Jumaat, 12 Disember 2014

Dari TPG ke Jeddah: Kehidupan di atas Kapal Haji

Salam buat semua. Sekali lagi aku ingin ucapkan terima kasih atas minat korang terhadap entri-entri aku dalam blog ini. FYI, blog aku ini bukan rekaan. Aku tulis berdasarkan pengalaman, pengamatan, kajian aku dalam mengharungi kehidupan di TPG sepanjang hidup aku. So, jangan risau, cerita yang aku tulis ini benar-benar berlaku, bukan cobaan.....HAHAHA.   Jom kita sambung cerita semalam pasal pengalaman datuk nenek dan orang kampung kita semasa belayar ke tanah suci..Jom

Keadaan Dalam Kapal Haji

Perjalanan ke tanah suci pada masa dahulu tidak semudah dan seselesa hari ini. Pelayaran selama 21 hari dengan kapal wap dan 16 hari dengan kapal diesel ini sememangnya berisiko. Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah dan balik, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal.  Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.
Sebelum 1900, tidak ada sebarang peraturan pelayaran dikenakan ke atas kapal-kapal ini. Kapal-kapal dagang ini tidak dibina untuk membawa penumpang dalam jumlah yang ramai (melebihi 1000 orang setiap kali pelayaran). Tidak ada ‘ medical inspection’, ruang tidur yang begitu terhad (ruang seluas 16 kaki padu seorang), penumpang terdedah kepada panas dan hujan serta ribut (walaupun khemah kanvas dipasang),kepayahan untuk memasak ketika ribut,  dan ada di antara mereka terhumban ke laut ketika laut bergelora. Mereka berserah dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah Taala atas untung nasib mereka


Kemudian mulai tahun 1900, barulah kerajaan British dan Belanda mengadakan peraturan (mematuhi Konvensyen Maritim Antarabangsa), khusus untuk kapal-kapal ini dalam urusan mengendalikan Jemaah haji. Setiap kapal tertakluk untuk mematuhi segala peraturan pelabuhan termasuklah saiz  dan kapasiti kapal. Bilangan Jemaah dikurangkan daripada 1000 kepada  500 orang sahaja dalam setiap pelayaran demi keselesaan dan keselamatan kapal dan penumpang. Pihak perkapalan mesti menyediakan hospital sementara dalam kapal, lengkap dengan wad dan juga pasukan perubatan mereka sendiri termasuk minimum seorang doktor bertugas. Semua Jemaah disuruh menjalani pemeriksaan doktor.Semua kes demam akan dilaporkan kepada pihak pelabuhan. Terpulang kepada pihak berkuasa pelabuhan sama ada untuk mengenakan perintah kuarantin atau tidak. Bagi Jemaah wanita dan wanita mengandung, mereka diperiksa oleh jururawat dan bidan berbangsa Melayu yang telah lebih 10 tahun pengalaman bekerja di atas kapal haji.

Setelah kapal bertolak, mereka semua duduk di atas dek. Kesemua barangan mereka diletakkan ditengah- tengah dek kapal .Keadaan di atas dek kapal memang sesak. Di atas dek inilah mereka baring, duduk, berzikir, menunaikan solat berjemaah,dan tidur. Untuk sedikit privasi (mungkin juga kerana ada Jemaah wanita),  mereka memasang kain langsir. Mereka membentangkan tikar dan permaidani  masing-masing yang disempadani dengan beg-beg kecil mereka dan tali yang diikat untuk menyidai pakaian mereka. Mereka berbual-bual dan berkenalan.Mereka tidur beralaskan karpet atau tikar. 


Sekiranya berlaku kematian di atas kapal, jenazah akan dikebumikan di laut dengan penuh penghormatan diiringi bacaan ayat2 suci Alquran. Pada tahun 1897, ramai Jemaah tua meninggal dunia. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh. Dianggarkan 30% kematian para Jemaah melibatkan warga emas, berlaku ketika dalam pelayaran.

Antara sebab-sebab kematian berpunca daripada terjatuh, keletihan kerana terpaksa turun naik tangga untuk mengambil air,minum,makan dan terpaksa beratur panjang dan menunggu lama  untuk mandi , ruang tidur sempit kerana beg terlalu banyak.70% selebihnya akibat keadaan iklim dan kehidupan yang ekstrem di Saudi Arabia dan di tanah haram.

