Sabtu, 27 November 2021

Keperitan Kehidupan Estet di Kuala Langat Suatu Masa Dahulu

Salam daripada Atok buat semua pembaca tersayang blog Atok ini. Atok doakan dan aminkan semua perkara yang terbaik buat korang, dunia dan akhirat. Tak kiralah apa sahaja perkara yang korang minta. Rezeki, penghidupan, kehidupan, kejayaan, kesihatan, kekayaan, ilmu pengetahuan, peningkatan amalan dan penghapusan dosa, kesejahteraan, kebahagiaan, dan apa sahaja terlintas di hati dan fikiran korang. Amiin, amiin, amiin ya Rabbal 'Alamin. Buat diri korang serta Atok sekeluarga dunia akhirat. 

Entri Atok kali ini tentang keperitan hidup dan realiti kehidupan di estet suatu masa dahulu. Bersyukurlah  kerana kita tidak mengalami kepayahan hidup sebagaimana mereka yang terdahulu. Cubaan hidup mereka begitu hebat, sejak pertama kali mereka menjejakkan kaki ke tempat baharu yang begitu asing yang beribu batu jauhnya dari tanah kelahiran mereka,  hidup terasing daripada masyarakat sekeliling, kekal dalam kemiskinan sehinggalah ajal menyapa mereka di bumi bukan milik mereka ini. 

Hasrat membina penghidupan baharu yang lebih menjaminkan tidak kesampaian. Namun jauh di sudut hati, mereka lihat ada sinar untuk anak cucu mereka. Justeru, mereka tetap menunggu dan terus menunggu. Kini, generasi keempat dan kelima menikmati hasil pengorbanan datuk nenek moyang mereka. Mereka kini duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan sesiapa sahaja di dunia ini termasuk bangsa bekas majikan datuk nenek mereka yang pernah menghina dan memperdaya. Begini kisahnya......

Pekerja estet

Pasangan suami isteri

Kebanjiran tenaga kerja dari India ke Tanah Melayu bermula sejak tahun 1889. Namun, tidak semuanya daripada suku kaum Tamil pekerja ladang.  Ada juga yang bekerja dalam sektor kereta api . Yang lainnya memilih bekerja di pelabuhan-pelabuhan di Singapura dan Pulau Pinang. Suku kaum Telegu juga bekerja di estet-estet getah di Hilir Perak dan beberapa bahagian di Selangor. Malayalam pula ramai di Hilir Perak, Kuala Lumpur, sebahagian Negeri Sembilan dan Johor Bharu.

Suku kaum Gujerat, Sindh, Chettiar dan Muslim Selatan India memilih kawasan-kawasan perbandaran  di Kuala Lumpur, Penang, Ipoh dan Singapura untuk membuka perniagaan mereka. Sub-etnik Tamil dari Sri Lanka juga tinggal di bandar-bandar walaupun ada daripada mereka yang bekerja di luar bandar sebagai  kerani dan penyelia di ladang-ladang .

Jururawat dan pembantu hospital dari India dan Sri Lanka  telah lama berkhidmat di hospital-hospital di Tanah Melayu, terutamanya di Kuala Lumpur dan Klang sejak 1880 lagi.

Kelahiran dan Kematian di Selangor pada tahun 1920

Kelahiran dan Kematian di Selangor pada tahun 1923


Hasil Pendapatan dan Perbelanjaan Selangor pada tahun 1889-1923

1. Penipuan Propaganda Kerajaan British.

95% daripada pekerja Tamil ini bertumpu di ladang-ladang di Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan. Mereka dijanjikan pendapatan yang lumayan, kerja-kerja yang ringan dan tempoh masa yang pendek. Keperluan asas seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan dan barangan runcit akan disediakan oleh majikan mereka. Namun, keadaan begitu berbeza setelah mereka tiba dan menjejakkan kaki buat kali pertama ke Tanah Melayu. Keadaan di estet-estet ketika itu umpama khemah tahanan perang dengan buruh paksa. Kehidupan mereka di situ begitu daif kerana bayaran gaji yang rendah, makanan yang tidak pernah mencukupi dan tidak berkhasiat, di samping tempat tinggal yang mengecewakan. Mereka berasa tertipu kerana layanan yang diterima, pendapatan yang sedikit yang tidak setimpal dengan kerja-kerja buruh kasar di ladang-ladang, seolah-olah pengorbanan mereka membangunkan setiap ekar ladang dan setiap kilometer jalan kereta api dan jalan raya tidak dihargai langsung.

Estet-estet yang wujud di Kuala Langat dalam tahun 1924

Walaupun telah dimaklumi semua, ladang-ladang berskala besar ini dibuka bertujuan untuk mendapatkan keuntungan buat para pelabur kapitalis Barat, namun kemudahan-kemudahan asas yang disediakan di ladang-ladang tidak memuaskan dan memalukan, tidak selayaknya untuk manusia. Para pekerja ditempatkan di coolie lines, bangsal besar yang didiami semua pekerja, termasuk mereka yang sudah berkahwin. Keadaan mereka bersesak-sesak di dalamnya. Langsung tiada keselesaan dan ruang peribadi buat mereka setelah bekerja berjam-jam di ladang.  Walaupun mereka tidak berpelajaran serta buta huruf, tidak sepatutnya layanan sedemikian diberikan kepada mereka.  

Coolie Lines: Tempat tinggal pekerja

Contoh pelan bangunan Coolie Lines

Contoh Pelan Bangunan Dapur untuk Coolie Lines

Kuarters Kelamin Pekerja estet

Kuarters pekerja yang lebih baik di sesetengah estet




Banglo Pengurus Estet daripada kayu dan atap rumbia


Banglo Pengurus daripada batu dan atap rumbia

Walaupun harga getah di pasaran meningkat, namun gaji yang dibayar hanyalah kira-kira 35 sen sehari bagi pekerja lelaki dan 28 sen bagi pekerja wanita. Mereka dipaksa menerima keadaan seadanya kerana mereka telah menandatangani kontrak untuk tempoh yang panjang, tiada rawatan kesihatan dan perubatan, tiada pengagihan kerja yang baik. Pekerja-pekerja ini dipaksa membuat apa sahaja tugasan yang diberikan pada hari itu.  Makanan yang diterima juga tidak berbaloi dan  tidak seimbang. Kebajikan pekerja sering dipandang sepi oleh Pengurus ladang. Tiada skim  pencen atau persaraan buat para pekerja Tiada skim perlindungan untuk kemalangan di tempat bekerja, pampasan setelah tamat tempoh kontrak ataupun pemberian hak milik tanah selepas bersara. Kesemua perkara ini memberi tekanan mental dan kewangan kepada para pekerja dan keluarga mereka.  

2.  Kebosanan Hidup

Kedudukan ladang-ladang baharu ini yang juga merupakan bekas hutan menjadikan petempatan mereka jauh daripada ketamadunan. Perjanjian yang ditandatangani oleh mereka tidak membenarkan mereka keluar dari estet tempat tinggal mereka, apatah lagi menyeberang sempadan negeri. Tambahan pula  sistem komunikasi dan pengangkutan pada masa itu adalah sukar. Mereka umpama terpenjara di ladang mereka sendiri, tiada ke mana-mana. Orang luar juga tidak dibenarkan masuk ke estet-estet mereka. Mereka yang melarikan diri akan dihukum dan dipenjarakan oleh mahkamah British. Mereka seolah-olah dipaksa hidup terasing, hanya mengekalkan gaya hidup mereka sendiri, tanpa penyesuaian dengan suasana baharu di bumi yang asing ini. Polisi demi polisi pengurusan estet dan kerajaan British pada masa itu menyukarkan lagi kehidupan mereka yang sedia susah, tambahan pula mereka tidak dibenarkan bergaul dengan pekerja daripada kaum lain, atau daripada kasta dan jawatan yang lebih tinggi. Dasar British ini seolah-olah melahirkan sistem perhambaan yang baharu, walaupun pekerja-pekerja ini dibayar upah. Perasaan rindu terhadap kampung halaman dan rasa kesal kerana terpedaya dengan kata-kata manis agen Kangani di kampung mereka di India dahulu terus menghantui mereka.

