Penjajah-penjajah Eropah termasuk imperialis British
bagaikan anjing lapar yang menerpa habuan tulang dan daging ketika umat Islam di nusantara masa itu bergelumang dalam dosa pengkhianatan
terhadap nusa, bangsa dan agama, untuk sedikit kesenangan duniawi buat diri dan
kerabat. Tambahan pula, ketika itu ummah
dalam kejumudan ilmu dan kehidupan akibat pengabaian dan kedangkalan fikiran
terhadap ilmu agama , baik fardhu ain mahupun fardhu kifayah, malah
‘pensyirikan’ terhadap keesaan Allah melalui adat budaya yang berbaur kehinduan
yang menyesatkan.
Justeru, aku terpanggil
untuk menyelidik dan menyelami kehidupan masyarakat leluhur yang begitu hampir
dengan kita di sekitar Telok Panglima Garang ini demi mengenal persepsi atau world view kehidupan mereka ketika di
bawah ‘nasihat’ British itu.
Nota: Sengaja aku
tidak menyebut nama-nama yang terlibat kerana aku teringat pesanan alim ulama
agar tidak mengenang seseorang, baik ketika hidupnya mahu pun setelah matinya
kecuali hal-hal kebaikan, kerana baginya bahagian daripada apa yang telah
dikerjakannya di dunia ini, sama ada dosa mahu pun pahala.
1874, Jugra,Kuala Langat:- DYMM Sultan sedang bersemayam di
istananya. Ketika itu negeri ini yang kaya dengan bijih timah baru sahaja tamat
berperang setelah lama terbungkam dalam kancah perebutan kuasa dan daerah sesama anak-anak dan kerabat diraja.
Kisah bermula tujuh tahun yang lalu, 1867. Masing-masing
menuntut hak mereka. Baginda yang telah semakin lanjut usia tidak berdaya lagi menyelesaikan permasalahan anak beranak ini.
Masing-masing bertegang leher menunjukkan kekuatan pengaruh. Tiada lagi
kompromi. Tiada lagi dihiraukan tali silaturahim sedarah sedaging, apatah lagi agama yang sama dianuti. Keegoan sedang memuncak.
Apa nak jadi, jadilah, walaupun terpaksa membuat perjanjian dengan syaitan! Tak
kiralah asalkan menang dan terus berkuasa. Masing-masing membuat perhubungan
dengan anasir-anasir luar dengan menabur pelbagai janji dan habuan atas apa jua kerjasama dan
pertolongan yang dapat diberikan. Mendailing, Pahang, Perak, Kedah, Kapitan
Cina dan Inggeris diheret bersama. Sudah pastilah ada pihak menghantar bala
tentera upahan yang ganas dan berhati kering, walaupun musuh yang dihadapi itu
sebangsa dan seagama dengan mereka. Ada juga yang menjanjikan pengiktirafan
jika anak raja yang disokong itu menang dalam ‘perjuangan’ mereka. Sudah
pastilah ratusan ribu wang ringgit yang disalurkan bagi memastikan
kemenangan pihak yang disokong sebab habuan besar sedang menanti untuk
dituntut.
Apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Sudah
ketentuanNya, rakyat Selangor kini berperang sesama sendiri. Tanah merekah ini
menyaksikan rakyat bermandian darah. Kesetiaan melulu yang tidak berbelah bagi
rakyat terhadap golongan bangsawan dan istana ini diperalat semaksimum mungkin.
“Sama ada bersama beta atau menentang dan menderhakai beta”. Sehingga terbelah
dualah masyarakat, daripada lapisan tertinggi hinggalah rakyat marhain serta
hamba sahaya. Selangor kini neraka dunia. Tiada lagi tempat yang aman atau
bekecuali. Pembunuhan, perompakan, kegiatan lanun di perairan negeri semakin
menjadi-jadi. Pentadbiran negeri lumpuh tidak berdaya. Sudah tiga kali Kuala
Lumpur dibakar.
Kehidupan seharian rakyat biasa semakin sempit dan tertekan.
Ribuan rakyat keluar menyelamatkan diri
ke Perak, Pahang dan negeri-negeri berhampiran, meninggalkan tanah air
tersayang, keluar walaupun sehelai sepinggang, menjauhkan diri dari fitnah dosa
dan noda. Pertahanan negeri sudah goyah dan rapuh. Ketika itulah Inggeris
mengambil kesempatan.
