Memaparkan catatan dengan label EXPO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label EXPO. Papar semua catatan

Isnin, 20 Disember 2021

Sejarah Pameran dan Expo Pertanian dan Penternakan di Kuala Langat

             

Salam buat semua. Alhamdulillah, syukur Atok ke hadrat Allah Taala yang membenarkan Atok menyambung kehidupan di atas buminya yang fana ini, dalam keadaan sihat walafiat. Setiap detik dan saat kita di dunia begitu berarti buat kehidupan kita di alam seterusnya. Syukur berbanyak-banyak Atok kerana dapat lagi Atok mohonkan keampunan atas dosa-dosa Atok yang semalam, hari ini dan esok kerana Atok, Wan dan kita semua hambaNya amat lemah. Kita sering tertipu dengan bisikan Iblis dan Syaitan. Kita digoda agar sentiasa terpesona dengan kecantikan  dunia tipu-tipu sedangkan kehidupan di Akhirat jauh lebih mengagumkan dan berkekalan. 

Atok benar-benar bermohon agar pengakhiran hidup kita di dunia ini dalam keadaan Husnul Khatimah, bukannya Suul Khatimah. Atok juga mengharapkan keampunan serta keredaan Allah SWT, walaupun dosa-dosa Atok ibarat buih-buih di laut, kerana Atok yakin Allah akan mengampunkan segala dosa hambaNya yang beriman selagi kita tidak syirik kepadaNya. Beruntunglah kita Umat Islam kerana Iman dan Takwa sebagai bekalan kita ke sana. Semoga Rasulullah SAW mengakui kita sebagai umatnya kerana Syafaat daripada baginda amat kita perlukan. Oleh itu, Bersolat dan Berselawatlah.

Adoyai, panjang betul khutbah Jumaat Atok kali ini! Harap korang tak jemu dengan usikan Atok selama ini ya. Bukannya apa...gurau-gurau buat menghiburkan hati. Maklumlah,  Atok orang dah pencen. Kawan yang ada kini hanyalah Wan korang. Dahulu ketika Atok bekerja kengkawan beratus, tak kiralah sama guru mahupun anak murid. Riuh rendah gelak ketawa apabila mendengarkan celoteh kengkawan dan anak-anak murid. Kini, Wan dan TV sahajalah sebagai teman. Lain benar suasananya. 

OKlah. kali ini Atok nak bercerita tentang tempat kita, Kuala Langat. Tapi Atok bukan bercerita  hal-hal semasa. Atok nak bawa korang balik ke zaman ketika datuk moyang korang masih muda belia, masih kuat bekerja. Tak jauh, sekitar tahun-tahun 1920-an sehinggalah tahun 1960-an. Korang nak ikut tak? Siapa kata kehidupan mereka pada masa itu membosankan? Korang tahu tak sebelum korang pandai guna Air Asia pergi Pulau Pinang, round satu Malaysia atau dunia, Atok nenek korang dahulu pun pernah naik kapal terbang walaupun round-round Morib jer. Ya, Betul,. Atok tak tipu! Betul-betul naik ke udara! Kalau korang tak percaya, bacalah cerita Atok seterusnya, dan kalau korang masih ada moyang yang hidup zaman orang putih dahulu, tanyalah dia benar atau tidaknya cerita Atok ini. Silap-silap Datuk kamulah antara mereka-mereka yang pernah diterbangkan suatu masa dahulu.

Tahun-tahun 1890-an merupakan dekad kemakmuran buat daerah Kuala Langat. Pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu seperti di Kelanang dan Tanjong Duabelas yang ditanami pokok kopi kelas pertama. Pembukaan kawasan pertanian kelapa dan kopi di Pulau Sialang (Pulau Carey) oleh Raja Muda Sulaiman Alaudin Shah merancakkan pembangunan di Kuala Langat. Jalan raya menyambungkan Jugra-Kelanang-Morib telah dibina. Pekan Sepang ketika itu sudah mempunyai 36 buah rumah kedai batu. Jalan raya dari Reko ke Sepang mula dibina pada tahun 1896, bangunan-bangunan atap di pekan Jugra sudah digantikan dengan deretan rumah kedai batu. Getah dan kopi yang diselang-selikan dengan pokok kelapa banyak ditanam di Kuala Langat pada awal abad ke-20. Pelabuhan Batu Hampar di Jugra dan Sepang masih beroperasi. Tongkang, sampan dan bot berkuasa wap berlabuh dan memunggahkan barangan  di Jugra dan Gelanggang Buaya termasuk  kepingan getah dari estet-estet berhampiran.

Namun, Kehidupan di kampung-kampung masa itu, serba daif dan banyak kekurangan.Kehidupan pada zaman dahulu hiburan amat berkurangan dan ada hanya di bandar-bandar.  Mana ada masa dan wang ringgit untuk berhibur kecuali di keramaian-keramaian setempat seperti majlis-majlis perkahwinan, bersunat dan mengaji alquran di surau-surau dan masjid. Selepas Isyak , mereka  terus balik sahaja ke rumah, tidur dan bersedia untuk menyambung kehidupan pada keesokan harinya. 

Sekali-sekala mereka berbasikal ke pekan berhampiran, ke pasar hari minggu. Di sanalah mereka membeli barangan keperluan rumah dan bergunting rambut. Itupun pada sebelah siangnya sahaja. Agak terbatas interaksi sosial mereka. Orang Melayu pada masa itu memang tinggal di ceruk-ceruk pedalaman. Jauh dari kesibukan dan riuh rendah di bandar. Kenderaan yang ada hanyalah basikal tua peninggalan orang tua mereka. Masa terlalu lambat berlalu, seolah-olah terhenti di situ. Tak ramai yang pernah menjejakkan kaki ke bandar. Tiada rumah saudara mara untuk tumpang bermalam. Untuk menginap di hotel jauh sekali. Mereka ke bandar hanya jika ada keperluan mendesak dan urusan penting sahaja. Jadi kalau ada keramaian percuma dalam jarak berbasikal, pasti takkan mereka tinggalkan. Peluang sebegini hanya datang mungkin 2,3 kali setahun sahaja.

Syukurlah kerana masa itu, sekitar tahun 1920-an hingga 1930-an, pihak pemerintah amat menggalakkan perubahan minda dan teknologi penduduk luar bandar terhadap pertanian dan penternakan. Kata mereka, Malaya sudah tidak mampu untuk ketinggalan dalam arus pemodenan termasuklah mekanisasi dalam perladangan dan perkebunan. Penggunaan cangkul dan tenggala tidak lagi produktif. Penduduk negara semakin meningkat. Sumber makanan asas perlu dipertingkatkan pengeluarannya. Maka difikirkan pelbagai kaedah dan cara untuk memujuk orang-orang kampung  menerima perubahan. Antara cara yang difikirkan adalah menerusi pameran dan pertandingan. Tujuan utama penubuhan persatuan MAHA ini adalah untuk memberi tumpuan kepada sektor pertanian dalam menjana ekonomi negara dan menganjurkan pameran-pameran pertanian. Memang pertanian dan penternakan sektor ekonomi majoriti orang Melayu sejak dahulu. Tepat sekali. Tapi tahukah anda perbezaan antara Agriculture (Pertanian) dan Horticulture (Hortikultur)?

Agriculture (Pertanian) adalah sains yang berkaitan dengan penanaman tanaman dengan cara yang lebih holistik, lebih berkesan dan efisien daripada pertanian biasa, yang merangkumi semua amalan yang meningkatkan hasil dan kualiti tanaman sementara pada masa yang sama memelihara alam sekitar dan kualiti tanah.

Horticulture (Hortikultur) adalah sains dan seni tumbuh tumbuhan secara intensif pada skala yang lebih kecil daripada pertanian. Hortikultur adalah amalan tumbuh-tumbuhan hiasan, buah-buahan dan sayur-sayuran pada pelbagai skala dari taman-taman di rumah dan ladang besar.  Anda makan buah-buahan dan sayuran ihsan hortikultur. Ia adalah satu amalan yang memberi tumpuan lebih kepada nilai tambah tanaman berbanding bijirin dan bijirin. Tumbuhan hiasan, bunga, buah-buahan, kacang-kacangan dan lain-lain ditanam di tambak kecil menggunakan amalan hortikultur. Hortikultur boleh diamalkan di rumah seperti dalam berkebun, atau ia boleh menjadi sangat besar seperti dalam hal sebuah syarikat multinasional tumbuh buah-buahan atau sayur-sayuran untuk kegunaan manusia di seluruh dunia. Terdapat tumbuh-tumbuhan yang ditanam untuk keindahan atau hiasan mereka.

