Khamis, 12 Jun 2025

10 Peristiwa Menarik di Bagan Datuk Suatu Masa Dahulu

Salam buat semua. Apa khabar semua? Minggu ini sahaja, berturut-turut Atok kirimkan entri demi entri tentang Bagan Datuk. Pasalnya, Bagan Datuk yang selama ini disangkakan sunyi sepi dan hening, kolot dan tertinggal, rupa-rupanya menyimpan rahsia yang menyerlahkan kehebatannya setelah Atok dan ramai lagi netizen menulis tentangnya. Betullah, bak kata pepatah, Tak Kenal maka Tak Cinta. Baru sedikit Atok selongkar internet dan arkib-arkib, beribu-ribu cerita kehebatannya Atok jumpa. Memang Bagan Datuk umpama seorang datuk yang sudah dimakan usia, tidak banyak kudratnya lagi, tetapi kehebatan masa mudanya membuatkan ramai yang iri, tidak percaya, malah meragui ceritanya. Terpulanglah kepada mereka, hendak percaya atau sebaliknya. Fakta tetap fakta. Kesemua ini bukan cerita lisan semata, bahkan direkodkan dalam catatan akhbar. Dalam entri kali ini, Atok sudah sediakan 10 perkara atau peristiwa besar yang pernah berlaku di sini. Tak ramai yang tahu atau peduli. Tetapi bagi kami, yang menjadi sebahagian daripada warga Bagan Datuk, tetap berbangga. Kalau korang ada, kami pun ada. Barulah sekarang kita sama level; duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, walaupun ceritanya cerita lama, pelakunya juga ada yang telah pergi buat selama-lamanya. Atok sertakan sekali sumber beritanya untuk semakan korang. Kepada pemilik gambar dan bahan yang Atok gunakan dalam penulisan ini, berbanyak-banyak terima kasih tidak terhingga. Maafkan Atok kerana tidak mampu menyebut nama-nama kalian satu persatu sebagai penghargaan. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Jom....


Pengenalan

Bagan Datuk (ejaan lama: Bagan Datoh) ialah sebuah daerah di negeri Perak Darul Ridzuan. Daerah

ini terletak di selatan negeri Perak bersempadan dengan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak di utara, daerah Muallim di timur, negeri Selangor di selatan dan Selat Melaka di barat.


Selain itu, masyarakat di Bagan Datuk ini meliputi beberapa pecahan etnik seperti Jawa, Banjar dan Kampar yang terdapat di Bagan Datuk mempunyai cara hidup adat serta bahasa dialek mereka tersendiri.Melayu merupakan penduduk majoriti mewakili 52%, diikuti Cina 21%, India 18% dan lain-lain kaum 9%. Daerah ini juga merupakan daerah dengan peratus populasi kaum india terbanyak di Malaysia.


Daerah ini asalnya sebahagian daripada daerah Hilir Perak yang berpusat di Teluk Intan. Pada Januari 2016, daerah kecil Bagan Datuk diwujudkan. Daerah kecil ini kemudiannya diwartakan oleh kerajaan negeri Perak sebagai sebuah daerah penuh pada 15 Julai tahun yang sama. Pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada 22 November, telah diputuskan daerah ini dieja sebagai Bagan Datuk, bermula pada hari pengisytiharan daerah ini pada 9 Januari 2017.


Ia mempunyai 5 buah mukim iaitu Mukim Bagan Datoh, Mukim Rungkup, Mukim Sungai Sumun, Mukim Hutan Melintang dan Mukim Teluk Bharu serta mempunyai sebuah kawasan parlimen yang dikenali sebagai Parlimen Bagan Datoh dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Rungkup dan Hutan Melintang. 


Bagan Datuk mempunyai banyak tawaran. Kerajaan persekutuan dan negeri optimis mengenai perubahan yang akengan pengeluaran kelapanya (antara yang terbesar di Malaysia). Antara kawasan yang akan diberi tumpuan oleh kerajaan negeri ialah Pulau Sembilan, yang popular dengan pemandangan malam air mata biru (plankton), dan Beting Beras Basah, sebuah beting pasir yang terletak di muara Sungai Perak.


Bentuk muka bumi adalah rata. Tumbuhan semula jadinya terdiri daripada pokok bakau hidup di kawasan tanah yang berlumpur di tebing-tebing sungai dan pantainya. Bagan Datoh boleh dihubungi dengan satu-satunya jalan darat iaitu Laluan Persekutuan 69 (Hutan Melintang – Bagan Datoh) dan laluan air melalui Pelabuhan Hutan Melintang dan Jeti Bagan Datoh. 


Bagan Datoh memiliki kekuatan daripada aspek sumberdaya pertanian dan alam semula jadi, Pertanian dan perikanan merupakan aktiviti ekonomi masyarakat kampung sama ada pertanian, penternakan, akuakultur, perkampungan nelayan dan juga industri kecil dan sederhana. Majoriti penduduk menjadikan kelapa dan koko sebagai punca pendapatan selain daripada menangkap ikan di laut. kawasan  Bagan Datoh pernah dikenali sebagai pengeluar terbesar kelapa negara. Rumah-rumah tradisional dan kegiatan ekonomi penduduk yang berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan. 




Pekan Bagan Datoh sememangnya sunyi kerana ia di penghujung. Kedudukannya di tebing Sungai Perak yang terbentang luas. Dahulu, dalam tahun 60an dan 70an, ada  juga perkhidmatan bot tambang dari jeti Bagan Datoh ke Pangkor dan  Sitiawan. Tetapi sejak dibina jalan raya ke Sitiawan dan utara melalui jalan utama Bagan Datoh-Hutan Melintang-Teluk Intan, perkhidmatan bot menjadi malap. Jetinya kini hanya sebagai tempat memancing atau tempat libur anak kota yang pulang ke desa. Cuma Bagan Datoh akan menjadi cukup meriah setiap kali pertabalan Sultan Perak. Ini kerana rombongan baginda pasti akan menggunakan jeti Bagan Datoh untuk ke Beting Beras Basah, yang merupakan salah satu acara tradisi pertabalan setiap Sultan Perak.


Berbanding dengan pekan Bagan Datoh, pekan Simpang Empat lebih meriah dan sibuk. Ini kerana kedudukan pekan tersebut yang menjadi laluan utama bagi mereka yang hendak ke utara dan sebaliknya, dengan menggunakan jalan pantai (coastal roads).  Kerana itulah di Hutan Melintang ini terdapat banyak bank, restoran makanan segera, kedai-kedai IT  dan supermarket selain kedai-kedai pakaian.


1.  Sejarah Awal Bagan Datuk

Kata "Bagan" bermaksud pengkalan atau jeti, merujuk kepada fungsi utama kawasan ini sebagai pusat pengangkutan dan perdagangan di tebing Sungai Perak. Penamaan ini merujuk kepada penempatan orang Melayu yang dibina atas air di tebing Sungai Perak, yang dikenali sebagai “bagan”. Nama "Datuk" pula dikaitkan dengan gelaran hormat yang diberikan kepada tokoh penting, iaitu Haji Mat bin Yusof yang dikenali sebagai Tok Kelah. Tok Kelah, berumur 79 tahun ketika itu, merupakan seorang peneroka awal dan salah seorang yang membuka mukim Bagan Datuk pada tahun 1896. 


Tok Kelah berasal dari keturunan Banjar Kaluak dari Batu Bara, Sumatera. Beliau pernah bertugas sebagai Pawang Diraja dan datang dari Sumatera selepas tamatnya perang Banjar pertama. Setelah perang tersebut berakhir, beliau dan pengikut-pengikutnya melarikan diri menyeberangi Selat Melaka dan menetap di kawasan pesisir Sungai Perak. Kesan penghijrahan ini menyumbang kepada pembentukan masyarakat Banjar yang bermastautin di luar Kalimantan Selatan, termasuk di kawasan Bagan Datuk.


