Sabtu, 19 Jun 2021

Mengenali Sejarah Unik Kampung Kelanang

Salam buat semua. Atok terpanggil untuk bercerita lagi. Tapi sebelum itu korang apa khabar? Baik? Alhamdulillah. Sebagai orang Islam kita digalakkan bertanya khabar dengan menyampaikan salam. Daripada perkataan Assalam itu, rahmat Allah turun buat kita semua. Apa lagi yang lebih baik daripada keredaan Allah terhadap kita? Harta benda boleh dicari, tapi ketenangan sakinah dalam diri, keluarga dan masyarakat itu kurniaan Allah. Lagipun dengan menyebarkan salam, menyambung silaturahim semua itu memanjangkan usia dan memurahkan rezeki. Itu jer nak beritahu. Bye!

Ooops,sori...Atok main-main jer. Takkanlah Atok nak biarkan peminat cerita-cerita Atok hampa bila Atok online. Mestilah ada bahan yang Atok nak ceritakan kat korang,kan? 

By the way, Atok ketawa melekek-lekek apabila membaca komen-komen korang kat FB tentang Sultan dan Negro itu...Tak baik korang kutuk mengutuk sesama korang. Biar tak hensem, janji KAYA....muka macam Kunta Kinte pun kalau duit penuh kocek, perempuan secomel Kris Dayanti pun sanggup ajak couple dan kahwin tau.. Hahaha...Lantak koranglah...HAHAHA

Oklah. Entri Atok kali ini masih pasal Kuala Langat. Kali ini Atok nak selidik serba mendalam tentang kampung Kelanang. Bukan apa, hari itu Atok ada terbaca kononnya Kelanang dibuka oleh orang Jawa. Terkejut Atok! Bukannya apa.Setahu Atok tak ada pun komuniti Jawa kat situ. Kalau ada, mestilah ramai anak-anak Jawa Kelanang bersekolah kat SMK Jugra masa Atok jadi cikgu sekolah kat sana. Kat Sungai Buaya, Kampung Sawah ramailah. Kawan-kawan Atok yang jadi drebar teksi yang tinggal di Kelanang pun semuanya Melayu. Tak ada seorang pun yang muka iras-iras Khir Toyo. Kalau ada Jawa mesti ada nasi ambeng, pecal, tempe bagai...itu identiti kaum Jawa. Itulah pasal Atok pening memikiekan antara fakta sejarah dan realiti kehidupan. So, Atok buat apa yang Atok selalu buat....korek,korek,korek lagi. Akhirnya Atok jumpa. Baru puas hati Atok. So korang nak tahulah apa yang Atok jumpa tu? Hmmm....Atok dah agak dah...meh Atok ceritakan.

Tapi sebelum itu, biar Atok bahagi-bahagikan cerita kali ini kepada beberapa segmen:

1. Profil  Kampung Kelanang

2. Sejarah awal  Kewujudan komuniti Jawa di Kelanang, Banting, dan Kuala Langat

3. Perkembangan dan Pembangunan kampung Kelanang

So, korang bacalah tulisan Atok kat bawah ini. Mungkin banyak yang korang tahu daripada Atok tentang kampung ini. Roger-rogerlah Atok. Kita kongsi ilmu. Kepada mana-mana tuan punya gambar yang Atok ambil dalam entri ini, minta maaflah banyak-banyak. Tak sempat nak tulis credit kepada you all. Kira sedekah jerlah ya.  Oklah Atok nak sambung karaoke lagu Teringin nyanyian Shima bersama Wan kau ni hah. By the way, penyanyi Shima ini asalnya orang Kampung Sungai Arak, Kelanang. Dia dibesarkan oleh neneknya di sana. Mesti korang bangga punya kampung ada selebriti, kan. Tahniah penduduk Kampung Kelanang, Jasamu tetap aku kenang.. Wassalam.

PROFIL KAMPUNG KELANANG

Buat pembaca-pembaca yang bukan anak jati Kuala Langat, eloklah korang baca profil Kampung Kelanang ini terlebih dahulu:

Kampung Kelanang ini berasal daripada perkataan orang asli 'Lanang' yang bermaksud rotan. Perkampungan orang asli terdapat di Permatang Buah Mereka mencari rezeki di hutan dan di laut. Jadi,  Kelanang terletak antara kampung Permatang Pasir, Jugra dan Selat Melaka. Muka buminya ada pinggir pantai, padang ragut serta hutan tebal dan hutan paya bakau.

Terdapat beberapa buah kawasan petempatan tradisi serta beberapa buah ladang:

Kg.Sg Arak, Kg.Kelanang, Kg.Sungai Hantu, Kg.Tanjung Medan, Kg.Permatang Buah, Kg.Gelanggang Buaya, Kg.Rezab Melayu Kelanang Tambahan, Kg.Tanjung Rasau Luar Dan Dalam,

 Ladang Permatang, Ladang Changkat, Ladang Dusun Durian Kelanang Baru



Bentuk Muka Bumi Sebahagian Mukim Kelanang dan Morib


Sejarah awal  Kewujudan komuniti Jawa di Kelanang, Banting, dan Kuala Langat

Pada tahun 1887, seorang yang bernama Haji Kei [Kiyai] Abdul Kadir dari Padang, Muar, telah menulis surat kepada Collector Magistrate, Langat untuk memohon tanah di daerah Kuala Langat. Permohonan beliau telah diterima dan mendapat sokongan yang kuat dari Collector Magistrate, Langat. Dalam proses memilih dan meluluskan permohonan-permohonan tanah, nampaknya Collector & Magistrate tempatan lebih mengutamakan dan mempercayai pemohon-pemohon Jawa daripada pemohon-pemohon Melayu tempatan. memohon kebenaran untuk membuka hutan untuk petempatan dan perkebunan. Permintaannya diluluskan dan diberi kebenaran meneroka hutan di Kelanang. Maka datanglah Kiyai ini dengan sejumlah 82 anak buahnya dengan semangat berkobar-kobar. Korang kena ingat, orang Jawa ini memang pakar dalam hal teknik pertanian, termasuk memerun. Tak payah pakai-pakai baja bagai, pokok tanaman mereka naik subur. Suka betul mereka dengan cangkul dan rembas. Lepas tebang, bakar hutan. Hoi, cukup suka Jawa tengok api dan asap yang berkepul-kepul naik!

Pernah Atok dengar kata orang, "Kalau orang Jawa diberi benih seguni dan dicampakkan ke hutan, pasti hutan itu akan menjadi kebun yang bersih dan berhasil."

