Salam buat semua. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang buat kita semua memohon keampunanNya, mengharapkan belas kasihanNya di samping memberi kita peluang untuk beramal soleh buat bekalan kita ketika kembali ke alam abadi. Atok benar-benar teruja untuk menulis kerana response korang terhadap penulisan Atok semenjak dua menjak ini. Atok terpanggil untuk menyelidik sekaligus menjawab persoalan yang bermain di benak kita semua. Begini soalannya:
Di sini saya ada lagi persoalan yang ingin dikemukakan... Tentang Sejarah persahabatan diantara Sultan Abdul Samad dengan Seorang Panglima yang kononnya mempunyai ikatan yang sangat erat dan rapat dengan Baginda... Kononnya Panglima ini sama ada kaitan kekeluargaan dengan sultan ataupun tidak tapi beliaulah yang paling sultan rapat, dan walaupun pada masa ini sultan Abdul samad memang dikatakan ramai talian waris2 berdarah raja, tetapi dengan Panglima ini lah yang paling rapat dengan baginda. Saya juga nak tahu kalau2 dimana berakhir nya penempatan panglima ini? Kononnya lagi beliau ini mempunyai banyak gelaran (sering menukar2 nama jika berada di tempat2 berlainan). Terima kasih admin.
JABARAYUN DAN PANGLIMA GARANG
Menurut cerita, nama sebenar Raja Berayun atau Jabarayun ialah Raja Ibrahim. Beliau adalah seorang panglima perang Mandailing yang rapat dengan Sultan ke-4 Selangor Sultan Abdul Samad dan pernah memerintah Kajang. Raja Berayun ini mempunyai dua orang panglima yang gagah berani serta kebal bergelar Panglima Garang, dan Panglima Si Gara, berserta 500 orang pendekar. Awalnya Raja Berayun dimurkai Sultan Muhammad sebab menjalin persahabatan yang akrab dengan Abdul Samad, keponakan dan menantu Sultan. Lantaran itu Sultan Muhammad Shah pun mengarahkan angkatan tentera Bugis supaya bersiap-sedia dengan 500 perahu perang di Kelang untuk menyerang Jabarayun di Kampung Rekoh. Raja Berayun berhasil mematahkan serangan yang berbahaya dan mematikan itu. Sejak itulah nama Jabarayun menjadi terkenal dan berpengaruh serta sangat ditakuti oleh pembesar-pembesar Bugis Selangor.
Raja Berkat @ Raja Mat Saman dan Jabarayun telah bersumpah dan mendesak Sultan Muhammad Shah untuk menabalkan Raja Abdul Samad sebagai Sultan Selangor yang seterusnya. Pada masa itu Raja Berkat dan Jabarayun adalah ketua-ketua yang sangat berpengaruh lagi digeruni di Selangor. Putera-putera Sultan Muhammad Shah yang lain iaitu Engku Rahmat dan Raja Mahmud tidak berani membantah disebabkan rasa takut mereka kepada panglima peribadi Raja Abdul Samad iaitu Jabarayun yang dianggap sebagai pahlawan yang gagah perkasa, garang, berkuasa lagi berpengaruh pada masa itu.
Baginda melantik Jabarayun sebagai Panglima Jugra yang merupakan pengawal, pengiring dan panglima peribadi Sultan Selangor. Jawatan panglima peribadi Sultan Selangor bukan bermakna Jabarayun hanya menjadi pengawal peribadi, malahan Jabarayun juga bertanggungjawab dalam urusan-urusan pentadbiran.
Apabila Jabarayun menerima tawaran Raja Abdul Samad untuk menjadi panglima peribadi Sultan Selangor, dia terpaksa berpindah ke bandar Temasya untuk menjalankan tugas barunya. Lantaran itu Jabarayun, Panglima Si Gara dan sebahagian pengikut-pengikut mereka berhijrah dari Kampung Reko ke bandar Temasya dan membuka sebuah kampung yang menjadi penempatan baru mereka yang dinamakan Kampung Bukit Jugra.