Penghijrahan masyarakat Banjar yang diterima baik oleh Tok Kelah menyebabkan Bagan Datuk menjadi pusat komuniti Banjar terbesar di negeri Perak. Masyarakat ini, bersama etnik-etnik lain seperti Jawa, Mendahiling, Rawa, Kampar, dan Minang, membentuk komuniti yang menetap di sekitar kawasan pesisir dan sungai. Mereka terlibat dalam aktiviti penanaman padi di kawasan muara Sungai Perak dan sekitarnya, termasuk di Teluk Anson, Sungai Bahru, dan Kota Setia. Aktiviti menanam padi oleh orang Jawa di sekitar Bagan Datuk bermula sejak tahun 1891 dan 1892, manakala masyarakat Banjar turut memperkenalkan kegiatan ini selepas penghijrahan mereka.


Kehidupan di kawasan ini terus berkembang berasaskan aktiviti pertanian dan perikanan, membentuk komuniti yang kukuh dan bersejarah hingga ke hari ini. Sejarah ini menunjukkan bagaimana Bagan Datuk berkembang dari sebuah kawasan pengkalan sederhana menjadi pusat komuniti pelbagai etnik yang kaya dengan tradisi dan budaya, serta menjadi saksi kepada penghijrahan dan perkembangan masyarakat di Negeri Perak.


Pekan Bagan Datuk secara rasmi dibuka pada tahun 1896, ketika kawasan ini dikenali dengan nama Sungai Keling dan juga dipanggil Pekan Baru oleh Tok Kelah, seorang peneroka awal yang memainkan peranan penting dalam pembukaan kawasan ini.


Bagan Datoh belum wujud lagi dalam peta tahun 1891


Kemakmuran Bagan Datuk melalui limpahan rezeki daripada tanaman kelapa


Replika kapal Sultan Muzafar Syah yang terkandas di Beting Beras Basah dalam tahun 1528


2. Misteri Beting Beras Basah

Beting pasir ini mempunyai kepentingan sejarah dan budaya kepada penduduk tempatan. Berdasarkan catatan Fawzi Basri dalam *Cempaka Sari*, kisah ini berakar dari cerita lisan yang disampaikan oleh Sultan Idris II, Sultan Perak ke-33, sekitar tahun 1960-an. 


Menurut cerita tersebut, kawasan Beting Beras Basah dikaitkan dengan peristiwa tahun 1528, ketika kapal yang membawa Sultan Mudzaffar Shah tersangkut di situ ketika memasuki Kuala Sungai Perak. Menurut legenda, perahu yang membawa Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah, dan rombongannya terkandas di beting pasir dan tidak boleh bergerak. Hanya selepas baginda mencampakkan mahkotanya ke dalam sungai barulah orang-orangnya berjaya membebaskan perahu tersebut. Sejak itu, pada pertabalan seorang sultan, lawatan ke Beting Beras Basah adalah satu kemestian. Mengikut tradisi, sultan baharu mesti mencelupkan kakinya ke dalam air sungai sebagai isyarat simbolik untuk merasmikan pertabalan.


Sultan Mudzaffar Shah adalah putera Sultan Mahmud Shah dari Melaka, yang belayar ke Perak untuk dilantik sebagai Sultan yang baru. Ketika kapal tersangkut, baginda berseru dengan pantun yang penuh simbol. Setelah kapal dapat digerakkan, Sultan Mudzaffar disambut penduduk tempatan dan mengiringi perjalanan ke kawasan yang kemudian dinamakan Tanah Abang, tempat baginda menaiki takhta.


Nama Beting Beras Basah sendiri masih menjadi tanda tanya sama ada sudah ada sebelum peristiwa itu atau berasal dari aktiviti masyarakat mencari kepah di situ. "Beting" merujuk kepada timbunan pasir di laut, yang mungkin sudah lama ada secara semula jadi, sedangkan "Beras Basah" mungkin berkaitan dengan kegiatan mencari makanan laut seperti kepah.


Selain aspek sejarah dan adat, kawasan ini juga mempunyai unsur mistik dan kepercayaan masyarakat. Mantera "Raja di Beting Beras Basah" karya Raja Haji Yahya mengandung makna simbolik yang mendalam, melambangkan kekuasaan dan hubungan spiritual. Terdapat juga kesan pemujaan dan amalan khurafat di kawasan ini yang menimbulkan persoalan tentang batas kepercayaan dan ajaran agama.


Dalam konteks kini, kawasan ini telah dipelihara dan menjadi tarikan budaya serta ekopelancongan. Pembinaan jambatan dan usaha pelestarian penting dilakukan supaya keaslian dan nilai sejarah tetap terjaga, sambil memberi peluang masyarakat dan pelancong menghayati warisan ini. 


Secara ringkas, Beting Beras Basah bukan sahaja tempat bersejarah yang menghubungkan asal usul Kesultanan Perak dengan cerita rakyat dan adat istiadat, tetapi juga simbol identiti budaya yang dipelihara dan dihormati sebagai warisan bangsa.


Pintu masuk ke kawasan Beting Beras Basah

Laluan ke jeti Beting Beras Basah dari udara. Seluruh kawasan ini dikatakan merupakan petempatan bangsa jin.


Keadaan landskap Beting Beras Basah yang cetek, berpasir dan beralun 


Sultan Perak diusung melalui kawasan beting tersebut sebelum upacara seterusnya dilakukan oleh Pawang Diraja Perak. Perhatikan pemakaian pakaian berwarna kuning oleh kedua-dua pasangan diraja


Pertabalan seseorang Sultan Perak melalui proses 'mencecah kaki' di Beting Beras Basah ini



3. Sistem Pengairan dan Peparitan yang Unik

Sejarah pengairan dan saliran di kawasan Delta Bagan Datuk bermula dari ciri geologi semulajadinya yang terbentuk selama berabad-abad melalui pemendapan sedimen oleh Sungai Perak dan anak-anak sungainya yang mengalir ke Selat Melaka. Pada awalnya, sistem saliran di kawasan ini berfungsi secara semula jadi, dipengaruhi oleh faktor pasang surut, hujan, dan aliran sungai, sekaligus membentuk ekosistem pesisir yang kaya dengan hutan bakau dan paya. Dalam keadaan asalnya, delta ini adalah rangkaian sungai yang kompleks, berliku-liku, dengan 15 anak sungai pasang surut dan kawasan paya, serta adanya hutan bakau di sepanjang pantai.


Penduduk awal yang tinggal di kawasan ini terdiri daripada komuniti nelayan dan petani kecil yang menjalankan aktiviti menangkap ikan dan pertanian sara diri. Mereka menyesuaikan kehidupan mereka dengan aliran air semula jadi tanpa memerlukan pengurusan kejuruteraan yang kompleks. Mereka memulakan kegiatan penanaman kelapa di kawasan tersebut, menggunakan tanah kecil yang memberi manfaat harian dan sumber pendapatan melalui perdagangan kopra. 


Pada tahun 1888, terusan dibina antara Sungai Buluh dan Sungai Jendarata untuk meningkatkan pengangkutan dan pengairan, memudahkan pergerakan barangan dan penduduk di sekitar Sungai Bernam serta membantu mengawal banjir dan meningkatkan kesuburan tanah. Semasa residensi Sir Frank Swettenham (1889-1895), jalan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Teluk Intan dibangunkan, memudahkan pergerakan peladang dan mempererat hubungan ekonomi. Pada akhir 1880-an, kerja-kerja mendalam dan pelebaran saluran Jendarata dimulakan untuk menghubungkan Sungai Perak dan Sungai Bernam secara langsung, mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan laut yang berisiko. Terdapat juga cadangan untuk melanjutkan dan memperdalam saluran Sungai Buloh bagi meningkatkan efisiensi sistem pengangkutan dan pengairan.


Terusan Jendarata fasa 1 (garis lurus berwarna biru) dalam peta tahun 1934 di bawah, terletak di antara Hutan Melintang di tebing utara Sungai Bernam hingga ke Kg. Teluk Buluh di tebing selatan Sungai Perak mula dibina dalam tahun 1888, manakala fasa 2nya dilanjutkan dari Kg. Teluk Kerdau di tebing utara Sungai Bernam bersambung ke terusan 1 di Sungai Jendarata. Projek fasa 2 ini siap dalam tahun 1909 bersama laluan jalan raya baharu Jendarata- Hutan Melintang-Bagan Datuk yang selari dengannya


Di kawasan sekitar, perubahan besar turut berlaku. Contohnya, Hutan Melintang Forest Reserve, didapati penuh batang pokok kecil berumur sekitar sembilan inci diameter. Tanah di sekitar saluran yang dahulunya tanah berpaya dan hutan belantara kini aktif diusahakan, menunjukkan pertumbuhan pesat aktiviti pertanian. Pada tahun 1896, laporan menunjukkan tanah di kawasan Jendarata mudah diairi dan berpotensi untuk pembangunan pertanian setanding kawasan Krian.


