Assalamualaikum semua. Berita kemalangan maut melibatkan 15 pelajar UPSI yang rata-rata berumur 20-22 tahun telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap ramai orang, termasuk Atok. Memang, tidak seorangpun daripada semua yang terkorban itu Atok kenali, bukan saudara mara Atok pun. Cumanya, kematian itu sebenarnya begitu dekat dengan kita. Hari ini kita bergelak ketawa, riang gembira, makan bersama, tetiba menjelang pagi terdengar berita kematian rakan atau saudara kita itu; tak ada perangai ganjil atau tanda-tanda kematian menghampiri; tak sakit, tak demam, sihat walafiat, segar bugar; tetiba keras kaku, terbujur tak bermaya; pagi tadi di alam nyata, malamnya berpindah ke alam barzakh. Kematian tak menunggu kita, bersedia atau tidak; sesaat pun tidak tercepat atau terlewat.
Atok insaf dengan kekurangan diri, apatah lagi sudah tua sebegini; amalan kurang, dosa menimbun; hanya keampunan dan rahmat Allah SWT yang Atok dambakan. Syurga itu terlalu jauh kalau hanya bersandaran amalan terkumpul Atok; itupun belum ditapis tahap keikhlasannya. Hanya rahmat Allah, syafaat Rasulullah SAW dan doa anak cucu sahaja yang Atok harapkan sebagai penyelamat. Banyak-banyakkanlah muhasabah diri kita semua. Setiap peristiwa ada hikmahnya. Terpulang kepada kita mentafsirnya. Takziah kepada seluruh keluarga mangsa-mangsa. Memang berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, cuma apa yang Atok boleh katakan, banyakkan bersabar dan redha dengan ketentuanNya. Dari Dia kita datang, kepada Dia jua kita kembali.
Entri Atok kali ini masih tentang Sungai Lancang, kampung Wan korang. Kalau entri yang lepas Atok ceritakan background sejarahnya secara fakta, kali ini pula Atok nak masukkan elemen sentimental dalam penceritaan. Fakta itu tetap ada, cuma kekadang pemerhatian dan pengalaman seseorang itu lebih menjiwai penulisan. Lagipun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula kampung halaman. Di sini lahirnya, di sini juga tempat membesarnya, tawa dan tangisnya bersama keluara, sanak saudara; bahkan mungkin di sini juga tempat bersemadinya. Tak kira di ceruk mana sekalipun, itulah kampung kita.
So, cerita kali ini berdasarkan daripada tiga orang sumber; Atok sebagai menantu dalam keluarga ini, Wan sendiri, serta abangnya, Mohd Nor bin Zakaria yang juga abang ipar Atok menceritakan kisah-kisah menarik daripada perspektif retro mereka ketika membesar di sana. So, kalau pengalaman korang tak sama dengan cerita mereka, jangan marahlah. Ini kisah mereka. Lain orang lain pengalamannya.Jom, kita layan....
(Oops, terima kasih juga kepada penyumbang gambar-gambar yang Atok gunakan dalam entri kali ini)
Pengenalan
Ketika Atok menikahi Wan, sekitar 21 Jun tahun 1986 di Kg. Sg. Lanchang, Atok perhatikan dan amati, rutin harian mereka mudah, ringkas tetapi teratur. Seawal 6.30 pagi, selepas solat Subuh di masjid dan surau, kaum ibu akan menyiapkan juadah serta keperluan persekolahan anak-anak mereka. Setelah itu, kira-kira jam 6.45 pagi, si ayah pula akan menunggang basikal menghala ke Sekolah Kebangsaan Rungkup, menghantar anak-anak mereka. Biasanya anak-anak yang baharu memulakan persekolahan. Anak-anak yang lain akan ke sekolah berbasikal atau berjalan kaki. Kini, anak-anak ke sekolah dengan bas sekolah, atau dihantar ibu bapa menaiki motosikal atau berkereta.
Menurut Encik Mohammad Nor bin Zakaria, 58 tahun, anak jati Sg. Lancang, anak keempat dripada 6 orang di sana, yang lahir dan membesar di kampung ini, tetapi telah menetap di Shah Alam kini, berkata beliau mula bersekolah di SK Rungkup dalam tahun 1974 dalam darjah 1, sehingga darjah 6 dalam tahun 1980. Beliau meneruskan pembelajaran ke SMK Tun Abdul Razak di Selekoh mulai 1981. Ke sekolah rendah beliau dihantar oleh bapanya dengan berbasikal, sebelum ayahnya masuk ke kebun mengait kelapa
Sebelum sampai ke sekolah, ayahnya akan berhenti sebentar ke kedai mamak bernama Muhamad di Rungkup untuk bersarapan pagi. Biasanya encik Mohamad Nor akan memesan teh O atau teh tarik berserta nasi lemak di kedai tersebut. Kedudukan kedai mamak tersebut terletak di simpang empat Rungkup, sebaris dengan sekolah agama dan masjid Rungkup. Pada sebelah tengah harinya, mereka kembali menujah basikal ke Rungkup untuk menjemput anak-anak yang baru menghabiskan persekolahan hari itu. Kadang kala, pada waktu pulang, ketika dalam darjah satu dan dua, Encik Mohd Nor menumpang kereta gurunya, Cikgu Sani bin Chik, yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Tiang.
