Memaparkan catatan dengan label Permatang Pasir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Permatang Pasir. Papar semua catatan

Ahad, 22 September 2019

Misteri Peti Besi Berpuaka di Jugra


Salam semua. Semoga  hari ini  bertambah kemuliaan dan ketakwaan kita semua. Bersyukur Atok diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menghirup keampunanNya di samping menghela keluar dosa-dosa semalam. Atok dan Tok Wan korang alhamdulillah, sihat-sihat sahaja. Harap korang pun begitu juga.Jom Atok sambung cerita semalam. Setelah lama Jugra kesepian, tiada khabar berita, tiba-tiba masuk surat khabar, berita yang pelik,misteri dan mistik. Atok ada terbaca kisah ini, terjadi pada tahun 1960. Berita tentang batuan berwajah almarhum Sultan Abdul Samad di lereng bukit Jugra berhampiran tokong Cina, tak jauh dari istana lama itu. Kemudian kisah penjaga makam diraja yang tiba-tiba lumpuh setelah ditolak jatuh oleh makhluk halus daripada bukit tersebut. Atok rasa ada baiknya korang baca sendiri petikan akhbar itu.

 
          
           
            
           


Kemudian pada tahin 1968, kewujudan peti besi ini berdepan dengan pelbagai perkara pelik dan luar biasa. Pengarah  Muzium Negara, Dato'Shahrom Yeop, pada masa itu berminat untuk mempamerkan peti besi Sultan ini untuk tatapan umum. Maka beliau dikatakan mendapat kebenaran khas daripada Tuanku Abdul Rahman, DYMM Yang Dipertuan Agong Malaysia ketika itu untuk mengalihkan dan membawa peti itu ke Kuala Lumpur.  Harus diingat beliau (YDPA) pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Langat suatu masa dahulu dan beliau mengetahui perihal peti misteri ini. Lagipun, istana tersebut masih milik kekandanya, Tengku Yaakob. Maka operasi memindahkannya dirancang. Namun beberapa perkara pelik berlaku pada hari kejadian. Salah satu daripadanya adalah kesukaran yang dihadapi kakitangan muzium untuk mengangkat peti sehingga terpaksa menggunakan khidmat kren.
"Memang pelik kerana saiz peti itu hanya satu meter panjang dan setinggi paras paha. Secara logiknya ia boleh diusung oleh empat hingga lima orang.
Pihak penduduk yang gempar dengan pemindahan peti itu membuat laporan polis.  Penjaga peti itu, YM Raja Sakiah binti Raja Mustar memanjangkan hal ini ke pendengaran Timbalan Menteri Besar Selangor pada masa itu, memohon campurtangan politik agar dipulangkan kembali peti itu.
Bahkan, seorang bomoh wanita terkenal di Jugra, memberi amaran bahawa penduduk Jugra akan ditimpa malapetaka jika peti itu tidak dipulangkan segera.

"Kejadian misteri itu tidak berakhir di situ kerana selepas dipindahkan ke muzium berlaku banyak gangguan terhadap kakitangan dan pelawat.
Ia hangat diperbincangkan apabila pengawal yang bertugas di muzium negara sepanjang tempoh pameran peti tersebut berasa tidak senang dan sering terdengar bunyi yang aneh walhal peti tersebut tidak mempunyai isi apa-apa.


"Lebih kurang seminggu kemudian pihak muzium mengambil keputusan menghantar semula peti itu ke tempat asalnya,''
Dalam perjalanan ke Jugra dengan diiringi oleh polis dengan mengambil masa lama kira-kira 7 jam.Kereta yang membawa peti itu tidak boleh bergerak dengan laju seolah-olah membawa bebanan yang amat berat. Apabila sampai di perkarangan istana kren yang sudah sedia menunggu hampir patah ketika menurunkan peti tersebut. Akhirnya Pak Ungku (Raja Kassim) dapat menurunkan peti itu bersama seorang rakannya dan dimasukkan ke dalam istana tersebut dengan mudah. Yang peliknya walau tidak bermangga, peti besi yang padu itu sukar dibuka penutupnya. Peti besi tersebut kini aman ditempatkan di Istana Jugra.

Sewaktu Peti besi milik Al Marhum ini telah dikembalikan ke Istana lama tersebut pada waktu itu ramailah penduduk tempatan dan pengunjung luar tidak mengira bangsa dan agama yang datang melihat sendiri akan Peti besi tersebut. Mungkin selama ini ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan Peti tersebut. Hanya apa bila liputan meluas dipaparkan didalam akbar barulah orang ramai mengetahuinya. Sewaktu orang ramai berduyun duyun datang untuk melihat sendiri Peti tersebut terdapat juga segelintir kumpulan,dan individu tertentu yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan, yakni perbuatan Syirik,khurafat dan bidaah. Kumpulan atau individu ini adalah KAKI NOMBOR EKOR atau 4D.Biasanya kegiatan ini akan dijalankan pada malam hari. Selain itu ada juga kumpulan atau individu yang datang bagi tujuan BERNAZAR diatas satu satu hajat atau permintaan atau penyakit.
Nauzubillahhiminzolik.

Raja Kassim Raja Jaafar, adalah pemegang amanah sebuah peti besi milik Sultan Abdul Samad - sultan keempat negeri Selangor. Pak Ungku telah diamanahkan untuk menjaga peti besi itu oleh ibu tirinya. Sejak daripada itu, beliau kerap ke istana lama itu untuk memastikan "keselamatannya". Namun demikian, ada pihak yang menceroboh kedalam Istana dan melakukan upacara pemujaan seperti mendapatkan nombor ekor dan lain-lain tujuan menggunakan khidmat bomoh. Walaupun ditegur, tetapi mereka sangat degil bahkan menengking sesiapa yang menghalang perbuatan syirik yang dilakukan. Kerana tidak tahan, Pak Ungku mengambil keputusan untuk tidak lagi menjaga peti besi tersebut.


HANYA menunggu masa untuk menyembah bumi. Itulah gambaran yang tepat kepada sebuah rumah agam yang terselindung di sebalik rimbunan semak-samun di Kampung Permatang Pasir, Jugra. Atas rasa tanggungjawab dan amanah, peti besi tersebut sudah tiada di istana usang itu kerana telah dipindahkan oleh kaum kerabat sultan iaitu Raja Kasim yang mendakwa bertanggungjawab menjaga peti berkenaan. Sehingga ke hari ini, peti besi itu tersimpan di rumah Yang Mulia Raja Kassim di Kampung Permatang Pasir.

Oklah, Atok memang tak kenal dan tak pernah berjumpa dengan Almarhum Raja Kassim ini, tapi salah seorang cucu lelakinya pernah menjadi anak murid Atok ketika Atok jadi Guru Disiplin di SMK Jugra sekitar 1997-2003. Boleh tahanlah juga perangai cucu Pak Ungku ini. Pernah jugalah merasa 'air tangan'  Atok kat punggung dan pipi dia. Tapi Atok pasti dia dah matang dan bertanggung jawab macam datuknya juga. Peti itu menyimpan 1001 rahsia. Yang menakjubkan, ia tidak berkunci, tetapi sukar dibuka. Tidak ada apa-apa di dalamnya, kecuali beberapa naskah surat khabar lama.

Rujukan....
PENGALAMAN MISTIK @ Istana Bandar & Masjid Sultan Aleadin Shah, Jugra https://bm.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=709958&extra=&page=2&mobile=2
www.google.com/amp/s/www.nst.com.my/node/441067/amp#ampshare=https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2018/12/441067/lets-learn-more-about-one-selangors-greatest-rulers-sultan
http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/2013/04/sejarah-kegemilangan-kuala-langat.html?m=1
https://hafizmusleem.wordpress.com/2013/07/31/nr2-bukit-jugra-banting/
http://projekmakam.blogspot.com/2015/05/makam-sultan-abdul-samad-makam-panglima.html?m=1
https://m.facebook.com/permalink.php?story_fbid=354809208291694&id=194689100970373
http://www.krissmerah.com/2019/07/misteri-peti-besi-istana-jugra-apa-yang.html?m=1
http://arashmisteri.blogspot.com/2012/08/peti-besi-sultan-abdul-samad-al-marhum.html?m=1







Sabtu, 21 September 2019

Bukit Jugra dan misteri peti besi Sultan


Assalamualaikum...
Salam Jumaat. Salam buat semua sahabat,rakan dan pembaca sekalian.Maaf dah lama tak turun padang..bukan nak bersenam, main bola atau bersukan. Dah tua dah Atok ni..untuk jalan-jalan ok lagi kot tapi nak berlari, menendang bagai dah tak larat dah, maklumlah kereta tua, boleh start enjin jer, round-round kampung tapi kalau bawa berlumba kat highway, rasa-rasa makan asap jer lah..takut laju-laju nanti, bukan makan asap jer, siap makan bubur kat spital. Hahahaha.
Dah lama benar Atok tak menulis kat sini. Rindu benar dengan korang. Kali terakhir Atok menulis pasal apa ya? Entahlah, Atok dak tak ingat dah. Tak kesahlah itu semua.  Apa yang penting penulisan Atok ini korang ambillah pengajaran serba sedikit sekiranya ada ilmu yang bermanfaat di dalamnya. Kalau merapu jer tulisan Atok ni, maafkanlah dan abaikanlah.

Anggaplah sebagai hiburan semata-mata. Bak kata pendeta, andai penulisan ini kurang sempurna, susun kata yang kurang arif, bahasa yang kurang sempurna. Jika ada sepatah kalam, sebaris ayat yang boleh dijadikan ilmu, kepada tuan jualah pendeta yang arif lagi bijaksana dalam perkongsian ilmu.

Hari itu, Ahad, 8 September 2019, Atok ke Banting, menjemput kengkawan lama ke majlis perkahwinan Atok bulan 10 nanti. Eh, silap! Majlis perkahwinan anak Atok! Anak Atok yang keempat nak kahwin. Anak lelaki.  Ini masuk kali keempat Atok buat majlis kahwinkan anak. Alhamdulillah, dah tiga masuk empat menantu Atok, Semuanya bagus-bagus belaka. Bagi Atoklah, perkahwinan itu ibarat membina masjid. Sebagaimana masjid penting untuk beribadat, begitulah pentingnya perkahwinan, untuk membina keluarga, membanyakkan zuriat hamba Allah yang soleh dan solehah di muka bumi Allah ini.

Jadi, dengan membantu anak-anak membina masjid, mahligai perkahwinan ini, maka dapatlah Atok, insha Allah menumpang pahala sedekah jariah buat bekalan akhirat kelak. Nak beramal sekuat para sahabat Nabi , Atok tak mampu. Nak bersedekah semampu Abu Bakar r.a.,lagilah Atok tak ada. Yang ada cuma sedikit wang simpanan gaji Atok sebagai pendidik dan doa agar Allah makbulkan hajat Atok untuk mendapat kebahagian di dunia dan akhirat, dimasukkan ke dalam Syurga bersama -sana Rasulullah s.a w tanpa hisab, serta dijauhkan daripada api neraka. Itu sahaja. Atok cuma mahu kehadiran sebentar Atok ke dunia yang fana ini menjadi penebus dosa dan bukti ketaatan semata-mata kepada Allah, bukan syirik kufur kepadaNya. Atok takut kalau-kalau umur sesingkat 60-70 tahun di dunia ini menjadi sebab musabab disiksa di alam barzakh dan neraka nanti. Nauzubillahiminzalik.

