Memaparkan catatan dengan label Radio. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Radio. Papar semua catatan

Khamis, 11 Disember 2014

Kisah Pelayaran Kapal Haji di Port Swettenham

Salam buat semua. Harap semua dalam keredaan Allah hendaknya. Seperti yang korang maklum, entri aku yang lepas, cerita pasal pengorbanan para tetamu Allah menyiapkan diri menyahut panggilan Kaabah. Semestinya kita umat Islam, wajib menyimpan niat untuk menunaikan rukun Islam kelima ini sekiranya kita mampu. Apa-apa pun niat itu penting. Soal mampu atau tidak, bila dan bagaimana kita serahkan pada Allah. InsyaAllah, InsyaAllah, InsyaAllah.. you'll find a way. Teringat aku lagu nyanyian Maher Zain yang meletop satu masa dulu. Awas, jangan sesekali kita memandang enteng soal niat ini kerana Allah SWT telah memberi amaran dan peringatan kepada mereka yang enggan mengerjakan haji sedangkan dia telah cukup mampu daripada segala segi sebagaimana hadis di bawah ;
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ إِلَى بَيْتِ اللَّهِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلَا عَلَيْهِ أَنْ يَمُوتَ يَهُودِيًّا أَوْ نَصْرَانِيًّا وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ
{ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }
Dari Ali, Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mahu mengerjakan haji, maka bolehlah dia memilih untuk mati secara Yahudi atau Nasrani ini kerana  Allah telah berfirman dalam kitabnya .... { وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا }     Riwayat Turmizi.
Jadi, sebagai orang Islam sedaya upayalah kita berikhtiar untuk memenuhi tuntutan agama ini. Entri aku kali ini menyambung kisah pelayaran datuk nenek kita di TPG, Malaya dan merata tempat di nusantara ini menunaikan rukun Islam kelima ini dengan penuh kepayahan dan tawaduk (rendah diri) terhadap Allah SWT sehingga mereka dapat merasa kemanisan iman dalam ibadat dan kehidupan mereka sehingga dijemput pulang oleh Allah.
 Cara mengumpul wang untuk ke Mekah
Sesungguhnya menunaikan haji merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang mampu. Mampu menurut tafsiran ulama bererti mampu dan berupaya dari segi fizikal, sihat tubuh badan, tiada halangan dalam perjalanan ,keselamatan terjamin, serta yang paling utama kemampuan kewangan. Maknanya, mereka sudah menyediakan perbelanjaan seharian untuk diri dan keluarga yang ditinggalkan di kampong semasa mereka di tanah suci. Namun, bagi mereka  yang telah  bertekad untuk ke tanah suci, wang ringgit bukan masalah utama bagi mereka. Mereka bertawakal kepada Allah atas seluruh kehidupan mereka ,sama ada sebelum ke Mekah atau selepas kembali mereka ke kampong.  Walaupun mungkin kewajipan itu belum tertuntut atas mereka, namun keimanan yang tinggi mengatasi segalanya. Menjadi tetamu Allah itulah impian mereka. Dengan niat suci itu, ada di antara mereka yang menjual tanah pusaka sekangkang kera di kampong untuk membiayai perjalanan suci mereka. Seluruh anggota keluarga, baik besar kecl tua dan muda dibawa bersama. Biarlah Allah yang menentukan nasib mereka kemudian. Sesungguhnya, Allah telah menetapkan ajal, maut,rezeki, dan jodoh setiap makhlukNya dan Allahlah sebaik-baik pentadbir.

Pernah aku terbaca kisah Orang-orang Jawa  yang sanggup bekerja secara kontrak di Johor dan lain-lain tempat di Tanah Melayu kerana dijanjikan ibadah haji selepas tamat kontrak. Mereka, seperti juga pendatang Indonesia kini, bertekad mengumpul sebanyak mungkin wang ringgit sebelum mereka pulang ke kampong halaman di Pulau Jawa. Ada sesetengah daripada mereka menggunakan duit simpanan kerja mereka sebagai tambang  seluruh keluarga mereka untuk ke Mekah. Sebenarnya visi mereka selepas pulang dari Mekah nanti mereka akan berhijrah ke Malaya bagi membuka petempatan baru di Johor dan Selangor. Penjualan tanah pusaka di kampung halaman itu boleh digunakan untuk modal untuk memulakan kehidupan baru ketika berhijrah nanti.