Sekitar tahun 1896, kawasan utama di Perak mula berkembang, dengan pemberian tanah kepada ketua etnik dan migrasi pendatang, menunjukkan perkembangan aktiviti pertanian seperti penanaman padi dan kelapa. Di Bagan Datoh dan Rungkup, aktiviti penanaman kelapa dan perdagangan kopra semakin pesat, disokong oleh kerajaan melalui pembinaan jalan raya dan pembangunan tanah untuk pertanian kelapa.


Dalam dekad awal abad ke- 20, usaha pembangunan pertanian secara besar-besaran bermula dengan penanaman tanaman tunai seperti getah dan kelapa. Kerajaan British turut menggalakkan penanaman kelapa secara meluas untuk meningkatkan ekonomi dan memperkukuh pengaruh mereka, dengan menawarkan tanah murah dan pendidikan tentang pengeluaran kopra. Aktiviti ini memerlukan kerja-kerja saliran untuk mengelakkan banjir dan memastikan tanah sesuai untuk tanaman. Oleh itu, pihak British dan syarikat perladangan mula membina rangkaian terusan dan parit untuk membuang air berlebihan dari tanah, menandai permulaan saliran kejuruteraan di kawasan tersebut. 


Tumpuan utama sering diberikan kepada saliran tanah untuk estet besar milik orang Eropah, manakala keperluan pekebun kecil atau komuniti tradisional mungkin kurang diberi perhatian. Saliran yang baik sangat penting untuk memastikan tanah dapat digunakan secara menyeluruh dan cukup kukuh untuk menampung jentera berat seperti bajak, disk, harrow, serta alat penanaman dan penuaian moden. Tanah liat di bawah permukaan yang mampu menahan air (retentive sub-soil of clay) dianggap sangat diingini kerana membantu mengekalkan kelembapan tanah.


Kerajaan Negeri bertanggung jawab menyediakan saluran utama (main canals) yang mengalir terus ke laut atau sungai besar, seperti di Bagan Datoh. Sementara itu, saluran sekunder (subsidiary canals) biasanya dibina dan dikendalikan oleh pengusaha atau petani. Paras air dalam saluran ini perlu dikawal menggunakan pintu air (sluice gates) untuk memastikan kelembapan tanah di lapisan bawah kekal, serta untuk mengairi tanah ketika musim kemarau dengan mengepam air ke kawasan pertanian. Ladang-ladang biasanya dibina berbentuk blok segi empat tepat, dan yang lebih panjang dianggap lebih baik kerana dapat mengurangkan keperluan pusingan jentera berat, sekali gus menjimatkan kos operasi. 


Pada tahun 1931, satu projek penting dilaksanakan di Kawasan Simpanan Rungkup sebagai sebahagian daripada "Skim Tebus Guna Delta". Projek ini melibatkan pembinaan dan lanjutan sebuah benteng (bund) yang berfungsi mengawal paras air dan mengurus kawasan delta yang berpotensi terdedah kepada banjir pasang surut dan tanah berpaya.


Tujuan utama skim ini adalah menukar kawasan delta yang biasanya tidak sesuai untuk aktiviti manusia—seperti tanah berpaya dan kawasan berisiko banjir—menjadi tanah yang lebih stabil dan sesuai untuk pertanian, perhutanan, dan aktiviti ekonomi lain. Pembinaan benteng ini adalah struktur kawalan air yang penting untuk mencegah banjir dan menstabilkan tanah yang telah diubahsuai.


Lokasi projek di Kawasan Simpanan Rungkup menunjukkan tanah tersebut diuruskan oleh Jabatan Perhutanan, yang biasanya bertanggungjawab terhadap pengurusan sumber hutan dan tanah. Ini menunjukkan bahawa projek ini mungkin bertujuan memperluas penggunaan tanah untuk aktiviti pertanian dan sumber semula jadi secara lestari.


Selain itu, keprihatinan terhadap ancaman alam sekitar seperti hakisan pantai dan banjir pasang surut mendorong pembinaan benteng pantai sebagai langkah perlindungan fizikal untuk melindungi kawasan dan infrastruktur di pesisir.


Jabatan Tali Air di Perak pula merancang dan melaksanakan usaha besar untuk mengembalikan kawasan tanah seluas 14,000 ekar yang kini tenggelam oleh air laut di tepi pantai Hilir Perak. Matlamat utama adalah membuka kembali tanah tersebut untuk aktiviti pertanian dan pembangunan ekonomi. Projek ini dibahagikan kepada dua kawasan utama: satu kawasan meliputi 10,000 ekar tanah paya berhampiran hutan Rungkup, yang terkenal sebagai kawasan pertanian paling subur di negeri Perak.


Terusan Jendarata fasa 1(garis lurus berwarna biru) dibina dalam tahun 1888, manakala fasa 2nya dilanjutkan dari Kg. Teluk Kerdau di tebing utara Sungai Bernam bersambung ke terusan 1 di Hutan Melintang. Projek fasa 2 ini siap dalam tahun 1909 bersama laluan jalan raya baharu Jendarata- Hutan Melintang-Bagan Datuk yang selari dengannya


Terusan Jendarata


Sistem peparitan dalam estet kelapa di Bagan Datuk masa lalu


 Senarai AJK Lembaga Tali Air Delta Bagan Datuk tahun 1948





Sistem Peparitan dan Tali air di Bagan Datuk masih kekal hingga kini



4. Pelabuhan Bagan Datuk

Selain itu, Bagan Datuk memiliki sejarah panjang sebagai pusat ekonomi yang penting sejak zaman penjajahan. Sejarah Jeti Bagan Datoh adalah cerminan perkembangan pekan pesisir ini, bermula sebagai pengkalan ringkas pada zaman awal untuk memfasilitasi perdagangan kecil dan perhubungan melalui sungai dan laut. Pada zaman kolonial British, kepentingannya meningkat secara mendadak apabila ia menjadi pusat utama untuk mengeksport hasil pertanian tempatan, terutamanya kelapa dan produknya, serta berfungsi sebagai titik perhubungan laut yang kritikal dengan bandar-bandar lain seperti Teluk Intan, memandangkan pengangkutan darat masih terhad. 


Perkampungan Bagan Datoh terletak di tebing selatan Sungai Perak, kira-kira empat batu ke timur Tanjong Bri Bri Besar. Kawasan ini mempunyai pelantar konkrit berbentuk T-head yang berfungsi sebagai tempat berlabuh, dengan kedalaman air sekitar 10 kaki di sampingnya. Di sini, padi basah dan hasil tangkapan nelayan dihantar dan diproses untuk dipasarkan. Kawasan ini subur dengan kegiatan pertanian, terutamanya penanaman padi, serta aktiviti nelayan yang mengambil hasil laut. Jeti ini bukan hanya menjadi pusat perdagangan tetapi juga simbol kehidupan tradisional masyarakat setempat yang bergantung pada alam sekitar. 


Selain itu, terdapat satu kawasan pendaratan bahan letupan yang telah ditubuhkan di bahagian utara sungai, berhampiran barat Bagan Datoh, dengan kedalaman sekitar 3½ fathom. Kawasan ini berfungsi sebagai pusat pengangkutan bahan penting untuk aktiviti industri dan pertanian di sekitar kawasan tersebut. Di sekitar 1½ batu ke timur-tenggara kampung pula, terdapat kawasan tengah yang mempunyai kedalaman sekitar 5 kaki, menandakan kawasan berpotensi untuk aktiviti pelayaran dan pendaratan.