Kehidupan dan menu makanan orang Jawa ini simple jer. Ada pucuk ubi, pucuk betik, sambal belacan, sedikit ikan kering dan nasi sepinggan sudah cukup menyelerakan dan  menghiburkan mereka. Ada bangsal boleh berlindung daripada panas dan hujan sudah cukup. Tak perlu lantai simen. Tak perlu periuk belanga. Buluh boleh dijadikan cawan, pinggan mangkuk,, periuk dan pangkin.

Petempatan di Kelanang dibuka oleh Haji Kiyai Kadir, dan Tanjung Dua Belas pula dibuka oleh Encik Sadik.Sehingga akhir tahun1880an, Hj. Kiyai Kadir terus berusaha mendapatkan tanah baru di kawasan Kelanang dan usaha beliau itu telah diikuti oleh penghijrah-penghijrah Jawa yang lain.

So, dipendekkan cerita, lahirlah petempatan baharu di Kelanang milik orang Jawa yang berkeluasan 300 ekar dan diberikan  pinjaman tanpa riba berjumlah $1800 untuk memulakan kerja dan bercucuk tanam. Kemudian seluas 800 ekar lagi tanah telah diluluskan untuk mereka dalam tahun 1896.Tetapi walaupun mereka ini beragama Islam, tetapi dari segi pergaulan, mereka masih terasing dan kurang bercampur dengan sub-etnik Melayu lain seperti Bugis, Mendailing, Rawa,, Aceh di Permatang Pasir dan Jugra.  Sebenarnya memang Jawa ini rumpun Melayu kerana pegangan Agama Islamnya, tetapi bahasanya memang  bukan daripada cabang bahasa Melayu. Sebab itu bahasa Jawa sukar difahami oleh suku kaum Melayu yang lain Lagipun, dari aspek sosialnya mereka bukan dari pulau yang sama iaitu Sumatera. Oleh sebab itu agak sukar mereka untuk berkomunikasi dengan penduduk lain. Namun, sikap rajin mereka mendapat pujian Inggeris yang rata-rata memandang Melayu kaum pemalas, dengan keadaan kebun terbiar bersemak dan kurang produktif. Mereka bandingkan Orang Jawa setanding orang Cina yang bersifat industralis , memajukan diri dan masyarakat.

Pada tahun 1890-an, disamping pembukaan penempatan-penempatan, perkembangan yang penting di Selangor ialah pengenalan pertanian ladang, dengan kopi sebagai tanaman utamanya. Tunku Dia-Udin yang mempunyai tanah seluas 2,000 ekar yang belum dikerjakan. Beliau sedang membersihkan seluas 150 ekar darinya dan telah mengatur kerja_kerja untuk membawa masuk orang Jawa untuk tujuan penanaman kopi di atas tanahnya. Pada tahun 1896, Penolong Pegawai Daerah Kuala Langat, telah meluluskan 1,000 ekar tanah lagi kepada pemohon-pemohon yang kebanyakannya terdiri dari orang-orang Jawa kerana pada pendapat beliau....

 . . .the great feature of the development of the district at present is the marked activity in planting circle at Klanang, which may without much exaggeration be described as booming in respect of Javanese.

..“Everyone who is familiar with Javanese conditions understands that colonization on a large scale has chance of success only if the Javanese receive an area where under their own leaders and administrative system, they devote themselves quietly to agriculture as the mainstay of their livehood." 

Hanya terdapat dua koloni Jawa di Kuala Langat ketika itu (1887), di Kelanang diketuai Kiyai Abul Kadir dan setelah kematian beliau pada tahun 1892, petempatan ini dipimpin oleh Haji Taib dan di Tanjung Duabelas (Telok Datok dan Sungai Manggis) diketuai Haji Abdullah. Kedua-duanya terpisah oleh sungai Langat. Mahu tak mahu, demi kesinambungan hidup komuniti mereka, mereka perlu lakukan asimilasi dalam komuniti arus perdana di situ.  Ada di antara anak-anak gadis mereka berkahwin dengan lelaki Melayu. Lama kelamaan mereka hilang identiti kejawaan dari segi bahasa perhubungan harian, menu makanan dan adat resam serta kepercayaan. Ada juga anak-anak lelaki yang berhijrah ke petempatan Jawa lain seperti di Klang atau Jeram dan terus menetap setelah berkahwin dengan anak gadis Jawa di sana. Maka, perkahwinan campur, penghijrahan serta faktor kebun kelapa dan kopi mereka dimusnahkan gajar liar menjadi penyebab koloni Jawa di Kelanang semakin berkurang. 

Setelah kedatangan secara besar-besaran orang Jawa ke Selangor termasuk Kuala Langat,  barulah komuniti Jawa tersebar menjadi sub-etnik Melayu teramai di Kuala Langat dan Sepang. Maka berduyun-duyun dan berpusu-pusu mereka tiba di Selangor, sama ada  dibawa secara kontrak oleh kerabat Sultan untuk mengerjakan tanah mereka, atau secara sukarela memohon kepada pejabat Tanah untuk meneroka tanah di Banting dan Kanchong Darat mulai tahun 1903 sehingga 1945. Orang Jawa di Kelanang pada masa itu, berpindah ke tempat-tempat baru ini. Pilihan yang ada pada mereka,  sama ada menjual terus tanah, atau bertukar-tukar hakmilik tanah. Ada juga yang terus mengekalkan hakmilik tanah di Kelanang  untuk anak cucu mereka kemudian.  Seperti kaum Cina di Chinatown, mereka lebih selesa hidup sesama kelompok mereka berbanding etnik lain. Maka, tinggallah Kelanang didiami Melayu, Orang Asli serta pendatang Tamil  di estet berhampiran dan Cina yang menjadi peniaga dan bertani di situ. Itu satu andaian sahaja. Mungkin ada alasan yang lebih menyakinkan, wallahualam.

Mulai tahun 1890-an,  Inggeris membuka Kelanang untuk penanaman kopi dan kelapa secara komersial. Terdapat dua buah ladang iaitu Permatang Estate dan Kelanang Estate (2223 ekar).. Kelanang kini menjadi center point untuk kaum imigran Tamil. Walaupun mereka mendapatkan bekalan harian mereka di pekan Kelanang, tetapi kehidupan masyarakat ladang ini memang terpencil dan terpinggir. 

