.
28 Mei 2026, pagi kedua Aidiladha di taman Atok bermula seawal jam 8.30 pagi apabila Atok sampai di kawasan penyembelihan. Suasana ketika itu sudah meriah dengan penduduk kampung yang datang beransur-ansur sambil membawa pelbagai peralatan gotong-royong. Dua ekor lembu sepatutnya disediakan untuk korban tahun ini. Seekor daripadanya ialah lembu baka Brahmin yang besar tubuhnya, tenang meragut rumput di padang berhampiran khemah. Seekor lagi pula lembu baka Kedah-Kelantan yang lebih kecil saiznya. Namun lembu kedua itu menjadi punca kecoh sejak waktu subuh lagi apabila dilaporkan hilang ketika penduduk sedang menunaikan solat Subuh di surau
Sebaik selesai solat, beberapa orang penduduk terus bergegas mengejar lembu tersebut. Kata mereka, lembu itu meluru ke arah kawasan pagar KTM sebelum terus masuk ke semak belukar menuju arah Sungai Gadut. Orang kampung berpecah mencari di pelbagai laluan, namun bayangnya pun tidak kelihatan. Setelah puas mencari dan bimbang masa semakin suntuk, jawatankuasa korban akhirnya mengambil keputusan mencari lembu ganti. Syukur, seekor lembu berjaya diperoleh dari Beranang, Selangor, walaupun terpaksa menunggu ia dibawa sampai ke kampung.
Sementara menunggu, suasana di bawah khemah tetap meriah. Penduduk taman kami duduk minum pagi bersama-sama sambil berbual dan bertanya perkembangan pencarian lembu yang hilang itu. Tidak lama kemudian imam tiba untuk memulakan penyembelihan lembu pertama. Lembu Brahmin yang besar tadi akhirnya tumbang dengan tenang sebelum proses melapah dan menyiang daging dimulakan secara bergotong-royong. Namun sehingga kerja melapah berjalan, lembu kedua yang hilang masih belum ditemui, manakala lembu ganti juga belum kunjung tiba.
Menjelang jam 11.40 pagi, barulah lori yang membawa lembu ganti masuk ke kawasan khemah. Keadaannya jauh berbeza daripada lembu pertama. Walaupun lebih kecil, lembu itu sangat agresif, mungkin kerana terhidu bau darah lembu yang telah disembelih sebelumnya. Dinding lori habis ditendang dan digegarnya berkali-kali sehingga orang kampung sendiri berhati-hati mendekatinya. Setelah lama meronta dan kepenatan, barulah lembu itu terduduk. Ketika itu, berita tentang lembu asal yang hilang masih belum diketahui nasibnya.
Dengan bantuan ramai penduduk, lembu ganti itu akhirnya berjaya diturunkan dari lori dan diikat dengan rapi sebelum disembelih. Darahnya memancut keluar membuak-buak ke tanah sebelum bangkainya dibawa ke bawah khemah untuk dilapah bersama-sama. Atok pula tahun ini hanya mampu meraikan suasana dan memerhati sahaja kerana tidak lagi kuat membantu seperti dahulu. Namun bagi Atok, itulah antara cerita paling menarik pada pagi Aidiladha tahun ini — pagi yang penuh kecoh, lucu, mendebarkan, tetapi tetap meriah dengan semangat gotong-royong orang taman Atok..
Entri kali ini ada kaitan dengan pengorbanan dan kesabaran. Sempena suasana Aidiladha, Atok teringat sebuah kampung yang penuh dengan kisah jatuh bangun masyarakatnya sendiri — Kampung Sungai Lang, Banting. Mula-mula dahulu, bila dengar sahaja nama “Sungai Lang”, Atok ingat ada kaitan dengan kisah mistik atau langsuir. Rupa-rupanya tanggapan itu silap sama sekali. Nama “Lang” di kampung ini sebenarnya dipercayai berasal daripada burung helang yang banyak terdapat di kawasan tersebut pada zaman dahulu.
Namun sejarah Kampung Sungai Lang bukan sekadar tentang nama. Kampung ini pernah melalui pelbagai ranjau kehidupan yang mencabar. Ada penduduk yang berpindah dari kawasan Telok Bunut, sebuah kawasan yang majoriti penduduknya kaum Cina, lalu membina kehidupan baharu di kawasan yang majoriti masyarakatnya Melayu. Dalam perjalanan membangunkan kampung, pelbagai cabaran muncul — ancaman komunis, kesukaran hidup luar bandar, perebutan pengaruh, perselisihan faham sesama penduduk dan juga rasa iri hati yang akhirnya menyebabkan kampung ini pernah terbahagi kepada dua kelompok.
Akibat perpecahan itu, banyak projek pembangunan tergendala dan hubungan masyarakat menjadi renggang. Ada ketika suasana politik dan kepimpinan kampung menjadi tegang sehingga perkara kecil pun boleh menjadi besar. Namun masa mengajar penduduk erti kesabaran dan pengorbanan. Sedikit demi sedikit, mereka akhirnya memilih untuk berdamai demi masa depan anak cucu dan kemajuan kampung sendiri.
Selepas hubungan kembali pulih, pembangunan mula bergerak semula. Jalan raya diturap, kemudahan awam bertambah, kegiatan masyarakat kembali hidup dan semangat gotong-royong kembali subur. Hari ini Kampung Sungai Lang dikenali sebagai sebuah kampung yang aman dan harmoni, malah turut menempatkan Kompleks Teknologi Angkasa negara yang menjadi simbol kemajuan moden di kawasan luar bandar.
Jom ikut perkembangan kampung ini — sebuah kampung yang pernah diuji dengan pelbagai cabaran, tetapi akhirnya bangkit melalui kesabaran, perpaduan dan semangat pengorbanan masyarakatnya sendiri.
Pengenalan
Di tengah-tengah kawasan luar bandar Banting, tersembunyi sebuah kampung yang kelihatan tenang tetapi menyimpan sejarah yang amat panjang dan luar biasa — Sungai Lang. Pada pandangan biasa, kampung ini mungkin hanya dilihat sebagai sebuah perkampungan Melayu-Jawa yang dikelilingi kebun, sawah dan jalan kampung lama. Namun hakikatnya, Sungai Lang merupakan salah satu kawasan yang mempunyai kesinambungan sejarah paling unik di daerah Kuala Langat — daripada zaman prasejarah, era penghijrahan Jawa, zaman Darurat sehinggalah pembangunan masyarakat moden selepas kemerdekaan. Lebih menarik lagi, sejarah Sungai Lang bukan sekadar diwariskan melalui cerita lisan penduduk kampung, tetapi turut dibuktikan melalui rekod arkib kerajaan, jurnal sejarah, dokumen persatuan dan penemuan arkeologi yang mengangkat nama kampung ini ke peringkat nasional.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan