Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan

Khamis, 25 April 2024

Fakta Menarik tentang Stadium Jugra di Telok Datok

Assalamualaikum semua. Semoga semuanya dalam keadaan sihat Walafiat. Malam tadi Atok baru sahaja balik dari Telok Datok menziarahi jenazah adik sepupu Atok yang tinggal di Taman Seri itu. Salam takziah Atok sampaikan buat keluarga arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama-sama roh orang yang beriman. Amin. Sambil menunggu pengkebumian, jenazah ditempatkan di Masjid Al Sharif di situ. Dalam remang-remang Maghrib, ketika memandang ke seberang jalan, Atok ternampak kelibat Stadium Jugra yang gah tetapi sepi. Lampu sorotnya tidak dipasangkan bererti tiada sebarang aktiviti sukan yang sedang berlangsung. Gelap dan sepinya suasana, seperti  ketika Jugra  ditinggalkan Inggeris mulai tahun 1920-an kerana berpindah ke sini, Telok Datok. Imbauan itu membawa Atok kembali ke Jugra, suatu masa dahulu. Begini kisahnya......

Penyediaan kemudahan awam secara sistematik  di Kuala Langat hanya bermula apabila British menyediakan sistem pentadbiran moden. Perkembangan ini seiring dengan keperluan semasa di tanah jajahan mereka dan untuk kepentingan ekonomi British. Sebelum itu adalah menjadi tanggungjawab pemerintah atau ketua di sesuatu petempatan menyelia kemudahan yang ada bagi memudahkan pergerakan penduduk dan untuk kepentingan perdagangan melalui pergerakan barangan, hasil pertanian dan galian. 

Pemindahan ibupejabat pentadbiran daerah Kuala Langat dari Jugra ke Telok Datoh berlaku pada tahun 1920. Mereka juga berpindah kerana Jugra tak lagi relevan. Sultan Abdul Samad dah lama mangkat. Sultan baharu dah buat istana di Klang. Balik ke Jugra sekali sekala, menziarahi isteri kedua baginda, ikut giliran bermadu kot. Jeti Jugra pun dah sepi, tak ada  tongkang yang masuk pasal Port Swettenham dah dibuka. Jalan raya sudah dibina antara Klang ke Morib terus ke Sepang.

Kemudahan asas untuk penjagaan kesihatan penduduk adalah antara perkara yang diberi tumpuan oleh British. Kesihatan yang baik dalam kalangan penduduk amat penting kerana mereka adalah penggerak kepada kegiatan ekonomi. Mereka berpindah kerana malaria. Jugra ketika itu epicenter demam malaria seMalaya. Mereka sudah merancang untuk berpindah sejak 1908 lagi.  Pada tahun 1918, beberapa ekar tanah di Telok Datok telah dikenalpasti sebagai lokasi pentadbiran baharu Kuala Langat Namun mereka tidaklah terus meninggalkan Jugra. Dalam tahun 1920, Tuan Pegawai Daerahnya sanggup berulang alik dari Morib ke Telok Datok sehingga banglonya siap. Semuanya baharu di sini (Telok Datok). Bidang tugas utama PWD ketika itu tertumpu sebahagian besarnya pada penyelenggaraan dan pembinaan jalan, jambatan dan bangunan. Pejabat daerah, pejabat PWD (JKR kini), Mahkamah Rendah, pejabat Perhutanan, dan pejabat-pejabat petadbiran pelbagai agensi dibuka di sini. Siap dengan banglo pegawai serta kuarters pekerja bawahan. 

Mereka berpindah secara berperingkat ke Telok Datok. Walaupun semua pejabat sudah berpindah, balai polis Kuala Langat masih beroperasi di Jugra sehinggalah Balai Polis yang baharu di Telok Datok siap dibina dan beroperasi dalam tahun 1928. Hanya Hospital Jugra sahaja yang ditinggalkan. Segala keperluan harian dan kelengkapan perabot mereka dapatkan di pekan Banting atau Klang. Sejak itu, mereka lupakan terus Jugra. Mereka biarkan pekan Jugra  ditelan hutan belantara. Tiada nilai sentimental atau nostalgia bagi mereka. Jugra Sanitary Board sudah pupus dan digantikan dengan Telok Datoh Sanitary Board mulai 1920. 

Lokasi dan Kedudukan

Teluk Datok terletak di kiri dan kanan jalan raya antara Sungai Manggis di timur dengan Banting di barat. Pekannya hanya sejarak 50 meter dari Sungai Langat dan sangat terdedah kepada limpahan air banjir . Paras air sungai Langat hanyalah 1.5 meter di bawah Jambatan Teluk Datok. Saiz pekan Telok Datok yang begitu kecil itu menyebabkan ia dibayangi serta sering dianggap sebagai sebahagian daripada bandar Banting, kembar Cinanya, yang berkembang hampir semalaman akibat kebanjiran setinggan Cina  semasa era Darurat. Hingga sekarang pusat pentadbiran Kuala Langat masih terletak di Teluk Datok yang terletak di seberang Sungai Langat. Beberapa buah sekolah ditempatkan di sini. Di sini jugalah terletaknya penamat bagi Jalan Persekutuan 31 dari Banting ke Semenyih, yang asalnya merupakan Jalan Negeri Selangor B18 sebelum ia diwartakan semula sebagai sebuah jalan Persekutuan. 

Bangunan yang menempatkan pelbagai institusi yang menyokong pentadbiran didirikan di kawasan sekitarnya. Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat telah berpindah ke Telok Datok semenjak 1920 sehingga tahun 1965. Bangunan baru bagi Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat telah siap dibina pada tahun 1966 dengan peruntukan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM200,000.00. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Y.A.B Tun Abdul Razak Bin Dato Hussein Alhaj selaku Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada hari Ahad, 21 Mei 1967 bersamaan dengan 12 Safar 1387 dan Pegawai Daerah pada masa itu ialah Tuan Abdul Rahim Bin Hussain.

Kedudukan Telok Datok berhampiran Sungai Langat


Padang Bandaran Telok Datok

Salah satu ciri bandar kolonial dapat dilihat di Telok Datok, dengan pembinaan padang besar yang berhadapan dengan bangunan pentadbirannya. Dari sini, bermulalah kisah sejarah  Padang Telok Datok yang kini dibina di atasnya Stadium Jugra, pusat kesukanan bagi daerah Kuala Langat kini. Padang yang begitu signifikan dalam kehidupan golongan tua Kuala Langat suatu masa dahulu. Begini kisahnya.....

Di padang inilah berbagai-bagai peristiwa yang melakari kehidupan manusia di Kuala Langat berkisar, bukan hanya perlawanan sukan seperti bola sepak, hoki, rugby, perkhemahan pelajar sekolah, sambutan hari keputeraan Sultan Selangor, sehinggalah Pengisytiharan Bebas Komunis dilakukan di atas padang ini. Berikut adalah beberapa laporan berita akhbar terpilih berkenaan padang Telok Datok ini semenjak zaman kolonial British sehinggalah ke tahun-tahun 1970-an sebelum padang ini dinaiktaraf menjadi Stadium Jugra.

TARIKH BERITA

LAPORAN RINGKAS

 20 September 1934

Kelab Pantai Klang menewaskan pasukan Kuala Langat dengan mudah dalam perlawanan hoki di Padang Telok Datoh pada Khamis lepas

 16 Julai 1939 

Di hadapan orang ramai, Kelab Pantai Klang menewaskan Kelab Stonor dalam perlawanan bola sepak persahabatan yang dimainkan di padang Telok Datok dengan dua gol berbalas sifar. Kelab Pantai membuka mata menerusi Haji Dollah.

 27 Julai 1946

Satu perlawanan bola sepak yang menarik telah diadakan di Padang Telok Datoh  sempena Pertunjukan Daerah yang diadakan di Telok Datoh, antara  Sepang XI dan Polis Banting. Polis Banting menang dengan dua gol berbalas satu.

 26 November 1953

Empat batalion Home Guard di daerah Kuala Langat akan menerima Bendera Batalion masing-masing daripada Sultan Selangor pada hari Jumaat di padang Telok Datoh di Banting.

 23 September 1955

DYMM Sultan Selangor mengisytiharkan Kuala Langat kawasan putih semalam di Padang Telok Datoh, ibupejabat pentadiran daerah. Serentak dengan itu, pengisytiharan dibuat di Sepang oleh Menteri Besar dan di Tanjong Sepat oleh Kol. H. S. Lee

 20 Mei 1959

Kontinjen sekolah dan belia pertubuhan sivik di daerah Kuala Langat Selangor akan mengambil bahagian dalam perhimpunan di Padang Telok Datoh  pada 23 Mei sempena ulang tahun keputeraan Sultan Selangor yang ke-61.

 30 Mei 1966 

Kejohanan liga bolasepak Daerah Kuala Langat merebut Piala Menteri Besar Dato Harun bagi tahun ini sa-harus-nya dibatalkan kerana semua pasokan yang bertanding tidak mempunyai semangat kesukanan. 

  6 Mei 1967

Persatuan bola sepak daerah Kuala Langat telah mengaturkan satu perlawanan bola sepak di padang Telok Datoh antara Kastam Negeri Selangor dan Vietnam Selatan pada 8 Mei, jam 5 petang. di Telok Datoh. Tiket berharga $1.50 dan 50 sen


27 Julai 1967 

Pasukan pengadil Kuala Langat akan bermain perlawanan persahabatan bola sepak menentang Pengadil Selangor di Padang  Telok Dato' pada 30 Julai jam 5.15 petang.

  5 Oktober 1967 

Starlite akan bertembung dengan Oil Palm Research SC. "A" dalam perlawanan akhir bola sepak kalah mati bagi Piala Cabaran Estet Sungei Sedu di padang Telok Datok di sini pada hari Sabtu jam 5 petang

  23 Januari 1968

Setelah lebih tiga bulan berdiam diri Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Langat belum juga merangka ranchangan-nya untok mengadakan pertandingan2, kechuali satu meshuarat khas Jawatankuasa akan di-adakan minggu hadapan. Awal bulan October tahun lalu, Persatuan ini telah mengakhirl pertandingan2-nya sa-telah pertandingan di-jalankan tiga tahun

 25 Julai 1968 

Lebih 5 ribu  akan berbaris di Telok Datok hari Ahad ini. Padang Besar Telok Datok, Kuala Langat akan di-banjiri oleh belia dan pemimpin2 belia dari daerah2 negeri Selangor pada hari Ahad 28 Julai ini. Satu perhimpunan dan perbarisan akan di-adakan.

  29 Ogos 1969 

"Kuala Langat Green," sa-buah pasokan ragby yang pertama ditubohan di-daĕrah ini baharu2 inl telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasokan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris Methodist Telok Datok. Perlawanan tersebut di-langsongkan di Padang Besar Lembaga Telok Datok.

 23 Oktober 1969-

Perkhemahan Budak2 Pengakap daerah Kuala Langat tahun lni akan dibuat sa-chara besar2an sa-lama tlga hari 24, 25 dan 26 Oktober ini di sudut kanan Padang Bola Telok Datoh.  Beberapa Jenis peraduan akan di-adakan selama tiga hari itu untok menguji kechekapan mereka.

 14 Mei 1970 

Seramai 1,100 orang murld2 Sekolah Menengah Jenls Kebangsaan [nggeris (SMJK) Telok Datok Banting akan mengadakan pertandiagan merentas desa pada 15 Mei ini, mulai jam 7.00 pagi Pertandlngan tersebui yang sa-jauh tiga batu akan bermula dari padang sekolah SMJK melalul ladang kelapa sawit.

Stadium Jugra

Sebelum ini merupakan padang yang luas dengan tiga batang pokok mangga yang berbuah lebat. Masa tu  Atok  masih ingat terdapat tiga batang pokok mangga besar kat situ..musim buah  Atok  dan kawan-kawan  Atoklah menjadi penunggunya...apa sahaja dapat  Atok lesing ke arah mangga-mangga tu.  Atok  faraidkan mangga-mangga tu kat kengkawan.  Masa sukan sekolah Atok dibuat kat padang Sebuah stadium mula dibina dan siap pada tahun 1984, dinamakan sebagai Stadium Jugra. Stadium ini agak besar untuk sebuah perbandaran seperti Banting dan pastinya ia telah menjana keterujaan bagi masyarakat di sekelilingnya apabila ia dibuka. 

Setiap tahun stadium ini dihidupkan oleh kalendar MSSD kerana ia mungkin satu-satunya acara olahraga utama yang diadakan di sana selain daripada banyak sukan sekolah yang berdekatan. Masa itu semua sekolah sibuk dengan takwim sukan daerah. Di Kuala Langat, olahraga menjadi tumpuan utama. Kemudahan dan peralatan dibaik pulih dan dinaik taraf kepada standard yang boleh dilaksanakan oleh guru yang sekolahnya telah dilantik sebagai jawatankuasa teknikal. Jika tidak kerana kalendar MSSD, stadium gergasi tidur ini hanyalah menanti kematian yang kejam. 