Menurut cerita Encik Mohammad Nor lagi, ketika di sekolah menengah, pencapaian akademik beliau sederhana sahaja. Beliau teringat akan saat beliau didenda oleh gurunya menyanyi di depan kelas jika tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Beliau juga tidak segan-segan menyanyi ketika Hari Guru di sekolah tersebut. Guru lelaki feveret beliau adalah Cikgu Sarafuddin, guru Bahasa Melayu dan Cikgu Noraini, guru subjek Geografinya di Tingkatan 4 dan 5 ketika itu.
Aktiviti petang selepas persekolahannya bermain lempar getah, main pondok-pondok, perang-perang, berenang dalam parit di kampung. Selepas maghrib, mereka ke surau, solat dan mendengar kuliah maghrib. Pada hujung minggu, kanak-kanak biasanya pergi mengaji alquran ke rumah tok guru mereka
Bagi kaum bapa pula, selepas menghantar anak-anak ke sekolah, Si ayah akan terus ke kebun kelapa bagi memulakan kerja-kerja mereka. Sebenarnya, kerja-kerja di perkebunan kelapa ini memerlukan pembahagian dan perkongsian tugas. Tidak mungkin dapat dilakukan secara bersendirian. Kumpulan-kumpulan kecil akan dibentuk, biasanya seramai 4 orang setiap kumpulan. Tugas-tugas mereka berbeza. Ada kumpulan pengait buah kelapa, dan ada kumpulan pengupas buah kelapa.
Biasanya kumpulan pengait kelapa ini akan mengait kelapa-kelapa di kebun-kebun milik individu yang bersetuju menggunakan khidmat mereka secara jangka panjang. Pengaitan ini akan dijalankan sehinggalah keseluruhan kebun tersebut, bergantung kepada saiz kebun. Setelah dikait, kelapa-kelapa ini akan dikumpulkan di beberapa tempat tertentu di kebun, sebelum tim pengopek kelapa pula tiba menjalankan tanggungjawab mereka.
Mereka masing-masing akan menjalankan tugas mereka sehingga selesai, dan buah-buah kelapa ini dibawa keluar dari kebun menggunakan basikal atau motosikal. Biasanya, ketika musim hujan di mana keadaan tanah di kebun menjadi terlalu becak, tim pengopek kelapa ini akan menggunakan sampan di parit-parit kebun yang dipenuhi air, bagi mengeluarkan kelapa-kelapa tersebut. Itu ketika tahun 1960an dan sebelumnya. Tempoh masa pekerjaan di kebun ini hanyalah kira-kira 3 jam sahaja. Setelah itu, mereka beramai-ramai singgah ke warung feveret mereka untuk makan sambil bersembang tentang dunia Rungkup dan permasalahan kelapa mereka. Sedikit sangat yang bercerita tentang ekonomi dan politik negara.
Warung Pak Alang Deraman menjadi 'parlimen' orang Sungai Lancang berbincang sambil menikmati bancuhan teh tarik terkenalnya |
Dalam tahun 1970an sehingga 1990an, kebanyakan tim ini tidak lagi masuk ke kebun, memetik, mengupas dan mengangkut kelapa, atas sebab keadaan kebun berlecak, susah untuk mengangkut keluar buah-buah kelapa yang dipetik dengan basikal atau motosikal. Sebaliknya, sama ada mereka ke warung menghabiskan masa bersosial atau mereka masuk ke kebun masing-masing mencari koko atau pisang yang sudah masak untuk dijual atau dibawa pulang.
Kebun kelapa di Bagan Datuk, saujana mata memandang |
Kerja-kerja mengopek buah kelapa menggunakan 'cop' |
Rumah pusaka Wan dan Encik Mohamad Nor Zakaria di Sungai Lancang |
Laluan ke rumah pusaka ini di lorong Abu Hanif, Sg. Lancang |
Penduduk-penduduk Sungai Lancang dan Rungkup mula mengintegrasikan tanaman kelapa dan koko seawal 1980an sebagai pendapatan tambahan. Menurut Encik Mohamad Nor, beliau pernah menjual kelapa tua yang gugur dengan harga 10 sen sebiji kepada emak saudaranya yang membuat minyak kelapanya sendiri. Kaum perempuan ketika tahun 1970an menyalai kelapa pada sebelah tengah hari untuk dicungkil keesokan harinya.