Namun, bagi majoriti jemaah haji, mereka menabung siang dan malam dengan  pekerjaan yang biasa mereka lakukan. Biarpun mengambil masa yang lama, bahkan ada yang telah menyimpan sejak puluhan tahun, sedikit demi sedikit, untuk ke Mekah. Mereka merancang pemergian mereka kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa termasuk anak-anak, sekembalinya mereka dari tanah suci nanti. Lagipun, mulai 1948, banyak badan agama negeri-negeri di Malaya mensyaratkan Jemaah tidak dibenarkan ke mekah jika tidak memenuhi  syarat seperti yang ditetapkan. Untuk itu, bakal haji perlu mendapatkan pengesahan Pegawai Daerah di tempat masing-masing. Mereka mesti mempunyai wang yang secukup nya untuk menampung  semua urusan ke Mekah, DAN mesti juga cukup  wang untuk menyara tanggungan di kampung. Mereka juga tidak dibenarkan menjual atau menggadai tanah untuk ke Tanah Suci. Tapi kenapa diletakkan syarat sedemikian rupa ?

Sebabnya, mengikut kajian sosiobudaya, masyarakat Melayu sebelum 1951 menjalani 3 peringkat kehidupan; Bina rumah, kahwinkan anak, kemudian baru ke Mekah untuk naik haji. Kebiasaan orang Melayu masa itu mengambil jalan mudah, jual tanah pusaka untuk kahwinkan anak-anak, kemudian selepas itu mereka jual lagi tanah buat tambang ke Mekah. Sekembali mereka dari Mekah, masalah bermula. Mereka hidup merempat, terpaksa mengharapkan belas ehsan saudara mara, menumpang tanah untuk tapak rumah. Mereka terpaksa memulakan penghidupan baru yang memeritkan sedangkan usia mereka semakin lanjut. Sememangnya pergi ke Mekah itu diraikan tetapi bagi yang MAMPU., Apalah ertinya  kalau hidup masih miskin apatah lagi papa kedana setelah pulang?

Maka ditunjukkan jalannya oleh Ungku Abdul Aziz, seorang pensyarah (kini bergelar professor) Ekonomi di Universiti Malaya. Beliau menyarankan agar diwujudkan kaedah menabung menggunakan setem untuk  menunaikan haji. Caranya, penyimpan perlu membeli setem  bernilai 50sen-$100 di pejabat-pejabat pos yang berhampiran tempat tinggal mereka. Mereka kemudiannya akan diberi buku setem dan setem-setem tersebut hendaklah ditampalkan kedalam buku tersebut dan disimpan di rumah masing-masing. Kalau penyimpan mengumpul setem bernilai $4 sebulan, ditambah dengan pemberian bonus 3% setahun oleh pihak pejabat pos, mereka memerlukan simpanan selama 22 tahun untuk cukup sebagai tambang haji keseluruhannya. ( Pada tahun 1959, minimum $1500 diperlukan untuk ke Mekah). Kalau $100 sebulan pula, cukup 13 tahun penyimpanan, bolehlah mereka menghantar kesemua buku setem tersebut  ke RIDA (MARA) sebelum dihantar kepada  Lembaga Perusahaan Tabung Haji (Muslim Pilgrimage Savings Fund Board) untuk pengurusan perjalanan ke Mekah. Biasanya, bakal-bakal haji ini diberi notis 12 bulan untuk bersedia ke Mekah.

Ada juga sebahagian jemaah yang pergi sebagai pengiring, tukang masak, juru pandu, dipilih atau dibantu oleh badan amal. Mereka mengambil peluang bekerja di dalam kapal haji, sambil itu terus ke Mekah menunaikan kewajipan mereka. Apapun sebab dan caranya, mereka sudah bertekad untuk menunaikan haji, seterusnya menyimpan wang dan membeli tiket pelayaran untuk menebus dosa-dosa mereka dan menjadi tetamu Allah, suatu penghormatan tertinggi daripada Allah kepada makhlukNya, antara jutaan manusia yang bernafas di bumi. Maka, akan bermulalah satu pelayaran terpenting dalam sejarah hidup bakal haji tersebut.