Setiap kali pameran Agri-horticulture diadakan pasti dikerumuni pengunjung. Apatah lagi pelbagai kategori pertandingan diadili. Antaranya, pertandingan buah-buahan, gubahan bunga-bungaan, kraftangan, lukisan para pelajar dan sebagainya. Para pengilang juga mempamerkan mesin-mesin canggih keluaran mereka. Pertandingan ternakan lembu, kambing, ayam, itik pasti mencuri perhatian pengunjung. Bayangkanlah saiz binatang yang sasa dan sado memenangi hadiah-hadiah yang lumayan. 

Mereka telah datang berpusu-pusu dan dengan penuh minat untuk menyaksikan ternakan yang terbesar, buah-buahan yang termanis, ubi kayu yang paling berat, bunga-bungaan yang mempunyai warna-warni yang paling menarik serta binatang dan ternakair yang eksotik. Mereka datang bukan sahaja bagi melihat peralatan pertanian yang terkini tetapi juga untuk membeli anak-anak benih tanaman seperti buah-buahan, bunga-bungaan, kelapa sawit, getah dan sebagainya yang dihasilkan oleh agensi-agensi pertanian, institusi penyelidikan dan pihak swasta. Di samping itu, pengunjung-pengunjung mengambil peluang untuk membeli- belah hasil-hasil pertanian dan barangan makanan selain daripada menikmati hiburan dan persembahan daripada artis-artis yang terkenal pada ketika itu.

Paling tidak pun para pengunjung pasti terhibur dengan pelbagai ragam dan cara penjual berniaga. Ada yang menunjukkan kehebatan ubat-ubatan buatan mereka sendiri. Seperti dalam mana-mana pameran dan keramaian, pasti ada penjual dan penjaja minuman dan makanan. Mereka membuka gerai dan warung mereka berhampiran kawasan pameran. 

Pada peringkat awalnya, pameran ini hanya memfokuskan pameran dan pertandingan sahaja. Namun dalam tahun-tahun berikutnya, pelbagai acara selingan termasuklah pertandingan bola sepak, pertandingan gasing pangkah, joget ronggeng disusun padat demi menarik lebih banyak pengunjung dan pempamer. 

Masa pameran juga terhad kepada satu hari sahaja. Bermula seawal 8.00 pagi sehinggalah lewat petang. Hanya dalam tahun-tahun 1930-an, baharulah acara dilanjutkan sehingga ke waktu malam. Namun di peringkat daerah Kuala Langat ini, pameran ini bukanlah acara tahunan yang tetap. Adakalanya pameran ini diadakan sempena peristiwa-peristiwa penting negeri seperti ulang tahun keputeraan Sultan Selangor, pertabalan Sultan Selangor yang baharu serta lawatan tuanku sultan ke daerah Kuala Langat.

Penglibatan awal orang Kuala Langat dalam Pertandingan Agri-horticulture  sudah ada dan wujud sejak 1908 lagi apabila beberapa orang peserta dari Kuala Langat menyertai pertandingan seumpama itu di Pulau Pinang.  Bayangkan, ketika itu  jalan darat dari Jugra ke Klang sudah ada tetapi masih berbahaya kerana binatang buas seperti harimau banyak berkeliaran. Mereka menggunakan jalan laut dan seterusnya berkapal ke Pulau Pinang. 

