Khamis, 23 Jun 2022

SEJARAH AWAL KAMPUNG KANCHONG DARAT

 1. PENDAHULUAN


Kuala Langat dalam tahun 1898

Kalau nama Kanchong Laut disebabkan kedudukannya yang terletak tidak jauh dari laut, Kanchong Darat pula ialah kerana kedudukannya jauh dari laut dan menghala ke sebelah daratan. Kampung ini terletak lebih kurang 4 batu dari pekan Banting. Kampung ini bersempadankan Kampung Sungai Lang, Revolusi Hijau di sebelah barat laut, kampung sungai Lang Tengah di timur dan di selatannya terletak  kampung Batu Laut. Penduduk-penduduk asal kampung ini terdiri dari orang Melayu Melaka. Kemudian diikuti suku Banjar dan orang-orang Jawa. 

Kampung Kanchong Darat mula diteroka pada tahun 1904 oleh sekumpulan orang dari Tanah Jawa, Indonesia yang terdiri dari Tuan Haji Abd Rahim, Tuan Haji Abd Rahman, Tuan Haji Abd Majid, Tuan Haji Ali dan Tuan Haji Khalil. Kawasan yang mula-mula sekali diterokai ialah kawasan di Batu 24, di sebelah Kanchong Bengkok, yakni jalan yang menuju ke Kampung Tali Air sekarang.  

Kumpulan berikutnya telah datang meneroka kawasan lapis dua yang terdiri daripada Tuan Haji Shukur dan Encik Adam Sehat. Mereka telah meneroka bersama-sama Tuan Haji Khalil sehingga ke arah kawasan Kanchong Tengah sekarang.  Selepas itu, baru datang kumpulan-kumpulan yang datang dari kawasan Morib dan Tali Air membuka kawasan baru menghala ke Pekan Banting. Kawasan yang mula dibuka adalah di sekitar Kanchong Timur dan kemudian diikuti di sebelah barat. 

Di peringkat awal pembukaan, kampong ini ramai diduduki oleh orang-orang Banjar tetapi sekarang jumlah mereka semakin berkurangan. Pada tahun 1909,  terdapat beberapa buah kedai runcit yang terletak menghala jalan kecil ke Ladang Dusun Durian.  Kedai-kedai tersebut dibuat daripada kayu dan beratapkan nipah sahaja.  Para pekedai mendapatkan bekalan barangan daripada kedai-kedai yang telah lama dibuka di luar kampong ini. Pada sekitar tahun 1911,  penduduk-penduduk di kampung ini hanya lebih kurang 20 buah keluarga sahaja.  Walau bagaimanapun,  jumlah ini telah meningkat dari setahun ke setahun dengan pembukaan penempatan yang baru. Di sinilah mula-mula sekali terbinanya sekolah kebangsaan dan masjid.   Sekolah Melayu dan kuarters gurunya dibina di kampung ini dalam tahun 1924. Juga terdapat sekolah rendah Cina, Lam Koon School, didirikan diini sebelum tahun 1945 dahulu kerana terdapat komuniti  kecil Cina yang terdiri daripada petani dan peniaga terutamanya di Kanchong Bengkok.

Seperti mana kampung-kampung tradisional yang lain, pembangunan infrastrukturnya tidak sepesat di bandar-bandar. Kedudukannya yang terletak berhampiran dengan pekan Banting memberikan sedikit tempias kemajuan sosio-ekonomi.  Sebelum ini hanya terdapat jalan darat lama dari Jugra ke Kanchong (Laut), Batu (Laut) dan Sepang,. Pada tahun 1912, jalan raya yang menghubungkan Sungai Banting ke Morib dibina.Tak lama kemudian jalan raya baharu menghubungkannya dengan Morib di Simpang Morib mula dibina.

Peta Kuala Langat dalam tahun 1913

Sebelum tahun 1925, sudah terdapat satu jalan kecil yang hanya boleh dilalui oleh kereta lembu dari Banting ke Morib. Keadaan jalannya adalah disusun dengan kayu-kayu,  kemudian beberapa tahun selepas itu barulah jalan tersebut dibuat daripada batu-batu besar.  Kenderaan yang digunakan pada masa itu ialah kereta lembu,  kereta kuda,  basikal roda dan terdapat juga beberapa buah lori menggunakan tayar mati. Perkembangan Kampung ini dapat dibuktikan dengan adanya sebuah 'pekan' dengan beberapa buah kedai runcit, kedai makan, pusat penyimpanan ikan masin dan hasil-hasil laut, kedai pembuatan perkakasan rumah daripada timah (Tin smith).