3.  Masalah Kewangan Yang Serius

Kadang-kadang apabila para pekerja bergaji harian ini tidak mendapat gaji yang penuh, mungkin kerana sakit, hujan sehingga tidak dapat menoreh, berbelanja untuk pendidikan dan pakaian anak-anak dan sebagainya, mereka kesempitan wang. Jadi, terpaksalah mereka meminjam daripada golongan Ceti, kerani dan mungkin pengurus estet. Mereka ini akan mengenakan faedah sehingga 12% setahun ke atas pinjaman yang dibuat. Bahkan peniaga kedai todi juga akan mengenakan faedah ke atas todi yang diminum secara berhutang. Sebagai contoh, pelanggan yang minum secara berhutang sebanyak RM1 akan diminta membayar sebanyak RM 1.50 pada hari gaji nanti.



4.  Ketagihan Todi dan Samsu

Lama sebelum kedatangan pekerja-pekerja ini ke Tanah Melayu, mereka merupakan peminum todi dan samsu di India. Todi merupakan minuman keras beralkohol yang diperbuat daripada penapaian nira kelapa. Todi murah dan mudah didapati. Tambahan pula, tabiat meminum todi ini digalakkan oleh pihak British dan pengurusan estet sebagai suatu cara bagi pekerja mengatasi dan melupakan sebentar masalah peribadi dan keperitan hidup di estet mereka dan sebagai penguat tenaga untuk bekerja serta menghilangkan rasa panas dalam badan. Perniagaan todi ini sebenarnya menambahkan pendapatan buat kerajaan. Bahkan pihak Britishlah yang membuka dan memberi lesen untuk operasi penjualan todi dan samsu tanpa had di estet-estet. Kerajaan British membina  dan membekalkan minuman keras ini ke kedai-kedai todi. Ada juga kedai todi yang diusahakan sendiri oleh pengurusan estet masing-masing. Untuk itu, mereka perlu membayar 40% daripada keuntungan kedai tersebut kepada pihak kerajaan sebagai cukai. Hanya satu kedai todi dibenarkan dibuka di sesebuah estet. Hal ini berterusan walaupun ketika negara di bawah penjajahan tentera Jepun ketika perang Dunia Kedua  (1942-1945) dahulu.

Pemanjat pokok kelapa untuk mendapatkan todi

Minuman todi sebagai minuman popular di estet

Tetapi tabiat meminum minuman keras todi dan samsu ini kemudiannya menjadi bertambah buruk sehingga menimbulkan pelbagai masalah. Pekerja menjadi peminum todi yang tegar, menghabiskan banyak wang dan masa di kedai-kedai todi ini. Bahkan pihak penjual mengambil kesempatan ke atas pelanggan mereka dengan memberikan kredit dengan bayaran ketika hari gaji nanti menyebabkan minuman todi ini dijual tanpa had. Sudah pasti faedah dikenakan ke atas hutang ini. Akibatnya, pekerja membawa balik  baki wang gaji yang sedia rendah, yang semestinya tidak dapat menampung keperluan keluarga mereka. Mahu tak mahu, mereka terpaksa berhutang dengan sesiapapun termasuk ceti, pengurus dan sesama mereka dengan kadar faedah yang tinggi dikenakan. Hutang yang berterusan inilah punca dan sebab mereka terus bekerja di estet walaupun kontrak mereka telah tamat. Hal ini sudah pasti menguntungkan pengurusan estet. Bagi mereka, menguruskan orang mabuk lebih mudah daripada menangani pekerja yang melawan atau membantah arahan pengurus.

