Memaparkan catatan dengan label Nurse. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nurse. Papar semua catatan

Selasa, 4 Ogos 2020

Sejarah Klinik Kesihatan di Telok Datok dan Kuala Langat

Salam Aidil Adha buat semua... Apa khabar? Atok doakan semuanya sihat sejahtera di samping keluarga tercinta dalam keadaan sihat walafiat. Atok dengan Wan korang pun alhamdulillah. Syukur Atok panjatkan kepada Allah atas limpah kurniaNya.

Korang dah baca entri Atok tentang Hospital Banting? Baguslah. Baca jangan tak baca. Insafi diri kita. Jadikan diri kita bermanfaat kepada orang lain. Bantu mereka yang susah  dan yang memerlukan. Atok dan Wan berbangga dengan korang anak-anak Banting dan Kuala Langat. Tak sia-sialah darah dan semangat keperwiraan Panglima Garang dan Panglima Hitam yang korang warisi. Atok ingatkan sekali lagi...wariskan ilmu, bukan kekayaan kerana Knowledge  IS Power sedangkan harta kekayaan itu daki dunia. Tapi harus jua diingat, ilmu dapat memandu harta ke arah ketaqwaan tetapi harta mengheret ilmu ke lembah kehinaan.
Wow! Atok sendiri terkejut tentang falsafah hidup Atok ini . Memang senang diperkata tetapi sukar sekali diperkota, termasuklah diri Atok. Renung-renungkanlah.

Oh ya. Entri Atok kali pun masih berkisar tentang kesihatan dan perubatan. Bukan lagi pasal hospital, tetapi pasal klinik-klinik. Mesti ramai yang kata apa yang hendak dihebohkan sangat pasal klinik ini?...Berlambak klinik swasta dekat Banting dan seluruh Kuala Langat.
Memang. Benar kata korang itu. Tapi itu sekarang! Zaman orang Banting paling cekai pun ada motosikal kat rumah, Dalam poket paling bangsat pun RM 50 sure ada. Atok inikan Otai, jadi cerita Atok pun cerita lama, cerita yang jadi bahan sejarah...cerita zaman harta yang ada hanyalah maruah diri dan kekayaan yang dimiliki hanyalah budi bahasa. Itulah zaman  penjajah dan generasi baby boomer, generasi yang lahir lepas WW2. Zaman hospital terdekat 32 km jauhnya dan klinik paling hampir mungkin 10-20 km dari kampung halaman. 

Bercakap pasal baby boomer ini, Atuk teringat masa belajar kat sekolah pondok di Amerika dahulu, Ustaz Atok dalam bidang Sosiologi dahulu, kalau tak silap Atok, Ustaz Google tu pernah berkata, setiap satu generasi itu kira-kira 25 tahun, dan dia ada cerita pasal generasi X, Y dan Z. Kata dia setiap generasi itu ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Dan ciri-ciri terbaik generasi sebelum itu disemai ke dalam generasi selanjutnya. Tetapi jika kelemahan generasi tersebut disemai sekali ke dalam generasi seterusnya, maka kerosakan yang berlaku mendatangkan impak lebih buruk apabila keburukannya berlipat ganda. Hahaha. Memang susah korang nak faham, kan? Cakap seorang professor dengan orang gila tak banyak bezanya. Yang faham dia seorang jer. HAHAHA. Tapi lama kelamaan, dah nak bersara ini baru Atok fahamkan kata-kata bestarinya. Begini kisahnya.  

Kata dia, Generasi X (lahir antara 1945-1970) mempunyai kekuatan dan kelemahan yang X juga. Mereka  kuat berusaha, beribadat, patuh ajaran agama, berpegang teguh pada adat. Mereka ekstreme kerana kehidupan yang lasak dan kalau berjuang bermati-matian demi mencapai impian. Contohnya Golongan ulama dan pejuang kemerdekaan menentang komunis dan Inggeris. Namun mereka juga ada kelemahan. Ramai juga yang hidup dalam X, maknanya tiada harta,  miskin dan kekadang tidak berilmu dan berkemahiran. Mereka juga taat sangat dengan adat resam dan pantang larang walaupun ditegah agama.
Generasi selanjutnya Generasi Y (lahir antara 1971-1995). Golongan ini lebih bersifat meneroka (Explorer).  Menepati huruf Y (Why), banyak bertanya. mengejar ilmu dan kekayaan, lebih berjaya dalam kehidupan berbanding ayah dan datuk mereka. Mereka mempersoalkan adat yang tidak seiring dengan logika dan peredaran masa. Pembangunan negara sumbangan terbesar mereka. Sains dan Teknologi kepakaran mereka. Namun kelemahan mereka apabila banyak mempertikaikan nilai, adat dan agama. Budaya keBaratan dijadikan panduan dan gaya hidup. Ramai yang tersesar daripada landasan agama.
Generasi Z pula generasi (kelahiran 1996-2020). Generasi kini. Anak-anak yang hidup dalam era ledakan ilmu dan maklumat, Zaman ICT, generasi Millennium. Generasi ini kurang berinteraksi dengan alam persekitaran, lebih mesra dengan alam maya, alam siber. Mereka selesa hidup tanpa perlu bertemu muka. Segalanya hanya di hujung jari. 
Kelebihan mereka berilmu dan bermaklumat. Dunia mereka tanpa sempadan. Mereka mesra dengan manusia maya tetapi  tidak pandai menggauli jiran tetangga. Sesuai dengan huruf Z, mereka ini lalai, terleka dan terlena dengan kehidupan sedia ada. Hukum agama dan adat setempat tidak berkesan di jiwa mereka. Mereka manusia universal, terbuka, malah tanpa agama.
So, Atok kira itulah definisi setiap generasi. Kalau dapat kita wujudkan generasi gabungan XYZ yang hebat dengan kekuatan  tanpa punya kelemahan XYZ yang Atok nyatakan. Mungkin inilah generasi yang disebut sebagai Generasi Al Mahdi yang menjadi tentera dan penolong Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s kelak. Waduuh, jauh betul Atok melalut!. Oklah, kita berbalik kepada kisah klinik kembali.