Penduduk memanfaatkan pokok kekabu yang ditanam di tepi parit untuk dijadikan bantal bagi kegunaan keluarga, jarang pula untuk dijual. Apabila pokok kekabu itu berbuah dan merekah, tuan punya akan mengaitnya atau juga menunggu kekabu berterbangan sehingga jatuh ke dalam parit sebelum dikutip, dibasuh, dibuang biji dan dikeringkan di tengah panas, sebelum disimpan dalam jala. Pokok kekabu ini tidak bermusim, berbuah sepanjang tahun.
Kelihatan 3 batang pokok kekabu di Sungai Lancang. Ada yang sedang berbunga. |
Setelah makan tengah hari, si ayah mungkin akan mengambil upah menebas semak belukar di kebun-kebun, melakukan kerja-kerja pertukangan rumah seperti mana yang diminta, atau bersantai-santai ke laut di Sungai Tiang, memancing sembilang, mengutip kijing dan mentarang untuk dibuat lauk atau dijual. Si ibu pula, setelah menyiapkan kerja-kerja rumah, mengambil upah membersihkan kelapa putih untuk dijemur/salai sebelum dijual sebagai kopra/ kelapa kering.
Kira-kira pukul 6 petang, setelah mendapat upah harian daripada tuan punya kebun, menerusi ketua tim mereka, si ayah akan ke Rungkup sekali lagi mencari ikan dan hasil laut lainnya untuk dijadikan lauk makan malam mereka. Biasanya, si ayah akan juga membeli barangan keperluan di kedai-kedai runcit di sana.
Surau dan masjid akan dikunjungi oleh kaum lelaki sepanjang waktu Maghrib sehingga Isyak. Setelah itu, mereka pulang ke rumah untuk berehat, menikmati secangkir kopi bersama biskut kering, sebelum ke bilik tidur menamatkan rutin hari ini. Esok, Subuh-subuh lagi, bermulalah hari baharu dengan rutin yang sama.
Kemudahan Asas dan Awam
Hubungan erat antara Kampung Sungai Lancang dengan Rungkup dan Bagan Datuk tidak dapat dinafikan. Banyak kemudahan awam didirikan oleh kerajaan seperti sekolah rendah, (kini sebuah sekolah menengah telah dibina di sana), klinik Ibu Mengandung dan Anak di Rungkup.
Penduduk Sungai Lancang banyak mendapatkan keperluan mereka daripada pekedai-pekedai di Simpang Empat Rungkup. Dalam tahun 1970an, kebanyakan kedai di Rungkup kepunyaan orang Melayu. Terdapat dua kedai milik kaum Cina. Salah satunya kedai basikal. Sebuah kedai motosikal kepunyaan orang Melayu. Terdapat sebuah kedai pos mini bersekalikan kedai runcit di sebelahnya. Kedai ini menjual setem dan menerima penghantaran pos serta menguruskan surat-surat penduduk. Tiada pos bergerak yang masuk ke Rungkup dalam tahun 1970an hingga 80an. Pakcik Osman merupakan posmen tunggal yang berkhidmat di kampung Rungkup, termasuk Sungai Lancang. Beliau mengenali setiap pemilik rumah di situ dan dikatakan tidak pernah tersalah alamat.
Gerai-gerai makan mengisi kehendak mereka. Nasi lemak, kuih muih untuk sarapan pagi, lauk pauk, nasi campur untuk makan tengah hari, dan untuk minum petangnya, kuih-muih serta goreng-gorengan. Ada juga anak-anak muda yang berniaga burger dan makanan barat lain. Terdapat sebuah klinik bidan kerajaan di Rungkup bagi membantu kelahiran bayi di sekitar Rungkup. Bidan tersebut memantau keadaan ibu mengandung dan pasca kelahiran ibu dan anak.
Laluan dari Sg. Lancang ke Simpat Empat Rungkup |
Laluan dari Simpang Tiga ke Simpang Empat Rungkup |
Sekolah Agama di Rungkup |
Simpang Empat Rungkup |
Laluan dari Rungkup Kecil menghala ke Simpang Empat Rungkup |
Bagi masyarakat umum yang memerlukan perkhidmatan klinikal, terdapat sebuah klinik kesihatan kerajaan di Bagan Datuk dan sebuah lagi klinik di Kampung Sungai Dulang. Biasanya bagi pesakit kronik dan kritikal, mereka akan dirujuk ke Hospital Telok Intan oleh kakitangan di klinik-klinik tersebut.