Ketika pemerintahan Sultan Abdul Samad, memang terdapat laluan berbatu dari Jugra ke Batu Laut sejauh 15 batu(24 km). Telah ada 8 buah petempatan kecil di laluan itu termasuk Kelanang. Laluan ini digunakan oleh pegawai British untuk bergerak ke kawasan pantai Kuala Langat di Morib dan  Batu Laut sehingga ke Sepang bagi tujuan kutipan hasil dan pergerakan peladang dan pekerja-pekerja mereka dari Jugra Ketika itu belum ada lagi jalan  perhubungan darat ke Klang atau Kuala Lumpur. Pendek kata, kehidupan mereka berkisar Jugra, Batu Laut, Morib dan Sepang. Setelah pusat pentadbiran daerah Kuala Langat dipindahkan ke Telok Datok pada tahun 1918 , laluan ini menjadi sepi dan hanya digunakan oleh penduduk setempat. Hakikatnya Kelanang dan Jugra semakin sunyi dan terpinggir, menjadi The Sleepy Hollow of Kuala Langat, tempat jin bertendang, kata nenek Atok. 

Perkembangan dan Pembangunan kampung Kelanang

Surat daripada Sultan Alaudin Sulaiman Shah kepada Residen British di Selangor memaklumkan kematian Haji Hamid bin Haji Saat, Penghulu Mukim Kelanang dalam tahun 1911


Surat Permohonan daripada Raja Haji Abdullah bin Raja Yahya
untuk jawatan sebagai Penghulu di Kelanang pada tahun 1911

      Surat Permohonan daripada Raja Muhammad bin Raja Jaafar untuk jawatan sebagai Penghulu di                                                                     Kelanang pada tahun 1911





Surat Petisyen daripada Ketua Kampung Tanjung Rasau bertarikh 21/2/1918 agar Penghulu Kelanang, Raja Shamsusah bin Raja Aspar dikekalkan di mukim Kelanang

1. Kegiatan Ekonomi

Sebelum Atok pergi jauh lagi, Atok nak maklumkan kepada korang sejak dahulu lagi kehidupan masyarakat di Kelanang cukup sederhana. Aktiviti ekonomi mereka dilingkungi pertanian, penternakan dan perikanan dan hasil hutan. Orang Melayu mengerjakan kebun kelapa,pisang,durian dan lain-lain tanaman untuk keperluan sendiri dan sedikit  untuk penjualan. Mereka juga menjadi petani menanam padi, (tidak dapat di pastikan jenis padi sama ada padi huma atau padi sawah) sejak zaman Sultan Abdul Samad lagi. Hasil dijual kepada peraih yang juga tinggal di kampung tersebut untuk dipasarkan ke Banting dan tempat-tempat lain. Mereka pernah dibantu dengan pemberian lembu pawah oleh kerajaan dalam tahun 1960-an. Tidak banyak yang berubah di sini sehinggalah pada tahun 1970-an, anak-anak gadis dan pemuda kampung ini keluar bekerja di kilang-kilang di Telok Panglima Garang. Ketika itu berbondong-bondong mereka diangkut pergi dan balik oleh bas-bas kilang setiap hari. Baharulah nampak perubahan ketara dalam kehidupan mereka. Meskipun memegang jawatan sebagai operator pengeluaran dan kerja-kerja bertaraf bawahan dan bergaji rendah, pendapatan yang mereka bawa pulang berjaya mengubah kemiskinan mereka selama ini. Bumbung rembia atau nipah rumah kini diganti zing. Papan dindingnya diganti baharu. Si ayah dapat merasai menunggang motosikal baharu yang dibayar secara ansuran bulanan oleh anaknya. Mereka kini setara dengan kampung-kampung lain di Jugra dan Kuala Langat.

Bentuk rumah Melayu Selangor yang terdapat di Kampung Kelang

Orang Asli suku Mah Meri yang tinggal di Kampung Permatang Buah pula, mereka masih mengamalkan gaya hidup tradisi mereka. Mereka menangkap ikan dan hasil laut, mengambil hasil-hasil hutan seperti rotan, buah salak, petai dan herba-herba bagi tujuan perubatan untuk kegunaan mereka sendiri. Pendedahan mereka terhadap kemodenan baharu berlaku sejak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) ditubuhkan. Mereka mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan secara tetap. Anak-anak mereka dibantu persekolahan mereka, mengikut kemampuan pembelajaran masing-masing. Namun, perhubungan melintas budaya dan kaum dalam komuniti di Kelanang memang terbatas dan ketika perlu sahaja. Cuma harapan tertumpu kepada generasi kedua dan ketiga kaum Asli di sini untuk bersama arus perdana. 

Orang Asli Kampung Permatang Buah

Kaum India pula terbatas di estet-estet sahaja. Segala keperluan mereka ada dan disediakan oleh pihak ladang. Mereka mempunyai sekolah vernakularTamil sendiri. Hidup dan mati mereka hanya di estet. Mereka sudah berada di Kelanang sejak tahun 1900 lagi apabila Ladang Kelanang dan Ladang Permatang dibuka.Sesekali,mungkin mereka keluar estet ke Banting atau estet-estet berdekatan untuk bertemu muka dengan saudara mara dan kenalan lama. Pendapatan mereka dieksploitasi pihak ladang sejak dahulu lagi. Gaji harian mereka hanyalah 40sen setiap hari bekerja sejak 1914 lagi. Bahkan ketika Kemelesetan Ekonomi Dunia dalam tahun-tahun 1930-an, gaji mereka dipotong lagi, 35 sen dengan alasan harga komoditi jatuh menjunam di pasaran antarabangsa. Untunglah bagi mereka yang berpendapatan sampingan seperti menternak lembu, ayam atau babi. Pihak ladang sedia memberi kerjasama dan sedikit bantuan kewangan untuk kemudahan penternak ini.

2. Pencapaian

Kemenangan Pasukan Bolasepak Sekolah Melayu Kelanang
 ke atas Sekolah Melayu Kajang  Dalam Pertandingan Antara Sekolah Melayu, 1932 


Sukaneka Permatang Estate, 1935


Kemenangan Kg. Kelanang dalam Pertandingan MAHA, 1958








3.  Kemudahan Infrastruktur Ketenteraan di Estet Kelanang

Sebagaimana yang telah Atok ceritakan dalam entri lain blog ini,
https://akubudaktelok64.blogspot.com/2021/01/morib-landing-revisited.html
sebenarnya  Estet ini dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan British. Kira-kira seribu ekar daripada ladang ini dikhususkan bagi pembinaan lapangan udara bagi kegunaan RNAS, Royal Navy Air Services. Pelbagai tender untuk menyiapkan kemudahan di sini dikeluarkan secara tergesa-gesa sebelum Jepun menyerang Malaya. Akhirnya, Kelanang Airfield ini disiapkan oleh tentera Jepun bagi kegunaan mereka.