Sebenarnya Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah lama wujud di Telok Datok, mungkin seawal 1901, di bawah nama Institusi Perubatan Kuala Langat. Tugas dan tanggung jawabnya menjadi perantara antara kerajaan dengan hospital dan klinik di estet-estet sekitar Kuala Langat dan Sepang, membekalkan kelengkapan klinikal, ubat-ubatan dan menawarkan tender kepada pembekal. Hal ini dapat dikenalpasti menerusi iklan tawaran tender pembekalan makanan kerajaan  dalam tahun 1910. Kemungkinan besar Telok Datoh/Telok Datok menjadi pusat agihan keperluan perubatan ke seluruh daerah ketika itu. Di mana lokasi sebenarnya pejabat ini? Mungkin di Pejabat Daerah atau berhampiran dengannya.

 
         Tawaran Tender Perbekalan oleh kerajaan F.M.S untuk 
Institusi Perubatan Kuala Langat. pada tahun 1910
Lawatan ke rumah di kampung oleh pihak kesihatan sekitar tahun 1936

Seterusnya, menerusi laporan akhbar dalam tahun 1939, jelas dinyatakan,  Pusat Kesihatan Telok Datoh telah dibina dan beroperasi dengan sekurang-kurangnya seorang jururawat atau bidan terlatih di tempatkan di situ.


 
Pusat Kesihatan Telok Datoh asal telah dibina pada tahun 1939
















mengikut Laporan Tahunan Warta Kerajaan Negeri Selangor  1939

Kemudian dalam tahun 1961. desakan untuk dibina sebuah hospital di Kuala Langat telah lama disuarakan oleh parti Perikatan sejak 1959 lagi. Di dalam laporan akhbar itu jelas dinyatakan Hanya terdapat sebuah klinik kecil beroperasi di Telok Datok untuk keperluan perubatan seluruh penduduk Kuala Langat. Sememangnya, klinik-klinik swasta semakin bertambah di Banting tetapi rata-rata rakyat miskin tak mampu. Mahu tak mahu terpaksa ke Hospital Klang.
Maka pada tahun 1962, Pusat Kesihatan Telok Datok mula dibina dengan peruntukan sebanyak $100,000. Begitu juga klinik klinik baharu dibina di Kg. Kundang,  Batu Laut, Kg. Ginching Hilir, dan Kg. Sungai Lang. Pada tahun yang sama juga, Kementerian Kesihatan mengingatkan para jururawat  dan bidan supaya melayan mesra pelanggan mereka serta tidak menolak permintaan ibu yang ingin bersalin, termasuk terpaksa bertugas pada hari Ahad.
Pada tahun berikutnya, 1963, sebanyak 20 buah klinik bidan lagi, dengan peruntukan RM 80 000 akan dibina di seluruh daerah ini termasuk di Sepang.

              

Berita Harian, bertarikh 21 Jun 1964 melaporkan Rancangan Pembesaran Pusat Kesihatan Telok Datok dengan peruntukan tambahan sebanyak RM 300,000 dengan 15 katil tidur. Kemungkinan, Pusat Kesihatan ini menjadi hospital mini bagi Hospital Klang memandangkan kapasiti hospital tersebut sudah maksimum.  Mungkin juga untuk pesakit ysng tinggal jauh dan memerlukan rawatan segera. Ataupun mungkin katil-katil tersebut untuk pesakit sebelum dipindahkan ke hospital  di Klang untuk rawatan lanjutan.

Pada tahun 1965, kursus tatarakyat untuk kakitangan Jabatan Perubatan Kuala Langat, jururawat, bidan diadakan kerana terdapat aduan orang ramai tentang  layanan kasar terhadap pesakit di klinik serta mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan.
Pada 18 Mac 1968, Klinik Kesihatan di Kanchong Darat bernilai RM90,000 dibina.

         




   
Tawaran Tender Pembinaan Klinik dalam Daerah Kuala Langat dan Sepang dalam tahun 1970-an


KLINIK KESIHATAN TELOK DATOK


1963...lagi bukti Kewujudan Pusat Kesihatan Telok Datok
 sebelum dirasmikan pada tahun 1974













Tahun 1964....bukti kewujudan Klinik Kesihatan Telok Datok 








 





Mulai tahun 2015, Klinik Kesihatan Telok Datok telah dinaik taraf menjadi perkhidmatan perubatan tambahan kepada Hospital Banting.​

Berita Sinar Harian 2015
TELOK DATOK - Panel Kesihatan Daerah Kuala Langat menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan dalam mempelbagaikan perkhidmatan klinik di Telok Datok dan Telok Panglima Garang.

Pengerusinya, Abdul Razak Khasbullah berkata, menjadi satu pencapaian klinik berkenaan apabila dipilih untuk dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan perkhidmatan baru.

Menurutnya, usaha itu juga membantu pesakit di Hospital Banting untuk tidak bersesak mendapatkan perkhidmatan dan sebaliknya dapat menerima perkhidmatan perubatan dengan selesa.

"Kami mengharapkan kemudahan X-Ray di dua buah klinik berkenaan. Cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.S.Subramaniam minggu lalu agar pihak pengurusan Hospital Banting menaiktaraf Klinik Kesihatan Telok Datok supaya perkhidmatannya dapat dipelbagaikan dan
dipertingkatkan telah mengejutkan pelbagai pihak.

"Malah, harapannya supaya separuh perkhidmatan dan penambahan kepakaran di Hospital Banting dapat dipindahkan ke klinik kesihatan berkenaan bagi mengurangkan kesesakan yang sedia ada terutama perkhidmatan kecemasan pada waktu malam membuktikan beliau prihatin dengan masalah yang diadukan kepadanya sepanjang lawatan kerjanya ke Hospital Banting," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas mengenai perpindahan sebahagian perkhidmatan Hospital Banting ke Klinik Kesihatan Telok Datok nanti.Katanya, cadangan kemudahan X-Ray di dua lokasi klinik berkenaan membantu mengurangkan kesesakan dan menyegerakan pesakit mendapatkan rawatan tanpa menunggu giliran terlalu lama.
"Lebih bermakna jika kepakaran dalam pelbagai bidang rawatan turut disegerakan," katanya.
Beliau turut memohon agar kerajaan menyegerakan pembinaan Klinik Kesihatan Sijangkang yang sudah diluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta itu.
"Kita bimbang penambahan pesakit di klinik berkenaan bakal mengundang keadaan tidak selesa kerana buat masa ini kita menumpang di balai raya kampung untuk sementara waktu," katanya.