Bekalan air bersih melalui paip ke setiap rumah sememangnya tidak wujud sebelum tahun 1970an. Mereka masih menggunakan air perigi, air tadahan hujan dalam tempayan serta pengambilan air paip kerajaan di tepi jalan menggunakan tong dram plastik, sebagai sumber air minuman, basuhan, mandian mereka. Tiada masalah. Bekalan elektrik juga hanya ada di kampung tersebut dalam tahun 1970an juga. Juga tiada masalah. Mereka menggunakan pelita minyak tanah dan lampu gasolin sebagai alternatif. Murah dan mudah.
Jualan ikan segar yang dibawa pulang oleh nelayan dijual setiap petang. Ada juga peniaga Cina dari Bagan Sungai tiang yang menjaja ikan dan hasil laut ke setiap lorong di Sungai Lancang menaiki motosikal pada setiap hari. Untuk sayur-sayuran pula, penduduk memilih sayuran kampung seperti kangkung parit, pucuk ubi dan lain-lain dari kebun herba mereka sendiri.
Pekan sehari pada pagi hari Isnin penuh dengan orang ramai yang ingin mendapatkan keperluan mingguan mereka. Kini pekan sehari sebelah pagi di Rungkup tiada lagi.Yang masih ada ialah pasar malam di Sungai Tiang pada setiap malam Khamis, yang telah wujud sejak 1980an lagi, serta pasar pagi di Simpang Tiga Rungkup. Setiap pagi Sabtu mereka beramai-ramai akan ke pekan Selekoh kerana terdapat pekan sehari di sana antara jam 7.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Pekan Sehari di Bagan Datuk pula diadakan pada hari Ahad setiap minggu.
Mereka juga akan berkendaraan sama ada dengan motosikal, basikal atau menaiki teksi prebet sapu serta Bas MARA untuk sesekali ke pekan Bagan Datuk. Di sana mereka banyak pilihan. Kebanyakan perabot dan pakaian Hari Raya mereka dapatkan di sini. Di sini juga terdapat kedai barang kemas sebagai hiasan diri anak isteri mereka. Ada juga salun kecantikan, bengkel kenderaan, serta ‘klinik gigi’. Suatu masa dahulu, terdapat ramai penduduk, termasuk kaum lelaki di sekitar Bagan Datuk memiliki gigi emas sebagai bukti kemajuan sosio-ekonomi keluarga mereka.
Dari pekan Bagan Datuk, mereka mungkin ‘panjang langkah’ ke Teluk Intan kerana tersedia perkhidmatan bas dan teksi ke sana. Biasanya, pergerakan mereka melangkau hingga ke Teluk Intan hanya beberapa kali dalam setahun, mungkin atas pencarian pakaian raya atau perabot baharu sempena hari raya, ataupun atas urusan rasmi kerajaan di Pejabat Tanah Hilir Perak serta mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan. Ada juga keluarga yang mengambil kesempatan singgah ke kedai-kedai gambar di sana untuk mengabadikan potret mereka sekeluarga sebagai kenang-kenangan.
Perkahwinan
Jika dikaji dan dibuat perbandingan lintas budaya, rata-rata penduduk asal di sini mempunyai hubungan rapat melalui perkahwinan. Walaupun perkahwinan antara sepupu jarang didaftarkan, namun perkahwinan sesama penduduk atau perkahwinan dengan penduduk dari perkampungan berdekatan dalam mukim yang sama, sudah menjadi kebiasaan. Tidak hairanlah sekiranya mereka mempunyai ipar duai dan hubungan kekeluargaan dengan ramai orang sekampung. Bahkan jarang ada perkahwinan mereka melebihi batas suku kaum seperti Jawa, Bugis, Kampar dan sebagainya, apatah lagi melepasi batas etnik seperti Melayu, Cina dan India, walaupun ada beberapa pengecualian.
Dengan perjalanan masa dan kemudahan pergerakan dan telekomunikasi, maka perkahwinan sesama mereka kini berkembang menjadi perkahwinan melepasi sempadan kampung, mukim daerah dan seterusnya negeri. Pergaulan ketika bekerja atau ikatan jodoh dengan kaum keluarga dari daerah atau negeri-negeri lain mula direkodkan.
Keseluruhan proses merisik, pertunangan sehinggalah pernikahan dilakukan dengan penuh teliti, mengikut adat setempat. Perkahwinan, seperti juga kematian, merupakan salah satu acara terpenting masyarakat di sini di mana seluruh penduduk kampung boleh dikatakan terlibat dan ‘dijemput’.
Biasanya, seawal dua minggu sebelum hari persandingan, orang kampung sudah mula membantu pihak tuan rumah. Ada yang membantu membawa bekalan beras, gula dan keperluan kenduri yang lain serta makan minum selama seminggu lamanya itu. Yang lain membantu menyumbangkan tenaga dan kemahiran mereka., biasanya selepas kembali dari kebun. Ada juga kumpulan lelaki membina pelamin dan mendirikan khemah memasak , khemah pinggan mangkuk, dan makan; tidak kurang juga kaum ibu yang membawa bersama mereka juadah kuih muih untuk dinikmati bersama. Pendek kata, tuan rumah boleh menarik nafas lega, kerana segala persiapan perkahwinan dilakukan secara bergotong royong tanpa upah daripada orang kampung, di bawah pantauan ketua kampung. Masing-masing menjalankan tugas dan amanah dengan jayanya. Seminggu mereka di rumah pengantin, bererti segala keperluan makan minum termasuk rokok, ditanggung oleh pihak pengantin.