UNDANG-UNDANG PERATURAN KASTAM, 1907." Pemberitahuan Warta Kerajaan No. 465, 10 Julai 1908, No. 26, Jilid XXI.**


**Dalam menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 4 "Undang-Undang Peraturan Kastam, 1907," Residen, dengan kelulusan Residen-Jeneral, menetapkan pelabuhan dan tempat import dan eksport, masing-masing, yang disebutkan dalam jadual di bawah:**


Warta kerajaan Perak dalam tahun 1908 tentang Pelabuhan Bagan Datoh


Menurut laporan daripada akhbar Pinang Gazette bertarikh 15 Mei 1912, jeti yang sedia ada di Bagan Datoh dijangka akan digantikan dengan satu jeti baru yang lebih kukuh dan moden tidak lama lagi. Pada masa itu, tawaran harga untuk pembinaan jeti baru sedang dipanggil, menandakan usaha untuk meningkatkan kemudahan pelabuhan dan memperkukuh aktiviti perdagangan di kawasan tersebut.


Pada zaman sebelum Perang Jepun, Pelabuhan Bagan Datoh sangat besar dan terkenal dengan jeti panjang yang menganjur ke arah laut. Pemandangan di pelabuhan ini sangat menawan dan menjadi pusat kegiatan perdagangan yang penting di negeri Perak, menunjukkan betapa pesatnya perkembangan pelabuhan ini pada masa tersebut dan peranannya sebagai pusat pengangkutan utama di kawasan pesisir Sungai Perak.

Kedudukan dan Susun atur kedai dan jeti Bagan Datuk dalam tahun 1931

Keadaan jeti kayu  di Bagan Datuk suatu masa dahulu


Selepas kemerdekaan Tanah Melayu, jeti ini terus memainkan peranan penting dalam pengangkutan penumpang dan barang, menyokong aktiviti perikanan tempatan, dan menyumbang kepada ekonomi pekan, walaupun dengan peningkatan rangkaian jalan raya, peranannya mungkin telah berubah, namun ia kekal sebagai infrastruktur penting yang menyaksikan perubahan sosio-ekonomi dan pembangunan Bagan Datoh sepanjang dekad.


Pada tahun 1961, pelabuhan Bagan Datoh dilengkapi dengan sebuah jeti konkrit berbentuk kepala T, yang mempunyai kedalaman 10 kaki di sisinya. Jeti ini berfungsi sebagai pusat aktiviti pelabuhan dan pengangkutan di kawasan tersebut. Berhampiran jeti, ke arah barat, terdapat sebuah lembangan pasang surut kecil yang kini telah sepenuhnya dipenuhi tumbuhan dan tidak lagi digunakan sebagai kawasan berlabuh. Kawasan ini tidak menyediakan kemudahan tambatan, menyebabkan bekalan bahan makanan segar yang boleh diperoleh di situ adalah terhad.


Selain itu, terdapat satu kawasan jangkar bahan letupan yang telah ditubuhkan di bahagian utara sungai, berhampiran barat Bagan Datoh, dengan kedalaman sekitar 3½ fathom. Kawasan ini berfungsi sebagai tempat penyimpanan dan pengangkutan bahan letupan yang penting untuk aktiviti industri dan pertanian di kawasan tersebut.


Kira-kira 1½ batu ke timur-timur laut daripada kampung, terdapat dasar laut yang mempunyai kedalaman sekitar 5 kaki, menandakan kawasan yang sesuai untuk aktiviti pelayaran dan pendaratan yang berkaitan dengan aktiviti nelayan dan pedagang di sekitar kawasan pesisir Sungai Perak.




Pemandangan jeti Bagan Datuk kini



 Dataran Bagan Datuk  dan bangunan-bangunan sekitarnya ketika masih dalam pembinaan



Mercu tanda-mercu tanda di Bagan Datuk menyambut kehadiran para pengunjung kini


6. Kereta Api Aliran Ringan

Berdasarkan rekod sejarah dan amalan biasa di estet pertanian besar semasa era kolonial British di Tanah Melayu, landasan kereta api ringan digunakan di beberapa estet yang lebih besar di kawasan Bagan Datoh. Landasan kereta api ringan adalah cara pengangkutan yang cekap untuk memindahkan hasil tuaian, bekalan, dan pekerja di estet-estet luas yang mengusahakan tanaman seperti kelapa. Keadaan muka bumi yang rata di Bagan Datoh juga sesuai untuk pembinaan landasan ini. Skala estet-estet seperti Strathmashie, Bagan Datoh, Bagan Pasir, Blenheim, dan Rungkup, serta tempoh masa operasi kemuncak mereka, sangat menunjukkan bahawa infrastruktur seperti landasan kereta api ringan telah dibina untuk meningkatkan kecekapan operasi. 

Bahkan beberapa pemimpin Melayu di Bagan Datoh, Perak, merancang untuk menjalankan projek koperasi bagi membina satu laluan kereta api ringan dari Simpang Tiga ke Rungkup Besar di kawasan pantai. Laluan yang dicadangkan ini akan mempunyai jarak kira-kira 4.75 batu dan dikumpul dengan modal sebanyak $100,000. Inisiatif kereta api ini menunjukkan minat baharu dalam meningkatkan infrastruktur pengangkutan di kawasan tersebut, berpotensi memudahkan lagi hubungan dan memperkasa pembangunan ekonomi komuniti tempatan.




Perhatikan garisan kereta api dalam peta tahun 1945 menunjukkan penggunaan kereta api aliran ringan yang digunakan di estet-estet di Bagan Datuk untuk mengangkut pekerja dan hasil kelapa dan kelapa sawit (kini).


Pemimpin-pemimpin ladang Eropah dalam P.A.M Bagan Datuk memberi banyak sumbangan dalam pembangunan daerah ini ketika Inggeris berkuasa di Perak



Landasan kereta api yang digunakan di Ladang Jenderata bagi mengangkut kelapa sawit suatu masa dahulu

Landasan kereta api yang digunakan di Ladang Jenderata bagi mengangkut kelapa sawit kini


Saiz ladang yang besar memerlukan sistem pengangkutan hasil yang banyak dan cepat untuk terus diproses di kilang





7. Pusat Pembangunan Insaniah

Etnik Banjar dan Jawa di Perak mempunyai hubungan yang erat dengan aspek keagamaan dan pendidikan Islam. Etnik Banjar, yang sangat berpegang kepada ajaran agama Islam, sering merantau dengan membawa ilmu agama dan mendirikan institusi pondok sebagai pusat pendidikan agama di kawasan mereka. Contoh utama adalah penubuhan Maahad Il Ihya As-Sharif di Gunung Semanggol yang mendapat sambutan menggalakkan di daerah Kerian, kerana majoriti masyarakat di situ berketurunan Banjar. Begitu juga, Madrasah Al-Huda Wal Bushra di Pasir Panjang, Sitiawan turut menjadi pusat pendidikan agama yang aktif dan mendapat sambutan hangat.


Selain itu, etnik Jawa menunjukkan pola yang serupa, dan mereka juga mendirikan madrasah seperti Madrasah Al-Ulum As-Syariah di Bagan Datoh, yang menjadi pusat pengajian agama di kawasan mereka. Kehadiran institusi-institusi pondok ini bukan sahaja menjadi tempat pendidikan agama, tetapi juga berperanan sebagai pusat penyebaran ideologi dan gerakan politik Islam seperti Hizbul Muslimin dan PAS. Penubuhan dan perkembangan organisasi-organisasi ini turut mendapat sambutan yang kuat dari masyarakat Banjar dan Jawa, yang menunjukkan bahawa sistem pendidikan agama yang mereka warisi dan bangunkan memberi impak besar dalam pembentukan identiti keagamaan dan politik komuniti mereka.


Sekolah Menengah Agama Irshadiah

Pada tahun 1932, Allahyarham Dato’ Haji Ghazali Arshad, menubuhkan madrasah Irshadiah. Madrasah ini pada asalnya hanyalah sebuah bangsal kecil kenduri perkahwinannya dengan Puan hajah Zabedah Haji Salleh, anak seorang hartawan tempatan. Madrasah itu terletak di Kampong Matang Kunda, Bagan Datoh. Ianya adalah sekolah agama rakyat yang julung-julung terdapat di kawasan Bagan Datoh.