Penyata Kewangan bagi Kanchong Darat bagi tahun 1952

Pemberontakan Komunis ketika era Darurat mengubah landskap sosial Kampung Kanchong Darat buat selama-lamanya. Pada tahun I952 , jumlah penduduk kampung ini kira-kira 600 orang. Apabila berlakunya darurat dan diikuti oleh rancangan Briggs, kerajaan telah mengambil langkah untuk menempat dan mengatur semula komposisi penduduk kampung ini. Penduduk keturunan Cina yang ramai di Kanchong Bengkok telah diarahkan berpindah ke pekan Banting. atau pun ke kampung baru Jenjarom. Orang Melayu, Jawa dan pribumi yang lain dikekalkan di kampung ini. Kerajaan tidak mengubah kedudukan tempat tinggal mereka. Oleh itu kita dapat katakan bahawa kampung ini bukanlah satu penempatan atau kampung baru tetapi sebuah kampung yang telah diasingkan penduduknya dengan kaum pendatang. Penyusunan komposisi penduduk kampung ini tidak mengubah dengan drastik kehidupan mereka. 

Keselamatan mereka tanggung jawab mereka sendiri di bawah Home Guard yang dilakukan dalam kalangan mereka juga. Pasukan pengawal kampung ( Home Guard ) ditubuhkan untuk membantu pasukan keselamatan membenteras pengganas. Di samping itu sebagai alat perhubungan awam atau information' pasukan keselamatan dengan orang awam dan pihak musuh. Pasukan ini adalah satu pasukan sukarela dan ahlinya terdiri daripada mereka yang telah berusia 18 hingga 55 tahun. Mereka boleh bertugas sepenuh masa atau dalam masa yang tertentu sahaja. Bagi pengawal Kampung yang bertugas sepenuh masa mereka akan diberi elaun sebanyak. $150.00 sebulan.  Pasukan ini juga terbuka kepada kaum wanita dan diberi layanan yang sama dengan kaum lelaki. Pada waktu malam para penduduk tidak dibenarkan memasang lampu atau api kerana dapat menarik perhatian pengganas komunis untuk melakukan kekacauan. Hal ini kerana dipercayai pengganas berkeliaran di sekitar kampung Sungai Lang, dan Simpang Bengkok. 

Di dalam kegiatan ekonomi kampung ini merupakan pengeluar kopi, kelapa, kelapa sawit yang penting di kuala Langat. Hasil tanaman akan dijual kepada peraih-peraih yang datang untuk membelinya. Oleh itu wujud perhubungan yang agak baik di antara mereka . Di samping itu mereka juga mengusahakan tanaman makanan seperti ubi kayu, keledek dan sebagainya. Kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan raya, dewan dan sekolah kurang mendapat perhatian dari kerajaan. Hanya jalan raya. sahaja. yang disediakan oleh kerajaaan kerana kampung ini terletak di kawasan laluan ke Morib. Sekolah tidak didirikan oleh kerajaan. Walau bagaimanapun orang- orang kampung telah berusaha sendiri untuk membina sekolah agama. Sekolah ini asalnya dibina pada tahun 1942. Kerajaan ketika itu tidak berusaha untuk membantu membaiki bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu dan atap ini. Murid-muridnya terdiri daripada penduduk sekitar kampung ini dan guru-gurunya mengajar secara sukarela dan kadang kala diberi sedikit sagu hati daripada penduduk kampung.




