Khamis, 23 Februari 2023

SEJARAH RUMAH REHAT, HALTING BUNGALOW DAN SANATORIUM DI SELANGOR

Assalamualaikum semua. Salam buat anda semua. Sebenarnya itulah sepatutnya ucapan yang keluar daripada mulut seseorang muslim kepada saudara muslimnya yang lain, sama ada kenalannya atau tidak. Dan...adalah lebih afdal ditambahi dengan kata-kata Warahmatullahi wabarakatuh. Maksudnya, Semoga anda dicucuri rahmat dan keberkatanNya, bukannya kata-kata seperti Selamat Pagi, Selamat Sejahtera, atau Askum atau Akum seperti dalam mesej pesanan ringkas di media sosial seperti Whatsapp, FB dan sebagainya. Perkataan Salam  dalam bahasa Arab itu bermaksud Sejahtera dalam bahasa Melayu. Namun, perkataan Salam yang merupakan As-salam, salah satu daripada  99 nama Allah yang membawa maksud "Yang  Maha Sejahtera".

Assalamualaikum (bahasa Arab: ٱلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ al-salāmu 'alaykum; selamat sejahtera ke atas kamu semua) merupakan ucapan salam dalam bahasa Arab, dan digunakan oleh umat Islam. Ucapan ini adalah sunah Nabi Muhammad s.a.w., yang dapat medekatkan ukhuwah Islamiyyah umat Muslim yakni bermaksud Induvidu Yang beragama Islam di seluruh dunia. Memberi salam adalah sunat, sedangkan menjawabnya adalah wajib.

Ada beberapa Sabda Rasulullah, SAW yang menjelaskan pentingnya ucapan salam antara seluruh Muslim. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Kamu tidak dapat memasuki Syurga kecuali bila kamu beriman. Imanmu belumlah lengkap sehingga kamu berkasih-sayang satu sama lain. Maukah kuberitahukan kepadamu sesuatu yang jika kamu kerjakan, kamu akan menanamkan dan memperkuat kasih-sayang diantara kamu sekalian? Sebarkanlah ucapan salam satu sama lain, baik kepada yang kamu kenal mahupun yang belum kamu kenal.” (Muslim)

Aduuuh, panjang sungguh salam Atok buat korang! siap kena 'sekolah' dengan Atok pasal nak bagi salam jer pun. HAHAHA....Atok dah selalu katakan, "Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa". Maksud Atok tu, ucapkanlah sehingga menjadi sebahagian daripada dirimu ucapan memberi salam dengan cara yang betul dan tepat, serta perbetulkan kembali ucapan salam yang tidak tepat yang sudah tebal di lidah kita. Pendek kata,  kita beri salam,  kita dapat pahala dan kawan-kawan.

OKlah, kali ini Atok hendak sambung kembali cerita kita tentang sejarah awal negara kita, dari aspek rumah rehat, sanatorium dan rumah perhentian ini. So, entri kali ini Atok nak sembang pasal Selangor pula. Korang sudah baca cerita Atok pasal Perak? Aisey man, guano mu? Demo loni tak serupo mulo....Kih,kih,kih. Bacalah apabila korang ada masa. Atok tak paksa, cuma mendesak jer.

Cerita pasal rumah rehat kat Selangor ini Atok terpaksa buat dua mini siries, bahan terlalu banyak. Kalau tulis sekali gus, muak, pening dan nanti korang pasti muntah, pasal terlampau banyak maklumat korang nak hadam. Bukankah Atok dah kata, blog Atok ini blog santai-santai? Baca hanya untuk maklumat tambahan, bukan baca untuk masuk dewan peperiksaan. Kali ini Atok hanya cerita sepintas lalu, selayang pandang, atau secara umum sahaja tentang rumah rehat di Selangor. Insha Allah, seterunnya nanti, Atok nak bawa korang merasai pengalaman masa lampau mereka yang pernah berkunjung ke tempat-tempat menarik di Selangor ini, suatu masa dahulu. Seperi biasa, semua gambar dan grafik dalam entri ini bukan Atok yang punya. Atok ucapkan jutaan terima kasih kepada penyumbang gambar-gambar tersebut. Banyak pahala korang. Cuma, Atok nak minta tuan empunya gambar ini halalkanlah kerana Atok celok tak maklumkan terlebih dahulu kat tuannya. Beginilah mulanya, mengikut yang empunya cerita......

PENGENALAN

Sejak dahulu lagi, ketika era Syarikat Hindia Timur Inggeris, penjajah British biasanya tidak membenarkan pekerjanya pulang bercuti. Pekerja di bawah pentadbiran Crown Colony  hanya dapat pulang ke England untuk bercuti selepas lapan tahun perkhidmatan mereka. dan inilah sebab utama populariti resort tempatan. Tambahan pula, dasar kerajaan kolonial mengenai cuti, dan jarak ke Britain, bermakna berehat sebentar di stesen bukit akan memulihkan kesejahteraan mereka dengan iklimnya yang sejuk.

Bermula pada abad kesembilan belas, kakitangan Perkhidmatan Awam berhak mendapat pelbagai jenis cuti , daripada cuti keistimewaan, cuti khas, cuti sakit dan cuti tahunan. Perjalanan kapal wap yang pantas telah mempopularkan percutian ke tempat menarik dan sejuk nyaman di seluruh Malaya dapat dilakukan. Pentadbir British membangunkan resort bukit dalam gaya banglo Tudor dan "kotej" batu yang mengingatkan mereka kepada perkampungan di Scotland. Ia menjadi percutian popular bagi pegawai kerajaan dan orang lain untuk melarikan diri dari panas dan kelembapan tanah rendah.

Rumah rehat adalah kediaman milik kerajaan kolonial yang diselenggara di setiap bandar untuk penginapan kakitangan kerajaan yang sedang melancong di Tanah Melayu dan tanah jajahan Borneo. Bangunan binaan bata ini lebih kecil daripada hotel dan makanan disediakan oleh tukang masak rumah rehat. Di bandar yang lebih kecil, sentiasa kedapatan Rumah Rehat. Ia pada asalnya dibina untuk pegawai British dalam lawatan di negara ini dan kini disewakan kepada pengusaha hotel Malaysia. Biasanya di lokasi terbaik, dengan pemandangan bukit dan sungai mereka mempunyai ruang duduk, perabot rotan, beranda dan restoran yang bagus. Harga berbeza-beza, tetapi ia boleh menjadi lebih murah daripada hotel standard dan lebih menyenangkan.

Sistem jalan raya Malaya yang baik dan pelbagai kemudahannya diberikan menunjukkan bahawa walaupun di rumah rehat yang paling kecil tetap menyediakan makanan dan katil dengan segera. Rumah rehat dan banglo berhenti (Halting Bungalow), dijarakkan pada selang masa yang singkat untuk perjalanan kuda, terselamat di FMS. 

Stesen bukit, kelab, hotel dan restoran menjadi simbol penjajahan dalam kehidupan tidak rasmi dan awam mereka. Pengertian jarak sosial dalam konteks kolonial bermula di rumah telah diperluaskan kepada institusi empayar lain. Ini adalah lanjutan dari rumah penjajah, kerana penjajah merasakan bahawa walaupun dalam aktiviti masa lapang terdapat keperluan untuk memelihara maruah dan prestij kelas pemerintah. Naungan British dan keanggotaan institusi-institusi ini menentukan sempadan, membezakan penjajah daripada yang dijajah.

Keramahan terkenal yang dipamerkan antara satu sama lain dalam perjalanan mereka memberi akses ke rumah empayar putih kepada pengembara British di mana sahaja dia mungkin berada di tanah jajahan. Selalunya, layanan ini diperluaskan kepada orang Eropah lain dan mengukuhkan perpaduan kolonial kulit putih. Dengan mencipta kod tingkah laku dan meniru amalan makanan dari rumah penjajah, British berjaya menubuhkan institusi kolonialisme. 

