Memaparkan catatan dengan label LPPSA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label LPPSA. Papar semua catatan

Khamis, 25 Mei 2023

Cara Paling Cepat Pemilikan Hartanah Kekal, Premis Perniagaan dan Rumah Impian di Selangor

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Apa khabar korang semua? Atok doakan semuanya sihat walafiat. Korang dah baca entri-entri  Atok kat dalam blog ini? Bacalah santai-santai, mungkin sesuatu yang korang tercari-cari ada dekat situ. Dapat juga Atok pahala kerana membantu korang.

Entri Atok kali ini pasal perumahan. Kalau dahulu Atok ada cerita tentang niat Atok nak buat rumah kat atas tanah pusaka yang sekangkang kera di Telok Panglima Garang selepas bersara. Ramai juga yang berminat membaca dan bertanya kepada Atok pasalnya. Kali ini Atok nak bercerita pula pasal pembelian rumah. Kesian betul Atok dengan korang, generasi muda kini. Nak mulakan hidup pun terpaksa ikat perut memandangkan kos sara hidup naik mencanak. Gaji oklah naik sikit jer. Yang naik melampau ialah harga barang makanan, sewa rumah dan kos pengangkutan. Kesian betul Atok dengan golongan B40. Terpaksalah suami isteri, kedua-duanya bekerja cari makan untuk membesarkan anak-anak. Ataupun suami terpaksa membuat dua pekerjaan. Ada juga yang bawa Grab atau berniaga online. Memang terasa perit terutama yang hidup di KL atau kota-kota besar di Lembah Klang ini. Tapi bersabarlah. Rezeki tidak pernah salah alamat. Allah menjaminkan rezeki buat kita semua asalkan terus berusaha. 

Anak perempuan Atok yang bekerja di Cyberjaya itu pernah bertanyakan pasal pembelian rumah. Katanya mahal-mahal. Kalau dekat KL, Putrajaya atau Cyberjaya, harga kondominium pun dah dua tiga ratus ribu, inikan pula kalau nak cari rumah teres berlaman macam rumah Atok kat Seremban ini. Atok kata kalau nak cari rumah teres, engkau kena sanggup berkorban, maksud Atok terpaksa beli rumah jauh sedikit daripada tempat kerja, dengan syarat ada highway dan jalan raya ke tempat kerja. Atok kata kalau dekat Dengkil, Jenderam, Bangi, Banting, Salak Tinggi mungkin boleh dapat lagi rumah baharu yang agak selesa dalam anggaran RM 300K. Ataupun mungkin ada cara lain yang lebih baik. Nantilah, beri masa untuk Atok fikir-fikirkan.  Maka, Atok pun buka internet, baca blog-blog untuk cari jawapan tentang keperluan anak muda masa kini. Inilah hasil yang Atok dapat.

Dilema Golongan Muda

Lonjakan harga rumah di mana-mana bahagian di Lembah Klang telah didorong oleh beberapa perkara. Antara perkara yang signifikan mempengaruhi lonjakan harga rumah adalah kenaikan harga tanah, pembinaan infrastruktur moden, kenaikan harga bahan binaan, tekanan inflasi dan penurunan nilai mata wang dan permintaan pasaran tinggi. Penawaran tanah yang terhad dari sudut ekonomi, telah menyebabkan harga tanah melambung tinggi apabila sesuatu projek perumahan hendak dibangunkan. Lokasi tanah yang semakin hampir dengan bandar harganya akan menjadi lebih tinggi, manakala kawasan yang semakin jauh dari bandar harganya akan menjadi lebih rendah.

Polisi kerajaan untuk menjadikan kawasan pinggir bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan awam moden, selamat dan selesa turut melonjakkan lagi harga rumah kediaman di kawasan tersebut. Kesemua penyediaan infrastruktur moden telah menjadikan kawasan tersebut sebagai petempatan pinggir yang selesa dan sangat sesuai dihuni oleh penduduk. Pada masa yang sama, nilai ekonomi hartanah di situ semakin melonjak tinggi.

Permintaan tinggi terhadap rumah kediaman telah menggalakkan spekulasi harga hartanah di pasaran. Spekulasi harga hartanah berlaku apabila pelabur-pelabur rumah yang mencari keuntungan cepat daripada kenaikan harga rumah mendadak dengan membeli dan menjual pada tempoh masa yang singkat. 

Tindakan pihak pemaju atau agen hartanah membuat spekulasi peningkatan harga mendorong ramai pembeli hartanah membeli hartanah untuk mendapatkan keuntungan dalam jangka masa yang singkat dengan menjual kembali hartanah mereka. Spekulasi harga dikuatkan lagi dengan pembangunan pesat yang berlaku di  kawasan sekitar menyebabkan ramai pembeli hartanah yakin bahawa harga hartanah di daerah itu akan terus meningkat. Kesannya pembeli sanggup membeli hartanah dengan harga tinggi pada masa kini kerana meyakini akan memperoleh keuntungan berganda apabila menjual hartanah mereka pada masa depan. Contohnya, harga sebuah rumah bernilai RM350 ribu pada masa kini, akan meningkat sekali ganda menjadi RM700 ribu dalam tempoh lima ke sepuluh tahun. Kegiatan spekulasi sebegini terus menyebabkan harga hartanah meningkat.

