Sabtu, 2 April 2022

Sejarah Balai Polis Telok Datok (1920- 1941)

 Salam buat semua. Atok sambung lagi cerita pasal Balai Polis dan Kepolisan di Kuala Langat. Atok pecahkan kepada era awal pemerintahan British, ketika Pendudukan Jepun dan zaman Darurat, masa awal kemerdekaan seterusnya tahun-tahun terkini. Atok masukkan cabaran dan fungsi pasukan polis pada setiap garis masa. Atok akan berikan beberapa contoh kes dan kejadian serta evidens keratan akhbar, gambar atau bahan bercetak lain untuk korang. Banyak sungguh yang korang nak kena hadamkan! Tapi korang jangan risau... Atok takkan melalut jauh. Atok akan fokuskan cerita kita berkisar di Banting dan Kuala Langat sahaja. 

Peranan dan fungsi balai polis ini juga bertambah dan berubah mengikut masa. Anggota polis tidak lagi mengiringi pegawai pemungut hasil atau magistret. Namun tugas dan tanggung jawab mereka bertambah. Selain menerima repot dan menyiasat aduan masyarakat, polis juga mengeluarkan lesen dan permit Senjata api bagi tujuan perburuan dan kawalan tanah pertanian. Mereka juga mengetuai operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sungai dan laut, mangsa serangan buaya dan harimau, babi hutan atau yang  tersesat di hutan.Pada tahun-tahun 

Awal 1940-an, pasukan polis dihantar bagi menyuraikan mogok-mogok ganas oleh pekerja-pekerja ladang berbangsa Tamil yang meminta kesamaan upah dengan bangsa-bangsa lain di samping kondisi tempat tinggal yang semacam penghambaan moden di estet. Dikatakan rusuhan tersebut dipengaruhi anasir subversif komunis. Malah balai polis ini juga pernah menjadi pusat agihan ubatan untuk demam Malaria.

Kalau terlebih itu, anggap sahaja ilmu tambahan buat korang. DAN...Atok pasti korang akan lebih menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis yang selama ini dicemuh hebat hanya kerana "beberapa ekor langau yang mengerumuni najis sehingga kotorlah tubuh sang kerbau itu". Hahaha...ini bukan peribahasa tau, ini untuk orang yang tak tahu bahasa yang suka mengata dan mengutuk berlebih-lebihan.

Bukannya apa, setiap kali melintasnya kereta Atok sama ada ke Klang mahupun ke Banting pasti melintasi bangunan lama di pinggir jambatan dan jalan ini. Maka terlintas di fikiran Atok untuk menelusuri sejarah bangunan tua ini. Apa yang tersurat dan tersirat di sebalik megahnya dia membatukan diri di pinggir jalan dan kali. Atok nak buka lipatan sejarah keagungannya. Atok nak imbas kembali suka duka, tangis sendu penghuninya. Itulah dia Balai Polis lama Telok Datok. Korang nak dengar dan baca tak cerita Atok selanjutnya? Tunggu kejap ya. Atok nak ambil popcorn dan Super Ring. Sambil bercerita, sambil mengunyah jajan sedaaap!

Balai Polis Telok Datok

Sebenarnya Balai Polis Telok Datok sudah ada sejak zaman Sultan Abdul Samad lagi, cuma mungkin hanya layak dipanggil pondok polis sahaja. Pada masa itu, penduduk di kawasan Tanjung Dua Belas belum ramai lagi. Hanya pada tahun 1929, sebuah balai polis baru telah dibina di Teluk Datuk berikutan dengan ramai penduduk membuka kawasan baru di sana. Dengan lokasi strategik iaitu di pinggir 3 jalan utama Telok Datoh- Klang, Telok Datoh-Bangi dan Telok Datoh-Sepang, bangunan baru polis ini memang selesa untuk urusan rakyat pada masa itu. Bangunan bercirikan kolonial ini merupakan kompleks pentadbiran yang dilengkapi balai polis konkrit 2 tingkat, kuarters anggota kelamin jenis kayu berlantai tinggi, kuarters anggota bujang jenis kayu berlantai tinggi, dapur komuniti (terletak di belakang kuarters), tandas angkut komuniti, rumah pegawai pelbagai pangkat, lokap, padang permainan dan padang kawad serta fasilitis lain untuk kursus kepolisan bagi seluruh daerah. Bekalan elektrik dan air mungkin diterima kemudian. Kedudukannya di tebing Sungai Langat menyebabkan kawasan ini sering dinaiki air ketika air sungai melimpah melepasi tebing.

Tajuk:SECOND CLASS POLICE STATION AND KITCHEN TELOK DATOH - TENDERS FOR :-
20/04/1920


Tajuk:SUPPLEMENTS TO VOTES "POLICE STATION AT TELOK DATOH" AND "BUND AT SABAK BERNAM"
23/02/1926


Gambaran keadaan masa dahulu dalam balai polis ini masih boleh dibayangkan dengan melihat foto-foto di bawah :

Balai Polis Telok Datoh dari pintu masuk










suasana di dapur komuniti

Pakaian seragam anggota polis perlu disimpan di dalam peti individu dan dipamerkan untuk pemeriksaan pegawai atasan


Beberapa orang Inggeris dan anak tempatan berpangkat O.C.P.D pernah mengetuai Balai ini sejak dibuka sehingga tahun 1941.
Antara mereka ialah:
1.  R.P.J.Rycroft
(Sebelum Oktober 1929)
pulang ke England

2.  Mr. L.H  Pearce 
(20 Okt.1929 - 20 Sept. 1931)
bertukar dari Kroh, Perak

3.   Inspektor Yahya 
(20 Sept. 1931-??)
bertukar dari Kuala Lumpur 


8 Januari 1930
-Mayat Orang Putih mati lemas di Morib

20 Oktober 1930
-penulis petisyen didakwa pecah amanah

Mulai 1930, pengambilan anggota polis Melayu semakin bertambah, sebaliknya anggota polis Panjabi berkurangan dengan banyaknya.

1932  
- Kejadian menyeludup getah banyak berlaku di Jugra ketika era Catuan 


1933
-Sepang dipisahkan daripada kawalan Balai Polis Telok Datoh. Lingkungan pengaruh Balai Polis Sepang yang baru ini menjangkau sehingga ke Mantin, Negeri Sembilan.

23 Mei 1936
-Seorang wanita dan 5 kanak-kanak mati lemas insiden bot karam di Kuala Jugra

Membanteras jenayah berat di seluruh Kuala Langat dan Sepang ketika itu masih tumpuan utama balai polis ini.

6 Oktober 1939
-Hukuman penjara kerana bunuh rakan di Bukit Changgang

15 Mei 1941
-3 pekerja ladang berbangsa Tamil ditembak mati manakala 2 orang yang lain cedera ditikam ketika tentera dan polis cuba meleraikan rusuhan ganas di Ladang Brooklands.


3 Jun 1941
-Wanita Cina dibunuh sekumpulan Orang Asli di Pulau Carey



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...