Stesen bukit, kelab dan rumah rehat menjadi pusat riadah dan pemulihan eksklusif untuk penjajah British di Tanah Melayu dan Singapura. Kelab penjajah yang sebenarnya institusi adalah lanjutan daripada rumah empayar dan merupakan tempat di mana orang Eropah menghabiskan masa lapang mereka. Kedua-dua kelab dan rumah rehat juga boleh terletak di stesen bukit. Ketiga-tiga institusi ini, dengan adat dan kod kelakuan mereka  diperkukuh dan ditiru seperti di Eropah.  

"I experienced then that strange feeling, so strong up in all Malayan hill stations, of being, temporarily, utterly aloof from the ordinary life below, in an unreal world, not of the tropics nor of anywhere else. It was as cool as an English summer, the flowers were English and one had almost an English energy. It was a curious feeling as if one were caught between two worlds, snatched up out of the tropics into a kind of No-Man's land.”

Kehidupan kolonial di stesen bukit, dengan cara mereka pengasingan dan persekitaran yang dibina menyerupai kawasan luar bandar Inggeris yang indah, masih bergantung sepenuhnya kepada pembantu mereka dalam kalangan penduduk tempatan. Rumah di stesen bukit, kelab dan rumah rehat bergantung sepenuhnya kepada pembantu domestik untuk menyediakan makanan dan keselesaan mereka. 

Sungguh ironis bahawa kaum penjajah ini mengasingkan diri mereka di stesen bukit, dalam percubaan untuk 'melarikan diri' daripada rakyat tempatan. Sememangnya, British pada hakikatnya bergantung kepada perkhidmatan mereka untuk kewujudan sehari-hari mereka. Perkhidmatan yang disediakan oleh penduduk tempatan terdiri daripada sokongan pentadbiran hinggalah kepada penyelenggaraan rumah dan infrastruktur. 

Minat terhadap Stesen Bukit di Malaya semakin meningkat. Selangor pada zaman itu sudah mempunyai stesen bukitnya sendiri, Bukit Kutu, di mana tiga buah banglo terletak 2,000 kaki di atas lautan hutan yang menjadi hutan simpan. Tempat peranginan ini dicapai melalui laluan hutan dari Kuala Kubu lama. 

Seterusnya, di atas rabung di Klang Gates adalah tinggalan banglo percutian kerajaan yang pernah menempatkan pelancong dari Kuala Lumpur pada zaman awal kehadiran British di Selangor. Legenda mengatakan bahawa ini adalah tempat persembunyian kegemaran seorang Pegawai kerajaan senior dan 'kekasihnya' dalam masyarakat tempatan. Akhir sekali, ketinggian dan kesejukan Genting Sempah, salah satu daripada dua anugerah buat Selangor di atas banjaran utama. Rumah rehat kayu kecil masih dijaga di sana, walaupun tidak lagi diperlukan dalam zaman permotoran.

RUMAH REHAT, HALTING BUNGALOW DAN SANATORIUM DI SELANGOR

Dalam tahun 1895 dan seterusnya, kerajaan negeri Selangor telah menyediakan rumah rehat  di Kuala Lumpur, Sungei Besi, Klang, Kajang, Dusun Tua, Rawang, Serendah, Kuala Kubu, Kuala Selangor serta kemudahan Pegawai Kerajaan dalam perjalanan bertugas, dan untuk  pelancong bon fide.

Sebuah Rumah Perhentian (Halting Bungalow) di Selangor dalam tahun 1924

Rumah perhentian (halting bungalow) dibina setiap 15 atau 20 batu (24km atau 32km) sepanjang jalan utama di luar bandar, kira-kira sehari perjalanan. Rumah-rumah ini dibina dan dikekalkan oleh kerajaan kolonial, biasanya di bawah arahan P.W.D (Jabatan Kerja Raya) tempatan. Banglo ini terdiri daripada penginapan asas, biasanya sebuah bangunan satu tingkat, katil dan meja serta bilik mandi dan pelayan menyediakan makanan pada harga yang sederhana. Dapur terletak tidak jauh dari situ. Sementara penginapan dan katering makanan semestinya asas, standardnya berubah-ubah, bergantung kepada orang yang bertanggungjawab menjaganya.

34 buah halting bungalows (dilengkapi sebahagian sahaja), setiap satunya di bawah jagaan seorang caretaker. Banglo inap di Pulau Angsa, Telok Panglima Garang, Pangkalan Kundang (Batu 30 Jalan Rawang-Kuala Selangor), Ginting Bidai, Jeram, Kuala Selangor,, Panchang Pedina, Kapar, Klang, Batang Berjuntai (dalam Balai Polis) , Trek Pahang (batu ke-53), Kalumpang, Genting Sumangko, Batu Tiga, Sabak Bernam, Morib, Trek Pahang (batu ke-15), Labu, Sungai Buloh, Jalan Puchong, Batu, Beranang, Sepang, Sangka Dua, Jalan Kuchai, Jalan Pahang (Batu ke-10), Kepala Gua, Bentong, Sungai Besi, Batu Laut, Semenyih, Kuala Kerling, Jalan Bernam (Batu ke-15), Sekinchan, dan Sungai Besar. 

Lakaran sebuah Halting  Bungalow dalam tahun 1924

Pada permulaan abad kedua puluh terdapat hotel-hotel moden di Kuala Lumpur dan pekan-pekan utama serta setiap pekan yang besar mempunyai rumah rehat yang lengkap dengan makanan yang disediakan oleh kerajaan kolonial. Rumah-rumah rehat ini berbeza saiznya, daripada banglo kecil enam bilik kepada rumah yang mengagumkan  yang sama tarafnya dengan mana-mana hotel kelas pertama. Dalam tahun 1907, Selangor masih mempunyai 9 buah rumah rehat serta 2 buah sanatorium iaitu di Bukit Kutu dan Dusun Tua.

Rangkaian kemudahan penginapan dan peranginan kerajaan Selangor untuk penjawat awamnya dalam tahun 1907

Dalam tahun 1918 pula, terdapat 10 buah rumah rehat, 5 buah sanatorium serta 9 buah halting bungalow yang tinggal. Ini bererti sebuah lagi rumah rehat, tambahan 3 buah sanatorium telah dibina tetapi hanya 9 buah daripada 34 halting bungalow sahaja yang masih dibuka. Yang lainnya telah ditutup kerana tiada keperluan lagi untuknya memandangkan perkembangan perkhidmatan pengangkutan darat seperti bas awam serta kereta api mengambil alih kereta kuda, kereta lembu dan keldai.

Rangkaian kemudahan penginapan dan peranginan kerajaan Selangor untuk penjawat awamnya dalam tahun 1918

Pegawai-pegawai kerajaan boleh menduduki Banglo Inap atau Halting Bungalow di Dusun Tua, di Genting Bidai dan di Jeram selama satu minggu secara percuma selepas permohonan mereka diluluskan oleh Jurutera Negeri atau Daerah di mana tempat itu berada.

Sanatorium di Treacher's Hill (Bukit Kutu) di Selangor telah dibina dan dibuka pada awal tahun 1896. Selangor kini mempunyai sanatoriumnya sendiri namun hampir tidak ada sesiapa yang tahu mengenainya dengan hanya kira-kira dua dozen pengunjung. 

Pada tahun 1900, pihak Sanatorium Dusun Tua, di Ulu Langat telah dibina dan siap untuk diduduki. Kini, Selangor sudah mempunyai dua buah sanatorium awam. Dalam tahun 1904, kerajaan telah meluluskan permohonan sekolah Mubaligh Kristian, Convent untuk mendapatkan tanah di Kajang bagi pembinaan sebuah sanatorium untuk mereka. Pembinaan sanatorium tersebut telah disiapkan pada tahun berikut. Pada tahun 1930, Leprosarium Sungai Buloh terdiri daripada pusat rawatan kusta serba lengkap dengan keadaan hidup yang lebih berperikemanusiaan untuk pesakit dibina. Dalam tahun 1958, sanatorium baru untuk penghidap Batuk Kering (T.B) dibina di Morib.

