Sabtu, 12 Jun 2021

Mengenali Keunikan Sejarah Kg. Permatang Pasir di Jugra

Salam buat semua. Apa khabar semua anak cucu Atok di mana sahaja korang berada? Atok doakan yang terbaik untuk korang dalam menjalani hidup ini di atas muka bumi Allah SWT. Tetaplah berada di rumah kalian. Corona sedang menggila di luar. Tak ada keperluan, tak payah keluar. " Duduk ontok-ontok kek umah", kata Wan korang dalam loghat Negeri Sembilannya. Sabar jer lah, nak buat macam mana? Kalau Corona tu orang boleh gak dipukul, disekel kepalanya, Ini benda tak nampak. Kau mandi air sanitizer sebaldi pun takkan nampak tandanya. Jadi ikut jer lah SOP yang disuruh. Jangan degil macam sesetengah orang dalam media sosial tu. Dah doktor nasihatkan, tak nak dengar. Mufti cakap dalam tv, dianjing-anjingkannya. Atok tak tahulah jin mana yang masuk dalam badan dia. Cukup degil. Atok rasalah mungkin emak abah diorang masa 'bersama' dahulu memang tak baca bismillah kot. Patutlah ada DNA jin dalam kepala dia. Pendekkan cerita, memang bodoh sombong. Bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut!. Oklah, Lantakkanlah diorang tu... Dah kena batang hidung, keluarga masing-masing baru nak dengar cakap, agaknya.

Minggu ini Atok nak bercerita lagi. Bukan apa, Atok cukup seronok respons korang tentang entri-entri Atok pasal harimau dan buaya di Jugra hari itu. Hah, pasal koranglah Atok teruja nak berkarya lagi!.Kan Atok dah cakap dulu, Atok seronok kalau kita kongsi cerita sejarah diri kita, tempat kita dan masyarakat kita. Bukan Atok nak mengumpat atau memfitnah orang-orang yang dah mati, tapi kita hargai jasa dan sumbangan orang tua, datuk nenek moyang kita agar kita pun sama-sama dapat jadi macam diorang berbakti kepada tanah air dan masyarakat sekeliling kita..  Ada fahaaam?

Sebenarnya Atok terpanggil untuk menulis entri ini kerana ada komen pembaca yang bertanyakan sejarah kampungnya, Kampung Permatang Pasir di Jugra. Atok cuba semak di internet kalau-kalau ada penulisan penduduk jati kampung itu tentang sejarah kampung mereka, tapi hampa. Kalau ada pun cerita, hanyalah pasal tempat untuk memancing atau cerita-cerita biasa sahaja. Patutlah pembaca itu mengeluh hampa. Pelik juga, kan? Takkanlah tempat sehebat ini tiada cerita semasyhur Jugra? Sebenarnya apa yang diceritakan mengenai Jugra bukanlah merujuk kepada spesifik sesuatu kampung. Jugra merujuk kepada suatu kawasan umum atau lebih tepat mukim.  Jadi, apa sahaja yang disebut berlaku di Jugra dalam sejarah mungkin berlaku dalam kampung-kampung tertentu termasuklah di Kg. Permatang Pasir, cuma tidak disebut secara langsung atau tepat. Tapi Atok percaya kalau diselidiki  garis masa dan urutan peristiwa bersejarah di sana pasti terungkai masa dan tempatnya.

So, berbekalkan azam dan andaian itu Atuk memulakan pelayaran di samudera luas bernama internet. Gali punya gali, Atok dah jumpa beberapa tokoh dan hal unik tentang Permatang Pasir.  So, guys, apa lagi? Pinjamkan Atok biji mata korang. Iyo, dua-dua sekali. Atok nak korang, terutama anak-anak jati kampung Permatang Pasir fokus apa yang Atok dah jumpa tentang uniknya sejarah kampung korang ini.

1.  TOKOH-TOKOH TERNAMA

Kg. Permatang Pasir sememangnya telah wujud seiring dengan pembukaan Bandar Temasha di Jugra dalam tahun 1867, mungkin lebih awal daripada itu. Jugra telah wujud lebih awal lagi sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Hang Tuah dikatakan pernah singgah di sini dalam pelayarannya ke Klang dalam abad ke-15 dahulu. Tapi rekod tentang Permatang Pasir memang tiada sehinggalah kedatangan Inggeris ke Selangor dalam tahun 1873. 

Oklah, sebelum Atok cerita lebih jauh lagi, ada lebih baiknya Atok tajamkan semula ingatan subjek Sejarah korang tentang sebab campurtangan Inggeris di Selangor. Salah satu sebabnya ialah kes pembunuhan anak-anak kapal dagang Cina dari Melaka on the way ke Pulau Pinang dalam tahun 1873. Korang bayangkanlah bangun jer pagi tetiba di Kuala Jugra sudah ada 8 buah kapal perang China Fleet Inggeris yang sedang menghalakan semua meriamnya ke arah bukit Jugra dan istana Sultan. Tak terkejut beruk ke semua orang di Jugra dibuatnya, termasuk sultan?

Inggeris minta keadilan daripada Sultan tentang lanun-lanun yang telah membunuh anak-anak kapal lindungannya. Lagipun Selangor sememangnya ada perjanjian perdamaian dengan Melaka dan Negeri-negeri Selat.

Maka, melihat situasi yang mencemaskan itu, dan dengan pujukan anak menantunya, Tengku Kudin yang bersahabat baik dengan Inggeris di Melaka, Sultan Abdul Samad bersetuju untuk menerima Residen di Selangor dan menubuhkan tribunal menghakimi pesalah atau lanun-lanun tersebut. 

Mengikut tulisan Frank Swettenham, Ketua Lanun@Master mind atau perancang utama serangan lanun ke atas kapal dagang milik Cina Melaka itu ialah Tengku Yaakob, anakanda Sultan Abdul Samad sendiri. Disebabkan anak kerabat yang terlibat,  mereka dikatakan mencari 'kambing hitam' untuk mengelakkan daripada dihukum. Maka dua penduduk orang tempatan dijatuhi hukuman bunuh dengan keris, dengan perkenan baginda.

Walaupun tak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sultan itu, British tidak memprotes kerana tujuan mereka memang untuk campurtangan dalam hal ehwal Selangor sudah berjaya, maka terhentilah Perang saudara di Selangor. Dikhabarkan dalam rekod Inggeris, Tengku Yaakob tinggal di kampung Permatang Pasir. Hah, itu tahun 1873. Pasti Permatang Pasir telah wujud lebih awal daripada itu!

Tapi kan, walaupun Atok tak hendak ulas cerita yang dah menjadi sejarah, tapi, bagi Atoklah perkataan Ketua Lanun itu terlalu menghinakan bagi seorang anak raja. Atok rasa Frank Swettenham bias atau prejudis dengan perjuangan anak pribumi menentang penjajah, Belanda dan Inggeris. Perlu diingat, keluarga diraja Selangor ini berketurunan Bugis. Jihad menentang Belanda telah membara di jiwa mereka kerana Belanda menyerang dan membunuh serta meruntuhkan kerajaan-kerajaan Islam kecil di tanah leluhur mereka, di Sulawesi. Sebelum ini pun, Selangor dan Belanda saling menyerang kedudukan mereka di Kuala Selangor dan Pangkor untuk menguasai perdagangan bijih timah dan Selat Melaka. Apa jua cara yang dapat menyekat kegiatan ekonomi musuh itu dianggap jihad dan taktik peperangan, termasuklah menyerang kapal-kapal di laut. So, janganlah terpedaya dengan apa sahaja yang ditulis oleh penjajah. Baca dan rasakan firasat kamu tentang mereka.


Kemudian, setelah Selangor menjadi 'jajahan' Inggeris, lahir lagi seorang tokoh pejuang berinspirasikan agama di bumi Permatang Pasir. Anakanda Raja Muda Musa sendiri, iaitu Tengku Sulaiman dibesarkan di sana. Baginda mengikut ayahandanya menetap di kampung ini pada usia 12 tahun. Baginda gemar bermain sepak raga dengan kawan-kawan sebaya di kampung tersebut.



Baginda juga suka akan kerbau malah memiliki sekawan kerbau yang dibiarkan bebas merayau-rayau.  Kalau nenda baginda ,SAS suka akan pertanian, baginda pula sukakan penternakan kerbau. Malah hobi ini diturunkan kepada cucunda baginda,  Almarhum Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah, ayahanda Sultan Selangor sekarang yang memelihara rusa di kaki bukit Jugra dalam tahun-tahun 80 hingga 1990-an dahulu.

Apabila ayahandanya Raja Musa ibni Sultan Abdul Samad meninggal dunia dalam tahun 1884 dan disemadikan pusaranya di Klang, maka Raja Muda Musa ditabalkan menjadi Raja Muda Selangor yang baharu. Dengan status dan kuasa yang ada baginda telah cuba membawa perubahan dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya baginda telah mendirikan sebuah sekolah Melayu untuk perempuan di Jugra dalam tahun 1895. Segala perbelanjaan pengajian dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh baginda. 

Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Raja Muda Musa , cucunda kesayangan Almarhum Sultan Abdul Samad telah diisytiharkan sebagai Sultan Selangor ke-5 di Istana Jugra (Istana Sedang Masa). Majlis perisytiharan itu telah dihadiri oleh para pembesar negeri dan turut dihadiri oleh William Hood Treacher – Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu  Bersekutu.Istiadat pertabalan Tengku Sulaiman sebagai Sultan Selangor ke-5 telah diadakan pada tanggal  22 Oktober 1903 di Istana Mahkota Puri Klang, dengan gelaran Sultan Ala’eddin Sulaiman  Shah. Masih ramai lagi kaum kerabat baginda AlSultan tinggal di kampung Permatang Pasir sehingga kini.

2.  KEDUDUKAN YANG STRATEGIK
Kalau berdasarkan peta, kedudukan kampung Permatang Pasir ini memang strategik. Kenapa Atok katakan begitu? 
Pertama, Bukit Jugra setinggi 267 meter dari aras laut ini, yang menjadi mercu tanda  dan pertahanan Jugra agak luas dan curam di sesetengah lurah dan susuh bukitnya. Untuk mendaki dan berada di puncaknya dalam masa tersingkat amatlah perlu. Maka menerusi keratan rentas bukit ini sebagaimana ditunjukkan di bawah:

Point of Entry adalah di kaki bukit itu berdekatan dengan kampung Permatang Pasir. Ya, di belakang masjid, ikut laluan paip air besar ke Loji Rawatan Air. Pihak TUDM Bukit Jugra juga menggunakaan trek ini untuk menggerakkan tentera PASKAUnya yang bertugas menjaga stesen radarnya suatu masa dahulu. Maka tepatlah pemilihan Permatang Pasir sebagai petempatan kerabat-kerabat sultan yang lain dan hulubalang-hulubalang mereka. Tambahan pula, Bandar Temasha merupakan petempatan rasmi diraja yang formal dan eksklusif dan semestinya perlukan ketenteraman maksimum. yang hanya terdapat istana dan gudang simpanan bijih timah milik peribadi sultan serta beberapa buah rumah pembesar istana serta kerabat utama baginda.



Kedua, Permatang Pasir hanyalah dua batu (kurang 4km) jaraknya dari kampung Bandar Temasha. Jadi, andai kata berlaku kecemasan atau darurat dan sultan serta kerabat baginda perlu dievakuasi segera, keluar dari Jugra, maka, tindakan segera dapat diambil.

Ketiga, Kemajuan dan pembangunan pekan Jugra ketika awal campurtangan Inggeris di Selangor (1878-1885) menyaksikan pembinaan istana baharu (Istana Sedang Masa) lengkap dengan kandang kuda dan gudang, pejabat daerah, rumah pasong, banglo Pemungut Hasil, serta deretan kedai untuk memenuhi keperluan semua penduduk. Jadi, kedudukan Permatang Pasir yang terletak hanya kira-kira 4.8 km dari  Jeti Batu Ampar merupakan perkampungan terdekat dengan pekan Jugra ketika itu. Maka, segala keperluan prasarana di situ termasuk sumber tenaga manusia dipenuhi oleh penduduk kampung ini. Ramai penduduk di situ bekerja dengan pihak istana, pihak kerajaan Inggeris, pekedai-pekedai Cina selain menjadi buruh di pelabuhan Batu Ampar dan nelayan termasuklah relau pembuatan kayu arang.
Sebagai pusat pentadbiran Selangor yang baharu, beberapa perahu dan kapal wap milik kerajaan berulang alik dari Klang ke Jugra. Kapal wap Abdul Samad membawa penumpang diraja,  pekerja-pekerja dan pengurus- pengurus estet berdekatan dan pegawai kerajaan di samping mel. Kapal wap Enid berulang alik ke Jugra dari Klang ke Jugra  dua minggu sekali. Pada minggu berikutnya kapal tersebut belayar dari Klang ke Kuala Selangor. Tongkang dan kapal wap kepunyaan pedagang berbangsa Cina juga berlabuh di jeti Batu Hampar Jugra. 



Laluan darat Batu Ampar- Bandar (Temasha) melalui Permatang Pasir ini menjadi laluan penting perdagangan ke pedalaman Sungai Langat. Bijih timah,  beras,rotan, damar, getah percha dari Hulu Langat diangkut dengan sampan dan tongkang berlabuh di pengkalan perahu di Bandar, dipunggah naik hasilnya ke atas kereta lembu sebelum diangkut ke Batu Ampar untuk dipunggah kembali ke dalam tongkang dan kapal wap kecil untuk dibawa belayar ke Melaka dan Singapura. Begitu juga dengan hasil-hasil dari luar dibawa kembali ke pedalaman Langat untuk keperluan mereka di situ Jalan darat baru sejauh 7 km ini memberi sinar baharu kepada ekonomi dan prospek Jugra sebagai kawasan membangun.

3.  PEMBUATAN KAYU ARANG
Dahulu kayu merupakan keperluan sebagai bahan api domestik. Bagi penduduk di bandar pula, kayu arang menjadi pilihan mereka. Dengan kedudukannya di tengah-tengah rimba kayu bakau, Jugra mempunyai relau pembakaran kayu arangnya. Kayu-kayu arang ini bukan sahaja untuk keperluan setempat tetapi dijual ke bandar-bandar besar seperti Klang, Melaka dan Singapura. Memang kedudukan kilang arang ini di Jugra, tetapi pekerja-pekerjanya rata-rata dari Permatang Pasir. Rasa-rasa Atok dah takde dah relau-relau tu lagi...Last Atok tengok awal tahun 1980an. Dah tak ada lagi pasal permintaan untuk kayu arang dah kurang kecuali tukang bakar sate.

contoh relau kayu arau di Kuala Sepetang, Perak

    


4.  KEUNIKAN SUBDIALEK BAHASA MELAYU VERSI PERMATANG PASIR

Satu kajian ilmiah  dan lapangan, dari Fakulti Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia UKM telah dilakukan di Kampung Permatang Pasir. Mereka mendapati sebutan, nada,slanga, lenggok kata penduduk di sini agak unik, berbeza daripada dialek Bahasa Melayu yang dituturkan oleh penduduk-penduduk walaupun dalam daerah yang sama, Kuala Langat. Dalam konklusinya pengkaji mengatakan:

Sistem Fonem Vokal Dialek Melayu Jugra Permatang Pasir

"Dalam makalah ini, pengkaji telah mendeskripsikan aspek-aspek fonologi yang belum 
mendapat penjelasan terhadap beberapa kajian tentang DMJ VPP. Analisis data bermula dari 
segi penyebaran fonem dan bunyi yang terdapat dalam kawasan kajian berdasarkan bunyi 
vokal, diftong dan konsonan. Hasilnya, DMJ VPP mempunyai 8 fonem vokal iaitu /i, u, e, o, 
, , , a/ yang terdiri daripada tiga vokal depan, dua vokal tengah, dan tiga vokal belakang 
serta memiliki dua diftong iaitu /-aw, -aj/ yang dibunyikan sebagai -aw, -aj. Dua diftong ini 
hanya hadir pada posisi akhir kata sahaja. Sehubungan itu, DMJ VPP mempunyai 19 fonem 
konsonan; tujuh buah konsonan letupan /p, b, t, d, k, g, dan /, dua konsonan letusan /t, d/, 
tiga konsonan geseran /s, , h/, empat konsonan nasal /m, n, , /, satu konsonan sisian /l/ dan 
dua konsonan separuh vokal /w, j/. Hasil penemuan ini diharap dapat memberikan satu 
sumbangan yang baharu dalam bidang linguistik dan dapat meleraikan segala permasalahan 
yang timbul dalam kajian-kajian yang lepas."

HAH, AMMEKKAU! Sepatah pun Atok tak faham, apa lagi nak ceritakan kat korang! Tapi yang pastinya bagi Atok secara peribadi, penduduk-penduduk kampung ini memang ramah, menyeronokkan apabila diajak bersembang, terasa seperti Atok sebahagian daripada mereka. Pengalaman Atok selama lebih 7 tahun ketika menabur bakti sebagai pendidik di sebuah sekolah menengah di Jugra, memang ada sedikit perbezaan antara pelajar-pelajar Permatang Pasir dan  budak kampung-kampung lain sekitar Jugra. Mereka ini lebih bersopan ketika berbual, lebih mendengar kata  dan arahan guru dan kurang masalah disiplin. Mungkin inilah hasil hidup  dengan pelbagai lapisan masyarakat; golongan kerabat istana, pekerja biasa, Cina, India, Orang Asli dan pendatang-pendatang asing. Pertuturan dan rasa hormat yang  terjalin menunjukkan hati budi  sebenar mereka.


Secara peribadinya, Atok sukakan sambal nasi lemak diorang, memang tak sama dengan tempat lain walaupun di TPG. Special, lain daripada yang lain. Mungkin warisan air tangan nenek mereka yang pernah bekerja di dapur istana.
Kini, Permatang Pasir berubah wajah. Pembangunan ada di mana-mana.  Mungkin jugalah berkat doa orang-orang alim dahulu di situ, Jugra kini menjadi hub Pendidikan. Tempat orang luar menuntut dan menimba ilmu. Di sini ada pusat tahfiz, pusat kemahiran dan pusat pengajian tinggi. Kalau di tempat lain, di pusat perindustrian, anak-anak mudanya berambut karat,berpakaian jelek, mencolok mata, tapi di sini lahir generasi pendokong agama, berakhlak mulia serta sejuk mata memandang. Inilah Jugra, bumi ulama, pewaris para nabi, insha Allah.
Kesimpulannya, wahai penduduk -penduduk kampung Permatang Pasir! Bersyukurlah kerana kamu mempunyai suatu sejarah yang membanggakan kami semua penduduk Kuala Langat. OKlah,  karang, naik kembang pula hidung orang Permatang Pasir kalau dipuji-puji berterusan begini. Korang tengoklah gambar-gambar dan maklumat dibawah ini:

Pembinaan Balai Polis Permatang Pasir dan kuarters kelamin dalam tahun 1889


Permohonan Sumbangan kerajaan untuk pembinaan Masjid Permatang Pasir tahun 1903

Wang Sumbangan Kerajaan buat Pembinaan Masjid Permatang Pasir pada tahun 1904

       Pembinaan  semula Kuarters Pekerja/ Cooly lines di Permatang Pasir pada tahun 1905




Pembinaan Sekolah Baharu di Permatang Pasir pada  tahun 1905

Penubuhan Majlis Pembersihan Pekan Permatang Pasir dalam tahun 1912








Rujukan:



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...