Khamis, 24 Mac 2022

Sultan Abdul Samad dan Panglima Perang Syed Mashor: Setia atau Durhaka?


Salam.Cerita Atok  kali ini masih berkisar lagi pergelutan kuasa di istana yang membawa Selangor dan rakyatnya ke kancah peperangan, kemusnahan dan banyak kematian, seterusnya berlutut kepada kekuasaan asing yang durjana lagi kafir yang merubah senario politik, sosial dan ekonomi Selangor dan Malaysia hingga kini. Mungkin korang sudah membaca tentang Perang Klang atau Perang Saudara Selangor yang berlaku dari 1867-1873 yang telah mengorbankan ribuan nyawa manusia yang berdosa dan tidak berdosa, termasuk perempuan, orang tua dan kanak-kanak yang tidak ada kena mengena dengan pertelingkahan politik dan militer. Mati dan terkorban kerana kerakusan segelintir manusia keparat yang telah menjual diri dan agamanya kepada syaitan demi sedikit habuan dunia.

Watak-watak orang gila yang kemabukan kuasa, pangkat dan kekayaan ini akan terus dikenang oleh sejarah serta generasi kini dan yang seterusnya  kerana kejahatan mereka. Soal siapa yang berada di pihak yang benar atau tidak, sebenarnya tidak lagi relevan.  Masing-masing cuba menegakkan benang basah mereka. Tiada gunanya kita persoalkan. Mungkin Allah ingin mengingatkan mereka bahawa kekuasaan mutlak  itu milikNya sahaja, dan Dia memberikan kekuasaan itu kepada sesiapa sahaja yang dipilihNya. Juga Allah ingin memperingatkan kita,  kehancuran kaum-kaum yang terdahulu sebagaimana yang diceritakan dalam Alquran itu juga akan berlaku kepada kita andai kita berpaling daripadaNya. Wallahualam. Ambil iktibar daripadanya; Taat kepada Allah, dan taat kepada rasulNya.

Begini kisahnya......

Campur tangan Tengku Kudin sebagai wakil Sultan Abdul Samad yang memerintah Selangor mulai 26hb. Jun 1868, telah mengubahkan suasana politik di Selangor. Tengku Kudin mendapat bantuan dan sokongan dari Inggeris. Raja Mahadi menentang campur tangan British dalam pentadbiran Klang dan perusahaan bijih timah. Beliau juga tidak berpuas hati dengan pelantikan Tengku Kudin sebagai Yam Tuan Selangor oleh British. Tengku Kudin & Raja Abdullah telah bekerjasama untuk menentang Raja Mahadi.

Pada masa permulaan Perang Klang (1867-1873), Syed Mashor berada di Negeri Perlis untuk melawat keluarganya. Syed Mashor yang memang terkenal sebagai seorang pahlawan dan berpengalaman di dalam selok-belok peperangan telah dijemput oleh Sultan Abdul Samad. Pada bulan Mac 1870, Raja Ismail dengan bantuan Tengku Kudin mengepung Klang, dan menahan semua bekalan masuk dan keluar dari Kota Raja Mahadi tersebut. Selepas 18 bulan dikepung kubu itu, Raja Mahadi dan pengikutnya terpaksa  melarikan diri ke Kuala Selangor yang ditawannya dari Raja Musa dengan bantuan Raja Hitam. Syed Mashor,  telah dikerahkan untuk mengejar dan mengalahkan Raja Mahdi, seterusnya sebagai ketua menjaga pertahanan Kuala Selangor di bawah jagaan Raja Musa. 

Dalam perjalanan ke Kuala Selangor, Syed Mashor telah mendapat berita bahawa adiknya, Syed Abdullah telah dibunuh oleh Raja Yaakob, anakanda Sultan Selangor. Perkara tu telah mendatangkan kemarahan Syed Mashor, dan beliau telah mengambil keputusan untuk berpihak kepada Raja Mahdi dan Raja Mahmud. Syed Mashor  kemudiannya telah memainkan peranan penting dan menjadi Panglima Perang Pasukan Raja Mahadi dalam Perang Kelang atau dikenali Juga dengan Perang Saudara  Selangor (1867-1873). Walaupun Tengku Kudin kehilangan Syed Mashor, itu tidak bermaksud dia telah kalah. Malah Tengku Kudin masih ada lagi mendapat sokongan dari pihak British dan juga pahlawan dari Kedah.