Lantaran sokongan moral dan material yang dihulurkan oleh kekanda Hajah Zabedah iaitu Haji Arshad Haji Salleh terhadap penubuhan madrasah berkenaan telah mengilhamkan Haji Ghazali menamakan “Irshadiah” ke atas institusi tersebut semata-mata mengambil sempena nama abang iparnya yang berjasa itu.


Pada peringkat awal penubuhan, Madrasah Irshadiah Addiniah memperkenalkan pengajian secara halakah dengan menawarkan mata pelajaran fiqih, tasawuf, tajwid, hadis, tafsir di samping bahasa Arab. Ia kian berkembang dan pada tahun 1935 berpindah ke sebidang tanah wakaf di suatu tempat yang dipanggil Hujung Matang (kini dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh) dengan hanya mempunyai 30 orang murid.


Sejarah perkembangan madrasah ini selari dengan rentak kehidupan Haji Ghazali sendiri. Ia pernah ditutup seketika apabila Tanah Melayu dilanda kemaraan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua kerana Allahyarham dan keluarganya terpaksa lari ke Sungai Manik, Teluk Intan.


Namun setelah ia melewati masa silamnya, madrasah itu berubah wajah pada tahun 1960 dengan mendapat bangunan baru yang dibina hasil dari kutipan derma orang ramai serta kerjasama ahli Jawatankuasa yang dilantik daripada golongan para pelajarnya. Sepuluh tahun kemudian, ia berubah lagi dengan menampilkan nama baru iatu Sekolah Menengah Agama Irshadiah Persendirian.


Perubahan ini termasuklah menawarkan dwi-pembelajaran iaitu bahagian arabiah yang diajar pada sesi pagi dan bahagian akademik di sebelah petang. Pendidikan Arabiah diajar sehingga peringkat Sijil Tinggi Agama (Syahadah Thanawi) dan diiktiraf oleh universiti-universiti Timur Tengah khususnya Al-Azhar, Mesir. Manakala pendidikan akademik pula serupa dengan sistem sekolah menengah kerajaan yang menyediakan pendidikan menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas yang diwujud berdasarkan daya usaha Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).


Sekolah ini terus maju sebagai salah sebuah pusat pengajian agama terulung di Negeri Perak. Statistik tahun 1993 menunjukkan sekolah tersebut mempunyai seramai 674 pelajar yang dikendalikan kira-kira 36 orang tenaga pengajar yang mengajar 13 kelas sesi pagi dan petang. Kini, sekolah agama tersebut cukup “diminati” pelajar dari segenap pelusuk negara termasuklah dari Brunei Darussalam.


Gambar kenangan Guru-guru dan para pelajar sekolah ini suatu masa dahulu.


Bangunan lama sekolah ini yang sudah uzur 


Bangunan lama ini masih digunakan sebagai setor sekolah


Bangunan baru yang lebih selesa untuk para pelajar dan guru di sekolah ini



Pemandangan dari pintu masuk utama ke sekolah ini


Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah

Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah telah ditubuhkan pada 21 Oktober 1937 oleh Jawatankuasa Penaja Madrasah selepas idea penubuhannya dikemukakan terlebih dahulu oleh Haji Ali Hussein. Mereka melantik seorang ulamak berketurunan Banjar, Tuan Guru Haji Mohamad Arsyad Mohamad Salleh, sebagai mudir dan pengasas madrasah ini. Terletak di Batu 20, Bagan Datuk, Perak, madrasah ini diberi nama “al-Ulum as-Syar’iyyah” oleh dua tokohnya, iaitu Tuan Guru Haji Mohamad Arsyad dan Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani, yang juga naib mudir pada masa penubuhan. 


Sejak penubuhannya hingga menjelang kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, madrasah ini telah mencipta nama besar kerana peranannya dalam gerakan kebangkitan Islam yang turut menyemarakkan perjuangan kemerdekaan negara. Sepanjang tempoh antara tahun 1951 hingga akhir 1960-an, Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah di Batu 20, Bagan Datuk, telah berkembang menjadi pusat gerakan Islam yang penting di Perak. 


Selain tokoh-tokoh yang telah disebutkan sebelum ini, turut terlibat secara aktif dengan madrasah ini ialah Tuan Guru Haji Ghazali Arshad dari Batu 26 dan Ustaz Haji Ghazali Abdullah, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Kerana madrasah ini turut berfungsi sebagai markas utama gerakan PAS Hilir Perak, banyak tokoh-tokoh utama parti tersebut seperti Ustaz Othman Abdullah, bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS; Haji Hashim Abdullah al-Baghdadi, bekas Setiausaha Agung PAS; dan Datin Sakinah Junid, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, turut bergiat aktif di sini. Selain itu, alumni terkenal madrasah ini termasuklah Datuk Haji Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar, yang keduanya pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS, menunjukkan betapa madrasah ini telah melahirkan banyak pemimpin yang berpengaruh dalam gerakan Islam dan politik di negeri Perak.



Pemandangan dari Pintu masuk ke sekolah ini


Kawasan persekitarannya yang luas menempatkan blok kelas, blok pentadbiran, rumah pengetua serta blok asrama pelajar



Antara tenaga pengajar dan kakitangan  madrasah tersebut

Blok terbaharu madarasah ini.

Kesimpulannya, sistem pendidikan melalui pondok dan madrasah yang dikembangkan oleh etnik Banjar dan Jawa memainkan peranan penting dalam memperkukuh keimanan, menyebarkan ajaran Islam, serta menjadi asas kepada perkembangan gerakan politik Islam di Perak. Ia juga menunjukkan kekuatan warisan budaya keagamaan yang mendalam dalam komuniti etnik tersebut, yang berterusan memberi pengaruh hingga hari ini.



8. Tokoh-tokoh  Agama Bagan Datok

Sepekara yang mencuri tumpuan tentang Bagan Datoh ialah kebanjiran alim-ulama dan pondok di kawasan itu. Secara tidak langsung, Bagan Datoh boleh diiktiraf sebagai pusat institusi agama di negeri Perak berdasarkan ramainya alim-ulama dan pondok yang terdapat di tempat itu. 


Antara nama-nama besar seperti Kiyai Mohd Yasin Thoha Al-Bakri yang telah meninggal dunia pada tahun 1978 dan dikebumikan di Kampung Sungai Batang Baruh, Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali Arshad yang mendirikan pusat pengajian di Batu 26, Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Teluk Penikam, Tuan Guru Kiyai Raden Haji Siraj di Sungai Nipah Darat, Tuan Guru Haji Abdullah di Sungai Nipah Baroh, Tuan Guru Haji Abbas dan Tuan Guru Haji Masduki di Sungai Tiang Darat,  Tuan Guru Haji Radzi di Selekoh, Tuan Guru Haji Arshad, pendiri institusi al-Ulum al-Syar’iyyah  di Batu 20 dan Tuan Guru Haji Adnan di Tanjung Bayan


Tokoh agama Kiai Mohd Yasin Thoha Al-Bakri dari Bagan Datoh Perak. Kiai Mohd Yasin telah meninggal dunia pada tahun 1978 dan dikebumikan di kampungnya – Kg Sungai Batang Baruh. Selain Kiai Mohd Yasin terdapat beberapa tokoh agama setempat (Bagan Datoh) yang seangkatan dengan Kiai yang menjadi rakan seperjuangan beliau. Mereka adalah Tuan Guru Dato’ Haji Ghazali (Batu 26), Tuan Guru Haji Abdul Rahman (Teluk Penikam), Tuan Guru Kiai Radin Haji Siraj (Sg Nipah Darat), Tuan Guru Hj Abdullah (Sg Nipah Baroh), Tn Guru Hj Abbas (Sg Tiang Darat), Tn Guru Hj Masduki,  Tuan Guru Hj Radzi (Selekoh), Tuan Guru Sheikh Hj Arshad (Batu 20), dan Tuan Guru Hj Adnan (Tg Bayan) 


Kini perjuangan mereka disambung oleh diwarisi oleh anak-anak dan generasi kedua tokoh berkenaan. Madrasah Tn Guru Hj Ghazali Batu 26 disambung oleh Tn Hj Hashim Anang (menantu), Kiai Yasin Thoha diwarisi anaknya Hj Mohd Arif Zaki, Tn Hj Masduki pula diteruskan oleh anaknya Ustaz Misbahul Munir (Setiausaha Politik YAB MB Perak).



9. Misteri Harta Suzuki

Pada 27 Jun 1956, berita mengenai pencarian harta karun bernilai $4 juta telah menarik perhatian ramai. Seorang wanita yang mendakwa mengetahui lokasi harta tersebut menyatakan bahawa dia tahu di mana kekayaan itu dikuburkan. Harta tersebut dipercayai dikuburkan oleh seorang pegawai tinggi tentera Jepun semasa pendudukan Jepun di kawasan berdekatan Bagan Datoh, dan dipercayai mengandungi emas, perak, dan barang kemas. 


Kisah misteri tentang harta karun Suzuki, seorang pegawai risikan tertinggi tentera Jepun yang menjalankan tugas penyamaran di Bagan Datoh, mula menggegar perhatian. Dikatakan, sebelum tentera Jepun mundur dari Malaya, beliau telah menyembunyikan dan menanam harta berharga di kawasan tersebut, dipercayai berisi emas, perak, barang kemas, dan rampasan berharga lain. Harta karun ini dipercayai menjadi saksi bisu dari zaman perang, menunggu untuk ditemui kembali. Berita angin ini dikuatkan dengan pengumuman tentera Jepun ketika itu yang melarang sesiapapun di Bagan Datoh keluar rumah dalam tempoh tiga hari. 


Namun, untuk melancarkan usaha pencarian secara rasmi, wanita tersebut memerlukan perjanjian yang jelas mengenai syarat-syarat ganjaran. Kerajaan Singapura telah mengambil langkah untuk turut serta dalam usaha pencarian ini dengan bersetuju untuk berunding dengan wanita berkenaan. Perbincangan ini bertujuan untuk mencapai persetujuan mengenai ganjaran atau bayaran yang akan diberikan kepada wanita tersebut sekiranya beliau berjaya menunjukkan lokasi sebenar harta karun yang dipercayai tersembunyi.


Kerajaan negeri Perak, tertarik dengan cerita ini, memberi permit kepada sekumpulan sindiket dari Singapura selama tiga bulan untuk menjalankan pencarian. Perjanjian yang ketat telah dibuat, di mana hasil yang ditemui akan dikongsi secara adil 50:50 antara kerajaan dan pihak pencari. Sebagai tanda komitmen, pihak pencari dikenakan bayaran deposit sebanyak $5,000, yang akan hangus jika tiada apa-apa ditemui.


Operasi pencarian yang bermula Februari 1957 ini tidak tertumpu di satu lokasi sahaja. Pasukan pencari sentiasa berpindah ke tapak baru, mengikuti petunjuk dan lokasi yang mereka anggap mungkin tempat harta itu disembunyikan. Fokus utama mereka adalah di kawasan pintu masuk utama melalui jalan air, di Hilir Sungai Perak, Bagan Datoh. 


Aktiviti penggalian dilakukan oleh dua juruteknik dari Jabatan Kerja Raya di dalam kawasan yang dikelilingi pagar besi bergalvani setinggi 8 kaki, yang meliputi kawasan seluas 150 kaki panjang dan 80 kaki lebar. Kawasan ini tidak dibenarkan dimasuki atau dilihat oleh orang awam, tetapi pengunjung luar tetap berkumpul dan memerhati dari jarak jauh. Penggalian ini telah bermula beberapa hari sebelumnya, berhenti selama seminggu, dan kemudian diteruskan semula selepas kawasan yang ditandakan telah disiapkan. Aktiviti ini menarik perhatian ramai yang ingin mengetahui rahsia yang tersembunyi di sebalik pagar besi tersebut.

Kerja-kerja menggali dilakukan oleh pekerja-pekerja JKR atau PWD Lower Perak ketika itu



Artikel dari Straits Times bertarikh 6 Jun 1957, dinyatakan bahawa sebuah lubang di tanah adalah satu-satunya bukti hasil daripada pertaruhan berjumlah $20,000. Wang tersebut telah dibelanjakan oleh satu sindiket dari Singapura dalam usaha selama 100 hari untuk mencari harta karun yang dikatakan telah dikuburkan di Bagan Datoh. Aktiviti penggalian bermula pada 21 Februari dan berakhir pada 31 Mei apabila lesen pencarian harta sindiket tersebut tamat. Namun, tiada petunjuk tentang peti berisi permata atau jongkong emas ditemui, hanya sebuah lubang di tanah sebagai bukti usaha mereka.


Menurut artikel dari Straits Times bertarikh 7 Februari 1958, usaha kedua untuk mencari harta karun yang digelar "harta Suzuki" sedang dijalankan semula di Bagan Datoh, yang terletak 28 batu dari Teluk Anson, Perak. Dalam gambar yang disertakan, Inche Mohamed Baki bin Abas, Timbalan Pengutip Hasil Tanah dari Perak Bawah, dilihat sedang memantau aktiviti penggalian tersebut. Seorang koperal polis dari Teluk Anson yang ditempatkan untuk mengawasi kawasan itu juga kelihatan berdiri di situ. Di sebelah kanan Inche Mohamed ialah Encik Yeoh Guan Leong, ketua komuniti Cina di Bagan Datoh. Usaha ini menunjukkan minat berterusan terhadap pencarian harta yang dikatakan dikuburkan di kawasan tersebut.

Kerja-kerja penggalian kali kedua terus
 dilakukan di bawah pengawasan polis, PWD


Pada 27 Mac 1958 di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak, sebuah pasukan pencari harta karun yang diketuai oleh sindiket dari Singapura telah melancarkan usaha terbaru untuk menjejaki harta tersebut. Pasukan tersebut membawa masuk peralatan moden seperti pengesan lombong buatan Amerika yang berharga $1,600 dan peralatan penggerudi bernilai $700 untuk membantu pencarian. Mereka memperoleh permit selama tiga bulan daripada kerajaan Perak, dan pencarian kini semakin giat dijalankan, memfokuskan kawasan kosong seluas 100 kaki x 40 kaki berhampiran lokasi asal. Usaha ini merupakan percubaan kedua selepas percubaan pertama gagal, dan kawasan yang pernah dikorek kini ditutup semula mengikut syarat perjanjian dengan kerajaan.











Lubang ini sahaja yang tinggal. Tiada harta karun dijumpai setelah 3 percubaan.

Selain kisah pencarian yang melibatkan sindiket dari Singapura, muncul pula satu figura yang menjadi perhatian, iaitu seorang bomoh bernama Hamzah Bin Lope. Pada usia 37 tahun ketika itu, Hamzah adalah seorang pengusaha ladang kelapa yang terkenal di kawasan Teluk Anson (kini Teluk Intan) dan Bagan Datoh. Dengan keyakinan yang mendalam, beliau membayar sebanyak $5,000 kepada kerajaan negeri Perak untuk mendapatkan permit selama tiga bulan bagi mencari harta karun Suzuki.


Kisah usaha Hamzah ini bukan sahaja hangat diperkatakan di kawasan Teluk Anson dan Bagan Datoh, malah menjadi perbualan seluruh Malaya. Dalam laporan akhbar lama *The Straits Times* bertarikh 8 September 1958, Hamzah menyatakan bahawa beliau memperoleh petunjuk lokasi harta karun Suzuki melalui tiga mimpi yang dialaminya. Beliau menganggap mimpi-mimpi tersebut sebagai petunjuk keramat yang diberikan oleh alam ghaib, dan berharap akan menemui kekayaan yang tersembunyi.


Namun, sayangnya, usaha Hamzah berakhir dengan kekecewaan besar. Setelah tamat tempoh permit, beliau tidak berjaya menemui sebarang harta karun. Malah, mimpi-mimpi yang dianggap keramat itu akhirnya terbukti sebagai ilusi, mainan syaitan yang mengelirukan dalam tidur. Hingga ke hari ini, tidak ada satu pun laporan rasmi atau bukti kukuh yang mengesahkan penemuan harta karun Suzuki di Bagan Datoh (kini Bagan Datuk). 


Latar belakang cerita ini Ia menjadi satu lagi episod dalam usaha mencari kekayaan yang hilang, di mana kerjasama antara pihak berkuasa dan individu yang mendakwa mengetahui rahsia tersebut menjadi kunci utama. Ia menimbulkan pelbagai spekulasi, terutama tentang keaslian dakwaan wanita tersebut dan sama ada kekayaan itu benar-benar ada atau sekadar mitos. Kisah ini menambah lagi lapisan misteri dan keghairahan terhadap pencarian harta karun yang dikaitkan dengan kekayaan besar, yang dipercayai tersembunyi sejak zaman dahulu. Sama ada usaha ini akan berjaya atau tidak, kisah ini tetap menjadi satu cerita yang penuh teka-teki dan menanti untuk diselesaikan.



10. Selebriti Tempatan


a).  Di Bagan Datoh dalam tahun 1963, Inche Radin Jawadi, Ketua Kampung Sungai Sumun, merasmikan alat permainan Pancaragam "Rangkaian Irama" yang dibangunkan oleh pemuda-pemuda dari Parit 5 hingga Parit 1 Sungai Sumun. Majlis perasmian tersebut berlangsung di Parit 6 Sungai Sumun, kira-kira 12 batu dari Bagan Datoh. Projek pembuatan Panchaaragam ini telah dijalankan selama tiga bulan melalui usaha bergotong-royong oleh komuniti setempat.


b).  Kumpulan Noor Al-Wardah Hiboran yang dipimpin oleh Enche Tamsir Sapuan telah aktif sejak tahun 1965 dan terkenal di kalangan masyarakat Kampung Sungai Lanchang, Bagan Datoh, Perak. Enche Tamsir, yang juga dikenali sebagai pemain bola dan pemimpin, berhasrat untuk memajukan lagi kumpulan ini dengan menambah unsur tarian gelek ala Timor Tengah bagi menyerikan persembahan mereka. Kumpulan ini kerap tampil di majlis perkahwinan dan pesta, seperti di Sungai Ayer Tawar, Chenderong Balai, dan Sungai Pergam, serta di acara safar di Sungai Lanchang. 


Antara lagu terkenal yang pernah mereka ubah suai ialah "Ku Rindukan Bahagia," yang pernah dirakamkan oleh penyanyi pop A. Rahman Onn bersama kugiran "The Strangers" pada tahun 1967. Enche Tamsir juga bercadang untuk mendapatkan penyanyi gadis yang pernah menyanyi bersama mereka sebelum ini sebagai penyanyi tetap kumpulan, serta memperkenalkan dua penari gelek untuk menambah keindahan dan keunikan persembahan. Selain bermain biola, beliau mampu menguasai alat muzik lain dan berazam untuk memperkukuhkan lagi kumpulan ini serta memperluaskan aktiviti mereka dalam menyemarakkan lagi suasana sempena Hari Raya  dengan persembahan mereka.



c). Dalam tahun 1969, di Kampung Sungai Burong, Bagan Datuk, Perak, Ibrahim bin Mohamad Yassin digelar orang L. Ramlie, Bagan Datuk, kerana suaranya yang mirip-mirip penyanyi terkenal dari Singapura itu. Ibrahim atau lebih suka diperkenalkan sebagai A. Raim memang seorang pemuja A. Ramlie dan tiap lagu baru penyanyi itu diikutinya hati-hati sehingga ke tiap patah dan gaya pengucapannya. Dia mula digelar A. Ramlie Bagan Datuk ketika muncul menyanyi dengan kugiran Bunga Raya, Sungai Balai Darat dan kugiran Kenangan, Simpang Empat, Rungkup. Kugiran-kugiran tersebut telah dibubarkan, tetapi cita-cita A. Raim tidak putus dan sekarang ini sedang mencari-cari peluang untuk menyanyi dengan kugiran-kugiran yang lain.


d).  Dalam tahun 1969, Anuar bin Haji Ahmad, berumur 20 tahun, dari Matang Kunda, Bagan Datoh, dikenali oleh penduduk kampung sebagai Ustaz Abdul Wahab kerana suara merdu beliau dalam membacakan Al-Qur'an dan menyanyi lagu-lagu padang pasir. Beliau bersama rombongannya sering diundang ke majlis perkahwinan penduduk setempat yang menyukai bacaan Qur'an, kasidah, nasyid, dan lagu-lagu padang pasir.


Rombongan mereka pernah merasa tidak pasti jika akan terus diundang, terutama apabila kumpulan pop mula muncul di kampung. Namun, Enche Anuar berkata, "Saya sangka tentu-lah rombongan kami akan mati," tetapi sebenarnya mereka tetap hidup semula dan terus menghiburkan masyarakat.


Beliau juga menyatakan bahawa rombongannya berusaha menambah perhatian penduduk dengan mengadakan pertunjukan silat Penchak dan berdabos di sebelah siang. Selain itu, mereka turut menyumbang tenaga dalam majlis perkahwinan dengan mendirikan bangsal, meminjam pinggan mangkuk, membasuh pinggan, dan mengangkat hidangan, demi membantu masyarakat dan mempererat hubungan.


e).  Dalam tahun 1970, di kampung Matang Kunda, Bagan Datoh, Perak, nama Dima 8 atau Daim Sahid sudah cukup terkenal di kalangan peminat lagu pop. Mereka telah lama dikenali dan aktif dalam dunia muzik, menjadi perhatian ramai pendengar yang menyukai lagu-lagu pop di kawasan tersebut. Kehadiran mereka semakin menyerlah dan mendapat tempat di hati peminat tempatan, sekaligus memperlihatkan perkembangan muzik pop di kampung berkenaan.




f).  Kugiran terkenal dari Hilir Perak, De Temptation, merancang untuk merakamkan lagu-lagu kapiring hitam kerana ada pihak syarikat pembuat piring hitam yang memberi peluang kepada mereka, menurut pemimpin kumpulan, Pyan Hussain. Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.


Menurut Pyan Hussain, kugiran De Temptation ditubuhkan pada bulan April tahun 1969. Salah satu lagu mereka yang berjaya adalah "Temptation," yang pernah meraih gelaran Johan dalam pertandingan Gitar Ranchak seluruh Hilir Perak yang dianjurkan oleh Kelab Bella Bagan Datoh Perak bulan lalu. Kemenangan ini memberi semangat kepada mereka untuk bermain lebih baik lagi daripada sebelumnya.


Pyan Hussain menambah bahawa kumpulan mereka pernah menyertai pertandingan kugiran di Oditorium Radio Malaysia Ipoh mewakili Negeri Perak dalam siri Juara Pop 1970 yang diterbitkan oleh Televisyen Malaysia. Malangnya, mereka gagal ke peringkat pertama, tetapi kekalahan itu memberi mereka dorongan untuk berusaha lebih keras.


Selain itu, De Temptation juga mampu memainkan lagu-lagu berentak soul. Antara lagu yang mendapat sambutan adalah "Noraidah," "Bus No. 13," "Hampa Kechiwa," dan "Ingin Bersama," yang dicipta oleh Rasman Allas dan Yahya Hussain.


Pyan Hussain juga menyatakan bahawa mereka ingin merakamkan lagu-lagu kapiring hitam dan menganggap pihak syarikat piring hitam di negeri ini memberikan peluang kepada mereka. Kumpulan ini sering menerima undangan untuk bermain di majlis pesta, mengutip derma amal, majlis perkahwinan, dan lain-lain acara.


Anggota De Temptation terdiri daripada Rasman Allas (gitar utama), Pyan Hussain (gitar irama dan pemimpin), Yahya Hussain (gitar rentak), dan M. Yusof (dram). Penyanyi tetap kumpulan ini ialah A. M. Abdullah dan Samsiah Harun.


Alamat De Temptation adalah 236, Eastern Garden, Jalan Sungai Nibong, Telok Anson, Perak. Pemimpin mereka, Pyan Hussain, mengucapkan terima kasih atas sokongan dan peluang yang diberikan untuk merakam lagu-lagu mereka.


g).  Pada bulan Februari 1970, penduduk Sungai Batang Bagan Datoh akan mengadakan Malam Anika Irama di padang sekolah kebangsaan, menurut kenyataan Enche Saarani Bin Hashim, Setiausaha malam tersebut. Program ini akan menampilkan tiga buah pancaragam, termasuk dua pancaragam tempatan, iaitu Dendang Ria yang akan dipersembahkan oleh penyanyi terkenal A. Rauf, serta pancaragam Irama Gambus, An-Najah, dan satu lagi kugiran terkenal dari Telok Anson, The Rogest.


Tujuan utama penganjuran malam ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara pemuda-pemudi serta memberi hiburan kepada mereka yang sedang dahaga akan hiburan selepas menghadapi kerja harian. Selain persembahan panchara- gam, acara turut menampilkan pertunjukan lawak oleh pelawak terkenal Ahmad Apik dan tarian yang dipersembahkan oleh murid-murid sekolah. Menurut Enche Saarani, menonton acara malam itu tidak dikenakan bayaran dan beliau mengharapkan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan lagi malam tersebut.


h).  Kumpulan The Rintihan Bateks berasal dari Sungal Nipah Baroh, Bagan Datoh. Mereka adalah salah satu kumpulan muzik yang aktif di kawasan tersebut dan terkenal dengan persembahan mereka di pelbagai acara tempatan. Kugiran 


The Rintihan Bateks dari Bagan Datoh telah menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang memberi warna baru dalam arena muzik tempatan, terutama di kalangan anak muda di kawasan tersebut. Walaupun usia kugiran ini baru lima tahun dan belum lagi terkenal di luar daerah Bagan Datoh, mutu persembahan mereka tidak kalah dengan kugiran-kugiran yang lebih lama bertapak di tempat lain. Keberhasilan mereka terbukti apabila berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan kugiran yang dianjurkan oleh Gerakan Belia Barisan Malaysia Daerah Hilir Perak pada pertengahan bulan Januari tahun ini. 


Anggota-anggota kugiran termasuk Anuar bin Wazir sebagai pemimpin dan pemain gitar utama, Yusof bin Damanhuri sebagai pemain gitar rentak, Jaafar Mohd. Isa yang memainkan gitar irama, serta Adnan Wazir sebagai pemain dram. Barisan penyanyi pula terdiri daripada Nor Azna binte Hashim, Baharudin bin Abdullah, dan Hamzah bin Shaarl. Kejayaan ini menunjukkan potensi dan semangat mereka dalam memperkembangkan seni muzik tempatan.


i). M. Daud Kilau cukup terkenal sebagai penyanyi jenis dangdut dan irama melayu serta tarian geleknya yang cukup menghiburkan hati apabila melihatnya. Kami pasti anda semua pembaca setia orangperak.com tahu siapakah Raja Gelek nombor satu yang kami maksudkan.


Nama sebenar Datuk Muhammad Daud Bin Kilau atau lebih popular dengan nama M. Daud Kilau adalah merupakan seorang penyanyi di tanah air kita, Malaysia. M. Daud Kilau dilahirkan pada 10 Julai 1938 di Sungai Ular yang terletak di Bagan Datuk, Perak. Anak kelahiran Bagan Datuk yang mempunyai bakat dalam nyanyian dan tarian gelek ini adalah merupakan anak bongsu daripada 10 beradik.


Perjalanan hidup M. Daud Kilau dalam menceburkan diri dalam dunia seni ini sebenarnya bermula pada tahun 1968 lagi. Pada tahun tersebut, M. Daud Kilau telah menjuarai pertandingan Bintang Radio dengan menerusi lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis. Karier beliau menggorak langkah ke dalam dunia hiburan dan seni bermula sejak dari kemenangan daripada pertandingan tersebut.


Nasib M. Daud Kilau bertambah baik dengan lambakan tawaran dan peluang-peluang baru dalam pesada seni. Beliau juga ada dapat tawaran menjadi artis rakaman sehinggakan terhasilnya banyak lagu-lagu bergenre langgam, irama melayu asli dan juga dangdut yang kena dengan jiwa beliau. Tahun 1968 adalah tahun tuahnya yang membawa nama beliau terus melonjak ke dalam dunia seni dan hiburan dan kekal sehinggalah ke hari ini.


Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1985 M. Daud Kilau sekali lagi menempah nama dalam dunia seni dengan menjuarai pertandingan Pesta Dendang Rakyat kategori nyanyian asli. Suaranya yang lembut, lunak serta merdu menjadi faktor utama beliau menempah kemenangan dan sentiasa mendapat tempat di hati peminat yang semakin bertambah. Apa yang tidak boleh dilupakan adalah tarian geleknya juga menjadi faktor utama kemenangan beliau.


Sultan Perak yang ke 34 iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah telah kurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada M. Daud Kilau untuk mengenang jasa beliau dalam dunia seni pada tahun 1991. Sejak itu, M. Daud Kilau membawa gelaran Datuk pada namanya dan terus menghiburkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejayaan anak kelahiran Bagan Datuk ini dalam dunia seni amat membanggakan. Beliau disahkan meninggal dunia Pada 18 Disember 2023 di Hospital Teluk Intan Perak akibat Jangkitan Kuman dalam Darah.






j). Rashid Abdul Wahab, lebih dikenali sebagai Shidee, merupakan penyanyi terkenal dari era 80-an. Beliau dilahirkan pada 9 Julai 1959 dan berasal dari Bagan Datoh, Perak. Antara lagu-lagu popular beliau ialah *Sayang Semuanya Sudah Terlambat*, *Amy*, dan *Jamilah*. Shidee dan Siti Fairunnisa berkahwin pada 1 Februari 2010, dan majlis persandingan mereka berlangsung pada 13 Februari 2010 di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.





Barisan Selebriti terkenal tanah air yang merupakan anak didik dan artis bimbingan dalam konsert Tribute buat Komposer Ahmad Nawab


Penutup

Pesan Atok buat anak-anak jati Bagan Datuk, jangan terus lupakan tanah tumpah darah kalian di sini, walaupun sedang menggapai bintang di perantauan. Kalau, boleh kembalilah, jenguklah ahli-ahli keluarga, sanak saudara yang masih ada di sini. Datanglah, walaupun tinggalmu di homestay atau chalet, tak mengapa walaupun sehari dua. Hiruplah kembali udara segar di desa yang suatu ketika tempat kamu bermain dan jatuh. Dengarilah titisan hujan yang jatuh di atap rumah pusaka keluargamu. Datanglah menziarahi sekolah dan guru yang pernah mengajarkan erti kehidupan dan kejayaan buat kamu. 

Tempat terperuk dan busuk inilah yang pernah mengharumkan nama kamu. Ingatlah asal usulmu. Kami tidak irikan kejayaanmu. Kami tidak mahukan wang ringgitmu. Malah, kami berbangga dengan keadaanmu, dengan kemewahan duniawi yang kamu miliki dengan usaha kedua tangan dan mindamu. Cuma kami pohon, bantulah generasi baharu kampung dan daerah ini menjadi sehebat kamu, dunia dan akhirat. Berikanlah anak-anak muda di sini nasihat dan bimbingan. 

Jenguk-jenguklah kami, walaupun sebentar. Dalam internet, sertailah grup-grup Anak-anak Bagan Datuk di perantauan, dalam persada media sosial. Santuni mereka. Tunjuk ajari mereka. Carilah kembali sahabat dan rakan sekelas kita. Hubungi dan ziarahilah mereka. Ingat, hebatnya kita kerana misi, visi serta doa ayah, ibu, datuk, nenek serta sahabat-sahabat kita. Merekalah yang mendoakan kita untuk terus melakukan perubahan dalam keluarga; kejayaan akademik yang akhirnya mengeluarkan kita daripada belenggu kemiskinan serta kepapaan. Itu sahaja harapan Atok buat kalian. Buat yang lain, Selamat Datang ke Bagan Datuk. Terima kasih kerana menjenguk Atok. Wassalam. Wallahualam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kehidupan di Bagan Datuk Suatu Ketika Dahulu

Salam buat semua. Hari ini hari Isnin. Anak-anak dan cucu Atok sudah ke sekolah. Ada ujian KAFA minggu ini, kata cucu dara Atok. Anak dan me...