…the right man ready
to seize the opportunity. British expansion, in the East at all events, is a
record of the doings of courageous, capable, and masterful men. Opportunities
may tear the cloaks from a thousand excellent, hesitating, conscience-burdened
theorists and talkers, who never get beyond their good intentions; while one
man of courage, determination, and action, inspired by the fire of patriotism,
will make opportunities for himself, to the profit of his country. THE REAL MALAY BY SIR
FRANK ^THELSTANE SWETTENHAM,1899
Peristiwa pembunuhan
dan ancaman lanun ke atas pedagang-pedagang Pulau Pinang dan Melaka yang ketika
itu dibawah kekuasaan Negeri-negeri Selat digunakan sebaik-baiknya. 22 Jun
1871.Berlaku serangan lanun dan seterusnya pembunuhan pedagang serta anak-anak kapal mereka di perairan
berhampiran Kuala Selangor. Dengan pantas Sir Andrew Clarke selaku Gabenor
Negeri-negeri Selat , tanpa berunding dengan sultan menunjukkan kekuatan
ketenteraannya. Seterusnya pada 3 dan 4 Julai 1871 dua buah kapal perang HMS Rinaldo dan HMS Pluto
dihantar untuk mengebom dan memusnahkan seluruh petempatan dan pertahanan di
Kuala Selangor sehingga menyebabkan ramai penduduk yang tidak berdosa terbunuh
atas alasan melindungi rakyatnya dan
menghapuskan ancaman lanun yang tidak terkawal.
HMS Rinaldo
HMS Pluto
Kesan psikologi ke atas sultan
ketika itu dikatakan berjaya. Tiada tindakan balas kerajaan Selangor berhubung
kejadian tersebut. Tiada lagi kedengaran kegiatan lanun di Kuala Selangor sejak
hari itu sehinggalah..
November 1873. Sekali
lagi Selangor diuji. ‘Ancaman’ lanun berlaku. kembali. Bukan di Kuala Selangor
tetapi betul-betul di depan pintu istana sultan, iaitu di
perairan Kuala Jugra atau dikenali sebagai Kuala Langat ketika itu. Semuanya
bagai dirancang.
Empat rakyat naungan Britsh berketurunan Cina dari Melaka
dibunuh dalam kejadian tersebut. British mendesak sultan mengadakan perbicaraan
dan menghukum 8 orang ‘penjenayah’
terbabit. Pada waktu yang sama juga tiga buah kapal perang British lengkap
bersenjata berat dikerah ke Jugra dan menghalakan meriam ke istana. Sultan
benar-benar tertekan. Kalau sebuah sahaja sudah cukup menjadikan Kuala Selangor padang jarak padang terkukur
apatah lagi tiga. Perbicaraan berlangsung di sebuah gudang milik salah seorang
kerabat diraja di Kuala Jugra. Pihak British mengaturkan pendakwaan dengan
barisan peguam hebat dari Singapura. ‘Saksi utama’ kejadian tampil memberi
‘keterangan’. Keputusan perbicaraan yang sudah pastinya menyebelahi pihak
Inggeris dan dengan nasihat kerabat baginda yang menjadi sahabat (tali barut)
Inggeris, sultan terpaksa menerima campurtangan British. (Ketika itu kerabat
tersebut telah berjaya menguasai sebahagian besar negeri Selangor).
Perjanjian Pangkor menjadi dasar campurtangan mereka. Baginda terpaksa menerima apa jua nasihat residen selain dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat.(sudah pasti British tidak ingin campurtangan berikutan pembunuhan JWW Birch di Perak sebelum ini). Secara terhormat dan begitu halus, sultan terlucut kedaulatan dan kekuasaan terhadap rakyat dan negeri baginda sendiri. Yang tinggal hanyalah perlambangan yang lebih berbentuk adat istiadat. Lebih buruk lagi, Selangor kehilangan Lukut pada 30 Julai 1880 kepada Dato’ Kelana di Sungai Ujong. Sultan Selangor hanya dibayar sebanyak 2000 pound sterling setahun sebagai 'elaun' baginda.
Kerabat baginda yang bercita-cita besar itu tidak hanya berdepan dengan masalah dengan tentera upahan Pahang (yang membantu ketika perang saudara tersebut kerana mereka bertegas mahu berkuasa di Ampangsebagai pampasan kemenangan), tetapi juga diturunkan kuasa oleh British dengan hanya diberi pencen sebanyak 500 ringgit sebulan seumur hidup dan 200 ringgit sebagai bayaran bagi isterinya serta 30 ribu ringgit lagi sebagai bayaran pampasan. Itulah ‘hadiah’ sebuah pengkhianatan.
Betapa benarlah pengkhianatan, tamak dan hasad dengki akan terus mewarnai kehidupan umat Melayu semenjak Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, andai agama diinjak-injak oleh umat yang mengaku keislaman di lidah namun tidak di hati.
Alfatihah buat mereka. Semoga roh-roh mereka tenang di sana dan dalam keredhaan Allah swt.
Sememangnya Melayu mudah lupa. Kita bagaimana?
Rujukan: