 1.    Pasar Lama Pertama di Banting 

Pasar Basah /Wet Market moden yang pertama di  Banting mula dibina pada tahun 1961 dengan peruntukan awal sebanyak RM 20,000. Pembinaan pasar ini melalui 2 fasa. Pembukaan Pasar berharga Rm26,000 ini dirasmikan buat kali pertamanya oleh TPM ketika itu, Tun Abdul Razak pada tahun 1962. Fasa Kedua dibina mulai Jun 1962 dan dirasmikan buat kali keduanya  pada 10 Julai 1963 oleh Dato' Abu Bakar Baginda, MB Selangor ketika itu. Lokasi pasar awam Banting yang pertama ini terletak di Jalan Besar, Banting bersebelahan dengan Pondok Bit Polis berhampiran Pejabat Pos Lama Banting yang terbakar itu. Pasar ini terdiri daripada satu blok bangunan, terbahagi kepada ruang jualan sayuran dan buah-buahan,  ikan dan daging. Namun, penyertaan kaum Melayu di pasar itu terhad, mungkin kerana sewa bulanannya yang agak tinggi kepada penjaja Melayu. Mereka berjualan hasil-hasil sayur kampung mereka di kaki-kaki lima kedai berhampiran pasar tersebut.

Bertolakan rungutan penjaja Melayu ini, maka, dalam tahun 1969, kerajaan telah membina gerai-gerai kecil dengan kos RM700 untuk penjaja-penjaja Melayu kira-kira 30 ela dari pasar tersebut. 8 buah gerai itu dapat memuatkan kira-kira 16 orang penjaja dengan bayaran 20 sen setiap hari seorang. Kesemua mereka menjual hasil-hasil tani dan ternakan dari kampung-kampung di sekitar Banting. 

Bukanlah  emak abah Atok selalu  ke sini untuk beli lauk harian, cuma kalau keluarga Atok merancang untuk buat kenduri tahlil atau kesyukuran semestinya kami berbelanja di sini kerana lebih murah dan banyak pilihan. 

 Dua Lokasi Pasar Lama Banting

Tapak asal Pasar Awam Banting Lama yang dibina dalam tahun 1961 kini didirikan deretan rumah kedai


Seperti Rekabentuk Pasar Lama Banting tetapi lebih kecil

Rancangan pembinaan pasar awam mula timbul pada awal 1961

Tun Abdul Razak merasmikan Pasar Banting pada tahun 1962


Tender Pembinaan Pasar Awam Banting Fasa 2 tahun 1962


Pasar Awam Banting dirasmikan pada tahun 1963 dengan kos RM28,000

Perasmian Pasar Banting oleh MB Selangor pada Julai 1963


Pembinaan petak- petak niaga dan gerai kecil untuk peniaga Melayu
 dibina berhampiran Pasar Banting pada tahun 1969

Pengindahan Pekan Banting termasuk pembersihan Pasar Awam
pada tahun 1970

kes rompakan peniaga Pasar Banting tahun 1976
           

Harga ikan melambung ketika musim tengkujuh tahun 1976

2. Tapak Lama Kedua Pasar Awam Banting 

Kelihatan dari kejauhan Tapak lama Pasar Banting yang Kedua di sebelah Hentian Bas Banting



Tapak Pasar lama kini terbiar menjadi lapangan




3. Pasar Awam Terkini









Ruang jualan ikan dan sayuran bertentangan dalam pasar awam Banting















 B. Pekan Sari Banting

Mengikut catatan sejarahnya, Pekan Sari atau Pekan Sehari memang telah wujud sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu.  Biasanya orang Melayu akan menjual dan membeli hasil-hasil kampung mereka kepada pengunjung Pekan Sehari ini. Pekan Sehari bermaksud pasar atau tempat pertemuan mingguan yang diadakan sehari sahaja dalam seminggu. Biasanya orang-orang Melayu akan beristirehat daripada melakukan aktiviti ekonomi mereka pada hari Jumaat. Mereka menumpukan seharian pada hari Jumaat itu untuk aktiviti keagamaan, beribadat dan solat Jumaat. Mengambil kira wujudnya pasar peribumi seperti di Pulau Jawa dan komuniti Melayu seluruh Nusantara, maka ketika era penjajah Inggeris, aktiviti ekonomi ini dibuat pada hari Ahad ataau hari Minggu, di bawah kelolaan Jabatan Koperasi.