Setelah berpindah ke tempat barunya di bandar Temasya, Jabarayun dan pengikut-pengikutnya telah kehilangan pendapatan lumayan dalam aktiviti perniagaan hamba abdi dan tidak lagi berkesempatan untuk melakukan kegiatan menangkap orang-orang asli di Ulu Langat untuk dijual sebagai hamba di Melaka. Lantaran itu Jabarayun dan pengikut-pengikutnya kembali menjalankan kegiatan melanun kapal-kapal perdagangan di Selat Melaka.
Di samping menjadi panglima, beliau juga sering dipinjam atau diupah oleh raja yang tertentu di Sumatera dan Semenanjung untuk menolong melawan musuh-musuh tertentu. Biasanya waktu menjalankan tugas yang diupah itu, Raja Berayun dengan angkatan perangnya akan merompak segala kapal-kapal di laut. Maka dengan sebab itulah beliau dianggap sebagai seorang ketua lanun yang sangat ditakuti.
Raja Berayun yang masyhur dengan gagah beraninya telah mendiami Pulau Lumut dan menjadikan Pulau Lumut (kini Pulau Indah) di Selangor sebagai pengkalan operasi lanunnya Di sana beliau dibantu oleh rakan-rakannya yang setia yang juga merupakan pahlawan-pahlawan sakti dan pendekar terkenal di Tanah Mandailing iaitu Panglima Garang Sutan Janaga dan Panglima Si Gara. Walaupun Raja Abdul Samad tahu akan perkara sebenar yang berlaku, namun baginda berpura-pura tidak tahu dan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Jabarayun dan pengikut-pengikutnya disebabkan baginda terlalu kasih terhadap Jabarayun yang merupakan pengawal, pengiring dan panglima peribadi Sultan Selangor yang sangat setia. Malahan, baginda juga menganggap Jabarayun itu sebagai gurunya di dalam banyak aspek kehidupan khususnya di dalam ilmu pengetahuan mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan ilmu-ilmu kebatinan. Kemampuan Jabarayun untuk mengawal pantai dan perairan Selangor ini telah menjulang nama beliau di kalangan pembesar-pembesar Bugis di Istana Selangor.
Namun, ketika Perang Klang, beliau dikatakan sebagai salah seorang Imam Perang Mandailing di samping Raja Asal dan Raja Bilah yang berperang menentang Sultan Abdul Samad dan putera Raja Kedah iaitu Tengku Kudin. Beliau meninggal dunia barangkali setelah perang berakhir. Walaupun bermusuhan dan memerangi satu sama lain, Raja Berayun dimakamkan juga di Bukit Melawati atas dasar Silaturrahim dan rasa persahabatan suatu waktu dahulu. Kemudian makamnya dipindahkan ke Jugra. Dikatakan kini makamnya terletak di kawasan hutan di kaki Bukit Jugra, Banting berdekatan makam Sultan Abdul Samad.
Setelah kematiannya, salah seorang orang kanan Jabarayun yang bernama Panglima Garang Sutan Janaga telah dilantik sebagai salah seorang pembesar Kelang yang bergelar Dato Naga yang menjadi ketua di Kampung Bukit Naga.
Keris Panjang Beruk Berayun adalah satu alat kebesaran Diraja Selangor di dalam Adat Istiadat Pertabalan. Keris ini pada asalnya dimiliki oleh Raja Berkat atau Raja Muhammad Saman, bergelar Tengku Panglima Raja yang datang ke Selangor dari Sulawesi pada sekitar tahun 1855. Raja Berkat telah bersurikan adinda Paduka Sri Sultan Abdul Samad yang bernama Raja Lebar dan dilantik menjadi Penghulu Mukim Kanchong didalam daerah Kuala Langat dan kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri pada tahun 1877. Keris ini kemudiannya diwarisi oleh anaknya, iaitu Raja Mahmud dan apabila Raja Mahmud pergi ke Mekah pada tahun 1912. Beliau menyampaikan keris kepada baginda Paduka Sri Sultan Sir’ Ala’uddin Suleiman Shah dan sebagai balasan Sultan memberinya $500 sebagai mahar untuk disimpan bukan untuk dimiliki. Replika keris ini jelas kelihatan di dalam jata Negeri Selangor.
Kuasanya serta kehebatannya boleh digambarkan dalam baris berikut: –
‘Pantang digerak pantang diayun”
“Bisanya menyenak hingga ke ubun-ubun”
Ada yang mengatakan Keris Panjang Beruk Berayun berasal daripada nama seorang kerabat Diraja Selangor Raja Berayun berketurunan Mandailing dengan menyingkirkan nama "Raja". Dikatakan pada zaman dahulu beliau menjaga seluruh kawasan Jugra bermula dari Pengkalan Batu Hampar. Beliau dikatakan tidak bergerak di tanah tetapi bergayut dari dahan ke dahan seperti monyet. Siapa lagi kalau bukan Raja Berayun atau Jabarayun?
PANGLIMA HITAM
Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah telah menunjukkan yang setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam dalam ilmu beladiri dan pertempuran digelar Panglima Hitam. Maknanya, Panglima Hitam ini merupakan suatu nama gelaran dan bukan hanya tertakluk pada seseorang individu. Individu ini merupakan seorang pendekar yang memiliki ilmu kebatinan dan sangat handal di dalam permainan senjata serta mahir dalam tipu helah peperangan. Nama Panglima Hitam ini telah dipakai dan menjadi simbol kepada seseorang yang tinggi ilmu kependekaran selain mempunyai sifat berani dan setia kepada raja dan negara. Panglima Hitam ada terdapat di mana-mana kesultanan kerajaan melayu di negara ini. Barangkali, disebabkan postur tubuhnya yang berkulit hitam, bertubuh tegap dan besar, maka dia digelar sebagai Panglima Hitam. Nama Panglima Hitam popular dalam kalangan pengamal persilatan dan pertahanan diri. Boleh dikatakan hampir kesemua persilatan Melayu menyeru namanya dan dengan sendirinya ia didampingi.
Dalam sejarah negeri Selangor, Panglima Hitam sebagai pahlawan yang berani dan setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri Sultan, Istana dan Kerajaan. Mereka terdiri dari;
Panglima Hitam pada zaman Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan Almarhum Sultan Muhammad iaitu Sultan Selangor yang ketiga.
Panglima Hitam (Jugra) yang dikenali juga sebagai Daeng Ali iaitu hulubalang serta pengawal peribadi Almarhum Sultan Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor yang keempat. Mengikut lisan dari orang tua-tua, Panglima Hitam ini bernama Daeng Ali dan pusaranya terdapat di Makam Diraja Jugra. Daeng Ali dikatakan jalur keturunan daripada Daeng Merewah atau Kelana Jaya, saudara kedua Bugis Lima bersaudara daripada Sulawesi yang datang ke Johor, seterusnya dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau-Johor-Pahang yang pertama (1722 – 7 Ogos 1728).
Perwatakan Panglima Hitam (Jugra) pada masa dahulu dikenali sebagai seorang panglima yang sangat garang. Semua orang takut dengan dia. Memiliki fizikal bentuk badan yang besar dan tinggi. Di istana dia dipanggil dengan gelaran sebagai Panglima Hitam.
Ada juga versi yang mengatakan bahawa Panglima Garang dan Panglima Hitam adalah individu yang sama. Panglima Garang @ Panglima Hitam dikatakan meninggal dunia akibat ditembak menggunakan peluru emas selepas selesai melakukan tugas menjaga sebuah gudang beras. Menerusi ilmu kebal yang menjadikan dia kuat dan kebal daripada serangan apa jua jenis senjata. Walaupun beberapa kali ditembak menggunakan peluru biasa, namun ia tidak akan berjaya menembusi tubuhnya. Hanya selepas salah seorang daripada rakannya memaklumkan kelemahannya kepada musuh barulah Panglima Hitam mati dibunuh. Kuburnya ada di Makam Bukit Jugra, tidak jauh dari Marhum Sultan Abdul Samad.
Bagi Atok pula, Panglima Garang dan Panglima Hitam adalah dua individu yang berbeza. Sebabnya, mudah sahaja. Mereka lahir dan kemungkinan mati pada dua bingkai masa yang berbeza juga. Panglima Garang telah wujud sebelum Almarhum Sultan Abdul Samad dilantik Sultan Selangor lagi, iaitu ketika baginda melarikan diri ke Rekoh, Hulu Langat untuk mendapatkan perlindungan Raja Berayun, manakala Daeng Ali @Panglima Hitam meninggal pada 3 Mac 1918, sebagaimana tertera pada batu nesannya. Lagipun, Panglima Garang berdarah Mandailing dari Sumatera sedangkan Panglima Hitam berketurunan Bugis dari Sulawesi. Tetapi ada satu perkara yang Atok setuju. Mungkin juga perwatakan Panglima Hitam menyerupai Panglima Garang kerana ketegasan wajahnya dan ketinggian ilmu persilatan mereka.
PENGIKTIRAFAN
Pengiktirafan di atas sifat keberanian dan jasa Panglima-Panglima Hitam ini terbukti apabila nama Panglima Hitam ini telah diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal),TLDM sebagai Kapal DiRaja (KD) Panglima Hitam, sempena nama gelaran yang dianugerahkan kepada pahlawan melayu yang mempunyai sifat keberanian dan sikap taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Baginda Sultan dan kerajaan. KD Panglima Hitam, dahulunya dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL) Unit 1 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut.
KD Panglima Garang adalah Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang dilengkapi dengan fasiliti pelantar minyak. Ia adalah satu-satunya fasiliti di Malaysia yang dibina dengan tujuan untuk memudahkan tim PASKAL melaksanakan latihan melawan keganasan maritim dengan lebih efisien, selain daripada menempatkan mereka di pelantar minyak sebenar pada satu-satu masa.
Selain itu, fasiliti lain yang terdapat di KD Panglima Garang termasuk dataran latihan fizikal, tiga jenis lapang sasar, rumah tempur dan kolam selam. Panglima Garang juga merupakan seorang pendekar yang sangat handal di dalam permainan senjata dan memiliki ilmu peperangan yang tinggi serta amat digeruni musuh.
“Nama Panglima Garang merupakan gelaran yang dianugerahkan kepada Pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad yang dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-4 pada 6 Januari 1857, mempunyai panglima yang handal di dalam ilmu pertempuran dan sangat setia di dalam mempertahankan keselamatan Sultan dan kerajaan,
“Panglima Garang yang merupakan seorang pendekar yang sangat handal di dalam permainan senjata dan memiliki ilmu peperangan yang tinggi serta amat digeruni musuh. Beliau sangat digeruni dan menjadi sejarah negeri Selangor,
“Berdasarkan ciri-ciri yang dimiliki oleh Panglima Garang yang memiliki ilmu kebatinan yang tinggi serta kesetiaan tidak berbelah bahagi dan juga melambangkan ciri seorang guru yang disegani, handal dalam ilmu pertempuran dan bijaksana dalam mengatur strategi peperangan yang perlu dicontohi adalah amat bertepatan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PLPKL) dinamakan KD PANGLIMA GARANG
Rujukan:
Mohamed Azli bin Mohamed Azizi @ Lembaga Adat Mandailing Malaysia (LAMA): |"Kuala Lumpur Siapa Punya?"
Radzi Sapiee @ SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 8 Jun 2010: |"Makam (Tomb of) Raja Berayun"
Haji Hanafiah Kamal Bahrin Lubis, 23 Ogos 2014: |"HORAS ! SEPUTAR DAN BERPUTAR-PUTAR DI JALAN RAJA ALANG,KAJANG,SEL."