Sebilangan  Rumah rehat dan banglo perhentian yang lama, dijarakkan pada selang masa yang singkat untuk perjalanan terselamat buat kuda di FMS. Terdapat hotel moden yang sangat baik di Kuala Lumpur dan Ipoh yang diselenggara oleh Jabatan kereta api dan di setiap bandar yang besar ada rumah rehat yang diuruskan oleh Kerajaan, berkelengkapan lengkap dan dengan makanan disediakan. Ia mengandungi semua yang diperlukan untuk kemudahan pengembara.

Satu-satunya kesukaran yang mungkin dihadapi di dalamnya ialah penjaga rumah rehat tidak selalunya pandai berbahasa Inggeris. Orang yang biasa mengembara akan meringankan kesukaran ini  kerana, seperti yang diketahui oleh kebanyakan mereka, pengembara biasanya bertanyakan banyak soalan yang sama di seluruh dunia. Penjaga penginapan, apa sahaja warna kulit dan bahasa ibundanya, akan bersedia untuk menjawabnya, atau jika dia tidak dapat menjawabnya dalam perkataan, dia akan memberikan bentuk balasan yang lebih praktikal itu. Dia akan melakukan apa yang dia rasa pengembara mungkin mahu lakukan. Rumah rehat yang lengkap dalam semua aspek  menyediakan, atau boleh mendapatkan, semua yang diperlukan.


Berkereta melancong ke seluruh negara dalam tahun 1937

Puncak Bukit Kutu

Puing runtuhan Sanatorium Bukit Kutu


Jeti Pulau Angsa


Rumah Rehat Persekutuan di Morib


Terma dan Syarat Penginapan

Syarat Penggunaan Rumah Rehat di Selangor dalam tahun 1889


Syarat Penggunaan Rumah Rehat di Selangor dalam tahun 1895


Syarat Penggunaan Sanatorium Dusun Tua di Selangor dalam tahun 1903











Bayaran dan Caj Perkhidmatan

Senarai perkhidmatan dan caj dalam tahun 1902

Bayaran bagi setiap perkhidmatan serta senarai makanan dan minuman

Dalam tahun 1904, kerajaan FMS mewartakan bayaran dan caj bagi perkhidmatan mereka di Rumah Perhentian atau Halting Bungalow. Caj adalah untuk bilik 50 sen untuk sehari, Untuk sehari selama 24 jam 75 sen. Makanan, jika ada di tempat-tempat ini, dikenakan bayaran seperti berikut :— Sarapan pagi 50 sen. Tiffin (Makan Tengah hari) 75 sen dan Makan Malam 75 sen.

Dalam tahun 1932, kerajaan FMS mewartakan senarai rumah rehat, rumah perhentian serta sanotorium mereka di Selangor serta caj perkhidmatan dan bayaran minuman dan makanan seperti di bawah:.


Terma dan Syarat Penginapan serta Caj Bayaran Makanan dan Minuman di semua Rumah Rehat, Sanatorium dan Halting Bungalows di seluruh Selangor dalam tahun 1932



Rungutan

Rumah rehat moden di Selangor agak sama tarafnya dengan rumah penginapan moden yang baik di kebanyakan negara. Hal ini  kerana penambahbaikan yang dilakukan sejak beberapa tahun sebelum tahun 1937. Dahulu, rumah rehat mungkin agak bagus jika 'Ketua Budak' atau penjaganya itu terlatih dan mempunyai kakitangan yang cekap. Bagaimanapun,sepuluh tahun yang lalu,  pengembara sudah cukup berpuas hati jika dia mendapat makanan dan katil. Dia tidak risau walaupun tiada lampu minyak, serta. dia juga tidak kisah pasal bilik airnya. Dia bersyukur kerana menemui rumah rehat di tempat yang sesuai untuk berehat seketika daripada perjalanannya, dan bersyukur kerana keadaan tidak menjadi lebih buruk.