Keratan Akhbar tentang Harga Rumah di Lembah Klang

Pemilikan Hartanah Kekal, Premis Perniagaan dan Rumah Impian

Kelemahan pihak pemerintah memainkan peranan ekonomi campuran dalam sektor perumahan, mengakibatkan mereka tidak dapat mempengaruhi harga pasaran rumah semasa. Oleh hal yang demikian, harga rumah kediaman hampir sepenuhnya ditentukan oleh kuasa pasaran. Penentuan harga rumah kediaman yang mirip sistem kapitalis ini meningkatkan lagi harga hartanah di pasaran, seterusnya mewujudkan masalah ketidakmampuan memiliki rumah kediaman sendiri dalam kalangan penduduk pinggir bandar.

Penyelesaian kepada masalah kenaikan harga rumah yang semakin meruncing perlu difikirkan. Hal ini bagi memastikan masyarakat pinggir bandar khususnya orang Melayu terus survive dan dapat menikmati kehidupan yang selesa di tempat sekarang.

So, Atok khabarkan dekat dia begini. Sebagai penjawat awam, engkau mempunyai banyak kelebihan untuk membeli rumah dengan pinjaman LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) berbanding dengan pakej yang ditawarkan bank. Ini kerana berbanding pinjaman bank, pinjaman LPPSA sangat menguntungkan kerana ia menawarkan kadar bunga yang rendah serta margin pinjaman 100% tanpa menggunakan duit poket sendiri.

Disebabkan itu, penjawat awam amat disarankan untuk mengambil peluang ini dan membeli rumah menggunakan pinjaman LPPSA:

  • Bagi Skim Pencen, tempoh pembiayaan tidak melebihi 35 tahun atau tidak melebihi umur 90 tahun yang mana terdahulu.
  • Bagi Skim KWSP, tempoh pembiayaan terhad kepada umur tamat perkhidmatan atau 35 tahun yang mana terdahulu.
  • Tempoh maksimum pembiayaan tertakluk kepada pembiayaan kali pertama atau pembiayaan kali kedua.
So, setelah mendapat maklumat tentang dilema, situasi dan status kewangan anak ketika itu, maka Atok cuba memikirkan pilihan-pilihan yang ada. Terdapat 3 pilihan yang Atok berikan kepadanya:
  1. Beli rumah daripada pemaju dengan menggunakan pinjaman LPPSA mengikut kelayakannya. ATAU
  2. Beli hartanah, iaitu sebidang tanah kosong dan bina rumah di kawasan kira-kira 25 km dari tempat dia bertugas, dengan menggunakan pinjaman LPPSA mengikut kelayakannya.  ATAU
  3. Beli hartanah, iaitu sebidang tanah kosong di kawasan kira-kira 25 km dari tempat dia bertugas, dengan menggunakan pinjaman LPPSA mengikut kelayakannya DAN menyewakannya kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk tempoh sewaan yang panjang, sebelum membina rumah impiannya di situ..

Kemudian, Atok perjelaskan kepadanya kelebihan dan kelemahan setiap pilihan yang ada, mengikut pendapat Atoklah. Sekiranya dia merasa cukup dengan memiliki sebuah rumah yang agak selesa; ruang dalaman yang selesa untuk pembesaran anak-anaknya; di lokasi kejiranan yang mesra, lengkap dengan kemudahan asas dan awam; terdapat banyak akses pengangkutan dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya; tidak perlu lagi menyewa rumah; maka cukuplah baginya memilih Kaedah A. Sebagai contoh:





Kemudian dia bertanya apakah opsyen lain yang dia ada sekiranya dia inginkan lebih daripada sebuah rumah milik sendiri? Atok katakan memang ada, bahkan dia boleh dapatkan lebih keuntungan dan rumah yang lebih ’ mewah’ daripada Kaedah A. Dia bertambah minat untuk mendengar penjelasan lanjut daripada Atok. Tapi Atok warning dia awal-awal. Kalau dia pilih kaedah B ini, dia perlu bersedia untuk banyak-banyak bersabar. Dia minta penjelasan. Atok jawablah, kalau kau ambil pilihan ini, engkau akan dapat tanah yang lebih luas daripada tanah rumah teres yang ada dalam kaedah A itu, lebih kurang 1 ekar. Tanah ini berada dalam kedudukan yang strategik dan pada masa akan datang harganya akan terus meningkat, dengan syarat:
  • Tanah ini berstatus pertanian
  • Hakmilik Kekal (Geran Putih)
  • Berdepan dengan jalan raya utama (agak sibuk)
  • Kawasan tanah yang rata dan tidak berpaya
  • Masih dalam lingkungan 25 km dari tempat kerja
Beli sahaja tanah itu dengan pinjaman LPPSA, bersihkan dan binalah rumah di atas tanah tersebut. Dengan anggaran RM 100K,  rumah berukuran 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi dengan laman yang luas akan dapat diperoleh. Tak perlu menyewa rumah orang lagi. Tanamilah bahagian belakang rumah tersebut dengan pokok buah-buahan.  Pada masa akan datang, anak-anak pun boleh menumpang membina rumah mereka masing-masing di atas tanah ini.