Tabiat meminum todi sehingga mabuk ini membawa kepada pelbagai penyakit sosial seperti pergaduhan suami isteri, penganiayaan fizikal terhadap isteri mereka, pengabaian rumah tangga, ponteng kerja, tidak mampu melakukan pekerjaan, mengambil cuti tanpa gaji, kecurangan isteri, dan sebagainya. Walaupun banyak keburukan akibat meminum todi dan samsu ini, namun pihak pengurusan estet dan kerajaan British enggan mengawalnya kerana terbukti perniagaan ini menguntungkan mereka sehinggalah satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Watson pada tahun 1917  mendapati ketagihan todi dan samsu ini mengakibatkan kemudaratan kesihatan kerana meminum todi yang sudah basi atau yang telah dicampur dengan bahan lain. Beliau mendapati 20% peminum arak ini mengalami pening yang serius, menggigil, muntah yang menyebabkan penyakit dysenteri dan cirit -birit yang teruk, yang jika tidak dirawati segera boleh menyebabkan kematian. Bahkan penjualan samsu haram telah menyebabkan ramai pekerja buta mata, lumpuh serta meninggal dunia. Tabiat meminum todi yang tegar dan melampau ini telah menyebabkan kemurungan, pergaduhan, malah sehingga mengakibatkan pembunuhan dan kes bunuh diri yang tinggi dalam kalangan pekerja estet.

Kes-kes kematian akibat Keracunan Todi  di Kuala Langat dalam tahun 1916 

5.  Perbezaan Kasta

Kehidupan sosial komuniti estet yang hidup berkelompok dan pergaulan dengan pelbagai kasta mempengaruhi corak pemikiran mereka. Walaupun mereka kini berada di tempat baharu, beribu batu jauhnya dari tempat asal tanah tumpah darah mereka, India, namun adam resam dan adat Hindu masih kuat pengaruhnya terhadap kehidupan seharian mereka, termasuklah sistem kasta. Hubungan cinta di luar kasta mereka adalah terlarang. Percintaan dan perkahwinan antara kasta mengundang pertengkaran dan pergaduhan, malah pembunuhan dan bunuh diri. Oleh itu, pihak pengurusan estet biasanya mengasingkan petempatan mengikut kasta dan jawatan di ladang mereka.

6.  Hubungan Cinta Terlarang/ Penzinaan

Pernah terjadi dalam awal tahun 1920-an, di mana ratio jantina antara imigran lelaki dan wanita tidak seimbang. Dikatakan kaum lelaki mengatasi wanita dengan kadar 3:1, iaitu 3 orang lelaki bagi setiap wanita. Hal ini telah menyebabkan banyak kes rogol, gangguan seksual serta penzinaan dalam kalangan pekerja termasuk dengan pihak pentadbiran estet. Hubungan intim dan curang pekerja wanita yang telah berkahwin dengan lelaki lain mungkin kerana masalah kewangan dan penganiayaan oleh suami yang mabuk. Skandal, Penzinaan serta Pelacuran wanita luar  dari estet-estet  lain dengan pengurus  dan staf pentadbiran yang dibawa masuk secara senyap-senyap dan hanya diketahui oleh beberapa kenalan rapat mereka.

