Selasa, 8 Februari 2022

Sejarah Istana dan Masjid di Jugra dan Deli: Sumbangan Sultan kepada Islam


Assalamualaikum semua. Semoga semuanya sihat walafiat, bertambah kemuliaan dan ketakwaan dari hari ke hari sehingga kita dijemput pulang kembali kepada rahmatNya. Atok dan Wan cukup risau dengan perkembangan kes Covid 19 sekarang. Dua tahun sudah, dia datang dari Wuhan sorang-sorang. Tahu-tahu hari ini dia datang lagi bawa emaknya yang bernama Omicron. HAHAHA...korang dapat tangkap tak joke yang Atok buat? Really, you all don't get it? OMI @UMI @Emak? Memang hampehlah joke Atok, tengah-tengah pandemik ini. 

Anyway, Atok ada cerita baharu hari ini. Masih mengenai Jugra dan Sultan. Bukan pasal penyakit atau sisi hitam sultan dan kerabat baginda, tetapi pasal istana dan masjidnya. Hari itu ada peminat blog Atok tanya, soalannya ringkas, straight forward tapi berangkai. Begini soalannya:

Cerita istana Maimoon di Medan ada ke tidak kena mengena dgn sejarahnya Sultan Abdul Samad. iaitu cucu pada baginda Sultan Abdul Samad?

So, Atokpun got excited. Atok selongkar habis internet cari bahan. Banyak juga ilmu baru yang Atok belajar. Pertama, makna Maimoon. Kedua, hubungan Kesultanan Selangor dengan Kesultanan Deli di Medan, Sumatera. Seterusnya, ciri-ciri persamaan Al Sultan Alaudin Sulaiman Syah, Sultan Selangor kelima dengan Sultan Makmun Al Rasyid Perkasa Alamsyah, Sultan Kerajaan Deli. Dan yang terakhir, berbalik kepada soalan tadi,  hubungan Istana Maimmon di Medan dengan Istana Maimun/Long Puteri di Jugra. Seperti biasa, kesemua gambar dan bahan grafik di sini bukan Atok punya. Semuanya Atok kutip dan sauk dari internet tapi bukan curi tau! Ini semua dah berstatus public. Jadi, Atok nak berterima kasih kepada tuan-tuan punya gambar dan bahan ini kerana banyak manfaatnya kepada Atok. Terima kasih daun keladi, lain kali Atok cekau lagi. HEHEHE....

Untuk menjawab persoalan di atas, Atok kena bahagi-bahagikan satu persatu huraian jawapannya agar jelas dan terang. Atok kena buat perbandingan dan cari persamaan, jika ada. Atok tak mahu jawapannya nanti separuh masak, tak jelas dan pasti akan menimbulkan persoalan lain. Prinsip Atok senang jer...Do it right.

Dari segi makna dalam bahasa Arab, Maimun bererti 'Selamat', 'Makmur', 'Sejahtera' atau 'Terpelihara', sebagai satu doa atau harapan buat penghuni-penghuninya. Baik, dah jelas maksudnya. So, kita kaji pula latar belakang atau sejarah kerajaannya.

Mula-mula kita kenali Kesultanan Deli dahulu. Kata orang, "Tak kenal maka tak cinta". Begini sejarahnya....

SEJARAH KESULTANAN  MELAYU DELI

Muhammad Dalik adalah pengasas Kesultanan Melayu Deli pada tahun 1630 sebagai kesultanan di bawah kesultanan Aceh. Menurut Hikayat Deli, seorang pemuka Aceh bernama Muhammad Dalik berjaya menjadi laksamana dalam Kesultanan Aceh. Muhammad Dalik, yang kemudian juga dikenal sebagai Gocah Pahlawan dan bergelar Laksamana Khuja Bintan (ada pula sumber yang mengeja Laksamana Kuda Bintan), adalah keturunan dari Amir Muhammad Badar ud-din Khan, seorang bangsawan dari Delhi, India yang menikahi Putri Chandra Dewi, putri Sultan Samudera Pasai. Dia dipercaya Sultan Aceh untuk menjadi wakil bekas wilayah Kerajaan Haru yang berpusat di daerah Sungai Lalang-Percut. Dalik mendirikan Kesultanan Deli yang masih di bawah Kesultanan Aceh pada tahun 1632. Setelah Dalik meninggal pada tahun 1653, putranya Tuanku Panglima Perunggit mengambil alih kekuasaan dan pada tahun 1669 mengumumkan memisahkan kerajaannya dari Aceh. Ibu kotanya berada di Labuhan, kira-kira 20 km dari Medan. Pertentangan dalam perebutan kekuasaan pada tahun 1720 menyebabkan pecahnya Deli dan terbentuknya Kesultanan Serdang. Setelah itu, Kesultanan Deli sempat direbut Kesultanan Siak dan Aceh. 