Bapa pengantin serta seluruh keluarga besarnya selalunya sudah bersedia lebih awal untuk majlis perkahwinan. Hal ini kerana mereka telah merancang setiap persiapan lebih awal; bermula dengan penjualan lembu kerbau, bahkan tanah untuk menampung perbelanjaan perkahwinan ini. Ada juga yang mengeluarkan wang simpanan seumur hidup mereka. Belum pernah lagi yang didengari terlibat dengan hutang akibat perkahwinan ini. Mungkin, kecil-kecilan tetap ada.
Pada hari berlangsungnya persandingan, ketibaan pengantin disambut dengan pukulan kompang oleh pasukan kompang kampung ini. Begitu menariknya pakaian seragam mereka mengiringi lagu-lagu yang dimainkan. Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat, biasanya dilakukan oleh imam masjid di situ.
Tiada masa tertentu untuk menikmati juadah yang disediakan oleh para ‘chef terkemuka’ kampung ini. Sememangnya, kampung ini tidak kekurangan pakar memasak. Masing-masing dengan kepakaran mereka tersendiri. Ada yang ditugaskan memasak nasi minyak, beriani, putih atau apa sahaja jenis nasi istimewa; ada pula yang memiliki skil tertentu seperti masakan ayam masak merah, masakan lemak umbut, rendang daging segar dan ulaman-ulaman lain yang disediakan bersama. Semuanya enak dan menyelerakan. Tiada siapa yang akan menjeling sekiranya ada tetamu yang ingin menambah. Makanan-makanan biasanya diletakkan di dalam talam. Sirap ros mengalir mewah membasahi tekak para tetamu dan petugas. Kretek seperti Suria, Gudang Garam, Semporna, atau rokok mahal seperti Dunhill, Benson and Hedges, sentiasa menitip di bibir para petugas lelaki, ehsan daripada tuan rumah. Untuk membasuh pinggan mangkuk mereka menggunakan sampan sebagai bekas penakung air sabun dan bilasan. Tiada upah wang ringgit. Semuanya ikhlas dari hati petugas yang membantu dan tuan rumah yang menjamu.
Tuan rumah tidak perlu bimbang kerana seluruh perjalanan operasi majlis dijalankan dengan bantuan orang kampung. Sebelum malam, segala pinggan mangkuk, periuk belanga telah dicuci dan dikeringkan. Mana-mana perkakasan yang kemik, pecah atau rosak diasingkan untuk dibayar ganti rugi. Pada sebelah malam, selepas solat Isyak, tuan rumah melayan orang kampung dengan hiburan. Ada yang menjemput band kugiran termasuk penyanyi dalam pesta ‘muda mudi’ di situ. Ketika pertengahan 1980-an, tayangan video gusti Barat mewarnai malam tersebut. Pendek kata, petugas dan orang kampung yang telah bekerja sehari suntuk pada sebelah paginya tadi mesti dihiburkan dan merasa ‘terhibur’.
Sekiranya pihak pengantin berhajat untuk mengadakan kunjungan bertandang ke tempat yang jauh, mungkin merentasi sempadan negeri, satu rombongan bas membawa keluarga pengantin dan penduduk kampung akan diuruskan. Biasanya, seramai 40 orang sahaja yang mengikuti rombongan ini. Pihak pengantin sudah memaklumkan kepada besan mereka tentang kedatangan berbondong-bondong ini, membayar separuh tambang bas manakala peserta lain membayar selebihnya. Rombongan ini akan ke tempat majlis bertandang diadakan terlebih dahulu untuk acara persandingan dan makan sebelum mereka melawat tempat-tempat menarik di sana. Hanya beginilah kaedahnya orang kampung di sini beriadah dan melawat ke tempat-tempat lain, melihat-lihat negeri orang, secara murah dan selesa.
Berikut adalah beberapa petikan akhbar mengenai majlis perkahwinan yang pernah berlangsung di kampung ini:
beritaharian19580101
Tuan Haji Mohd. Razi, seorang guru ugama terkenal di kawasan itu, telah melangsungkan perkahwinan anak perempuannya, Puan Khadijah, dengan Tuan Mohd Ali b. Haji Mohamad dari Sungai Lanchang Rungkup, pada 22 Disember di rumahnya di Jalan Sekolah Bagan Datoh.
Beritaharian19640502
beritaharian19640523
Anak-anak muda Sg. Lancang ketika itu membantu membawa hantaran daripada pihak lelaki buat pengantin perempuannya di Sungai Lancang. Gambar diambil sekitar 1980. |
Rombongan pengantin lelaki tiba di pekarangan rumah pengantin perempuan di kediaman Allahyarham Zakaria bin Abu Hanif |
Pasukan kompang Sg. Lancang mengiri pengantin lelaki masuk ke halaman rumah pengantin perempuan |
Mereka terus memainkan lagu-lagu kompang di bangsal khas buat mereka sebelum jamuan makan |
Ada juga khemah berkerusi untuk para tetamu |
Kelihatan arwah Zakaria Abu Hanif turun membantu menyediakan makanan untuk para tetamu beliau |
Dalam perbincangan keluarga mengenai apa juga isu dan perkara, mereka tetap harmonis |
Kelihatan pemandu bas berbangsa India (hujung kiri) yang sudi membawa rombongan orang kampung Sungai Lancang ke majlis perkahwinan di luar kampung tersebut sambil melancong |
Tok Long Puteh (bukan nama sebenar), seorang tokoh agama di kampung ini sering mengajar alquran kepada para jemaah di masjid kampung ini. Beliau juga menghadiri majlis-majlis keagamaan di rumah-rumah penduduk untuk taknik, tahlil dan sebagainya termasuk kematian |
Atok dan keluarga lainnya sedang santai di ruang tamu rumah Zakaria Abu Hanif, sekitar tahun 1988 |
Kematian
Kematian merupakan sesuatu hal yang pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasai ruhnya dicabut oleh Malaikat Maut, Izrail a.s. Pengendalian urusan kematian Islam di sini sama sahaja dengan tempat-tempat lain, dengan sedikit keunikan.
Seperti biasa, proses pengkebumian, jenazah akan melalui peringkat mandi, kafan, solat jenazah dan penguburan, sebagaimana yang dituntut oleh Agama Islam. Suatu masa dahulu, apabila sesuatu kematian diumumkan melalui ketukan kentung, diiringi bacaan ayat-ayat suci alquran melalui corong pembesar suara di masjid, orang-orang kampung mula berkumpul di rumah keluarga simati. Aktiviti ke kebun terhenti sehinggalah selesai majlis pengebumian. Mereka bersama-sama membantu menyumang wang ringgit kepada keluarga simati. Tabung segera disediakan. Sementara ramai kaum perempuan naik ke rumah menyantuni keluarga yang sedang berdukacita ini dengan membaca surah yasin, kaum lelakinya pula berada di luar rumah menyiapkan keranda.
Untuk makluman semua, seandainya yang mati itu seorang wanita atau anak perempuan, maka urusan memandikan, mengkafankan dilakukan oleh kaum wanita sendiri. Kaum lelaki pula menyiapkan keranda, menggali kubur, menyembahyangkan jenazah dan seterusnya mengebumikan simati. Kesemua aktiviti ini mestilah dibawah arahan dan panduan Ketua Kampung dan Imam Masjid atau wakil mereka. Kesemua ini dilakukan secara percuma dan ikhlas sebagai tanggungjawab sosial dan fardu kifayah terhadap jenazah. Tiada apa yang peliknya, sama seperti amalan kampung-kampung lain. Kesemua penduduk kampung turut berdukacita atas pemergian salah seorang rakan, sahabat, saudara yang pernah bersama-sama mereka suatu masa dahulu.
Keunikan amalan penduduk kampung Sungai Lancang ini ketika ada kematian di kampung mereka bermula ketika pembacaan surah yasin. Tuan rumah akan meletakkan beberapa keping duit syiling dalam sesuatu bekas. Ketika seseorang ingin menghadiahkan bacaan yassin buat simati, dia akan mengambil satu daripada syiling tersebut. Setelah membacanya, syiling tersebut akan diletakkan kembali ke bekas tersebut. Hal ini dilakukan oleh setiap orang.
Setelah pengkebumian dijalankan, keluarga simati akan ‘mengupah’ beberapa orang alim untuk membaca alquran di tanah perkuburan. Sebuah pondok akan didirikan di atas kubur simati. Mereka akan mengaji secara bergilir-gilir sehingga tamat 30 juz sepenuhnya, biasanya dalam masa tiga hari. Makan dan minum serta keperluan lain pembaca-pembaca ini akan dihantar dan diuruskan oleh keluarga simati.
Majlis-majlis tahlil tetap dilakukan oleh keluarga simati mengikut kemampuan kewangan mereka. Bermula malam pertama kematian, tahlil dilakukan di rumah keluarga simati, dibimbing oleh Imam masjid, serta jemaah masjid dan orang kampung sekalian. Majlis tahlil ini berterusan selama tiga hari berturut-turut. Selepas 40 hari kematian, satu lagi majlis tahlil dibuat. Hanya selepas 100 hari kematian, tahlil terakhir akan diadakan, khusus untuk simati.
Selepas itu tiada lagi majlis tahlil dibuat sehinggalah tiba bulan Syaaban, di mana satu lagi jemputan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat, kali ini untuk seluruh ahli keluarga tersebut yang telah mendahului mereka. Ketika itu undangan demi undangan diterima oleh jemaah masjid, jiran, saudara mara dan penduduk kampung. Saudara mara, jauh dan dekat akan turut pulang dan hadir bersama.
Berikut adalah beberapa keratan akhbar tentang kematian yang pernah dilaporkan dalam akhbar berlaku di kampung Sungai Lancang suatu masa dahulu:
Beritaharian19630304.
Berita Tragedi di Kampung Kunchi Ayer Mati
Bagan Datoh, Sabtu – Seorang gadis berusia 19 tahun, Che Siti bt. Masnan, telah meninggal dunia secara serta-merta selepas sebuah pokok kelapa menimpa rumahnya di Kampung Kunchi Ayer Mati Sungai Lanchang, Rungkup, pagi tadi. Kejadian berlaku tidak lama selepas keluarga itu selesai makan sahur, dan pokok kelapa itu tumbang tepat di tengah rumah serta mengenainya secara langsung.
Menurut Inche Musnan bin Sebah, ayah gadis tersebut, pokok kelapa berkenaan tiba-tiba tumbang dan menimpa anak perempuannya, Che Siti. Jiran tetangga segera berkejar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mereka. Ibu Che Siti, Che Long binti Lahong, 58 tahun, mengalami kecederaan parah di kaki dan telah dihantar ke Hospital Telok Anson untuk rawatan.
Keluarga tersebut tergolong dalam golongan yang miskin dan bergantung kepada hasil kerja mengambil upah menebas kebun dan memungut kelapa. Che Siti terkenal sebagai seorang yang rajin membantu keluarga dengan pekerjaan tersebut. Selain Che Siti, keluarga itu mempunyai dua orang anak lelaki dan dua orang chuchu kecil yang tinggal bersama mereka.
Inche Musnan, yang berumur 55 tahun, sangat bersedih dan rungsing memikirkan nasib keluarganya. Rumah mereka kini ranap dan mereka menumpang di tanah orang lain dengan dinding dan atap yang sederhana. Beliau berharap dapat membina sebuah pondok baharu untuk menampung keluarganya yang sedang menghadapi kesusahan ini.
Ketua Kampung Sungal Lanchang, Tuan Haji Mohamad, telah merayu kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan bantuan bagi keluarga malang ini. Pada masa ini, keluarga Che Siti bergantung kepada belas kasihan jiran dan penduduk kampung untuk menampung kehidupan mereka.
Beritaharian19630403
Berita Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Pokok Kelapa di Bagan Datoh
Bagan Datoh, Thalatha – Pejabat Kebajikan Masyarakat Hilir Perak, Telok Anson, telah mengeluarkan bantuan wang kepada keluarga Melayu yang kehilangan rumah tangga akibat pokok kelapa menimpa mereka pada pagi akhir bulan puasa yang lalu. Keluarga tersebut ialah Inche Musnan bin Sebah, 55 tahun, dari Kampung Kunchi Ayer Mati, Rungkup. Rumah mereka yang terbesar di kawasan itu runtuh akibat kejadian tersebut.
Jumlah bantuan yang diterima oleh keluarga Inche Musnan adalah sebanyak $115, yang digunakan untuk membina semula rumah mereka. Selain bantuan kewangan, keluarga ini juga menerima sokongan dari penduduk kampung dan Pejabat Ugama bahagian zakat dan fitrah.
Ketika kejadian, Inche Musnan bersama isteri dan enam orang anak berada di dalam rumah tersebut. Malangnya, anak gadis mereka, Che Siti, 19 tahun, meninggal dunia akibat kemalangan itu, manakala isterinya, Che Long binti Lahong, 58 tahun, mengalami kecederaan parah di paha sebelah kanan dan kini dirawat di rumah sakit Telok Anson. Keadaannya yang beransur pulih dijangka akan keluar dari hospital tidak lama lagi.
Pada masa kejadian, rumah mereka runtuh sepenuhnya, dan mereka kini menumpang di tempat lain sementara waktu. Usaha mendapatkan bantuan turut dilakukan oleh Inche Lope Hashim bin Ketong, anggota Dewan Undangan Perak bagi kawasan Rungkup dan Bagan Dato, serta ketua kampung, Tuan Haji Muhammad, untuk memastikan keluarga ini menerima bantuan yang sewajarnya.
Beritaharian19630817
Inche Mohd. Shah bin Abdul Rani, seorang dereber yang berusia 63 tahun, telah meninggal dunia di kampung Sungai Lanchang, Rungkup, Perak baru-baru ini. Semasa hayatnya, Allahyarham terkenal sebagai seorang tua yang suka bergaul dan bekerjasama dengan badan-badan kebajikan serta melakukan kerja sukarela demi kebaikan masyarakat di kampung tersebut. Beliau juga pernah menjadi anggota Jawatankuasa Pengasas Persatuan Dereber-Dereber Selangor sejak tahun 1923.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Osman Shah, Mokhtar, dan Habibah, serta tiga orang cucu iaitu Zalton, Zawiyah, dan Zainal Alam. Dalam ucapan terima kasih melalui Berita Harian, Osman Shah menyampaikan penghargaan kepada saudara-mara dan semua pihak yang membantu dan bersusah payah semasa menghadapi pemergian ayahanda mereka. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Straitstimes19660419
Berita Sedih: Wanita Meninggal Dunia Akibat Terjatuh ke Dalam Perigi
Teluk Anson, Isnin – Che Radziah binti Awaluddin, 21 tahun, dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi ketika sedang mencuci pakaian di Kampung Sungai Lanchang, kawasan Rungkup, di sini semalam petang. Kejadian berlaku secara tidak disangka-sangka dan menyebabkan mangsa lemas. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang beriman. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian ini.
Beritaharian19670606
Berita Tragedi: Murid Sekolah Meninggal Dunia Akibat Dilanggar Lori
Teluk Anson, Isnin – Rosnah binti Abdul Wahab, seorang murid sekolah berumur 12 tahun, meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah lori di Kampung Sungai Lanchang kira-kira 30 batu dari sini semalam petang. Kejadian berlaku secara tiba-tiba dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dan usaha untuk memastikan keadilan dan keselamatan di kawasan tersebut. Semoga roh Rosnah ditempatkan di kalangan orang beriman.
Penghijrahan Keluar
Mengikut maklumat daripada encik Mohamad Nor Zakaria, bermula tahun 1980an, telah berlaku trand penghijrahan keluar beramai-ramai anak muda kampung in serta juga kampung-kampung di seluruh daerah Bagan Datuk ke bandar-bandar perindustrian di Perak seperti Ipoh dan juga ke Selangor, terutamanya ke Shah Alam dan Lembah Klang untuk bekerja di kilang-kilang.
Berbekalkan sijil SRP dan SPM, mereka mencuba nasib di perantauan. Ramai yang telah berjaya mendapat pekerjaan dengan gaji yang agak mencukupi untuk memulakan penghidupan di sana. Sebagai anak bujang, mereka biasanya menyewa beramai-ramai dalam sesebuah rumah untuk menjimatkan kos sara hidup. Dengan kelebihan melakukan kerja lebih masa, mereka berjaya mendapatkan gaji yang lumayan untuk dikongsi bersama ibu bapa di kampung.
Setiap bulan mereka mengirim sebahagian gaji mereka untuk menampung sebahagian perbelanjaan hidup adik beradik yang masih bersekolah serta ibu bapa yang semakin tua. Kini, ibu bapa mereka tidak perlu risau seandainya tidak turun ke kebun kerana hujan atau sakit. Sumbangan anak-anak yang bekerja di perantauan tetap mengalir masuk ke kantung mereka sehinggakan ada yang mampu membaiki rumah dan menggantikan basikal tua dengan motosikal baharu. Kesemua ini berkat pemberian anak-anak mereka.
Tidak ramai yang memilih untuk pulang ke kampung menyambung pekerjaan ibu bapa mereka. Mereka telah selesa di bandar, bahkan ramai di antara mereka mendirikan rumah tangga serta membeli rumah di sana. Mereka terus menetap di bandar sehingga bersara. Mereka hanya pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa serta keluarga-keluarga terdekat di sana, terutamanya ketika Hari Raya, majlis perkahwinan dan jikalau ada kematian dalam kalangan keluarga terdekat.
Bahkan ada yang membawa ibu bapa yang telah uzur untuk tinggal bersama-sama mereka di bandar. Maka tinggallah rumah pusaka di kampung terbiar dan akhirnya mereput sebelum menyembah bumi. Ada juga yang masih menjaga rumah pusaka mereka seperti biasa, sebagai rumah berkumpulnya adik beradik mereka ketika Hari Raya setelah ibu bapa mereka meninggal dunia. Mereka masih menyantuni saudara mara terdekat yang masih hidup di kampung. Setahun sekali terdengar suara gelak ketawa mereka apabila bertemu sanak saudara, sepupu sepapat dan sahabat-sahabat sekampung yang pulang berhari raya. Setelah dua tiga hari di kampung, mereka pun kembali ke bandar. Suasana menjadi hening dan sunyi kembali, menanti ketibaan hari lebaran pada tahun hadapan. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan