Rabu, 16 Februari 2022

MISTERI 7 TEMPAT KERAMAT DAN KHURAFAT DI JUGRA

Salam buat Semua. Syukur Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk kita bersama sehari lagi di dunia ini, memohon keredaan serta keampunanNya, Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Terima kasih atas sambutan korang terhadap blog peribadi Atok ini. Cerita Atok tentang misteri dan mistik Jugra serta penduduknya suatu masa dahulu amat menarik perhatian korang. Macam goreng pisang panas. Oops...salah tuu, macam pisang goreng panas. Seronok bukan, mengkaji sejarah lama! Memang tepatlah Kuala Langat terutamanya Jugra diwartakan sebagai daerah warisan. Banyak susur sejarahnya yang masih belum diterokai, dibongkar untuk tatapan umum. So, kali ini Atok ada cerita baharu, walaupun dah banyak orang tulis di internet. Cerita dan sejarahnya memang lama tetapi olahan atau versi Atok ini yang baru.. Korang bacalah, ya. Mana tahu ada pengajaran yang boleh korang ambil daripada cerita Atok kali ini.

KEMASYHURAN JUGRA

Jugra sebagai pusat maritim yang wujud sejak daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka pernah disebut oleh Tun Seri Lanang di dalam buku tulisannya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Di dalam karya kesusasteraan itu, kesibukan pelabuhan Jugra yang terletak di kuala Sungai Langat digambarkan menyamai kesibukan pelabuhan Melaka yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Selain gambaran menjadi pintu masuk utama perdagangan di Selangor,  Jeti Batu Hampar di tebing Sungai Langat itu dipercayai adalah tapak pelabuhan yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang sebagai pelabuhan Jugra. Tun Seri Lanang turut menyebut ketibaan Laksamana Hang Tuah di pelabuhan Jugra selepas keluar belayar dari Melaka. Ia menjadi tumpuan pedagang yang datang berlabuh dan laluan angkutan hasil bijih timah bagi tujuan perdagangan. Disebabkan ia merupakan kawasan yang mempunyai punca sara hidup dan diperintah oleh kesultanan Raja-raja Melayu, tempat itu digemari untuk penetapan oleh masyarakat tempatan dan juga masyarakat yang datang berdagang di Jugra.

Mercu tanda Warisan di Jugra

Bahkan di Bukit Jugra ini, kata mereka telah diadakan pertemuan dengan Puteri Gunung Ledang setiap 14,15, dan 16 haribulan mengikut kalendar Islam, ketika bulan purnama. Kononnya juga  hasil rompakan lanun akan dibawa ke Jugra dan disimpan dalam gua-gua di Bukit Jugra. Terdapat dua buah gua di Bukit Jugra, satu di kaki bukit, dan satu lagi di atas bukit tersebut. Sembang mereka lagi, ada laluan rahsia dan gua -gua tempat harta karun milik keturunan Sultan selama 500 tahun tersimpan dan dikawal ketat oleh jin-jin. Hanya mereka yang terpilih sahaja dapat menembus pandang gua dan harta tersebut yang dikatakan gateway atau stargate ke alam jin. Wah, dah macam cerita 'Pirates of the Carribeans' dan filem 'Stargate' pulak!

Pasal alam jin tu, Atok boleh terimalah sikit, pasal Pembesar- pembesar istana dahulu memang ada pakai khidmat jin ini. Itulah pasal. Daripada servis peribadi terus ikat perjanjian Saka 7 keturunan. Bodoh dan singkatnya pemikiran dan tipisnya ilmu agama mereka.  Beriman kepada Allah dan RasulNya tetapi pada masa yang sama syirik kepadaNya. Kalau dah jin kau jadikan pendamping, hancurlah iman dan amalan kau dipesongkannya. Sampai sekarang masih berkeliaran jin-jin saka keturunan tak bertuan ini di sekitar Jugra, terutama di hutan Bukit Jugra dan kampung-kampung berhampiran. 

Bukit Jugra, memang 'keras'....lokasi sejarah yang penuh mistik.sebab sangat bersejarah dan banyak kubur lama di sini... Hutan di Malaysia ni bukan setakat ada binatang liar jer. Pengalaman di hutan di sini biasanya satu kisah yang dikaitkan dengan gangguan mistik. Sudah ramai pengunjung bukit ini yang pernah tercium bau-bau yang memualkan, bau busuk yang tiba-tiba muncul. Ada dua kemungkinan. Mungkin kehadiran makhluk yang tidak dapat dilihat atau kemungkinan ada haiwan liar atau buas yang berada berhampiran dengan kita.  Pernah juga yang mengadu melihat kelibat-kelibat yang menyerupai kawan mereka yang sama-sama berada di sana ketika itu. Ada juga yang  mendakwa. pernah mendengar suara tangisan, suara bisikan dan sebagainya. 

Terdapat banyak kuburan lama di sini. Bayangkanlah, kewujudan Jugra telah melebihi 600 tahun. Perkampungan yang pernah wujud di situ seperti kampung Bukit Jugra dan pekan Jugra lama di sekitar Batu Hampar dan tebingan sungai Langat kini tiada lagi. Pasti ramai penduduknya yang dikebumikan di sekitar tanah rata dan kawasan berbukit di situ.  Sudah pasti ratusan malah mungkin ribuan kubur-kubur lama itu sedikit demi sedikit sehingga kini ditelan hutan belantara. Tidak hairanlah kalau-kalau ada pendaki yang terserempak dengan kubur-kubur lama ini ketika berjalan-jalan semasa waktu hampir Maghrib. Lebih-lebih lagi dekat kawasan yang ada kubur dan dianggap ‘keras’, kononnya di puncak hutan tu ada makam diraja lama Jugra dan batu tinggal yang digunakan untuk memancung kepala! Kononnya...

Ada juga kumpulan manusia 'nakal' yang cuba menyingkap dan menyiasat rumah-rumah, bangunan dan kawasan-kawasan yang dikatakan mempunyai kisah-kisah mistik dan dihuni oleh makhluk-makhluk halus. Memanglah rumah, istana, bangunan lama yang ditinggalkan sudah pasti dihuni makhluk halus, apatah lagi kalau rumah tersebut dikaitkan dengan aktiviti yang tidak diredai Allah sebelum ini. Wallahualam. Bukan Atok menuduh, Atok cakap secara umum jer. Atok  memang berminat dengan cerita-cerita  berdasarkan sejarah bertulis atau kisah lisan masyarakat,  tetapi Atok bukan jenis seekers, yang kerjanya mencari entiti halus. Maaflah ya, bagi Atok ini semua kerja sia-sia. Dalam Alquran kita diminta berlindung daripada syaitan yang direjam dengan menyebut nama Allah, bukannya mencari dan mengejar golongan iblis dan syaitan yang menderhakai Allah dan RasulNya. 

Daripada Atok masuk ke rumah kosong dan duduk bertapa di situ menunggu ketibaan entiti halus ghaib bertanduk itu, lebih baik Atok masuk ke masjid yang kian kosong kini, duduk beriktikaf, mengaji dan berzikir menunggu ketibaan waktu solat seterusnya. Serius Atok cakap. Bukan nak menunjuk-nunjuk tetapi itulah jalan yang ditunjukkan oleh Rasul kita. Senja-senja ini seharusnya kita di rumah Allah, bukannya di rumah kosong lagi usang. 

Walaupun Atok tidak berapa nak percaya akan cerita-cerita tentang kewujudan hantu ini, kerana tiada bukti kukuh, tetapi perasaan seram itu memang real. Atok pernah mengalaminya. Ceritanya begini..