PUSAT KESIHATAN DAERAH  (PKD) KUALA LANGAT

Mengikut sejarah, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat,yang sebelumnya  memulakan perkhidmatan sebagai sebuah Jabatan di Klinik Kesihatan Telok Datok mulai tahun 1974. Pada tahun 1977 Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mula berpindah ke bangunan baru yang dibina khusus sebagai Pejabat Kesihatan Daerah di tapak yang juga menempatkan Hospital Banting. 
Kini, di bawah pentadbiran PKD Kuala Langat terdapat 10 buah Klinik Kesihatan, 18 buah Klinik Desa dan 2 buah Klinik Komuniti.

Klinik Kesihatan
1 KK Teluk Datok
2 KK Teluk Panglima Garang
3 KK Jenjarom
4 KK Kg Bandar
5 KK Bkt Changgang
6 KK Tg Sepat
7 KK Sijangkang
8 KK Sg Lang Baru
9 KK Kebun Baru
10 KK Kanchong Darat

Klinik Desa
1 KD Sg Kelambu
2 KD Labohan Dagang
3 KD Sg Buaya
4 KD Kg Endah
5 KD Sijangkang Dalam
6 KD Sijangkang Luar
7 KD Sri Cheding
8 KD Olak Lempit
9 KD Batu Laut
10 KD Kg Medan
11 KD Kanchong Tengah
12 KD Kg Jenjarom
13 KD Tumbok Darat
14 KD Kelanang
15 KD Telok Bunut
16 KD Kundang
17 KD Morib
18 KD Permatang Pasir
K1M
1 K1M Bandar Banting
2 K1M Saujana Putra

Klasifikasi Klinik Kesihatan

1. JENIS KLINIK KESIHATAN MENGIKUT PURATA KEDATANGAN SEHARI, 
Klinik Kesihatan diklasifikasikan kepada 7 jenis iaitu Klinik Kesihatan Jenis 1 hingga Jenis 7 berdasarkan bilangan purata kedatangan sehari seperti berikut:

Bil.

Jenis Klinik Kesihatan

Bilangan Purata Kedatangan Sehari

1.

KK1

>800

2.

KK2

500 - 800

3.

KK3

300 - 500

4.

KK4

150 - 300

5.

KK5

100 - 150

6.

KK6

50 - 100

7.

KK7

< 50


2. JENIS KLINIK KESIHATAN MENGIKUT PELAN PIAWAI
Bagi Jenis Klinik Kesihatan mengikut Pelan Piawai pula, ia diklasifikasikan mengikut jenis perkhidmatan yang disediakan dan mengikut anggaran populasi seperti berikut:

Jenis Klinik Kesihatan (KK)

Perkhidmatan yang disediakan

Anggaran Bilangan Penduduk di Kawasan Liputan (Catchment Population)

KK2

OPD, A&E, MCH, Dental, Rehab, X-Ray, Lab, Farmasi

>50,000

KK3

OPD, A&E, MCH, Dental, Rehab, X-Ray, Lab, Farmasi

>30,000 – 50,000

KK4

OPD, A&E, MCH, Dental, X-Ray, Lab, Farmasi, ABC (optional), Sick Bay (optional)

>20,000 – 30,000

KK5

OPD, A&E, MCH, Dental, Mini Lab, Farmasi, ABC (optional), Sick Bay (optional)

>10,000 – 20,000

KK6

OPD, A&E, MCH, Mini Lab, Farmasi. ABC (optional), Sick Bay (optional)

>5,000 – 10,000

KK7

OPD, A&E, MCH, Mini Lab, Farmasi, ABC (optional), Sick Bay (optional)

<5000



Tahap perkhidmatan yang dilaksanakan dikategorikan kepada 3 iaitu:
i. Tahap Universal
Untuk tahap ini, perkhidmatan diberikan oleh anggota kesihatan dari kategori sokongan dan perkhidmatan Pegawai Perubatan sama ada secara pelawat atau tetap.

 ii. Tahap Intermediate
Untuk tahap ini, perkhidmatan diberikan oleh anggota sokongan termasuk perkhidmatan Pegawai Perubatan dan tanpa Pakar Perubatan Keluarga (FMS).

 iii. Tahap Advanced
Untuk tahap ini, perkhidmatan diberikan oleh anggota sokongan, Pegawai Perubatan dan Pakar. Peringkat ini juga menyediakan perkhidmatan pengurusan penyakit yang lebih ‘specialized’ oleh anggota pelbagai disiplin yang berkepakaran seperti Pakar Perubatan Keluarga, Jurupulih Anggota, Jurupulih Carakerja, Pegawai Sains Makanan, Pegawai Dietetik dan dibantu oleh  anggota perkhidmatan sokongan berteknologi tinggi (khidmat makmal, pengimejan diagnostic dan farmasi). Tahap perkhidmatan ini akan menerima kes rujukan daripada perkhidmatan tahap Universal dan Intermediate.

Secara umumnya, KK Jenis 6 dan 7 melaksanakan perkhidmatan tahap Universal, KK Jenis 4 dan 5 melaksanakan perkhidmatan tahap intermediate, dan KK Jenis 1,2, dan 3  melaksanakan perkhidmatan tahap Advanced.

Skop perkhidmatan yang disediakan secara umumnya adalah seperti berikut:
Perkhidmatan Rawatan Pesakit Luar (Penyakit Akut, Kronik, Berjangkit dan Tidak Berjangkit)
Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Ibu
Perkhidmatan Kesihatan Bayi Dan Kanak-Kanak
Perkhidmatan Kesihatan Sekolah
Perkhidmatan Kesihatan Remaja
Perkhidmatan Kesihatan Dewasa (Lelaki & Wanita)
Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas
Perkhidmatan Kesihatan Orang Kurang Upaya
Perkhidmatan Kendiri (Self Monitoring)
Perkhidmatan Kecemasan & Ambulans
Perkhidmatan Klinik Bergerak
Perkhidmatan Sokongan Klinikal
Perkhidmatan Domisiliari
Perkhidmatan Dietetik
Perkhidmatan Kauseling Pemakanan
Perkhidmatan Berhenti Merokok
Perkhidmatan Terapi Gantian Methadone



KLINIK KESIHATAN DAN KLINIK DESA SEKITAR KUALA LANGAT

                                       








                                      

                                      

                                      



Sumbangan Bidan Kampung dalam Pembangunan Kesihatan Wanita Malaysia

Jasa bidan kampung memang tidak apat dinafikan lagi walaupun setelah perkhidmatan mereka ditamatkan sekitar 1979. Bukan hanya menyambut kelahiran bayi,beliau juga menjadi pembimbing wanita mengandung sehinggalah saat melahirkan bahkan setelah berpantang pun, khidmat mereka diperlukan. Mereka begitu dihargai walaupun tanpa sekeping sijil pentauliahan. Pengalaman turun temurun yang diwarisi sudah cukup menyakinkan penduduk kampung. Jasa membawa manusia ke dunia dengan selamat menjadikan mereka dihormati walaupun ada yang mengaitkan  segelintir mereka dengan amalan khurafat atau bertentangan agama Islam.
Maklumat di bawah menerangkan peranan bidan kampung sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan.,(Maaf dalam bahasa Inggerislah pulak!)

Women’s health  is one  of  the priorities of  Malaysia’s health  care system.  The growth in medical  technology   has in turn  changed the status   of   traditional customary and   ritual pregnancy practices. The  changes also  have  made home-birth,  where most pregnancy rituals take  place,  unpopular. Women who practise pregnancy  rituals are embarrassed and  reluctant to discuss  them in great  detail   with   their medical providers.  Traditional   pregnancy   rituals are seen as   old-fashioned   and   ‘behind   the   times’   because   such   practices   do   not   fit   in   with   a  modern  medical  technology. Western   medical   technology   is  accepted   as  a   necessary   driver   to   the evident   improvement  in maternal and child health indicators over recent years. The acceptance of medical technology is also making clinicians  more  in control  of the medical   system in  Malaysia. 

Other maternity  providers particularly   traditional   birth   attendants,  bidan  kampung  are   no  longer   commonly     used.  This technological advancement is more apparent in urban areas. Many urban women now prefer to have  medical care and hospital births under the care of specialists in modern facilities. However, women  in   rural   areas,   do   not   have  the   same   opportunity   to  benefit   from   these   modern   facilities.  They maintain strong beliefs in traditional customary practices. Most rural women still choose to balance  the medicine offered by the western providers with the care provided by the bidan kampung. Bidan kampung in Malaysia.The  work of  bidan  kampung was  formally recorded in the 1960s and 1970s,  

The work done by bidan kampung on pregnant women during pregnancy and  confinement with  a  focus on  the  social-cultural aspects  and ‘collaboration’  with western providers at a time where there was a shortage of  trained midwives and when  bidan  kampung  conducted 40% to 80% of the  births in rural areas.  At that time, the Ministry of Health realised that bidan kampung  were an essential part of rural women’s health. A training programme was conducted  for  bidan  kampung  in the  early 1970s  under  the initiative  of the  National  Family  Planning Board and the Ministry of Health.  Bidan kampung were registered, received certificates and given delivery kits on completion of   three-weeks  training.   Three   aspects   of   care   taught   in   the training were   cleanliness, conducting  a proper  delivery  and family   planning methods.  The  bidan  kampung were asked to  encourage rural (women) to use family planning methods, particularly the pill and this intiative  was successful
There were 46 different  pantang.  Most  of the  pantang   involved daily activities, including  social aspects of life and household chores. The remainder were concerned with food intake. The results showed a dichotomy of prohibitions practiced between the four groups interviewed. The   women  who  received   care  from   both   the   government   and  bidan  kampung  practiced   more pantang than the group of women who received care from the government agencies only. Similarly,  bidan   kampung  gave  more  pantang  to  women   under  their   care,  compared   to  the   government bidan.

Women who choose to have a home birth will usually have the government midwife conducting the delivery. However, a bidan kampung is present on the request of the delivering woman. She provides emotional and moral support for the delivering woman in a from of prayers and also gives massage to make the woman more relax. She also supports the family. The government midwives stated that a woman was much calmer with the adept bidan kampung sitting next to her.                    
                                        
      Kehadiran bidan kampung disamping bidan kerajaan memberi rasa ketenangan dalam ibu muda ini.

Klinik bidan kerajaan sekali gus menjadi kuarters bagi bidan kerajaan


Rujukan

Magic or Medicine_ Malay Healing Practices – BiblioAsia
What a wonderful life..._ Alkisah kelahiran...Part 1
Newspaper Article - WHY FEWER BABIES ARE NOW DYING IN SINGAPORE, The Straits Times, 21 July 1935, Page 13
Newspaper Article - More midwives needed, The Straits Times, 23 April 1958, Page 5
Newspaper Article - MALAY _DOCTORS._, The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (Weekly), 22 September 1896, Page 4
Newspaper Article - Sa-buah klinik di-tiap kampong, Berita Harian, 18 April 1964, Page 10
Newspaper Article - BERITA2 PEMBANGUNAN LB DI-SANA SHU, Berita Harian, 30 June 1962, Page 6
Newspaper Article - Tambahan kpd pusat kesihatan, Berita Harian, 21 June 1964, Page 5
Newspaper Article - Halaman 10 Iklan Ruangan 2, Berita Harian, 15 August 1964, Page 10
Newspaper Article - Page 22 Advertisements Column 3, The Straits Times, 10 September 1969, Page 22
Newspaper Article - K. Langat minta hospital untok sa-ramai 100,000 orang pendudok, Berita Harian, 21 April 1961, Page 2
Newspaper Article - Pembangunan datang sa-sudah dharurat, Berita Harian, 20 April 1963, Page 4
Newspaper Article - MALAYS KEEP TO KAMPONG WAYS Infant Welfare Work, The Straits Times, 21 July 1940, Page 9
Newspaper Article - 20 KLINIK BIDAN, Berita Harian, 1 April 1963, Page 7

    




























Jumaat, 31 Julai 2020

SEJARAH HOSPITAL DI BANTING DAN KUALA LANGAT

Salam buat semua. Kali ini entri Atok berkaitan dengan kesihatan dan hospital. Tapi cerita tok nenek kita di Klang, Telok dan Banting masa dulu-dulu. Orang Melayu ini kalau cerita pasal hospital dan makan ubat memang tak gemar. Kalau pergi sepital (hospital) maknanya nak pergi mati, hantar nyawa. Dari dulu sampai sekarang, dari atuk-atuk kita sampailah kat kita pun sama jer perangai, takut. Tengok doktor takut, tengok jarum apalah lagi! Cuma bila masuk wad, tak mahu pulak nak keluar cepat walaupun dah sembuh... pasal jururawatnya comel-comel belaka. Hahahaha…Jadi, seperti yang Atok khabarkan tadi, Atok akan ceritakan sejarah dan perkembangan hospital di Banting dan klinik-klinik kerajaan ini satu persatu. So, apa lagi korang?...... duduk, rileks dan biarkan jari jemari anda bermain di keyboard,ok? Hospital yang korang nampak kat sebelah Balai Polis  Banting itu bukan ada macam tu jer...panjang cerita sejarahnya...penuh dengan tangis, air mata dan keringat, wang ringgit serta darah ramai penduduk di Kuala Langat....So, bersyukurlah kita ada sebuah hospital dalam daerah kita..takde hospital swasta pun tak mengapa. Ceritanya begini.....

Masa British mula-mula masuk ke Selangor dahulu, memang Mat Saleh ini tak buat klinik atau hospital untuk rakyat jelata. Yang penting bagi mereka macam mana nak punggah hasil bumi Selangor dan Malaya seperti bijih timah,emas dan lain-lain keluar untuk dibawa balik ke England, tempat tinggal Opah Penyamun (Queen) itu. Tahap kesihatan rakyat yang dijajah langsung tak masuk dalam buku diorang. Orang Melayu tetap ke bomoh dan dukun. Imigran Cina hanya berubat dengan ubat-ubatan tradisional Cina yang disediakan oleh Singseh di lombong-lombong mereka. Mereka (British) hanya bina hospital atau wad rawatan untuk pegawai-pegawai atasan Inggeris termasuk para pengurus ladang dan kaki tangan kulit putih berpangkat rendah. Segala ubat-ubatan dibekalkan daripada ibupejabat kerajaan di Kuala Lumpur. Kalau di Klang atau Kuala Langat, pegawai British yang sakit dan memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke Hospital Eropah (khas untuk orang puteh) di Bangsar atau di Kuala Lumpur.

Bangsar Hospital
Kemudian, apabila pendapatan negeri semakin kukuh, ditambah pula kemasukan imigran dari China dan India secara beramai-ramai, maka idea rawatan kesihatan untuk rakyat  mula diberi perhatian. Perhatian diberi kerana imigran ini aset mereka, untuk digunakan di estet dan lombong. Jadi, kalau anjing sekalipun mereka akan jaga kerana berguna untuk mereka, apatah lagi manusia miskin papa kedana yang dijanjikan kehidupan syurgawi di bumi asing ini. Mestilah mereka jaga! Takkan nak harapkan tenaga buruh orang Melayu untuk estet dan lombong? Bagi mereka orang Melayu ini pemalas. Ya..PEMALAS. kerana Tak mahu bekerja untuk cari duit lebih dan ubah cara hidup mereka. Melayu selesa dengan apa yang ada, bak kata Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu ketika dahulu apabila ditanya tentang sikap orang Melayu. Dalam gelak ketawa beliau berkata, ”Orang Melayu cukup pandai menguruskan kemiskinannya”.Atok rasa ada baik dipecahkan cerita ini berdasarkan kaum kerana Atok rasa korang akan lebih mengerti keperluan setiap bangsa seperti mana dasar 'Pecah dan Perintah' British ketika itu.

A. Kaum Melayu
Pada peringkat awalnya, persepsi orang-orang Melayu, terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung dan pedalaman yang jauh dari pusat rawatan ini, terhadap rawatan dan perubatan barat dan moden ini agak skeptikal.Orang Melayu telah pun  mempunyai dua kaedah rawatan perubatan sama ada rawatan secara Islam oleh tabib atau ustaz dan juga rawatan perubatan tradisional biasa oleh dukun dan pawang.Sama ada untuk rawatan penyakit fizikal yang biasa seperti sakit perut, pening kepala, darah tinggi dsb.atau pun penyakit mistik akibat campurtangan syaitan atau jin seperti sihir, histeria, dsb., pengamal atau tabib akan membaca beberapa petikan ayat-ayat suci Alquran. Kaedah rawatan menggunakan pelbagai sumber alamiah termasuk ruqyah dan herba. Biasanya perubatan ini bersifat holistik dan memakan masa. Rawatan perubatan tradisional juga menggunakan herba untuk penyakit-penyakit fizikal. Bagi penyakit mistik pula jampi serapah tetap digunakan untuk menghalau hantu dan jin penyebab penyaki seperti santau dan busung, dsb. Pesakit perlu mengamalkan pantang dan pemakanan tertentu serta pembuangan ancak bagi menghalang penyakit berulang. Hal ini telah menebal dalam diri masyarakat Melayu silam.

Malah anak dan ibu baru bersalin juga terikat dengan pantang larang dan rejim pemakanan yang tidak seimbang dan merugikan. Akibatnya ramai ibu dan bayi meninggal dunia kerana kekurangan nutrisi. Bayangkan siibu yang sedang berpantang hanya dibenarkan makan beberapa jenis makanan sahaja kononnya demi kesihatan ibu dan anak dalam tempoh pemulihan selama 44 hari itu.  Semua ikan kecuali ikan kering tidak boleh dimakan. Sayur juga tidak dibolehkan, kononnya 'sejuk'. Hanya nasi, ikan bilis serta ikan kering, cili,halia dan cuka sahaja sepanjang 44 hari berpantang, sudah semestinya siibu tadi kurus dan ramping tetapi tidak sihat. Apabila siibu tidak sihat maka air susu badannya juga kurang, maka bayinya juga kurang membesar dengan sempurna. Bubur nasi, puding beras dan gula,serta pisang lenyek sahaja untuk bayi. Akibat tidak mengamalkan perancangan keluarga, maka siibu yang kurang nutrisi tadi, berkemungkinan mengandung lagi pada tahun berikutnya. Kanak-kanak pula tidak memakai selipar atau kasut ketika  di luar rumah. Masalah kecacingan lumrah bagi kanak-kanak Melayu di kampung.

Namun selepas serangan demam malaria, kolera, disenteri, dan beri-beri, dan dengan penerangan oeh penghulu dan ketua kampung, sikap mereka mula berubah. Ini semua penyakit-penyakit lama yang dah tak ada lagi di Malaysia.  Kaedah rawatan perubatan Barat bersifat simptomik atau mengikut simptom. Cepat dan berkesan. Kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang penyakit-penyakit ini, google jer. Kebanyakan yang pergi mendapatkan rawatan terdiri adalah anak-anak kecil yang menghidap masalah cacing, minta minyak ikan dan ubat kuning. Pil kuinin juga diedarkan kepada semua penduduk melalui Penghulu, hospital, balai polis, dan apa sahaja agensi kerajaan untuk mengelakkan demam malaria, kolera, beri-beri.

B. Kaum India
Keluarga imigran miskin dari selatan India ini mempunyai tubuh badan kecil, kurang stamina, kurang vitamin A dan lemak, kurang protein dalam diet makanan mereka yang berasaskan vegetarian itu. Akibatnya mereka mudah terkena penyakit. Walaupun mereka dirawat di hospital estet, namun diet pemakanan mereka sukar diubah kerana kemiskinan dan kadar upah di estet yang rendah. Anak-anak mereka kekurangan nutrisi sehingga menghidap pelbagai penyakit seperti riket dan polio. Malaria sahaja telah meragut bukan sedikit  nyawa kaum ini di estet. Mereka ini kurang mengambil peduli pencegahan penyakit sehinggalah mereka menghidapinya.  Masalah penagihan alcohol berupa todi,samsu, dan arak bir menjadi penyakit sosial bagi kaum India di estet sejak dahulu lagi. Majoriti (60 peratus) daripada yang dirawat di hospital kerajaan dan estet terdiri daripada kaum ini .

C. Kaum Cina.
Biasanya kaum imigran bermata sepet dari negara China ini merupakan imigran miskin dan kurang berpelajaran. Mereka kuat bekerja tetapi memilih pemakanan yang kurang nutrisi serta cara hidup yang kurang bersih.  Keadaan di rumah kongsi yang kurang sempurna, penagihan candu yang berlebihan, persundalan menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit, fizikal dan sosial. Kebergantungan mereka kepada perubatan tradisional Cina ini tidak dapat membantu mengatasi penyakit-penyakit seperti T.B, pneumonia,  sifilis, kusta termasuk beri-beri akibat kekurangan vitamin kerana pemakanan beras putih. Namun mereka mengikut dan akur arahan pencegahan kerajaan tentang  demam Malaria dengan memakai kelambu ketika tidur. Kesannya, mereka terhindar daripada penyakit tersebut.

Oklah, berbalik kepada cerita sejarah hospital tadi, Dalam tempoh pemerintahan Inggeris dari tahun 1875 sehingga 1940.  di sekitar Klang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang), Kuala Langat (termasuk Sepang) serta Kuala Selangor (termasuk Sabak Bernam) terdapat sebuah hospital penjara di Klang, sebuah hospital daerah, sebuah hospital di Quarantine Camp , Port Swettenham, sebuah hospital bersalin, sebuah hospital TB (Batuk Kering), sebuah pusat pengedaran dan pengagihan barangan dan peralatan perubatan untuk kegunaan kerajaan dan pihak estet, mungkin juga berfungsi sebagai klinik kerajaan  di Telok Datok, Kuala Langat. Lebih daripada 22 buah hospital estet pernah dibina.

Selain penubuhan hospital, tren penyakit berjangkit seperti malaria dan beri-beri, juga kerap berlaku. Bukan itu sahaja, kebimbangan kemungkinan merebak penyakit ekoran daripada kekurangan zat makanan, penyakit cacar dan penyakit anjing gila. Penyakit serta keadaan kesihatan umum yang tidak higenik ini mendorong kepada penubuhan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 1900. 

Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh IMR, masalah kesihatan umum yang berlaku adalah disebabkan:
i. Kekurangan anggota dan pengamal perubatan  termasuk bidan terlatih. Dinyatakan hanya terdapat 11 orang doktor bagi 54 buah hospital estet di sebuah negeri.

ii. Keadaan tempat tinggal yang kotor dan berpenyakit. Di estet, keadaan air bertakung dalam parit merupakan punca wabak demam malaria.

iii. Tiada kemudahan air bersih. Di kampung-kampung sumber air diperoleh dari sumber perigi yang cetek yang tidak dirawat merupakan punca penyakit taun atau kolera.

iv. Nutrisi pemakanan yang tidak mencukupi dan seimbang. Mengikut kajian, pekerja lelaki Tamil di estet memerlukan sekurang-kurangnya 1900 kalori sehari manakala lelaki Melayu di kampung hanya memerlukan 1600 kalori sehari. Namun disebabkan kos bagi setiap 1000 kalori  di estet kira-kira 30 sen berbanding 20 sen di kampung untuk jumlah yang sama, maka pekerja India itu mengalami malnutrisi kerana tidak mampu berbelanja lebih akibat kadar upah yang murah.

v. Sistem pembuangan najis dan air kumbahan yang tidak sistematik. Penggunaan Tandas curah bersubsidi lambat diperkenalkan di kampung.

vi. Kepercayaan yang masih tebal terhadap adat dan pantang larang. Tambahan pula, Perubatan Barat yang tidak islamik dan dilakukan oleh pengamal kesihatan yang majoritinya bukan  beragama Islam.

vii. Kedudukan pusat kesihatan milik kerajaan dan hanya terdapat di bandar menyukarkan penduduk kampung dan estet untuk mendapatkan rawatan.

Mengikut statistik kerajaan, dalam tempoh tahun 1911 sehingga 1929, tren penyakit yang dihidapi penduduk kian baik. Penyakit malaria,beri-beri, disentri, kusta walaupun masih ada tetapi menunjukkan penurunan yang ketara. Sebaliknya, penyakit-penyakit kelamin, venereal disease, pneumonia dan T.B meningkat. Kadar kelahiran juga menunjukkan tren meningkat. Kerajaan mula melatih lebih ramai doktor, Dresser,Hospital Assistant, Bidan, jururawat termasuk jururawat lelaki di beberapa buah institusi perubatan di Taiping, Melaka dan di seluruh Malaya. Sebagai contoh, untuk menjadi seorang Dresser, seseorang itu perlu menduduki peperiksaan bertulis selama beberapa hari di Hospital Taiping. Kaum wanita sebagai Bidan juga akan dilatih di Melaka, dan sebagainya.

Penubuhan hospital estet adalah wajib dan tertakluk di bawah kawalan Pejabat Buruh dan Kawalan Pihak Imigresen. Namun, kos pembinaan sesebuah hospital yang tinggi, di samping kos operasi estet yang tinggi menghalang pembinaan hospital di setiap estet. Akibatnya, hospital sesebuah estet itu hanyalah sebuah bangsal papan berbumbung atap dengan hanya beberapa buah katil papan tanpa tilam dan bantal, dan kemudahan perubatan yang minimal diselenggara oleh seorang dua Dresser dan beberapa orang jururawat serta bidan. Sebaliknya, sebuah hospital estet yang besar bagi beberapa buah estet berhampiran dilihat lebih praktikal . Kos rawatan pekerja terbabit akan ditanggung oleh estet asal pesakit tersebut.

Di kampung-kampung, melalui hebahan oleh Ketua Kampung di masjid pada pagi hari Jumaat, beberapa orang bidan terlatih mula memberi penerangan kesihatan ibu mengandung dan anak. Merinyu kesihatan melawat kawasan dan memberi penerangan kepada penduduk tentang tandas curah serta perparitan untuk air kumbahan. Justeru, tahap kesihatan penduduk di estet dan di kampung-kampung mula bertambah baik.

Tetapi langit tak selalunya cerah.  Mulai tahun 1929, berikutan harga getah di pasaran  jatuh merudum di seluruh dunia Banyak estet terpaksa mengurangkan kadar upah pekerja mereka daripada 40 sen sehari kepada sepuluh sen sahaja. . Namun, hidup harus diteruskan juga. Orang kampong pada masa itu terpaksa  juga mengubah cara hidup mereka. Jika dahulu kaum wanita hanya bekerja dalam rumah, kini mereka terpaksa keluar membantu suami di kebun atau menjual hasil kampung seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan tempe  di pekan sehari atau pasar-pasar sekitar Telok, Banting dan Klang untuk menambah pendapatan keluarga. Mereka mula keluar dari rumah untuk bekerja dan berniaga sejak selepas Subuh sehinggalah selepas Asar baru mereka pulang. Ketika itu tanggung jawab menjaga rumah dan menguruskan adik-adik terletak di atas bahu anak perempuan sulung mereka, tak kiralah berapa umurnya (biasanya 9 tahun ke atas). Kemiskinan dan kurang berpengetahuan tentang kesihatan serta kurang pengawasan terhadap kanak-kanak menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi dan kecacingan.

Bermula tahun 1937, rawatan untuk kes kecacingan dalam kalangan kanak-kanak mula diperkenalkan di hospital dan pusat kesihatan kerajaan (Federal Dispensaries) di seluruh negara.
Selepas Perang Dunia Kedua, malnutrisi kembali menyerang terutama kanak-kanak. Maka dalam tahun 1947, kerajaan memperkenalkan pemakanan berkhasiat di sekolah berupa segelas minuman susu tepung penuh krim setiap hari persekolahan. Vaksinasi atau imunisasi untuk kanak-kanak dijalankan di kebanyakan pusat kesihatan kerajaan. Pada tahun 1951, gaji dan elaun kakitangan hospital dan pusat kesihatan milik kerajaan dinaikkan.
notis Peperiksaan untuk
 Jawatan Hospital Assistant

Selepas negara mencapai kemerdekaan, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan. Klinik bidan dibina hampir  di setiap kampung. Pada tahun 1961, banyak klinik kerajaan dibina di kampung induk/besar untuk kegunaan bersama beberapa kampung kecil berhampiran.

Usul pembinaan hospital di Banting mula disuarakan. Hal ini kerana tiada langsung hospital kerajaan di daerah Kuala Langat ini. Ada penduduk yang terpaksa menyewa kereta sewa atau kenderaan sehingga RM120 untuk membawa pesakit ke dan dari hospital di Klang yang jaraknya melebihi 20 batu (32km) dari pekan Banting. Bayangkan kalau pesakit itu dari Tanjung Sepat atau Sepang! Akhirnya pda tahun 1975, Hospital Daerah di Banting mula menjadi kenyataan.
Bermula dari tarikh itu, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan secara berperingkat diberikan kepada penduduk di daerah Kuala Langat termasuklah di daerah kecil Sepang. Kini, Hospital Banting merupakan sebuah hospital kluster bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Shah Alam yang dilengkapi 153 katil dengan enam kategori kepakaran.
Tinjauan masyarakat sekitar Banting dan Kuala Langat menginginkan suatu hospital baharu serba canggih setaraf dengan keunikan dan kemodenan rekabentuk Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat yang terletak bersebelahan hospital ini yang menggambarkan kepesatan pembangunan ekonomi Kuala Langat sebagai koridor kedua Lembah Klang.

So, kalau ikutkan maklumat daripada sumber akhbar dan sejarah Kuala Langat, terdapat sekurang-kurangnya 4 buah hospital pernah dibina di Kuala Langat dan masih ada dan beroperasi sehingga kini.

a) HOSPITAL LADANG DUSUN DURIAN
 Hospital milik Ladang Kelanang Baru  ini merupakan salah sebuah hospital estet yang ternama di Kuala Langat ketika penubuhannya dahulu. Lokasi hospital ini terletak berhampiran kampung Sungai Arak. Hospital ini dahulunya merupakan hospital bagi ibu bersalin di samping rawatan pesakit luar dan wad bagi kakitangan ladang yang berdaftar dengan Kuala Langat Estate Hospital Association. Walaupun hanya sebuah hospital ladang biasa, namun kemudahan wad bersalin dan perkhidmatan bidan terlatihnya, mengilhamkan beberapa orang isteri pengurus peladang berhampiran memilih untuk melahirkan anak mereka di sini.
Diuruskan oleh doktor bertauliah dan dibantu staf sokongan seperti dresser, hospital assistant, jururawat lelaki dan perempuan dan bidan terlatih, kebanyakan mereka berbangsa Tamil, inilah satu antara dua hospital pusat yang dibina di Kuala Langat sebelum 1974. Sebuah lagi terletak di Pulau Carey. Malangnya, hospital ini hanya untuk pekerja estet dan tidak terbuka untuk masyarakat awam di sekitar Kuala Langat dan Sepang pada masa itu. Hospital ini masih beroperasi untuk rawatan pesakit luar sahaja.




