Khamis, 24 Mac 2022

Cerita dari Istana Jugra: Syed Mashor @Sharif Masahor Pahlawan Sarawak

Salam buat semua. Semoga korang dan Atok sekeluarga dikurniakan oleh Allah SWT, dengan nikmat dipanjangkan umur, murah rezeki, kesihatan yang baik, serta segala kebaikan hidup di dunia mahupun di akhirat kelak. Syukur alhamdulillah. Seronok Atok dapat berjumpa korang semua dalam entri Atok kali ini. Atok teruja nak ceritakan kisah-kisah silam di Jugra, di Klang dan di Selangor amnya yang pernah berlaku suatu masa dahulu, agar kita mengambil ibrar atau pengajaran daripada kehidupan mereka ketika itu. Bukan tujuan atau niat Atok untuk membuka aib atau pekung sesiapapun, atau mengguris hati anak keturunan mereka. 

So, entri kali ini Atok memang hendak fokuskan kepada salah seorang watak utama yang pernah terlibat dalam Perang Klang ini. Atok akan  bahagikan penceritaan ini kepada empat episod atau mini series. Pertama, kisah awal penglibatannya dalam pergelutan politik di Sarawak menentang Inggeris dan pembesar-pembesar yang pro Inggeris di sana. Di dalam siri atau entri kedua pula, Atok akan bicarakan penglibatan beliau dalam kancah politik di Selangor semasa Perang Saudara di Selangor. Seterusnya, Atok akan kisahkan perjuangannya dalam kemelut politik di istana di Perak dan Pahang.  Akhir sekali Atok fokuskan pengkisahan tokoh terbilang ini pada kesudahan hidupnya sebagai Penghulu di Ulu Kerling di Selangor. Begini ceritanya..........

KISAH SYED MASHOR

Dia seorang  pejuang, seorang strategis perang,  berani, tegas dan tangkas, banyak pengalaman dan  begitu mendalam ilmu peperangannya.  Beliau dijulang oleh sejarawan sebagai pejuang nasionalis yang menentang penjajahan Inggeris di Sarawak dan juga di Selangor. Boleh dikatakan, sebahagian besar hidupnya dihabiskan berjuang sama ada menuntut haknya atau membantu pihak lain mendapatkan hak bersama. Namun, di peringkat akhir usianya, dia akur dengan takdir kekalahan dan beralih kesetiaannya walaupun jauh di lubuk hatinya dia  amat membenci akan kuasa kafir yang mengongkong sultan dan bangsanya. Dia sedar dirinya hanyalah kuda kayu dalam permainan dan percaturan kuasa di istana. Di akhir hayatnya, dia berubah, mengabdikan dirinya hanya kepada Allah sehingga dijemput pulang kepadaNya.

Nama sebenarnya ialah Sayyid Mashur bin Muhammad Al-Shahab. Di Sarawak dan Borneo, namanya ialah Sharif Masahor. Di Semenanjung dan di Singapura, kemudiannya di Selangor, Perak dan Pahang pula, beliau lebih dikenali sebagai Syed Mashor. Kedua-duanya merujuk kepada orang atau individu yang sama. Nama ‘Syed’  atau Syarif bermaksud beliau berketurunan daripada Nabi Mohammad SAW.  Ibunya bernama Raja Sedia, kerabat diraja Selangor. Beliau dilahirkan di Pontianak, Kalimantan Barat pada sekitar tahun 1837. Kedudukan istimewa keturunan Rasulullah ini dalam kalangan umat Islam di merata-rata tempat di Nusantara ini membolehkan mereka mempengaruhi golongan istana dan melalui perkahwinan campur, mereka memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Sikap mereka yang gigih menyebarkan agama Islam serta sanggup berjihad, berjuang demi agama  ini menyebabkan pihak British dan Belanda amat berhati-hati dengan golongan Syed ini. Pihak penjajah ini tahu  golongan Syed merupakan benteng pemisah antara mereka dengan istana.

PERANG DI SARAWAK

Syed atau Sharif Mashor@ Masahor sememangnya seorang pahlawan Melayu terkenal yang berkuasa di kawasan Sungai Rejang (sekitar bahagian  Sibu, Mukah, Sarikei, Kapit, Bintulu dan Miri ) di Sarawak semasa era Rajah Putih Brooke di negeri itu. Ketika itu Sarawak berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei. Beliau secara lantangnya menentang penyerahan Sarawak oleh Sultan Brunei ketika itu kepada James Brooke pada 1842. Sharif  Masahor menyatukan kaum Melanau di Sarikei. Beliau yang merupakan menantu Pengeran Ersat menentang Pengeran Matusin dan James Brook yang ingin meluaskan kuasa ke atas wilayah Sarikei dan mengambil alih kuasa pentadbiran. Sharif Masahor menggunakan pengaruh dan persahabatannya dengan ketua kaum Iban di Kanowit, Rentap untuk bersatu menentang Inggeris.

Pada tahun 1855, beliau meyerang Mukah dan berjaya mengusir keluar Pengeran Matusin yang menjadi penyokong James Brooke. Untuk dua tahun berikutnya pejuang-pejuang Melanau dan Iban menghalang kemaraan pihak Inggeris di kawasan Sungai Rejang. Perjuangan mereka disokong oleh Abang Abdul Gapur di Kuching. Orang Melayu di Sarawak ketika itu berada di dalam dilema. Mereka tidak menyokong perjuangan Syarif Masahor dan pejuang-pejuangnya kerana mereka menganggap James Brooke penyelamat mereka daripada kezaliman pembesar-pembesar Kesultanan Brunei tetapi pada  masa yang sama mereka juga tidak menyokong James Brooke kerana Syarif Masahor berketurunan Nabi Muhammad, Rasulullah SAW. 

Situasi politik di Sarawak ketika itu menakutkan kerajaan James Brooke, tambahan pula berlaku pemberontakan Kaum Cina di Bau dalam tahun 1857 serta Perang di Banjarmasin, Kalimantan di mana berlaku pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum penjajah Belanda di Borneo dalam bulan Mei 1859. Dalam bulan Jun hingga Julai 1859, Sharif Masahor, bersama-sama dengan Sawing, menyerang kubu Inggeris dekat Bukit Rejang di Kanowit serta membunuh pegawai tentera Brooke bernama Charles Fox dan Henry Steele. 

Kejayaan itu menguatkan semangat mereka untuk menghalau terus tentera Brooke keluar dari bumi Sarawak. Dalam bulan Februari  tahun 1860, Sharif Masahor, Abang Abdul Gapur  dan Rentap berpakat untuk menyerang James Brooke di Kuching. Namun perancangan yang dibuat bocor dan dapat dihidu oleh Charles Brooke. Mereka diserang hendap oleh Charles Brooke. Sharif Masahor tidak dapat mengalahkan pasukan tentera Charles Brooke, anak saudara James Brooke dan berundur ke Mukah dan kemudiannya lari ke Brunei untuk mendapatkan perlindungan Sultan Brunei. Kemudian dalam bulan Jun tahun 1860, tahun yang sama, beliau kembali semula ke Mukah untuk membantu adik iparnya Pengiran Nipa menentang Charles Brooke yang ingin menguasai perdagangan sagu  di Mukah. 

Di bawah tekanan kerajaan Rajah Brooke, Sultan Brunei meminta mereka menyerah diri kepada James Brooke. Rentap diampunkan dan dibenarkan terus tinggal di Kanowit sehingga kematiannya di sana. Abang Abdul Gapur dibuang negeri ke Mekah dan kembali ke Kuching beberapa tahun sebelum kematiannya. Sharif Masahor dibuang negeri ke Singapura dan diberi pencen. Setelah dibebaskan, Sharif Masahor menuju ke Langat atas jemputan Sultan Selangor.

James Brooke, Rajah Putih Sarawak

Lukisan Potret James Brooke sekitar tahun 1847

Pahlawan Iban Rentap

Sarif Masahor




bersambung.......

Rujukan:




Leftenan Adnan dalam Sejarah Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Salam buat semua. Hari ini Atok bangkit-bangkit tidur jer, selepas solat dan wirid, terus buka laptop. Bukannya apa, bersemangat sungguh pag...