Memaparkan catatan dengan label mosque. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mosque. Papar semua catatan

Selasa, 9 Disember 2014

Panggilan Kaabah di TPG


"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak…..
Mekah 1850
Mendengarkan kalimah tersebut, terngiang kembali dalam ingatan setiap kali ketika aku terpandang potret kaabah di rumah arwah bapaku di TPG.  Potret berbingkai catan emas itu dibeli abahku ketika beliau mengerjakan haji pada tahun 2002, dua tahun sebelum dijemput Allah menemuiNya. Aku teringat saat abahku melangkahkan kaki setelah azan dikumandangkan oleh seorang kenalan arwah di pintu rumah itu. Kesayupan azan menderaikan takungan air mata para hadirin termasuk aku enam beradik. Aku memeluk erat tubuh abahku seolah tidak rela berpisah dengannya, namun aku reda ketentuanNya, apatah lagi abahku kini dijemput ke tanah suci Mekah sebagai tetamuNya. Kami anak beranak berpeluk-pelukan dan aku mencium pipinya tanda kasih. Pemergiannya selama lebih 40 hari itu kami restui dan redai.  Aku sekeluarga mendoakan agar abahku mendapat haji yang mabrur. Sudah lebih 10 tahun masa berlalu, belum lagi ada dalam keluargaku yang berangkat menunaikan haji termasuk diriku. Aku pasrah, walaupun perasaan ingin ke baitullah di Makkatul Mukarramah membuak-buak, tetapi kemampuan kewanganku belum ada. Namun aku tetap yakin dan percaya doaku pasti dimakbulkan Allah pada suatu masa nanti.
Haji merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama', fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:
"Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah"
(Surah Al- Baqarah ayat 196)
Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-
"Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu bagi yang sanggup berjalan diantara mereka. Dan barang siapa yang mengingkarinya, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari sekalian alam"
(Surah Ali Imran ayat 97)

Mekah 1900
Aku pernah membaca bahawa Imam Al-Ghazali menyatakan  tentang Rukun Islam kelima ini,
" Mengerjakan haji  dapat meninggalkan kesan merasai kerinduan yang sangat mendalam kepada Allah.”

Kaabah adalah tempat yang boleh memberi hidayah, dan oleh kerana itulah ramai yang berubah menjadi lebih baik selepas menziarahi Mekah. Sesungguhnya, mereka yang terpilih dari kalangan jutaan umat Islam di seluruh dunia ini teramat istimewa.Terpampang jelas di wajah mereka keriangan yang mencerminkan keikhlasan hati. Sememangnya, panggilan haji adalah anugerah Allah buat hambaNya yang taat, sanggup berkorban harta, jiwa dan raga kepada Allah,dan juga sebagai bukti cinta mereka kepada Rasulullah SAW, Khatammul Anbia. Bagi para Jemaah haji, pelaksanaan rukun Islam kelima ini membuktikan hubungan teristimewa antara hamba dengan TuhanNya, dan juga pelengkap keislamannya.
Baitullah 1900
Aku begitu kagum dan terpesona ketika membaca di akhbar-akhbar lama dan mendengar kisah-kisah  pelayaran umat Islam terdahulu sewaktu mereka menunaikan Ibadah Haji. Segala perintah Allah di patuhi dan dilaksanakan dengan rasa tawaduk, ikhlas dan rendah diri serta setiap amalan sama ada rukun, fardhu atau sunat hendaklah di laksanakan dengan bersungguh-sungguh semoga mendapat rahmah, keampunan dan keredhaan daripadaNya. Justeru itu, mereka dengan rela hati telah meninggalkan segala yang mereka sayangi termasuk kampung halaman, keluarga, sanak-saudara, harta benda dan sahabat handai dengan mengharungi lautan semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Aku rasa bertuah dan amat bersyukur kerana dilahirkan ke dunia ini ketika banyak berlaku perubahan demografi, sosial dan teknologi antara yang lama dengan yang baru. Maksud aku, hidup dalam tahun-tahun 1960an dan 70an seterusnya 80an, membolehkan aku menyaksikan  perubahan gaya hidup dan minda masyarakat Melayu ‘old school dan new school’, dan kecanggihan teknologi . Sebagai contoh, aku pernah menyaksikan  dan turut serta meraikan bakal haji ke Mekah melalui pelayaran kapal laut dan juga penerbangan.Walaupun nampak remeh bagi sesetengah orang  tetapi bagi aku, ianya begitu bermakna dan aku bersyukur.
Maka, aku terpanggil untuk menulis dalam entri kali ini, kisah pahit getir, jerih payah, penat lelah pelayaran para Jemaah haji membelah samudera demi menyahut undangan teristimewa anugerah Allah ke rumahNya di Baitullah, melaui pembacaan aku di dada-dada akhbar dahulu kala ketika British bermaharaja lela di Malaya dan Belanda menginjak-injak umat Islam di Indonesia. Tapi sebelum itu aku bahagi-bahagikan ceritera ini kepada beberapa bahagian, iaitu:

i.   pengenalan dan kajian ilmiah pelayaran Umat Islam Nusantara ke Jeddah merentas samudera dan masa,
ii.  persediaan dan halangan umat Islam ke Mekah,
iii. pengalaman dan gambaran ketika mereka berada dalam pelayaran,
iv. Kesukaran perjalanan mereka dari Jeddah ke Mekah dan Madinah