Walaupun Stadium Jugra adalah antara yang terawal dibina, entah bagaimana ia telah ketinggalan. Akibatnya, penduduk daerah kecil ini, yang tersepit antara Klang dan Sepang, telah kehilangan kemudahan sukan moden. Semua daerah lain di Selangor mempunyai stadium yang mempunyai trek sintetik.  Pihak berkuasa hanya menjalankan penyelenggaraan minimum di stadium dan tidak ada yang lain. Ini sudah tentu dengan cara menyekat prestasi dan pembangunan sukan di Kuala Langat.

Apa yang menarik perhatian ramai ialah keadaan stadium Jugra yang menyedihkan.  dan seperti dalam banyak kes, sikap tidak peduli rakyat Malaysia kembali memuncak. Kami mempunyai beberapa kemudahan yang baik tetapi budaya penyelenggaraan yang 'kurang baik' dan sikap acuh tak acuh telah menyaksikan kemudahan ini menjadi sia-sia. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab menjaga stadium? Adakah Majlis Perbandaran (MPKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pejabat daerah? Apakah yang sedang dilakukan oleh majlis sukan tempatan? Bagaimana pula dengan gembar-gembur mengenai Rakan Muda dan segala retorik tentang menambah baik kemudahan dan menaikkan taraf sukan.

Kerosakan treknya jelas kelihatan usang
Padang dan tempat duduk penonton tidak berbumbung dan dijaga menyebabkan rumput tumbuh meliar dan berlumut
Pintu masuk ke stadium dan Grand stand tidak ceria dan ruang parkir tidak diuruskan dengan baik

Personaliti sukan tempatan seperti Encik Jacob Mathews, telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk meminta pihak berkuasa yang berkaitan melakukan sesuatu tetapi nampaknya semua usaha kami sia-sia. 

Bandar Banting sememangnya bandar yang begitu sibuk dan meriah. Ia menjadi tempat lahir kepada beberapa orang atlet ternama negara seperti anak-anak Datuk Sidek (Misbun Sidek, Razif Sidek, Jalani Sidek, Rahman Sidek dan Rashid Sidek) serta pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin. Malangnya, stadium Jugra kelihatan suram. Kita semua hanya duduk dan mengenangkan kegemilangan masa lalu dan berharap seseorang atau sesuatu akan mengubah nasib.  Ketahuilah, anak-anak Kuala Langat amat memerlukannya 

Naik Taraf Kemudahan 

Pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan taraf sukan di negara ini. Tetapi di peringkat akar umbi, seperti di Banting, kemudahan sukan dalam keadaan yang teruk, seperti yang boleh dilihat di Stadium  Jugra di Banting. Hanya kemudahan asas seperti padang bola boleh digunakan untuk latihan dan perlawanan, dan trek masih boleh digunakan. Penduduk Banting dibenarkan meneruskan aktiviti berjalan kaki mereka di sana tanpa akan ada peningkatan kemudahan. Tiada gunanya membelanjakan wang untuk membaiki trek atau membina semula kerana stadium itu akan dirobohkan untuk memudahkan pembangunan baharu.

Keadaan pintu masuk stadium kini lebih ceria dengan simbahan cat baru tetapi tahap kebersihan tetap menghampakan pengunjung

Desas desus dan khabar angin orang ramai mengatakan kononnya sebuah kompleks sukan baharu akan dibina berhampiran bangunan Pejabat Daerah Kuala Langat sekarang. Kompleks sukan baharu itu akan dibina sebagai sebahagian daripada pakej pembangunan yang dicadangkan oleh pemaju swasta. Kompleks itu akan menempatkan padang bola sepak dengan trek larian dan stadium tertutup, dengan pelbagai kemudahan sukan. Ia akan memberi manfaat kepada atlet dan ahli sukan dari daerah ini. Setiap kali pilihanraya, itulah janji-janji manis calon-calon. Impian ini masih belum menjadi realiti lagi.