Aduuh.panjang sungguh celoteh Atok pagi ini, mengalahkan khutbah Jumaat pulak! Hahaha....Ammekkau!
Sambung balik cerita Atok ke Banting.  Lepas Atok edarkan kad-kad itu, Atok pun ondewey ke TPG untuk ziarah sedara mara di sana. So, for surelah Bukit Jugra terbentang di depan mata. Tetiba jer Atok teringatkan kisah dan peristiwa pelik dan misteri Atok ketika di puncaknya. Korang godek-godeklah entri-entri Atok terdahulu kalau korang nak tahu what's the hal going on? So, balik dari ekspedisi hantar kad jemputan tu, Atok pun godek-godek internet, cari bahan tentang misteri Bukit Jugra...seram wey!

Begini kisahnya....
Jugra dahulu memang tempat bersejarah buat negeri Selangor. Jugra juga termaktub dalam sejarah Melaka. Itu semua korang dah tahu. Berlambak bahan dalam internet tentang hal-hal gitu. Cuma yang kurang adalah kemisterian dan mistiknya Bukit Jugra di mata dan kepala penduduknya. bermula daripada sultan Abdul Samad memindahkan kerajaannya, dari Bukit Malawati, Kuala Selangor ke Bukit Jugra, Kuala Langat. Ramai orang pertikaikan pemindahan ini termasuklah orang-orang puteh penjajah British dulu. Kata diorang, Jugra itu tempat terpencil, jauh daripada peradaban manusia, tempat jin bertendang, tempat jin buang anak, sarang nyamuk dan penyakit Malaria (yang itu Atok yang tambah, bagi sedap sikit....kih3). Betul, betul, betul. Tapi itu kata deme, kata Sultan dengan penasihat baginda lain pulak. 

Kadang-kadang pemikiran kita tak nampak dan tak sama dengan pemikiran orang lain. Mungkin ada benda yang kita terlepas pandang yang diorang nampak. Atok tak tahu. Atok tak hidup zaman tu.  Kita baca jer sejarah diorang, suratan takdir mereka. Mungkin juga keputusan pindah ibu negeri ini jadi ikutan PM, bertukar dari KL ke Putrajaya. Mungkin juga atas sebab kepanasan politik ketika itu, atau mungkin juga atas nasihat ketua pawang diraja yang merasakan Sultan baharu ini tak akan selamat di istana lama itu. Wallahualam. Atok tak tahu. Atok macam korang jugak, blurr semacam. Lantak pi lah, kata orang Penang.
Setakat ini ok tak cerita Atok? Ke dah boring, panjang sangat foreplay Atok, bila nak part geli-gelinya, Tok? Gelojoh betul korang, anak muda!







Ok,oklah...tapi sebelum itu, Atok nak minta maaf awal-awal..maklumlah hal ini bahan sejarah, pasti ada nama-nama yang Atok petik atau sebut terkena batang hidung waris mereka. Atok cakap ini berdasarkan bahan di internet yang mungkin fakta atau mungkin spekulasi (khabar angin, dongeng, fitnah). Sekali lagi Atok minta maaf. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Tak ada niat nak mengaibkan nama seseorang, apatah lagi orang-orang yang telah mati. So, korang bacalah dengan open minded sebab cikgu tahu korang educated, pasal cikgu yang ajar didik korang, kan? Tahu tak apa. Hahahaha.

Kisah misteri Bukit Jugra ini tak habis-habis diperkata orang sejak dahulu kala lagi. Ada yang taksub dan mempercayai Bukit Jugra ini berpenunggu, rimau belaan Puteri Gunung Ledang. Ada yang mati-mati percaya daulat sultan yang kononnya menjadi ketua bagi para wali seluruh  Tanah Melayu. Kata mereka, Sultan Abdul Samad dilantik dan direstui oleh Wali Sunan sebagai ketua para wali. Kalau dah ketua Wali itu, faham-faham jerlah. Titah baginda jangan sesekali disanggah.

Bahkan di Bukit Jugra ini, kata mereka telah diadakan pertemuan dengan Puteri Gunung Ledang setiap 14,15,dan 16 haribulan mengikut kalendar Islam, ketika bulan purnama. Kononnya juga  hasil rompakan lanun akan dibawa ke Jugra dan disimpan dalam gua-gua di Bukit Jugra. Terdapat dua buah gua di Bukit Jugra, satu di kaki bukit, dan satu lagi di atas bukit tersebut. Sembang mereka lagi, ada laluan rahsia dan gua -gua tempat harta karun milik keturunan Sultan selama 500 tahun tersimpan dan dikawal ketat oleh jin-jin. Hanya mereka yang terpilih sahaja dapat menembus pandang gua dan harta tersebut yang dikatakan gateway atau stargate ke alam jin. Wah, dah macam cerita 'Pirates of the Carribeans' dan filem 'Stargate' pulak! Dikatakan di bawah bukit inilah terdapatnya pelabuhan perdagangan pesat di alam jin. Keras tempat ini kata mereka.

Bagi Atok, memanglah keras Bukit Jugra ini. Batunya jenis batuan granit, pasal itu ler ada bekas kuari di  situ dahulu. Lagi satu Atok sangsi, biasanya gua terbentuk di batuan batu kapur macam kat Batu Caves, bukan di batuan granit seperti di Bukit Jugra ini. Atokkan cikgu Geografi, jangan nak kelentong Atok! Orang Jugra pun tak pernah cerita ada gua kat situ.

Pasal alam jin tu, Atok boleh terimalah sikit, pasal Pembesar- pembesar istana dahulu memang ada pakai khidmat jin ini. Itulah pasal. Daripada servis peribadi terus ikat perjanjian Saka 7 keturunan. Bodoh dan singkatnya pemikiran dan ilmu agama mereka.  Beriman kepada Allah dan RasulNya tetapi pada masa yang sama syirik kepadaNya. Kalau dah jin kau jadikan pendamping, hancurlah iman dan amalan kau dipesongkannya. Sampai sekarang masih berkeliaran jin-jin saka keturunan tak bertuan ini di sekitar Jugra dan kampung-kampung berhampiran. Syukurlah generasi moden ini dah tak perlukan khidmat nasihat jin lagi. Mereka dah hantar anak-anak cucu mereka ke sekolah dan sekolah agama, mencari keredhaan Allah,  bukan kemurkaanNya. Bahkan Istana Lama Jugra di Kg. Bandar pun sudah dibaik pulih dan dijadikan pusat tahfiz oleh JAIS.

Sebelum korang terkeliru dan pening kepala, biar Atok jelaskan. Dekat Jugra ini ada empat buah istana:

1. Istana Bandar Temasya...
Istana asal dibina ketika pemerintahan Almarhum Sultan Abdul Samad. Di istana ini semua upacara dan istiadat rasmi serta program istana dijalankan.
Tiada lagi wujud kesan bersejarah istana ini.
2. Istana Sedang Masa...
Istana Sultan Abdul Samad yang kedua ini lebih kecil dan berfungsi lebih kepada rumah agam sultan untuk 'retreat' daripada tugas rasmi termasuklah bercucuk tanam.
3. Istana Bandar....
Istana di Kampung Bandar ini merupakan istana baru dan mula dibina oleh baginda Almarhum Sultan Alaudin Syah pada tahun 1899 hinggalah disiapkan pada 1906.
Namun, Istana ini terbiar sejak 1938 ketika kesultanan Selangor berpindah ke Klang.
Namun, istana ini telah dibaik pulih oleh kerajaan negeri sehinggalah sekarang.
4. Istana Long Puteri/Istana Maimon...
Istana ini kepunyaan cucunda Sultan Abdul Samad. Terletak berhampiran Istana Jugra. Tidak diketahui tarikh pembinaannya. Kini tinggal puing-puingnya sahaja.



Kisah Peti besi Sultan

OKlah, berbalik kita kepada kisah Sultan berhijrah ke Jugra. Sesampai di Bandar Temasha baginda bersama-sama pengikutnya telah mendirikan sebuah istana , di samping beberapa buah rumah pengiring-pengiring baginda. Sultan Abdul Samad memerintahkan pengikutnya membina keperluan asas seperti jalan darat, pengkalan perahu di Kuala Sungai Langat serta kawasan pertanian. Setelah dapat mengawal pengeluaran bijih timah, baginda mula membina istana baru di Jugra  Lama pada tahun 1872 yang lebih hampir dengan pelabuhan Batu Hampar bagi memudahkan pemunggahan bijih. Istana baru yang dibina oleh  Sultan Abdul Samad di Bukit Jugra di namakan “Istana Sedang Masa”. Jangan tanya Atok kenapa nama itu dipilih? Sungguh... Atok tak tahu. Mungkin ada kisah di sebalik nama itu. Korang tanyalah orang istana sendiri.

Istana yang dibina di atas sebidang tanah lapang di pinggir Bukit Jugra  dianggap kedudukannya yang paling baik. Namun, untuk ke lokasi istana ini, kita perlu melalui pekan Permatang Pasir, belok ke kiri menghala ke Bukit Jugra. Setelah melintasi kompleks permakaman diraja Selangor dan petting zoo Rusa belaan Sultan, kita akan melalui tapak bekas relau kayu arang lama...rasa-rasa Atok dah takde dah relau-relau tu lagi...Last Atok tengok awal tahun 1980an. Dah tak ada lagi pasal permintaan untuk kayu arang dah kurang kecuali tukang bakar sate. Tak jauh ke depan daripada lokasi relau itu, terdapat sebuah tokong Cina. Jalan ke depan sehingga berjumpa rumah-rumah tradisional Melayu yang usang dan agak berjauhan antara satu sama lain

Tak jauh dari situ, kira-kira 900 kaki dari jalan raya, dalam kebun buah dragon fruit (dahulu katanya kebun sawit dan sebelumnya dusun buah-buahan kot), tersergam 'indah' istana tersebut. Kini, hanya terdapat kesan tapak Istana Sedang Masa yang menjadi kenangan.



Dahulu, Istana ini merupakan sebuah bangunan dua tingkat.  Rumah agam bertiang 6 batang konkrit gergasi, berdinding dan berlantai papan kukuh.  Di bahagian bawahnya setinggi 10 kaki. Bumbungnya beratapkan genting. Di dalam salah satunya bilik di tingkat atas istana ini, tersimpan satu peti besi. Peti yang berukuran  4 x 2 ½  kaki persegi sentiasa diselimuti dengan kain kuning. Peti besi ini pada mulanya di simpan di Istana Sedang Masa yang digunakan oleh baginda untuk menyimpan hartanya yang berharga, dokumen-dokumen penting  dan beberapa bilah keris kerajaan negeri Selangor.  Hal ini diperakui oleh ramai VVIP British yang menjadi tetamu baginda kerana baginda kerap menunjukkan barangan kebanggaan baginda kepada mereka daripada peti tersebut. 






Raja Sakiah binti Tengku Mustar,
 cucunda almarhum Sultan Abdul Samad

Namun, setelah kemangkatan baginda pada tahun 1898, dan setelah beberapa generasi, istana tersebut mula terabai. Kali terakhir istana ini berpenghuni sekitar 1938. Menurut, Raja Sakiah binti Tengku Mustar, cucunda almarhum Sultan Abdul Samad, istana ini berserta tanah, kemudiannya dijual oleh bondanya kepada Tengku Muda Musa dengan harga $1000 ketika zaman Jepun dahulu. Kemudian Tengku Muda Musa menjualnya kepada Tengku Yaakob, abang Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada tahun 1958. Menurut Raja Sakiah, memang tanah dan rumah itu sudah menjadi milik orang lain tetapi peti besi tersebut tetap milik keluarganya. Peti besi itu kekal di istana tersebut manakala rumah dan tanah tersebut diuruskan oleh satu keluarga Cina untuk Tengku Yaakob.

Terdapat khabar angin yang mengatakan peti besi itu berkemungkinan berpuaka telah lama berlegar-legar di telinga khalayak ramai.  Pernah ketika Zaman Jepun dahulu, beberapa orang tentera Jepun yang cuba mengalihkan peti besi itu telah mengalami sakit kepala yang teruk dan kedengaran suara-suara aneh dari dalam istana tersebut. Akhirnya mereka memulangkan dan meletakkan kembali peti itu ke tempat asalnya. Istana terbiar itu terus menjadi tempat bernazar dan merangkung oleh manusia-manusia yang tipis iman, melakukan amalan khurafat dan syirik kepada Allah. Maka menjadi bertambah sombonglah jin-jin di situ apabila manusia sebegini meminta pertolongan makhluk selain daripada Allah SWT.

Kemudian, kira-kira 70 tahun yang lalu, sekitar tahun 1949, penduduk Bukit Jugra gempar dengan kisah seorang lelaki yang digelar dengan nama "Mat" yang diganggu setelah duduk diatas peti besi yang disimpan didalam salah sebuah bilik istana lama Jugra. Alkisahnya, Mat memang seorang kaki memburu di kawasan Bukit Jugra dan kerap singgah masuk ke Istana Lama (Istana Sidang Masa) untuk menghilangkan penat. Namun pada hari kejadian, entah kenapa Mat begitu berani menjengah ke setiap bilik istana lama tersebut dan terlihat sebuah peti besi berwarna hitam didalam salah sebuah bilik.

Mat begitu berani mengetuk peti besi tersebut sehingga bunyi gema ketukan kedengaran sehingga ke luar istana. Orang-orang lama disekitar ada menceritakan bahawa peti besi itu ada penunggu yang menjaganya dan "keras" .Mat begitu teruja, sehingga berani duduk diatas peti besi tersebut untuk menguji sejauh mana "keras"nya. Sebaik sahaja punggungnya mencecah permukaan peti, seluruh badannya tiba-tiba berubah menjadi hitam legam. Seluruh anggotanya terasa longlai dan akhirnya Mat terjelepuk jatuh.

Mat menyesal atas kesombongannya dan bulu romanya menegak apabila terdengar suara seperti mentertawakannya. Dalam keadaan kulitnya hitam legam Mat mengesot untuk keluar daripada istana itu sehingga sampai ke halaman istana.Mat ditemui orang ramai terbaring dan selepas itu kesihatannya mulai merosot walaupun doktor yang merawat gagal menemui punca kerana pada zahirnya Mat nampak tidak sakit tetapi hakikatnya badannya begitu lemah.  dia merintih dan meracau-racau. Antara yang diracaunya ialah perbuatan duduk di atas peti besi itu. Tiga bulan selepas itu, Mat Akhirnya meninggal dunia.

Oklah. Cukup sampai di sini sayang. Relakan perpisahan ini. Walau berat di hati dan berat perasaan, namun kurelakan jua. Itulah antara lirik lagu nyanyian Dato'Malek Ridzuan, anak jati Jugra yang popular satu masa dahulu. Mata Atok dah berat ni. Lagipun bagai terngiang-ngiang di telinga Atok suara Tok Wan korang merayu-rayu Atok masuk ke bilik. Waktu tidur katanya.  Tetiba jer mata dan badan Atok kembali segar. Mungkin sebab pekena kopi Tongkat Ali dengan biskut lutut lepas Isyak tadi kot. Sorry guys, esok Atok sambung cerita. Malam ini Atok nak jadi macam Panglima Hitam, pendekar Sultan dahulu, teroka gua dan Bukit Jugra. Assalamualaikum.


Selasa, 19 Disember 2017

Kisah Sultan dan Tok Batin di Jugra

Assalamualaikum semua. Salam Maulidur Rasul. Syukur kita hadrat Ilahi  kerana dengan limpah rahmat dan hidayahNya kita masih dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta diberi nikmat kesihatan,walaupun ada diantara kita diuji dengan sedikit kesakitan atau penyakit.Maklumlah yang dah masuk  5 series ini macam-macam penyakit timbul, dengan kencing manisnya, darah tingginya dan lain-lain, Anggaplah itu semua kifarah atas semua dosa-dosa kita. Semoga kembalinya kita kepadaNya kelak dalam keadaan suci bersih tanpa dosa dan hutang.
Sesungguhnya kita umat Islam ini bersaudara. Siapa juga kita, dari mana punasal keturunan, pangkat, jawatan,semuanya sama di sisi Allah kecuali takwa.  Ingatlah, Allah tidak memandang rupa paras kita tetapi hati nurani kita. Melayu, India, Cina, Arab, Pakistan, Afrika,hatta Orang Asli yang beriman kepada Allah SWT pun merupakan saudara seagama kita.Apa jua kesakitan yang dialami mereka, sepatutnya kita  Umat Melayu di Malaysia ini terasa keperitannya,ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa. Wow, panjang sungguh mukadimmah Atok kali ini.  Hahahaha....layan aje lah ya.
Entri Atok kali ini ada kena mengena dengan hubungan kaum di Malaysia ini, lebih khusus lagi hubungan kita dengan Orang Asli di Malaysia terutamanya di TPG dan Kuala Langat. Sebenarnya Atok terpanggil untuk menulis tentang orang Asli ini setelah ditanya oleh seorang sahabat tentang hubungan Sultan Abdul Samad dengan kaum ini di Jugra dan Pulau Carey. Jadi, bila Atok check-check kat internet, perggh...memang ada cerita menarik yang berlaku dalam istana Baginda ketika itu...Kaji punya kaji, Atuk semakin menghormati kaum ini walaupun dari segi fizikal dan taraf sosio-ekonomi mereka terpinggir. Kalau korang nak tahu apa citernya, duduk diam-diam, jangan tukar channel. Atok nak ke bilik air kejap.tungguuuu....
Begini ceritanya.... Ooops tapi sebelum itu Atok nak refresh pengetahuan korang tentang kaum Asli ini. Korang bacalah dan hadamkan maklumat yang Atok dapat dari internet ini. Jangan risau, maklumat boleh diterima pakai pasal yang  menulisnya penyelidik bertauliah. Ya. Atok dah semak credentials diorang. Memang kerja orang universiti, bukan makanan budak-budak serenti. Cuma kalau korang tak faham apa diorang tulis, itu masalah korang, bukan masalah Atok. Kan Atok dah khabarkan pentingnya English Education...Reda dan redah jer lah.
Jadi dalam penulisan kali ini, Atok pecahkan perbincangan kita kepada 3 bahagian, yang sebenarnya menjurus kepada jawapan yang kawan Atok tanyakan tadi.

A.  Sejarah dan Asal-usul Orang Asli di Malaysia terutamanya di Selangor dan Jugra





Itu penulisan ilmiah tentang mereka. Cuma nak tambah sikit. mereka ini memang orang Asal Semenanjung Tanah Melayu kerana mereka terlebih dahulu menetap atau pun berada disini lebih awal daripada kita, rumpun-rumpun Melayu yang lain seperti Mendailing, Rawa, Acheh, Jawa, Bugis, Banjar dan lain-lainnya yang hidup di merata pelusuk Nusantara ini. Kita dan mereka memang kaum bumiputra atau anak jati Semenanjung Tanah Melayu, bukan migran seperti Cina, India,atau Arab yang ke mari berikutan pejajahan kuasa kolonial dan imperalis Barat. Tidak wujud lagi ketika itu negara bangsa Malaya, atau Indonesia.Yang ada hanyalah Nusantara.




Oh ya, berbanding 3 suku kaum orang Asli , Senoi dan Negrito, suku kaum Melayu Proto ini agak terkemudian berhijrah kerana mereka asalnya dari Sumatera yang mana mereka menyeberangi Selat Melaka kerana tidak mahu memeluk agama Islam yang mula tersebar ke seluruh Nusantara bermula dari Pasai, Perlak, Acheh. Mereka dipanggil Melayu Proto kerana susuk tubuh, raut muka mereka mirip Melayu, dan mereka boeh berbahasa Melayu.

Mereka berpecah kepada 3 kumpulan mengikut 3 orang ketua dan pembesar dan mendarat dan berjumpa di Gunung Temu yang terletak di sempadan Negeri Sembilan dan Pahang. Dari situlah mereka menamakan diri mereka suku kaum Temuan. Dari situ mereka berpecah kepada kumpulan yang lebih kecil dan menetap di bukit-bukit  dan kawasan pedalaman. Mengapa mereka memilih kawasan pedalaman yang jauh dari ketamadunan dan peradaban manusia ketika itu? Banyak sebabnya. Salah satunya kerana mereka selalu diserang dan dibunuh oleh etnik lain seperti Batak dan suku kaum Melayu yang " ganas " seperti Melayu, Rawa, dan Minangkabau yag memiliki kekuatan persenjataan yang lebih baik. Mereka berasa aman dan tenang apabila berada bebas daripada musuh-musuh tradisi mereka walaupun jauh dari manusia lain. Semua ini diceritakan secara lisan oleh datuk nenek moyang mereka.

Di Selangor, kaum Temuan merupakan suku kaum Asli teramai berbanding yang lain.

Kedudukan mereka berselerak di kawasan perbukitan. Memang mereka ini lebih " bertamadun" berbanding orang asli lain. Mereka pernah memiliki kerajaan berpusat di Klang sebelum kewujudan Kesultanan Bugis di Selangor. Baca link di bawah ini:

Ertinya memang berpindah randah budaya orang Asli terutamanya jika berlaku kematian dalam kumpulan mereka ataupunkerana tanah pertanian mereka sudah tidak subur lagi. Tetapi mereka tidaklah berhijrah terlalu jauh kerana hutan masih luas. Mereka akan menetap di kawasan itu dan menanam tananman ruji seperti ubi, padi huma, sekoi, dan durian. Ya. mengikut cerita memang diorang ini 'hantu' durian''. Kalau musim durian, mereka akan menetap di situ sepanjang musim. Sepanjang dua bulan itu, mereka tak makan apa-apa selain durian,durian,durian. Itu durian hutan, kalaulah D24 atau Musang King,dah kaya raya dah diorang ni...