Kemudian dalam tahun 1918, satu pameran agri-horticulture buat julung-julung kali diadakan di bandar Klang pada 10 Ogos 1918. Seramai 1,477 pempamer dan gerai dari seluruh bahagian pantai Selangor menjayakan pameran ini; 575 dari daerah Kuala Selangor, 521 dari daerah Klang dan 381 peserta dari  Kuala Langat. Pameran terbahagi kepada beberapa seksyen:

Seksyen A....Sayur-sayuran............. 787 peserta
Seksyen B....Buah-buahan............... 521 peserta
Seksyen C....Bijirin.............................84 peserta
Seksyen D....Ternakan Ayam Itik........44 peserta

Pelbagai pertandingan diadakan. Antaranya, Pertandingan Pembuatan Jem, Pertandingan Beras, Pertandingan Sayuran Tempatan, Pertandingan Koleksi Tanaman, Buahan dan Sayuran serta Pertandingan Penjualan Terbanyak bagi setiap seksyen. Pemenang Keseluruhan Pameran ini ialah Mr. Lee Kong Lam. 

PERTANDINGAN  AGRO-HORTICULTURE DI KUALA LANGAT

Buat pertama kalinya Pameran dan Pertandingan Horticulture ini diadakan di Kelab Banting pada 14 Julai 1918. Penaja Pameran ini ialah Kuala Langat Horticultural Society yang telah ditubuhkan beberapa tahun sebelum itu, bertujuan untuk meningkatkan minat  para pekebun dalam bidang penanaman buah-buahan, sayur-sayuran, pokok-pokok hiasan termasuk pokok keladi. Pelbagai dekorasi bunga-bungaan turut dipamerkan. Tetapi sayang, kesemua buah-buahan, sayur-sayuran, bunga-bungaan hanyalah untuk pameran dan pertandingan sahaja.  Namun, keratan-keratan pokok bunga dan hiasan telah terjual dalam pameran ini.

Kemudian, pada  22 Ogos 1925 Kuala Langat Horticultural Society sekali lagi menganjurkan pameran serupa di Telok Datok. Kelainan pada kali ini diadakan  Kelas Ternakan Ayam Itik, Merpati dan horticulture.
Empat tahun kemudian iaitu pada 21 September 1929 bertempat di  Telok Datok, 10 seksyen dipertanding dan dipamerkan: Padi, Sayuran, Buahan, Pelbagai, Getah, Kelapa, Seni dan Kraf, Penternakan Lembu Kambing, Ayam Itik,  dan Horticultural.
Kemuncak Pameran  di Kuala Langat ini ialah pada  tahun 1934. Pada  23 September 1934  di pantai Morib, pameran dan pertandingan ini diadakan sempena Pemasyhuran Raja Muda Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah.  Pada hari itu, ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira bangsa dan pekerjaan, dari serata pelosok daerah Kuala Langat dan Malaya amnya keluar menghadiri pameran ini kerana ada sesuatu yang begitu menarik minat mereka. Di samping kehadiran kerabat diraja, mereka teruja untuk menaiki pesawat udara buat pertama kalinya dalam sejarah hidup mereka.  Dengan hanya membayar $2, mereka dapat menikmati pandangan dari udara kawasan sekitar kampung mereka, Banting dan Morib kerana pihak KLFC bersetuju mencapaikan impian mereka untuk terbang. Nilai $2 pada masa itu sama nilai dengan  satu kilo daging lembu segar kini (2020), lebih kurang RM35. Empat buah pesawat pelatih jenis Moth mendarat dan terbang dari pantai Morib, ketika air surut. Tetapi sayang, tidak semua dapat menaikinya apabila air laut mula pasang dan ketiadaan lapangan terbang sekitar Morib pada masa itu. Secara ringkasnya, berikut adalah aturcara di Pameran dan Pertandingan tersebut:

Aturcara:
9.00 pagi       -Sesi Pengadilan Pertandingan
10.00 pagi     -Ketibaan 4 buah Pesawat-pesawat jenis MOTH
                       daripada Kelab Penerbangan Kuala Lumpur (KLFC)
11.00 pagi     -Pembukaan Rasmi oleh DYMM Sultan Selangor
11.15 pagi     -Perbarisan oleh Rejimen Askar Melayu di tepi pantai
                      -Demonstrasi oleh Rejimen Askar Melayu dari Port Dickson
                      -Lawatan ke Tapak Pameran
                      -Penerbangan oleh KLFC
1.00 tgh hari  -Makan Tengah hari Rasmi untuk para VIP
4.00 ptg         -Perlawanan Bola sepak  Padang Sekolah Morib
5.00 ptg         -Perlawanan Hoki Padang Sekolah Morib
6.00 ptg         -Penyampaian Hadiah kepada Para Pemenang
Malam           -Tarian Joget Ronggeng

