Memaparkan catatan dengan label Protectorate. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Protectorate. Papar semua catatan

Khamis, 24 Oktober 2013

Perang Selangor (1867-1874)…Sememangnya Melayu Mudah Lupa

 Salam pertemuan. Alhamdulillah…..Dengan limpah kurniaNya dipertemukan lagi kita dalam keadaan sihat walafiat, penuh kemesraan dalam suasana masih kita meraikan Hari Raya Korban. Pengorbanan para rasul mengajar kita erti kemerdekaan. Betapa manisnya kebebasan yang sedang kita kecapi berbanding datuk nenek moyang kita yang berada di bawah cengkaman penjajah suatu ketika dahulu.
Penjajah-penjajah Eropah termasuk imperialis British bagaikan anjing lapar yang menerpa  habuan tulang dan daging ketika umat Islam  di nusantara masa  itu bergelumang dalam dosa pengkhianatan terhadap nusa, bangsa dan agama, untuk sedikit kesenangan duniawi buat diri dan kerabat. Tambahan pula, ketika itu  ummah dalam kejumudan ilmu dan kehidupan akibat pengabaian dan kedangkalan fikiran terhadap ilmu agama , baik fardhu ain mahupun fardhu kifayah, malah ‘pensyirikan’ terhadap keesaan Allah melalui adat budaya yang berbaur kehinduan yang menyesatkan.
Justeru,  aku terpanggil untuk menyelidik dan menyelami kehidupan masyarakat leluhur yang begitu hampir dengan kita di sekitar Telok Panglima Garang ini demi mengenal persepsi atau world view kehidupan mereka ketika di bawah ‘nasihat’ British itu.

Nota: Sengaja aku tidak menyebut nama-nama yang terlibat kerana aku teringat pesanan alim ulama agar tidak mengenang seseorang, baik ketika hidupnya mahu pun setelah matinya kecuali hal-hal kebaikan, kerana baginya bahagian daripada apa yang telah dikerjakannya di dunia ini, sama ada dosa mahu pun pahala.

1874, Jugra,Kuala Langat:- DYMM Sultan sedang bersemayam di istananya. Ketika itu negeri ini yang kaya dengan bijih timah baru sahaja tamat berperang setelah lama terbungkam dalam kancah perebutan kuasa dan daerah  sesama anak-anak dan kerabat diraja.
Kisah bermula tujuh tahun yang lalu, 1867. Masing-masing menuntut hak mereka. Baginda yang telah semakin lanjut usia tidak berdaya lagi  menyelesaikan permasalahan anak beranak ini. Masing-masing bertegang leher menunjukkan kekuatan pengaruh. Tiada lagi kompromi. Tiada lagi dihiraukan tali silaturahim sedarah  sedaging, apatah lagi  agama yang sama dianuti. Keegoan sedang memuncak. Apa nak jadi, jadilah, walaupun terpaksa membuat perjanjian dengan syaitan! Tak kiralah asalkan menang dan terus berkuasa. Masing-masing membuat perhubungan dengan anasir-anasir luar dengan menabur pelbagai janji  dan habuan atas apa jua kerjasama dan pertolongan yang dapat diberikan. Mendailing, Pahang, Perak, Kedah, Kapitan Cina dan Inggeris diheret bersama. Sudah pastilah ada pihak menghantar bala tentera upahan yang ganas dan berhati kering, walaupun musuh yang dihadapi itu sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada juga yang menjanjikan pengiktirafan jika anak raja yang disokong itu menang dalam ‘perjuangan’ mereka. Sudah pastilah  ratusan ribu  wang ringgit yang disalurkan bagi memastikan kemenangan pihak yang disokong sebab habuan besar sedang menanti untuk dituntut.
Apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sudah ketentuanNya, rakyat Selangor kini berperang sesama sendiri. Tanah merekah ini menyaksikan rakyat bermandian darah. Kesetiaan melulu yang tidak berbelah bagi rakyat terhadap golongan bangsawan dan istana ini diperalat semaksimum mungkin. “Sama ada bersama beta atau menentang dan menderhakai beta”. Sehingga terbelah dualah masyarakat, daripada lapisan tertinggi hinggalah rakyat marhain serta hamba sahaya. Selangor kini neraka dunia. Tiada lagi tempat yang aman atau bekecuali.  Pembunuhan, perompakan,  kegiatan lanun di perairan negeri semakin menjadi-jadi. Pentadbiran negeri lumpuh tidak berdaya. Sudah tiga kali Kuala Lumpur dibakar.
Kehidupan seharian rakyat biasa semakin sempit dan tertekan. Ribuan rakyat keluar menyelamatkan  diri ke Perak, Pahang dan negeri-negeri berhampiran, meninggalkan tanah air tersayang, keluar walaupun sehelai sepinggang, menjauhkan diri dari fitnah dosa dan noda. Pertahanan negeri sudah goyah dan rapuh. Ketika itulah Inggeris mengambil kesempatan.

the right man ready to seize the opportunity. British expansion, in the East at all events, is a record of the doings of courageous, capable, and masterful men. Opportunities may tear the cloaks from a thousand excellent, hesitating, conscience-burdened theorists and talkers, who never get beyond their good intentions; while one man of courage, determination, and action, inspired by the fire of patriotism, will make opportunities for himself, to the profit of his country.     THE REAL MALAY BY SIR FRANK ^THELSTANE SWETTENHAM,1899

Peristiwa  pembunuhan dan ancaman lanun ke atas pedagang-pedagang Pulau Pinang dan Melaka yang ketika itu dibawah kekuasaan Negeri-negeri Selat digunakan sebaik-baiknya. 22 Jun 1871.Berlaku serangan lanun dan seterusnya pembunuhan pedagang serta  anak-anak kapal mereka di perairan berhampiran Kuala Selangor. Dengan pantas Sir Andrew Clarke selaku Gabenor Negeri-negeri Selat , tanpa berunding dengan sultan menunjukkan kekuatan ketenteraannya. Seterusnya pada 3 dan 4 Julai 1871 dua buah kapal perang HMS Rinaldo  dan HMS Pluto dihantar untuk mengebom dan memusnahkan seluruh petempatan dan pertahanan di Kuala Selangor sehingga menyebabkan ramai penduduk yang tidak berdosa terbunuh atas alasan  melindungi rakyatnya dan menghapuskan ancaman lanun yang tidak terkawal.

                                                                    HMS Rinaldo

HMS Pluto
 Kesan psikologi ke atas sultan ketika itu dikatakan berjaya. Tiada tindakan balas kerajaan Selangor berhubung kejadian tersebut. Tiada lagi kedengaran kegiatan lanun di Kuala Selangor sejak hari itu sehinggalah..
November 1873.  Sekali lagi Selangor diuji. ‘Ancaman’ lanun berlaku. kembali. Bukan di Kuala Selangor tetapi  betul-betul  di depan pintu istana sultan, iaitu di perairan Kuala Jugra atau dikenali sebagai Kuala Langat ketika itu. Semuanya bagai dirancang.

 Empat rakyat naungan Britsh berketurunan Cina dari Melaka dibunuh dalam kejadian tersebut. British mendesak sultan mengadakan perbicaraan dan menghukum  8 orang ‘penjenayah’ terbabit. Pada waktu yang sama juga tiga buah kapal perang British lengkap bersenjata berat dikerah ke Jugra dan menghalakan meriam ke istana. Sultan benar-benar tertekan. Kalau sebuah sahaja sudah cukup menjadikan  Kuala Selangor padang jarak padang terkukur apatah lagi tiga. Perbicaraan berlangsung di sebuah gudang milik salah seorang kerabat diraja di Kuala Jugra. Pihak British mengaturkan pendakwaan dengan barisan peguam hebat dari Singapura. ‘Saksi utama’ kejadian tampil memberi ‘keterangan’. Keputusan perbicaraan yang sudah pastinya menyebelahi pihak Inggeris dan dengan nasihat kerabat baginda yang menjadi sahabat (tali barut) Inggeris, sultan terpaksa menerima campurtangan British. (Ketika itu kerabat tersebut telah berjaya menguasai sebahagian besar negeri Selangor).


 Perjanjian Pangkor menjadi dasar campurtangan mereka. Baginda terpaksa menerima  apa jua nasihat residen selain dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat.(sudah pasti British tidak ingin campurtangan berikutan pembunuhan JWW Birch di Perak sebelum ini). Secara terhormat dan begitu halus, sultan terlucut kedaulatan dan kekuasaan terhadap rakyat dan negeri baginda sendiri. Yang tinggal hanyalah perlambangan yang lebih berbentuk adat istiadat. Lebih buruk lagi, Selangor kehilangan Lukut pada 30 Julai 1880 kepada Dato’ Kelana di Sungai Ujong. Sultan Selangor hanya dibayar sebanyak 2000 pound sterling setahun sebagai 'elaun' baginda.
Kerabat baginda yang bercita-cita besar itu tidak hanya berdepan dengan masalah dengan tentera upahan Pahang (yang membantu ketika perang saudara tersebut kerana mereka bertegas mahu berkuasa di Ampangsebagai pampasan kemenangan), tetapi juga diturunkan kuasa oleh British dengan hanya diberi pencen sebanyak 500 ringgit sebulan seumur hidup dan 200 ringgit sebagai bayaran bagi isterinya serta 30 ribu ringgit lagi sebagai bayaran pampasan. Itulah ‘hadiah’  sebuah pengkhianatan.
Betapa benarlah pengkhianatan, tamak dan hasad dengki akan terus mewarnai kehidupan umat Melayu semenjak Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, andai agama diinjak-injak oleh umat yang mengaku keislaman di lidah namun tidak di hati.
Alfatihah buat mereka. Semoga roh-roh mereka tenang di sana  dan dalam keredhaan Allah swt.
Sememangnya Melayu mudah lupa. Kita bagaimana?


Rujukan:


Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...