Peta lakar Ladang Dusun Durian
dalam tahun 1973
Bukti kewujudan Hospital Dusun Durian
melalui iklan
Kelahiran di Hospital Dusun Durian

b) HOSPITAL KUMPULAN  LADANG PULAU CAREY
Carey Island Group Hospital merupakan sebuah hospital ladang eksklusif hanya untuk ladang-ladang di bawah Sime Darby Group yang memiliki kesemua ladang di Pulau Carey ini. Sejarah penubuhan hospital ini dapat dibuktikan melalui beberapa keratan akhbar suatu masa dahulu. Kedudukan hospital ini di ladang Timur. Lokasi Pulau Carey yang terpisah dari tanah besar memaksa hospital ini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan termasuk wad bersalin. Beberapa kelahiran anak  pengurus ladang  dan pegawai berbangsa Eropah direkodkan. Hal ini kerana mereka yakin dengan mutu perkhidmatan yang disediakan. Bahkan hospital ini mempunyai wad khas untuk bersalin di hospital itu termasuk untuk isteri dan keluarga pegawai inggeris di sini
Pada tahun 1916, perkhidmatan seorang bidan terlatih berbangsa Tamil dari Malacca Medical Mission diambil. Tiga lagi bidan Tamil  kemudian dibawa masuk untuk berkhidmat ke estet-estet di bawah kumpulan ladang ini.
Kini hospital ini masih berfungsi tetapi hanya untuk rawatan pesakit luar.




Kematian di Hospital Pulau Carey

c) HOSPITAL KECIL LADANG-LADANG
Kemungkinan wujud hospital-hospital kecil lain di ladang-ladang sekitar Kuala Langat dan Sepang. Hal ini kerana memang menjadi tanggung jawab majikan ladang menyediakan rawatan untuk para pekerja mereka,
Senarai Estet di Kuala Langat 1924
Mungkin juga hospital yang disediakan hanya bersaiz klinik yang serba daif, dengan seorang Dresser dan seorang bidan, cukup sekadar memenuhi tuntutan Jabatan Buruh pada masa itu. Mungkin juga untuk kes-kes serius atau bersalin, mereka menghantar pekerja atau keluarga pekerja tersebut ke hospital ladang yang lebih besar dan mempunyai kemudahan lengkap.
Antara kelebihan hospital kecil ini adalah seorang pesakit mendapat rawatan segera dan awal sebelum penyakitnya menjadi serius. Kaum keluarga pekerja tidak perlu membuang wan dan masa ke hospital lain untuk rawatan mudah. Kaum wanita yang hendak bersalin tidak ragu-ragu kerana kesemua suami dan anak masih di ladang yang sama dan boleh melawatnya kelak.


d) HOSPITAL DAERAH BANTING
Hospital Banting dibuka dengan rasminya pada 6 Februari 1975 oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj dengan kos pembinaan sebanyak RM 3.2 Juta dan keluasan 10.48 Hektar. Lokasi hospital ini terletak di Jalan Morib bersebelahan Balai Polis Banting.

Mengikut perangkaan, pada tahun 1974 jumlah kemasukkan pesakit adalah sebanyak 672 orang pesakit dengan kadar penggunaan katil sebanyak 51.13% dan meningkat kepada 3652 kemasukkan dengan kadar penggunaan katil sebanyak 70.04% bagi tahun 1975

Hospital Banting terus berkembang dengan penambahan beberapa buah wad iaitu pada tahun 1991, Wad 5 ( Perubatan Lelaki ), Wad 6 ( Pembedahan dan Orthopedik ) telah diwujudkan manakala pada tahun 2000, Unit Hemodialisis, Blok Pentadbiran, Unit Rekod Perubatan dan Fisioterapi telah diwujudkan. Pada tahun 2005, Unit Geriaterik pula telah diwujudkan

Dibawah projek Rancangan Malaysia ke 8 ( RMK8 ), Bangunan Unit Rawatan Rapi ( ICU ) telah siap dibina dan Perumahan kakitangan ( Kuarters ) terdiri dari 8 unit kelas D dan 16 unit kelas C telah siap untuk diduduki oleh anggota. Secara keseluruhan pada pada Disember 2008, Hospital Banting telah mempunyai 6 buah wad dengan 151 buah katil berbanding dengan 96 buah katil pada tahun 1975. Pada Oktober 2009, unit CCU telah dibuka secara rasmi dengan 2 buah katil beroperasi.

Pada tahun 2015, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang menaik taraf dan menambah infrastruktur di Hospital Banting di sini berikutan keadaan bangunan yang usang dan kekurangan fasiliti sedia ada. Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan memandangkan jumlah katil terutamanya di wad kanak-kanak sangat terhad sehingga menyebabkan kesesakan pesakit. Namun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan dan pihak hospital diminta menyenarai pendek jenis penambahbaikan yang mesti diberi keutamaan.
"Kawasan hospital ini masih luas dan dilihat boleh ditambah beberapa bangunan baharu bagi menampung perkhidmatan pada bangunan sedia ada yang sudah lebih 40 tahun."
KKM akan bantu untuk selesaikan kekurangan yang dihadapi hospital ini pada masa depan, namun bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah 2015 anjuran hospital itu di sini. Dr Hilmi berkata setakat ini, KKM telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada hospital itu bagi pembinaan kompleks dewan bedah baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
Pandangan dari udara
Kawasan Hospital Banting
Tawaran tender pembinaan
 Hospital Banting

Rujukan;
Newspaper Article - Malaria Fever., The Straits Times, 23 June 1910, Page 7
Newspaper Article - Selangor Coconuts, Ltd., The Straits Times, 23 October 1914, Page 9
Newspaper Article - Toddy., Malaya Tribune., 12 July 1917, Page 2
Newspaper Article - ESTATE HOSPITALS., Malaya Tribune., 7 February 1918, Page 4
Newspaper Article - SOCIAL AND PERSONAL, The Straits Times, 15 October 1918, Page 8
Newspaper Article - CENTRAL HEALTH BOARD AFFAIRS., The Straits Times, 24 October 1930, Page 15
Newspaper Article - LOCAL HEALTH BOARDS INQUIRY., The Straits Times, 4 May 1931, Page 12
Newspaper Article - P. A. M. AND PLANTERS' SALARIES., The Straits Times, 1 May 1934, Page 6
Newspaper Article - OFFICE-BEARERS., The Straits Times, 2 April 1935, Page 13
Newspaper Article - More midwives needed, The Straits Times, 23 April 1958, Page 5
Newspaper Article - 250,000 want improved medical facilities, The Straits Times, 31 July 1959, Page 7
Newspaper Article - The 'samsu devil' and the man of 70 who killed twice..., The Straits Times, 16 January 1964, Page 5

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...