Di Kuala Langat, Kaum Temuan boleh ditemui di petempatan mereka di sekitar mukim Tanjung 12. Bukan mereka sahaja kaum asli di Kuala Langat. Suku kaum asli Mah Meri pun tinggal di persisir pantai di Pulau Carey ,Tanjung Sepat hinggalah ke  Sungai Sepang Kecil di sempadan Selangor - Negeri Sembilan. Kalau suku kaum Temuan "pakar" dalam hal ehwal hutan, suku kaum Mah Meri ini tidak kurang hebat juga. Mereka "ahli" dalam penangkapan hasil laut. Cakap jer lubuk mana, memang diorang tahu. Kebelakangan ini Mah Meri terkenal ke seluruh dunia kerana kemahiran mereka mengukir patung nenek moyang dipentaskan oleh Kementerian Pelancongan. Ribuan pelancong asing pernah tiba di Pusat Budaya Mah Meri di Pulau Carey. Oh ya..untuk pengetahuan korang nama Pulau Carey diberi sebagai penghormatan kepada V. Carey, pengusaha ladang yang memajukan pulau tersebut menjadi ladang pertanian di bawah pengurusan Jugraland dan Carey Island mulai tahun 1901. Sebelum ini Pulau Carey dipanggil Pulau Alang ataupun Telok Gunjeng oleh kaum asli dan penduduk sekitar Jugra dan TPG. Korang tahu tak apa maksud Gunjeng tu?  Apa dia? Tak,tak, Gunjeng bukan perkataan lucah atau menghina. Kalau tak tahu bertanya....jangan gomar memandai-mandai yai! Gunjeng merujuk kepada sejenis paku pakis yang banyak tumbuh di situ....Itu jer.































B. Hubungan  Orang Asli dengan Kaum-kaum Lain

Sebagaimana yang diberitahu tadi hubungan antara kaum ini kurang mesra bahkan hostile. Orang Melayu menganggap orang Asli sebagai golongan kafir dan ganas. Malah mereka menganggap orang Asli mengamalkan ilmu hitam yang boleh memudaratkan kehidupan mereka. Sememangnya orang Asli tidak beragama. Mereka mengamalkan animisme, kepercayaan terhadap semangat hutan dan datuk nenek moyang. Kuasa sihir mereka kuat dan menakutkan. Masyarakat Melayu yang kurang kuat pegangan agama pun mempercayai pantang larang dan kepercayaan yang karut marut sehingga boleh menjejaskan akidah. Kepercayaan terhadap kuasa ghaib di hutan, adanya tangkal pelindung diri, ilmu kebal Dan sebagainya. Orang Melayu tidak berani untuk masuk ke hutan dalam kumpulan kecil, takut akan orang Asli dan sihir mereka. Begitu juga orang Asli. Mereka takut ditangkap, dijual sebagai hamba atau dibunuh jika terserempak dengan kumpulan ' pendekar' Melayu yang menjalankan pemerdagangan manusia untuk dijadikan hamba sahaya buat keluarga bangsawan yang sanggup menawarkan harga yang tinggi. Lelaki dewasa dibunuh, anak lelaki dijadikan hamba di ladang, gadis dijadikan hamba di rumah. Bagi mereka, Melayu memang jahat.Itulah yang diulang-ulang oleh penglipur Lara mereka.
Tetapi tidak semua kaum Asli ini mengalami trauma yang sama. Di sesetengah tempat, interaksi sosial bermula dengan keperluan mendapatkan barangan hutan daripada orang Asli manakala keperluan orang Asli dapat dipenuhkan oleh orang Melayu. Transaksi dilakukan secara barter trade yang menampakkan eksploitasi ke atas kaum Asli yang 'bodoh' dan naif ini.
Sebagai contoh antara keperluan orang Melayu adalah rotan, damar, getah percha, herba perubatan dan pelbagai lagi produk hutan. Keperluan orang Asli pula ialah tembakau, beras, periuk belanga, pakaian, kain sarong, kelambu, pisau, parang, dan peralatan besi yang lain. Perdagangan berat sebelah ini terus berlaku tanpa sungutan. Mereka seolah-olah reda dengan keadaan yang menekan itu kerana itulah satu- satunya cara ke arah ketamadunan. Urusniaga dijalankan oleh pihak orang Asli meletakkan barangan niaga mereka di suatu lokasi yang dipersetujui. Kemudian mereka beredar dari situ meninggalkan barangan mereka until diambil oleh peraih Melayu yang kemudiannya meletakkan barangan tukaran yang dipersetujui untuk diambil kemudiannya oleh puak orang Asli itu. Lama kelamaan hubungan perniagaan ini menjadi pembuka persahabatan anta kedua-dua kaum sehingga ada di antara kaum Asli ini meniru budaya dan adat resam orang Melayu sehingga ada yang memeluk Islam malah mengahwinkan anak mereka dengan pemuda Islam. Apabila mereka memeluk Islam, terasa ukhuwah muslimin kerana Islam tidak membeza-bezakan umatnya walau apapun latar belakang mereka. Biasanya berlaku asimilasi sepenuhnya ke dalam adat dan budaya Melayu.



Kepada orang putih seperi Inggeris, Belanda dan Portugis pula, orang Asli dan orang Melayu sama sahaja, bodoh dan pemalas. Bagi mereka orang Melayu bodoh sombong, bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh diikut. Cepat berpuas hati dengan apa yang ada, mengambil jalan mudah menyelesaikan masalah, tiada wawasan duniawi. Begitu juga orang Asli, bodoh alang, lurus bendul, memiliki sifat negatif orang Melayu tetapi merendah diri yang melampau. Memang Ada kebenaran kata- kata penjajah ini. Orang Asli bagi mereka lebih mudah dipujuk untuk membuat sesuatu pekerjaan selagi tidak ditekan. Tetapi yang buruknya pihak Inggeris banyak menjadikan mereka sebagai kajian medis mahupun anthropology mereka. Mereka juga berkahwin dengan orang Asli untuk melampias nafsu kejantanan mereka. Maka lahirlah golongan  Serani yang beribukan Melayu. Pendedahan kepada bangsa penjajah ini juga menjadi penyebab kematian akibat cacar sebagaimana kaum kaum rimba yang lain sepert Mayan dan Aztec di Amerika Tengah.