7. Wabak Malaria

Sejak Inggeris mengambil alih pentadbiran negeri atas 'Dasar Penswastaan' yang dipersetujui baginda alSultan, maka diperkenalkan Dasar Pembangunan Pertanian bertujuan kononnya untuk membangunkan negeri, menambah hasil mahsul negeri melalui cukai tanah dan cukai eksport, di samping membekalkan sumber makanan untuk penduduk Selangor yang semakin bertambah dengan kemasukan imigran dari China dan India, maka ramailah penduduk memohon untuk membuka tanah hutan. Ramai imigran rumpun Melayu yang terdiri daripada etnik Jawa, Minang, Mendailing Rawa, Bugis, Banjar dari seluruh pelusuk Nusantara tiba dan membuka petempatan-petempatan baharu. Mereka juga memohon keizinan Sultan untuk bermastautin  di Selangor teruama di Klang dan Kuala Langat. Banyak kawasan baharu dibuka namun tiada pula kedengaran kes-kes penyakit atau wabak. Mungkin keluasan hutan yang dibuka sedikit sahaja. Namun semenjak Port Swettenham dibuka pada tahun 1890, dan pembukaan kawasan estet untuk penanaman kelapa, kopi dan getah berkeluasan ribuan ekar di sekitar pesisir pantai Selangor, tetiba sahaja berlaku epidemik Malaria. Wabak ini begitu teruk sekali di Klang,  Kuala Klang, Kuala Langat terutamanya sekitar Jugra. Pasti ramai tertanya-tanya, kenapa berlaku tiba-tiba?, kenapa pulak di hutan-hutan kawasan pesisir pantai?, Dari mana munculnya virus ini? Kalau Corona asal dari Wuhan, yang ini dari mana pulak? Kenapa mangsanya majoritinya daripada satu kaum, iaitu Tamil? 

Pertama, bentuk muka bumi atau fizikal kawasan pesisir pantai ini rendah, rata dan berpaya. Memang ini habitat semulajadi nyamuk tiruk yang menjadi pembawa virus malaria. Ketika hutan ditolak dan diterangkan, maka habitat asal nyamuk ini musnah. Setelah hutan diterangkan, nyamuk ini akan membiak dalam lopak-lopak air yang bertakung di bekas perdu atau pongka pokok yang telah ditebang itu. Tanpa sistem peparitan yang mengeringkan paya dan lopak ini, bilangan nyamuk meningkat dan apabila berlaku kontak dengan manusia di kawasan tersebut, maka virus itu dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk tersebut. Maka dengan keadaan kesihatan dan fizikal imigran Tamil yang lemah dan kurang bernutrien itu, menjadikan kes demam malaria bertukar epidemik.




8.  Kadar Kematian Ibu dan Anak Tinggi 

Kematian akibat penyakit merupakan suatu kerugian kepada negara. Kesihatan ibu dan anak jarang mendapat perhatian kerajaan . Pembinaan hospital-hospital kerajaan berterusan sehingga 1920. Antara hospital-hospital yang dibangunkan di Selangor ialah Hospital Besar di Kuala Lumpur, Hospital Melayu, Hospital Bangsar (untuk kaum Eropah), Hospital Penjara di Pudu, Pusat Rawatan Mental, Pusat Rawatan Kusta di Sungai Buluh, Hospital Untuk Penyakit Berjangkit, Hospital untuk golongan Fakir, Hospital Tai Wah, ditambah pula dengan 9 buah hospital daerah: Sg. Besi, Kajang, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Kuala Kubu, Serendah, Rawang, dan Port Swetttenham. Kerajaan juga mengadakan gedung ubat Persekutuan dan farmasi bergerak.
Walaupun banyak hospital dan klinik dibina, kadar kematian ibu dan anak tetap tinggi akibat ketidakupayaan kerajaan menjaga setiap  penduduknya di samping majoriti orang Melayu dan India memilih untuk melahirkan di rumah, walaupun risiko kematian tinggi akibat ketiadaan bidan yang terlatih. Terdapat banyak kes kematian yang tidak dilaporkan. Banyak sekali kes kematian hanya direkodkan sebagai demam sahaja dan keguguran prakelahiran pada tahun-tahun sebelum 1900.