Kesultanan Deli berkembang pesat. Perkembangannya dapat terlihat dari semakin kayanya pihak kesultanan berkat usaha perkebunan, terutamanya tembakau, dan lain-lain. Selain itu, beberapa bangunan peninggalan Kesultanan Deli juga menjadi bukti perkembangan daerah ini pada masa itu, misalnya Istana Maimun dan Masjid Raya Medan. Kemudian, Kesultanan Melayu Deli ini dijajah Belanda sehinggalah kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Tetapi malang, kerajaan Deli lenyap dengan pembunuhan tragis seluruh keluarga diraja ketika Revolusi Sosial yang dilancarkan oleh elemen PKI dan ejen-ejen Jawa yang melihat kerajaan diraja ini 'menyokong' Belanda ketika Gerakan Buluh Runcing dilakukan terhadap Belanda dan konco-konconya.

Istana Maimun dan Masjid Raya Al Mashun  sememangnya merupakan ikon kota Medan. Keberadaan keduanya tidak dapat dipisahkan, sebab Masjid Raya Al Masun tadinya berada dalam komplek yang sama dengan Istana Maimun. Satu blok dari istana Maimun ke arah timur, berdiri Mesjid Raya dengan arkitektur yang menawan merupakan daya tarikan bagi pelancong yang berkunjung ke Medan dan sangat mengagumkan. Masjid Raya Al Mashun merupakan salah satu masjid tertua di Medan. Masjid ini didirikan pada pemerintahan Sultan Ma'mun Alrasyid Perkasa Alam pada 1906 dan selesai pada 1909. Dengan kata lain, usia masjid kini genap 110 tahun. 

ISTANA MAIMUN

Istana Maimun adalah istana kebesaran Kesultanan Deli dengan warna kuningnya (kuning merupakan warna kerajaan Melayu) dan khas gaya seni bina Melayu di pesisir timur. Ia merupakan salah satu mercu tanda yang terkenal di Medan, ibu kota Sumatera Utara, Indonesia. Istana ini sebenarnya dirancang oleh seorang arkitek Itali dan disiapkan pada tahun 1888 semasa pemerintahan Sultan Makmun Al Rasyid Perkasa Alamsyah. 

Ia mempunyai keluasan 2,772 meter persegi, dan mempunyai 30 bilik. Binaan Istana Maimun menarik minat ramai pelancong kerana ia mempunyai binaan yang dipengaruhi pelbagai kebudayaan, dari kebudayaan Melayu, Islam, Sepanyol, India, dan Itali. Ketika ini istana tersebut masih didiami oleh keluarga–keluarga sultan. Ruangan pertemuan, foto–foto keluarga kerajaan Deli, perabot rumah tangga Belanda kuno dan pelbagai senjata, terbuka bagi masyarakat yang ingin mengunjunginya. Di istana ini pula terdapat Meriam Puntung yang merupakan peninggalan sejarah daripada kerajaan Deli.











MASJID RAYA AL MASHUN/  MASJID RAYA MEDAN/  MASJID RAYA DELI

Ramai orang menyebut Masjid Raya Al Mashun dengan sebutan Masjid Raya Medan atau Masjid Raya Deli. Masjid ini merupakan salah satu masjid dari kesultanan Deli waktu dahulu dan juga salah satu masjid tua di kota Medan. Sesuai dengan nama Al Mashun yang memiliki erti 'Terpelihara', Masjid Raya Al Mashun hingga kini masih terpelihara dengan baik. Di masa Kesultanan Melayu Deli, Masjid Al Mashun ini merupakan masjid rasmi dari kesultanan tersebut yang berada dekat dengan Istana Maimun dari kesultanan Deli. Masjid Raya Al Mashun dibangunkan pada tahun 1906 hingga selesai di tahun 1909 dengan menggunakan dana sendiri dari Sultan Maamun Al Rasyid Perkasa Alamsyah, dengan jumlah satu juta Gulden Belanda.

Bentuk bangunannya sendiri sangat unik, memadukan gaya Mughal (India), Eropah (Sepanyol), dan Melayu. Hal ini terlihat dari pintu kayu yang dicat biru dan kuning. Warna kuning menyiratkan Melayu karena Sultan Deli merupakan orang Melayu. Pada bahagian pintu-pintunya terdapat ornamen Sepanyol yang melengkung dan kaca patri besar berwarna-warni. Sedangkan pada dinding-dindingnya terdapat ornamen bermotif ala India. Tiang masjid yang kokoh terbuat dari marmer asli dari Italia, berjumlah delapan tiang yang mengelilingi masjid. Mimbar yang digunakan saat hari Jumaat dan Ramadhan, memiliki seni bercorak India. Pada Masjid Raya Al Mashun tidak terdapat kaligrafi pada interiornya sebagaimana masjid pada umumnya. Tetapi pada interior masjid ini terdapat ornamen berupa ukiran berbentuk tanaman dan bunga yang dicat. Arkiteknya memberikan sentuhan gaya Moroko, Eropah, Melayu dan Timur Tengah pada bangunan Masjid Raya Al Mashun. Denah simetris segi delapan juga diterapkan pada bangunan masjid. Sehingga memunculkan beberapa kubah yang berwarna hitam maka tampilan masjid menjadi indah mempesona. 

Ada beberapa ruang dalam masjid dengan berbagai fungsi, seperti ruang sholat, tempat wudhu, dan lain-lainnya. Desain khas kerajaan Islam dapat dilihat dari gang gang yang memiliki jendela tak berdaun berbentuk lengkungan. Kubah masjid khas dengan gaya arkitektur Turki, kemudian mihrab dari bahan marmar memiliki atap kubah runcing. Perpaduan gaya Mesir, Iran dan Arab dapat dilihat dari bentuk menara masjid.



                                        

SEJARAH KESULTANAN SELANGOR

Selepas kemangkatan Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau pertama, Paduka Sri Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga pada tahun 1728. Baginda Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah melantik Paduka Sri Raja Chelak Ibni Upu Tenderi Burong Daing Rilaga menjadi Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau yang kedua bagi menggantikan kekandanya. Tanggungjawab dam peranan Yang di-Pertuan Muda Johor adalah untuk menjaga dan mengawal wilayah-wilayah di bawah naungan Empayar kerajaan Johor-Riau. Kesultanan Selangor wujud pada sekitar tahun kurun ke-18 iaitu pada tahun 1748 Masihi. Sultan Selangor yang pertama Sultan Salehuddin Shah atau nama asalnya Raja Lumu merupakan anak kepada Yang di-Pertuan Muda Johor Raja Daeng Chelak yang berketurunan Bugis.Sultan Salehuddin Shah telahpun dinobatkan sebagai sultan Selangor oleh Sultan Perak. Selepas kemangkatan Almarhum Sultan Sallehuddin Shah anakandanya Raja Ibrahim ditakhtakan sebagai Sultan Selangor ke-2 dan diberi gelaran Sultan Ibrahim Shah. 

Baginda berjaya membangunkan perlombongan bijih timah di negeri Selangor sehingga menyebabkan kedatangan Belanda di negeri Selangor. Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir serta Perang Kelang ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur. Pada 1896, Residen Frank Swettenham bertanggungjawab menyatukan Selangor dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan ibu negeri Selangor, Kuala Lumpur sebagai pusatnya. Selangor akhirnya bebas daripada penjajahan Inggeris setelah Malaya merdeka pada tahun 1957.

ISTANA ALAEDDIN / ISTANA TEMASYA/ ISTANA BANDAR

Istana Bandar terletak di Kampung Bandar, Jugra, Selangor, Malaysia. Istana ini asalnya tempat bersemayam Sultan Selangor ketika Jugra menjadi ibu negeri Selangor. Sultan Selangor ke-5, Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah pernah menetap di sini selama 35 tahun , sejak 1905. Ketika itu ramai pegawai British dan tetamu asing datang ke sini. Di istana ini turut diadakan majlis keramaian dan majlis keagamaan kerana baginda seorang sultan yang amat berpengaruh dan berkuasa. Istana Bandar ini berhampiran dengan Masjid Sultan Alaeddin dan dicat dengan warna kuning dan putih. 

Kedudukannya yang jauh di dalam Kampung Bandar dekat Jugra di sini, membuatkan ramai tidak mengetahui sebuah istana usang di situ, pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Selangor, lebih 100 tahun lalu.

Istana Bandar dibina Sultan Selangor kelima iaitu Sultan Ala'eddin Suleiman Shah Ibni Al-Marhum Raja Musa selepas kemangkatan nenda baginda, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah pada tahun 1898. Baginda membiayai sendiri pembinaan istana itu pada 1899 atas tanah seluas 5 hektar dan mula didiami keluarga diraja pada tahun 1905 sehingga Sultan Ala'eddin Suleiman Shah mangkat pada tahun 1938. Istana ini juga pernah dijadikan markas Tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu (1942-1945). Kini, istana ini dijadikan pusat pengajian al Quran dan Jabatan Agama Islam Selangor. Istana ini berkemungkinan akan dijadikan 'living museum' ataupun Galeri Diraja. Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan.

Menurut sejarah, istana ini dibina semasa berlakunya krisis dalam istana tersebut berkenaan peristiwa ketidaksefahaman yang berlaku antara permaisuri Sultan Alaeddin iaitu Tengku Ampuan Mahrum dan isteri baginda dari kalangan orang kebanyakan. Namun begitu pada dua hingga tiga tahun pertama, istana ini digunakan sebagai tempat bersemayam baginda sultan bersama isteri baginda iaitu dari keturunan orang kebanyakan. Sejak ditabalkan secara rasminya dan bersemayam di Istana Mahkota Puri, Klang, Sultan Alaeddin sering berkunjung ke Bandar untuk beribadah di Masjid Alaeddin di samping menemui isteri baginda, Hajah Safiah di istana ini. Perkara ini terus berlarutan sehinggalah isteri baginda meninggal dunia pada tahun 1920-an. 

Istana Bandar juga turut dikenali sebagai Istana 44 Bilik, selain mempunyai ruang yang tidak mempunyai daun pintu dan bilik yang menempatkan dayang istana, selain bilik kecil di bawah tangga. Hampir keseluruhan struktur bangunan ini diperbuat daripada batu bata dan motar kapur manakala tangga dan pintu diperbuat daripada kayu cengal. Keseluruhan lantai tingkat atas adalah kayu manakala lantai tingkat bawah pula diperbuat daripada konkrit.

Senibina istana ini menyerupai senibina Islam India dan Timur Tengah. Pekerja diambil dari China untuk menyiapkan istana ini. Waktu itu Lembah Klang dan Hulu Langat menjadi pengeluar bijih timah yang utama. Bangunan istana menampilkan seni bina Islam dari India dan Asia Barat terutamanya dari segi pahat dan ukiran yang ada pada tingkap dan pintu. Selain itu, dinding istana juga menampilkan unsur ukiran dan ragam hias pengaruh China seperti ukiran ikan. 

Rekabentuk bangunan juga menampilkan campuran seni bina tempatan dan kolonial ekoran British sudah menapak di Tanah Melayu pada ketika itu. Pengaruh kolonial jelas di lihat pada pintu gerbang istana, manakala bumbungnya dipengaruhi senibina Acheh dengan penggunaan bumbung limas. 

Keseluruhan bangunan ini dibina daripada batu-bata dan konkrit. Dindingnya terdiri daripada dinding tanggung beban dan dinding dari jenis tiang dan alang. Bahagian koridor dan bahagian ruang yang luas di tingkat atas menggunakan sistem struktur rentangan. Lantai bagi ruang tingkat bawah dibina daripada lantai konkrit berjubin manakala ruang atas keseluruhan istana menggunakan lantai kayu cengal. Struktur tiang bahagian bawah dibina daripada batu bata dan dipenuhi dengan ukiran dan motif tumbuhan, manakala struktur tiang di bahagian atas agak lebih kecil iaitu berukuran 400 m x 400 mm. Keseluruhan istana ini ditutupi dengan bumbung limas, namun aras bumbung limas ini berbeza-beza ketinggiannya kerana dikatakan untuk menggambarkan struktur hierarki pentadbiran dalam istana. Bumbung bertingkat pula dibina untuk menutupi ruang utama yang dikhususkan untuk keluarga diraja, ruang dapur dan balai nobat manakala bumbung rata ditambah pada awal 1900 semasa istana ini diubahsuai.

Terdapat banyak tangga yang digunakan untuk ke dalam dan keluar istana dan di antaranya ialah tangga utama pada bahagian hadapan di mana ia berbentuk melengkung dan diperbuat daripada konkrit serta dihiasi dengan kekisi dan minaret pada bahagian atasnya. Tangga yang berdekatan bilik beradu pula dikhaskan untuk golongan kerabat diraja sahaja. Terdapat juga tangga kayu yang digunakan dan diperbuat daripada kayu cengal. Istana ini mempunyai 27 bukaan tingkap yang mengunakan panel kayu iaitu kayu ram boleh laras dan saiznya bergantung kepada fungsinya samaada untuk bukaan di ruang utama awam atau ruang peribadi. Pintunya pula kebanyakannya dibina daripada kayu, bergantung kepada fungsi dan kegunaannya. Di dalam kawasan istana juga ada beberapa kolam mandi. Pada zaman dahulu, dayang istana akan mengisi air ke dalam kolam berkenaan untuk kegunaan baginda dan juga kerabat istana. 

Disamping itu terdapat juga sebuah "taman larangan" yang dikhaskan hanya untuk kegunaan puteri-puteri dan ahli keluarga baginda sultan untuk bermain-main ataupun bersantai ketika itu. Justeru, tidak hairanlah sehingga kini masih lagi terdapat sebuah tembok yang mencatatkan perkataan "ingat-ingat jalan kecelakaan" yang mungkin bermaksud  dan bertujuan melarang orang luar daripada memasuki kawasan taman berkenaan kecuali kaum kerabat baginda Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah sahaja. Ketika zaman pemerintahan baginda sultan terdapat juga beberapa bangunan  lain di dalam persekitaran bangunan Istana Bandar tersebut. Di antaranya adalah rumah kelab, pejabat, stor simpanan senjata dan sebagainya. Namun sehingga kini hanya bangunan Istana Bandar sahaja yang masih tersergam kukuh kerana bangunan-bangunan yang lain dipercayai telah dirobohkan ataupun runtuh akibat tiada usaha-usaha untuk pengekalan dan pemuliharaan bangunan-bangunan tersebut suatu ketika dahulu.





















MASJID ALAUDDIN ATAU MASJID BANDAR

Sebelum terbinanya Masjid Bandar ini, terlebih dahulu sebuah masjid, iaitu Masjid Raja Muda Musa telah dibina di Kampung ini pada tahun 1875 dan merupakan masjid pertama di kampung Bandar. Walaubagaimanapun hanya tapak masjid sahaja yang masih tinggal dan terletak di kawasan Makam Diraja Kampung Bandar.

 
              
Masjid Bandar atau dikenali juga dengan nama Masjid Alaeddin (Alauddin) telah dibina pada tahun 1905 selepas siapnya pembinaan bangunan Istana Alaeddin. Nama Masjid Bandar atau Masjid Alaeddin ini diberi sempena mengambil nama Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke 5 (1898 - 1938). Menurut sumber, masjid yang mampu menampung 800 Jemaah dalam satu masa  di atas tapak berkeluasan 21.2067 ekar, kira-kira 200 meter dari Istana Temasya ini dibina hasil dari sumbangan dana Baginda Sultan Alaeddin sendiri. Baginda adalah seorang yang alim dan banyak memberi sumbangan dalam perkembangan Islam sepanjang pemerintahannya. Sultan Ala'eddin Suleiman Shah juga sering memberi syarahan agama dan menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Ala'eddin yang dibina berdekatan istana. Masjid Bandar ini telah dirasmikan pada tarikh 18 Jun 1924 dalam upacara gilang- gemilang. Masjid ini juga pernah menjadi Masjid Negeri di negeri Selangor.Warna asal masjid ini berwarna kuning diraja tetapi kini masjid ini diwarnakan putih. Selepas kemangkatan baginda, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, masjid ini hanya digunakan oleh penduduk setempat. 
Dari segi rekabentuk, masjid ini ia mempunyai ciri-ciri rekabentuk campuran India-Muslim dan Islam Timur Tengah, lebih tepat lagi arkitektur Moorish dan Mughal, mirip  bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Ianya juga dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera Utara. Dari segi rekabentuk masjid ini menerima pengaruh senibina daripada kerajaan Deli, Medan. Tiang Seri dan seni ukir dinding serta mimbarnya yang unik daripada jenis kayu cengal yang tahan lama dan bermutu tinggi. Bangunan utama masjid yang berkubah dikelilingi oleh dinding tinggi bertingkap jeriji. Di setiap sudut terdapat menara yang sederhana tingginya. Di tengah dinding bahagian hadapan masjid pula dibina menara azan bersegi delapan yang mempunyai dua aras tinjauan, berkubah keemasan di puncaknya. Keseluruhannya ibarat kubu kota pertahanan yang mengelilingi sebuah istana raja. Sekali pandang pada bentuk masjid, ada imbasan arca istana zaman silam dalam cerita-cerita dongeng Aladdin & Kisah 1001 Malam. 

Mimbar yang terdapat di dalam Masjid Sultan Alaeddin Suleiman Syah sering digunakan oleh baginda semasa berkhutbah dalam solat Jumaat sertas solat Aidilfitri and Aidiladha. Sebelum ini, di bahagian kiri, kanan dan belakang ruang solat utama adalah ruang lapang tidak berbumbung dan hanya digunakan apabila limpahan jemaah yang hadir terutamanya ketika solat Jumaat dan juga solat hari raya. Walau bagaimanapun kini ia telah berubah di mana lantai telah diratakan dan disudahi dengan lantai jubin dan dipasang bumbung serta dijadikan ruang solat tambahan terutamanya bahagian sebelah kiri ruang solat utama dijadikan ruang solat khas untuk kaum wanita. Keseluruhan dinding dalaman telah disolek dengan penyudah kayu beralur, manakala sebelah dalam kubah telah dilitupi dengan siling kayu dekoratif, dihiasi dengan motif Kalimah Shahadah & nama-nama Khulafa' Arrasyidin. Bentuk asal kubah dari dalam sudah tidak kelihatan lagi. 

Pada 16 April 2002 Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah bersidang dan sebulat suara memutuskan bahawa Masjid Alaeddin adalah wakaf oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 1989, Pentadbir harta wakaf adalah Majlis Agama Islam Selangor. Sesuatu harta yang diwakafkan itu telah menjadi milik Allah secara mutlak, maka ia tidak boleh dilakukan kepadanya secara transaksi. Oleh yang demikian, 'Akta Benda Purba' dalam hal ini tidak terpakai. Adalah menjadi tanggungjawab Ahli Jawatankuasa Masjid untuk mengekalkan struktur asal atau diubahsuai dengan tujuan bagi keselesaan jemaah serta dapat dimanfaatkan sepertimana yang diharapkan oleh Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Semenjak keputusan Fatwa Negeri Selangor ini dikeluarkan, Semenjak itulah kerja-kerja membaik pulih sering dilakukan Demi kepentingan agama, dan keselesaan para jemaah yang hadir, kerja-kerja menaik taraf juga giat dilakukan. Banyak pengubahsuaian dan  tambahan telah dijalankan, terutama sekali pada bahagian dalamannya. Selain itu, di kawasan Masjid Alaeddin ini juga telah dibina rumah kakitangan masjid seperti imam, bilal dan siak. Terdapat juga dewan besar untuk kegunaan AJK masjid serta majlis-majlis tertutup. Atas keperihatinan Jabatan Agama Islam Selangor, Kerajaan Negeri Selangor dan juga AJK masjid, segala kemudahan prasarana di masjid ini sememangnya melengkapi.


         


Majlis Perasmian Masjid Alaeddin, Kampung Bandar


                                                    Keratan Akhbar Pembukaan Masjid Alaeddin Kampung Bandar



                                                    Sultan Alaeddin sedang memberi khutbah di Masjid Bandar


       Mimbar Masjid Alaeddin Kampung Bandar












ISTANA LONG PUTERI / MAIMUN   DI JUGRA

Istana Long Puteri / Istana Maimun merupakan kediaman rasmi Raja Long Puteri iaitu cucunda Sultan Abdul Samad (Sultan Selangor yang keempat) sejak tahun 1890. Istana ini terletak berhampiran dengan Istana Jugra. Daripada aspek senibina bangunan, Istana Long Puteri merupakan sebuah rumah berdindingkan papan, beratap genting, bertiang dan berlantaikan batu. Untuk memasuki istana ini, kita perlu menaiki 14 anak tangga yang dibina daripada bahan batu. Dari segi ruang dalaman istana ini, terbahagi kepada 3 ruang iaitu bahagian ruang tamu, ruang tengah dan dapur, di mana bahagian dapur telah dipisahkan daripada ruang tengah. Istana ini juga mempunyai 3 bilik dan sebuah bilik tamu. 

Gambar di bawah adalah pemandangan bahagian hadapan Istana Long Puteri (Istana Maimun), Jugra, Kuala Langat yang ketika itu didiami oleh Raja Sakiah ibti Raja Mustar, cicit almarhum Sultan Abdul Samad,  pemegang amanah menjaga peti besi  Almarhum Sultan Abdul Samad, sekitar tahun 1930. Perkongsian hidup Raja Kahar dan Che Fatimah melahirkan dua orang anak, anak pertama Raja Wok manakala  Raja Mustar  anakandanya yang kedua. Malangnya kini, Istana ini tidak diselenggara dengan baik.

Raja Sakiah binti Tengku Mustar,  cicit almarhum Sultan Abdul Samad

KESIMPULAN

 Setelah analisis dibuat, beberapa kesimpulan dapat diambil:

1. Kesultanan Melayu Deli ini dan Kesultanan Selangor merupakan Kesultanan Melayu di Nusantara yang berkongsi persamaan budaya, bahasa, agama serta adat resam dan pertalian kekeluargaan melalui perkahwinan. 

2. Kesultanan Melayu Deli dijajah Belanda sehinggalah kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945 serta tidak wujud lagi manakala Kesultanan Selangor akhirnya bebas daripada penjajahan Inggeris setelah Malaya merdeka pada tahun 1957 dan masih wujud sehingga kini.

3. Masjid Raya Al Mashun berada dalam kompleks yang sama dengan Istana Maimun di Medan, kira-kira satu blok dari istana Maimun ke arah timur, manakala  Istana Bandar di Jugra pula berhampiran dengan Masjid Sultan Alaeddin, kira-kira 200 meter.

4. Masjid Raya Al Mashun merupakan salah satu masjid tertua di Medan. Masjid ini didirikan pada pemerintahan Sultan Ma'mun Alrasyid Perkasa Alam pada 1906 dan selesai pada 1909. Masjid Bandar atau dikenali juga dengan nama Masjid Alaeddin (Alauddin) telah dibina pada tahun 1905. 

5. Istana Bandar dan Masjid Sultan Alaeddin ini dibina hasil dari sumbangan dana Baginda Sultan Alaeddin sendiri. Begitu juga dengan Masjid Raya Al Mashun yang dibangunkan dengan menggunakan dana sendiri dari Sultan Maamun Al Rasyid Perkasa Alamsjah, dengan jumlah satu juta Gulden Belanda.

6. Masjid Raya Al Mashun dan Istana Maimun dibangunkan oleh kesultanan Melayu Deli berkat usaha perkebunan, terutamanya tembakau. Istana Bandar dan Masjid Sultan Alaeddin ini dibina hasil kekayaan bijih timah di Selangor.

7. Istana Maimun di Medan banyak meniru gaya senibina Islam India (Mughal), Eropah (Sepanyol), Timur Tengah, dan Itali. Rekabentuk bangunan Istana Alaeddin menampilkan campuran senibina MelayuChina, kolonial serta Acheh. 

8. Masjid Raya Al Mashun di Medan menyerlahkan senibina Melayu, Islam, Sepanyol, India, Turki, serta perpaduan gaya Mesir, Iran dan Arab. Masjid Sultan Alaeddin pula menyerap arkitektur Moor dan Mughal, mirip  bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Ianya juga dikatakan mempunyai pengaruh senibina pemerintahan Deli di Medan.

9.  Kedua-dua pemerintah atau sultan, Sultan Ma'mun Alrasyid Perkasa Alam di Medan dan Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa di Jugra merupakan pemimpin yang alim serta menjadi contoh teladan kepada rakyat masing-masing kerana mengambil berat tentang perkembangan agama Islam dengan menyumbang harta mereka kepada syiar Islam di bumi mereka masing-masing.

10. Istana Maimun di Jugra hanya mengambil keberkatan nama 'Maimun' dan lebih bersifat rumah agam kerabat pembesar negeri.

Hah. Itulah jawapan panjang lebar Atok kepada soalan peminat setia blog Atok ini.. Atok anggap ini sesuatu yang educative buat Atok dan pembaca sekalian. Atok minta maaflah andaikata ada kesilapan fakta, ejaan atau sumber cedukan Atok. Sekali lagi Atok minta kita jaga kita. Stay Home, Stay Safe. Wasalam.

Rujukan:




7 ulasan:

  1. Sebelum pindah ke Kampong Medan atau Kota Medan saat ini, Kesultanan Deli awalnya berada di Pekan Labuhan ( dekat Pelabuhan Belawan - Belawan Port ). Namun jejak istana tidak bersisa di sini. Yang masih tersisa sampai saat ini bahwa Kesultanan Deli di Pekan Labuhan ( sekarang masuk ke dalam kawasan Kecamatan Medan Labuhan )m adalah Mesjid Raya Al Osmani. Di halaman Mesjid Raya Al Osmani banyak terdapat makan - makam keturunan Kesultanan Deli.

    BalasPadam
  2. Salam. Mak saya selalu sebut Raja Sakiah. Mak selalu pergi rumah Raja Sakiah dan main dengan anak lelakinya di perrmatang pasir, panjat turun bukit jugra, naik turun tangga bukit kt belah kanan makam. Orang selalu marah sebab risau kena makan harimau mak kata. Terima kasih upload gambar Raja Sakiah. Barula saya dapat tengok wajah cicit Sultan Abdul Samad ni. Selalu dok dengar cerita je.

    BalasPadam
  3. Oh ya, tok boleh share info berkenaan Dato Aru semasa Pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad? Itu keturunan saya dan saya tahu sangat sedikit berkenaan beliau.

    BalasPadam
  4. Salam....
    Peranan DATO’ AMPAT SUKU iaitu Dato’ Aru, Dato’ Pengawa, Dato’ Jeram dan Dato’ Kaya Kechil yang mempunyai KUASA DIDALAM MEMUTUS KATA ketika berlaku KONFLIK TAKHTA NEGERI SELANGOR.
    Sila Rujuk...
    https://wangsamahkota.wordpress.com/2010/06/12/sultan-abdul-samad-ibni-tengku-panglima-besar-raja-abdullah-1857-1898/

    BalasPadam
  5. Sejarah Negeri dengan jelas mengambarkan peranan Dato’ Empat Suku iaitu Dato’ Aru (Gelaran ini tidak lagi wujud pada tahun 1930-an)
    Gelaran ini telah diberi gelaran baru iaitu Dato Orang Kaya Mahakurnia Bijaya Diraja pada tahun 1928. (Khoo Kay Kim “Raja Lumu/ Sultan Salehuddin:The Founding of the Selangor Dynasty”. JMBRAS, Vol. 58, Pt. 2, 1985, hlm. 10).

    BalasPadam
  6. Abdul Rahman bin Haji Hassan pernah disebut-sebut sebagai calon Dato' Aru oleh seramai 58 orang waris-waris Dato' Aru sebelumnya pada 29 Ogos 1903. Tiada cerita mengenainya dalam Arkib Negara selepas itu https://ofa.arkib.gov.my/ofa/digital/asset/193764

    BalasPadam
  7. Cuba semak laman web ini...mungkin ada kaitannya dengan Dato Aru yang tuan perkatakan..semoga berjaya
    https://wangsamahkota.wordpress.com/2015/01/07/y-d-m-engku-panglima-diraja-selangor-raja-nong-bin-raja-husin/

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...