I. Pengenalan
Dahulu, para jamaah haji tidak naik kapal layar khusus untuk ke Mekah. Mereka ikut kapal dagang dan berpindah randah dari satu kapal ke kapal lainnya.  Dari merata-rata pelabuhan di Nusantara, jamaah haji berkumpul di pelabuhan Aceh, kemudian menunggu kapal yang akan mengangkut mereka ke Hadramaut, Yaman, atau langsung ke Jeddah. Kerana  menjadi tempat transit utama, Aceh terkenal sebagai serambi Makkah. Perjalanan menggunakan kapal layar tidaklah mudah.  Sehingga pertengahan abad ke-19, tidak sampai separuh jamaah haji yang mampu berangkat hingga ke Makkah, kerana sudah meninggal dunia di perjalanan. 

Pada tahun 1860-an, perjalanan haji sudah menggunakan kapal wap. Perubahan itu berlaku selepas pembukaan Terusan Suez yang menghubungkan Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Pembukaan itu menjadikan jumlah kapal wap dari Nusantara ke Eropah yang singgah ke Jeddah semakin banyak.
Jemaah haji 1880
Sejak 1900 hingga 1975,  sebahagian besar jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Ketika itu,  bakal haji Nusantara biasanya menggunakan  kapal –kapal wap milik Belanda, iaitu Nederland, Rotterdamsche Lloyd, dan Blue Funnel Line. Pelayaran melalui Selat Melaka meliputi pelabuhan-pelabuhan utama di Betawi, Singapura, Pulau Pinang. Terdapat juga laluan khusus untuk Jemaah dari Indonesia meliputi pelabuhan utama di Ambon,Sulawesi, Balik Papan, Banjarmasin, Betawi seterusnya ke Padang . Meski pun demikian, masalah kesejahteraan jamaah haji tidak diperhatikan oleh pemilik dan petugas kapal-kapal tersebut. Keadaan di dalam kapal, jamaah haji bersesak-sesakan. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.
Berdasarkan jadual di bawah, jumlah tertinggi jemaah ke Mekkah pada tahun 1928 iaitu seramai 9875 manakala paling sedikit seramai 45 orang pada tahun 1940. Tiada rombongan haji dilakukan pada tahun-tahun 1915-1918 dan pada tahun 1941-1945, iaitu ketika berlakunya Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua kerana tiada jaminan keselamatan pelayaran.

Penerbangan haji bermula  pada tahun 1962. Penumpangnya terdiri daripada menteri,ahli perniagaan, dan orang kenamaan. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.  Ramai yang memilih kapal laut berbanding kapal terbang kerana pelayaran di laut kini lebih selesa berbanding dahulu dan sudah menjadi tradisi mereka menggunakan kapal laut.

Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah.  Bahkan pada tahun-tahun 1980-an, ramai bakal haji berusia di bawah 40-an. Trend ini berterusan sehingga kini kerana kesedaran agama tentang ibadah haji telah meningkat di samping mereka dapat mengerjakan haji tanpa perlu bercuti lama untuk terus membina kerjaya  dan penghidupan mereka selepas menunaikan rukun Islam itu.

Kapal Haji ' Malaysia Raya'
Berbalik kepada kisah pelayaran, mereka, menggunakan kapal wap merupakan zaman penuh mencabar buat bakal-bakal haji ini. Nama-nama kapal haji seperti  Mendam Berahi (abad ke-15), Subulus Salam (1854), Armanestan, Antirorchus, Bellophon , Cyclops dan Potesilaus (1936), Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Autolycus, Eurybates, Glaucus, Idomeneus, Bellerophon, Laomedon, Melampus (1940-an)  Anshun, Anshing, Telemachus, Tyndareus, Prometheus, Myrmidon,Neleus Menelaus (1950-an) Malaysia Raya, Malaysia Kita, dan Kuala Lumpur (1960-70an) yang sering berulang alik di perairan Selat Melaka , Laut Arab serta Laut Merah setiap kali tibanya musim haji saban tahun menjadi saksi luahan cinta mereka  ke Jeddah, menuju keampunan Allah di Makkah. 

Perjalanan pergi balik dari Malaya ke Mekah dan Madinah memakan masa sehingga  6 bulan.  Melihatkan betapa sulitnya menunaikan ibadah haji, mudah untuk kita memahami apabila kaum muslimin yang telah berjaya menjalani rukun Islam kelima ini kemudian mendapatkan kedudukan tersendiri dan begitu dihormati dalam masyarakat sekembali merekake negeri asal masing-masing. Mereka kemudian mendapat gelar “Haji”, suatu gelaran yang pada umumnya disandang para hujjaj yang tinggal di negara-negara yang jauh dari Baitullah seperti Indonesia dan Malaysia.

Tambang Kapal ke Mekah
Pada awal abad ke 20, sekitar 1908, ramai Jemaah haji merupakan kaum pelajar dan golongan kaya. Ketika itu tambang ke Mekah sekitar $100 pergi balik. Kos itu meliputi tambang kapal (atas dek sahaja),penginapan, makan minum ketika di Tanah Suci. Namun makan minum ketika dalam pelayaran, mereka sendiri yang sediakan. Ketika harga getah melambung tinggi, selepas 1910 dan ketika Perang Dunia Pertama, ramai pekebun dan penoreh getah menyimpan sebahagian pendapatan untuk belanja menunaikan haji.  Dalam tahun 1920-an majoriti Jemaah haji merupakan golongan miskin. Harga tambang dan kos-kos lain meningkat saban tahun. Pada tahun 1931, setiap jemaah haji perlu ada $600 dan wang secukupnya untuk keluarga ketika mereka kat mekah. Dikhabarkan untuk haji pada tahun 1939, kos minimum haji telah meningkat kepada $700 seorang.

Ketika Perang Dunia Kedua, kos haji meningkat (kos insurans naik). Hanya laluan pelayaran dari India ke Jeddah sahaja yang selamat. Kalau nak pergi terpaksalah ke India dengan kapal biasa dahulu kemudian baru naik kapal haji  di sana. Kapal- kapal haji bergerak secara konvoi dengan pengawasan tentera laut dari Pelabuhan Bombay, Karachi dan Calcutta.

Pada tahun 1946,  setahun selepas WW2, kira-kira 1000 terpaksa menangguhkan pemergian mereka kerana tambang dan kos pengurusan haji naik mendadak. Hanya 120 orang Jemaah meneruskan haji dengan kapal Menelaus. Ketika itu, kos tambang kapal haji sebanyak $485 perlu disediakan sebagai jaminan manakala 20 pound sterling perlu ada untuk pengangkutan,penginapan,penyewaan khemah dan lain-lain ketika di Mekah dan Saudi. Hal ini menyusahkan bakal haji yg sememangnya sempit kewangan semasa zaman Jepun dulu. Kos haji meningkat daripada $800 sebelum perang kepada $1200 (1946) kerana kenaikan tambang, makanan dan perkhidmatan. Setahun selepas itu, pada tahun 1947, Tambang kapal $360 untuk ruang dek manakala belanja keseluruhan $1200-1500.  Pada tahun 1951, tambang dek sebanyak RM500 untuk dewasa manakala kanak-kanak  berusia1-12 tahun sebanyak $250-$298.50

Kemudian, mulai tahun 1954, barulah kapal penumpang khusus untuk Jemaah haji digunakan. Perjalanan dan pelayaran menjadi lebih selesa. Kapal Anking dan Anshun  merupakan kapal haji penumpang yang disewa khas dari China. Rata-rata kelasinya merupakan kaum Cina bukan Islam. Untuk penumpang First class cabin bayaran tambang sebanyak $900, ‘Berthed Deck’ $550, Deck $500. Namun begitu, semua penumpang boleh menggunakan fasiliti yang terdapat di atas kapal tersebut. Secara purata setiap individu diperuntukkan 18 kaki persegi seorang.  Pada tahun 1960, buat pertama kali kapal haji berlabuh di Port Klang. Mulai Februari  1960(musim haji bermula), jemaah dari wilayah tengah (Selangor, Negeri Sembilan, Pahang) tidak perlu  lagi ke Pulau Pinang. Mereka  hanya perlu naik di Port Swettenham (Pelabuhan Klang) tanpa  dikenakan bayaran lebih. Kapal haji dari Singapura singgah di Port Klang dan terus ke Pulau Pinang sebelum ke Jeddah..

"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak…..

Cukuplah setakat ini. Nanti aku sambung lagi ceritanya, insya Allah.

Rujukan:
The Straits Times, 19 September 1908, Page 7
Bound for Mecca
.
The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 19 September 1912, Page 185
TO MECCA

The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (1884-1942), 11 December 1931, Page 7
WHERE SULTANS AND BEGGARS MEET

The Straits Times, 15 March 1939, Page 9
$700 MINIMUM FOR THE HAJ

The Straits Times, 8 September 1946, Page 7
1,000 POSTPONE THE 'HAJ'

The Singapore Free Press, 1 October 1947, Page 5
Ban does not affect Malayans
Cholera outbreak in Cairo

The Straits Times, 23 August 1949, Page 7
3,500 Leave For Mecca

The Straits Times, 25 January 1954, Page 7
Cut fares, better conditions for Mecca pilgrims