Sejak 1898 lagi kecacatan tertentu yang berkaitan dengan pengurusan Rumah Rehat di Selangor telah dilaporkan. Sudah tiba masanya untuk memperbaikinya demi kepentingan orang ramai yang mengembara. Rumah Rehat, biasanya  diuruskan oleh Kerajaan atau disewakan dari tahun ke tahun: 
  • Dalam mana-mana kes, banglo itu dilengkapi dengan kos awam sekali gus melegakan pemajak daripada keperluan untuk menyediakan perabot dengan kos mereka sendiri. Namun, tilam, langsir dan bantal jarang atau tidak pernah dikeringkan untuk menjauhkan serangga. Katering juga begitu acuh tak acuh. Makanannya tidak  berbaloi dengan nilai wang yang dibayar,
  • Kerajaan harus mempertimbangkan keperluan untuk menggantikan struktur kuno rumah rehat sekarang dengan bangunan yang lebih baik yang menyediakan katil dan bilik mandi yang lebih baik. 
  • Terdapat tarif bercetak perihal makanan dan minuman digantung di setiap bilik seperti yang dibenarkan oleh Kerajaan, tetapi tidak semua bir dengan wain yang berkaitan ada. Malah, semua rumah rehat meletakkan harga mereka sendiri ke atas minuman keras. Di Rumah Rehat Klang dan Kuala Kubu, terutamanya sekurang-kurangnya dua puluh peratus. di atas harga pasaran. 
  • Perkara ini lantang diadu ramai dan menuntut perhatian awal pihak berkuasa. Setiap rumah rehat sepatutnya mempunyai apa yang dipanggil "Buku Aduan," tetapi ini adalah buku yang paling kurang 'dilihat oleh pelawat dan tidak pernah dpamerkan secara sukarela. Di Klang juga buku pelawat tidak diletakkan dalam jangkauan mereka.
  • Satu lagi kesusahan yang dirungut adalah oleh kakitangan Kerajaan kerana mereka terpaksa, semasa dalam perjalanan bertugas atau bercuti, membayar satu dolar untuk menduduki bilik tidur semalam di rumah rehat di bawah pengurusan pemajak. Sepatutnya mereka terkecuali dibuat dalam apa jua keadaan. Jika kakitangan Kerajaan diberikan tempat tinggal percuma di stesen mereka, wajarlah mereka mendapat perlindungan di tempat lain, semasa mereka melakukan perjalanan bertugas atau sebaliknya.
  • Pengurusan rumah rehat. Mereka (pengguna) mempersoalkan takrifan Rumah Rehat yang betul dan peraturannya yang mengenepikan  orang yang sangat memerlukan Rumah Rehat, iaitu orang-orang yang mahu tinggal lebih lama di dalamnya dan di bandar itu selama, mungkin tiga atau empat minggu. Kenapa perlu dihadkan tempoh masanya? Kenapa perlu dia menginap di hotel-hotel yang lebih mahal? Adakah dia perlu menumpang di rumah kawan-kawannya selama dia menjalankan perniagaannya di bandar itu?  Kenapa bilik dibiarkan kosong di Rumah Rehat untuk menunggu kemungkinan kedatangan tetamu yang datang untuk satu atau dua malam sahaja sedangkan seseorang sangat lebih memerlukan mereka daripada tetamu satu atau dua malamnya? Peraturan ini adalah bodoh dan harus diubah.
  • Namun, ada pula yang mempersoalkan sebaliknya. Mengapa bilik-bilik di rumah rehat ini perlu ditempah awal, sehinggakan tiada peluang untuk orang ramai yang secara spontan memerlukannya untuk singgah cuma semalaman? Mereka juga mengatakan peraturan usang ini menyusahkan orang ramai.
  • Seperti biasa Kelab Eropah di  merata tempat di Selangor mempunyai tapak yang sangat baik, dan padang yang menawan tetapi rumah rehatnya rosak di pelbagai tempat dan tidak terlalu bersih. Ada juga pengguna yang memberikan kritikan pedas mereka tentang tahap kebersihan rumah rehat di mana mereka bermalam. Walaupun rumah rehat itu kelihatan cantik di luar, namun realiti sebenarnya menjijikkan. Tikus dan kutu adalah lebih teruk daripada gangguan. Pada waktu malam tidur menjadi mustahil apabila  kutu bermain, melompat dan bersembunyi di dalam bilik. Pada siang hari pula, tikus masih ‘bersiar-siar’ di tempat itu. Tandas adalah apa yang dikenali sebagai ‘kotak petir’ dan ‘kandungannya‘ dijual kepada tukang kebun  Cina. Lantai di dalam bilik air hanyalah simen kosong dan menakung air serta ada serangga bersembunyi di sudut-sudut.. Pengguna terpaksa berhati-hati dengan ular yang juga menyukai Rumah Rehat kerana haiwan ‘permainan’ anak-anak tukang masak.
  • Telah terbukti pengurusan rumah rehat ini eksklusif untuk kaum Eropah sahaja. Peraturan rumah rehat secara terang-terangan memaklumkan bahawa pembantu ‘Asiatic ‘ seperti pengasuh, orang gaji, dan pemandu tidak dibenarkan menggunakan mana-mana bilik, perabot atau peralatan tempat tidur. Apatah lagi kepada mereka yang berbangsa Asia untuk bermalam di sana, walaupun mereka juga kakitangan kerajaan serta berkelayakan menduduki berdasarkan gaji mereka. Sikap perkauman ini terus dipraktikkan  sehinggalah zaman kemelesetan ekonomi sedunia dalam  tahun-tahun 1929-1932. Rumah rehat dan sanatorium bertujuan untuk menjadi pusat peranginan kesihatan Eropah secara eksklusif. Sudah pasti ramai penduduk Asia menjangkakan mereka akan tidak diterima jika mereka pergi ke rumah rehat kerajaan untuk hujung minggu. Ternyata, walaupun mereka tidak ditolak, tetapi status keistimewaan masyarakat kulit putih dalam zaman penjajah Eropah sentiasa dititikberatkan di Selangor, walaupun mereka lebih bertimbang rasa dan sensitif berbanding di Negeri-Negeri Selat.
  • Sebuah Rumah Rehat di Klang yang dahulunya dikenali sebagai bekas  “Rumah Che Klang’ dikatakan berhantu. Beberapa kes bunuh diri dikatakan telah berlaku dalam bangunan tersebut. Kejadian-kejadian aneh seperti paip di bilik air bersebelahan bilik mereka  akan terbuka dengan sendirinya sehinggalah keesokan paginya. Mereka juga merasakan seolah-olah pipi mereka ditampar ketika tidur.
  • Terdapat juga rumah rehat yang dijadikan sebagai ‘kuarters sementara’ buat keluarga kakitangan yang baharu ditukarkan ke Selangor; kadang-kadang melebihi 4 bulan menyebabkan mereka berasa tertekan kerana saiz bilik yang kecil tanpa privasi, serta terpaksa bergaul dengan orang yang tidak dikenali. Hal ini kerana kerajaan negeri kekurangan kuarters untuk disediakan bagi pegawai-pegawai atasan dan peringkat sederhana. Rumah rehat terus memberikan kemudahan kepada pengembara berbangsa Eropah sehinggalah meletusnya Perang Dunia Kedua (1942-1945) dengan kemaraan tentera Jepun di Malaya.

    RUMUSAN

    Setelah Perang Dunia Kedua tamat, kerajaan Inggeris mula membaiki kembali rumah-rumah rehat yang lama atau yang sudah uzur. Ada juga pembinaan rumah rehat baharu, lebih moden dan selesa di beberapa tempat atau bandar-bandar yang semakin berkembang maju. Rumah Rehat tidak lagi eksklusif untuk kakitangan kerajaan walaupun keutamaan menginap masih diberikan kepada mereka. Pertambahan pelancong ke tempat-tempat tertentu di Selangor bererti penambahan bilik-bilik penginapan yang baharu. Restoran di rumah rehat juga membaiki mutu penyediaan makanan dan minuman mereka. Pelbagai menu baharu untuk pilihan pengunjung disediakan. Hanya setelah Malaya merdeka dalam tahun 1957, baharulah kerajaan negeri mengambil alih sepenuhnya pengurusan rumah-rumah rehat ini dan menu yang tidak halal seperti babi dan bacon tidak lagi dihidangkan.
      Kemelesetan ekonomi sedunia sekitar tahun-tahun 1929 sehingga 1934 mengakibatkan beberapa rumah rehat ditutup atau diturunkan taraf hanya kepada halting bungalow.kerana kemerosotan hasil pendapatan. Begitu juga beberapa sanatorium seperti sonotaria Pulau Angsa, Genting Bidai, Morib ditutup.

      Perang Dunia Kedua menjadi salah satu faktor penutupan malah pengeboman beberapa  buah rumah rehat dan sanatorium. Sanatorium Bukit Kutu misalnya telah dijadikan sebagai pusat pemantauan ketenteraan British sebelum perang telah dibom hebat dan akhirnya termusnah oleh tentera Jepun di Malaya. 

      Situasi selepas perang di Malaya agak menyukarkan kedudukan kewangan kerajaan sivil selepas tahun 1948. Hal ini kerana keutamaan diberikan kepada hal dan kebajikan rakyat yang kini di bawah paras kemiskinan tegar. Rumah-rumah rehat sekadar dibaikpulih agar terus berfungsi. 

      Rumah rehat bukanlah sekadar tempat untuk pengembara atau pegawai kerajaan berhenti melepaskan lelah, menyegarkan kembali diri mereka dengan bermalam di sana sebelum menyambung tugas dan perjalanan mereka pada keesokan harinya. Malah rumah rehat menjadi medan sosial seperti jamuan rasmi jabatan kerajaan, majlis perkahwinan bahkan tempat berbulan madu pasangan muda.

      Setelah Malaysia mencapai kemerdekaannya, serta pembangunan pesat di seluruh negara, pembinaan hotel-hotel murah mengelabui era kemasyhuran rumah rehat. Banyak rumah rehat terpaksa dibiarkan terbengkalai tidak teruruskan dan akhirnya ditutup sepenuhnya. Kerajaan Selangor cuba menghidupkan kembali  zaman-zaman kegemilangan bagi rumah-rumah rehat utama di bandar-bandar dan juga di tempat atau destinasi pelancongan dengan mengadakan pelbagai pakej pelancongan. 


      Iklan Pelancongan ke Selangor dilakukan dalam akhbar pada tahun 1971

































      RUMAH REHAT KERAJAAN NEGERI  DI SELURUH SELANGOR DALAM TAHUN 2012

      RUMAH REHAT KERAJAAN NEGERI  DI SELURUH SELANGOR DALAM TAHUN 2016








      Pada tahun-tahun 1970-an bermulalah kewujudan rumah inap, desa inap, guest house di merata-rata tempat bagi menampung permintaan penduduk dan pelancong sama ada pelancong tempatan atau dari luar negara. Kini, peranan rumah rehat diambil alih oleh pertumbuhan rancak hotel-hotel kecil, lodging house, rumah rehat persendirian, guest house serta ratusan rumah inap desa yang bertaburan di seluruh Selangor bahkan di seluruh negara. 

      Kesimpulannya, Selangor bukan sahaja merupakan nadi politik dan ekonomi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, bahkan mempunyai banyak pusat percutian menarik; di pergunungan dan perbukitan yang dingin,  nyaman dan menghijau;, di pinggir pantai dan di pulau dengan laut yang membiru; aliran sungai dan air  terjun yang menyegarkan serta kolam air panas yang menyembuhkan serta menghangatkan kedinginan malam. Bersyukurlah, segalanya ada di Selangor.

      Rujukan:




      Tiada ulasan:

      Catat Ulasan

      Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

      Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...