Pertama kali, sekitar tahun 1987, Atok tiba di puncak Bukit Jugra dengan rakan sekampung,  bermotosikal. Atok terpegun dengan keindahannya.  Atok hanya berdiri di luar pagar Rumah Api ini. Dapat Atok lihat saujana mata memandang. Begitu mengasyikkan. Nun di kejauhan laut Selat Melaka. Di sebelah kanan, terbentang luas topografi yang rendah dan rata Pulau Carey dan Pulau Lumut (kini dipanggil Pulau Indah). Cuma pada masa itu Westport belum wujud lagi. Kapal-kapal bersusun menunggu giliran untuk masuk ke muara Sungai Klang untuk ke Pelabuhan Klang. 

Tak lama kami di puncak tersebut. Matahari kian ke ufuk barat. Kami harus segera turun memandangkan kami harus kembali ke Telok dan seterusnya  ke rumah sebelum Maghrib. Lagipun terasa seram ketika kami  berlama-lama di puncak bukit itu. Hati kecil Atok menyuruh-nyuruh Atok supaya cepat beredar. Maklumlah tak ramai orang di sana. Yang ada pengawal-pengawal TUDM  di tapak radar itu dan beberapa orang pengunjung seperti kami. Tambahan pula ketika melintas jirat lama Cina dalam perjalanan turun itu, terasa seperti Atok sedang diperhatikan oleh manusia atau makhluk halus dari dalam hutan di sekeliling. Ketika tu Atok rasa macam kehadiran Atok tidak disenangi...

Kemudian Atok kembali ke Jugra sekitar tahun 2000, Kali ini, Atok dan anak-anak isteri Atok meninjau-ninjau kawasan rumah api tersebut.  Ketika itu jam sudah menunjukkan hampir 6.45 petang. Senja menyusul. Matahari hampir tenggelam. Atok agak tergesa-gesa memohon diri kerana trauma lama masih terpahat di hati, walaupun cahaya matahari jingga itu ke atas air kebiruan itu merupakan pemandangan terindah yang tidak sepatutnya kami lepaskan. Hati Atok tidak tenteram seperti dahulu, tambahan pula anak dan isteri bersama.

KERAMAT BUKIT JUGRA

Keramat atau tidak sesuatu tempat itu adalah bergantung kepada cerita yang pernah dicetuskan oleh orang dulu. Jika mereka telah bercerita tentang kelebihan seseorang, maka cerita itu akan tetap disampaikan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya, dan sekarang, akhbar, majalah dan televisyen turut sama memperpanjang kisah menjadi meluas.

Seorang tokoh bernama asy-Syadafi, dia pernah beritahu asy-Syafi'e, bahawa kawannya yang bernama Laits bin Sa'ad ada menyebut, "Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan di atas air janganlah terpedaya dengannya sehingga kamu padankan keadaannya itu dengan al-Quran dan as-Sunnah."

Kata Imam asy-Syafi'e, "Tidak itu sahaja, semoga Allah merahmati beliau, bahkan jika kamu melihat seorang lelaki berjalan di atas bara api atau melayang di udara, maka janganlah kamu terpedaya dengannya sehingga kamu padankan keadaannya itu dengan al-Quran dan as-Sunnah."

Itulah pandangan para ulama rahimahullah berkenaan dengan masalah keramat seseorang tokoh. Dalam perkara ini, "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." [an-Nahl: 43].

Para ulama tidak mengingkari akan adanya keramat atau karomah para wali. Ia memang ada dan akan tetap ada pada sepanjang zaman, hanya seseorang yang memiliki kelebihan itu tidak suka pamer, tidak suka pukul canang atau buat iklan mengatakan kehebatannya. Keramat itu hanya diberikan kepada orang yang berjalan di atas shiratal mustaqiim dan di atas sunnah. Dan keramat itu hanya muncul pada diri seorang wali yang arif, alim tentang agama dan diperlukan kaum muslimin sebagaimana keramat yang pernah diriwayatkan daripada para salafus salih.