Pada tahun 1932, Pekan Sehari atau Malay Market ini telah diadakan serta mendapat sambutan penduduk sekitar Banting dan Kuala Langat. Dikatakan para penjual dan pengunjungnya datang dari seluruh pelosok daerah Kuala Langat sejauh Tanjong Sepat, Jugra , Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Dengkil. (kira-kira dalam lingkungan 16 batu atau 26 kilometer dari Banting.). Pekan Sehari ini beroperasi dari jam 6.30 pagi sehingga 10.00 pagi sahaja kerana diadakan di kawasan tanah lapang tidak berbumbung. Penjaja meletakkan barang dagangan mereka di atas tanah,hamparan kain atau kanvas sahaja. Tiada sebarang perlindungan buat mereka daripada kepanasan matahari atau kedinginan hujan. 

Ketika itu sistem perhubungan jalan raya sudah ada dan baik. Walaupun ada kenderaan bermotor seperti kereta sapu, kereta persendirian yang dijadikan kereta sewa atau teksi, kemungkinan besar para penjual dan pengunjung berbasikal atau bersampan sahaja ke pasar ini. Bagi pengunjung yang hendak ke pekan sehari yang dibuka setiap Ahad itu, mereka perlulah datang lebih awal iaitu selepas solat Subuh dan sekiranya terlewat, maka mereka akan terlepas untuk membeli barangan yang jarang ditemui di tempat lain. Lama kelamaan, perkataan Pekan Sehari berubah menjadi Pekan Sari dan selepas itu disebut sebagai Pasar Minggu oleh penduduk-penduduk sekitar Kuala Langat. Walaupun pasar ini berubah sebutannya, fungsi dan masanya tetap sama, iaitu pada sebelah pagi. Setelah beberapa dekad, fungsinya dipelbagaikan. Bukan sahaja penjualan hasil-hasil kampung, bahkan terdapat gerai sementara makanan dan minuman buat keselesaan penduduk. Pertunjukan atau demonstrasi oleh Penjual Ubat tradisional Melayu tetap menjadi tumpuan pengunjung. Mereka berkerumun mengelilingi penjual tersebut yang menunjukkan kehebatan ubat-ubatan jualannya. Walaupun tiada paksaan untuk membeli, ramai yang membelinya, di samping merasa terhibur dengan persembahannya.

Setelah merdeka, rumah-rumah kedai dibina berhampiran Pekan Sari ini. Kemudahan gelanggang sepak raga dan pentas didirikan di sini dan ketika Banting menerima silauan lampu elektrik seawal tahun 1959 dan dekad-dekad 60-an dan 70-an, fungsi pekan sari ini dipelbagaikan termasuk mengadakan program-program dan aktivitinya pada sebelah malam. Jadi, dalam dekad-dekad tersebut, Pekan Sari tetap berlangsung sebelah paginya, cuma aktiviti berkala atau bermusim seperti Pertandingan menyanyi, pertandingan Ratu Cantik dan Musabaqah  Membaca Alquran diadakan pada sebelah malam kerana lebih sesuai, lebih sejuk dan tidak panas. Biasanya aktiviti-aktiviti ini diadakan pada hari Sabtu malam Minggu.

Sesekali ada juga Atok ketika itu ke Banting untuk shopping dan tengok wayang di Panggung Capitol  (kini tapak  Plaza MDKLgt) walaupun Atok lebih banyak ke Klang. Kalau adapun Atok ke pekan sehari pada pagi hari Ahad untuk beli kuih dan tengok-tengok gelagat orang ramai terutama anak-anak dara. Ramai juga yang bertemu jodoh mereka dari bibit perkenalan di sini. Kini nostalgia Pekan Sari ini umpama hilang ditelan pembangunan pesat Banting. Tapak lamanya telah didirikan deretan rumah kedai dan taman perumahan bernama Taman Sari. Tapak baharu Pekan Sari ini dipindahkan bersebelahan Pasar Awam yang baharu. Tiada lagi Pertandingan menyanyi, Pertandingan Ratu Cantik, Persembahan Kugiran dan Musabaqah  Membaca Alquran. Pekan Sari tidak lagi kedengaran di bibir penduduk Banting. Yang ada hanyalah Pasar Minggu pada setiap pagi Ahad dan malam Isnin. 

Setakat inilah penulisan Atok. Kalau korang nak tahu dengan tepat bila  Pasar Awam dan Pekan Sari ini dipindahkan ke tapak barunya, korang galilah sendiri, ya dan kongsi dengan Atok kemudian. Atok pun nak tahu juga. Selamat Membaca . Wasalam.