PERANG  DI KUALA LUMPUR

Raja Mahadi merancang mengambil tindakan untuk menyerang Yap Ah Loy di Kuala Lumpur kerana telah bekerjasama dengan Tengku Kudin. Raja Mahadi bersekutu dengan orang Cina di Kanching yang merupakan musuh Yap Ah Loy, kemudian menyerang Kuala Lumpur. Peranan Syed Mashor di dalam peperangan ini bermula  apabila pasukan beliau bersama-sama dengan Chong Chong dan pasukannya menyerang orang-orang Mandaling dan Fel Chow dii Ampang dan Hulu Klang  antara bulan September hingga Oktober 1870. Malangnya Syed Mashor dan tenteranya mengalami kekalahan sehingga memaksa mereka berundur ke Ampang, kemudian melarikan diri  ke Batu Caves melalui  Gonggang (kini Setapak). Dari Batu Caves, Syed Mashor berundur kembali ke Ulu Selangor manakala Chong Chong ke Kuala Langat. Dikhabarkan dalam peperangan itu Raja Mahadi kehilangan beratus-ratus orang tentera, sama ada mati terbunuh atau tercedera manakala tentera Yap Ah Loy hanya kehilangan  40 orang yang terbunuh dan 100 orang tercedera. Kuala Lumpur terselamat, buat masa itu.

Kemudian, Syed Mashor, di dalam usahanya membantu Raja Mahadi telah berjaya mengumpulkan 2,000 orang pengikut di Ulu Selangor. Dalam pertengahan bulan Mei hingga Jun 1871, buat kali keduanya, beliau bersama-sama dengan Chong Chong, ketua puak Ghee Hin cuba menyerang Kuala Lumpur tetapi telah dihalang di Rawang oleh angkatan Tengku Kudin dan penyokongnya Yap Ah Loy ( dari kumpulan Hai San) di bawah pimpinan Yap Loon Vung. Serangan hebat dari kem Pakatan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy menyebabkan ketua puak Gee Hin dan penyokong serta pasukan Syed Mashor berundur semula ke Ulu Selangor. Namun, pasukan Chong Chong  seramai 90 orang terus dikejar dari belakang  oleh Yap Voon Lung sehingga ke Serendah. Dia dilaporkan telah terbunuh di situ walaupun mayatnya tidak dapat dikenal pasti oleh para pengikutnya.

Sementara itu, dengan gangguan ekonomi dan perdagangan  Inggeris di Selat Melaka, dan keprihatinan terhadap keselamatan terutamanya kejadian  rompak,  pihak British semakin terlibat dalam urusan di Selangor. Pada bulan Julai 1871, disebabkan oleh serangan lanun yang dikesan daripada kubu kuat Raja Mahadi di Kuala Selangor, Inggeris menyerang Kuala Selangor. Sekumpulan tentera marin British melalui dua buah kapal iaitu HMS Rinaldo dan juga HMS Pluto dihantar untuk menyerang kubu Raja Mahdi. Bedilan dahsyat dari kapal British tu telah menyebabkan Raja Mahdi, Syed Mashor terpaksa berlari masuk ke hutan dan meninggalkan kubu dan menyerahkan kota itu kepada Tengku Kudin. 

Tengku Kudin telah berarak masuk ke kubu itu bersama 100 tentera Sikh yang telah diberi oleh British. Namun, kubu yang menjadi rebutan itu sebenarnya hak milik Raja Musa, dan dia telah minta balik kubu itu daripada Tengku Kudin tetapi permintaannya ditolak.  Keengganan Tengku Kudin  memberikan  semula kawalan pendapatan dari kota itu kepada Raja Musa yang sebelumnya memerintah Kuala Selangor, mendorong Raja Musa bergabung dengan pasukan Mahadi. Tengku Kudin juga berjaya menyingkirkan Raja Musa daripada jawatan Raja Muda dan menggantikannya dengan Raja Yaakop. Ini  dilakukannya setelah didapati Raja Musa cuba berdamai dengan Raja Mahadi.