4. Kemudahan Infrastruktur Awam (Estet)

Di estet Permatang dan Kelanang Estet (milik Tentera Laut Diraja British), keperluan asas berupa bangunan kuarters pekerja, banglo majikan, setor, sekolah-sekolah, tangki bekalan air lengkap disediakan.

5. Kemudahan Infrastruktur Awam (Kampung)

Memang terlalu sedikit pembangunan ketika pemerintahan British. selain sebatang laluan berbatu ketika pemerintahan SAS dahulu, sebuah sekolah Melayu diasaskan pada tahun 1890 bagi keperluan pendidikan anak-anak kecil di Kelanang. Bekalan air bersih masih tidak dapat dinikmati penduduk kampung ini walaupun di estet Permatang dan Kelanang, bekalan air bersih telah ada sejak 1939 lagi. Sejak merdeka, keadaan mereka masih tidak berubah. Mereka begitu dahagakan pembangunan asas, seperti mana yang btelah dikecapi oleh penduduk-penduduk kampung berdekatan. Mereka merungut tentang keadaan jalan raya yang berlopak, pembinaan separuh jalan lorong berbatu ke jeti nelayan serta ura-ura membina kilang air batu untuk kegunaan nelayan di situ. Mereka memerlukan bekalan air paip, telefon awam dan klinik kesihatan. bahkan di kampung ini juga tiada bangunan sekolah rendah agama selain masjid yang sudah uzur.

 a) Rungutan Penduduk

 
      




b) Projek-projek Pembangunan Luar Bandar







 c) Pembangunan masa kini






Pekan Kelanang


Peristiwa-peristiwa





Rujukan:









































Selasa, 15 Jun 2021

Kisah Sultan dan Negro di Jugra dan Rekoh

Salam buat semua. Alhamdulilah, bertemu lagi kita ya. Kali ini Atok rasakan  sudah lebih kerap kita bertemu. Ya lah, time PKP, tambahan pula PKP bersambung lagi dua minggu. Hai, mereput dan membuncitlah kita di rumah ya! Nak diapakan? Dah nasib badan! Salah kita semua juga. Terjerit-jerit PM dan menteri suruh sabar jangan balik beraya di kampung, kita buat tak dengar jer. Hah, kan dah kena semua sekarang! Datuk dan nenek kat kampung pun dah kena angkut ramai-ramai ke pusat kuarantin. Duduklah beraya ramai-ramai kat situ. Itu yang korang nak, kan? Bukan korang yang kat sini, maksud Atok korang  yang kat sinun. DEGIL! Rileks, bukan Atok doakan yang buruk buat mereka. Atok hanya cakap bahasa terbalik, reverse psychology kata Omputeh. Takkanlah Atok nak doakan yang bukan-bukan buat diorang!

Oklah...Apa khabar semua? Semoga sihat walafiat belaka. Entri kali ini memang agak pelik. Atok pun tak tahu, nak gelak ke nak nangis. Macam mana pula Sultan kita, Almarhum Sultan Abdul Samad (SAS) boleh terkait dengan Awang Hitam dari Afrika? Betul, korang tak silap baca...Awang Hitam, bukan Panglima Hitam! Ya, Negro... rambut kerinting halus, kulit hitam metalik dan bibir tebal, asal dari Afrika. 

Bukan. Bukan Negrito. Atok tahu dan kenal Negrito. Memanglah mereka berambut kerinting, berkulit gelap TAPI mereka orang asli kita. Lahir kat sini. IC biru macam kita. Takkanlah Atok salah cakap atau tak reti membezakan. Memang sah diorang tu asal Afrika, bukan Islam. Entah-entah anak keturunan Kunta Kinte, hamba Afrika yang dibawa belayar ke Amerika untuk bekerja di ladang kapas orang putih. Yang itu Atok tak pasti, mungkin juga diorang ini bekas-bekas hamba yang dah dibebaskan dan dihantar pulang ke Liberia, Afrika.

Tapi, kalau betulpun, apa diorang buat kat Tanah Melayu ini, atau lebih tepat lagi di Selangor ini dan apa hubungan sultan dengan mereka? Hah, ramai dah mula tunjuk muka serius baca tulisan Atok ini, bermakna korang ada minat nak tahu cerita ini dengan lebih lanjut lagi.

Hah, itu baru intronya. Mungkin ramai tertanya-tanya kenapa Negro-negro ini berada di tempat yang begitu asing bagi kita dan mereka. Jangan pula korang salah faham dengan pertanyaan Atok ini. Memanglah mereka itu manusia, macam kita...tapi semua orang di Nusantara ini tak pernah tengok mereka. Setakat orang Tamil, Papua, Senoi, Semang dan  Negrito tak ada hal dah. Mereka ini, pelik dan mencurigakan. Macam rusa masuk kampung, semua orang tercengang-cengang termasuklah geng Kunta kinte ini. Agaknya zaman dahulu pun dah ada Nigeria Scam atau Black  Money kot?

Orang Negro Afrika

Orang Asli Negrito

Orang Papua

Takkanlah! Tapi apa kaitannya dengan sultan kita? Pelik jugak kan? Bukan sekali, tapi dua kali mereka berada di Selangor masa itu. Pertamanya di Jugra, tak lama kemudian di Rekoh pula. Lepas itu, terus ghaib. Hilang entah ke mana. Betul, Awang Hitam dah menjadi Lembaga Hitam pulak dah. So, kalau korang nak tahu cerita sebenarnya dari A sampai Z, tunggu....Atok nak minum kejap. Hehehe.

Ceritanya begini...TAPI, Atok nak beritahu seperkara dahulu. Cerita ini ada versi fakta dan andaiannya. Faktanya ialah kehadiran dan kedatangan Awang Hitam ini ada, betul-betul wujud dan memang berlaku. Manusianya dan tempatnya. Cerita tentangnya ada dalam laporan berita dan Akhbar Inggeris di Singapura suatu masa dahulu. Andaiannya pula ialah pada perincian ceritanya, terpaksa dibuat andaian tentang mereka dan urutan peristiwa seterusnya kerana tiada penerangan jelas, hanya khabar angin dan khabar lisan orang-orang tua setempat. Tiada gambar, tiada nama. NOTHING.

So, korang masih tak puas hati lagi? Nak dengar cerita Atok sebiji-sebiji? Hmm...dah Atok agak dah.