Pameran seterusnya diadakan di Perkarangan Pejabat Daerah Kuala Langat  di Telok Datok  pada 14 Julai 1936 anjuran MAHA Kuala Langat Branch. 4 buah bangsal didirikan. Selain pameran dan pertandingan-pertandingan biasa,  terdapat pelbagai jenis sayuran dan buahan dipamerkan. Antaranya, tebu terpanjang, buah delima terbesar, nenas hijau terbaik di Selangor. Dipamerkan juga kraftangan lelaki seperti tongkat dan jala, jaring nelayan. Pameran kopi, padi dan tembakau Jawa menarik perhatian ramai pengunjung. 

Pameran ini juga disertai oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat; Pameran kesihatan, tandas curah, gambar dan poster vaksinasi anti malaria oleh Jabatan Kesihatan, Pertandingan Bayi Sihat terdiri daripada 28 orang peserta berumur dari bayi 2 bulan ke kanak-kanak berusia 5 tahun. Sebanyak 13 buah sekolah Melayu dan 10 buah sekolah Cina bertanding dalam seksyen  Seni dan Kraf. Acara pada sebelah petangnya ialah Perlawanan Bola Sepak Persahabatan antara pasukan Melayu Klang melawan pasukan Kuala Langat 11 di Padang Telok Datok. Pada sebelah malamnya pula diadakan pesta joget ronggeng, persembahan wayang gambar mengenai kesihatan dan pertanian. Pada keesokan harinya iaitu hari Ahad, kejohanan sukan Sekolah-sekolah diadakan.
 
Dua tahun berikutnya, iaitu pada 24 Julai 1938, Pameran peringkat daerah Kuala Langat ini diadakan di tapak  Pekan Sari Banting. Pameran dan penjualan durian, rambutan, manggis, pisang dan lain-lain menarik perhatian pengunjung kerana pameran ini bersamaan dengan musim buah-buahan di daerah ini

Pada  11 Jun 1950, pameran ini dirasmikan oleh  Raja Muda Selangor ketika itu. Terdapat 22 seksyen ruang pameran; Antaranya pertanian, hasil - hasil produk pertanian, pameran kraftangan kampung, seni tekat, seni hiasan wanita, penternakan lembu-kambing, hasil seni Orang Asli dan pelbagai jenis perangkap ikan.

Pada 9 Disember 1951 sekali lagi pameran ini diadakan di Telok Datok manakala pameran dalam tahun 1953, iaitu pada 15 November 1953 menonjolkan Perkahwinan Orang Asli. Dalam pameran itu Sultan Selangor dan Tengku Ampuan sudi mencemar duli menghadiri dan merasmikan pameran tersebut. Dan Setelah itu pada  26 Ogos 1958, Sultan Hishamudin Alam Shah yang berminat tentang penternakan ayam dan crossbreed menghadiahkan baka-baka anak ayam terbaik baginda kepada pejabat haiwan di Kuala Langat dan Sungai Burung Kuala Selangor.

Sejak itu, tiada lagi kedengaran tentang Pameran ini lagi di daerah Kuala Langat. Mungkin masa telah berubah. Jaringan pengangkutan awam seperti bas awam dan kereta api memudahkan orang ramai berkunjung ke Pameran MAHA dan MAEPS di Kuala Lumpur yang lebih mengujakan mereka kerana jarak perjalanan yang tidak jauh serta pelbagai jenis bahan pameran dan pertandingan diadakan di sana kerana pameran tersebut adalah di peringkat kebangsaan, yang pasti lebih hebat daripada pameran di peringkat daerah sahaja.

Kesimpulannya, pertanian dan penternakan terus maju dan makmur di Kuala Langat walaupun kini Selangor bergelar negeri maju kerana dasar perindustriannya. Namun, industri pertanian dan penternakan moden menggunakan teknologi terkini, hasil rangsangan daripada pameran dan pertandingan sebegini meletakkan Kuala Langat sebagai antara kawasan pertanian terbaik negara dari segi produktiviti dan baka benih tercanggih.

