Khamis, 11 Disember 2014

Kisah Pelayaran Kapal Haji di Port Swettenham

Salam buat semua. Harap semua dalam keredaan Allah hendaknya. Seperti yang korang maklum, entri aku yang lepas, cerita pasal pengorbanan para tetamu Allah menyiapkan diri menyahut panggilan Kaabah. Semestinya kita umat Islam, wajib menyimpan niat untuk menunaikan rukun Islam kelima ini sekiranya kita mampu. Apa-apa pun niat itu penting. Soal mampu atau tidak, bila dan bagaimana kita serahkan pada Allah. InsyaAllah, InsyaAllah, InsyaAllah.. you'll find a way. Teringat aku lagu nyanyian Maher Zain yang meletop satu masa dulu. Awas, jangan sesekali kita memandang enteng soal niat ini kerana Allah SWT telah memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang enggan mengerjakan haji sedangkan dia telah cukup mampu daripada segala segi sebagaimana hadis di bawah ;
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ إِلَى بَيْتِ اللَّهِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلَا عَلَيْهِ أَنْ يَمُوتَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ
{ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }
Dari Ali, Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani ini kerana  Allah telah berfirman dalam kitabnya .... { وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }     Riwayat Turmizi.
Jadi, sebagai orang Islam sedaya upayalah kita berikhtiar untuk memenuhi tuntutan agama ini. Entri aku kali ini menyambung kisah pelayaran datuk nenek kita di TPG, Malaya dan merata tempat di nusantara ini menunaikan rukun Islam kelima ini dengan penuh kepayahan dan tawaduk (rendah diri) terhadap Allah SWT sehingga mereka dapat merasa kemanisan iman dalam ibadat dan kehidupan mereka sehingga dijemput pulang oleh Allah.
 Cara mengumpul wang untuk ke Mekah
Sesungguhnya menunaikan haji merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu. Mampu menurut tafsiran ulama bererti mampu dan berupaya dari segi fizikal, sihat tubuh badan, tiada halangan dalam perjalanan ,keselamatan terjamin, serta yang paling utama kemampuan kewangan. Maknanya, mereka sudah menyediakan perbelanjaan seharian untuk diri dan keluarga yang ditinggalkan di kampong semasa mereka di tanah suci. Namun, bagi mereka  yang telah  bertekad untuk ke tanah suci, wang ringgit bukan masalah utama bagi mereka. Mereka bertawakal kepada Allah atas seluruh kehidupan mereka ,sama ada sebelum ke Mekah atau selepas kembali mereka ke kampong.  Walaupun mungkin kewajipan itu belum tertuntut atas mereka, namun keimanan yang tinggi mengatasi segalanya. Menjadi tetamu Allah itulah impian mereka. Dengan niat suci itu, ada di antara mereka yang menjual tanah pusaka sekangkang kera di kampong untuk membiayai perjalanan suci mereka. Seluruh anggota keluarga, baik besar kecl tua dan muda dibawa bersama. Biarlah Allah yang menentukan nasib mereka kemudian. Sesungguhnya, Allah telah menetapkan ajal, maut,rezeki, dan jodoh setiap makhlukNya dan Allahlah sebaik-baik pentadbir.

Pernah aku terbaca kisah Orang-orang Jawa  yang sanggup bekerja secara kontrak di Johor dan lain-lain tempat di Tanah Melayu kerana dijanjikan ibadah haji selepas tamat kontrak. Mereka, seperti juga pendatang Indonesia kini, bertekad mengumpul sebanyak mungkin wang ringgit sebelum mereka pulang ke kampong halaman di Pulau Jawa. Ada sesetengah daripada mereka menggunakan duit simpanan kerja mereka sebagai tambang  seluruh keluarga mereka untuk ke Mekah. Sebenarnya visi mereka selepas pulang dari Mekah nanti mereka akan berhijrah ke Malaya bagi membuka petempatan baru di Johor dan Selangor. Penjualan tanah pusaka di kampung halaman itu boleh digunakan untuk modal untuk memulakan kehidupan baru ketika berhijrah nanti.

Namun, bagi majoriti jemaah haji, mereka menabung siang dan malam dengan  pekerjaan yang biasa mereka lakukan. Biarpun mengambil masa yang lama, bahkan ada yang telah menyimpan sejak puluhan tahun, sedikit demi sedikit, untuk ke Mekah. Mereka merancang pemergian mereka kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk anak-anak, sekembalinya mereka dari tanah suci nanti. Lagipun, mulai 1948, banyak badan agama negeri-negeri di Malaya mensyaratkan Jemaah tidak dibenarkan ke mekah jika tidak memenuhi  syarat seperti yang ditetapkan. Untuk itu, bakal haji perlu mendapatkan pengesahan Pegawai Daerah di tempat masing-masing. Mereka mesti mempunyai wang yang secukup nya untuk menampung  semua urusan ke Mekah, DAN mesti juga cukup  wang untuk menyara tanggungan di kampung. Mereka juga tidak dibenarkan menjual atau menggadai tanah untuk ke Tanah Suci. Tapi kenapa diletakkan syarat sedemikian rupa ?

Sebabnya, mengikut kajian sosiobudaya, masyarakat Melayu sebelum 1951 menjalani 3 peringkat kehidupan; Bina rumah, kahwinkan anak, kemudian baru ke Mekah untuk naik haji. Kebiasaan orang Melayu masa itu mengambil jalan mudah, jual tanah pusaka untuk kahwinkan anak-anak, kemudian selepas itu mereka jual lagi tanah buat tambang ke Mekah. Sekembali mereka dari Mekah, masalah bermula. Mereka hidup merempat, terpaksa mengharapkan belas ehsan saudara mara, menumpang tanah untuk tapak rumah. Mereka terpaksa memulakan penghidupan baru yang memeritkan sedangkan usia mereka semakin lanjut. Sememangnya pergi ke Mekah itu diraikan tetapi bagi yang MAMPU., Apalah ertinya  kalau hidup masih miskin apatah lagi papa kedana setelah pulang?

Maka ditunjukkan jalannya oleh Ungku Abdul Aziz, seorang pensyarah (kini bergelar professor) Ekonomi di Universiti Malaya. Beliau menyarankan agar diwujudkan kaedah menabung menggunakan setem untuk  menunaikan haji. Caranya, penyimpan perlu membeli setem  bernilai 50sen-$100 di pejabat-pejabat pos yang berhampiran tempat tinggal mereka. Mereka kemudiannya akan diberi buku setem dan setem-setem tersebut hendaklah ditampalkan kedalam buku tersebut dan disimpan di rumah masing-masing. Kalau penyimpan mengumpul setem bernilai $4 sebulan, ditambah dengan pemberian bonus 3% setahun oleh pihak pejabat pos, mereka memerlukan simpanan selama 22 tahun untuk cukup sebagai tambang haji keseluruhannya. ( Pada tahun 1959, minimum $1500 diperlukan untuk ke Mekah). Kalau $100 sebulan pula, cukup 13 tahun penyimpanan, bolehlah mereka menghantar kesemua buku setem tersebut  ke RIDA (MARA) sebelum dihantar kepada  Lembaga Perusahaan Tabung Haji (Muslim Pilgrimage Savings Fund Board) untuk pengurusan perjalanan ke Mekah. Biasanya, bakal-bakal haji ini diberi notis 12 bulan untuk bersedia ke Mekah.

Ada juga sebahagian jemaah yang pergi sebagai pengiring, tukang masak, juru pandu, dipilih atau dibantu oleh badan amal. Mereka mengambil peluang bekerja di dalam kapal haji, sambil itu terus ke Mekah menunaikan kewajipan mereka. Apapun sebab dan caranya, mereka sudah bertekad untuk menunaikan haji, seterusnya menyimpan wang dan membeli tiket pelayaran untuk menebus dosa-dosa mereka dan menjadi tetamu Allah, suatu penghormatan tertinggi daripada Allah kepada makhlukNya, antara jutaan manusia yang bernafas di bumi. Maka, akan bermulalah satu pelayaran terpenting dalam sejarah hidup bakal haji tersebut.

"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak”

"Aku sambut panggilanMu, Ya Allah. Aku sambut perintahMu. Aku sambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan seluruh kekuasaan adalah milikMu sendiri. Tiada sekutu bagiMu."

Persediaan Terakhir Sebelum ke Mekah
Walaupun mereka telah bersedia, mereka tetap perlu menyediakan pasport dan kebenaran kerajaan sebelum bertolak. Kemudian, Jemaah perlu mendapatkan pas haji dengan bayaran $1, mendapatkan suntikan vaksin. Jemaah perlu pergi melalui broker haji yang akan menguruskan pengangkutan, tempat tinggal masing-masing  ketika di dalam kapal haji, biasanya kapal kargo.

Selalunya, bakal haji perlu memastikan keperluan anak isterinya yang tinggal di kampung ketika musim haji cukup keperluan mereka. Namun, kesemua itu tidak penting kerana masyarakat mereka akan memastikan makan minum anak-anak bakal haji terjamin dan mencukupi. Seperti yang diceritakan tadi,biasanya bakal calon haji akan menjual sebidang tanah mereka untuk menampung perbelanjaan mereka dan anak-anak di sana. Pakaian mereka akan dimasukkan ke dalam beg kotak yang kuat untuk diikat di atas unta nanti. Periuk belanga juga dibawa berserta tikar dan permaidani.Wang tunai dan barang kemas dimasukkan ke dalam tali pinggang dan diikat di pinggang, tiket dan pasport dimasukkan ke dalam  bekas tin dan disandang di bahu. Sandal dipakai dan dibawa untuk menahan kepanasan mentari padang pasir. Kemudian mereka bertolak dari kampung halaman masing-masing menuju ke pelabuhan dengan apa cara pengangkutan yang termampu dan dapat disediakan.


Keadaan di Pelabuhan


Seawal 7.00 pagi lagi,sanak saudara yang mengiringi bakal haji ke pelabuhan,mencurah tiba, bertali arus.Bahkan, ada yang bermalam di pelabuhan. Ketika itu kapal haji sedang berlabuh di dermaga nombor 9 di Pelabuhan  Swettenham. Kapal yang dalam perjalanan dari Singapura ke Jeddah ini  akan singgah di Kuala Klang ini dan Pelabuhan di Pulau Pinang untuk mengambil para Jemaah haji. Mulai tahun 1960, mereka dari Selangor, Negeri Sembilan,  dan Pahang tidak perlu lagi bergerak jauh untuk menaiki kapal haji. 

Maka rombongan ahli keluarga yang menghantar mereka ke pelabuhan-pelabuhan ini bertambah. Semua bekalan dan bagasi dilabelkan, ditulis nama pemiliknya. Suasana di dermaga  bertambah sesak, riuh rendah. Bukan sahaja mereka yang bersama keluarga Jemaah, kaum Cina juga kelihatan di sana untuk berjual kerusi, payung  dan pakaian. Maklumlah, hampir kesemua Jemaah haji ini merupakan penumpang dek, maka kerusi dan payung digunakan untuk duduk,bersandar dan berteduh daripada panas mentari dan hujan.  Pihak perkapalan tidak menyediakan kemudahan ini kerana kapal-kapal ini sememangnya kapal kargo yang disewa khas pada musim haji tanpa sebarang pengubahsuaian.
Setelah semua urusan memunggah naik barangan, tibalah masanya untuk para Jemaah naik ke kapal.  Walaupun jadual pelayaran kapal tersebut bermula jam 3.00 petang, para Jemaah diminta menguruskan sendiri tempat masing-masing di atas dek. Untuk tujuan itu, pihak kapal hanya membenarkan 4 orang ahli keluarga terdekat untuk naik, menghantar barangan. Mereka bersama bakal haji diberi pas berwarna putih untuk naik ke kapal, diiringi tangisan,sorakan, serta doa sanak saudara yang turut menghantar mereka ke pelabuhan. Sebelum kapal mengangkat sauhnya menandakan masa pelayaran akan bermula, suara azan dan doa berkumandang menerusi pembesar suara kapal tersebut. Tepat jam 3.00 petang, kapal mula meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara para Jemaah pun mula beransur pulang.

3 ulasan:

  1. Terima kasih atas penceritaan yg sungguh menarik

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas penceritaan yg sungguh menarik

    BalasPadam
  3. Sangat menarik.
    Mohon kebenaran untuk dikongsi.
    Terima kasih.

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...