"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak”

"Aku sambut panggilanMu, Ya Allah. Aku sambut perintahMu. Aku sambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan seluruh kekuasaan adalah milikMu sendiri. Tiada sekutu bagiMu."

Persediaan Terakhir Sebelum ke Mekah
Walaupun mereka telah bersedia, mereka tetap perlu menyediakan pasport dan kebenaran kerajaan sebelum bertolak. Kemudian, Jemaah perlu mendapatkan pas haji dengan bayaran $1, mendapatkan suntikan vaksin. Jemaah perlu pergi melalui broker haji yang akan menguruskan pengangkutan, tempat tinggal masing-masing  ketika di dalam kapal haji, biasanya kapal kargo.

Selalunya, bakal haji perlu memastikan keperluan anak isterinya yang tinggal di kampung ketika musim haji cukup keperluan mereka. Namun, kesemua itu tidak penting kerana masyarakat mereka akan memastikan makan minum anak-anak bakal haji terjamin dan mencukupi. Seperti yang diceritakan tadi,biasanya bakal calon haji akan menjual sebidang tanah mereka untuk menampung perbelanjaan mereka dan anak-anak di sana. Pakaian mereka akan dimasukkan ke dalam beg kotak yang kuat untuk diikat di atas unta nanti. Periuk belanga juga dibawa berserta tikar dan permaidani.Wang tunai dan barang kemas dimasukkan ke dalam tali pinggang dan diikat di pinggang, tiket dan pasport dimasukkan ke dalam  bekas tin dan disandang di bahu. Sandal dipakai dan dibawa untuk menahan kepanasan mentari padang pasir. Kemudian mereka bertolak dari kampung halaman masing-masing menuju ke pelabuhan dengan apa cara pengangkutan yang termampu dan dapat disediakan.


Keadaan di Pelabuhan


Seawal 7.00 pagi lagi,sanak saudara yang mengiringi bakal haji ke pelabuhan,mencurah tiba, bertali arus.Bahkan, ada yang bermalam di pelabuhan. Ketika itu kapal haji sedang berlabuh di dermaga nombor 9 di Pelabuhan  Swettenham. Kapal yang dalam perjalanan dari Singapura ke Jeddah ini  akan singgah di Kuala Klang ini dan Pelabuhan di Pulau Pinang untuk mengambil para Jemaah haji. Mulai tahun 1960, mereka dari Selangor, Negeri Sembilan,  dan Pahang tidak perlu lagi bergerak jauh untuk menaiki kapal haji. 

Maka rombongan ahli keluarga yang menghantar mereka ke pelabuhan-pelabuhan ini bertambah. Semua bekalan dan bagasi dilabelkan, ditulis nama pemiliknya. Suasana di dermaga  bertambah sesak, riuh rendah. Bukan sahaja mereka yang bersama keluarga Jemaah, kaum Cina juga kelihatan di sana untuk berjual kerusi, payung  dan pakaian. Maklumlah, hampir kesemua Jemaah haji ini merupakan penumpang dek, maka kerusi dan payung digunakan untuk duduk,bersandar dan berteduh daripada panas mentari dan hujan.  Pihak perkapalan tidak menyediakan kemudahan ini kerana kapal-kapal ini sememangnya kapal kargo yang disewa khas pada musim haji tanpa sebarang pengubahsuaian.
Setelah semua urusan memunggah naik barangan, tibalah masanya untuk para Jemaah naik ke kapal.  Walaupun jadual pelayaran kapal tersebut bermula jam 3.00 petang, para Jemaah diminta menguruskan sendiri tempat masing-masing di atas dek. Untuk tujuan itu, pihak kapal hanya membenarkan 4 orang ahli keluarga terdekat untuk naik, menghantar barangan. Mereka bersama bakal haji diberi pas berwarna putih untuk naik ke kapal, diiringi tangisan,sorakan, serta doa sanak saudara yang turut menghantar mereka ke pelabuhan. Sebelum kapal mengangkat sauhnya menandakan masa pelayaran akan bermula, suara azan dan doa berkumandang menerusi pembesar suara kapal tersebut. Tepat jam 3.00 petang, kapal mula meninggalkan pelabuhan dan sanak saudara para Jemaah pun mula beransur pulang.

