Penanaman Getah Oleh Orang Jepun di Tanah Melayu

Penanaman Getah Oleh Orang Jepun

Sebelum tahun 1909, orang Jepun tidak terlibat aktif dalam pelaburan getah di Tanah Melayu kerana mereka berasa tidak yakin terhadap kemampuan dan bersikap rendah diri hasil tanggapan Jepun sebagai sebuah negara yang kurang maju oleh negara-negara Barat. Terdapat juga penglibatan orang Jepun dalam ladang kopi di Negeri Sembilan pada tahun 1910. 

Penanaman getah Jepun di Tanah Melayu sebelum dan semasa Perang Dunia Pertama adalah hasil kepentingan yang ditunjukkan oleh peniaga individu dan usahawan lain di Singapura atau ahli perniagaan yang kaya di Jepun. Di Senaling, Kuala Pilah pula terdapat permohonan dari Y. Tatematsu untuk kawasan tanah seluas 55 ekar bagi tujuan penanaman getah. 

Namun, ledakan harga getah antara tahun 1909- 912 telah mendorong orang Jepun untuk memperoleh Tanah di Tanah Melayu. Pada masa ini Jepun telah memasuki industri perdagangan getah dengan menghasilkan tayar basikal dan kasut getah. Keluasan ladang getah di bawah pemilikan orang Jepun meningkat daripada hanya 92 ekar pada tahun 1907 kepada 83,750 ekar pada tahun 1911. Kebanyakan ladang-ladang ini diperolehi pada tahun 1910 dan 1911 apabila harga getah berada pada tahap tertinggi, kesan daripada perkembangan dalam bidang teknikal memproses susu getah, pertumbuhan dalam industri elektrikal dan perkembangan dalam penggunaan tayar untuk kenderaan. 

Kepentingan Jepun pada getah membawa kepada penubuhan Japanese Planters’ Association di Singapura pada tahun 1912 dan Japanese Rubber Planters Association di Selangor pada tahun 1913. Pada tahun 1913, dengan keluasan 114,116 ekar getah yang ditanam di Johor, dapat dilihat Jepun menguasai satu perlima dari keluasan ekar getah di Johor. Johor menjadi negeri utama pelaburan getah Jepun kerana dasar pajakan tanah selama 999 tahun. Antara tahun 1906-1920, selain Johor, Jepun juga mempunyai ladang-ladang getah di Negeri-negeri Selat, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pahang, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Pada tahun 1912, kerajaan Jepun telah menubuhkan Tabung Kemudahan Selatan yang diwujudkan bagi menggalakkan pelaburan modal. Pengusaha bank Jepun seperti Bank Taiwan dan Bank Kanan juga turut terlibat. Sementara orang Jepun di Tanah Melayu membeli tanah untuk penanaman getah, rakan-rakan mereka di Jepun telah memasuki industri perdagangan getah dengan pembuatan tayar basikal dan kasut getah. Industri perdagangan getah tidak wujud di Jepun sebelum tahun 1900, ia hanya mula berkembang selepas tahun 1909 apabila Syarikat Dunlop membina kilang mereka di Kobe bagi pembuatan tayar basikal. Walaupun import getah Jepun meningkat sepanjang tahun hasil industri pembuatan, tiada sebarang angka dapat menunjukkan sumbangan pengeluaran getah Jepun di Tanah Melayu terhadap penggunaan bahan mentah di Jepun. 

Selepas Perang Dunia Pertama, estet-estet Jepun semakin meningkat di bawah hak milik syarikat kerana ketidakupayaan individu Jepun dengan modal terhad untuk mengekalkan pelaburan mereka semasa kemelesetan ekonomi. Semasa Perang Dunia Pertama, bekalan bahan mentah diperlukan dari Timur tetapi kemudiannya eksport ini melebihi jumlah yang boleh diserap oleh industri pembuatan, khususnya di Amerika Syarikat. Oleh itu antara tahun 1920 dan 1922 industri getah terjejas teruk, melibatkan estet-estet Jepun juga. 

Keadaan tidak menguntungkan industri getah menyebabkan tiada usaha peningkatan dari segi pelaburan Jepun, tetapi kemudian berlaku ledakan harga getah antara tahun 1925-1926 seiring dengan peningkatan dalam pengeluaran kereta. Pemilik Jepun yang membuka ladang-ladang mereka melalui pinjaman modal telah mengambil kesempatan daripada kenaikan harga getah untuk menjual pada harga keuntungan yang seterusnya membolehkan mereka untuk membayar balik faedah ke atas pinjaman mereka. Antara bulan Jun dan Disember 1925, kira-kira 25,000 ekar atau 20 peratus daripada jumlah pegangan getah Jepun di Johor telah dijual.

Apabila penanam getah British, melihat potensi ancaman yang ditimbulkan dari perkembangan penanaman getah Jepun, ditambah pula dengan kemasukan Amerika Syarikat ke dalam penanaman getah, mereka telah meminta pentadbiran British membuat sekatan terhadap pindah milik tanah getah kepada orang asing. Persatuan Penanam Getah (RGA) yang mewakili kepentingan getah British di Tanah Melayu, telah menyakinkan Setiausaha Negara bagi Koloni akan kepentingan getah sebagai bahan mentah dan keperluan melindungi kawalan British ke atas industri ini. 

British memandang berat cadangan  sekatan ini kerana dasar berat sebelah ini mungkin memberikan kesan negatif terhadap Amerika Syarikat dan Jepun yang merupakan sekutunya dalam Perang Dunia Pertama. Sebarang sekatan akan menjejaskan sekutu mereka, terutamanya Jepun yang telah menanam getah pada skala yang besar di dalam dan di luar Negeri-negeri Melayu Bersekutu, dengan tumpuan di Johor. 

Pada bulan Julai 1917, Enakmen (Sekatan) Tanah Getah telah diperkenalkan di Tanah Melayu. Di bawah peraturan ini, kawalan ekonomi British bertambah kukuh kerana rakyat British dibenarkan memperoleh lebih banyak tanah, dan rakyat asing hanya boleh menjalankan urusan transaksi tanah dengan orang lain yang mempunyai kewarganegaraan sama. Pada masa ini ladang-ladang getah yang dimiliki oleh orang Jepun telah berkembang kepada kira-kira 100,000 ekar tetapi disebabkan oleh sekatan yang dikenakan oleh Enakmen, dan kemudiannya oleh pelbagai skim kawalan getah antarabangsa, keluasan ini telah dikurangkan kepada lebih kurang separuh menjelang Perang Dunia Kedua. Walaupun tidak penting dari segi bekalan untuk memenuhi permintaan pasaran Jepun, kepentingan 100,000 ekar getah yang dipegang Jepun pada tahun 1917 adalah satu permulaan yang penting bagi perluasan ekonomi mereka di Tanah Melayu.

Jepun menganggap Enakmen (Sekatan) Tanah Getah sebagai halangan besar kepada perkembangan pelaburan getah mereka. Kerajaan Jepun melihat sekatan ini sebagai bercanggah dengan peruntukan yang terkandung dalam Perjanjian Perdagangan dan Pelayaran Anglo-Jepun (1911), yang membenarkan kedua-dua negara untuk memajak tanah bagi tujuan kediaman, komersial, industri, dan lain-lain tujuan yang sah sama seperti penduduk tempatan.

Persatuan Penanam Jepun telah menghantar telegram kepada duta Jepun di London untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap sekatan ini. Tunjuk perasaan yang sama dilakukan oleh konsul Jepun kepada Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu. Di Tokyo, kerajaan Jepun dikenakan tekanan oleh peniaga-peniaga besar seperti Fusanosuke Kuhan, Fujita, Furukawa, Okura dan Mitsui untuk mengambil tindakan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas aktiviti penanaman getah mereka. . Di bawah dakwaan tersebut, British terpaksa mematuhi perjanjian ini. Walau bagaimanapun daripada membuang sekatan, British memperluaskannya dan memasukkan kumpulan yang sebelum ini dikecualikan. Ini tidak akan menjejaskan kepentingan British, dan juga melenyapkan bantahan Jepun yang berdasarkan perjanjian tanpa memberi apa-apa kelebihan kepada mereka. 

Selepas Perang Dunia Pertama, penanaman getah dilakukan oleh syarikatsyarikat besar Jepun. Contohnya, Syarikat Toyo Takushoku (Oriental Development Co. Ltd.) dengan modal sebanyak 20 juta yen telah memperoleh ladang-ladang getah di Tanah Melayu. Malahan semasa era Perang Dunia Pertama lagi, terdapat syarikat-syarikat getah yang diperbadankan di Jepun telah berminat dalam membeli estet-estet getah di Tanah Melayu. Sejurus selepas Enakmen (Sekatan) Tanah Getah dimansuhkan pada tahun 1919, syarikat itu berusaha memohon tapak tanah getah yang ideal bagi penanaman getah di kawasan pedalaman Johor. 

Menjelang Perang Dunia Kedua, majoriti estet Jepun yang berkeluasan seratus ekar dan lebih telah dimiliki oleh syarikat-syarikat terhad, kebanyakannya telah diperbadankan di Jepun.  Ia telah menggesa kerajaan Jepun untuk membantu penanam Jepun di Tanah Melayu dengan memberikan pinjaman pada kadar faedah yang rendah. Jabatan Kewangan di Tokyo juga menimbangkan penubuhan dana pinjaman yang akan menyediakan bantuan kewangan kepada penanam getah Jepun bagi membangunkan estet-estet mereka. Walaupun terdapat semua usaha ini, semangat individu Jepun dalam penanaman getah dilihat tidak menggalakkan sepertimana tahun-tahun awal industri ini Selain Johor, pelabur Jepun juga telah memperluaskan kegiatan pelaburan getah mereka di Selangor dan Negeri Sembilan.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Penglibatan Keluarga Diraja dalam Pembangunan Pertanian di Kuala Langat

Salam buat semua. Salam Maulidur Rasul.Syukur Alhamdulillah, kita kini telah berada dalam bulan Rabiul Awal, bulan keputeraan Baginda Junjun...