The Straits Times, 27 December 1959, Page 4

The Singapore Free Press, 20 October 1959, Page 5
PILGRIM SHIPS TO CALL AT PORT SWETTENHAM

The Straits Times, 1 April 1960, Page 7
440 sail for Mecca

Berita Harian, 15 September 1985, Page 2
Arkib Negara pamer cara pergi haji sebelum Perang

Selasa, 14 Oktober 2014

Peranan dan Tugas Penghulu di TPG

Salam buat semua. Apa khabar semua? Sihat dan waras? Harap masih keras ya, wak! Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan mengharungi kehidupan taat beragama di samping teman-teman saudara seagama dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Rasulullah S.A.W, Penghulu sekalian nabi dan umat akhir zaman.
Sebut sahaja Penghulu, teringat aku ketika aku masih di bangku sekolah agama sebelah petang di tapak lama Sekolah Ugama Telok Panglima Garang yang ketika itu masih berdinding papan. Kedudukannya bersebelahan dengan rumah Tok Penghulu Hamzah yang dibina kerajaan. Rumah papan berlantai tinggi itulah yang aku kunjungi setiap kali saban tahun ayah menyuruhku mendapatkan tandatangan sokongan dan cop rasmi jawatannya untuk surat-surat pinjaman buku teks atau permohonan biasiswa sekolah aku. Tidak pernah sekali permintaan aku ditolak bahkan aku diminta oleh Tok Penghulu untuk belajar rajin-rajin agar berjaya dalam mengejar cita-citaku bagi membebaskan keluargaku daripada kepompong kemiskinan. Tetapi tak lama kemudian aku dengar beliau telah berpindah ke tempat lain atas arahan tugas. Hidup harus diteruskan.
Jadi, pada kali ini aku ingin buat perbandingan merentas masa dan zaman sejak 1883 sehingga kini peranan seorang Penghulu.

Yang pasti, bidang kuasa Penghulu tidak akan sama seperti pengaruh seorang Penghulu ketika zaman Feudal sebelum campurtangan Inggeris di Selangor pada tahun 1874. Peranan dan Tugas Datuk Penghulu pada tahun 1938 berbeza dengan tanggungjawab Datuk Penghulu dalam Sistem Pentadbiran Tempatan British yang diperkenalkan oleh Residen Inggeris Frank Swettenham pada tahun 1883.Apatah lagi kini, daripada seorang wakil Sultan yangberpengaruh dan berkuasa penuh ke atas mukim dan kutipan hasilnya, kini Penghulu hanyalah seorang penjawat awam biasa yang tertakluk kepada pelbagai arahan tugas mengikut Perintah Am (General Orders) kerajaan.

Daripada seorang pemimpin masyarakat yang membentuk minda dan mentaliti anak-anak buahnya kepada seorang staf kerajaan yang bertanggung jawab menyelaras program-program kerajaan dan menyediakan laporan setiap aktiviti kerajaan di mukimnya, mengecop surat sokongan untuk anak buahnya untuk urusan  yang biasa-biasa. Nasibnya sama seperti kerjaya seorang guru atau pendidik macam aku yang suatu masa dahulu menjadi orang penting penggerak masyarakat tetapi kini kata-katanya tidak diendah oleh segelintir anak murid bahkan menjadi mangsa ugutan ibu bapa yang mana anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin. Apapun tanggapan manusia kini, jasa dan pengorbanan Datok-datok Penghulu ini tetap dikenang walaupun ramai yang telah pergi menemui Ilahi. Moga -moga Allah mencucuri rahmat dan hidayahNya ke atas roh-roh mereka. Semoga damai mereka di sana. Amin.

1883
1.Kelayakan- Akur arahan, berpendidikan, terpilih daripada keluarga berpengaruh (golongan bangsawan@Istana), daya kepimpinan tinggi, mendapat perkenan DYMM Sultan secara bertulis.

2. Tanggungjawab - membantu Magistret Daerah dalam bidang tugasnya mengikut bidang kuasa yang dibenarkan dalam mukim masing-masing.

3. Ganjaran- 10% daripada cukai yang dikutip. Pengecualian cukai ke atas rumah dan tanah yang dimiliki selagi memegang jawatan (Tempoh perkhidmatan tidak ditentukan, bergantung kepada prestasi dan usia)

4. Bidang kuasa dan Skop Tugas -
a) mengutip hasil dan sewa dalam mukimnya bagi pihak Megistret Daerah
b) membantu Megistret Daerah menyelesaikan isu berhubung tanah dalam mukimnya
c) membantu menyelesaikan kes tuntutan kecil tidak melebihi $5 dan menubuhkan Mahkamah Penghulu dengan denda tidak melebihi $10.
d) melaporkan kes jenayah berat kepada pegawai polis di daerahnya
e) menyimpan buku pendaftaran tentang semua penduduk serta harta benda mereka dalam mukimnya
f) memantau segala kemudahan asas kerajaan dimukimnya dan melaporkan sekiranya berlaku kerosakan ke atasnya
g) berbincang dengan anak-anak buahnya tentang keseragaman masa untuk penanaman padi serta
menggalakkan anak-anak buah mukimnya menanam tanaman seperti kelapa, sago dan lain-lain  di tanah mereka
h) memastikan lesen dan peraturan untuk aktiviti menangkap ikan, menebang balak atau membuat kayu arang dipatuhi.
i)  memastikan pesakit  atau ternakan yang sakit dikuarantin sehingga tamat tempoh penularan penyakit serta dilaporkan kepada pegawai yang berkenaan di daerahnya
j)  menerima dan menjalankan semua arahan yang diberikan kepadanya untuk dimaklumkan kepada anak-anak buahnya.
k) mengarahkan semua pemilik tanah di mukimnya meletakkan batu sempadan tanah masing-masing
menyiapkan dan menghantar laporan bulanan dan penyata kewangan mukimnya kepada pegawai-pegawai berkenaan di daerahnya dan kepada Megistret pada setiap 3 haribulan.
l)  memastikan tiada aktiviti atau kegiatan perjudian,penjualan arak tanpa kebenaran

4. Engkar Perintah-
a) Denda tidak melebihi $500  atau penjara tidak melebihi 2 tahun kerja berat sekiranya menjadi Penghulu tanpa watikah pelantikan oleh DYMM Sultan secara bertulis
b) menjalankan kutipan haram atau menzalimi orang awam akan dikenakan tindakan tatatertib yang berat atau dilucutkan jawatan.

1938
1. Kelayakan- masih seperti dahulu, berpendidikan tinggi dari institusi pendidikan yang diiktiraf,  tidak semestinya daripada keluarga yang dihormati dan berpengaruh, daya kepimpinan tinggi, mendapat perkenan DYMM Sultan secara bertulis.

2. Tanggungjawab - membantu Pegawai Daerah dalam bidang tugasnya mengikut bidang kuasa yang dibenarkan dalam mukim masing-masing

3. Ganjaran- gaji dan elaun bulanan dibayar secara tetap oleh kerajaan negeri, rumah kediaman disediakan.(Tempoh perkhidmatan, tetap dan berpencen)

4. Bidang kuasa- bertambah dan dinaiktaraf:
a) menyelesaikan kes sivil  bukan jenayah dalam kalangan penduduk Asiatics dengan dendaan tidak melebihi $50.
b) mengadakan Mahkamah Penghulu untuk menyelesaikan kes tuntutan berdasarkan adat Melayu.
c) menjadi penimbangtara dan membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes jenayah.
d) menguruskan lawatan pegawai atasan kerajaan ke mukimnya.
e) menyampaikan makluman penting kerajaan dalam perhimpunan masyarakat atau ketika khutbah Jumaat
f) menjadi Pengerusi Masjid di mukimnya
g) mempunyai pembantu i.e. Ketua Kampung dalam menjalankan tugas-tugas rasmi kerajaan di mukimnya.
h) menghadiri majlis-majlis kemasyarakatan di mukimnya dan majlis-majlis rasmi kerajaan.

2014

1. Kelayakan:
Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan serta mempunyai pengalaman tidak kurang dari 10 tahun dalam bidang yang berkaitan, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarela serta berpengetahuan luas dalam pembangunan masyarakat, adat istiadat, agama dan sosiobudaya tempatan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,511.54 ]
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,737.15 ]
Sijil Tinggi Agama Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan; atau
[ Gaji Permulaan: RM1,737.15 ]
Diploma dalam bidang pentadbiran awam yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya; atau
[ Gaji Permulaan: RM2,037.96 ]
diploma dalam bidang pengurusan harta benda yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.
[ Gaji Permulaan: RM2,113.16 ]
kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
[Calon dengan kelayakan STPM/STAM atau diploma disyaratkan mempunyai pengalaman tidak kurang dari 5 tahun dalam bidang yang berkaitan, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarela serta berpengetahuan luas dalam pembangunan masyarakat, adat istiadat, agama dan sosiobudaya tempatan]

2.  Ganjaran- gaji dan elaun bulanan dibayar secara tetap oleh kerajaan Persekutuan, rumah kediaman disediakan. Kemudahan-kemudahan sama seperti yang dinikmati oleh penjawat awam lain. (Tempoh perkhidmatan tetap dan berpencen)
 
GAJI MINIMUM GAJI MAKSIMUM KADAR KENAIKAN GAJI TAHUNAN
RM1,362.00            RM5,092.00                            RM145.00

3. Deskripsi Tugas:
Bertanggungjawab sebagai Pegawai Perhubungan antara Kerajaan dengan rakyat bagi urusan-urusan yang berkaitan dengan Pentadbiran Tanah, Pentadbiran Agama Islam, Keselamatan Pembangunan, Kegiatan Sosial dan Kebajikan Masyarakat di peringkat kampung, mukim, daerah dan negeri.