Pada Oktober 2014,  pembinaan  satu unit Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP). Telok Panglima Garang. Di dalam perlaksanaan projek ini, PPK Kuala Langat hanya menjadi pemudah cara kepada petani yang mana hasil petani dikumpul dari ladang dan dibawa ke pusat ini dan dijual di pasaran sediada petani tersebut. Di sini maklumat yang dikumpul adalah perbezaan harga, kaedah pengredan dan kaedah penghantaran kerana PPK Kuala Langat tidak pernah menjual produk segar sebelum ini. Maklumat tepat berkaitan pemasaran dan pasaran produk sayuran segar. Pasar Borong Meru dan Pasar Borong Selangor menjadi tempat rujukan utama. Semua hasil tani dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian  (PPHP) sebelum dibeli oleh pemborong tiga kali seminggu.

Seterusnya, pada HPPNK 2015 pula, Encik Saipul Azmir bin Zainuddin, seorang penternak di Kuala Langat yang memiliki lebih 700 ekor lembu pedaging, 150 ekor kambing dan 30 ekor kerbau telah dinobatkan sebagai Peladang Jaya Kebangsaan Kejayaannya sebagai penternak lembu membolehkan beliau menerima Anugerah Peladang Jaya Peringkat Kebangsaan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2015. Beliau digelar sebagai jutawan lembu kerana berjaya menjana pendapatan lebih dari 1 juta hasil jualan lembu terutama menjelang hari raya Aidiladha.

Terkini, ladang penternakan ayam kampung komersial di Kuala Langat iaitu Arisprop Holdings Sdn. Bhd. telah memenangi Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Kebangsaan pada HPPNK 2017. Ladang ini merupakan ladang ayam kampung pertama di Malaysia yang menggunakan sistem kandang Selain itu, ladang penternakan ayam kampung komersial di Kuala Langat, Arisprop Holdings Sdn Bhd, iaitu pertama di Malaysia menggunakan sistem kandang dua tingkat, memenangi Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Kebangsaan pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2017. 

Apapun jua kejayaan yang dikecapi, harus diingat bahawa minat dan kesungguhan keluarga diraja Selangor memangkinkan perubahan minda  rakyat di kampung kerana atas inisatif dan kepimpinan melalui teladan berjaya mengubah Selangor seperti seadanya kini. Bermula daripada Almarhum Suttan Abdul Samad yang meminati perkebunan sebagai hobi masa lapang, diwarisi oleh pengganti baginda, Almarhum Sultan Alaudin Sulaiman Syah yang meminati penternakan kerbau di Kampung Permatang Pasir semasa bergelar Raja Muda. Seterusnya, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Syah yang meminati penternakan ayam dengan menjadikan istana hinggap di Morib sebagai tapak reban ayam baginda. Pada tahun -tahun 1980-an di Kampung Permatang Pasir, di kaki Bukit Jugra, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz juga mempunyai zoo penternakan rusa baginda. Terima kasih tuanku, atas tunjuk ajar dan teladan yang diberi. Alfatihah buat mereka.



Keratan-keratan Akhbar Menarik Mengenai Pameran  dan Pertandingan di Kuala Langat


                                                 
Keratan Akhbar memperincikan kemajuan dan 
pembangunan di Kuala Langat dalam tahun 1896
    

Pertandingan Agri-Horticulture di Pulau Pinang pada Tahun 1908

                           



                                               
          
Pameran MAHA di Klang pada tahun 1918


Pameran Julung kali diadakan di Kuala Langat pada tahun 1918


Pameran MAHA di Kuala Langat tahun 1925
                       

                                

                              
                                    

                                   

                                              

                                        

    
                            
Laporan Akhbar tentang Pameran MAHA 1929





                                       

                                              

                                            

                                          

                                        








Pertandingan dan Pameran Sempena Pemasyhuran 
Raja Muda Selangor tahun 1934















Penulisan Mengenai Tanaman Tembakau Jawa di Kuala Langat








Rujukan:



Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...