 Perbandingan faktor utama kematian ibu mengandung di Selangor pada tahun 1914 dan 1918

Perbandingan Kematian Ibu Mengandung di Selangor Mengikut Kaum, Tahun 1936

Perbandingan Kadar Kematian Bayi di Selangor mengikut Kaum dan Daerah untuk tahun 1932 dan 1933

Perbandingan Jumlah Kelahiran berbanding  Jumlah Kematian ketika lahir di Selangor mengikut Daerah pada tahun 1933

Kadar Kematian Ibu ketika mengandung ada kaitannya dengan penjagaan ketika mengandung, nutrisi pemakanan dan juga pendedahan terhadap penyakit. Ibu mengandung yang kurang sihat akibat kekurangan zat terdedah kepada pelbagai penyakit. Hal ini kerana diet pemakanan mereka tidak seimbang dan tidak mencukupi untuk  ibu dan bayi. Menu pemakanan harian mereka hanyalah nasi, kicap, ikan masin dan beberapa jenis sayuran hijau, walaupun ikan segar mudah didapati dalam sungai dan parit. Daging dan ayam merupakan menu istimewa pada hari-hari kebesaran sahaja. Begitulah pemakanan ibu selepas bersalin.

Tambahan pula, bagi kaum Tamil, mereka terpaksa bekerja semula tidak lama selepas melahirkan kerana hak bercuti dan faedah bersalin selama 2 bulan dinafikan oleh pihak pengurusan estet, walaupun hal itu ada termaktub dalam Undang-undang Buruh. Si isteri terpaksa bekerja di ladang, meninggalkan anak kecilnya itu di rumah di bawah pengawasan anak lainnya yang mungkin berumur 9 tahun. Bayi yang tidak disusui badan  dan Ibu yang lemah mungkin terdedah kepada pelbagai penyakit seperti sakit perut, cirit-birit dan dysenteri yang boleh membunuh dengan cepat jika lambat dirawat.

Kurang pengetahuan tentang penjagaan bayi menyebabkan ibu-ibu muda ini alpa tentang kesihatan bayi mereka. Kekerapan memandikan anak kononnya kerana cuaca yang panas menyebabkan batuk dan demam selesema serta penyakit paru-paru.

9.  Kematian Berkaitan  Hidupan liar

Selepas tahun 1905, apabila sebahagian lagi Pulau Carey mula diteroka kerana keperluan pihak British industri getah pada masa itu. Pada masa itu, orang-orang India telah bertungkus-lumus membersihkan hutan-hutan untuk dijadikan kawasan penanaman getah. Ramai buruh India telah mati kerana serangan harimau dan patukan ular-ular.

Kematian ngeri akibat dibaham harimau ini pernah berlaku dalam tahun 1911, dua kes di Sepang manakala pada tahun 1915, dua orang  lagi pekerja estet menemui ajal mereka. Lebih mendukacitakan apabila pada tahun 1916 seramai sembilan lagi mangsa dibaham harimau direkodkan di daerah Kuala Langat. Ini belum lagi harimau-harimau yang memakan ternakan seperti lembu kambing penduduk kampung atau estet. Setelah lebih banyak hutan dibuka dan penembakan lebih banyak harimau, menyebabkan Raja Rimba ini terpaksa beralah membawa diri dan keluarganya lebih jauh daripada petempatan manusia. Hanya setelah itu, manusia rasa lebih selamat untuk menjalankan aktiviti ekonomi mereka walaupun ada ketikanya mereka mendengar ngaumannya tetapi bukan kelibatnya.

             




 

10.   Peningkatan kes Bunuh dan  Bunuh Diri

Keganasan rumah tangga, stress ketika bekerja, masalah kewangan, cemburu kerana cinta, ketagihan arak adalah antara masalah-masalah yang sering terjadi dan dihadapi oleh seseorang pekerja estet dan keluarga mereka. Kehidupan di ladang yang menekan mereka seperti gaji yang rendah, sistem kasta yang menyempitkan pergaulan, beban kerja yang bertimbun, ketiadaan kemudahan kesihatan, ketiadaan kemudahan asas serta eksploitasi ke atas golongan yang tidak berpelajaran ini oleh pihak pengurusan estet dan kerajaan memberi tekanan yang hebat terhadap mental dan fizikal mereka. Kecurangan isteri, percintaan yang terhalang, kekecewaan dan hidup, hutang hal biasa dalam kehidupan mereka. Jadi, tidak hairanlah mereka memilih untuk melakukan pembunuhan dan membunuh diri sebagai jalan keluar daripada permasalahan-permasalahan tersebut. Pembunuhan dan Bunuh Diri ini berlaku apabila si pelaku resah, gelisah, marah dan malu. Kerap kali kecelaruan emosi ini berakar umbi daripada perlakuan untuk menjaga maruah keluarga akibat masalah kewangan, perkahwinan, dan cinta. Lebih malang lagi, budaya masyarakat Hindu yang kurang menganggapnya sebagai sesuatu yang berdosa besar, sebagaimana Islam dan Kristian.