Senarai Nama Penghulu yang pernah berkhidmat di TPG sehingga kini.

1
Penghulu Raja Ibrahim bin Raja Budu (1 Januari 1893-?)
2
3
Penghulu Haji Jaafar bin Abdul Rahman (Jun 1906-?)
4
Penghulu Che Abdullah bin Sheikh Hassan
5
Penghulu Ngah
6
Penghulu Osman
7
Penghulu Raja Idris
8
Penghulu Syed Hashim
9
Penghulu Abdullah
10
Penghulu Wan Hamid
11
Penghulu Omar
12
Penghulu Wan Hassan bin Wan Salleh (tahun 1960an)
13
Penghulu Abu Bakar
14
Penghulu Muhammad Bandar
15
Penghulu Hamzah bin Abdullah
16
Penghulu Faidzullah
17
Penghulu Mohd Salleh bin Abdul Rahman
18
Penghulu Aziz bin Kasim
19
Penghulu Abdul Hamid
20
Penghulu Haji Mohd Halil bin Selamat
21
Penghulu Haji Mahadzir bin Abu Samah (16 September 1999 - 31 Disember 2005)
22
Penghulu Faisal bin Yahya (1 Januari 2006 - 15 Ogos 2008)
23
Penghulu Haji Mat Isa bin Harun (16 Ogos 2008 - )

Ahad, 24 November 2013

Gagak, Estet di Klang dan Telok

Salam. Apa khabar orang-orang Telok semua? Sekarang ini tengah time cuti sekolah. Maknanya aku kini tengah menganggur daripada mengajar bebudak sekolah. Kalau setakat seminggu bercuti pun aku dah macam cacing kepanasan, resah,gelisah, kerana takde kerja yang nak dibuat, korang bayangkan bagaimana aku nak menempuh lagi sebulan setengah sebelum sekolah dibuka kembali awal Januari tahun depan. Nak ke kebun, jauh benar kat Telok. Lagipun rumah aku ini mana ada tanah? Setakat tanah sekangkang anak kera itu, apa yang boleh aku buat? Mahu tak mahu terpaksalah aku berperap kat rumah ini sambil makan tidur, makan tidur, mengumpul lemak sekilo dua. Nak melancong pulak, ini tengah bulan. Faham-faham jer lah, orang kerja gomen ini. Bernafas panjang bila cukup bulan jer. Nak kerjakan kebun sawit kat Telok tu, rasa-rasa dah tak larat lagilah. Upah orang jer lah. Badan pun dah macam ayam pekan, lembik. Tak macam orang dulu-dulu. tua-tua pun badan maintain, stamina  masih tip top. Tongkat Ali dan telur ayam kampung menu sarapan pagi diorang. Itu orang Melayu dulu. Keling tua yang  masih kerja kat estet Pulau Carey itu pun, kesihatan diorang memang ok lagi, cuma  penyakit mabuk todi jer yang tak dapat dibuang. Berbeza betul dengan aku dan kengkawan yang kerja pegang pen berbanding mereka yang menggunakan tulang empat kerat dengan memegang parang, kapak dan perejang serta sabit sawit sahaja. Terlanjur bersembang pasal keling estet itu, memang entri aku ini pasal diorang. Maksud aku, aku nak beritahu engkorang kenapa Telok dan Klang ramai sangat kaum pendatang yang tak berapa nak putih itu. Begini kisahnya.

 Tapi sebelum itu, aku nak minta maaf banyak-banyak kepada pembaca atau kengkawan aku yang berketurunan India atau Tamil. Bukan maksud aku mengejek bila aku sebut perkataan 'KELING'. Aku bukan prejudis atau perkauman. Cuma istilah ini dah digunakan sejak dahulu lagi  apabila merujuk kaum pendatang ini. Dah tak boleh nak tukar lagi dah. Kalau nak panggil India, itu nama negaranya. Nak panggil Tamil, itu nama bahasanya. Jadi, yang paling tepat, itulah panggilannya. Kaum India ini pula bukan semuanya dari Tamil Nadu walaupun majoriti dari situ. Ada juga yang datang dari Kerala dan Sri Lanka, termasuk juga kaum Sikh dan Pathan yang rata-rata orang panggil Benggali. Itu dari segi asal usul geografisnya. Dari sudut kepercayaannya pun berbeza-beza. Ada juga Tamil yang beragama Islam walaupun majoritinya Hindu. Benggali pula beragama Sikh manakala kaum Ceylonese (Sri Lanka) beragama Buddha. Jadi untuk membezakan antara mereka ini, orang-orang Melayu dah bersepakat (tanpa berunding dengan mereka pun), kalau yang berserban tapi beragama Sikh itu, kitorang panggil Benggali. Kalau Tamil beragama Islam kita panggil Mamak. Kalau Mamak atau Tamil (semestinya masuk Islam) berkahwin Melayu , anak-anak diorang kita panggil Mami atau DKK (Darah Keturunan Keling). Jadi kalau Tamil yang masih Hindu, keputusan sebulat suara (termasuk Inggeris menggunakan istilah ini) memanggil mereka Keling. Ya, Keling, Keling, Keling. Muktamad. Ini sebahagian daripada social contract antara kaum di Malaya ketika itu. Tak puas hati? Samanlah dalam court. Habis cerita.


Mengikut kajian yang aku buat di internet, kaum pendatang ini masuk ke Malaya secara terancang dan beramai-ramai oleh Inggeris. Almaklumlah, Keling di  selatan India masa itu memang terlalu miskin. Nak makan pun tak cukup.Tanah pertanian tak lagi subur walaupun mereka ini, masyaAllah, produktif dengan anak yang ramai. Jadi, Inggeris gunakan peluang ini untuk menjadikan mereka buruh kontrak di bawah Sistem Kangani. Mereka dijanjikan penghidupan dan taraf hidup yang lebih baik di sini. Maka dengan janji-janji manis ini keluarlah mereka (kebayakannya lelaki) dari Tamil Nadu berkapal-kapal ke mari berpegangkan janji tersebut. Riuh dan heboh (mungkin kerana terlalu seronok). Itu dalam keadaan ok, bayangkan kalau kapal itu karam macam Titanic! .....(Dari situlah timbul kata bidalan, Bagai Kapal Keling Karam).

Sampai sahaja di Malaya, tempat pertama yang mereka kenal ialah Pelabuhan Klang atau dulunya dipanggil Port Swettenham. Maka berduyun-duyun mereka turun dan dikumpulkan di tempat atau depoh imigresen. Di sana mereka diproses, diperiksa tahap kesihatan mereka, sebelum ditempatkan di estet-estet  di seluruh Malaya, mengikut tuan punya ladang masing-masing. Makan minum mereka,semasa mereka di sana, dijaga dan dilayan baik oleh pihak Inggeris  menerusi konco-konco atau ejen yang dilantik.Sesampai mereka di estet, mereka ditempatkan di rumah-rumah kongsi (atau dalam Bahasa Inggeris, Coolie lines).Kemudian barulah mereka tahu, dengan bayaran gaji yang rendah, mereka terpaksa membayar baik tambang kapal dan segala tanggungan termasuk makan,minum selama terikat dengan kontrak. Biasalah. Bangla dan Indon sekarang pun mengalami nasib yang sama. Menyesal pun ada, tapi nak balik semula ke India, jauh sekali. Memanglah India kini jauh di mata, tetapi juga kerana malu dan sudah banyak wang serta tanah yang digadaikan untuk ke Malaya. Lagipun ini harapan dan masa depan keluarga. Jadi, reda dan redah jer lah. Maka, ramai ler yang bekerja di estet-estet sekitar Telok, Jugra, dan Klang. Kalau kat Telok ini, dulu kita ada Telok Estate,( tapak SMK TPG kini),  Carey Island estate, Brooklyn estate, Sungai Buaya estate di sekitar Banting dan Jugra, manakala menghala ke Klang pula, Blackwater estate (kini Taman Botani) dan Highland estate (kini Bukit Tinggi).












 Jadi, interaksi sosial yang terhad antara mereka dengan orang Melayu dan Cina kebanyakannya berlaku di bandar atau di pekan seperti Telok. Selebihnya mereka menghabiskan masa mereka di estet, sebagaimana imigran Cina tinggal di lombong-lombong bijih timah. Inggeris tahu mereka ini, (Cina dan Keling) memang memerlukan hiburan. Jadi, untuk 'menghiburkan' sedikit hati-hati mereka, Inggeris membuka dan memberi lesen kepada pemilik kedai Todi di estet dan juga kedai candu di lombong. Yang untung tetap Inggeris. Cukai  kedai, todi dan juga candu sahaja banyak menyumbang kepada pendapatan negeri.





Tapi ada juga Keling yang datang ke Klang secara peribadi, maksudnya tiada ikatan kontrak. Biasanya mereka ini golongan Mamak yang berniaga, sama ada secara kedai runcit, atau perniagaan rempah ratus. Mereka ini mudah berasimilasi (bergaul) dengan orang Melayu  kerana mereka juga beragama Islam. Sememangnya orang-orang Islam itu bersaudara. Bahkan komuniti mamak ini telah mendirikan masjid mereka sendiri di Klang yang dikenali dengan nama Masjid India Selatan pada tahun 1904.Arwah abah aku memang bersekolah di High School Klang tetapi setakat Tingkatan Dua sahaja atas sebab kewangan keluarga masa itu. Abah aku ke sekolah dengan berbasikal setiap hari dari Telok. Jadi, arwah berehat sebentar di masjid India ini untuk bersolat Jumaat sehinggalah lewat petang. Aku juga pernah bersembahyang Jumaat di masjid ini tetapi bila time khutbah aku terlelap sedikit kerana aku tak faham sebiji habuk pun butir ceritanya kerana khatib berkhutbah dalam bahasa Tamil. Jadi, aku layan jer, janji sah solat Jumaat aku minggu tu. Kini masjid itu telah berubah wajah dengan peruntukan RM20 juta.