Tengku Kudin dan Yap Ah Loy juga telah mempersiapkan pertahanan Kuala Lumpur. Dalam bulan Ogos tahun 1871, Tengku Kudin telah menempatkan dua orang pegawai, Van Hagen, seorang warga Belanda dan Cavaleri dari Itali, bersama-sama  dengan 80 orang tentera upahannya di Kuala Lumpur. Tindakannya itu mendapat kecaman Yap Ah Loy yang terpaksa menyerahkan tenteranya kepada arahan dua orang berbangsa Eropah itu. Namun, dia terpaksa akur kerana dia amat memerlukan bantuan dan sokongan Tengku Kudin.

Mereka berpakat untuk mengubah taktik peperangan. Sebelum ini mereka bertahan di Kuala Lumpur, menunggu serangan daripada kumpulan Raja Mahadi. Kini mereka bersetuju untuk menyerang ke kubu Syed Mashor di Kuala Kubu, sebelum kekuatan tentera Pakatan Raja Mahadi itu dapat dipulihkan. Tengku Kudin dan Yap Ah Loy menghantar tentera mereka ke Ulu Selangor. Namun, serangan mereka dapat dipatahkan kerana kekurangan orang dan peralatan perang. 

Nama Kuala Kubu berasal daripada kubu pertahanan yang dibina oleh pengikut-pengikut Raja Mahadi semasa menentang serangan angkatan perang Tengku Kudin ketika Perang Saudara Selangor. Sewaktu Perang Saudara Selangor meletus, ia menjadi benteng atau kubu pertahanan pihak Syed Mashor dan Raja Mahadi. Melalui kubu pertahanan inilah ia mendapat namanya. Beberapa kali serangan Tunku Kudin gagal kerana keampuhan kubu ini. Pasukan Tengku Kudin telah cuba menyerang kubu-kubu Syed Mashor di Kuala Kubu, Kerling dan Kampung Pasir tetapi gagal. Keadaan muka bumi dikawasan pekan Kerling dan perkampungannya adalah rata manakala  persekitarannya berbukit bukau. Sungai utama ialah Sungai Kerling manakala anak-anak sungai ialah Sungai Kempas dan Sungai Janggut.

Walaupun pada mulanya Raja Asal, Sutan Na Poso dan kapitan Yap Ah Loy bersahabat baik tetapi pada tahun 1871 mereka berselisih faham dengan Yap Ah Loy atas urusan perniagaan bijih timah. Apabila Tuanku Raja Asal mengambil keputusan untuk menyokong Raja Mahadi dan menentang Tengku Kudin, maka beliau telah menghubungi Raja Laut untuk mendapat bantuan bekas tentera Paderi di dalam peperangan tersebut. Syed Mashor dikatakan telah berjaya mengumpulkan seramai 2,500 orang angkatan perang. Seterusnya, Raja Mahdi pun menyerang Tengku Kudin dekat Bukit Gombak (kini Bukit Nanas). 

Pada bulan November, 1871, Syed Mashor bersama-sama dengan 250 orang penyokongnya dan sepasukan orang-orang Rawa telah mengepung kubu Tengku Kudin yang pada masa itu dikawal oleh Wan Aman dari Pahang dan orang-orangnya. Dia  telah menyekat bekalan makanan serta senjata yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur. Dato Dagang Mohamed Tahir telah membantu Raja Mahadi menawan  semula Klang.

Pada bulan Mac 1872, Syed Mashor sekali lagi menyerang Kuala Lumpur dan kali ini dengan bantuan Raja Mahmud dan Raja Mahadi. beliau berjaya menawan Kuala Lumpur dari Tengku Kudin dan Yap Ah Loy,  

Pada bulan Mei 1872, Raja Asal bersama Raja Laut telah membawa angkatan perang mereka untuk menyerang Kuala Lumpur. Mereka telah berkubu di Petaling Batu, iaitu di Jalan Cheras sekarang, bersama lebih kurang 2,000 orang bekas tentera Paderi dari Sumatera. Satu pertempuran telah berlaku diantara pasukan Raja Asal/Raja Laut dengan pasukan Kapitan Yap Ah Loy yang dibantu oleh Kapten Van Hagen dan Kapten Cavalier Kubu Tengku Kudin yang dipenuhi dengan pengikut dia termasuk juga Hai San dan pendatang Eropah cuba bertahan tetapi akhirnya mengalami kekalahan teruk di mana seramai 730 tentera mereka telah terkorban. Di dalam serangan tersebut juga Syed Mashhor berjaya membunuh Van Hagen, Komandan Askar Sepoy upahan Tengku Kudin. Kuala Lumpur telah dihancurkan.