Hubungan Orang Asli dengan kaum imigran Cina dan India juga pada mulanya berkaitan bekalan bahan mentah dari hutan, setelah monopoli kaum Melayu dapat dipecahkan. Mungkin juga hubungan ini telah lama berlaku sejak kehadiran pedagang China ke Melaka. Sudah semestinya mereka kesunyian dan mendapatkan ketenangan setelah mengahwini perempuan Melayu yang kafir dan tidak beragama ini. Mana mungkin orang Melayu beragama Islam akah mengahwinkan anak2 perempuan mereka dengan golongan kuffar ini. Maka lahirlah Cina Peranakan dan golongan Chettiar. Orang Cina juga mengeksploitasi kaum rimba ini dengan menjadikan mereka ketagihan Arak sebagai balasan atas tenaga  murah dan kesetiaan kaum yang cintakan kedamaian dan pemalu ini.
Kini mereka masih menjadi ' hamba tebusan' pihak pemaju ( dengan izin dan pakatan bersama ahli politik yang memerintah) yang sewenang- wenangnya merampas tanah adat yang sepatutnya dilindungi undang- undang- kanun tanah negara. Kini mereka tidak lagi duduk diam Dan berlalu sepi. Lawan tetapi lawan walaupun di mahkamah. Mereka juga punya kawan dalam negara dan di luar negara, memberi sokongan moral, bantuan kewangan dan sokongan guaman untuk mereka. Perubahan sikap ini lahir kerana mereka kini generasi merdeka walaupun mereka masih ketinggalan berbanding kaum- kaum lain di Malaysia.


C. Hubungan kaum Asli dengan Keluarga Diraja


Walaupun hubungan kaum  di peringkat akar umbi antara Melayu dan Orang Asli ini agak pesimis dan nominal, tetapi di peringkat pucuk pimpinan tertinggi negeri, hubungan baik dengan lembaga adat kaum Asli ini mesti dipelihara dan dijaga. Hal ini kerana orang Asli juga merupakan rakyat jelata yang harus dilindungi kerana merekalah yang menjadi pengikut yang setia untuk menjaga keutuhan dan perbendaharaan hasil hutan negeri. Kepimpinan Batin diiktiraf dan diberi ganjaran dan keistimewaan. Cara paling berkesan adalah menerusi perkahwinan. Perkahwinan antara keluarga Diraja dan  keluarga Batin  memberi keuntungan kepada kedua-dua dua pihak walaupun mobiliti sosial untuk anak gehara ini agak sukar dalam percaturan takhta Diraja. Mengikut catatan, satu contoh perkahwinan ini berlaku dalam keluarga Diraja Selangor apabila dikatakan bonda Sultan Abdul Samad  bernama  Che Lipah dari keturunan orang Asli.. Bahkan baginda juga dikatakan turut memperisteri Batin Pahang. (sebelum kehadiran Inggeris, jawatan dipegang oleh seorang wanita sebelah ibu). Mungkinkah ini cinta pandang pertama ataupun percaturan politik tidaklah dapat diketahui tujuannya. Wallahualam. Yang pasti kaum Asli Mah Meri di Jugra mendapat keistimewaan akses istana sepanjang pemerintahan baginda. Mereka diberi tanggung jawab menguruskan peralatan pemburuan baginda. Anak- anak baginda juga menggunakan runding cara sebegitu dengan golongan elitis kaum Asli ini dalam menjalankan amanah memerintah negeri.

Kesimpulannya, peranan orang Asli dalam sumbangannya kepada pembangunan negara jangan dan tidak boleh dinafikan. Sejak dahulu lagi mereka membantu pemerintahan sebagai penjaga khazanah hutan negeri,  pengumpul hasil hutan untuk pasaran terbuka, pengamal perubatan herba, penjejak hutan bagi kerja- kerja pembinaan jalan raya dan kereta api, bekerja di ladang walaupun sebagai hamba, menjadi perisik dan penjejak pengganas komunis bagi pihak polis dan tentera ketika zaman darurat dan masa kini. Mereka juga kini berbanding bahu bersama-sama rakyat Malaysia yang lain membantu diri, keluarga Dan negara tercinta mengikut cara mereka tersendiri. Jangan lagi dipanggil mereka Sakai. Bravo sahabatku.  Kini kau dan aku bersatu.

Rujukan:

AMALAN TABU SUKU MAH MERI TANJUNG 
SEPAT, BANTING SELANGOR
(Traditions and Taboos of the Mah Meri Tribe of Tanjung Sepat, Banting, Selangor)
Azyantee Mohd Zawawi
azyanzarra@gmail.com
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Universiti Putra Malaysia

CHITA’ HAE
Culture, Crafts and Customs
of the Hma’ Meri
in Kampung Sungai Bumbon,
Pulau Carey
 editor
REITA RAHIM
2007
CENTER FOR ORANG ASLI CONCERNS
TOMPOQ TOPOH

SUBANG JAYA • MALAYSIA

J. Collins
Malay dialect research in Malysia: The issue of perspective
In: Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde 145 (1989), no: 2/3, Leiden, 235-264

This PDF-file was downloaded from http://www.kitlv-journals.nl

BARBARA S. NOWAK
Massey University
SINGAN KN÷N MUNTIL
Btsisi’, Blandas, and Malays
Ethnicity and Identity in the Malay Peninsula
Based on Btsisi’ Folklore and Ethnohistory.
Keywords: Btsisi’—ethnic identity—origin myths—slaving—Orang Asli—Peninsular
Malaysia

Asian Folklore Studies, Volume 63, 2004: 303–323


Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...