Lokasi  Pekan Sari Lama Banting

Nama Taman Sari diambil daripada nama Pekan Sari di lokasi yang sama
                               


1. Pekan Sari Lama Banting


                             

 Bukti Kewujudan  Malay Market (Pekan Sari) Banting pada tahun 1932




Pekan Sari Banting dirasmikan pembukaannya pada 29 Januari 1962 oleh TPM Malaysia, Tun Abdul Razak

                                         

Aktiviti dan Program di Pekan Sari / Pasar Minggu Banting

i. Perniagaan


                

                
               Kemungkinan suasana serupa Pekan Sari di Banting suatu ketika dahulu ( Pekan Sari Temerloh)


   
ii. Program Sambutan HUT Kemerdekaan

   iii. Rapat Umum Politik


     iv. Bulan Bahasa Kebangsaan

Keratan Akhbar tahun 1965


v. Pertandingan Kebudayaan
                                                                               

Seni Muzik menjadi tarikan muda mudi untuk berkunjung ke Pekan Sari pada tahun 1963
                                            
Ratu Kebaya tahun 1963

    
Pekan Sari 1965

Jawatankuasa Pekan Sari Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 1965

Gadis Cina antara Pemenang Ratu Cantik 1965

Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 1966


Syarat Pertandingan Ratu Cantik yang lebih ketat pada tahun 1967

 
Pertandingan Ratu Cantik semakin digemari pada tahun 1968

                                 

Pelbagai persembahan kebudayaan termasuk kugiran di Pekan Sari pada tahun 1970

Pertandingan Ratu Cantik kemuncak Pekan Sari Banting pada bulan November1970

Melawat Kuala Langat tahun 1971

vi. Program Keagamaan
Majlis Maudilur Rasul tahun 1964

Musabaqah AlQuran tahun 1964


2. Pekan Sari/ Pasar Minggu Banting Terkini


Pekan Sari /Pasar Minggu Banting terletak di Jalan Sentosa bersebelahan Pasar Awam Banting



Ruang parkir yang luas untuk pengunjung dan kemudahan untuk para peniaga disediakan

Sayuran dan buahan segar komoditi utama di pasar ini

Hasil-hasil kampung dijual di sini pada harga yang sangat berpatutan


Para pengunjungnya terdiri daripada pelbagai kaum

Tembakau Cina dan rokok Jawa ada dijual di sini

Bangsal terbuka memberi teduhan dan keselesaan kepada peniaga dan para pembeli


 C. Pasar Ria Sekitar Banting








Panggung Wayang Lido Banting

Panggung Wayang Lido Lama kini dikenali sebagai My Cinema

Tapak lama Panggung Wayang Capitol Banting kini dibina gedung perniagaan



D. Pasar-pasar Lain di Kuala Langat

 
Keindahan Pantai Morib dan pelbagai kemudahan membeli belah menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke sana terutama pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan umum

Pasar Minggu lama di Bukit Changgang tahun 1964


Pasar Minggu Sijangkang dirasmikan pada 16 Jun 1965


E. Pasar Kemboja Kanchong Darat

Pasar Kemboja di Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis pakaian murah yang dijual secara borong dan runcit. Antara pakaian yang dijual di Pasar Kemboja ialah baju kurung, tudung, selendang, kain pasang, pakaian lelaki dan kanak-kanak serta lain-lain lagi. Disebabkan pengunjung dapat membeli pakaian dengan harga borong, ramai yang mendapat manafaat dengan berniaga kecil-kecilan secara online. Malah ramai yang sanggup datang dari jauh untuk membeli-belah di pasar kemboja ini. Pengunjung yang ingin ke pasar kemboja harus datang awal bagi mengelakkan kesesakan dan mendapatkan tempat meletak kereta yang agak terhad. Pasar Kemboja Banting ini terletak di Jalan Masjid, Kanchong Darat. Dibuka pada hari Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 11 pagi. 

Dimonopoli oleh peniaga Kemboja beragama Islam yang telah menetap di kampung itu sejak tahun 1980-an, ia dibuka tahun 1999 oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kanchong Darat. Bagi sebahagian besar orang Kemboja yang menetap di Kampung Kanchong Darat, mereka dahulunya adalah pelarian yang terpaksa meninggalkan negara akibat polisi perang Pol Pot dan keganasan Gerakan Komunis Kemboja yang juga dikenali sebagai Khmer Rouge pada tahun 1975 hingga 1979. Kini, dianggarkan terdapat 60,000 masyarakat Kemboja di negara ini. Biasanya mereka membina koloni sendiri. Di Kampung Kanchong Darat sahaja terdapat 700 penduduk Kemboja. Kini pasar tersebut itu mempunyai lebih 60 peniaga dan 80 peratus daripadanya adalah orang Kemboja. Menurut Ketua Masyarakat Kemboja di kampung itu, Idris Yusuf,  perniagaan pakaian adalah tradisi dari negaranya, maka tidak hairan orang Kemboja cenderung menjadikannya sebagai punca pendapatan mereka.
 
Pasar yang terkenal sebagai syurga pakaian itu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian produk malah harga yang ditawarkan sangat berpatutan. Pasar Kemboja terkenal kerana harga barangan yang ditawarkan. Satu lagi ialah fesyen. Di sini dikatakan bermula fesyen tudung yang ada sekarang, di mana anda nampak fesyen tudung terbaru, di sini dah ada yang menjual fesyen yang sama, dengan harga jauh lebih murah. Jika online dijual dalam RM70-80 sehelai, di sini anda boleh dapat separuh harga tersebut.

Sekarang, bukan setakat kain  yang dah dijual di sini, sudah ada peniaga yang mula menjual permaidani, bakul anyaman, makanan, alat solek dan macam-macam lagi. Suatu yang unik dan kekal, di sini anda takkan nampak peniaga Cina atau bangsa lain yang menjual. Tempat ini eksklusif untuk peniaga- peniaga beragama Islam. Itu sebab ada peniaga Pakistan jual seni khat dan permaidani. Terdapat lebih kurang 300 petak gerai dan setiap petak disewa pada harga RM3. Biasanya setiap peniaga akan menyewa tiga hingga lima petak atau lebih.



Pasar Kemboja seakan pesta hujung minggu buat penduduk di Banting


Bukan setakat tudung sahaja, aksesori tudung juga ada dijual di sini



Sosej Kemboja...identiti unik kaum ini ada dijual di pasar ini


F. Pasar Tani Bandar Banting Baru

Pasar Tani Bandar Banting Baru dibuka pada 21 Februari 2007. Mempunyai usahawan yang berniaga seramai 52 orang, terletak dikawasan yang baru membangun 5 km dari Banting dan 10 km dari Pantai Morib pusat pelancongan yang popular di daerah kuala Langat . Kawasan yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan kawasan yang berhampiran dengan institusi Pengajian seperti Kolej Matrikulasi Selangor, Politeknik, Sekolah Sains Selangor dan Kolej Komuniti. Berhampiran juga dengan Kem Pertahanan Udara (TUDM ). Dan Bukit Jugra yang popular dengan sukan Glider udara .


Bagi penduduk Kuala Langat khususnya di kawasan Banting Baru, lokasi ini sangat strategik dalam mewujudkan pasar tani kerana secara umumnya ia sangat membantu dalam meringankan beban penduduk yang mahu menjimatkan masa dan tenaga setelah penat seharian bekerja dan sebagainya. Khususnya bagi pelajar, masa yang mereka punyai amat terhad dan keterbatasan mereka untuk memasak sendiri juga membuatkan kewujudan pasar tani Banting Baru pada setiap Rabu bermula 4.00 petang sehingga 10.00 malam ini amat diperlukan.

Menu di sini amat unik, penuh tradisi dan pelbagai jenis. Bagi mereka yang sukakan rasa jawa asli,  cuba rasa pecal Sungai Lang. Kalau nak beli hasil tanaman segar, jom ke gerai sayur di sini. Komoditi di sini unik kerana banyak menjual hasil tanaman berasaskan sayuran kampung dan sukar dijumpai. Ada cekur, ada rebung, ada jering, petai, daun ubi, paku pakis, daun tenggek burung, pucuk manis, ulam-ulaman dan banyak lagi. 

9 SEBAB ANDA PERLU MEMBELI BELAH DI PASAR TANI INI
  • Penjual dan pembeli bertemu mesra dalam suasana karnival.
  • Anda berpeluang menikmati kepelbagaian barangan istimewa hasil pertanian.
  • Selamat, segar dan berkualiti
  • Anda dapat menikmati harga barangan yang berpatutan.
  • Ringgit anda dapat dijimatkan.
  • Tumpuan membeli barangan keluaran hasil pertanian.
  • Antara pengamal penjual yang jujur.
  • Nadi kepada kemakmuran dan aktiviti pertanian.
  • Impian nyata melalui kemampuan petani.

Rujukan:



















 











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...