Industri Perikanan oleh Orang Jepun di Tanah Melayu

Industri Perikanan oleh Orang Jepun

Aktiviti perikanan merupakan satu pekerjaan tradisi orang Jepun. Ini kerana Jepun mempunyai kawasan tanah yang terhad dan secara tidak langsung kebanyakan daripada warganya menjadi nelayan. Pada Zaman Meiji, industri perikanan hanya dijalankan di kawasankawasan pantai sahaja dan kaedah yang digunakan dalam penangkapan mereka adalah amat primitif. Kemudian teknikteknik perikanan telah bertambah maju apabila pemodenan mula diperkenalkan. Kebanyakan daripada hasil laut ini telah ditinkan dan dihantar ke pasaran luar Jepun. 

Industri perikanan di Tanah Melayu didominasi oleh orang Jepun. Antara syarikat perikanan Jepun ialah The Taichong Kongsi yang dimiliki oleh Tora Yeifuku dan Syarikat Perikanan Ishizu yang dimiliki oleh Tojora Ishizu. Syarikat Perikanan Ishizu membekalkan sebanyak 40 peratus daripada keperluan ikan Tanah Melayu. Orang-orang Jepun di Tanah Melayu sudah lama terlibat dalam industri perikanan sejak awal abad ke-20 lagi. Kerajaan Jepun mengambil inisiatif untuk mempromosi aktiviti perikanan Jepun di Singapura bermula seawal tahun 1911. Sehingga tahun 1912, Jepun telah berjaya membina kapal seberat 41,229 tan. Ini menunjukkan industri perkapalan mempunyai kaitan dengan kemajuan industri perikanan yang dipelopori oleh nelayan Jepun di Tanah Melayu. 

Ini sejajar dengan langkah sektor perikanan Jepun sejak Perang Dunia Pertama untuk menembusi pasaran asing. Kerajaan Jepun juga menghantar pakar perikanan ke kawasan tersebut untuk menyiasat dan hasilnya, salah seorang daripada mereka, Tora Yeifuku telah menubuhkan sebuah firma baru di Singapura pada tahun 1914 dengan bantuan kapitalis Jepun di Kyoto. 

Selepas Perang Dunia Pertama, terdapat pertambahan dalam bilangan nelayan Jepun yang masuk ke Tanah Melayu. Pada tahun 1924, terdapat hanya lebih kurang 215 orang nelayan Jepun di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu tetapi satu dekad kemudian, jumlahnya semakin bertambah kepada 1,050 orang. Pertambahan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan dalam industri perikanan Jepun di luar negeri. 

Pada tahun 1930-an, kemajuan menggunakan teknik moden telah membolehkan mereka bekerja lebih jauh di laut. Sebelumnya menjelang tahun 1920-an, mereka telah berjaya membekalkan lebih daripada setengah keperluan ikan segar yang diperlukan oleh Singapura, iaitu lebih kurang 5,000 tan pada setiap tahun dan ia meningkat kepada 44 peratus pada tahun 1938. Sejumlah besar daripada hasil tangkapan ini dibekukan untuk dihantar ke Jepun melalui kapal laut Jepun yang singgah di Singapura. Pada tahun 1931, terdapat seramai 3,000 orang nelayan Jepun dan pendapatan tahunan mereka ialah 6,000,000 yen. Industri ini mempunyai banyak pangkalan di beberapa tempat, bermula dari Manila hingga ke Singapura. Nelayan Jepun yang berada di Singapura telah menjalankan aktiviti mereka di sepanjang pantai Melayu, Sumatera dan pulau-pulau di antara Singapura, Jawa dan Borneo. 

Aktiviti menangkap ikan bagi nelayan Jepun adalah berbeza dengan orang Melayu tempatan kerana mereka akan berada di laut selama enam bulan ataupun lebih lama berbanding dengan nelayan Melayu yang biasanya menangkap ikan berhampiran pantai dan jarang sekali menangkap ikan di laut dalam. Nelayan Jepun sudah biasa tinggal di dalam kapal perikanan mereka. Mereka tidak perlu bimbang mengenai penghantaran hasil tangkapan mereka ke Singapura kerana sebuah kapal akan dihantar bagi mengumpulkan hasil tangkapan mereka. Justeru, industri perkapalan di Jepun ternyata telah membantu pelaburan mereka dalam industri perikanan di Tanah Melayu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penglibatan Keluarga Diraja dalam Pembangunan Pertanian di Kuala Langat

Salam buat semua. Salam Maulidur Rasul.Syukur Alhamdulillah, kita kini telah berada dalam bulan Rabiul Awal, bulan keputeraan Baginda Junjun...