Ada yang mati-mati percaya daulat sultan yang kononnya menjadi ketua bagi para wali seluruh  Tanah Melayu. Kata mereka, Sultan Abdul Samad dilantik dan direstui oleh Wali Sunan sebagai ketua para wali. Kalau dah ketua Wali itu, faham-faham jerlah. Titah baginda jangan sesekali disanggah.







1. Harimau Keramat Bukit Jugra

Kisah misteri Bukit Jugra ini tak habis-habis diperkatakan orang sejak dahulu kala lagi. Ada yang taksub dan mempercayai Bukit Jugra ini berpenunggu, harimau belaan Puteri Gunung Ledang. 

Umumnya, harimau keramat dianggap harimau baik yang kewujudannya bertujuan menjaga keselamatan kampung atau daerah tertentu. ada kepercayaan bahawa harimau keramat wujud di sebuah kampung di Sepang untuk menjaga sebuah makam yang dianggap keramat. Di Bukit Jugra juga dikatakan wujud sebuah makam yang didakwa dijaga oleh harimau keramat.

Mitos tentang harimau keramat penunggu Bukit Jugra telah dibukukan oleh  pengkaji  Inggeris bernama  Walter William Skeat pada tahun 1900 yang mengatakan:

“By far the most celebrated of these ghost tigers, however, were the guardians of the shrine at the foot of Jugra Hill, which were formerly the pets of the Princess of Malacca (Tuan Putri Gunong Ledang). Local reports says that this princess left her country when it was taken by the Portuguese, and established herself on Jugra Hill, a solitary hill on the southern portion of the Selangor coast, which is marked on old charts as the “False Parcelar” hill…”

‘(In Jugra Hill) the lady remained for some time, and during her stay constructed a bathing-place for herself. Even to this day she pays periodical visits to Jugra Hill, and although she herself in invisible to mortal eye, her faithful attendant, in the shape of a handsome tiger (rimau kramat), is often to be met with as he prowls about the place at night…’

Bukit Jugra should be associated with one another in traditionary lore. The story runs that this estimable lady, having disposed of her husband by pricking him to death with needles, decided thenceforth to live free from the restrictions of married life.

She was thus able to visit distant lands, taking with her a cat of fabulous dimensions as her sole attendant. This cat appears to have been a most amiable and accommodating creature, for on arriving at Jugra he carried the Princess on his back to the top of the hill.

There are many stories about ghost tigers (rimau kramat), which are generally supposed to have one foot a little smaller than the others (kaki tengkis), which the unnatural smallness of one of the feet was very conspicuous. Such tigers are considered invulnerable, but harmless to man, and are looked upon generally as the guardian spirits of some sacred spot. .

“They (the Sumatran Malays) seem to think, indeed, that tigers in general are actuated with the spirits of departed men, and no consideration will prevail on a countryman to catch or to wound one, but in self-defence, or immediately after the act of destroying a friend or relation. They speak of them with a degree of awe, and hesitate to call them by their common name (rimau or machang), terming them respectfully satwa (the wild animals), or even nenek (ancestors), as really believing them such, or by way of soothing or coaxing them, as our ignorant country folk call the fairies ‘the good people.’” [Dato’ hutan, “elder of the jungle,” is the common title of the tiger in Selangor. Various nicknames, however, are given, e.g. Si Pudong, “he of the hairy face” (Cliff., In Court and Kampong, p. 201), ’Pah Randau, “father shaggy-face,” etc. 

2. Misteri Keramat Makam Rubiah di Jugra

Makam keramat yang disebut-sebut orang yang ada bertebaran di mana-mana itu pun tidaklah dikenali kekeramatannya kecuali setelah diceritakan orang sejak dahulu kala. Ia cerita nenek moyang. Mengikut cerita dari orang orang tua di beberapa tempat di Jugra, Keramat Rubiah mendapat namanya dari kejadian pengkebumian seorang gadis sunti berdarah Bugis berasal dari Sulawesi Selatan akibat sakit perut.  Beliau dikatakan melarikan dirinya ke Jugra kerana tidak mahu dikahwinkan dengan anak raja dari Pasai di Tanah Seberang.(Indonesia). 

Makamnya terletak di kaki bukit Jugra.(Sekiranya anda dari pekan Kg. Permatang Pasir, sebelum sampai ke persimpangan jalan ke Makam Al Marhum Sultan Abdul Samad.) Sewaktu hidupnya beliau kuat beramal ibadat. Di setiap perbuatan atau pekerjaannya beliau akan memulakannya dengan Bismillah serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Hati dan bibirnya tidak lengkang dari Zikirullah. 

Dipercayai Makam beliau telah wujud sebelum pemerintahan Al Marhum Sultan Abdul Samad lagi, iaitu pada kurun ke-16. Pada masa lalu Makam ini juga menjadi tumpuan ramai pengunjung dari dalam dan luar Jugra. Disebabkan ramai yang datang seolah-olah berlangsungnya satu keramaian atau pesta. Kuburannya dianggap oleh mereka sebagai tempat terbaik bernazar, membayar niat, dan berdoa.

 3.  Keramat dan Perkuburan di Batu Hampar

Mr. G. C. Bellamy dalam Selangor Journal, vol. ii. No. 6, p. 90,  juga mengatakan terdapat sebuah keramat seorang  yang alim di Batu Hampar, Jugra.

Dalam kisah Tun Seri Lanang, bahawa Hang Tuah pernah datang ke Jugra untuk menyabung ayam di Bukit Jugra sehinggakan ada tapak kaki Hang Tuah di Batu Hampar, Jugra ini. Diceritakan kononnya Hang Tuah menghabiskan masa selama dua hari dua malam di Jugra selepas kapalnya yang berlabuh di pelabuhan tiba-tiba karam. Sama ada benar atau tidak petikan daripada tulisan itu, kisah persinggahan Hang Tuah menjadi sebahagian daripada kisah yang bermain di bibir penduduk tempatan apabila menceritakan tentang sejarah Jugra. Salah satu daripada 'bukti' yang digunakan untuk mengaitkan kisah itu adalah kewujudan kesan tapak kaki pada batu besar berhampiran jeti Batu Hampar yang terletak tidak jauh dari kaki Bukit Jugra.


Di sana ada lagi kawasan perkuburan lama. Kubur pahlawan Aceh, tak jauh, arah ke muara port orang memancing, berhampiran tokong Cina. Di tepi bahagian bawah tokong kecil itulah laluan masuk ke kubur pahlawan tu. Tidak jauh dari situ juga, di kawasan yang dijadikan Padang Sasar untuk menembak oleh Kementerian Pertahanan dikatakan sebagai perkuburan lama Orang Asli Mahmeri. Sehingga kini mereka masih melakukan upacara keagamaan di situ.  

4. Makam Diraja (Marhum Abdul Samad)

Dikatakan juga, tempat yang 'keras' di sekitar Bukit Jugra adalah di sekitar lokasi perkuburan lama Sultan dan waris kerabat Selangor, Setelah lama Jugra kesepian, tiada khabar berita, tiba-tiba masuk surat khabar, berita yang pelik,misteri dan mistik. Atok ada terbaca kisah ini, terjadi pada tahun 1960. Berita tentang batuan berwajah almarhum Sultan Abdul Samad di lereng bukit Jugra berhampiran tokong Cina, tak jauh dari istana lama itu.  Kemudian kisah penjaga makam diraja yang tiba-tiba lumpuh setelah ditolak jatuh oleh makhluk halus daripada bukit tersebut. 





5. Jirat Cina

Kelompok manusia yang kufur kepada Allah SWT, siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan. Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Surah al-Ghafir, ayat 46)

Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung berwarna hitam, berulang-alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam. Lalu disebutkan keadaan orang kafir di dalam kubur.