Walaupun ramai yang mabuk laut kerana inilah kali pertama mereka menaiki kapal atau berada di laut dalam jangka masa yang agak lama, tetapi rata-rata Jemaah bersemangat tinggi. Rutin seharian mereka ketika dalam pelayaran ini hanyalah sebagaimana kebiasaan mereka lakukan, makan,minum, merokok,makan sirih, solat, mengaji dan berbual. Setiap hari soalan yang sama mereka tanyakan, Berapa lamakah lagi untuk sampai ke Jeddah?

Memandangkan kapal ini kapal kargo milik bukan Islam, Jemaah perlu memasak makanan mereka sendiri dengan bekalan yang dibawa. Di sepanjang rel dek paling atas, ditempatkan ruang untuk memasak. Kayu dan air disediakan manakala Jemaah perlu memasak sendiri di ruang yang disediakan. Peralatan memasak seperti cerek enamel, dapur masak minyak tanah mereka bawa sendiri. Tatkala ribut melanda, mereka masuk berlindung ke dalam kabin,dan terpaksa berlapar sepanjang pelayaran bergelora itu.


Kemudian, dengan sedikit kenaikan tambang perjalanan, pihak perkapalan bertanggung jawab menyediakan makan minum para Jemaah. Tukang-tukang masak Melayu diupah untuk menyediakan makanan dan minuman. Untuk memudahkan pengurusan sajian makanan, mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan dan tempat ketika makanan disediakan. Setiap Jemaah,  tanpa mengira usia, diperuntukkan  1  1/10 gelen air minuman bersih sehari dan makanan dihidangkan pada masa-masa yang ditetapkan di bawah pengawasan anak kapal. Menu makanan yang dihidangkan seperti telur itik masin,ikan kering, nasi, sayur awet, cili dan bawang, cuka minyak kelapa dan kicap. Teh dan kopi juga disediakan sebagai minuman. Tukang masak ditempatkan di setiap tempat tersebut untuk menyediakan makanan 2 x sehari, pagi dan petang. Pada tahun 1953, pihak kapal haji membawa bersama kambing biri-biri hidup untuk  dijadikan makanan semasa dalam pelayaran.  Air untuk mandi dan berwuduk disediakan sebagai  air tambahan. Rata-rata para Jemaah berpuas hati dengan menu dan makanan kecuali sungutan kecil yang mengatakan beras Brazil yang ditanak tidak sedap, mohon ditukar kepada beras Siam. Kantin  di dalam kapal juga menjual keperluan jemaah termasuk minuman dan makanan untuk memenuhi kehendak dan selera penumpang di antara  sela masa makanan dihidangkan.

Keratan Akhbar  tahun 1927


Keratan Akhbar 1938
Keratan Akhbar Tahun 1949
Keadaan dalam  kapal haji
keadaan dalam kapal haji 2
keadaan dalam kapal haji 3


Mereka terus menghitung hari dan ketika terlihat daratan mereka bersorak kegembiraan, petanda mereka menghampiri Jeddah. Setelah 16-21 hari di laut, akhirnya mereka tiba di Pulau Kamaran, dan sekiranya tiada wabak yang menular, mereka akan meneruskan perjalanan ke Jeddah. Sebelum tahun 1930,sekiranya berlaku kes, wabak penyakit menular di atas kapal, mereka akan dikuarantin di sini selama  5 hari manakala kapal dari India 10 hari. Dilaporkan pada tahun 1939, bayaran cukai kuarantin wajib dibayar dalam bentuk emas. Sampai sahaja kapal haji di Jeddah, semua  Jemaah haji diminta turun dan menaiki tongkang kerana kesesakan di pelabuhan Jeddah tidak dibina dermaga secukupnya untuk kapal rapat ke pelabuhan.Pada tahun 1921, dilaporkan Jemaah terpaksa membawa  turun sebanyak mungkin air dari kapal mereka kerana berlaku krisis air di Jeddah.

Insya Allah..kita sambung nanti deh...Assalamualaikkum. 

Rujukan:
http://www.merchantnavyofficers.com/hadj.html
http://english.ahram.org.eg/News/115775.aspx

2 ulasan:

  1. arwah moyang aku mcmnila..g haji thn 1926 sekali...then pg lagi thn 1956..naik kapal laut..

    BalasPadam
  2. arwah atuk g thn 1972 naik kapal lautjuga.alhamdulillah aku pun da pg hj thn 2002,.kne pg lg ni...

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...