Syukurlah, pada tahun 2015 yang lalu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membaiki dan menaiktaraf kemudahan-kemudahan sukan di Stadium Jugra. Kerajaan telah memperuntukkan jutaan ringgit bagi tujuan tersebut. Perincian kerja-kerja menaiktaraf Stadium Jugra adalah seperti di bawah:




Dengan kemudahan baharu dan moden ini, pihak pengurusan stadium dan kemajuan sukan daerah Kuala Langat telah mula merangka serta merancang program-program rasmi dan sosial kerajaan dengan melibatkan penggunaan kawasan sekitar dan dalam stadium tersebut. Antaranya, Kejohanan Sukan Selangor SUKSES dalam tahun 2015, Kejohanan Bola sepak Tertutup 9 Sebelah pada tahun 2016, Program Aspirasi Mural 2017, Program PraPrapendaftaran program Vaksin Selangor (SelVak) bergerak 2021, Program Rumah Terbuka Aidilfitri tahun 2022, serta Sukan Antarabangsa Enduro Malaysia UM24 pada tahun 2023.





Prapendaftaran program Vaksin Selangor (SelVak) bergerak yang diadakan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 dibuka. Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program yang bermula pada Rabu sehingga Sabtu itu melibatkan tujuh lokasi. Menurutnya, lokasi terbabit adalah Dewan Terbuka Padang Bola Sepak Batu Caves yang diadakan pada 15 September 2021, Laman Santai Ampang dan Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali (16 September 2021), Stadium Jugra Banting dan Padang Pandan Mewah DUN Teratai (17 September 2021), Kompleks Niaga Sungai Merah dan Tapak Pasar Malam Sungai Way pula pada 18 September 2021.





PENUTUP

Dalam projek naik taraf Jalan Langat FT5 ini, Jambatan Banting yang asal dirobohkan dan digantikan dengan jambatan baharu. Jambatan lama yang cuma selebar 2 lorong itu terlalu sempit dan tidak lagi mampu untuk menampung jumlah kenderaan yang berulang-alik dari Banting ke Klang. Jambatan baharu itu dibina sebagai jambatan kembar 4 lorong serta ditinggikan dengan kecerunan lebih kurang 6% untuk melindunginya daripada banjir. Jambatan yang ditinggikan itu juga membolehkan pusingan-U dibina untuk membolehkan pengguna jalan raya berpatah balik ke Banting atau Telok Datok. 

Namun, tak perlulah Stadium Jugra dirobohkan setelah adanya stadium tertutup baharu nanti. Cuma cadangan Atok, jadikanlah Stadium Jugra ini sebagai KOMBES (Kompleks Belia dan Sukan) di bawah tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan Selangor, macam kat Paroi, Seremban itu. Banyak aktiviti sukan dan riadah boleh dilakukan. Stadium akan lebih meriah dengan ramai orang berkunjung. Lebih menyeronokkan kalau beriadah, brisk walk dan jogging, senamrobik, gym dan lain-lain lagi di KOMBES  itu nanti. Selain tu, adakanlah gerai-gerai makanan dan medan selera. Biasalah orang Malaysia, lepas bersenam dan berpeluh, kita makan lagi.

Gantikanlah tembok batu kelililng stadium yang ala Penjara Pudu itu dengan pagar anti climb yang lebih mesra alam dan masyarakat. Biar kenderaan yang lalu lalang di jalan Klang Banting depan Stadium Jugra nampak apa juga aktiviti sukan dan riadah yang dilakukan oleh warga Kuala Langat, sama ada pada waktu pagi, petang atau malam. Hidupkan suasana santai untuk bersosial di sana. Aktiviti sosial yang dibenarkan agamalah, bukan konsert-konsert liar macam kat KL tu. Siapkan surau yang lebih selesa dan berhawa dingin untuk kemudahan pengunjung dan atlet. Tak ada masalah untuk bersolat berjemaah beramai-ramai kerana masjid Al Sharif hanya di seberang jalan sahaja. 

Harap-harap Majlis Perbandaran Kuala Langat tidak membuat pusingan-U tentang stadium baharu nanti, seperti mana ahli-ahli politik Malaysia yang terkenal dengan sikap "cakap tak serupa bikin" itu. Wallahualam.

Penggunaan pagar jenis anti-climb ini lebih selamat dan mesra alam



Beriadah sambil bersosial bersama kawan-kawan dan keluarga setelah penat bekerja seharian


RUJUKAN:







Kehidupan Orang Bukit di Selangor Sebelum Merdeka

Sebelum istilah "Orang Asli" mula digunapakai, orang Melayu dan semua penduduk di Malaya termasuk Inggeris menggunakan istilah &qu...