Rabu, 22 Oktober 2014

Sejarah Bas Awam di Klang dan Banting (1957-1969)


Salam buat semua. Kan aku dah katakan!  Korang mesti berminat nak baca lebih lanjut tentang perkembangan bas di Klang dan Banting,kan? Pasal itu korang ada kat sini! OK,OK...Aku sambung balik cerita aku semalam. Begini seterusnya ceritanya.....

Selepas merdeka, kerajaan mula memikirkan penglibatan kaum Melayu dalam pengangkutan bas awam ini. Dasar kerajaan mengkehendaki syarikat-syarikat sedia ada menjual sebahagian saham –saham mereka kepada pelabur Melayu. Antaranya:

Syarikat Sri Jaya ambil alih bas General Transport Company milik usahawan berbangsa Eropah (1935-1959) . Pada tahun 1959, KL-Klang-Port Swettenham Omnibus Co  menjadi milik Melayu.Syarikat bumiputera ini diberi permit untuk laluan sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, dan Port Swettenham. Perkhidmatan bas ekspres yang hanya berhenti di Sungai Way diperkenalkan. Syarikat bas awam ini menjalankan 11 trip sehari seawal 615 pagi sehingga 1045 malam.


Bermula 1960 sehingga 1963, banyak mogok dilakukan oleh pekerja-pekerja bas awam ini atas pelbagai dakwaan. Drebar dan kondaktor bas minta gaji lebih, cuti tahun lebih atau atas sebab penganiayaan majikan terhadap pekerja mereka yang dibuang kerja. Mogok mereka disokong sepenuhnya oleh MTUC, kesatuan pekerja pengangkutan Malaya. Akibatnya, pengguna yang menanggung seksa berhari-hari kerana ketiadaan bas untuk ke tempat kerja,pasar dan sebagainya. Sebagai contoh, mogok pekerja Syarikat bas KCOC di laluan Kuala Selangor-Klang-Banting. Ribuan pengguna terbabit. Akibatnya, penduduk terpaksa menaiki teksi, kereta sewa dengan tambang yang lebih mahal. Akhirnya, syarikat bas terpaksa akur dengan kehendak kesatuan.

Namun begitu, pengguna tetap memilih bas awam kerana tambangnya yang sememangnya murah. Pengguna keretapi KL-Klang dan Port Swettenham juga kini beralih ke perkhidmatan bas awam Ramai memilih bas berbanding keretapi kerana keretapi dari Kl- Port mengambil masa 2 jam,sedangkan jika menaiki bas  hanya sejam sahaja. Tambahan pula, perkhidmatan keretapi hanya sehingga jam 9.20 malam, terutamanya pada malam hujung minggu... susah jika ada function di KL.

Pada  1 Januari 1966,  syarikat bas Klang dan Pantai Selangor (KCOC) menamatkan perkhidmatan kerana mengalami kerugian besar akibat salahurus dan kompaun kerana tidak membayar cukai sebanyak RM72,000. Syarikat bas Klang and Coast Omnibus Company (KCOC) dipindah milik kepada Kenderaan  Bas Mara Selangor. Selepas pengkoporatannya, syarikat bas awam ini diberi nama Kenderaan Madah Bhd. Ltd. Penduduk Banting dan Klang serta Kuala Selangor mula melihat bas berwajah baru di kawasan mereka. Laluan baru di sekitar Banting diwujudkan untuk memberi kemudahan pengangkutan awam ke Morib, Klanang, Kanchong Darat,Permatang Pasir, Sg Buaya dari  pekan Banting. Perkhidmatan bas sekitar Banting bermula dengan hanya 12 buah bas sahaja.


Namun kegembiraan orang ramai sekitar Banting dengan perkhidmatan bas milik orang Melayu hanyalah sementara. Pelbagai rungutan timbul akibat sikap drebar dan kondaktor bas dan ketidakcekapan pihak pengurusan syarikat memenuhi tuntutan pengguna. Antaranya:
  Bas datang tidak mengikut jadual perjalanan, bas tidak kerap masuk, masa perjalanan ikut suka drebar sahaja
  Kakitangan syarikat terutama drebar dan kondaktor bas yang kerap bergaduh dengan penumpang.Layanan kasar terhadap pengguna bas mereka.
  Pemanduan yang membahayakan keselamatan pengguna dan penumpang
  Banyak kerosakan bas ketika perjalanan akibat penyelenggaraan kenderaan yang tidak mengikut jadual.
  Tempoh masa yang lama untuk mendapatkan bas gantian.
  Keadaan dalam bas yang kotor dan tidak dibersihkan.
  Jumlah bas yang tidak mencukupi berbanding bilangan penduduk di sesetengah kawasan.

Namun, pihak pengurusan syarikat meletakkan kesalahan kepada pihak lain dengan alas an jalan raya yang rosak dan berlubang-lubang di laluan Banting- Permatang Pasir- Sungai Buaya dan keselamatan pekerjanya akibat dipukul penduduk di Kg. Batu 8 Sijangkang. Akibatnya, perkhidmatan ke kawasan-kawasan tersebut dihentikan pada lewat tahun 1960an. Justeru, ramai penduduk merungut kerana terpaksa membayar lebih untuk tambang teksi ke Banting. Penduduk juga terpaksa menggunakan perkhidmatan prebet sapu (kenderaan persendirian) yang pasti mengenakan tambang sesuka hati mereka. Pada hakikatnya, perniagaan Bas Mara ini tidak menguntungkan,tetapi lebih kepada perkhidmatan agensi kerajaan itu kepada keselesaan penduduk luar bandar dan bagi memastikan penguasaan bumiputera dalam bidang pengangkutan berjaya.


Pada tahun 1968, Sharikat kenderaan Bas Bersatu Maju, sebuah syarikat milik bumiputera  diberi permit untuk laluan Kapar ke Meru, sebagai tambahan kepada perkhidmatan Bas Mara di situ.
Pada 1969, selepas Tragedi 13 Mei, terdapat gangguan masa perkhidmatan bas. Semua bas mesti menghentikan perkhidmatan bas mereka sebelum 6.30 petang kerana perintah berkurung di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang. Keadaan pulih seperti biasa selepas itu.

Rujukan:
The Straits Times, 14 Julai 1964, Halaman 14
COOL COMFORT FOR THE TOURIST

Berita Harian, 13 September 1964, Halaman 1
$100,000 lagi untok Nona Lai Yoke Heong

The Straits Times, 21 Julai 1966, Halaman 11
$6,500 award to girl injured by bus

Berita Harian, 11 September 1967, Halaman 5
Bas2 MARA: Lima kampong terlibat



Ahad, 6 April 2014

Rancangan TV dan Radio Tahun 1965-1980

Salam buat semua. Sambutan terhadap posting aku pasal Rancangan TV tahun 80-an tempoh hari amat menyentuh kalbu. Terima kasih ler kerana masih ramai yang berminat tentang sejarah, walaupun hanya sejarah hiburan masyarakat. Yang penting kita menginsafi diri dan bersyukur atas rezeki dan kehidupan yang dilimpah Allah. Itu tahun 80-an, bagaimana pula kehidupan di tahun 70-an pulak? Maksudnya, apa bentuk hiburan ketika itu, di TV, radio atau apa saja media massa yang ada? Kalau kat Telok, apa yang ada? Lepas Isyak jer, maka berkemas-kemaslah orang kampung masuk ke bilik, untuk tidur menantikan ketibaan hari esok. Kalau anak-anak muda pula, selain berlonggok kat kedai burger (masa itu gerai burger kerap dikaitkan dengan bisnes heroin dan ganja), radio transistor sentiasa dibawa bersama. Itulah hiburan percuma yang ada. Kalau hujung minggu atau ada cerita best, ramai-ramai anak muda tunggu bas Mara ke Klang atau ke Banting, masuk panggung wayang. Lepas tu pergi makan-makan kat Emporium Makan, pekena Mee Jawa, keluar masuk supermarket Great Wall, lepas tu baru balik berhimpit-himpit dalam bas balik ke Telok. Apa pula yang agak nakal tu overnight kat kelab malam dan bar yang ada di Klang bertemankan betina jalang GRO. Tapi bagi aku dan kengkawan yang lain, cukuplah radio dan tv sebagai hiburan percuma.

Berbalik dengan cerita radio transistor itu tadi, pasti korang tertanya  tentang radio itu, kan? Korang tengok jer lah gambar kat bawah ini. Itulah rupa radio tansistor. Macam-macam brand ada. Ada yang dari Jepun, dan serata dunia. Tetapi yang paling banyak  buatan China. Berlambak-lambak dan murah. Murah jer, paling murah RM 10. Boleh dikatakan setiap murid di asrama mesti ada satu. Radio itu dibawa ke hulu ke hilir, prep, tidur... ke jamban pun sama. Aku pun sama..hehehe




Banyak juga rancangan radio yang popular masa itu. Ada juga yang aku ingat. Contohnya, Rancangan No.5 Persiaran Satu setiap hari pukul 9.00 pagi ke udara, Lepas tu setiap hari Ahad time lepas warta berita radio tengah hari, Drama Radio. Sebelah petang pulak, lebih kurang pukul 4.00petang (hari apa aku lupa) Drama Bangsawan, memang aku tunggu-tunggu. Sebelah malam, biasalah program
Pilihan Bersama pukul 9.00 malam sampai pukul 12.00 tengah malam. Time musim durian, lagi hebat. Tunggu durian kat pangkin tepi jalan,pasang radio. Tunggu durian gugur di pondok, dengar radio. Nak tidur pun pasang radio sampai ke pagi. Betullah kata RTM, Radio Teman Setia Anda. Bateri pun dah berlonggok-longgok dipakai. Yang kreatif tu, pergi jemur sel-sel bateri itu bawah matahari untuk sambung nyawa...boleh ler pakai sehari dua lagi..Hihihi...macam-macam.
Time musim bola, ada siaran langsung bola di radio. Satu kampung dok terpegun depan radio, mendengar ulasan selari juruulas sukan terpopular seperti Rahim Razali (dah dapat title Dato' sekarang) dan Hasbullah Awang. Kalau gol time itu, gamatnya macam kat Stadium Merdeka. Begitu hebat peranan dan penangan radio kat kitorang masa itu. Masa itu kitorang tak ada pilihan dah. Radio Nasional jer berbahasa Melayu, kemudian pertengahan tahun 80-an barulah dipecah-pecahkan radio menjadi Radio Ibu Kota, RMIK, Radio FM, dan lain-lain radio ikut negeri. Dari situlah lahir industri penyiaran berbayar (Radio dan TV) seperti kini. Lagi banyak lagi meriah, asalkan jangan lagi kutip duit lesen radio sebanyak RM12 macam dulu. Kini kita dah terlalu banyak dihidangkan dengan info berbagai berserta hiburan sampai ke tahap memualkan mendengar celoteh DJ atau juruhebah di radio. Entah ler.


Kat bawah ini ada aku kumpulkan rancangan radio (dan TV) tahun 70-an. Masihkah korang ingat? Korang belek-beleklah ya...Cuma aku terperasan satu perkara. Sebelum tahun 1979,semua program tv dimulakan dengan Summary dan diikuti dengan cabutan loteri dan toto. TOTO? Judi macam Magnum tu? Yalah, kenapa? tak percaya ke?  Masa itu belum keluar fatwa judi itu haram kot? Atau loteri itu dianggap sumbangan masyarakat untuk masyarakat juga?
Masa itu kita semua dalam zaman Jahiliah termasuklah mufti yang warak tetapi takut nak tegur pemerintah. Lepas 1979, baru ler TV dimulakan dan ditamatkan dengan bacaan Alquran. Alhamdulillah..... Seperti biasa, kalau korang nak tahu bila tarikh, hari dan waktu siarannya, try save gambar tu. Nombor fail yang terkeluar itulah tarikhnya. Malaysia 3 dan Malaysia 10 merujuk kepada RTM 1 dan RTM2. OK ler cukup sampai di sini sayang, relakan perpisahan ini..walau berat di hati dan berat perasaan namun ku relakan jua...Itu dia Dato' Malek Rizuan Telok! Tepuk jangan tak tepuk.
1965








                                                                   







Tahun 1974







 Tahun 1975











1979










1980



Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...