Peta lakar petempatan di Kanchong Darat pada tahun 1952






Sekolah Menengah Agama di Kanchong Darat dibina (BH 5/6/1965)

        Keratan Akhbar Berita Harian 26 Mac1968 yang mengatakan Kanchong Darat tidak mendapat                         pembangunan dan kemudahan asas dan awam yang sewajarnya daripada kerajaan

    2.   KAMPUNG KANCHONG DARAT KINI 


 KELUASAN KAMPUNG

              TANAH PERTANIAN             :   1.468 hektar / 3.671 ekar
              TANAH WAKAF KERAJAAN     :   60 ekar
              JENIS TANAH                   :   Tanah liat dan tanah gambut

 

KEDUDUKAN KAMPUNG 

          KUALA LUMPUR    :      63.2 KM           SHAH ALAM          :     46.6 KM
          PUTRAJAYA          :      39.4 KM           KLIA / SEPANG     :     32.5 KM

 

SEMPADAN KAMPUNG

           UTARA:          Banting dan Sungai Lang Baru
           SELATAN:          Kampung Morib dan Kampung Tali Air
           TIMUR:          Kampung Sungai Lang Tengah dan Kampung Kanchong Tengah
           BARAT:          Ladang Kelanang dan Kampung Kelanang

 

MAKLUMAT PENDUDUK

 JUMLAH PENDUDUK    :          10,289 orang JUMLAH RUMAH      :          2,698 buah rumah



3.    KEISTIMEWAAN KAMPUNG KANCHONG DARAT

A.  INDUSTRI KEREPEK

Fazz Enterprise Kerepek House
Sumber: Kerepek Fazz

Kerana banyak sekali tanaman ubi dan pokok pisang di daerah Banting ini, maka sudah semestinya menyebabkan meriahnya industri kerepek di sini sehingga wujudnya kedai-kedai yang menjual kerepek.penghasilan pelbagai kerepek sangat terkenal di beberapa lokasi antaranya di Banting kerana ia amat sinonim dengan masyarakat Jawa. Kerepek dari Banting merupakan kerepek popular di negara ini sejak 1980-an, malahan penghasilannya telah merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di daerah itu. Industri kerepek telah memacu kepada pertumbuhan keusahawanan di kawasan sekitar dan ada antaranya menjadi usahawan. 

    B.  PASAR KEMBOJA

Pasar Kampuchea Banting Image
Sumber: Hana Homestay Banting

Jika anda masih tidak puas membeli-belah di Banting ini, apa kata kalau anda sekeluarga singgah ke Pasar Kampuchea. Pasar yang terletak di Jalan Masjid, Kampung Kanchong Darat ini dibuka pada setiap hujung minggu. Kalau anda nak tahu, di sini anda dapat melihat bermacam jenis barangan yang termasuklah pakaian. Kesemua barangan yang diniagakan di sini dijual di dalam harga yang jauh lebih murah dari tempat lain. Kebanyakan peniaga yang terdapat di sini adalah dalam golongan Melayu Kemboja yang telah datang ke daerah ini sejak dua dekad yang lalu.

    C.  RUMAH KELUARGA SIDEK





Di rumah inilah lahirnya jaguh badminton negara, Misbun,Jalani, Razif, Rahman dan Rashid Sidek. Di belakang rumah ini ada 2 court badminton. Sama seperti yang kita tonton dalam rancangan kartun "Anak-anak Sidek". Di sinilah Dato' Haji Sidek Bin Haji Abdullah Kamar (Allahyarham) membesar dan mendidik kejayaan anak-anaknya dalam arena badminton. Allahyarham melatih anak-anaknya bermain badminton kerana dia sendiri tidak berpeluang bermain di Piala Thomas dan berharap anak-anaknya mampu menjulang Piala Thomas dan tahun 1992 adalah detiknya. Beliau sanggup menjual tanah kebun untuk membuat gelanggang simen dan membeli peralatan baru. Haji Sidek merupakan Ketua pasukan badminton Starlight di Banting.

1 ulasan:

  1. Adakah kampung ini sekarang digelar Kampung Endah? Atau ia berbeza dengan Kampung Kanchong Laut? Dan boleh saya tahu dari rujukan buku dan article dari mana Tuan gunakan untuk menulis entri ini?

    BalasPadam

Fakta Menarik tentang Stadium Jugra di Telok Datok

Assalamualaikum semua. Semoga semuanya dalam keadaan sihat Walafiat. Malam tadi Atok baru sahaja balik dari Telok Datok menziarahi jenazah a...