Kisah Pertama

Tarikh/Garis Masa:     

 Sekitar 1850-an, mungkin 1855

Tempat:                         

Sungai Keluang, Jugra

Watak-watak:               

 Sultan Abdul Samad (SAS),kontraktor berbangsa Amerika, 60 buruh berbangsa Afrika

Tugasan:                     

 Membina terusan sepanjang 200 meter mencantumkan Sg. Keluang dengan Sg. Jugra untuk membentuk aliran sungai Langat kedua yang lebih pendek ke Selat Melaka 

Hasil Tugasan:              

Kewujudan Pulau  Si Allang (Pulau Carey). Aliran arus sungai menjadi deras dan merbahaya  kepada sampan dan tongkang

Tarikh Siap:                  

Tidak dinyatakan

Kos Projek:                  

Tidak dinyatakan

Penerangan/Andaian:

Pada tahun 1855, ketika berusia 51 tahun, baginda SAS (ketika itu belum lagi menjadi sultan) memikirkan kaedah untuk memendekkan masa pelayaran dari pedalaman Sungai Langat iaitu di Rekoh, Kajang dan Semenyih ke Jugra di Kuala Langat. Perjalanan memakan masa sekurang-kurangnya 5 hari bergantung kepada arus dan pasang surut sungai. Ini belum lagi termasuk perjalanan ke Kuala Sungai Langat di Pulau Lumut (Pulau Indah) yang jaraknya 12 tanjung dan telok. Jika dibina terusan sejauh 200 ela (meter), maka masa jarak perjalanan dapat dijimatkan. Tambahan pula, jeti Batu Ampar dapat dimanfaatkan. Maka diwar-warkan tender 'tak rasmi' ini di Singapura. Maka ada kontraktor Amerika yang berminat dengan tawaran tersebut. Dalam direct negotiation tersebut kontraktor itu ditawarkan hak melombong bijih timah di Rekoh. Maka, mereka membawa masuk 60 orang pekerja berkulit hitam itu, kemungkinan besar dari Liberia,  Afrika sebagai buruh kasar. Setelah  berjaya menyiapkan tugasan. Sultan menghantar mereka ke Rekoh sebagai memenuhi janji baginda.


Kisah Kedua

Tarikh/Garis Masa:      

Sekitar 1850-an, mungkin 1855

Tempat:                        

Sungai Tangkas, Rekoh, Ulu Langat

Watak-watak:               

Kontraktor berbangsa Amerika, 60 buruh berbangsa Afrika, Pembesar tempatan,  pawang, penduduk tempatan Mendailing, Rawa, Minangkabau, Bugis                        

Tugasan:                     

 Berjumpa Pembesar tempatan (nama tidak dinyatakan), mendapatkan keizinan melombong, mengikut SOP, membayar cukai hasil                                       

Hasil Tugasan:             

Kontraktor gagal memenuhi tuntutan dan arahan pembesar. Pembunuhan dan pembakaran bangsal dan lombong. Kontaktor dan buruh melarikan diri.                                       

Tarikh Siap:                 

Tidak dinyatakan

Kos Projek:                  

Tidak dinyatakan

Penerangan/Andaian:

Pada tahun 1855/6, kontraktor Amerika (nama tidak diketahui) telah memulakan operasi melombong timah tanpa restu dan perkenan pembesar setempat serta tidak mengikut SOP yang ditetapkan. Sepatutnya mereka mendapatkan khidmat bomoh atau pawang yang bergelar Tok Pawang besar sebelum memulakan kerja-kerja melombong. Tercalar imej dan reputasi Tok Pawang Besar ini apabila khidmat konsultasinya tidak diperlukan bahkan dipinggirkan oleh Mat Saleh koboi yang tak percayakan langsung pantang larang serta khurafat Melayu ini. Malu besar dia! Jadi perkara ini diadukannya, atau orang-orangnya kepada pembesar di situ yang dikenali sebagai Tok Lili. Tok Lili pun agak marah dengan kebiadapan koboi-koboi bodoh sombong itu. Akibatnya pada suatu malam, ketika sedang tidur, mereka diserang oleh beberapa orang pendekar Melayu. Seramai 3 orang kulit putih Amerika serta 6 orang kulit hitam terbunuh dalam serangan itu. Yang lainnya melarikan diri ke dalam hutan menghala ke Bagan Terendah dalam kegelapan malam tersebut.

Gambar sekadar hiasan. Tiada kaitan dengan kejadian di Rekoh

An American prospector started a tin mine at Rekoh in 1855. However, the locals objected as he did not possess any consent and the venture was abandoned. There were altercations and eventually, the Americans left. 




Ulasan Atok:

1.  Memang kejadian menyayat hati ini berlaku tapi kononnya pelombong dan buruh Negro ini kembali ke Jugra atau teruskan usaha melombong bijih timah di Kuala Langat adalah tidak benar. Tiada rekod tentang mereka pun di Kuala Langat selepas itu. Kemungkinan besar bagi Atok, mereka berundur ke Singapura dan meninggalkan terus Asia Tenggara kerana pengalaman hitam ini. Lagipun, mereka diserang kerana kesombongan mereka dalam memahami adat setempat.

2. Tuduhan bahawa pihak sultan telah mengingkari janji baginda terhadap Pelombong Amerika ini adalah tidak tepat. Ini kerana baginda telah membenarkan pelombong-pelombong Cina membuka lombong bijih timah mereka di Rekoh pada tahun 1867 serta berjaya mendapat hasil yang lumayan sehingga membawa kepada pembukaan Bandar Kajang dalam tahun 1870.

Tapi timbul pula persoalan berikutnya, Mengapa mereka memilih Asia Tenggara dan bukan Amerika Utara atau Amerika Latin sebagai prospek mereka? Sebenarnya,ekspedisi mereka ke dunia sebelah sini ada kaitannya Dasar Perdagangan Amerika Syarikat yang dimulakan oleh Komander Perry apabila dalam tahun 1853 mereka memaksa Jepun dan Korea membuka negara-negara mereka untuk pasaran Amerika Syarikat. Tidak seperti penjajah-penjajah Eropah yang memilih untuk mengadakan hubungan perdagangan sebelum hubungan politik, Amerika Syarikat dilihat lebih agresif untuk menjajah sebelum hubungan perdagangan dijalankan. Hal ini dapat dilihat dengan penaklukan Hawaii di lautan Pasifik.
Kemungkinan juga Amerika ingin mencari terus bahan mentah bagi menampung pembangunan peindustriannya tanpa monopoli pedagang Eropah terutamanya Gambir untuk industri penyamakan produk kulitnya. Wallahualam.


Rujukan:



Sabtu, 12 Jun 2021

Mengenali Keunikan Sejarah Kg. Permatang Pasir di Jugra

Salam buat semua. Apa khabar semua anak cucu Atok di mana sahaja korang berada? Atok doakan yang terbaik untuk korang dalam menjalani hidup ini di atas muka bumi Allah SWT. Tetaplah berada di rumah kalian. Corona sedang menggila di luar. Tak ada keperluan, tak payah keluar. " Duduk ontok-ontok kek umah", kata Wan korang dalam loghat Negeri Sembilannya. Sabar jer lah, nak buat macam mana? Kalau Corona tu orang boleh gak dipukul, disekel kepalanya, Ini benda tak nampak. Kau mandi air sanitizer sebaldi pun takkan nampak tandanya. Jadi ikut jer lah SOP yang disuruh. Jangan degil macam sesetengah orang dalam media sosial tu. Dah doktor nasihatkan, tak nak dengar. Mufti cakap dalam tv, dianjing-anjingkannya. Atok tak tahulah jin mana yang masuk dalam badan dia. Cukup degil. Atok rasalah mungkin emak abah diorang masa 'bersama' dahulu memang tak baca bismillah kot. Patutlah ada DNA jin dalam kepala dia. Pendekkan cerita, memang bodoh sombong. Bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut!. Oklah, Lantakkanlah diorang tu... Dah kena batang hidung, keluarga masing-masing baru nak dengar cakap, agaknya.

Minggu ini Atok nak bercerita lagi. Bukan apa, Atok cukup seronok respons korang tentang entri-entri Atok pasal harimau dan buaya di Jugra hari itu. Hah, pasal koranglah Atok teruja nak berkarya lagi!.Kan Atok dah cakap dulu, Atok seronok kalau kita kongsi cerita sejarah diri kita, tempat kita dan masyarakat kita. Bukan Atok nak mengumpat atau memfitnah orang-orang yang dah mati, tapi kita hargai jasa dan sumbangan orang tua, datuk nenek moyang kita agar kita pun sama-sama dapat jadi macam diorang berbakti kepada tanah air dan masyarakat sekeliling kita..  Ada fahaaam?

Sebenarnya Atok terpanggil untuk menulis entri ini kerana ada komen pembaca yang bertanyakan sejarah kampungnya, Kampung Permatang Pasir di Jugra. Atok cuba semak di internet kalau-kalau ada penulisan penduduk jati kampung itu tentang sejarah kampung mereka, tapi hampa. Kalau ada pun cerita, hanyalah pasal tempat untuk memancing atau cerita-cerita biasa sahaja. Patutlah pembaca itu mengeluh hampa. Pelik juga, kan? Takkanlah tempat sehebat ini tiada cerita semasyhur Jugra? Sebenarnya apa yang diceritakan mengenai Jugra bukanlah merujuk kepada spesifik sesuatu kampung. Jugra merujuk kepada suatu kawasan umum atau lebih tepat mukim.  Jadi, apa sahaja yang disebut berlaku di Jugra dalam sejarah mungkin berlaku dalam kampung-kampung tertentu termasuklah di Kg. Permatang Pasir, cuma tidak disebut secara langsung atau tepat. Tapi Atok percaya kalau diselidiki  garis masa dan urutan peristiwa bersejarah di sana pasti terungkai masa dan tempatnya.

So, berbekalkan azam dan andaian itu Atuk memulakan pelayaran di samudera luas bernama internet. Gali punya gali, Atok dah jumpa beberapa tokoh dan hal unik tentang Permatang Pasir.  So, guys, apa lagi? Pinjamkan Atok biji mata korang. Iyo, dua-dua sekali. Atok nak korang, terutama anak-anak jati kampung Permatang Pasir fokus apa yang Atok dah jumpa tentang uniknya sejarah kampung korang ini.

1.  TOKOH-TOKOH TERNAMA

Kg. Permatang Pasir sememangnya telah wujud seiring dengan pembukaan Bandar Temasha di Jugra dalam tahun 1867, mungkin lebih awal daripada itu. Jugra telah wujud lebih awal lagi sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Hang Tuah dikatakan pernah singgah di sini dalam pelayarannya ke Klang dalam abad ke-15 dahulu. Tapi rekod tentang Permatang Pasir memang tiada sehinggalah kedatangan Inggeris ke Selangor dalam tahun 1873. 

Oklah, sebelum Atok cerita lebih jauh lagi, ada lebih baiknya Atok tajamkan semula ingatan subjek Sejarah korang tentang sebab campurtangan Inggeris di Selangor. Salah satu sebabnya ialah kes pembunuhan anak-anak kapal dagang Cina dari Melaka on the way ke Pulau Pinang dalam tahun 1873. Korang bayangkanlah bangun jer pagi tetiba di Kuala Jugra sudah ada 8 buah kapal perang China Fleet Inggeris yang sedang menghalakan semua meriamnya ke arah bukit Jugra dan istana Sultan. Tak terkejut beruk ke semua orang di Jugra dibuatnya, termasuk sultan?

Inggeris minta keadilan daripada Sultan tentang lanun-lanun yang telah membunuh anak-anak kapal lindungannya. Lagipun Selangor sememangnya ada perjanjian perdamaian dengan Melaka dan Negeri-negeri Selat.

Maka, melihat situasi yang mencemaskan itu, dan dengan pujukan anak menantunya, Tengku Kudin yang bersahabat baik dengan Inggeris di Melaka, Sultan Abdul Samad bersetuju untuk menerima Residen di Selangor dan menubuhkan tribunal menghakimi pesalah atau lanun-lanun tersebut. 

Mengikut tulisan Frank Swettenham, Ketua Lanun@Master mind atau perancang utama serangan lanun ke atas kapal dagang milik Cina Melaka itu ialah Tengku Yaakob, anakanda Sultan Abdul Samad sendiri. Disebabkan anak kerabat yang terlibat,  mereka dikatakan mencari 'kambing hitam' untuk mengelakkan daripada dihukum. Maka dua penduduk orang tempatan dijatuhi hukuman bunuh dengan keris, dengan perkenan baginda.

Walaupun tak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sultan itu, British tidak memprotes kerana tujuan mereka memang untuk campurtangan dalam hal ehwal Selangor sudah berjaya, maka terhentilah Perang saudara di Selangor. Dikhabarkan dalam rekod Inggeris, Tengku Yaakob tinggal di kampung Permatang Pasir. Hah, itu tahun 1873. Pasti Permatang Pasir telah wujud lebih awal daripada itu!

Tapi kan, walaupun Atok tak hendak ulas cerita yang dah menjadi sejarah, tapi, bagi Atoklah perkataan Ketua Lanun itu terlalu menghinakan bagi seorang anak raja. Atok rasa Frank Swettenham bias atau prejudis dengan perjuangan anak pribumi menentang penjajah, Belanda dan Inggeris. Perlu diingat, keluarga diraja Selangor ini berketurunan Bugis. Jihad menentang Belanda telah membara di jiwa mereka kerana Belanda menyerang dan membunuh serta meruntuhkan kerajaan-kerajaan Islam kecil di tanah leluhur mereka, di Sulawesi. Sebelum ini pun, Selangor dan Belanda saling menyerang kedudukan mereka di Kuala Selangor dan Pangkor untuk menguasai perdagangan bijih timah dan Selat Melaka. Apa jua cara yang dapat menyekat kegiatan ekonomi musuh itu dianggap jihad dan taktik peperangan, termasuklah menyerang kapal-kapal di laut. So, janganlah terpedaya dengan apa sahaja yang ditulis oleh penjajah. Baca dan rasakan firasat kamu tentang mereka.


Kemudian, setelah Selangor menjadi 'jajahan' Inggeris, lahir lagi seorang tokoh pejuang berinspirasikan agama di bumi Permatang Pasir. Anakanda Raja Muda Musa sendiri, iaitu Tengku Sulaiman dibesarkan di sana. Baginda mengikut ayahandanya menetap di kampung ini pada usia 12 tahun. Baginda gemar bermain sepak raga dengan kawan-kawan sebaya di kampung tersebut.



Baginda juga suka akan kerbau malah memiliki sekawan kerbau yang dibiarkan bebas merayau-rayau.  Kalau nenda baginda ,SAS suka akan pertanian, baginda pula sukakan penternakan kerbau. Malah hobi ini diturunkan kepada cucunda baginda,  Almarhum Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah, ayahanda Sultan Selangor sekarang yang memelihara rusa di kaki bukit Jugra dalam tahun-tahun 80 hingga 1990-an dahulu.

Apabila ayahandanya Raja Musa ibni Sultan Abdul Samad meninggal dunia dalam tahun 1884 dan disemadikan pusaranya di Klang, maka Raja Muda Musa ditabalkan menjadi Raja Muda Selangor yang baharu. Dengan status dan kuasa yang ada baginda telah cuba membawa perubahan dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya baginda telah mendirikan sebuah sekolah Melayu untuk perempuan di Jugra dalam tahun 1895. Segala perbelanjaan pengajian dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh baginda. 

Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Raja Muda Musa , cucunda kesayangan Almarhum Sultan Abdul Samad telah diisytiharkan sebagai Sultan Selangor ke-5 di Istana Jugra (Istana Sedang Masa). Majlis perisytiharan itu telah dihadiri oleh para pembesar negeri dan turut dihadiri oleh William Hood Treacher – Residen Jeneral Negeri-negeri Melayu  Bersekutu.Istiadat pertabalan Tengku Sulaiman sebagai Sultan Selangor ke-5 telah diadakan pada tanggal  22 Oktober 1903 di Istana Mahkota Puri Klang, dengan gelaran Sultan Ala’eddin Sulaiman  Shah. Masih ramai lagi kaum kerabat baginda AlSultan tinggal di kampung Permatang Pasir sehingga kini.

2.  KEDUDUKAN YANG STRATEGIK
Kalau berdasarkan peta, kedudukan kampung Permatang Pasir ini memang strategik. Kenapa Atok katakan begitu? 
Pertama, Bukit Jugra setinggi 267 meter dari aras laut ini, yang menjadi mercu tanda  dan pertahanan Jugra agak luas dan curam di sesetengah lurah dan susuh bukitnya. Untuk mendaki dan berada di puncaknya dalam masa tersingkat amatlah perlu. Maka menerusi keratan rentas bukit ini sebagaimana ditunjukkan di bawah:

Point of Entry adalah di kaki bukit itu berdekatan dengan kampung Permatang Pasir. Ya, di belakang masjid, ikut laluan paip air besar ke Loji Rawatan Air. Pihak TUDM Bukit Jugra juga menggunakaan trek ini untuk menggerakkan tentera PASKAUnya yang bertugas menjaga stesen radarnya suatu masa dahulu. Maka tepatlah pemilihan Permatang Pasir sebagai petempatan kerabat-kerabat sultan yang lain dan hulubalang-hulubalang mereka. Tambahan pula, Bandar Temasha merupakan petempatan rasmi diraja yang formal dan eksklusif dan semestinya perlukan ketenteraman maksimum. yang hanya terdapat istana dan gudang simpanan bijih timah milik peribadi sultan serta beberapa buah rumah pembesar istana serta kerabat utama baginda.



Kedua, Permatang Pasir hanyalah dua batu (kurang 4km) jaraknya dari kampung Bandar Temasha. Jadi, andai kata berlaku kecemasan atau darurat dan sultan serta kerabat baginda perlu dievakuasi segera, keluar dari Jugra, maka, tindakan segera dapat diambil.

Ketiga, Kemajuan dan pembangunan pekan Jugra ketika awal campurtangan Inggeris di Selangor (1878-1885) menyaksikan pembinaan istana baharu (Istana Sedang Masa) lengkap dengan kandang kuda dan gudang, pejabat daerah, rumah pasong, banglo Pemungut Hasil, serta deretan kedai untuk memenuhi keperluan semua penduduk. Jadi, kedudukan Permatang Pasir yang terletak hanya kira-kira 4.8 km dari  Jeti Batu Ampar merupakan perkampungan terdekat dengan pekan Jugra ketika itu. Maka, segala keperluan prasarana di situ termasuk sumber tenaga manusia dipenuhi oleh penduduk kampung ini. Ramai penduduk di situ bekerja dengan pihak istana, pihak kerajaan Inggeris, pekedai-pekedai Cina selain menjadi buruh di pelabuhan Batu Ampar dan nelayan termasuklah relau pembuatan kayu arang.
Sebagai pusat pentadbiran Selangor yang baharu, beberapa perahu dan kapal wap milik kerajaan berulang alik dari Klang ke Jugra. Kapal wap Abdul Samad membawa penumpang diraja,  pekerja-pekerja dan pengurus- pengurus estet berdekatan dan pegawai kerajaan di samping mel. Kapal wap Enid berulang alik ke Jugra dari Klang ke Jugra  dua minggu sekali. Pada minggu berikutnya kapal tersebut belayar dari Klang ke Kuala Selangor. Tongkang dan kapal wap kepunyaan pedagang berbangsa Cina juga berlabuh di jeti Batu Hampar Jugra. 



Laluan darat Batu Ampar- Bandar (Temasha) melalui Permatang Pasir ini menjadi laluan penting perdagangan ke pedalaman Sungai Langat. Bijih timah,  beras,rotan, damar, getah percha dari Hulu Langat diangkut dengan sampan dan tongkang berlabuh di pengkalan perahu di Bandar, dipunggah naik hasilnya ke atas kereta lembu sebelum diangkut ke Batu Ampar untuk dipunggah kembali ke dalam tongkang dan kapal wap kecil untuk dibawa belayar ke Melaka dan Singapura. Begitu juga dengan hasil-hasil dari luar dibawa kembali ke pedalaman Langat untuk keperluan mereka di situ Jalan darat baru sejauh 7 km ini memberi sinar baharu kepada ekonomi dan prospek Jugra sebagai kawasan membangun.

3.  PEMBUATAN KAYU ARANG
Dahulu kayu merupakan keperluan sebagai bahan api domestik. Bagi penduduk di bandar pula, kayu arang menjadi pilihan mereka. Dengan kedudukannya di tengah-tengah rimba kayu bakau, Jugra mempunyai relau pembakaran kayu arangnya. Kayu-kayu arang ini bukan sahaja untuk keperluan setempat tetapi dijual ke bandar-bandar besar seperti Klang, Melaka dan Singapura. Memang kedudukan kilang arang ini di Jugra, tetapi pekerja-pekerjanya rata-rata dari Permatang Pasir. Rasa-rasa Atok dah takde dah relau-relau tu lagi...Last Atok tengok awal tahun 1980an. Dah tak ada lagi pasal permintaan untuk kayu arang dah kurang kecuali tukang bakar sate.

contoh relau kayu arau di Kuala Sepetang, Perak

    


4.  KEUNIKAN SUBDIALEK BAHASA MELAYU VERSI PERMATANG PASIR

Satu kajian ilmiah  dan lapangan, dari Fakulti Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia UKM telah dilakukan di Kampung Permatang Pasir. Mereka mendapati sebutan, nada,slanga, lenggok kata penduduk di sini agak unik, berbeza daripada dialek Bahasa Melayu yang dituturkan oleh penduduk-penduduk walaupun dalam daerah yang sama, Kuala Langat. Dalam konklusinya pengkaji mengatakan:

Sistem Fonem Vokal Dialek Melayu Jugra Permatang Pasir

"Dalam makalah ini, pengkaji telah mendeskripsikan aspek-aspek fonologi yang belum 
mendapat penjelasan terhadap beberapa kajian tentang DMJ VPP. Analisis data bermula dari 
segi penyebaran fonem dan bunyi yang terdapat dalam kawasan kajian berdasarkan bunyi 
vokal, diftong dan konsonan. Hasilnya, DMJ VPP mempunyai 8 fonem vokal iaitu /i, u, e, o, 
, , , a/ yang terdiri daripada tiga vokal depan, dua vokal tengah, dan tiga vokal belakang 
serta memiliki dua diftong iaitu /-aw, -aj/ yang dibunyikan sebagai -aw, -aj. Dua diftong ini 
hanya hadir pada posisi akhir kata sahaja. Sehubungan itu, DMJ VPP mempunyai 19 fonem 
konsonan; tujuh buah konsonan letupan /p, b, t, d, k, g, dan /, dua konsonan letusan /t, d/, 
tiga konsonan geseran /s, , h/, empat konsonan nasal /m, n, , /, satu konsonan sisian /l/ dan 
dua konsonan separuh vokal /w, j/. Hasil penemuan ini diharap dapat memberikan satu 
sumbangan yang baharu dalam bidang linguistik dan dapat meleraikan segala permasalahan 
yang timbul dalam kajian-kajian yang lepas."

HAH, AMMEKKAU! Sepatah pun Atok tak faham, apa lagi nak ceritakan kat korang! Tapi yang pastinya bagi Atok secara peribadi, penduduk-penduduk kampung ini memang ramah, menyeronokkan apabila diajak bersembang, terasa seperti Atok sebahagian daripada mereka. Pengalaman Atok selama lebih 7 tahun ketika menabur bakti sebagai pendidik di sebuah sekolah menengah di Jugra, memang ada sedikit perbezaan antara pelajar-pelajar Permatang Pasir dan  budak kampung-kampung lain sekitar Jugra. Mereka ini lebih bersopan ketika berbual, lebih mendengar kata  dan arahan guru dan kurang masalah disiplin. Mungkin inilah hasil hidup  dengan pelbagai lapisan masyarakat; golongan kerabat istana, pekerja biasa, Cina, India, Orang Asli dan pendatang-pendatang asing. Pertuturan dan rasa hormat yang  terjalin menunjukkan hati budi  sebenar mereka.


Secara peribadinya, Atok sukakan sambal nasi lemak diorang, memang tak sama dengan tempat lain walaupun di TPG. Special, lain daripada yang lain. Mungkin warisan air tangan nenek mereka yang pernah bekerja di dapur istana.
Kini, Permatang Pasir berubah wajah. Pembangunan ada di mana-mana.  Mungkin jugalah berkat doa orang-orang alim dahulu di situ, Jugra kini menjadi hub Pendidikan. Tempat orang luar menuntut dan menimba ilmu. Di sini ada pusat tahfiz, pusat kemahiran dan pusat pengajian tinggi. Kalau di tempat lain, di pusat perindustrian, anak-anak mudanya berambut karat,berpakaian jelek, mencolok mata, tapi di sini lahir generasi pendokong agama, berakhlak mulia serta sejuk mata memandang. Inilah Jugra, bumi ulama, pewaris para nabi, insha Allah.
Kesimpulannya, wahai penduduk -penduduk kampung Permatang Pasir! Bersyukurlah kerana kamu mempunyai suatu sejarah yang membanggakan kami semua penduduk Kuala Langat. OKlah,  karang, naik kembang pula hidung orang Permatang Pasir kalau dipuji-puji berterusan begini. Korang tengoklah gambar-gambar dan maklumat dibawah ini:

Pembinaan Balai Polis Permatang Pasir dan kuarters kelamin dalam tahun 1889


Permohonan Sumbangan kerajaan untuk pembinaan Masjid Permatang Pasir tahun 1903

Wang Sumbangan Kerajaan buat Pembinaan Masjid Permatang Pasir pada tahun 1904

       Pembinaan  semula Kuarters Pekerja/ Cooly lines di Permatang Pasir pada tahun 1905




Pembinaan Sekolah Baharu di Permatang Pasir pada  tahun 1905

Penubuhan Majlis Pembersihan Pekan Permatang Pasir dalam tahun 1912








Rujukan:



Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...