Sewaktu Klang jatuh dan kemudiannya Kuala Lumpur turut jatuh ke tangan orang-orang Mandailing, Raja Asal telah memerintahkan hambanya Si Puntung untuk membunuh Dato’ Bandar Yassih yang berketurunan Bugis kerana banyak menindas dan menyeksa orang-oranag Mandailing.

Selepas menawan Kuala Lumpur, Syed Mashhor menuju ke Kuala Selangor dan berjaya menawan Kuala Selangor pada pertengahan bulan Ogos 1872. Kemenangan di Kuala Selangor dan Klang serta Kuala Lumpur telah memberi penguasaan sepenuhnya daerah tersebut menjadi wilayah taklukan Syed Mashhor dan Raja Mahadi. Mereka berkuasa sehingga akhir bulan Mac 1873.

Kejayaan Raja Asal dan Raja Laut merebut Kuala Lumpur dari Kapitan Yap Ah Loy dan sekutunya telah mendesak Tengku Kudin meminta bantuan tentera dari Pahang dan Pulau Pinang. Sementara itu, pentabiran British di Negeri-negeri Selat yang sebelum ini bergantung kepada ekonomi Selangor di bawah pengeluaran bijih timah Raja Abdullah, didesak oleh para pelabur Empayar British yang berasa tidak senang kerana perdagangan mereka terjejas akibat perang. 

Kemenangan Kem Raja Mahadi tidak memihak kepada mereka yang sebelum ini membeli bijih timah daripada Raja Abdullah. Selangor ketika itu, pada abad ke-19 dan ke--20 merupakan salah satu daripada pengeluar bijih timah utama dunia juga nadi penggerak 70% daripada ekonomi London yang pada masa itu  zaman atau era Revolusi Industri.

Tahap keselamatan negeri yang tidak stabil serta Pakatan Raja Mahadi yang menyukarkan perdagangan bijih timah British di Selangor, mengakibatkan pihak British merasakan mereka perlu terus campurtangan dalam hal politik di Selangor. Strategi British melihat Tengku Kudin sebagai tiket untuk medekati keluarga diraja Selangor. Oleh itu, wakil dari Negeri-negeri Selat diketuai oleh Andrew Clarke yang mempunyai agendanya mendekati Tengku Kudin yang dalam terdesak dalam usaha memenangi kembali Kawasan Klang dan Kuala Lumpur dari penguasaan Raja Mahadi. 

Sir Andrew Clerk telah memberi bantuan ketenteraan dan kelengkapan senjata sepanjang perang Klang kepada Tengku Kudin dengan membawa masuk 500 tentera dari Kedah bersama-sama dengan tentera upahan(sepoy) juga pegawai-pegawai perang Eropah dari Straits Settlements. Bantuan peperangan diterima Tunku Kudin pada akhir 1872 berupa tentera dan senjata tersebut dari Sir Andrew Clarke dibiayai dana Empayar British merupakan bukti jelas kemahuan Empayar British untuk terlibat dalam kancah politik Selangor.

Sultan Abdul Samad yang kembali memihak kepada Tengku Kudin juga telah menyediakan kawasan Langat kepada Tengku Kudin untuk membantu beliau membiaya modal dana pengendalian perang, selain memperkenan Tengku Kudin menerima penglibatan bantuan ketenteraan dari Pahang. Kini, Tengku Kudin berjaya mendapatkan bantuan Kesultanan Pahang, tentera British, dan juga Hai San. 

Pada pertengahan tahun 1872, Pahang telah bersubahat dengan Tengku Kudin untuk mengalahkan Raja Asal yang disokong oleh orang-orang Mandailing, Rawa (Rao), Batubara dan orang Minangkabau yang merupakan saki-baki tentera Paderi. 

Pada 18 November 1872, Petaling yang merupakan salah satu kubu pertahanan Raja Mahadi telah  jatuh ke tangan Tengku Kudin dan penyokong-penyokongnya. Dalam peristiwa tersebut Tok Engku Kelang dan Raja Berkat, Tengku Panglima Raja yang merupakan dua penyokong buat Raja Mahadi telah dikepung dan ditawan. 

Pada akhir 1872, tentera Pahang telah menyerang kubu Raja Asal di Ulu Kelang. Tentera Pahang yang di pimpin oleh Imam Perang Raja Rosu (Tok Gajah) telah ditewaskan oleh tentera Raja Asal yang di pimpin oleh Panglima dari Mandailing bernama Jabarumun, yang berkubu di Ulu Kelang. Isteri Raja Asal yang benama Wan Putih (Siputih), gigih pula mempertahankan satu lagi kubu Raja Asal yang kini tempatnya dikenali sebagai Seputih.

Pada bulan Mac 1873, Kem Raja Mahadi, Syed Mashor dan Raja Mahmud telah menerima tentangan hebat dari Tengku Kudin yang menerima bantuan tentera dari Pahang pimpinan Imam Perang Rasu Tok Gajah dan orang-orang dari Chenor. 

Pada bulan Mac, 1873, sekali lagi Raja Rosu bersama tentera dari Pahang menyerang Ulu Klang dengan kelengkapan yang lebih hebat. Oleh kerana bantuan yang dinantikan dari Raja Laut tidak dapat mendarat di Klang maka kubu Raja Asal pun jatuh ke tangan orang Pahang. Sutan Na poso (Sutan Puasa) yang berkubu di Ulu Langat  mengatur satu serangan balas ke atas Tengku Kudin dan Raja Bosu, sempat juga menyerang orang-orang Cina di Pudu dan juga di Ulu Kelang. Kedai mereka dibakar dan pembunuhan pun berlaku di kedua-dua kawasan tersebut. Namun, akibat dari tentangan  kuat ini Syed Mashor terpaksa berundur dari Kuala Lumpur ke Ulu Selangor. Pun begitu, dengan bantuan dari Pahang melalui Haji Muhammad Nor, akhirnya pasukan Tengku Kudin berjaya merampas Kuala Kubu. 

Pada 8 November 1873, Syed Mashor dan Raja Asal terpaksa berundur hingga ke Perak. Raja Mahadi dan Raja Mahmud pula berjaya melarikan diri ke Sungai Ujong, sebelum Raja Mahdi ditangkap dan dihalau ke Singapura, seterusnya mengakhiri perang yang berlangsung selama tujuh tahun ini.  

Dengan berakhirnya perang ini, Selangor kembali aman dan meneruskan kemakmurannya. Mulai saat itu Tengku Kudin berjaya mengukuhkan kedudukannya di Selangor. Sultan Abdul Samad yang pada mulanya, hanya dapat mengawal Langat, kini berjaya merangkul seluruh Selangor, walaupun pemenang sebenar perang ini ialah British yang berjaya menguasai pentadbiran negeri ini melalui sistem Residen. Syed Mashor terus dianggap musuh oleh sebilangan pegawai-pegawai Inggeris dan juga Sultan Abdul Samad. Hutang Tengku Kudin kepada para penyokongnya di negeri-negeri Selat berjumlah $400,000 dibayar oleh kerajaan Selangor. Kuala Kubu atau Ulu Selangor telah menjadi jajahan di bawah pentadbiran Pahang. Tengku Kudin telah menyerahkan daerah ini kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai balasan pertolongan pasukan perang Pahang dan untuk membayar perbelanjaan perang.  

MENANG JADI ARANG, KALAH JADI ABU. Cukup tragis dan sia-sia Perang Klang atau Perang Saudara di Selangor ini.









Tengku Kudin

Yap Ah Loy

Raja Mahadi

Syed Mashor

                  


bersambung.......

Rujukan:

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sejarah Menarik Rumah Rehat Tampin dan Gemas

Salam buat semua. Hari ini, Khamis, 28 November 2024. Hari ini Atok dan Wan tak ke mana-mana. Hanya duduk kat rumah menanti anak-anak kami p...