 “Kuburnya disempitkan sehingga hancur tulang-tulangnya. Itulah “Kehidupan sempit” yang dimaksud dalam firman Allah:

فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنۡهَا مَنۡ لَّا يُؤۡمِنُ بِهَا وَاتَّبَعَ هَوٰٮهُ فَتَرۡدٰى

“Baginya penghidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (QS. Thaha: 16).



 



6. Kem Pasukan Khas TUDM ( Skuadron Sayap Tempur TUDM)

Atok pernah mendaki Bukit Jugra ini ketika berumur 18 tahun, dengan menyusuri jalan rayanya sehingga ke pintu tapak radar TUDM itu. Dengar cerita, pada tahun 1971, TUDM menempatkan radar Marconi S600 di situ. Kem TUDM jugra Skuadron 201 juga menempatkan pasukan HANDAU untuk memastikan keselamatan kem dan aset mereka di puncak Bukit Jugra itu. Kini radar itu telah dipindahkan. Yang tinggal hanyalah pintu masuk berpagar sebagai saksi kewujudannya satu masa dahulu. 

Pengalaman kedua aku pula ketika aku mengajar di SMK Jugra  (1997-2003) sekembalinya aku bertugas di Miri Sarawak. Alhamdulillah. Sebagai seorang guru penasihat Kadet  Tentera Udara, aku bergaul mesra dengan beberapa orang kakitangan TUDM di situ. Antara aktiviti yang pernah kami lakukan bersama pihak tentera ialah pendakian ke atas puncak Bukit Jugra pada tahun 1999. Atok dan dan anak-anak murid kadet  mula mendaki mengikut laluan paip air bersebelahan Masjid Permatang Pasir. Pendakian itu tidaklah begitu memenatkan kerana ada anak-anak tangga konkrit dan denai yang selamat. Kami dibenarkan memasuki tapak radar tentera di puncak bukit, dengan kebenaran pihak tentera. Masa itu radar sudah dismantled dan hanya beberapa peralatannya masih terdapat di situ. Kali ini Atok lebih terpegun. Dari tapak itu, dapat Atok lihat 360 darjah sekeliling puncak itu.  Begitu indah pemandangannya.



7. Istana Sedang Masa (Istana Bukit Jugra)

Menurut buku Sentosa Ketakhtaan, istana berusia lebih 150 tahun yang dibina di atas sebidang tanah di pinggir Bukit Jugra itu dikenali sebagai Istana Sedang Masa semasa pemerintahan Sultan Abdul Samad antara 1857 hingga 1898. Selain menjadi tempat bersemayam sultan, istana tersebut pernah menggemparkan penduduk negara melalui penemuan sebuah peti misteri yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan harta-harta berharga kepunyaan Sultan Abdul Samad. Sewaktu Peti besi milik Al Marhum ini telah dikembalikan ke Istana lama tersebut pada waktu itu ramailah penduduk tempatan dan pengunjung luar tidak mengira bangsa dan agama yang datang melihat sendiri akan Peti besi tersebut. Mungkin selama ini ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan Peti tersebut. 

Hanya apa bila liputan meluas dipaparkan didalam akbar barulah orang ramai mengetahuinya. Sewaktu orang ramai berduyun duyun datang untuk melihat sendiri Peti tersebut. Terdapat juga segelintir kumpulan,dan individu tertentu yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan, yakni perbuatan Syirik, khurafat dan bidaah. Namun demikian, ada pihak yang menceroboh ke dalam Istana dan melakukan upacara pemujaan seperti mendapatkan nombor ekor dan lain-lain tujuan menggunakan khidmat bomoh. Kumpulan atau individu ini adalah KAKI NOMBOR EKOR atau 4D. Biasanya kegiatan ini akan dijalankan pada malam hari. Selain itu ada juga kumpulan atau individu yang datang bagi tujuan BERNAZAR di atas satu satu hajat atau permintaan atau penyakit. Nauzubillahhiminzolik. 





KESIMPULAN

Syukurlah generasi moden Jugra kini sudah tidak perlukan khidmat nasihat jin lagi. Mereka sudah hantar anak-anak cucu mereka ke sekolah dan sekolah agama, mencari keredhaan Allah,  bukan kemurkaanNya. 

Menziarahi kubur adalah amalan mulia yang patut dikekalkan dari generasi ke generasi. Antara kelebihan amalan menziarahi  kubur ialah :-

1. Dikasihi Allah SWT atas sebab mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. 

2. Untuk mengingati kita tentang asal usul kejadian kita.

3. Menginsafi diri tentang kematian, alam kubur dan hari Qiamat.

4. Mengambil iktibar tentang apa yang telah berlaku, dapat melembutkan kekerasan hati dan dapat mendidik jiwa.

5. Berlaku ihsan kepada orang yang telah meninggalkan kita.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perbanyakkanlah mengingati pemutus kenikmatan dunia (mati)." (Hadith Hasan Riwayat al-Tirmizi

Jika tujuannya hanya untuk mengambil iktibar dan untuk mengingati kematian di samping dia dapat menjaga adab-adabnya, maka hukumnya adalah harus dan jika tujuan sebaliknya dan tidak dapat menjaga adab-adabnya, hukumnya boleh menjadi haram. Mohon Jabatan Agama Islam memantau aktiviti2 syirik dan khurafat seperti ini. 

Seandainya kita melihat sesuatu di tanah perkuburan,  ia merupakan roh dan bukannya hantu. Apa yang ada di kubur bukanlah syaitan, tetapi roh. Segelintir ulama menyatakan bahawa  roh orang Islam yang jahat kelakuannya  tidak naik hingga ke langit. Contohnya, roh orang bunuh diri, dosanya sangat besar dan roh orang yang tidak pernah menunaikan solat, tidak suka agama dan seumpamanya. Jika kita lalu di kawasan berkenaan, nampak (kelibat) atau dengar suara orang menangis, jangan lari. Itu adalah roh, biarkan dia menangis.

Atok hendak berpesan dekat korang semua. Bukit Jugra ini memang cantik, memang unik. Kalau korang nak daki ke, jogging ke, paragliding ke, atau sekadar menikmati pemandangan terindahnya dari atas bukit, lakukanlah kesemua itu pada sebelah siang sahaja. kerana pada sebelah malamnya pula, kawasan itu bukan lagi 'milik' kita. Andai kata, kita berada di luar rumah ketika waktu Maghrib,  penampakan itu adalah kerja syaitan kerana itu waktu mereka berkeliaran. Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita membawa anak-anak masuk ke rumah sebelum Maghrib kerana syaitan berkeliaran pada waktu berkenaan. Jangan jadikan malam anda diselubungi  misteri. Wallahu alam.

                

                             


Rujukan:



3 ulasan:

  1. Assalammualaikum di mana saya boleh berhubung dengan Encik untuk bertanya secara lebih terperinci berkaitan Bukit Jugra?
    Disini saya tinggalkan email untuk Encik atau Encik boleh tinggalkan contact untuk saya hubungi
    nurinfirzanah89@gmail.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. waalaikum salam....contact saya di syedalsagaff@gmail.com

      Padam
  2. Alhamdulillah terbaik isikandungan blog ini. Saya antara yg telah berkahwin & berkongsi hidup dengan waris peribumi jugra - kg bandar. Lama juga cuba mencari cerita² dan kisah lama berkaitan Jugra, Permatang Pasir & Kg Bandar. Syukur diketemukan blog ini sebagai sedikit rujukan tentang waris² serta asal usul. Terima kasih & semoga tuan blog teruskan dengan entry² yg menarik.

    BalasPadam

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...