Contoh pembelian Tanah Pertanian di tepi jalan raya utama


Atau sekiranya mahukan keselesaan yang lebih daripada itu, Atok beri dia satu lagi opsyen. Dia nampaknya beria-beria benar hendak mendengar saranan Atok seterusnya. Atok kata untuk pilihan yang ketiga ini, engkau perlu banyak, banyak, banyak bersabar DAN berdisiplin. Kalau kau tak sanggup, cukuplah dua pilihan yang Atok dah berikan tadi. Tapi, kalau kau sanggup dengan kesabaran yang tinggi itu, maka engkau nanti akan  mendapat mengejar impian kau;  rumah banglo mewah, dengan kolam renang, ada aset lain serta pendapatan pasif yang mencukupi keperluan sebelum bersara, serta kebun buah-buahan untuk dinikmati hasilnya ketika bersara nanti. Begini caranya….. 

Proses

Huraian

Tempoh masa

Langkah 1

Pendapatan daripada Penyewaan Hartanah (Tanah Kosong)

10 tahun

Langkah 2

Pendapatan daripada Penyewaan Hartanah (Premis Sewaan)

10 tahun

Langkah 3

Pembinaan Rumah Banglo di atas Lot Sendiri

  5 tahun

Langkah 4

Jumlah Aset di atas Lot Sendiri

25 tahun


Setelah memilih kaedah B, ikutilah dengan berdisiplin, langkah-langkah berikut:

Langkah 1

Bersihkan tanah tersebut dan sediakan tanah tersebut untuk penyewaan. tanpa membuat sebarang premis kediaman di situ. 
Iklankan untuk penyewaan jangka panjang, sebaik-baiknya tempoh 10 tahun. Permintaan untuk ruang meletak lori atau stor barangan komersial sentiasa ada. Ikat dengan perjanjian dan guaman.Tak perlu risau. Sewa rumah tolakkan sahaja daripada pendapatan sewaan tanah. Selesai masalah.


Langkah 2

  • Selepas tamat tempoh 10 tahun penyewaan tersebut, dengan keuntungan hasil penyewaan tanah tersebut, binalah dua premis perniagaan di atas tanah tersebut.  
  • Dicadangkan premis untuk restoran dan satu lagi premis untuk kedai runcit. dan pokok-pokok landskap. Sebaik-baiknya di tanah seluas 1/2 ekar di bahagian hadapan tanah tersebut yang berdepan dengan jalan raya utama.
  • Sediakan ruang parkir yang mencukupi untuk para pelanggan.
  • Sewakan kedua-dua premis perniagaan tersebut. Ikat dengan perjanjian dan guaman.
  • 1/2 ekar selebihnya, di bahagian belakang tanah itu, ditanami pelbagai pokok buah-buahan seperti durian, manggis,rambutan, ciku, langsat dan sebagainya.
  • Tak perlu risau. Sewa rumah tolakkan sahaja daripada pendapatan sewaan premis. Selesai masalah.
Langkah 3
  • Selepas tamat tempoh 10 tahun, gunakan kesemua keuntungan daripada penyewaan premis perniagaan ini untuk pembinaan rumah banglo berserta kolam mandi idaman anda di kawasan 1/2 ekar yang anda tanami dengan pokok-pokok itu.
  • Teruskan mengutip hasil daripada penyewaan kedua-dua premis tersebut. Jika perlu, naikkan kadar sewaan mengikut harga sewaan semasa. Ikat dengan perjanjian dan guaman.
Langkah 4

Anda kini telah mencapai impian anda untuk memiliki banglo impian, premis perniagaan, serta pendapatan pasif yang lumayan, di samping pendapatan tetap sebagai penjawat awam. Yang menggembirakan lagi, anda telah bebas hutang ketika hanya berumur 55 tahun.

Aset-aset anda setelah 25 tahun pemilikan tanah

So, setelah mendengar penjelasan panjang lebar, siap dengan contoh yang Atok berikan itu, maka Atok nampak ada sinar harapan untuk anak Atok ini bersetuju dengan pilihan-pilihan yang ada. “Terpulanglah pado ekau, Pokok kek kau,” kata Atok. 

Korang yang sedang membaca penulisan Atok ini, buatlah keputusan sendiri. Bukan terhad pada orang Selangor jer, dekat mana-manapun sama jer kaedah dan pilihannya. Apapun pilihan korang, beristikharahlah dahulu, berikhtiar dan teruskan dengan bertawakallah. Solat jangan tinggal. Banyakkan bersabar dalam menghadapi pancaroba hidup. Wasalam.

Sejarah Rumah Rehat dan Halting Bungalow di daerah Kuala Pilah

Assalamualaikum buat semua pembaca dan peminat Blog Atok ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita Saidina Muhammad ibni Abdullah, na...