Antara kaedah pembunuhan yang kerap digunakan adalah dengan cara menikam dan memotong anggota badan mangsa menggunakan senjata tajam yang biasa terdapat di estet dan sekeliling mereka seperti cangkul, pisau, parang, kerambit, sabit dan sebagainya. Cara membunuh diri yang popular dalam kalangan orang India di estet adalah dengan menggantung diri, meminum racun rumpai atau racun serangga atau dengan terjun ke dalam sungai atau laut berhampiran. Malangnya, ketiadaan bantuan awal kecemasan serta kekurangan fasiliti perubatan serta kedudukan estet yang jauh daripada hospital antara punca mangsa tidak dapat diselamatkan.


11.   Keganasan di Estet

Ketidak-puasan hati dalam kalangan pekerja terhadap majikan estet begitu meluap-luap dan akhirnya meledak apabila berlakunya mogok ganas di beberapa estet sekitar Klang, Kuala Lumpur termasuk di Kuala Langat.  Dalam tahun 1941, beberapa orang pekerja ditembak mati oleh pihak keselamatan dan ramai lagi ditangkap dan dibicarakan. Mereka mengemukakan beberapa tuntutan. Antaranya:

• bayaran kadar upah yang sama antara pekerja Tamil dan Cina;

• pembuangan kakitangan estet bukan Tamil yang 'sombong dan kasar' dan digantikan dengan kakitangan berbahasa Tamil;

• peruntukan pendidikan untuk kanak-kanak serta peruntukan kemudahan kesihatan yang lebih baik;

• pemberhentian terhadap gangguan seksual terhadap  pekerja wanita oleh pengurusan berbangsa Eropah dan kakitangan yang lain & penutupan kedai- kedai todi;

• kebebasan bersuara dan berhimpun serta bergerak untuk bertemu saudara mara dan rakan-rakan;

• kebenaran untuk terus duduk berbasikal di depan pengurus Eropah dan kakitangan berbangsa Asia yang lain;

• pemansuhan waktu bekerja 10-12 jam sehari;

• tiada hukuman terhadap mereka yang menyatakan bantahan, dan

• kebenaran untuk membentuk kesatuan sekerja mereka.

Orang India juga tidak terlepas daripada kekejaman komunis di Selangor. Antara kejadian yang dilaporkan dalam Tamil Nesan, 19 Mac 1949, dalam tajuk "Pembunuhan di Selangor",adalah perkembangan pada 18 Mac, dimana 3 orang komunis menembak mati seorang penoreh getah India dari Estet Klang, di batu 31, Jalan besar Batu Laut-Banting, Kuala Langat, Selangor kerana dia tidak membantu komunis. Dua orang Cina bersenjata dan seorang India tidak bersenjata memanggil keluar penoreh getah India tersebut. Kedua-dua tangan mangsa diikat sebelum disembelih. Seterusnya, mereka menampal sebuah risalah komunis berbahasa Tamil di sebatang pokok kelapa berhampiran mayat. Pada hari yang sama, komunis membunuh 3 orang penoreh getah berbangsa India dari Estet Chi Liung, di belakang pekan Kanchong Laut, Selangor. Mereka dibunuh kerana enggan bekerjasama dengan komunis.

Rujukan::








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...