Ada juga golongan terpelajar dan menengah Keling dan Ceylonese yang bekerja dengan pihak Inggeris sebagai kerani di estet dan di pejabat-pejabat kerajaan  sementara kaum Benggali sebagai anggota keselamatan dalam polis dan tentera Inggeris. Jadi, komuniti India di Klang memang nampak ketara kehadiran mereka dalam masyarakat, sehingga jadi bahan ketawa masyarakat yang berkata gagak di Klang banyak kerana gagak ikut Keling ke Klang. Jalan Rembau merupakan Little India di Klang kerana dipenuhi kaum pendatang ini. Segala keperluan kaum ini terdapat di sana, Berduyun-duyun keluar dari estet-estet berdekatan untuk shopping ketika menjelang Deepavali. Berwarna-warni. Ada juga keling peramal nasib yang menggunakan burung untuk menenung nasib orang lain. Macam-macam kebodohan manusia.






Terdapat juga golongan Chetty yang memberi perkhidmatan pinjaman kewangan riba kepada orang-orang yang  terdesak memerlukan duit. Golongan Along  ini sebenarnya beroperasi dengan kebenaran dan lesen daripada pihak berkuasa Inggeris. Ramai juga orang-orang Melayu yang tergadai tanah mereka kepada 'lintah darat' ini. Memang orang Melayu mudah lupa, tak serik-serik. Dah tahu riba itu haram, tetap mereka nak juga. Tapi tak bolehlah nak salahkan diorang 100 peratus, kerana mereka terdesak. Mana ada bank nak beri pinjaman masa itu?  Tapi itu semua di Klang, di Telok pula lain ceritanya.






 Sehingga tahun 1946, jumlah kaum India di Malaya berjumlah 461,000 orang. Tapi selepas itu, bilangan mereka semakin berkurangan kerana Perang Dunia Kedua dan perjuangan kemerdekaan India daripada Inggeris. Ramai juga yang pulang  ke Tamil Nadu kerana mungkin kewangan dah cukup untuk kembali bersama keluarga. Bila diorang balik pun orang kutuk, "Tengok, itulah rupanya bila gagak pulang ke benua.". Hahaha.......

Di Telok, masa aku kecik-kecik, Keling yang aku  tahu dan kenal ialah Antoni sekeluarga (pasal bekerja menoreh getah di kebun moyang aku), mamak Hussin yang berkedai runcit di pekan Telok. mamak Selamat yang buka kedai makan di Telok, Chinnaiah sekeluarga dan  Muthu,Selvam sekeluarga (yang juga berkedai runcit) dan Keling Mata Buaya yang meraih durian (ada aku ceritakan dalam entri aku dahulu). Ada dua buah kedai gunting rambut Keling di Telok masa itu. Satu di deret kedai PKNS ( kini di sebelah Shell) dan di deret kedai sebaris kedai mamak Husin itu. Servis diorang first class, siap urut-urut tengkok lagi. Ada juga mamak yang menjaja  ABC (Air Batu Campur), ais kepal dan Cendol serta rojak berbasikal.





 Di Telok juga ada sebuah sekolah rendah Tamil. Pelajar-pelajarnya rata-rata dari penduduk Telok sendiri dan estet-estet sekitar Telok termasuk di Segenting  dan Pulau Carey. Aku seronok menengok anak-anak keling ini bila balik dari sekolah mereka. Bayangkan mereka berjalan kaki  secara berkumpulan kecil (5,6 orang) dari Telok ke Simpang, Segenting dan Pulau Carey di bawah terik mentari, lebih kurang pukul 2.30 petang. Berkasut sekolah jenis plastik tanpa stokin, dengan beg digalas di bahu, sambil menyonyot aiskrim Malaysia yang dibeli. Aku cukup respek dengan kecekalan mereka ke sekolah. Mungkin ada di antara mereka ini sudah menjadi doktor dan lawyer, atau ahli korporat ternama di merata tempat di Malaysia kini. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Bila lagi orang kita nak ambil pelajaran tentang orang-orang yang merantau ini? Janganlah kita berasa selesa dengan apa yang ada, kerana kita anak jati negara ini. Bersyukur sememangnya wajib, tapi berusaha untuk meningkatkan diri itu perlu supaya sejahtera di dunia dan selamat di akhirat. Fikir-fikirkanlah. Ammmak.

Indeks Halaman Utama

Fakta Menarik tentang Stadium Jugra di Telok Datok

Assalamualaikum semua. Semoga semuanya dalam keadaan sihat Walafiat. Malam tadi Atok baru sahaja balik dari Telok Datok menziarahi jenazah a...