Isnin, 28 Oktober 2013

Suatu masa: Jugra Bandar Diraja

 Mukim Bandar/Jugra pada suatu ketika dahulu (1814-1903) terkenal sebagai pusat pentadbIran negeri Selangor yang kini mula dilupakan.Jika kita imbas kembali sejarah, nama Jugra tercatat dalam sejarah lama sejak pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka iaitu ketika Bendahara Tun Perak dihantar ke Klang sebagai wakil sultan di sana. Daerah Langat diambil sempena nama sungai yang bermaksud 'air hangat'. Sebenarnya perkembangan Jugra mula dijadikan petempatan diraja sejak 1826, iaitu ketika Raja Mohamed menyerahkannya kepada adindanya Raja Abdullah  sebagai hadiah membantu baginda menjadi sultan. Ketika itu Langat merupakan antara pengeluar timah (Rekoh di Hulu Langat) dan rotan yang utama selain Lukut. Menurut catatan Inggeris, terdapat kira-kira 500 orang penduduk tinggal di situ. Setelah kemangkatan raja Abdullah pada 1857, Sultan Abdul Samad  pula diltabalkan menjadi sultan yang baru.
Mengapakah kerajaan Selangor memindahkan  seluruh pentadbiran negeri dari Kuala Selangor ke Jugra sedangkan Jugra merupakan kawasan dataran yang dikelilingi paya bakau?
 Baginda memilih untuk  terus bersemayam di Jugra atas beberapa sebab:
1. Lokasi Jugra yang strategik dari aspek logistik, ekonomi dan keselamatan. Jika dilihat peta negeri Selangor dan jajahan takluknya meliputi lembah Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Klang, Sungai Langat dan Lukut. Kesemua daerah ini kecuali daerah Bernam merupakan hab atau pengkalan-pengkalan utama ekonomi Selangor. Pada masa itu, bijih timah yang menjadi eksport terpenting Selangor telah diusahakan sejak abad ke-16 lagi. Kedudukan Langat (Jugra) ditengah-tengah kawasan lubuk 'emas' ini amat penting, memandangkan sebahagian besar bijih timah dieksport ke Melaka.

2. Bentuk muka bumi Jugra amat strategik. Terletak kira-kira 4 batu dari muara sungai, bererti akses segera ke laut untuk sebarang urusan  rasmi negeri memandangkan jalan laut di Selat Melaka merupakan jalan utama perhubungan persisir pantai dan antarabangsa.
3. Bukit Jugra sememangnya merupakan mercu tanda kepada pelayar dan pedagang sejak dahulu lagi. Kedudukan bukit ini menyamai bukit di mana kota Melaka dibina dan istana sultan Melaka terletak. Justeru bukit Jugra menjadi kubu dan istana diraja kerajaan Sultan Selangor ketika itu. Dari atas bukit inilah tentera baginda dapat mengawasi perairan negeri dan kawasan pedalaman sejauh Klang. Sebarang usaha pihak musuh untuk menyerang istana dapat segera diketahui dan memberi masa untuk baginda bertindak balas, memohon bantuan, ataupun melarikan diri sama ada melalui laut atau sungai Langat ke kawasan pedalaman di bawah takluk baginda.

4. Kedudukan Sungai Langat yang berhampiran yang dapat dimudiki sejauh Ulu Langat dan Sungai Ujong    (dengan mudik ke hulu menerusi Sungai Labu di Kuala Labu). Sungai Langat juga  bersambung dengan Sungai Klang memudahkan perjalanan baginda atau wakil baginda ke Klang tanpa perlu belayar di laut sebelum masuk ke Kuala Klang bagi tujuan kutipan cukai hasil bijih timah dan sebagainya.
5. Baginda Sultan Abdul Samad juga dikatakan tidak mahu terlibat dengan persengketaan sesama kerabat baginda yang kemudiannya memuncak sehingga berlaku perang saudara di Selangor (1867-1874).

Era selepas perang menjanjikan masa depan yang lebih gemilang dan kedamaian yang berpanjangan. Pada tahun 1875, penduduk Jugra telah bertambah seramai 700 orang termasuk di beberapa buah kampung di sepanjang sungai Langat. Terdapat sederet kedai kepunyaan orang Cina di Jugra. Di Telok Panglima Garang dikatakan penduduknya telah bertambah daripada 30 orang menjadi  200 orang dalam masa beberapa bulan sahaja. Dalam tempoh 2 tahun sahaja (1880-1882), penduduk pesisir pantainya mencecah 1200 orang daripada 600 sebelumnya.

Sepanjang tempoh 10 tahun sahaja (1875-1884), penduduk Kuala Langat seramai 3000 orang Melayu (termasuk Melayu Dagang) dan 300 penduduk Cina.
Mengikut perangkaan British, pada tahun 1891, penduduk Melayu di Kuala Langat seramai 3,092 orang iaitu seramai 827 di Jugra,818 di Bandar, 324 di Tanjong Dua belas dan 244 di Telok Panglima Garang. Selebihnya di beberapa buah perkampungan yang mempunyai penduduk kurang daripada 100 orang:
Nota: Melayu Dagang merupakan kaum Melayu yang bukan berasal dari Selangor tetapi berhijrah dari tempat lain di nusantara. Mereka termasuklah kaum Acheh, Mendailing, Banjar, Jawa dan lain-lain yang datang atas pelbagai sebab politik (peperangan dengan Belanda) dan ekonomi (buruh kontrak dan buruh bebas).
Pekan Jugra Lama yang hampir ditelan belantara pada tahun 1900
Dua deret rumah kedai dua tingkat di Jugra Lama tahun 1900
 Hanya setahun sahaja Frank Swettenham tinggal di Jugra untuk menasihati sultan dalam hal-hal pentadbiran negeri. Setelah  itu, British mengubah pentadbiran negeri ke Klang pada tahun 1875,kerana mengikut perkiraan mereka, pentadbiran negeri sepatutnya berada di tengah-tengah hab ekonomi negeri, iaitu di Klang. Jugra mula mengalami zaman pudarnya. Daripada sebuah ibu negeri kini Jugra hanyalah menjadi pusat pentadbiran daerah Kuala Langat sehinggalah berpindah ke Telok Datoh pada tahun 1921. Pada tahun 1936, Sultan Alaudin  mula bersemayam di istana baru baginda di Klang.  Klang kini menjadi bandar diraja menggantikan bandar Temasya di Jugra. Sejak itu, Jugra, Bandar dan Langat kian dilupakan dalam kemajuan pesat negeri Selangor. Jugra hanyalah perkampungan desa yang pernah dijadikan 'permaisuri' oleh golongan istana suatu masa dahulu.

Indeks Halaman Utama

Rujukan:

THE MALAY COMMUNITY OF KUALA LANGAT IN THE LATE NINETEENTH CENTURY

J. M. GULLICK
Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
Vol. 77, No. 2 (287) (2004), pp. 1-25
Published by: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
Article Stable URL:http://www.jstor.org/stable/41493523


http://digital.library.upenn.edu/women/bird/chersonese/chersonese.html#selangor

file:///C:/Users/user/Downloads/Selangor%20administration%20report,%201913%20%28September%2025%29.htm

7 ulasan:

  1. Assalamualaikum cikgu..Saya teruja untuk mengenali sejarah Jugra khususnya daerah Kuala Langat. Moyang sebelah ibu saya adalh anak jati Kuala langat yg bermukim di Telok Gong dahulu kemudian berpindah ke Tanjung 12 K langat Banting.Apa yg diceritakan secara lisan ,datuk moyang saya adalah salah satu Datuk Penggawa yg bermukim di Tanjung 12 Kuala Langat. Cuma sejarah nya tidak diketahui secara tepat.Beliau merupakan assistant kpd Sultan Selangor yg ke4 yg berpusat di Jugra.
    Saya masih berkunjung ke rumah peninggalan usang ninda saya yg masih ada di Banting. Ibu saya pernah bercerita ttg pahlawan Panglima gararng,panglima Baruh dan org2 bugis terdahulu yg meneroka tmpt ini. Hasil dari perkhidmatan moyang saya dgn sultan,mrk telah di kurniakan tanah utuk bermukim di situ.Semoga saya dapat menjejaki kisah sejarah moyang2 kami..al fateha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh sy tau lebih lanjut nama moyang tuan? Sy tinggal di kg sungai rambai, Kuala Langat

      Padam
    2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

      Padam
    3. Tuan tanpa nama tinggal di sungai rambai? Saya tinggal di banting, adakah tuan menjejaki asal usul juga seperti saya

      Padam
    4. saya anak jati TPG, sekarang tinggal di Seremban

      Padam
    5. Tuan tanpa nama, sy juga tinggal di kg sg rambai.. Boleh sy dpt contact tuan?

      Padam
    6. contact saya di FB Syed Mokhtar Alsagaff

      Padam

Sejarah Rumah Rehat dan Halting Bungalow di daerah Kuala Pilah

Assalamualaikum buat semua pembaca dan peminat Blog Atok ini. Selawat dan salam buat Junjungan Besar kita Saidina Muhammad ibni Abdullah, na...